Datuk
berdiri di sebelah kanan Mat Prai memastikan kedudukan rukuk Mat Prai betul
seperti yang dihajati, datuk terus menggenggam penumbuk kanan.
"Bersedia
Mat Prai."
"Ya,
saya bersedia Ayah Alang."
"Kalau
sakit jangan mengeluh, jangan mengaduh. Kau mesti tahan semuanya."
"Baik
Ayah Alang."
"Sediaaaaaa..."
datuk melepaskan penumbuk sulung ke pangkal belikat Mat Prai. Saya lihat Mat
Prai rebah perlahan-lahan serentak dengan itu juga saya lihat hampas dan serbuk
dari pucuk hutan yang ditampalkan ke muka Mat Prai terus jatuh berderai.
Bertaburan di tanah.
"Kamu
ni lembik sangat, kena sikit pengsan," datuk seperti merungut di depan
tubuh Mat Prai yang terbaring di bumi. Datuk segera memulihkannya hingga sedar.
Mat Prai terus duduk bersila di depan datuk dan saya. Cahaya api yang marak
mengizinkan saya menatap Mat Prai. Kesan darah dan cakaran yang dalam sudah
tidak kelihatan lagi, kecuali garis-garis halus yang tidak berapa dalam.
"Aku
tengok pangkal tengkuk kamu lebam, rapat dengan aku, biar aku periksa,"
tanpa banyak cakap Mat Prai hulurkan tengkuknya pada datuk. Dengan teliti datuk
membelek-belek kesan lebam itu. Dua tiga kali datuk tekan ibu jari kanannya ke
tempat yang lebam itu. Akhirnya kesan lebam itu hilang.
"Kelawar
tu cuba nak hisap darah kamu, Mat Prai," datuk terus memberi komen sambil
menolak tengkuk Mat Prai, suruh beredar dari sisinya.
"Agaknya
kelawar jadi-jadian," Mat Prai membuat ramalan. Datuk gelengkan kepala.
"Mana
ada kelawar makan darah manusia," sanggah Mat Prai membantah gelengan
kepala datuk. Saya hanya diam saja tetapi, tidak melupakan tugas untuk
membalingkan reranting kering ke dalam api yang marak.
"Siapa
kata tak ada kelawar makan darah," kata-kata datuk itu membuat saya cemas
dan takut. Bulu roma terasa tegak berdiri. Saya mula dongakkan kepala ke langit
mengawasi kalau ada kelawar berterbangan di udara. Saya dan Mat Prai
berpandangan.
"Dalam
satu kumpulan kelawar yang terbang malam, salah seekor darinya terdapat yang
menghisap darah manusia dan binatang, bentuknya besar, kukunya berbentuk macam
kuku harimau, taringnya tajam yang di bahagian hujung nampak kehitam-hitaman,
kelawar jenis ini memang merbahaya dan jahat. Dia terbang malam antara pukul
dua belas malam hingga tiga pagi, masa dia terbang tu, kalau jumpa binatang
ternakan atau manusia dia terus menyerang," datuk memberi penerangan.
PENERANGAN
Selesai
saja memberikan penerangan, dua ekor kelawar terus menerkam ke arah batang
leher datuk. Kedua belah tangan datuk bergerak pantas menghalang hajat kelawar
itu.
"Uhhh...,"
jerit datuk. Dia terus melompat sambil menyambar ranting di bumi. Dengan
ranting itu datuk memukul ke arah kedua ekor kelawar serentak. Pukulan datuk
tepat pada sasarannya. Dan kedua kelawar terus jatuh ke dalam api yang marak.
"Kamu
berdua ikut aku," datuk renung muka saya dan Mat Prai. Kemudian kami
mengaturkan telapak kaki mengikut langkah datuk. Memang itu yang kami harapkan.
Makin hampir ke pondok, makin jelas dan lantang kedengaran suara Pak Imam
membaca ayat-ayat suci di malam yang hening, memburu ke fajar menyingsing.Saya
sudah membuat keputusan untuk membentang pada datuk tentang peristiwa aneh yang
dialami. Sebaik-baiknya perkara itu, diceritakan bila sudah berada ddi pondok
di depan Pak Imam. Bercerita sambil berjalan tidak sesuai.
"Kamu
berdua jumpa ular dan kura-kura?"
Saya
terkejut dan segera memalingkan muka ke arah Mat Prai, ternyata dia tergamam.
Masih di jalanan datuk sudah menyoal, apakah dia yang mengadakan semuanya itu untuk
menguji keberanian kami. Timbul pertanyaan dalam diri saya. Datuk berhenti
melangkah.
"Cakap,
apa yang kamu alami tadi? Kamu jumpa ular dan kura-kura?" Datuk tatap
wajah saya dan Mat Prai, sambil menarik nafas saya renung ke arah pondok yang
dicerahi oleh lampu minyak tanah. Saya nampak Pak Imam terbongkok-bongkok
memnaca al-Quran.
"Ya,
kami jumpa benda-benda yang datuk sebutkan itu dalam pondok, kami tak tahu dari
mana datangnya," saya memberikan pengakuan pada datuk. Saya lihat orang
tua itu meraba-raba pangkal dagunya yang dirajai janggut. Dia kelihatan cukup
tenang.
"Dari
mana benda-benda ganjil itu datang tuk?" tanya saya lagi.
"Aku
sendiri tak tahu."
"Tapi,
macam mana Ayah Alang tahu benda-benda tu datang ke tempat kami," Mat Prai
pula mengajukan pertanyaan. Datuk termenung sebentar, barangkali dia merasa
sukar untuk memberikan jawapan. Datuk atur langkah kembali. Perjalanan yang
terhenti disambung kembali.
"Pada
mulanya aku tak tahu, aku datang ke situ kerana aku nampak api," tanpa
diduga datuk bersuara. "Masa aku sampai tadi, aku nampak ada sisik ular
dan bekas kaki kura-kura," sambung datuk. Cukup teliti datuk mengawasi
sesuatu tempat.
"Kerja
siapa semuanya tu tuk?" tanya saya lagi.
"Kerja
orang yang bertuankan iblis syaitan."
"Jadi
kura-kura dan ular tu benda jelmaan," cukup pantas Mat Prai menyoal, dia
mempercepatkan langkah hingga berada di depan datuk. Perbuatannya itu memang
tidak wajar dan datuk memerintahkan Mat Prai supaya berjalan di belakang.
Perintah segera dipatuhi.
"Bukan
jelmaan Mat Prai."
"Kalau
bukan jelmaan, apa dia Ayah Alang?"
"Perbuatan
sihir."
"Ayah
Alang tahu orang yang jadi tukang sihir tu."
"Agak-agaknya,
aku tahu, orang jahat tu tak lain tak bukan ialah..." datuk tidak dapat
menamatkan percakapannya. Sepotong kayu yang panjangnya kira-kira dua kaki
meluru ke arah depan. Datuk tidak dapat mengelak dan kayu itu tepat mengenai
telinga kirinya.
Datuk
berpusing-pusing dan bahagian yang terkena kayu itu kelihatan bengkak dengan
segera. Datuk hampir mahu jatuh, mujurlah Mat Prai bertindak segera. Badan
datuk terus dipangkunya dan dibaringkan di pangkal pokok. Setelah diberi
bantuan tenaga datuk pulih dengan serta merta. Datuk terus bangun sambil meraba
di tempat yang bengkak.
"Syukur
pada Allah kerana aku tak luka, kena sikit aje, sampai di pondok boleh
diubat," ujar datuk tenang dan memulakan langkah yang terhenti.
"Memang
kamu handal orangnya."
Serentak
datuk, Mat Prai dan saya menoleh ke kanan. Seorang lelaki dengan seluar dan
baju hitam berdiri di situ. Kepalanya diikat dengan kain merah. Di tangan
kanannya terlekap sebatang lembing yang matanya dibuat dari buluh kuning yang
sudah dikeringkan. Orang itu, tidak lain tidak bukan ialah Suhaimi Keraba.
"Saya
tidak handal, saya minta perlindungan dari Allah yang menjadikan kita semua.
Saya tak suka orang membesar-besarkan saya macam tu," tutur datuk penuh
hormat.
"Ya,
tak mengapa, lain waktu, lain masa kita bertemu lagi. Cuma saya nak ingatkan
awak jangan seretkan orang lain dalam hal kita ini, jangan babitkan Pak
Imam."
"Saya
tak babitkan sesiapa, saya cuma minta bantuan dari orang yang berilmu."
"Sudahlah,
jangan berdalih, jangan banyak cakap, haaaaa," Suhaimi Keraba menerkam ke
arah datuk, secepat kilat dia menghayunkan batang lembing ke kepala datuk.
Nasib baik datuk tunduk, batang lembing terkena pokok duku. Batang lembing
patah dua, tetapi matanya melayang ke arah saya. Walaupun saya sempat mengelak,
tetapi hujung siku saya terkena juga.
Kami
bertiga terdengar suara orang ketawa. Suhaimi Keraba tidak kelihatan lagi beberapa
batang pokok di sekeliling kami bergegar seperti digoyang orang. Datuk tidak
ambil kisah dengan apa yang berlaku di kawasan sekitar. Dia menggesa kami
mempercepatkan langkah agar segera sampai ke pondok.
Bila
melihat kami terpacak di halaman pondok, Pak Imam berhenti mambaca al-Quran.
Dia segera membuka kaca mata putih yang terlekap di muka. Dengan tenang Pak
Imam menutup al-Quran. Kaca mata putihnya yang tebal diletakkan di sebelah
kanan. Pak Imam merenung tepat ke arah datuk.
"Dari
rupa awan dan kedudukan bintang di langit, memang dah pukul dua lebih,"
datuk bersuara tenang.
"Masa
kamu tak ada tadi, macam-macam yang datang kacau aku, ada ular berkepala dua,
ada lipan bara yang besar dan macam-macam lagi bermain di depan aku," Pak
Imam menyampaikan berita.
"Itu
hanya ujian," balas datuk dengan senyum.
"Berdebar
juga hati kita dibuatnya," Pak Imam mengakhiri kata-katanya denga ketawa
keil yang memanjang. Saya dan Mat Prai berpandangan. Datuk terus menuju ke
perigi. Datang kembali dengan wajah yang basah.
Datuk
terus basuh kaki. Dia naik ke pondok. Giliran saya pula basuh kaki dan naik ke
pondok lalu duduk bersila di sisi datuk.
"Dah
ambil air sembahyang, Tamar?"
"Buat
apa? Bukan nak sembahyang," saya menjawab.
"Baca
Quran, faham," nada suara datuk cukup keras. Saya mula mengelabah. Saya
renung ke arah Mat Prai yang sudah duduk tertenggek di mata tangga. Sesekali
terdengar deru angin.
"Pergi
ambil air sembahyang," datuk mendesak.
Saya
jadi serba salah, saya memang takut untuk pergi ke perigi. Dalam keadaan yang
takut, saya cuba berlagak berani di depan datuk. Saya bercadang, bila sudah
sampai di halaman pondok, saya akan mengajak Mat Prai menemani saya. Saya terus
melangkah ke bibir tangga.
"Tamar."
Saya
berhenti melangkah. Perlahan-lahan saya toleh ke arah datuk dan Pak Imam.
Mereka sudah pun membuka al-Quran. Dada saya terus berdebar tanpa sebab.
"Kenapa
tuk?"
"Kamu
pergi ke perigi seorang diri, jangan ajak sesiapa jadi kawan kamu, faham."
"Haaaa..."
cuma itu saja yang terkeluar dari kelopak bibir saya. Sepasang kaki terasa
lemah untuk melangkah. Ini satu penyeksaan yang amat kejam. Kenapa datuk
bertindak demikian pada saya? Dia mahu menguji saya? Mahu mengajar atau mahu
menyeksa? Itu pertanyaan yang berbunga dalam hati, tetapi, tidak berani saya
keluarkan untuk didengar oleh datuk.
"Kau
nak kutip buah durian Tamar?"
"Tak."
Serentak saya gelengkan kepala.
"Kau
nak ke mana?" "Nak ke perigi nak ambil air sembahyang," saya
tepis tangan Mat Prai. Ketika itu juga saya terdengar suara datuk berdehem.
Tanpa mempedulikan samada Mat Prai tersinggung atau tidak saya terus menuju ke
perigi.
Dalam
rasa takut dan cemas, saya dapat menyempurnakan mengambil air sembahyang.
Sekurang-kurangnya dapat yakinkan datuk bahawa saya bukanlah seorang yang
penakut. Waktu saya mahu melangkah menuju ke pondok semula, tanpa diduga saya
terpandang sekujur tubuh yang dibalut dengan kain putih separas bahu. Saya
terus membaca surah Al-Ikhlas dalam keadaan yang tidak teratur.
Lembaga
yang dibalut dengan kain putih semacam mayat itu, bergerak dalam keadaan
terlompat-lompat. Saya renung ke arah kepalanya. Ternyata, wajahnya tidak
berapa jelas kerana ditutupi rambut hitam yang lebat.
Tiba-tiba
rambut hitam lebat itu terselak bagaikan ditolak sesuatu. Separuh berada di
telinga kanan dan separuh lagi di telinga kiri.
Oh!
Tuhan mukanya amat menakutkan. Dari bibir atas sebelah kanan dan kiri terjulur
gigi (siong) yang besar dan panjang melebihi dagu. Kedua belah telinganya macam
telinga monyet terlalu kecil dan hampir tidak kelihatan. Tidak mempunyai hidung
dan dahi. Matanya tersembul macam mata udang, merah seperti bara.
"Engkau
tentu tak kenal dengan aku."
Saya
pasti, suara itu datang dari lembaga aneh yang berbalut kain putih. Tetapi,
kelopak bibirnya tidak bergerak. Dari mana suara itu keluar? Timbul pertanyaan
dalam diri saya.
"Cakap,
kau kenal atau tidak denga aku?"
Lembaga
ganjil mengajukan pertanyaan. Dan kali ini, saya kira suara itu keluar dari
telinga sebelah kirinya.
Cara
yang paling berkesan untuk memastikan suara itu keluar dari telinga, saya harus
mengadakan dialog kecil dengan lembaga ganjil yang tidak diundang.
"Saya
kenal," kata saya.
"Kalau
kamu kenal, sila ceritakan tentang diriku," sanggah lembaga putih, dalam
kesempatan itu saya arahkan sepasang biji mata ke arah telinganya. Apa yang
saya ramalkan memang tepat.
Sudah
jelas, lembaga itu berkata-kata melalui telinga. Setiap kali kata diucap, daun
telinganya bergerak dan dari lubang telinganya terpancar warna kuning yang
memanjang. Bila suaranya terhenti, pancaran dari lubang telinga turut mati.
"Kamu
syaitan yang dilaknat Allah, suka mendampingi manusia dengan tujuan membawa
manusia ke jalan kamu," kata saya memberanikan diri.
"Kamu
salah, aku datang kepada kamu untuk memberikan kebaikan."
"Kebaikan?"
kata saya terkejut.
"Ya,"
katanya tegas, "Kau cuma tengok rupa aku yang buruk tapi, kau tidak tahu
hati aku baik, sesuatu yang aku berikan pada manusia adalah dengan rela
hati," tambahnya.
Saya
termenung sejenak, ketika itu saya merasai diri berada di alam lain, bukan di
kawasan perigi. Sekitar saya, terdapat pepokok bunga yang beraneka bau yang
amat harum.
Ada
aliran sungai yang datang dari gunung. Airnya cukup jernih. Tersergam sebuah
rumah berbentuk Minangkabau. Ada suara seruling mendayu-dayu dan rerama terbang
rendah. Cuaca sekitar terang benderang.
"Engkau
tentu suka dengan apa yang kau lihat," lembaga aneh bersuara. Keadaannya
kini sudah berubah, wajahnya tidak menakutkan. Dia kelihatan seperti manusia
biasa. Badannya dibalut dengan pakaian cara orang Arab. Kepalanya dibalut
dengan serban yang bersambung dengan jubah yang dipakai.
Semua
kain yang dipakainya berwarna hijau. Di tangan kanannya ada tongkat dari rotan
semambu. Buah tasbih sebesar buah pinang disangkutkan di bahu kanan.
"Kamu
mahu memperdayakan aku," saya membantah.
"Kamu
silap," sahutnya dengan senyum memperlihatkan wajahnya yang tampan.
Berkulit putih dan berhidung mancung. Ada mirip orang Arab.
"Aku
mahu memberikan kamu sesuatu yang baik dan bermakna, kekayaan dan perempuan,
kau lihat di sana," dia meluruskan telunjuknya ke arah rumah berbentuk
Minangkabau.
Di
halaman rumah itu, terdapat tujuh gadis yang berwajah cantik. Mereka memakai
pakaian yang amat jarang sekali.
RANGSANG
Gerak-geri
mereka memberikan rangsangan berahi kepada saya. Sebagai seorang teruna, sudah
pasti perasaan saya tergugat dengan kecantikan tubuh dan rupa lawan jenis saya.
Dua tiga kali saya mengeluh dan menelan air liur. Ketujuh-tujuh gadis itu
sengaja mengangkat kain yang dipakai hingga ke paras pangkal paha. Saya terus
urut dada.
Di
kaki tangga rumah tersusun berpuluh-puluh tempayan serta peti-peti kayu yang
berwarna kemerah-merahan. Tempayan dipenuhi dengan syiling manakala peti-peti
kayu penuh dengan wang kertas.
"Bagaimana?
Kau tak mahu semuanya ini?"
"Tak
mahu, kau cuba menjerat aku."
Orang
berpakaian hijau terus ketawa. Tasbih sebesar buah pinang terus
digerak-gerakkannya. Saya sudah lupa dengan Pak Imam, datuk dan Mat Prai. Saya
berada dalam satu dunia yang sungguh menakjubkan.
"Kalau
mahu kaya, kau jadilah muridku, kalau kau mahu muda seumur hidup, kau hanya
perlu tidur dengan gadis-gadis di depan kamu selama tujuh malam berturut-turut,
setiap malam kau bawa seorang ke rumah dan begitulah seterusnya. Selain dari
itu kau harus mencari tujuh gadis lain dan perdayakan mereka," lanjut
lelaki berjubah hijau. Penuh semangat dia memberikan penjelasan.
"Terima
kasih, saya tak mahu semuanya itu," ungkap saya tegas.
"Kau
tak rasa menyesal?"
"Tidak."
"Apa
kau tak mahu jadi macam Suhaimi Keraba yang tidak dimakan tua, tidak dimakan
sebarang senjata api atau besi."
"Tidak."
Orang
berjubah itu menutup mukanya dengan kain hijau. Dia ketawa gamat. Kamudian
perlahan-lahan membuka kain hijau. Keadaannya segera berubah, wajahnya kembali
hodoh dan sekujur tubuhnya dibalut dengan kain putih.
"Engkau
menolak pemberian Khalifah kami, engkau mesti menerima celakanya, kamu tahu?
Suhaimi Keraba adalah anak murid Khalifah kami. Apa yang ditawarkan kepada kamu
adalah jalan damai antara kami dengan datuk kamu," lembaga ganjil terus
bersuara.
Saya
termenung sejenak. Dua tiga kali buka tutup kelopak mata. Entah berapa kali
pula saya gosok mata dengan telapak tangan. Sekarang sudah jelas, saya tidak
lagi berada di alam fantasi. Saya dapat melihat sinar pelita di pondok. Suara
Pak Imam dan datuk terus mengalun mengisi ruang malam dengan ayat-ayat suci.
Mat
Prai kelihatan masih mundar-mandir di depan pondok. Bunyi buah durian gugur
bertalu-talu.
"Apa
boleh buat, kamu menolak damai dari kami," cetus lembaga itu. Pada saat
itu saya lihat rambutnya yang hitam bertukar menjadi warna kuning tembaga.
Dimukanya, di bahagian hidungnya terdapat beribu-ribu ulat, sebesar ulat daun
pisang. Ulat-ulat itu bergerak menuju ke lubang mata dan lubang telinga.
Beberapa ekor ulat bergerak atau bergantungan pada gigi besarnya yang terjulur.
"Huh...,"
lembaga itu mendengus dan sekaligus terus menghilangkan diri. Tempatnya segera
digantikan oleh batang tubuh Suhaimi Keraba. Mata Suhaimi Keraba merenung tajam
ke arah saya.
"Kamu
menolak seruan Khalifah aku di muka bumi," ucap Suhaimi Keraba.
"Khalifah
gila," kata saya.
"Ertinya,
kamu mahu bermusuh dengan kami. Aku susah bertindak kerana kamu membabitkan Pak
Imam dari kampung ini. Datuk kamu sial," Suhaimi Keraba terus mengutuk
datuk dengan sewenang-wenangnya. Saya jadi marah.
"Kamu
sesat, kamu jadi hamba syaitan, kamu pengisi neraka jahanam," saya terus
meledakkan kemarahan.
Tindakan
saya itu membuat Suhaimi Keraba marah. Dia terus menarik buluh kuning yang
terselit di pinggangnya. Buluh kuning berukuran kira-kira satu hasta itu
dilontarkan kepada saya. Kerana sudah tahu langkah dan atur silat yang
dipelajari dari datuk, saya segera memanfaatkannya, saya dapat mengelak.
Buluh
kuning yang dilontarkan pada saya terkena pangkal pohon langsat. Api terus
marak setinggi berdiri di pangkal pokok langsat. Saya terus menjerit dengan
sekuat hati.
LANGKAH
Saya
buka langkah lalu lari menuju ke pondok. Suhaimi Keraba terus ghaib serta
merta. Saya tidak tahu ke mana dia menghilangkan diri. Tercungap-cungap saya
berhenti di kaki tangga, buat beberapa ketika.
Saya
terus duduk di anak tangga tanpa mempedulikan Mat Prai yang dua tiga kali mengelilingi
saya. Dia berusaha menarik perhatian saya dengan harapan saya akan menegurnya.
Bila
saya buat tak isah, Mat Prai seperti berputus asa dan terus duduk di bumi.
Angin malam yang bertiup terus menggugurkan buah durian. Bila rasa penat sudah
hilang, saya terus basuh kaki dan naik ke pondok. Datuk berhenti baca Quran.
"Kenapa
macam orang kena kejar aje Tamar?"
Pertanyaan
yang datuk kemukakan itu membuat saya berada di dalam serba salah. Apakah perlu
saya menjawabnya? Kalau dijawab apakah datuk percaya dengan apa yang saya
ceritakan padanya?
"Kenapa
Tamar?" ulang datuk lagi. Kali ini sepasang matanya tertumpu ke wajah
saya. Belum pun sempat saya menjawab datuk terus bersuara:
"Kamu
jumpa benda-benda pelik."
No comments:
Post a Comment