SIRI 059 KELAWAR PONTIANAK
Biji-biji getah yang dikutip saya
lambakkan atas tanah. Datuk masih lagi menjalin bilah buluh dengan rotan. Dia
membuat lukah (bubu) baru yang panjangnya satu hasta dengan injap bermata
belas. Memang perangai datuk, kalau membuat lukah, mesti dimulakan waktu
matahari terbit. Bila matahari sudah tinggi segalah, kerja itu diberhentikan.
Kalau diteruskan, lukah yang
dibuat tidak membawa tuah. Ertinya, tidak ada ikan yang mahu masuk dalam lukah.
Saya terus memecahkan kulit biji getah dengan kayu. Isinya saya taruh dalam
penapis buluh.
“Jumlahnya mesti ganjil,” tegur
datuk ketika saya mencucukkan dawai halus ke dalam isi biji getah untuk umpan
lukah.
Saya terpaksa mengira kembali isi
biji getah yang sudah dicucuk berangkai. Semua jumlahnya ganjil belaka. Tetapi,
ada satu yang mesti saya patuhi. Isi biji getah itu tidak boleh dilangkah,
tidak boleh kena bayang.
“Sekarang kau masukkan umpan biji
getah ke dalam lukah yang kita angkat dari sungai pagi tadi, sandarkan ke
pangkal pokok manggis,” datuk suruh dengan hati-hati. Kalau tersilap, pasti
datuk bertempik dari atas pelantar.
“Menahan lukah dengan umpan biji
getah ni bagus, bila biji getah tu dah masam, ikan akan mencari sampai ke dalam
bubu,” datuk tersenyum dan terus bangun.
Semua bilah buluh, rotan serta
pisau peraut diletakkannya dalam bakul mengkuang. Datuk tidak mahu meneruskan
kerja tersebut kerana matahari sudah meninggi.
“Tuk nak ke mana?”
“Aku nak tengok putik Salak
Jambi,” katanya.
“Tapi tuk, orang yang berjanji
dengan kita dulu datang hari ini, tempohnya dah cukup.”
“Aku tahu, dia orang datang sebelah petang,” balas datuk dengan tenang.
Langkahnya dipercepatkan menuju ke perdu Salak Jambi yang ditanamnya tidak jauh
dari kawasan rumah.
Saya tidak tahu, kenapa datuk
menaruh perhatian yang besar pada perdu Salak Jambi yang jumlahnya tidak sampai
lima perdu.
Datuk Cuma memberitahu saya yang
pokok salak itu benihnya dibawa dari tanah Jambi.
Buahnya besar dan agak panjang
bentuknya, berbeza dengan buah salak dari Pahang dan Terengganu. Rasanya manis
dan isinya juga tebal.
Datuk tidak pernah menjual buah
salaknya. Dia lebih suka memberi percuma pada orang-orang kampung. Datuk juga
menyuruh orang-orang yang menerima pemberiannya menanam biji salak tersebut.
Kata datuk, pada satu waktu
nanti, buah salak akan menjadi buah yang berharga dan amat digemari orang
ramai. Hanya keadaan saja yang dapat menentukan kebenaran dari kata-kata datuk
itu.
Saya mengelap peluh yang mula
mengalir di bahu dengan telapak tangan.
Matahari terus memancar dengan
garang. Semua kulit-kulit biji getah yang bertaburan atas tanah saya kumpulkan
dalam kertas lalu saya buangkan ke tempat sampah. Petang nanti akan saya bakar.
TEGUR
“Apa yang
kau menungkan,” tegur nenek bila melihat saya termenung panjang di halaman
rumah. Saya tidak menjawab pertanyaan kecuali memberikan senyum mesra.
“Kenapa tak ikut tuk tengok pokok
salak?”
“Habis kau nak buat apa.”
“Saya nak pergi ke surau, saya
nak main gasing dengan kawan-kawan di situ.”
“Ikut suka kaulah,” balas nenek.
Saya terus ke surau. Sampai di
halaman surau saya lihat sudah ada dua tiga orang kawan-kawan main gasing. Saya
turut campur dalam permainan tersebut. Saya bangga kerana gasing yang saya buat
dari kayu limau berjaya memecahkan dua buah gasing kawan. Setiap kali saya
memangkah gasing dalam gelanggang kawan-kawan semuanya terdiam. Mereka tumpukan
perhatian ke arah saya. Kerana terlalu asyik bermain, saya pulang ke rumah
kira-kira pukul lima petang dengan perut yang lapar.
Mungkin kerana ada tetamu di
rumah, datuk tidak marah pada saya. Macam selalu, pukul berapa saya pulang,
nenek yang baik hati akan menyediakan hidangan untuk saya. Nenek cuma
menasihatkan saya supaya jangan mengulangi perbuatannya yang tidak disenangi
oleh datuk.
Datuk tidak marah saya bermain
gasing dengan kawan-kawan. Apa yang jadi pantangnya, kerana asyik main, saya
lupa sembahyang Zuhur serta lewat menunaikan fardu Asar.
“Bila kau main gasing sampai
melupakan perintah Allah, ertinya kau bermain dengan syaitan,” kata datuk
dengan nada suara yang lembut, ketika saya melintas di depannya menuju ke
bilik.
Tetamu yang datang menjeling
kearah saya. Terasa tebal kulit muka bila saya disindir begitu. Saya terus
memencilkan diri dalam bilik.
“Sudah awak buat perkara yang
saya suruh,” saya terdengar suara datuk. Telinga saya rapatkan ke dinding. Saya
tidak dapat mengawal perasaan ingin tahu yang timbul meluap-luap dalam dada.
“Sudah,” terdengar suara
perempuan menjawab. Pasti suara Sariyah.
“Apa kesannya?”
“Anak-anak ular hitam dan
belalang tidak datang lagi. Tetapi, saya tidak dapat tidur lena, selalu
terjaga, mimpi yang bukan-bukan.”
“Apakah mimpi yang kau alami sama
pada setiap malam?”
“Ya sama.”
“Apa mimpinya.”
“Orang hitam berbadan besar menangkap
saya, dibawa ke sarang ular bisa. Saya mahu dicampakkan ke situ. Bila saya
menjerit saya terus terjaga.”
“Pelik,” kata datuk.
Dengan tiba-tiba bulu roma saya
tegak. Saya terasa macam ada makhluk halus yang tidak dapat saya lihat berdiri
di belakang saya. Dan saya rasakan makhluk itu berbadan besar seperti apa yang
diceritakan oleh Sariyah pada datuk. Saya lawan perasaan yang terjadi dalam
diri saya itu. Makin saya lawan, makin terasa seram. Benda ganjil yang tidak
dapat dilihat itu seperti mengarahkan biji matanya kearah saya.
Saya terus meluru keluar. Duduk
dekat datuk. Saya lihat wajah datuk begitu tenang, seolah-olah dia mengerti
dengan apa yang terjadi. Sariyah dan ibunya tercengang melihat kedatangan saya
itu.
“Sekarang awak urut perempuan ini
lagi,” beritahu datuk pada nenek. Dahi nenek nampak berkedut.
“Tak payah pasang tirai? Awak ni
dah mengarut nak mengurut perempuan di depan lelaki,” nenek melahirkan protes
dalam senyum. Datuk terdiam sejenak.
“Tak payah, bawa dia masuk ke
dalam bilik Tamar.”
“Lagi?”
“Saya akan memberi perintah dari luar macam yang kita buat dua minggu lalu.”
“Awak tahu, lepas saya mengurut perempuan ini dua minggu lalu, saya mimpi
seperti apa yang diceritakannya pada awak, kemudian seluruh badan saya terasa
bisa-bisa.”
“Kenapa awak tak cakap?”
“Malas nak cakap dengan awak,”
nenek menjuihkan bibirnya ke depan. Datuk tersenyum panjang.
Sariyah dan ibunya masuk ke dalam
bilik saya dengan ditemani oleh nenek. Datuk memperkemaskan silanya dengan
meletakkan kedua belah lengannya atas kedua belah tempurung lututnya. Kedua
belah matanya datuk rapatkan.
“Urut rusuk kiri bawa ke kanan.
Berhenti di situ. Tekan pangkal pusatnya dengan tangan kiri. Tangan kanan tekan
pangkal pinggangnya kuat-kuat,” begitu datuk mengeluarkan arahan dengan mata
terpejam. Saya kira nenek tentu mengikut apa yang datuk suruh.
“Aduhhh, tolong,” saya terdengar
suara Sariyah.
“Jangan lepaskan, biar dahinya
berpeluh,” balas datuk.
“Ada ketul keras macam batu,”
jawab nenek.
“Tekan, jangan lepas,” balas
datuk.
“Tolong sayaaaa,” suara Sariyah
bertambah lemah. Akhirnya saya terdengar Sariyah mengeluh kuat. Lepas itu tidak
terdengar apa-apa.
Dalam masa yang sama, tanpa
angin. Daun-daun tingkap bergerak lalu menghempaskan kayu jenang, melahirkan
bunyi yang kuat macam ada orang yang membuka dan menutup, kain langsir putus
dari pengikatnya, tidak ubah macam direntap oleh tangan manusia dengan kasar.
PEDULI
Datuk tidak mempedulikan keadaan yang agak ganjil itu. Dia terus pejamkan
matanya. Dan suasana yang tidak menyenangkan itu terus hilang.
“Sudah lepaskan bahagian yang
awak pegang,” seru datuk dari luar. Saya terdengar suara Sariyah kembali dengan
keadaan normal, bercakap sesuatu dengan ibunya.
“Sekarang genggam penumbuk di tangan
kiri dan tekankan ke perut perempuan itu di bahagian pusatnya,” sambil
mengeluarkan perintah itu datuk membuka silanya lalu bertinggung untuk beberapa
minit. Datuk duduk kembali.
“Buka tangan awak dan lihat apa
yang ada.”
“Serpihan papan berbalut kain
merah,” jawab nenek.
“Masukkan barang itu ke dalam
mangkuk putih, tutup dengan kain atau kertas, kemudian bawa pada saya,” selesai
saja datuk bercakap, kedua belah kelopak matanya dibuka.
Nenek keluar dari bilik lalu
meletakkan mangkuk putih bertutup kain di hadapan datuk. Bila nenek mahu
melangkah ke dalam bilik datuk terus bersuara:
“Awak urut dia macam awak
mengurut perempuan yang baru lepas bersalin tiga hari.”
“Baiklah.”
Nenek masuk ke bilik lalu melakukan apa yang datuk suruh. Bila nenek selesai mengurut,
Sariyah dan ibunya segera keluar.
Saya lihat muka Sariyah
berseri-seri dan merah, macam wajah anak dara yang baru berusia belasan tahun.
Kalau dilihat sekali imbas, pasti orang tidak menyangka yang Sariyah sudah
punya anak lima.
Saya tidak menafikan,
sesungguhnya dalam usia saya yang begini, saya memang tertarik pada dirinya.
Air mukanya begitu menarik dan menawan boleh membuat lelaki tidak tidur malam.
Mereka terus duduk di hadapan
datuk. Saya lihat kulit Sariyah yang kemerah-merahan itu bersih dan gebu
sekali, tidak terlihat lubang-lubang bekas jerawat seperti sebelumnya. Kulitnya
cukup lembut sekali.
“Awak mesti mematuhi
syarat-syarat yang saya berikan ini, jika awak benar-benar mahu masalah yang
awak alami ini berakhir,” kata datuk sambil merenung wajah Sariyah dan ibunya.
“Apa dia syarat-syaratnya tu?”
Tanya ibu Sariyah macam tidak sabar-sabar. Datuk termenung sejenak.
“Mudah saja, syarat pertama
jangan meninggalkan sembahyang lima waktu, membaca yasin malam Jumaat dan
selalu bersedekah pada anak-anak yatim atau orang miskin bila awak mampu
berbuat begitu,” datuk bercakap sebentar.
“Syarat kedua, jangan mengatakan
atau membabitkan orang lain yang kononnya penyakit awak ni, adalah perbuatan
orang lain, itu perbuatan yang salah,” datuk raba pangkal tengkuknya sejenak.
“Awak mesti berbaik dengan ipar
dan mak mentua awak,” tambah datuk lagi.
“Kalau mereka menolak dan
menyakitkan hati saya bagaimana?” Tanya Sariyah.
“Awak harus bersabar, biar apapun yang mereka lakukan jangan melawan mentua,
emak mentua sama juga dengan emak sendiri, kalau tidak tahan dengan sikapnya,
cari jalan asalkan jangan sampai timbul permusuhan, saya tidak mahu awak
memberitahu orang lain awak berubat di sini.”
“Saya berjanji dan saya berterima
kasih pada tuan.”
“Jangan berterima kasih pada saya
tetapi, bersyukurlah pada Allah kerana dengan Allah juga, saya boleh menolong
awak, jangan panggil saya tuan, panggil saja ayah atau pakcik.
“Ya ayah.”
“Kerana awak saya kira perempuan
yang baik dan jujur, mulai dari hari ini awak saya anggap macam anak saya
sendiri,” datuk luahkan apa yang tersirat dalam hatinya.
Sariyah dan ibunya berpandangan.
Mereka pun berbalas senyum tetapi, tidak dapat mengatasi senyum nenek yang
membayangkan kepuasan tersendiri.
Dengan wajah yang manis datuk menyuruh
saya memetik tujuh helai daun sirih yang bertemu urat di belakang rumah.
Suruhannya itu segera saya patuhi. Tujuh helai daun sirih bertemu urat saya
serahkan padanya.
Datuk patahkan semua tangkai
sirih, begitu juga dengan bahagian hujungnya. Tiap daun sirih datuk lipat tiga.
Semua tulang belakang daun sirih datuk buang. Daun-daun sirih yang sudah
dilipat itu datuk taruh tiga butir gula pasir.
“Ini bukan apa-apa, cuma petua
untuk penyeri wajah kamu, tiap-tiap daun sirih ini ada tiga biji gula putih, jangan
jatuhkan gula-gula itu, selepas bangun tidur kumur mulut dan kunyah daun sirih
ini hingga hancur, telan hampasnya sesudah itu barulah kamu basuh muka dengan
air suam, kenakan air itu ke seluruh kulit muka kamu,” kata datuk.
Sebelum datuk serahkan daun-daun
sirih pada Sariyah datuk membaca sesuatu.
“Pantangnya, jangan makan
benda-benda masam dan pahit sebelum masuk waktu Asar selama tiga bulan, lepas
itu tak apa,” datuk mengingatkan Sariyah.
Semua daun sirih yang dibungkus
itu diserahkan pada Sariyah. Datuk juga mengingatkan Sariyah supaya daun sirih
itu jangan dilangkah atau terkena bayang diri.
“Berapa upahnya ayah?” Soal
Sariyah.
“Saya tidak mencari rezeki cara
ini.”
“Tapi ayah sudah menolong saya.”
“Ayah tidak menolong awak, Allah
yang berkuasa menolong awak, saya cuma berusaha, kalau Allah tidak mengizinkan,
usaha saya tidak berjaya, lupakan hasrat awak tu.”
“Oh…” keluh Sariyah.
“Pulanglah ke rumah awak, jangan
lupa dengan syarat yang saya kenakan,” ujar datuk dengan tenang.
Sariyah dan ibunya terus
bersalaman dengan nenek. Kemudian mereka meninggalkan rumah dengan tenang.
“Apa yang awak rasa waktu
mengurutnya tadi,” datuk bertanya pada nenek.
“Sudah banyak berubah, sudah cukup syaratnya sebagai seorang isteri, semua
urat-urat dalam perut dan sendinya bergerak macam manusia yang sempurna, tidak
terasa macam papan sekeping, sudah ada lekuknya, sebagai orang perempuan saya
tahu apa yang ada pada diri seseorang isteri, semuanya itu ada pada Sariyah,”
jelas nenek pada datuk. Datuk puas hati dengan keterangan yang diberikan oleh
nenek itu.
PISANG
Matahari sudah mula condong tetapi, datuk masih juga mahu mengajak saya ke
kebun pisang. Saya tidak tahu kenapa datuk harus pergi ke tempat tersebut dalam
waktu begini.
Biasanya, kalau matahari sudah
condong, datuk tidak mahu pergi ke kebun pisang.
Dia lebih suka menghabiskan masa petangnya membuat kerja dalam rumah hingga
menjelang waktu Maghrib.
“Sudah petang benar tuk.”
“Tak apa, bila hari sudah
remang-remang senja kita baliklah ke rumah.”
“Tak apalah tuk,” balas saya.
Saya dan datuk pun menuju ke
kebun pisang. Dedaun pisang yang tua dibuang. Anak-anak pisang yang tumbuh
banyak di sesuatu perdu dikurangkan menjadi satu atau dua. Buah-buah pisang
yang sudah cukup tua diambil untuk dibawa pulang.
Saya begitu seronok bekerja dalam
suasana petang yang begitu tenang dan aman. Datuk juga begitu.
Tanpa disedari matahari kian
rapat ke kaki langit, suasana yang terang mula beransur kelam, beburung kelicap
sudah mula kurang hinggap di jantung pisang. Semuanya pulang ke sarang.
“Sudah beransur gelap tuk,” saya
mengingatkan datuk.
“Tunggu sikit lagi Tamar, biar
aku buang anak pisang yang tak berguna ni,” datuk masih lagi membongkok di
perdu pisang.
Bila kerjanya selesai di perdu
pisang tersebut, datuk meneruskan kerjanya di perdu pisang lain.
Tidak ada tanda-tandanya yang
datuk akan pulang segera. Dia sungguh ayik dengan kerjanya. Cara ini membuat
saya resah dan gelisah.
Hari sudah beransur gelap. Suara
gagak liar terbang senja mula kedengaran. Beberapa ekor gagak liar terus
hinggap di pokok pisang sambil berbunyi.
Saya baling burung-burung gagak
itu dengan kayu. Burung-burung terbang sebentar kemudian datang semula ke pokok
pisang sambil berbunyi. Saya cuba sorak dengan suara yang kuat. Burung-burung
gagak itu tidak peduli. Terus berbunyi seolah-olah tidak takut dengan manusia.
Saya jadi lemas dalam keadaan yang tidak menyenangkan itu.
Hari mula beransur gelap. Puncak
bukit yang letaknya tidak jauh dari kawasan kebun pisang sudah tidak jelas
untuk saya tatap. Burung-burung gagak liar terus berbunyi. Saya terus berlari
kearah datuk. Darah saya tersirap. Datuk sedang berguling-guling atas tanah.
Tiga ekor kelawar yang bentuk tubuhnya lebih besar dari kelawar yang biasa saya
temui, menuju kearah pangkal leher datuk. Suara kelawar itu cukup nyaring
sambil mengeluarkan giginya yang tajam berbentuk taji kearah datuk. Suara
kelawar itu juga berbeza dengan suara kelawar biasa, begitu juga dengan bentuk
giginya.
Dalam keadaan yang berguling-guling
itu datuk sempat membelitkan daun-daun pisang kering ke batang lehernya. Cara
datuk mempertahankan diri dari jadi mangsa kelawar aneh itu. Dalam keadaan yang
cemas itu, salah seekor dari kelawar tersebut menjunamkan badannya kearah
datuk.
Dengan cepat datuk menghalakan
parang panjangnya kearah kelawar. Tetakan dari datuk tidak kena sasaran. Dan
kelawar itu sempat membenamkan kukunya ke lengan kiri datuk. Baju di lengan
terbelah dua. Dalam keadaan yang samar-samar itu, saya melihat darah mengalir dari
lengan kiri lalu membasahi seluruh lengan baju yang berwarna putih. Suara
kelawar bertambah kuat, bagaikan orang bersorak dalam sesuatu perlawanan bola.
“Berlindung Tamar,” jerit datuk,
saya segera berlindung di balik pokok pisang.
Datuk saya lihat berjaya bangun.
Dia terus menghayun parang panjangnya kea rah tiga ekor kelawar. Salah seekor
dari kelawar itu terkena parang panjang. Sayapnya putuh dua. Kelawar itu jatuh
atas tanah. Sementara yang dua ekor lagi terus menyerang bertubi-tubi kearah
muka datuk. Saya terdengar suara datuk menjerit, mukanya mula berdarah. Datuk
terus berjuang hingga kedua-dua ekor kelawar aneh itu terkorban. Datuk segera
menghampiri saya. Darah masih lagi mengalir di mukanya.
“Pipi kanan aku kena cakar,” kata
datuk tercungap-cungap sambil mengesat darah di mukanya dengan pucuk pisang
yang belum kembang.
“Kelawar apa tu tuk, ganjil benar
rupanya.”
“Kelawar jenis ni menghisap darah
manusia dan binatang, kata orang kelawar pontianak. Selalunya kelawar jenis ini
berada dalam hutan tebal terutama di kawasan yang banyak terdapat rusa, landak
dan harimau, banyak pemburu yang jadi korbannya,” datuk menerangkan pada saya.
“Macam mana boleh masuk ke
kampung kita tuk?”
“Entahlah, agaknya sudah banyak
hutan yang dibuka orang atau sudah tak ada harimau dan rusa lagi dalam hutan,
kelawar jenis ni mencari mangsa waktu malam.”
“Seram saya tuk.”
“Apa mahu diseramkan, mari kita
balik, hari dah gelap benar. Waktu Maghrib sudah masuk,” balas datuk.
Memang benar hari sudah gelap. Suasana
dalam kebun pisang terasa kurang menyenangkan. Belum pernah datuk meninggalkan
kebun pisang dalam keadaan begini.
Sambil melangkah saya terus merenung ke kiri dan ke kanan. Saya lihat dedaun
pisang terus bergerak, walaupun tiada angin yang bertiup. Saya lihat beberapa
ekor burung gagak liar berterbangan tanpa suara.
“Datuk,” jerit saya. Datuk pun
mematikan langkahnya.
“Ada apa Tamar?”
“Tuk tengok ke kanan.”
Datuk segera toleh ke kanan. Dia
tidak berkata apa-apa. Badan saya terus menggeletar. Siapa yang tidak
menggeletar bila melihat bayang manusia yang besar dan tinggi bergerak dalam
kebun pisang sambil mematahkan batang-batang pisang.
Dalam saat-saat tertentu,
bayang-bayang itu memperlihatkan bentuk badannya yang sebenar. Wajahnya
mengerutu. Dagunya panjang. Kepalanya botak dan kuku dari sepuluh jarinya
terjulur kira-kira dua kaki. Biji matanya terperosok ke dalam dan mengeluarkan
cahaya yang halus.
“Tak ada apa-apa pun Tamar,”
balas datuk.
“Ada hantu tuk.”
“Ah jangan mengarut mana ada
hantu di sini, cepat jangan fikir yang bukan-bukan.” Sergah datuk.
Saya cuba melangkah tapi tidak
terdaya. Bayang-bayang itu serasa memburu saya. Bila melihat keadaan saya
begitu. Datuk terus mendukung saya. Sampai di rumah saya diletakkan di anjung.
Saya terkapar di situ. Tidak terdaya bangun. Sendi-sendi badan terasa tidak
dapat digunakan seperti selalu. Datuk terus menunaikan fardu Maghrib. Sementara
menanti datuk selesai sembahyang bayang-bayang aneh itu terus mengganggu saya
dalam pelbagai bentuk.
Ada ketikanya wajah yang
mengerutu itu mengeluarkan darah ke seluruh muka. Ada ketika lain pula bertukar
menjadi wajah yang paling hodoh dengan mata satu di tengah dahi. Dari kulit
wajah yang hodoh itu keluar beribu cacing tanah. Dan cacing itu dimakannya
macam orang makan mi rebus atau mi goreng.
Paling menakutkan bila
bayang-bayang itu mempamerkan giginya yang bertaring dua. Darah celah-celah
taring kulit keluar ulat tidak ubah macam ulat tahi dengan bau yang amat busuk.
Saya tidak terdaya melawan. Hanya berserah pada Allah.
“Ayahmu menghalang apa yang aku
buat, sekarang aku mahu kamu merasakan kesakitan dari apa yang aku buat,”
terdengar bergemuruh suara dari bayang-bayang tersebut, waktu saya mendengar
suara itu, saya melihat cacing tanah berguguran dari wajahnya lalu menimpa muka
saya.
Kemudian, saya terlihat kaki
besar, seperti kaki gajah yang kulitnya berlapis-lapis. Dari lapisan kulit yang
berbulu itu mengalir nanah bercampur darah bersama ulat-ulat halus yang
bentuknya panjang, kira-kira dua inci. Ulat-ulat itu bergerak ke kiri dan ke
kanan.
Anehnya, kaki itu cuma sebelah
sahaja yang dapat saya lihat. Lagi sebelah saya tidak tahu ke mana perginya.
Kaki gajah itu bergerak untuk memijak dada saya. Sampai di sini saya tidak
terdaya lagi. Saya terus menjerit.
SUARA
Datuk dan nenek terus menerpa pada saya. Mereka meraba seluruh badan. Saya
tidak terdaya mengeluarkan suara. Tekak saya terasa amat kering dan panas
sekali.
“Ambilkan aku semangkuk air,” saya terdengar suara datuk. Air yang diminta
segera nenek adakan. Diserahkan pada datuk. Dengan tenang datuk membaca surah
Al-fatihah yang jumlahnya saya tidak tahu. Datuk curahkan air itu ke muka saya.
Bila air terkena muka baru saya boleh bersuara dan tekak tidak terasa panas lagi.
“Apa yang kau nampak Tamar?”
“Benda dari kebun pisang datang.”
“Apa yang dibuatnya pada kamu?”
“Mahu memijak dada saya tuk.”
“Kenapa kau tak baca ayat Quran
yang aku ajar untuk menghalau syaitan.”
“Saya terlupa tuk.”
“Ah…,”
Datuk dan nenek terus mengusung saya ke bahagian dapur, saya dimandikan.
Kemudian saya diletakkan atas katil lalu diselimutkan dengan kain tebal.
Nenek terus mengurut badan saya.
“Cuba bangun dan berjalan,” saya
terdengar suara datuk. Selimut saya buka. Saya turun dari katil dan cuba
melangkah. Saya terjatuh. Sepasang kaki saya jadi lemah dengan tiba-tiba.
Kerana saya tidak mahu
ditinggalkan sendirian di atas katil, nenek dan datuk terpaksa mengusung saya
ke tengah rumah. Saya disuruh duduk bersandar pada dinding. Nenek meneruskan kerjanya
di dapur. Dan datuk terus membaca al-Quran.
Lebih kurang pukul dua belas
tengah malam, datuk berhenti dari membaca Quran. Suasana malam terasa sepi dan
dingin sekali. Saya sudah dua kali terlelap dalam duduk. Datuk sudah bersedia
untuk melakukan sembahyang sunat, sebelum melakukan sembahyang istikharah.
Tiba-tiba datuk menghampiri saya.
Dia tidak jadi melakukan sembahyang sunat.
“Kalau kau mengantuk, biar tuk
bawa kau ke dalam bilik.”
“Tak apa tuk, biarlah saya di
sini.”
“Kalau sudah begitu kata kau, tak
apalah.”
Tanpa diduga datuk terus menarik
sepasang kaki saya dengan kuatnya. Saya terus jatuh. Tetapi, saya tidak merasa
sakit di bahagian kaki yang datuk tarik. Saya tidak merasakan apa-apa. Jauh
sekali untuk menjerit dan mengadu sakit.
Datuk mendudukkan saya seperti
sediakala. Air mukanya nampak berubah. Saya dapat menduga datuk berada dalam
keadaan pilu dan hampa yang amat sangat. Tetapi, dia tidak mengeluarkan air
mata. Datuk terus memeluk dan mencium dahi saya.
“Tamar, kau lumpuh dengan tiba-tiba,
kau tidak dapat menemani datuk ke mana-mana, apa dosa cucuku hingga dia jadi
begini,” keluh datuk. Dia terus mencium saya dan saya terasa air matanya
mengalir di dahi saya.
Datuk terus masuk bilik mengambil
bantal. Dia suruh saya baring dan badan saya terus diselimutkan. Saya lihat
datuk berada dalam keadaan yang serba salah. Sekejap menggigit bibir, sekejap
menggigit bibir dan lidah.
Datuk terus membuka pintu dengan
luasnya. Saya dapat melihat keadaan yang gelap di luar. Angin malam terus
menyerbu masuk ke dalam rumah. Suara pungguk terdengar sayup-sayup, bersama
dengan bunyi suara kucing jantan mencari betina.
Belum pernah saya lihat datuk
melakukan pekerjaan seperti itu. Macam kerja orang bodoh membuka pintu rumah
waktu malam. Tidak ada sesuatu keindahan yang dapat dilhat dalam malam yang
pekat, selain dari rasa sejuk, bunyi burung pungguk, bunyi burung hantu dan
lolongan anjing liar yang memanjang dan menyeramkan.
Datuk terus duduk menghadapi
pintu yang terdedah. Kerana perbuatan itu agak asing bagi diri saya lantas saya
menyoal.
“Kenapa buka pintu tuk?”
“Ada tetamu yang nak datang malam
ni, begitulah mengikut petua dan gerak tubuhku Tamar.”
“Siapa orangnya tuk? Orang gila
saja yang berjalan malam.”
“Aku sendiripun tak tahu, kalau
yang datang baik, baiklah yang aku beri, kalau jahat yang datang, jahatlah yang
aku beri,” kata datuk.
Datuk terus duduk menghadapi muka
pintu yang terdedah. Lengan bajunya yang agak labuh itu nampak bergerak-gerak
disentuh angin, begitu juga dengan hujung rambutnya yang terjulur dari bawah
songkok hitamnya.
Saya terdengar bunyi kucing
menggaru papan yang diikuti dengan suara burung tukang dan jampuk
bersahut-sahutan. Datuk masih lagi duduk di tempatnya.
“Masuk,” saya terdengar suara
datuk. Serentak dengan itu sekeping papan yang panjangnya kira-kira lebih dari
lima kaki masuk ke tengah rumah menerusi pintu, macam ada tangan ajaib yang
menolak papan itu masuk.
Papan sekeping yang sudah agak
reput itu membawa beberapa cebisan kain putih yang terlekat pada papan tersebut
tertanggal dengan sendirinya.
“Bukan papan dan kain saja yang
datang, ada pengikutnya kenapa tak tunjukkan diri, bukankah kita semuanya
makhluk Allah,” ujar datuk dengan tenang.
Habis sahaja datuk bercakap,
semua tingkap rumah yang tertutup terbuka dengan sendiri. Kemudian tertutup
kembali. Papan sekeping di tengah rumah terus bergerak tersandar pada dinding.
“Ada yang mengangkat dan
mengubahnya, aku tahu iblis dan syaitan selalu menipu dan menggoda manusia
mengikut kemampuan yang ada pada diri manusia, kalau manusia boleh mengubat
manusia yang sakit, syaitan akan mencelah untuk memesongkan keyakinan orang
itu, kalau boleh cuba mahu memaksa orang itu memainkan ayat-ayat Quran untuk
tujuan yang tidak baik,” datuk terus berkata-kata dengan tenang.
Datuk terus berdiri. Saya lihat
di depannya wujud seorang lelaki berjanggut dan berjubah membawa tasbih. Orang
itu tersenyum pada datuk. Bila datuk hulurkan tangan untuk bersalam orang itu
tidak mahu menyambutnya.
“Tak apa kau tak mahu bersalam
dengan aku. Tetapi, aku megah kerana kau datang dalam keadaan begini, kau
datang seperti orang alim yang taat pada hokum Allah, kau berbuat begitu kerana
kau tahu aku selama ini patuh dengan perintah Allah,” tambah datuk lagi.
Orang itu tersenyum. Dia terus
membilang tasbih di tangan.
“Kau halang kerja aku?” suara
lelaki itu keras.
“Halangan itu terjadi dengan izin
Allah.”
“Tapi, aku memberi pertolongan
pada orang yang memerlukan pertolongan, bukan itu jalan kebaikan.”
“Bukan pertolongan, kau mahu
memisahkan sebuah rumahtangga yang didirikan oleh manusia dengan cara yang
betul. Allah tidak menyuruh sesiapapun di dunia memisahkan si suami dengan
isteri yang dinikahinya secara halal.”
Orang itu terdiam. Datuk tetap
tenang. Saya saksikan kejadian dengan penuh minat, meskipun kedua belah kaki
saya ketika itu berada dalam keadaan lumpuh.
“Aku ini Wali Allah, jangan
permainkan aku.” Orang berjanggut dan berjubah tinggikan suara. Tasbih di
tangan terus dibilangnya tanpa berhenti.
“Tidak ada sesiapa yang boleh
mendakwa dirinya Wali Allah, sama ada orang itu Wali atau tidak ditentukan oleh
Allah Yang Maha Besar, bukannya dirinya sendiri atau manusia yang masih hidup
menentukannya, kau syaitan,” pekik datuk.
Lelaki berjanggut dan berjubah
jegilkan biji mata. Datuk terus membaca ayat-ayat dari al-Quran. Tiba-tiba
lelaki itu terus hilang. Tempatnya, segera digantikan oleh bayang seorang
lelaki.
Orangnya berbadan sederhana,
memakai songkok dan misai tebal. Sekali imbas orang itu macam seorang yang baik
dan warak. Orang itu merenung wajah datuk.
Beberapa saat kemudian bayang
orang itu hilang. Begitu juga dengan papan sekeping di tengah rumah.
Datuk rapatkan daun pintu. Datang
menghampiri saya. Badan saya digosoknya berkali-kali.
“Masih ada halangan yang panjang kerana aku menolong Sariyah dan menjadikan dia
anak angkat aku,” kata datuk.
“Siapa orangnya tuk.”
“Aku tak kenal, tapi orang itu
berteduh di bawah ketiak syaitan, banyak menggunakan ilmu salah dan sihir dalam
menolong orang, pandai memainkan ayat-ayat suci untuk tujuan jahatnya.”
“Kenapa begitu tuk?”
“Aku pun tak tahu, mungkin untuk
dihormati mungkin juga untuk mencari wang, dan orang itu satu ketika akan
membalas dendam,” keluh datuk sambil merenung wajah saya.
No comments:
Post a Comment