Saya
mula terasa bosan duduk dalam kedai kopi. Bagi menghilangkan rasa bosan itu,
saya terus menggaru pangkal dagu beberapa kali.
Dan sepasang mata saya terus tertumpu
ke dada jalan raya yang mula sibuk dengan kenderaan. Debu-debu jalan
berterbangan dalam sinar matahari pagi yang kian garang.
Saya toleh ke kiri. Lelaki berketayap putih
dan datuk masih termenung. Masing-masing merenung dinding kedai kopi yang cat
putihnya sudah pudar bertukar menjadi kekuning-kuningan. Apa yang mereka fikir,
saya pun tidak tahu.
Orang-orang yang datang minum dan
makan pagi sudah berkurangan, tidak sehebat tadi. Pekerja-pekerja di kedai itu
lebih banyak duduk dari melayani para pelanggan.
Agaknya mereka masih mengenangkan
peristiwa ganjil yang telah berlaku beberapa jam tadi. Mereka juga berharap
pada setiap pelanggan yang baru datang, tidak akan dapat mencium berita buruk
itu.
Lelaki berketayap putih memanggil
pekerjanya yang bertugas sebagai tukang membancuh kopi. Pekerja yang berbadan
tegap, berambut kerinting serta bermulut lebar itu menghampirinya.
"Ada apa hal Ayah?"
"Beritahu pada semua yang bekerja
di sini supaya merahsiakan kejadian yang baru berlaku, kalau kisah ini merebak
alamat kedai kita tak laku."
"Saya faham ayah," jawab
pekerja itu sambil beredar dari lelaki yang berketayap putih.
Datuk saya lihat tersenyum memandang
pada lelaki berketayap putih. Datuk renung biji matanya tepat-tepat, kemudian
datuk tepuk bahu kiri lelaki berketayap putih itu.
"Awak takut kedai awak tak
didatangi orang? Dan awak mahu merahsiakan kejadian tu," ujar datuk sambil
menarik nafas.
"Lelaki berketayap putih termenung
sejenak.
"Ya, saya takut," katanya
tegas.
"Pernahkah awak terfikir bahawa
rezeki yang awak terima selama ini, adalah pemberian Allah?"
"Bukan terfikir, malah
mengakuinya."
"Kalau awak sudah mengakuinya
kenapa awak takut, kalau cerita yang berlaku di kedai awak tersebar pada orang
ramai. Kata-kata yang diluahkan oleh datuk itu, membuat lelaki berketayap putih
terkejut. Air mukanya nampak berubah. Dia menggeliat sambil memicit-micit
pergelangan tangan kanannya.
"Rezeki manusia tidak berada di
tangan manusia tetapi, berada di tangan Allah Yang Maha Besar, rezeki itu pula
tidak datang bergolek kalau manusia tidak berusaha mencarinya," datuk
memulakan ceramah kecil di hadapan lelaki berketayap putih.
Saya lihat lelaki itu tunduk mendengar
kata-kata datuk itu.
"Jangan jadikan diri kita derhaka
pada Allah kerana sesuatu kejadian yang kecil, juga jangan tenggelamkan diri
kita dalam sifat tamak haluba," sambung datuk lagi sambil bangun lalu
berjalan menuju meja kosong yang terletak dekat pintu masuk.
Datuk duduk di situ.
Beberapa minit kemudian, lelaki
berketayap putih menghampiri datuk lantas duduk di situ.
"Kejadian seperti ini, selalu
saja berlaku di sini, setiap kedai kopi yang terkena musibah tersebut terus
gulung tikar, saya tak mahu hal begitu jadi pada diri saya, saya tak ada harta
untuk saya tinggalkan pada anak-anak saya bila saya mati," lelaki
berketayap putih mengadu hal pada datuk.
Rasa simpati mula berbunga dalam hati
saya. Memang, saya mengharapkan datuk dapat melakukan sesuatu untuk menolong
orang tersebut.
"Nasib manusia selalunya tidak
sama," kata datuk.
"Saya faham, tetapi saya
memikirkan nasib anak-anak saya."
"Sepatutnya awak tak boleh
memikirkan hal mereka, apa yang perlu awak fikirkan ialah tentang nasib awak
sesudah awak mati, ada baiknya awak menghitung amal ibadat yang telah awak
buat, dari memikirkan nasib anak-anak sesudah awak mati," saya lihat datuk
begitu bersemangat bercakap. Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan dirinya,
mahu menolong orang tersebut.
Saya benci dengan tindak tanduk datuk
itu, terlalu banyak bercakap dan menasihati orang. Rasa benci itu, saya
perlihatkan pada datuk dengan cara yang sopan. Saya keluar dari perut kedai,
berdiri di kaki lima kedai sambil berlari-lari.
Ternyata perbuatan saya tidak
disenangi datuk. Dia menjengilkan biji matanya, membuat saya jadi cemas dan
takut. Saya segera masuk ke kedai kopi kembali. Duduk di sisi datuk.
"Orang yang beriman dan berilmu,
tidak akan meninggalkan harta pada anak-anak tetapi, meninggalkan atau
membekalkan ilmu pengetahuan dunia akhirat yang secukupnya, kerana doa anak
yang salih untuk orang tuanya yang sudah meninggal diberkati Allah,"
beritahu datuk pada lelaki berketayap putih itu.
Tiba-tiba datuk bangun dan terus
berjabat tangan dengan lelaki berketayap putih sambil mengucapkan terima kasih.
Perbuatan datuk itu amat mengejutkan dan di luar dugaan saya sama sekali. Datuk
pun melangkah keluar dari kedai kopi.
"Janji awak dengan saya
bagaimana?" Kata lelaki berketayap putih sambil memegang bahu kanan datuk.
"Saya ingat," jawab datuk
dengan tidak mematikan langkahnya menuju ke gigi jalan.
Tidak sampai lima minit kami berdiri
di gigi jalan, lori yang dipandu oleh Lim Tong King pun tiba.
"Sudah dibaik benda yang
rosak," itulah persoalan pertama yang diajukan oleh datuk pada Lim Tong
King. Saya lihat wajah kawan Lim Tong King cukup riang duduk di atas buah-buah
pisang.
"Pelik sungguh, sudah diperiksa
oleh formen, tidak ada yang rosak," cukup jelas suara Lim Tong King
memberitahu datuk. Saya tersenyum mendengarnya.
"Saya tak dapat ikut awak, janji
kita cuma di sini saja Lim," wajah Lim Tong King kelihatan muram, dia
menggigit bibir sambil merenung muka datuk.
"Janganlah susah hati, pergilah
awak akan selamat sampai ke tempat yang dituju," kata datuk.
"Tapi."
"Tak apa, awak pergilah, dengan
izin Allah awak selamat."
"Baik," balas Lim Tong King
sambil menekan minyak lori dan lori pun bergerak perlahan-lahan meninggalkan
kami. Kawan Lim Tong King melambai-lambai tangan pada saya.
"Ke mana kita nak pergi
tuk?"
"Ke mana lagi, ke masjidlah."
"Hum...," saya mengeluh
pendek.
Baru sepuluh langkah menapak, saya
terpaksa berhenti kerana lelaki berketayap putih mengejar kami dari belakang
sembil memanggil-manggil nama datuk.
Anehnya datuk tidak hirau langsung
dengan teriakan dari lelaki itu. Dia terus melangkah dan melangkah.
"Jangan bimbang, datuk saya akan
tunaikan janjinya dengan pak cik," kata saya sebaik saja lelaki berketayap
putih berhenti dekat saya.
"Dia mahu ke mana tu?"
"Ke masjid membaca Quran dan
berzikir."
"Baik ajak saja datuk awak duduk
di rumah saya, lagi baik."
"Saya tak berani nak beritahu
dia, saya fikir usah ganggu dia, kalau ada apa-apa hal jumpa saja waktu
sembahyang Zohor nanti."
"Datuk awak ni ganjil
orangnya."
"Memang datuk saya ni ganjil
tetapi, ganjilnya tidak menyusahkan orang lain, tidak pernah mungkir janji. Tak
apalah pak cik saya pergi dulu."
Lelaki berketayap putih saya
tinggalkan dalam keadaan termangu-mangu. Saya terus memburu datuk hingga dapat
jalan bersaing dengannya.
"Apa yang dia mahu Tamar?"
"Menanyakan janji tuk
dengannya."
"Mudah sangat tidak percaya
sesama manusia, perbuatannya menunjukkan sifat-sifat tamak, sebagai seorang
Islam dia harus percaya dengan janji yang dibuat oleh orang yang seagama
dengannya, bukankah menepati janji itu salah satu dari peraturan yang harus
dipatuhi setiap orang Islam," demikian datuk merungut. Saya diam saja,
tidak kuasa saya menjawab rungutannya itu.
Datuk dan saya sampai ke masjid. Datuk
mengambil air sembahyang dan melakukan sembahyang sunat untuk menghormati
masjid dan membuat keputusan untuk beriktikaf di masjid bagi
melakukan amal ibadah.
"Tamar."
"Ya, tuk, ada apa-apa hal,"
kata saya sambil duduk di sisinya. Datuk merenung muka saya sambil membelai
-belai rambut saya yang jatuh atas dahi dengan penuh manja.
Tangan datuk saya pegang dan saya
cium, tiba-tiba hati saya terasa hiba, tidak dapat saya nyatakan padanya,
betapa sayang saya pada datuk yang pada zahirnya nampak kasar dan bengis
membela saya.
"Masjid", sebaik-baik tempat
untuk kita beramal, gunakanlah kesempatan maha besar," ujar datuk. Dia pun
bangun mengambil Quran dan terus membacanya.
Saya tanpa membuang masa terus mencari
beberapa buah kitab agama yang terdapat dalam masjid itu dan terus membacanya
secaranya merangkak-rangkak.
Lebih kurang pukul dua belas setengah
tengah hari, seorang lelaki dalam lingkungan usia lapan puluhan masuk ke
masjid. Janggut dan misainya sudah putih tetapi, kulit mukanya tegang dan
sepasang matanya kelihatan bercahaya, menandakan yang dirinya waktu muda dulu
seorang yang pintar.
Dari gerak badan dan cara dia
berjalan, saya dapat menduga bahawa orang tua itu mempunyai pengalaman dan
pengetahuan yang luas dalam bidang ilmu mempertahankan diri.
Orang tua itu melakukan sembahyang
sunat masjid. Selesai sembahyang sunat dia duduk di satu sudut masjid dan terus
berzikir dengan khusyuk.
Bila datuk berhenti membaca Quran dan
orang tua itu berhenti berzikir. Datuk segera menemuinya, mereka
bersalam-salaman.
Waktu datuk dan orang tua itu
bercakap-cakap, saya segera menjauhkan diri. Duduk bersendirian dekat pintu
masjid. Beberapa minit kemudian, orang tua tersebut melintas di hadapan saya.
Dia terus memukul beduk (kerantung)
menandakan waktu zuhur sudah tiba.
"Siapa nak azan (bang) saya atau awak?" Tanya orang
tua itu pada datuk. Saya lihat datuk tersenyum memandang pada saya.
"Biarlah orang muda yang
membuatnya," balas datuk.
"Siapa orangnya?"
"Cucu saya," jawab datuk dan
orang tua itu memandang ke wajah saya dengan senyum yang menarik. Dia
menghampiri saya lalu menepuk-nepuk kepala saya dua kali berturut-turut.
"Tunaikan permintaan datukmu,
mendengar cakap orang tua untuk jalan kebaikan, diberkati oleh Allah,"
bisik orang tua itu pada saya. Dua kali saya menarik nafas bagi menghilangkan
rasa darah gemuruh dalam diri.
"Cepat Tamar," jerit datuk.
Saya pun memulakan azan dengan suara yang amat lantang, saya mahu suara saya
didengar oleh semua penduduk yang tinggal di sekitar kawasan berhampiran dengan
masjid.
Selesai saja saya mengerjakan azan,
saya dapati lima enam orang penduduk sudah berada dalam masjid. Sembahyang
Zuhur itu diimamkan oleh orang tua tersebut. Selesai saja sembahyang dan berdoa
orang-orang kampung pun meninggalkan perut masjid menuju ke rumah
masing-masing.
Datuk menyandarkan badannya ke dinding
masjid. Dia menggigit lidah sambil meraba-raba kening kirinya berkali-kali.
"Orang tu, tak datang tuk,"
bisik saya pada datuk.
"Tak apalah, agaknya dia ada hal,
malam nanti dia tentu datang mencari kita," balas datuk dengan tenang.
Orang tua yang sejak lepas sembahyang
duduk di tempatnya, segera bangun. Dia menghampiri datuk.
"Awak jangan ke mana-mana, saya
nak balik dulu. Lepas tu saya datang jumpa awak lagi."
"Apa halnya?"
"Awak tunggulah sampai saya
datang," balas orang tua itu sambil melangkah bendul masjid.
Datuk kembali membaca Quran. Saya mula
mengelabah kerana perut mula terasa lapar. Saya tidak tahu bagaimana caranya
untuk menyatakan pada datuk yang diri saya cukup lapar.
Saya tidak berani mengganggu datuk
yang sedang membaca Quran, memang pantang datuk nenek tujuh keturunan bagi
datuk, kalau ada sesiapa yang mahu menahan atau mengganggu dia membaca Quran.
Akhirnya, saya terus baring di dalam
masjid dengan harapan bila berbuat demikian saya akan tertidur. Memang susah
mahu tidur, kalau perut kosong. Glek kiri, golek kanan. Menelentang meniarap
mata tidak juga mahu rapat.
"Assalammualaikum."
terdengar suara dari luar masjid. Saya segera bangun dan menerpa ke pintu.
Orang tua yang berjanji dengan datuk tadi sudah tiba. Dia membimbit mangkuk
tingkat berwarna kebiru-biruan.
"Masuk pakcik," kata saya.
Orang tua itu terus masuk dan berdehem dua kali berturut-turut. Datuk segera
menoleh ke arahnya sambil menutup Quran. Orang tua itu meletakkan mangkuk
tingkat dan terus duduk bersila di hadapannya.
"Mari kita makan, ini rezeki awak
sama cucu awak, mari," orang tua itu terus membuka mangkuk tingkatnya.
Diletakkannya berderet atas lantai.
Datuk pun datang dan terus duduk
bersila.
"Perbuatan begini tidak
digalakkan dalam Islam," datuk bersuara dengan tiba-tiba. Orang tua itu
merenung muka datuk.
"Maksud awak?"
"Orang Islam tidak digalakkan
makan sedekah, Islam menyuruh umatnya berusaha kerana itu nabi besar kita
Mehammad S.A.W. pernah bersabda, tangan yang memberi lebih mulia dari tangan
yang menerima, eritnya umat Islam disuruh berusaha."
"Saya faham maksud awak tu, satu
perkara yang harus awak kaji dan fikir, awak tidak duduk di masjid sepanjang
masa membuat amalan kemudian hidup atas sedekat orang, perbuatan tidak terpuji.
Awak musafir dan saya mahu memberi awak makan, kalau tak ada saya, awak pun
boleh makan."
"Awak orang tua yang hebat."
"Saya tidak hebat, yang hebat dan
berkuasa ialah Allah. Niat saya mahu makan bersama awak," orang tua itu
pun menyorongkan nasi ke hujung lutut saya dan datuk.
Kami pun makan bersama. Bila selesai
makan saya terpaksa membersihkan mangkuk tingkat orang tua itu di telaga.
Mangkuk tingkat yang sudah dibersihkan itu, saya susun seperti asal lalu saya
serahkan pada orang tua tersebut.
Saya kira orang tua itu akan pulang,
setelah saya serahkan mangkuk tingkat padanya, rupa-rupanya dia tidak mahu
pulang. Dia mengajak datuk duduk di serambi masjid dan terus bercerita panjang
dengan datuk.
Orang tua itu memberitahu datuk, dia
berasal dari Bangkahulu. Bila berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu dia menetap
di sebuah kampung di dalam kawasan Batang Kali yang dikenali dengan nama Genting Malik.
Dalam zaman pemerintahan Jepun, dia
telah membunuh tiga orang tentera Jepun dengan parang panjang yang mahu merogol
seorang gadis jirannya.
"Saya lari malam, bila tentera
Jepun mengamuk dan menyeksa orang-orang kampung akibat perbuatan saya itu, saya
sampai ke Kerling sesudah
mencukur rambut dan dan menyamar sebagai orang asli," orang tua itu mula
membuka lipatan sejarah silamnya.
Menurutnya, semasa di Kampung Genting Malik, dia dikenali
sebagai Ujang Silat. tetapi, bila menetap di Kerling namanya segera bertukar
menjadi Mahyuddin.
"Pada mulanya saya tinggal jauh
di pendalaman, kemudian bila orang putih memerintah Malaya kembali, saya dibawa
oleh anak angkat saya tinggal berhampiran masjid ini," katanya lagi.
"Awak tak ada isteri?"
"Tak ada, tapi kaya dengan anak
angkat."
"Badan awak bertuah," ujar
datuk berjenaka. Orang tua itu turut ketawa.
Mungkin kerana terasa jemu duduk di
anjung masjid, orang tua itu mengajak datuk berjalan di halaman masjid. Kemudian
mereka duduk di atas sebatang kayu, sambil menikmati suasana petang yang begitu
tenteram dan damai.
"Sejak awak datang subuh tadi,
saya dapat meneka yang diri awak ni ada isi dunia akhirat," orang tua
memaut bahu kanan datuk. Matanya dengan mata datuk berlaga. Datuk tidak
menjawab pertanyaan yang diajukan oleh orang tua itu. Daruk macam mahu
menyembunyikan sesuatu dari orang tua itu.
"Saya tak ada apa-apa,"
jawab datuk.
"Tak apalah, saya sekadar
bertanya dan meneka," balas orang tua itu. Dia menggigit bibir dan terus
juga menepuk-nepuk bahu datuk.
Selepas menunaikan sembahyang Asar,
orang tua itu menjemput saya dan datuk ke rumahnya. Jemputan itu kami penuhi
dengan rasa bangga.
Rumah orang tua itu, terletak
kira-kira sepuluh rantai dari masjid, kedudukannya agak terpisah dari
rumah-rumah yang lain. Tidak beberapa kecil berbumbung limas dan berdindingkan
papan lidah.
Rumah itu mempunyai dua bilik, satu
bilik tidur dan satu bilik sembahyang. Apa yang menarik hati saya tentang bilik
sembahyangnya, kerana didalamnya terdapat kitab-kitab agama yang tersusun rapi
atas rak.
Manakala di sebelah kanan sudut bilik
itu terdapat , beberapa bilah senjata seperti lembing, pedang, keris dan parang
panjang.
"Parang itulah yang membunuh
askar Jepun," katanya sambil menatang parang panjang yang terdapat kesan
darah kering bercampur dengan karat.
Datuk dan saya pun anggukkan kepala.
Kemudian, tanpa diminta oleh orang tua itu, datuk pun menceritakan tujuan
sebenarnya, kenapa dia menginap di masjid.
"Niat awak baik, tapi jangan
terkejut bila kerja awak selesai, apa yang awak fikirkan tidak sama dengan apa
yang awak alami," kata orang tua itu.
"Apa maksud awak?"
"Tak payah saya terangkan
jawapannya akan awak tahu sendiri," balas orang tua itu, saya dan datuk
berpandangan orang tua itu tetap senyum memandang kepada kami.
Tiba-tiba saja datuk minta diri, macam
ada sesuatu yang tidak kena dalam hatinya. Orang tua itu mengizinkan permintaan
kami. Sebaik saja kaki kami memijak bumi, orang tua itu terus terjun ke tanah
dan menghalang perjalanan datuk.
"Orang yang meminta pertolongan,
kau tu namanya Dumba, tetapi orang-orang di sini mengenalinya sebagai Jahid
atau Lebai Jahid," kata orang tua itu.
Belum pun sempat datuk mengemukakan
sebarang pertanyaan orang tua itu sudah berdiri di muka pintu. Cukup pertanyaan
orang tua itu sudah berdiri di muka pintu. Cukup cepat dia bergerak, saya tidak
sedar masa bila dia memijak anak tangga.
Saya dan datuk meneruskan perjalanan.
Sebaik saja sampai dekat pokok besar berhampiran masjid, lelaki berketayap
putih muncul dari balik pkok.
Pandangannya semacam saja melihat
kami. Datuk terus menyapanya. Sayang sekali, teguran datuk tidak dijawabnya,
kecuali mengganggukkan kepala saja.
"Kau baru balik dari rumah
Mahyuddin?" Tanyanya.
"Ya, kenapa?" Tapi, saya
syak dia yang membuat perkara tak baik ni," lelaki berketayap putih
melahirkan apa yang ada dalam hatinya.
Datuk terdiam. Saya pula menggigit
lidah. Lelaki berketayap putih kelihatan cukup tenang.
"Jangan mudah menaruh syak
wasangka pada seseorang, kalau tak ada buktinya," jawab datuk. Dari
wajahnya, ternyata lelaki berketayap putih amat kecewa dengan jawapan dari
datuk itu.
Kerana lelaki berketayap putih itu
semacam memaksa mengajak datuk ke rumahnya, dengan alasan memudahkan datuk
datang bila dijemput pada sebelah malam nanti, datuk segera menunaikan
permintaannya.
"Saya akan pergi ke rumah awak.
Tetapi, saya tidak akan naik ke rumah dan minum."
"Kenapa?"
"Itu sebahagian dari petua, saya
tidak akan makan atau minum di rumah orang yang memerlukan pertolongan dari
saya."
"Tak apalah," lelaki
berketayap putih memberikan persetujuan.
Saya dan datuk pun mengekorinya dari
belakang. Sepanjang jalan ke rumahnya, saya senyum sendirian kerana syarat yang
datuk kenakan padanya, adalah syarat yang sengaja diadakan-adakan oleh datuk,
mungkin datuk berbuat demikian dengan tujuan tertentu.
Sebaik saja sampai di rumahnya,
perkara pertama yang datuk lakukan ialah berdiri di pangkal tiang seri
rumahnya. Kemudian mengelilingi kawasan rumahnya dua kali sambil memetik daun
hati-hati yang ditanam tiap penjuru rumah.
"Kami balik dulu," datuk
memberitahu lelaki berketayap putih.
"Silakan, tapi bila awak mahu
datang untuk membantu saya?"
"Malam ni saya datang."
"Pukul berapa?"
"Tengok gerak hati tapi yang
tentunya dengan izin Allah saya akan datang malam ini."
Ketika kami meninggalkan rumah Dumba (lelaki beketayap putih), matahari sudah
condong benar. Bayang pokok pinang yang tumbuh di kiri kanan jalan kelihatan
memanjang atas daun lalang tua.
Sebelum sampai ke jalan raya Kuala Lumpur - Tanjung Malim, kami
terpaksa mendaki bukit kecil yang agak curam.
HILANG
Macam selalu, lepas sembahyang Maghrib
dan Isyak, datuk akan menghabiskan masanya dengan membaca Quran dan berwirid
panjang.
Saya terus menelentang dekat dinding
masjid memikirkan sesuatu yang saya kira agak ganjil telah berlaku dalam masjid
tersebut. Pada hemat saya, datuk sendiri pun menyedari hal tersebut tetapi dia
sengaja tidak mahu memberitahu pada saya.
Waktu sembahyang Maghrib tadi
Mahyuddin (orang tua) ada datang tetapi, Dumba (lelaki berketayap putih) tidak
datang. Bila Dumba datang untuk menunaikan sembahyang Isyak, ada perselisihan
perbadi yang tidak mudah dapat dikesan oleh orang lain.
Tepat jam dua pagi, datuk mengejutkan
saya dari tidur. Dia suruh saya membasuh muka. Bila saya selesai membasuh muka
di perigi, saya dapati datuk sudah berada di halaman masjid. Siap berpakaian
serba hitam dengan kain merah terlilit di kepala.
"Siap Tamar," katanya, saya
segera menghampirinya. Datuk segera meletakkan tangan kanannya atas bahu kiri
saya. Secara mendadak saja badan saya menggeletar. Bila datuk angkat tangannya.
Rasa menggeletar itu segera hilang.
"Pegang hujung baju aku dan
pejamkan mata," katanya. Cakap datuk saya patuhi. Saya tidak sedar apa
yang berlaku setelah itu. Saya rasa badan saya melayang-layang. Bunyi angin
berdengung-dengung menolak gegendang telinga saya.
Tiba-tiba saya terasa macam ada
sesuatu yang menarik sepasang kaki saya. badan saya terhumban atas rimbunan
pokok yang tidak dapat saya tentukan. Muka saya terkena pada sejenis daun yang
agak kesat dan miangnya.
"Tamar, buka matamu, kita
diperdayakan," saya terdengar suara datuk. Dan kelopak mata pun saya buka.
Pertama yang saya lihat ialah langit dan awan malam.
Saya renung kiri kanan, saya dapati
diri saya dan datuk berada dalam rumpunan lalang tua. Datuk segera bangun
sambil menepis-nepis dedaun lalang yang lekat di bajunya.
"Bangun Tamar," katanya pada
saya sambil menarik tangan kanan saya yang terasa sakit kerana dicucuk oleh
tunggul lalang.
Dalam keadaan yang serba sulit itu, (maklumlah malam terlalu pekat) saya
tidak tahu apa yang harus saya lakukan, bergerak saja, kaki sudah tersepak kayu
atau terpijak tunggul lalang.
Aneh juga, tunggul lalang di situ
cukup tajam, boleh menembusi tapak sepatu getah cap tiga bintang yang saya
pakai.
"Tamar, pejamkan matamu,"
perintah datuk saya ikuti.
"Buka matamu sambil mengucap dua
kalimah syahdat dan selawatkan nabi tiga kali, kemudian kau baca ayat dari Surah Ibrahim waktu nabi Ibrahim
dibakar oleh kaumnya," beritahu datuk lagi.
Semua kemahuan datuk itu saya penuhi.
Bila saya membuka mata kawasan sekeliling itu jadi terang-benderang, macam
cahaya bulan yang mengambang penuh.
Saya dan datuk keluar dari kawasan
tersebut dan cahaya yang terang itu terus ghaib. Baru saja tiga langkah datuk
dan saya melangkah untuk menuju ke rumah Dumba, sekumpulan anjing liar segera
mengelilingi kami.
Anjing-anjing itu cukup garang dengan
mulut separuh terbuka menjelirkan lidah, bersedia untuk menerkam pada saya dan
datuk.
Setapak kami bergerak, selangkah
anjing-anjing liar itu merapati kami. Ketika itu juga suasana di situ berubah
keadaan, kami bagaikan berada di hutan tebal, terdengar bermacam-macam suara
bersama dengan titik-titik hujan yang kasar.
Angin juga bertiup cukup kuat, dedaun
yang jatuh mengeluarkan bunyi yang menggaum bila terkena bumi.
Saya terpandang dari celah-celah
pokok-pokok besar tersembul lembaga yang tidak menentu rupa bentuknya, menyapu
bumi, giginya juga kelihatan ganjil.
Gigi bahagian atas cukup panjang dan
terkeluar menutup bibir bahagian bawah, hidungnya juga panjang dan lembik
berjuntai hingga atas gigi.
Lembaga-lembaga itu memegang tali yang
terikat pada leher anjing. Telinga saya mula dihujani dengan suara orang ketawa
dan menjerit, saya lihat rambut lembaga yang panjang itu bagaikan terpacak ke
atas dan badan lembaga tanpa kaki itu terangkat dan bergerak di awang-awangan,
mengikuti tiupan angin.
"Matilah kita tuk," saya
mengeluh.
"Ini permainan syaitan, kita
berdua diperdayakan, kita harus berusaha," bisik datuk pada saya, ketika
itu wajahnya saya lihat cukup cemas.
Datuk melangkah ke depan setapak,
anjing-anjing liar pun mara, kian dekat dengan kami, begitu juga dengan lembaga
yang bergantungan, mempamerkan gigi seolah-olah ketawa pada kami.
Datuk terus memeluk tubuh sambil
menahan nafas. Matanya merenung tajam ke arah seekor anjing yang bentuk
badannya lebih besar dari anjing yang lain-lain, bulunya juga berbeza dengan
anjing-anjing lain.
Anjing besar itu berbulu hitam
berkilat, sedangkan anjing-anjing yang lain bewarna kekuningan.
Tenungan mata dari datuk itu dilawan
oleh anjing tersebut dengan matanya yang bagaikan tersembul. Anjing itu terus
menggaum. Dalam saat-saat begitu saya terlihat batang tubuh Mahyuddin melintas
di hadapan kami dan hilang dengan sekelip mata.
Datuk segera menjatuhkan kedua belah
tangannya. Datuk menggenggam penumbuk, tetapi jari kelingking kiri dan kanan
tidak dilipatkan, kedua-dua jari itu menunjuk ke bumi.
Bibir datuk bergera-gerak, sebaik saja
bibirnya berhenti bergerak, dengan pantas datuk menepuk tangan, ketika itu juga
terdengar satu ledakan yang amat kuat macam bunyi petir.
Seluruh kawasan itu dipenuhi dengan
kabus bercampur asap tebal, tidak ada satu pun yang dapat dipandang. Saya
segera memeluk pinggang datuk dengan sekuat hati.......
No comments:
Post a Comment