HIDUNG dan
mata, saya tekankan ke badan datuk dengan sekuat hati. Gegendang telinga saya
terus juga menangkap bunyi suara orang ketawa sambung-menyambung. Bila suara
orang ketawa itu berakhir, segera digantikan dengan bunyi tapak kaki binatang
yang sedang berlari, macam bunyi tapak kaki kerbau dikejar harimau.
Saya
ketakutan, bulu tengkuk meremang. Badan datuk saya paut sepenuh tenaga. Saya
tidak mahu berpisah dengan datuk. Dalam saat yang serba gawat itu, saya rasa
bahu kanan saya di pegang oleh orang. Badan saya terus menggeletar.
"Tamar
kau cucu tuk," saya terdengar suara datuk cukup jelas. Tangan yang
terlekap atas bahu saya segera bergerak ke kepala.
"Cucu
tuk harus berani, hanya orang yang berani dan tegas saja yang boleh hidup dalam
dunia yang penuh dengan tipu daya manusia," tambah datuk sambil
menepuk-nepuk kepala saya.
Saya
segera memisahkan muka saya yang terlekap di badan datuk. Kelopak mata pun saya
buka luas-luas. Saya jadi tergamam sebentar sambil mengkedutkan kulit dahi. Ada
sesuatu yang aneh terasa dalam diri. Saya segera terfikir, apakah saya bermimpi
atau berada dalam alam khayalan. Saya segera meraba kulit pipi, batang hidung
dan daun telinga. Kemudian ibu jari saya gigit sekuat hati hingga terasa sakit,
ternyata saya tidak bermimpi. Saya berada di alam nyata, batang tubuh saya
terpacak di atas bumi di halaman rumah Dumba di malam yang tidak berapa pekat.
"Tuk,
apa dah jadi," tanya saya.
"Kita
diuji dan diperdayakan, kita harus melawan. Jika kita lari bererti kita akan
mati," jawab datuk sambil meletakkan tapak tangan kanannya di atas bahu
kiri. Tangan kirinya diluruskan. Kaki kanannya dibengkukkannya sedikit,
manakala kaki kirinya tetap dalam keadaan lurus.
Bunyi
angin yang merempuh dedaun pinang dan kelapa cukup kuat kedengaran. Putik-putik
kelapa dan pinang berguguran ke bumi, macam bunyi buah mempelam gugur yang
pokoknya digoncang oleh manusia. Datuk segera merenung langit malam, ada bulan
berbentuk sabit yang mula didekati oleh awan hitam berbentuk kepala burung
geruda. Angin terus menderu, sayup-sayup terdengar suara jampuk miang meningkah
suara burung hantu mengilai di hujung dahan, sesekali terdengar bunyi raungan
serigala di kaki bukit. Semuanya menjadikan suasana malam itu cukup seram dan
menakutkan. Bila saya renung ke arah kaki bukit, terlihat kabus putih memanjang
naik ke udara, kabus itu bagaikan bergerak menuju pada saya dan datuk dalam
bentuk lembaga manusia bermata satu. Biasanya kabus tidak akan terus naik menuju
ke langit tetapi, kabus yang saya lihat ini, memang ganjil pada bentuknya yang
seakan-akan bentuk pokok besar tanpa dahan dan ranting. Dalam keadaan bentuk
pokok besar itu, ia kelihatan menembusi langit.
Saya jadi
bodoh dengan keadaan yang begitu pelik. Tiba-tiba kabus yang berbentuk pokok
itu mengepung diri saya dan datuk. Apa yang wujud di hadapan kami ialah
pemandangan yang semuanya kelihatan putih macam kain kapan pembalut mayat.
Datuk masih tidak berganjak dari tempat asalnya. Dia bagaikan tidak ambil kisah
apa yang terjadi di hadapan matanya. Dalam sekelip mata kabus yang berbentuk
pokok besar itu menjadi manusia berkepala tengkorak. Dari leher ke perut
berbentuk badan ular sawa. Dari bahagian perut hingga ke bahagian lutut
berbentuk ruas buluh. Anehnya, mereka tidak mempunyai kaki untuk memijak bumi,
keadaannya tergantung-gantung. Jumlahnya pula bukan sedikit.
Semua
manusia tengkorak itu bergerak sambil mengeluarkan suara ketawa yang memanjang,
manakala bahagian mata yang berlubang mengeluarkan beribu-ribu kelip-kelip atau
kunang-kunang. Semua kunang-kunang itu menuju ke arah datuk, macam lebah yang
keluar dari sarang kerana di kacau orang. Seluruh tubuh dauk digayuti oleh
kunang-kunang itu, datuk terus melompat sambil berkata : Allah hu Akhbar tiga
kali berturut-turut. Habis saja datuk menyebut perkataan tersebut,
kunang-kunang itu hilang.
Datuk
terus membaca sesuatu sambil membuka kain ikat kepalanya. Dalam saat yang sama
terdengar ledakkan. Api pun menjilat seluruh kawasan tempat lembaga putih berdiri.
Suara tangisan mula kedengaran, bila api yang marak itu paam. Saya dan datuk
tetap berada di tempat asal iaitu di halaman rumah Dumba.
"Kita
pulang Tamar, kalau kita mara padah buruk menanti kita," bisik datuk pada
saya. Kami pun mula melangkah untuk pulang. Saya merasa amat kecewa dengan
sikap datuk kali ini. Datuk tidak mahu melakukan sesuatu supaya perjalanan
pulang jadi cepat. Masa mahu datang ke rumah Dumba tadi, dia suruh saya
pejamkan mata sambil memaut bajunya. Kenapa masa mahu pulang datuk tidak mahu
melakukan hal sedemikian? Timbul pertanyaan dalam hati saya.
“Cara itu
dilakukan ketika ada hal yang dikirakan mustahak saja, tak boleh digunakan ikut
suka hati,” tanpa diduga datuk menyelesaikan masalah yang menghantui fikiran
saya. Pelik juga, saya tidak bertanya, saya tidak mengeluh. Tetapi, datuk tahu
apa yang tersurat dalam hati. Itulah istimewanya datuk saya. Kami terus
melangkah dengan tenang dalam malam yang dingin memburu subuh. Kokok ayam
sayup-sayup kedengaran bersama titik air embun subuh yang menjamah wajah saya
dan datuk.
“Melihat
pada kedudukan bulan sabit, tiupan angin dan gerak awan, sekarang dah pukul
empat pagi,” kata datuk ketika memasuki sebuah lorang kecil yang menuju ke
jalan raya. Kiri kanan lorong itu ditumbuhi dengan pokok-pokok keduduk yang
bergoyang, saya terlihat seperti ada bayang-bayang manusia melintas di hadapan
kami.
“Apa benda
tu tuk?”
“Kau
diam.”
Saya terus
mengigit bibir. Bayang-bayang iu ghaib entah ke mana. Dalam keadaan yang serba
pelik itu, muncul pula seekor kucing hutan yang berbulu tebal, matanya merah
menyala merenung ke arah saya dan datuk sambil membuka mulutnya luas-luas,
mempamirkan kedua siung giginya putih dan tajam. Kucing hitam itu juga ghaib
dalam sekelip mata.
“Sudahlah,
tak guna bersembunyi, ilmu dunia tidak ada yang kekal, semuanya bersifat
sementara dan ilmu itu akan lemah kuasanya mengikut umur dan kekuatan diri
kita, bukankah kita ini hamba Allah,” saya terdengar suara datuk bercakap ke
arah tempat bayang-bayang manusia dan kucing hitam itu ghaib. Bila datuk
selesai bercakap, terdengar salakan anjing macam mengejar sesuatu di kawasan
yang tidak jauh dari tempat kami berhenti. Saya dan datuk meneruskan
perjalanan.
Kali ini
langkah datuk cukup panjang dan laju. Saya terpaksa berlari-lari anak untuk
menyamakan langkah saya dengan langkahnya. Hasilnya, saya termengah-mengah dan
badan terus berpeluh dalam dingin subuh. Datuk dan saya sampai ke kaki tangga
masjid. Datuk terus membasuh kaki dan badan di perigi, kemudian datuk mengambil
air sembahyang, selalu bila datuk berada dalam masjid dia terus membaca Quran
hingga terentak waktu subuh. Masa yang sedikit itu saya gunakan untuk tidur.
“Bangun,
jangan tidur bertemankan syaitan,” datuk goncang badan saya yang tersandar di
tiang masjid. Bila saya buka kelopak mata, saya dapati orang-orang kampung
sudah berada dalam masjid. Saya juga diberitahu oleh datuk yang azan sudah
dilaungkan oleh salah seorang para jemaah.
“Saya
mimpi tuk.”
“Mimpi
apa?”
“Saya
terdengar suara orang menyanyikan lagu Pasir Roboh tuk.”
“Ah, yang
kau dengar tu suara azan, syaitan cuba mengkhayalkan kau, pergi ambil air
sembahyang,” sergah datuk. Saya pun terus ambil air sembahyang dan menunaikan
fardhu Subuh.
“Hebat
juga awak malam tadi,” ujar Mahyuddin.
“Saya tak
faham dengan apa yang awak cakap.”
“Tak faham
atau sengaja tidak mahu faham,” Mahyuddin tepuk bahu datuk dan terus melangkah
pulang.
Saya yang
berdiri dekat datuk segera kedutkan dahi. Pelik juga saya memikirkan kata-kata
Mahyuddin itu? Apakah peristiwa yang terjadi malam tadi ada hubungannya dengan
diri Mahyuddin. Saya juga tidak dapat mempastikan antara Dumba dengan Mahyuddin
siapa yang lebih awal datang ke masjid, saya juga tidak tahu adakah mereka
bertegur sapa antara satu sama lain.
MANDI
Pagi itu saya dan datuk berjalan ke arah utara masjid, mencari air embun di hujung daun untuk disapu ke muka dan badan. Bila matahari pagi berada di paras pucuk kelapa dara, kami kembali ke masjid sebentar.
Pagi itu saya dan datuk berjalan ke arah utara masjid, mencari air embun di hujung daun untuk disapu ke muka dan badan. Bila matahari pagi berada di paras pucuk kelapa dara, kami kembali ke masjid sebentar.
"Kau
tunggu di sini, biar aku yang masuk," datuk menyuruh saya berdiri di kaki
tangga. Dia pun melangkah ke dalam masjid. Kira-kira tiga minit kemudian datuk
keluar dari masjid dengan wajah yang tidak begitu riang.
"Aku
sudah berjanji, kalau tidak aku mahu balik saja hari ini," datuk semacam
mengeluh di hadapan saya. Sebelum datuk melangkah dia terus membaca sepotong
ayat dari Quran, mohon pada Allah semoga perjalanannya ke tempat yang dituju
tetap selamat dan diberkati.
Di bawah
sinar matahari pagi yang cerah, saya mengikuti langkah datuk yang tidah saya
ketahui arah tujuannya. Bila saya dapati datuk tidak melencung dari jalan tanah
merah yang dilalui, saya sudah dapat menduga yang datuk mahu pergi ke kedai
Dumba. Saya gembira kerana perut saya akan diisi dengan nasi lemak dan kopi.
Dumba
menyambut kedatangan kami di muka pintu dengan wajah yang riang. Dia memeluk
tubuh datuk sambil menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga pada
datuk.
"Saya
sangka awak dah lupa dengan janji awak pada saya, malam tadi saya tunggu di
rumah sampai pukul tiga pagi tapi, awak tak datang," Dumba merungut di
depan datuk. Saya lihat datuk mempamirkan senyum. Sepasang matanya meraut
seluruh wajah Dumba. Bila datuk merenung dengan tepat pada kedua-dua anak mata
Dumba, cepat-cepat Dumba mengalihkan pandanyannya ke arah lain. Dia bagaikan
tidak mampu menahan sinar anak mata datuk yang tajam dan bercahaya itu.
Dumba
menarik datuk ke dalam kedai tanpa mahu mendengar jawapan dari datuk atas
pertanyaan yang diajukan olehnya.
"Jangan
duduk di sini, mari kita masuk ke bilik saya." ujar Dumba ketika datuk
menarik bangku untuk duduk dalam ruang kedainya. Datuk renung ke arah bilik
yang ditunjukkan oleh Dumba dengan jari telunjuknya.
Bilik
tersebut terletak di bahagian dapur kedai yang dipisahkan oleh satu ruang khas
selebar empat kaki. Pintu bilik dibuat dari papan yang sudah diketam tanpa
palang zig-zag. Ada dua pasu bunga terletak di kiri kanan pintu yang ditanam
dengan pokok daun hati-hati serta lidah buaya.
Dumba buka
pintu. Kami pun masuk dan duduk bersila di lantai menghadapi sebuah meja
panjang yang rendah. Bentuk meja itu hampir menyerupai meja yang digunakan oleh
orang Jepun untuk minum teh. Tiang meja dibuat dari buluh, begitu juga dengan
bahagian permukaan meja dianyam dengan buluh yang terlalu indah dan seni
pembuatannya. Beberapa pokok buluh aur, buluh betung dan buluh lemang ditanam
dalam pasu besar pada setiap sudut bilik menjadikan suasana dalam bilik itu
cukup tenang dan aman tetapi, agak seram. Seorang pekerjanya masuk lalu
meletakkan tiga cawan kopi bersama tiga pinggan kecil nasi lemak. Dumba duduk
bersila di sebelah meja buluh tersebut.
"Minum
dan makanlah ini yang ada untuk awak berdua," kata Dumba.
Saya pun
memperkemaskan sila lalu membongkok untuk memegang tangkai cawan. Secara
mendadak datuk mendehem sambil menepuk pangkal paha kanan saya. Saya tidak jadi
memegang tangkai cawan.
"Minum
jangan segan-segan," suara Dumba cukup ramah.
Datuk
anggukkan kepala sambil menyeluk saku bajunya. Datuk mengeluarkan secebis kain
merah yang selalu digunakan untuk mengikat kepalanya, kain itu datuk genggam.
Datuk tarik nafas panjang-panjang. Sepasang mata datuk merenung air kopi di
dalam cawan dengan renungan yang amat luar biasa sekali. Saya terkejut, cwan di
hadapan saya dan datuk kelihatan merekah dan akhirnya terus pecah berkecai, air
kopi melimpah atas meja buluh. Pinggan nasi lemak terbalik dengan sendirinya.
Dumba
terus memegang bibir meja, suasana cerah dalam bilik segera bertukar menjadi
agak kelam, macam hari mahu hujan. Saya tidak berbuat apa-apa. Punggung saya
bagaikan terpaku di lantai. Tidak boleh bergerak walau seinci pun. Kerongkong
saya tiba-tiba terasa sakit dan pedih untuk menelan air liur. Antara datuk dan
Dumba bagaikan ada pertarungan secara kebatinan. Masing-masing menggunakan
tenungan kekuatan kuasa mata. Saya lihat datuk meletakkan ibu jari kirinya atas
muka meja. Ibu jari itu datuk tekan hingga bahagian yang ditekan itu
mengeluarkan asap serta berlubang.
"Saya
senang berhadapan dengan awak Dumba, kita boleh mencarikejujuran di sini,"
suara datuk parau. Urat matanya kelihatan merah tersembul. Dumba berhenti
memegang bibir meja, bahagian bibir meja yang dipegangnya kelihatan hitam.
Dumba termenung sejenak.
"Saya
bukan orangnya untuk awak jadikan musuh," tambah datuk sambil berdiri.
Dada saya
terasa panas macam ada bara api di dalamnya. Saya cuba bangun tetapi, tidak
berdaya, punggung terasa berat. Dumba terus duduk bertafakur, kedua belah ibu
jarinya didekatkan ke lubang hidung. Datuk mula bersikap kurang ajar. Datuk
pijak dada meja yang dibuat dari buluh. Dumba tidak juga bergerak dari
tempatnya. Perlahan-lahan Dumba meletakkan tangan kanannya di atas meja, ketika
itu juga cahaya panas mula masuk ke dalam ruang bilik. Batang tubuh datuk yang
berdiri mencipta bayang yang memanjang di atas lantai. Dumba bangun bagaikan
kilat lalu melintasi bayang datuk sambil menghembuskan nafas dengan sekuat hati
pada ibu jari kirinya yang terlekap di hidung.
"Dumba
jangan khianati aku," pekik datuk sambil menundukkan badan. Hembusan angin
dari hidungnya tepat mengenai tiang bilik. Tiang itu berasap dan berlubang.
Saya kira kalau hembusan angin dari hidung Dumba kena pada tubuh datuk, tentu
tubuh datuk berlubang dari belakang hingga ke dada.
Bila asap
di tiang itu hilang, saya lihat di lantai pangkal tiang ada habuk dalam bentuk
abu yang berkilat-kilat. Datuk menepuk dadanya dengan tangan kiri. Habuk yang
terkumpul segera berselerak menjadi dua bahagian. Bahagian pertama menjadi
serbuk kaca yang halus, manakalan bahagian kedua terdiri dari miang-miang buluh
bercampur dengan sejenis getah dari pokok Ipoh. Dumba tersandar di dinding
bilik. Dia kelihatan tidak bermaya. Kemudian jatuh perlahan-lahan dan terduduk
di situ. Seluruh mukanya berpeluh.
"Mengakulah
Dumba, semua kejadian yang berlaku di sini, puncanya dari kau. Aku tahu kau mahu
menguji aku, sebab itu kau kenakan pemandu lori balak yang minum di kedai
kamu," datuk meluahkan perasaannya.
Dumba
tidak berkata walau sepatah pun. Saya menarik nafas dengan rasa lega yang amat
sangat kerana saya boleh bergerak dan bangun. Dada saya yang terasa panas
kembali normal.
"Demi
Allah yang Maha Besar, kalaulah aku tahu niat kau dari mula-mula dulu, aku
tidak akan berjanji mahu menolong kau. Apakah daya keikhlasan dan kejujuran
hatiku sudah kau salah tafsirkan, kau mahu memperdayakan aku Dumba," datuk
terus mengeluh, wajahnya kelihatan muram, penuh dengan rasa hampa dan kecewa
yang amat sangat.
SINAR
Matahari yang bersinar garang di luar, membekalkan cahaya yang cukup bagi menerangi seluruh sudut bilik. Wajah Dumba yang terkena sinar matahari kelihatan pucat, macam wajah orang mati. Datuk segera menghampiri Dumba, datuk letakkan tangan kanannya atas bahu Dumba. Ketika itu juga saya lihat pergelangan tangan datuk menjadi hitam kebiru-biruan, macam tangan orang yang terkena bisa ular tedung. Datuk segera mengikat pergelangan tangannya itu dengan kain merah. Kelima-lima jari datuk menjadi hitam. Wajah datuk terus berpeluh-peluh. Peluh itu menitik ke atas badannya.
Matahari yang bersinar garang di luar, membekalkan cahaya yang cukup bagi menerangi seluruh sudut bilik. Wajah Dumba yang terkena sinar matahari kelihatan pucat, macam wajah orang mati. Datuk segera menghampiri Dumba, datuk letakkan tangan kanannya atas bahu Dumba. Ketika itu juga saya lihat pergelangan tangan datuk menjadi hitam kebiru-biruan, macam tangan orang yang terkena bisa ular tedung. Datuk segera mengikat pergelangan tangannya itu dengan kain merah. Kelima-lima jari datuk menjadi hitam. Wajah datuk terus berpeluh-peluh. Peluh itu menitik ke atas badannya.
Saya
terkejut dan hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat. Kelima-lima jari
datuk merekah dan retak seribu. Dari rekahan itu keluar air jernih menitik atas
lantai. Beberapa saat kemudian, keadaan kelima-lima jari datuk kembali dalam
keadaan biasa. Wajah Dumba kembali berdarah, tidak pucat macam wajah mayat.
"Dumba
aku mahu kau berterus terang dan marilah kita mencari sesuatu yang baik untuk
diri kita dan orang lain," nada suara datuk merendah. Dahi Dumba
digosoknya berkali-kali. Datuk terus duduk bersila di hadapan Dumba..
"Kau
ada masalah? Sila terangkan, kalau boleh aku atasi aku akan membantu kau,"
datuk renung muka Dumba. Saya lihat Dumba kedutkan keningnya. Sepasang mata
Dumba menatap tiap sudut bilik, bagaikan mencari sesuatu.
"Sebenarnya,
aku benci semuanya ini, tetapi aku tidak ada cara lain untuk mengatasinya, sama
ada aku mahu atau tidak aku terpaksa melakukannya."
"Apa
yang awak cakapkan ini?"
"Hal
yang kau lihat."
"Ilmu
santau yang kau amalkan ini."
"Ya
ilmu yang aku tuntut ini mengikat diri aku, kalau aku tidak melakukan dengan
apa yang aku janjikan ketika menuntut dulu, anak bini aku jadi korban."
"Kerana
sayangkan anak bini, orang lain kau korbankan."
"Ya
aku terpaksa."
Datuk
menggigit bibir. Dia masih kurang yakin dengan apa yang dikatakan oleh Dumba.
Dia merasakan kata-kata itu merupakan satu perangkap bagi Dumba untuk menguji
sejauh mana kekuatan diri datuk. Sesungguhnya, datuk tidak mahu dirinya diuji
atau dicuba. Datuk tahu dia serba kekurangan. Apa yang ada pada dirinya sekadar
cukup untuk melindungi dirinya sendiri.
"Maafkan
aku Dumba, apa yang terjadi bukanlah niat aku untuk mencabarmu, semua yang aku
lakukan kerana mahu menolong kau."
"Aku
faham," suara Dumba parau. Dia pun bangun sambil mengajak datuk duduk di
satu sudut bilik berdekatan dengan pokok buluh aur yang ditanam dalam pasu
besar. Pada mulanya, datuk memang keberatan untuk memenuhi permintaan Dumba
itu. Tetapi, setelah Dumba sendiri mengubah kedudukan pasu besar yang ditanam
dengan pokok buluh aur itu ke tempat lain, barulah datuk memenuhi
permintaannya.
"Ingat
Dumba yang kita cari kebaikan, bukannya pergaduhan."
"Saya
faham."
"Kalau
kau sudah faham, penuhi syarat dari aku."
"Apa
syaratnya."
"Duduk
berhadapan, kedua-dua kepala lutut kau bertemu dengan kepala lutut aku, tangan
kanan aku menindih tangan kanan kamu. Apa kamu setuju?"
"Setuju."
Datuk tersenyum. Dia dapat membaca hati dan perasaan Dumba. Dia mula sedar, Dumba benar-benar berniat baik. Dumba tidak akan melakukan sesuatu yang buruk pada dirinya. Sebenarnya, syarat yang dikenakan oleh datuk pada Dumba banyak membawa keuntungan pada diri datuk sendiri.
Datuk tersenyum. Dia dapat membaca hati dan perasaan Dumba. Dia mula sedar, Dumba benar-benar berniat baik. Dumba tidak akan melakukan sesuatu yang buruk pada dirinya. Sebenarnya, syarat yang dikenakan oleh datuk pada Dumba banyak membawa keuntungan pada diri datuk sendiri.
Saya tahu,
bila datuk mempertemukan kepala lututnya dengan kepala lutut Dumba, secara
tidak langsung datuk menguncikan pergerakan Dumba yang dikiranya akan bermula
dari gerakan kaki. Bila datuk menindih tangan kanan Dumba dengan sendirinya
racun santau yang berada di celah kuku Dumba akan menjadi tawar. Cukup bijak
datuk bertindak kali ini. Dia tidak mahu diperdayakan, fikir saya.
"Apa
masalah kamu Dumba," datuk renung biji mata Dumba.
"Aku
merasakan saat kematian aku sudah hampir, boleh jadi dalam tempoh sebulan dua
lagi."
"Macam
mana kau tahu semuanya ini?"
"Mengikut
firasat ilmu yang aku tuntut, menunjukkan ada tanda-tanda yang aku akan
mati."
"Salah
satu daripada contohnya Dumba?"
"Aku
selalu menangis bila mahu menunaikan janji yang aku buat ketika menuntut dulu.
aku takut dengan ilmu yang aku amalkan dan aku merasakan diri aku terlalu jauh
dengan Allah yang mencipta diriku dan Alam."
Datuk
memejamkan kelopak matanya. Saya terdengar bunyi daun pintu diketuk orang. Datuk
menyuruh saya membuka pintu. Bila pintu dibuka, tidak ada manusia di luar.
Tengkok saya mula terasa seram. Pintu saya rapatkan kembali. Bila saya mahu
duduk, terdengar lagi ketukan di pintu tetapi, kali ini datuk memberi isyarat
pada saya supaya jangan memperdulikan ketukan itu. Aneh, pintu itu terbuka
dengan sendiri dan tertutup dengan sendiri.
"Ceritakan
apa yang terniat dalam hatimu Dumba."
"Begini,
aku tidak akan menurunkan ilmu ini pada keturunan aku, kerana tidak
menguntungkan tetapi, bila ku mati, salah seorang daripada anak aku akan
mewarisnya dengan secara tidak langsung, perkara itu terjadi diluar pengetahuan
meraka dan kerelaan aku."
"Kalau
mereka menolak bagaimana?"
"Mereka
akan jadi korban, aku harap kau dapat menolong aku, aku sudah menguji kamu, aku
tahu kau boleh berusaha ke arah itu."
CERITA
Datuk menarik nafas panjang. Kemudian datuk minta Dumba menceritakan bagaimana hal itu boleh terjadi pada dirinya. Dumba pun bercerita dari A hingga ke Z. menurut Dumba dia berasal dari satu daerah di Mendiling - Sumatera Utara, tempat atau kampung halamannya di panggil Panai.
Datuk menarik nafas panjang. Kemudian datuk minta Dumba menceritakan bagaimana hal itu boleh terjadi pada dirinya. Dumba pun bercerita dari A hingga ke Z. menurut Dumba dia berasal dari satu daerah di Mendiling - Sumatera Utara, tempat atau kampung halamannya di panggil Panai.
Ayahnya
bekerja di ladang cengkih kepunyaan Belanda. Tuan punya ladang tersebut
mempunyai beberapa orang ketua pekerja yang terdiri dari orang-orang Indonesia
yang tidak bertimbang rasa, selalunya menyiksa para pekerja. Akibat dari
perbuatan ketua-ketua pekerja di situ membuat ayahnya masuk ke hutan dan
bertapa dalam sebuah gua dengan tujuan menuntut ilmu. Bila ayahnya keluar dari
tempat pertapaan, Ayahnya terus membalas dendam dengan menggunakan ilmu santau.
Akhirnya, ayahnya mengambil upah membunuh orang dengan ilmu yang dituntutnya.
"Walaupun
ayah saya handal tetapi, dia mati juga ditikam orang dengan ranting buluh
tumpat," kata Dumba dengan wajah yang sedih.
"Itu
saja ceritanya Dumba."
"Ada
lagi, kerana menuntut ilmu itu adik perempuan saya jadi korban, ketika ayah
menuntut adik saya di panah petir dan mayatnya terus hilang, menurut ayah, adik
saya memang dijadikan makanan syaitan tempat ayah menuntun ilmu."
Datuk menggaru
kepala yang tidak gatal. Sekali-sekala datuk menjeling ke arah saya sambil
mengerutkan dahinya. Saya tidak tahu apa yang datuk fikirkan. Suasan dalam
bilik yang tadi cerah tiba-tiba menjadi agak gelap. Saya segera bangun dan
membuka tingkap kecil di sudut bilik melihat ke langit. Ada awan mendung
bertompok-tompok tetapi, matahari masih bersinar, saya juga terlihat
titik-titik yang halus turun dari langit, Jam ketika itu saya kira baru pukul
sembilan pagi.
"Macam
mana dengan kau?" soal datuk.
"Bila
ayah meninggal dunia, saya membawa diri ke Perlis sambil mengamalkan ilmu yang
diajar oleh ayah pada saya, tujuannya untuk mempertahankan diri
tetapi....," Dumba terus berhenti bercerita, matanya merenung sayu pada
datuk dan saya. Datuk, tidak putus asa, dia terus mendesak Dumba bercerita.
Kata
Dumba, sampai di Perlis dia menetap di Kuala Perlis dan bekerja dengan kapal
kecil yang berulang alik dari Kuala Perlis ke Setul (sebuah tempat di
Selatan Siam), bila ada orang-orang Siam yang bersikap kasar dan menyakitkan
hatinya, dia menggunakan ilmunya untuk membinasakan mereka.
"Saya
akhirnya menikah dengan orang Kuala Perlis dan berpindah ke Alor Setar dengan
azam untuk membuang ilmu tersebut, tetapi usaha saya tidak berjaya, kerana saya
berazam mahu meninggalkannya, anak pertama saya mati muntah darah, sejak itu
saya terus mengamalkannya," kata Dumba. Saya dan datuk terus memasang
telinga.
"Dari
Alor Setar saya pindah ke Perak iaitu di Air Tawar, dekat Sitiawan,
ke Gopeng dan Hutan Melintang, setiap tempat saya bernaung memang
ada manusia yang jadi korban yang kadang-kadang berpunca dari perkara yang
kecil-kecil, saya dan keluarga saya jadi kera sumbang."
"Kemudian
apa yang kamu lakukan?"
"Saya
pergi ke Pahang dan akhirnya menetap di sini, saya tidak sanggup lagi nak jadi
pembunuh, paling kurang setahun mesti seorang saya korbankan dengan santau
kalau tidak diri saya akan jadi korban, saya tersepit sekarang," Dumba
berterus-terang dengan datuk.
Datuk
terus memisahkan kedua-dua kepala lututnya yang bertemu dengan kepala lutut
Dumba. Begitu juga dengan tangannya yang menindih tangan Dumba. Datuk mengisut
kebelakang hingga terjadi ruang jarak selebar dua kaki antara Datuk dan Dumba.
Di luar hujan rintik-rintik segera bertukar menjadi hujan panas yang agak lebat.
Tempiasnya masuk ke dalam bilik. Datuk tidak mengetahui isi hati Dumba sampai
ke akar umbinya. Bila semuanya perkara sudah diketahui akan memudahkan kerja
datuk.
"Awak
bermusuh dengan Mahyuddin?" soal datuk.
"Ya,
salah seorang anak sahabat karibnya jadi korban saya, perkara itu terjadi
secara tidak sengaja, ketika itu janji saya dengan ilmu yang saya tuntut sudah
cukup tempohnya, saya harus memberikan satu nyawa, orang yang saya pilih adalah
orang luar tetapi, ketika saya melepaskan santau dari kuku, anak sahabat karib
Mahyuddin melintas dan muntah darah."
"Mahyuddin
tahu hal ini?"
"Dia
tahu tetapi, usahanya untuk membinasakan saya tidak berjaya saya dilindungi
oleh ilmu saya."
"Kau
sebenarnya mahu membunuh aku pagi itu, kerana aku dapat tepis angin yang datang
pemandu balak itu jadi korban."
"Ya
saya mengaku, awak orang luar dan saya kira awak adalah mangsa saya, sayangnya
sangkaan saya tidak tepat, rupa-rupanya awak tidak berjalan dengan lidah dan
gigi saja, awak ada isi."
MENGELUH
Datuk mengeluh. Dia sudah mengetahui segala-galanya. Datuk terus bangun lalu menendang pasu yang berisi pokok-pokok buluh. Dumba hanya melihat apa yang daruk lakukan dengan mulut separuh terbuka.
Datuk mengeluh. Dia sudah mengetahui segala-galanya. Datuk terus bangun lalu menendang pasu yang berisi pokok-pokok buluh. Dumba hanya melihat apa yang daruk lakukan dengan mulut separuh terbuka.
"Kau
mahu memisahkan dirimu dengan ilmu Santau Dumba?" soal datuk.
"Ya."
"Pecahkan buluh yang jadi tiang meja ini," ujar datuk lagi. Dumba lakukan apa yang datuk perintahkan.
"Pecahkan buluh yang jadi tiang meja ini," ujar datuk lagi. Dumba lakukan apa yang datuk perintahkan.
Bila tiang
meja dari buluh itu dipecahkan, seluruh lantai bilik itu dipenuhi dengan
kaca-kaca yang halus, rambut dan serbuk dari miang buluh.
"Ini
ibu santau?" Tanya datuk. Dumba anggukkan kepala. Datuk tidak berani
menjamah benda-benda itu. Datuk seluk saku baju sebelah tangan.
(bersambung)....
No comments:
Post a Comment