Secebis kain hitam berbucu tiga dikeluarkannya. Datuk tahan
nafas sambil bibirnya bergerak-gerak. Perlahan-lahan datuk membuka tapak tangan
kanannya dan kain hitam itu digosoknya berkali-kali di tapak
tangan. Setiap kali datuk gosok tapak tangan dengan kain hitam, kaca-kaca
halus, dan serbuk dari miang buluh bergerak dan berkumpul di ruang tengah
bilik.
"Kau warisi ibu santau ini dari ayah kamu? Setiap kali ada
orang yang kau santau ibu santau ini akan bertambah, bila tidak ada orang yang
kau korbankan dia akan susut?", datuk ajukan pertanyaan pada Dumba. Saya
lihat Dumba anggukkan kepala.
"Kau mahu melupa dan membuangkan ilmu yang kau tuntut ini
Dumba?"
"Ya."
"Secara rela atas keinsafan bahawa ilmu syaitan ini tidak
diberkati oleh Allah atau secara terpaksa?"
"Secara ikhlas, saya mahu kembali ke jalan Allah, saya mahu
amal ibadah saya diterima oleh Allah. Sekarang saya sembahyang dan puasa, ikut
semua perintah Allah tetapi, saya membuat perkara yang ditegahnya."
Mendengar kata-kata Dumba itu, datuk terus renung wajah saya.
Beberapa saat datuk melagakan gigi atasnya dengan gigi bawah beberapa kali,
sambil mengecilkan mata kanannya. Bola matanya yang terlindung oleh kelopak
mata merenung jauh ke arah tertentu yang sukar saya gambarkan. Saya yakin,
apa yang datuk lakukan itu adalah satu sorotan secara kebatinan ke dalam hati
kecil Dumba.
"Kau ikhlas Dumba?"
"Ya, saya mahu bertaubat', ujar Dumba sambil menangis.
Bila tangisan Dumba berakhir, terdengar satu ledakan petir yang
amat kuat. Lantai tempat kami duduk bergegar. Muka meja yang dibuat dari
anyaman buluh berkecai atas lantai. Saya menerpa ke pintu. Daun pintu saya
tolak, saya lihat suasana di luar tetap tenang. Matahari bersinar dengan baik,
tidak ada hujan dan pekerja-pekerja di kedai itu tidak kelihatan cemas, mereka
tidak mendengar bunyi ledakan petir.
Daun pintu saya rapatkan kembali. Berdiri di situ sambil
merenung ke arah Dumba dan datuk yang duduk berhadapan. Kedua belah tapak
tangan kiri mereka bercantum. Mereka bersalam dalam keadaan yang luar biasa
sekali. Setahu saya, bersalam dengan tangan kiri hanya dilakukan oleh
anggota-anggota pengakap saja. Mereka bangun perlahan-Iahan, macam orang
membuka bunga silat di gelanggang. Tangan yang berjabat tidak juga terbuka.
Sekarang mereka sudah berdiri dengan betul. Berpandang wajah dan bertentang
mata.
Datuk menekan telapak tangan kirinya pada telapak tangan kiri
Dumba. Dan Dumba terus mempertahankan dengan penuh tenaga supaya dia tidak
jatuh. Tiba-tiba Dumba mengeluh dan badannya kian merendah. Dia tidak berjaya
memisahkan telapak tangan kirinya yang bagaikan bercantum dengan telapak tangan
kiri datuk. Dumba terduduk dan datuk segera menarik telapak tangan kirinya.
Bila telapak tangan kiri datuk berpisah dengan Dumba, muka datuk kelihatan
berpeluh.
"Sampai saat-saat begini, kau masih mahu menguji aku
Dumba?"
"Saya tidak berniat begitu tetapi, saya bagaikan dipaksa
berbuat begitu."
"Sebagai manusia yang ada pengalaman dalam hal ini, kau
tentu dapat merasakan dari arah mana perintah tersembunyi itu datang?"
"Dari sebelah kanan."
"Aku rasa, kekuatan itu mengikut tekanan angin yang bertiup
dari sebelah kanan badan kau Dumba."
"Ya."
Datuk terus menekan pangkal belikat kirinya. Kemudian datuk
terus duduk bersila panggung. Tumit kaki kanannya yang menindih kaki kiri
dirapatkan ke pangkal pusat. Dengan meluruskan tangan kiri, datuk menekan
hujung jari kaki kanan dengan jari kaki kiri. Cara duduknya, tidak ubah seperti
pendekar yang mahu memberikan tauliah pada anak murid yang sudah tamat menuntut
ilmu silat.
Perlahan-lahan datuk merenung dinding bilik, macam mencari
sesuatu. Datuk senyum, apa yang dicarinya sudah ditemui. Datuk menggamit saya
yang masih berdiri dekat pintu. Saya segera datang dan duduk di sisinya.
"Apa yang aku duga memang tidak lari, ada lubang rahsia
unluk angin masuk ke dalam. Kenapa ini kau rahsiakan dari aku Dumba?",
suara datuk meninggi. Dia tidak merenung ke wajah Dumba.
"Saya sebenarnya tidak tahu", balas Dumba.
Datuk termenung panjang. Dia anggukkan kepala beberapa kali,
bagaikan setuju dengan apa yang dicakapkan oleh Dumba itu. Datuk meluruskan
badannya seketika. Perlahan-lahan dia memusingkan badannya lalu berhadapan
dengan dinding rumah.
"Dumba, kau rapat ke dinding mengikut arahan telunjuk
aku", kata datuk sambil menuding jari telunjuk ke dinding. Dumba bangun
dan mematuhi cakap datuk.
"Tutupkan lubang itu dengan kain ini", sambung datuk
lagi sambil melemparkan secebis kain kuning sebesar dua jari pada Dumba. Dumba
sambut kain tersebut sambil anggukkan kepala.
"Sumbat cepat", ujar datuk lagi dalam nada suara yang
agak meninggi. Puas Dumba mencari lubang yang dikatakan itu tidak juga
ditemuinya.
"Kau duduk di situ dan mengisut perlahan-lahan ke arah
dinding, bila aku kata berhenti kau berhenti", arahan yang dikeluarkan
oleh datuk dipatuhi oleh Dumba dengan hormat. Dumba pun mengisut. Lebih kurang
dalam jarak satu kaki mahu sampai ke tepi dinding, datuk menyuruh Dumba
berhenti mengisut.
Satu arahan lagi datuk keluarkan untuk Dumha. Datuk suruh Dumba
hulurkan tangan kanannya yang memegang kain kuning ke depan. Dumba lakukan
dengan teliti hingga telapak tangannya yang mengenggam kain kuning itu bertemu
dengan dinding. Dumba terkejut besar, dia berhadapan dengan satu lubang kecil
sebesar wang siling lima puluh sen. Aneh, sudah bertahun-tahun aku gunakan
bilik ini, tetapi aku tidak tahu yang dinding ini berlubang, bisik hati kecil
Dumba. Keningnya kelihatan berkerut.
"Sumbat lubang tu', pekik datuk. Dumba segera menyumbat
lubang itu dengan kain kuning. Tiba-tiba saya dapati seluruh ruang bilik
jadi gelap gelita buat beberapa saat. Bila keadaan kembali terang, Dumba segera
mendapatkan datuk kembali.
"Saya tahu sekarang, bila saya duduk dengan membelakangai
dinding tersebut, saya selalu merasai diri saya ini cukup bertenaga dan mampu
melakukan apa saja", Dumba menyatakan pada datuk. Saya lihat datuk
tersenyum. Tanpa menyebut sesuatu datuk terus bangun. Melangkah ke tengah ruang
bilik. Berdiri di situ dengan kedua belah tangannya memeluk tubuh. Matanya
merenung tajam pada serbuk kaca, rambut dan serbuk dari miang buluh yang
berkumpul di situ. Lama juga datuk merenung benda-benda ganjil itu, serbuk kaca
kelihatan berkilau-kilauan.
"Carikan aku besi berlubang sepanjang enam inci
Dumba", datuk mohon pertolongan dari Dumba. Tanpa membuang masa Dumba
terus menuju ke arah peti hitam yang terletak di sudut bilik. Bila penutup peti
hitam yang dibuat dari kayu Medang Sawa itu dibuka, kelihatan kepul asap yang
nipis naik ke udara. Tanpa memperdulikan kepulan asap terscbut, Dumba
hulurkan tangan kedalam peti tersebut. Dia berjaya mengambil dan mengeluarkan
besi bulat sepanjang enam inci. Dengan tenang dia melangkah menghampiri datuk
dan serahkan besi itu pada datuk. Dengan menggunakan kain hitam sebagai lapik
telapak tangan, datuk menerima besi tersebut.
"Memang bekas asalnya", suara datuk merendah sambil
merenung besi tersebut dari hujung ke pangkal beberapa kali.
"Memang betul", jawab Dumba.
"Dulu kau menerimanya dengan menggunakan besi ini, dan sekarang
kita matikan kekuatannya dengan besi ini", balas datuk.
"Saya mengikut saja"
"Itu yang aku harapkan dari kau Dumba"
Datuk terus membongkok sambil menyumbat sesuatu ke pangkal besi
bulat tersebut. Besi bulat sepanjang enam inci itu diletakkan bcrdekatan dengan
scrbuk kaca, rambut dan miang buluh. Datuk tegakkan badannya kembali. Berdiri
dengan meletakkan telapak tangan kanan ke atas bahu kiri. Kaki kanannya
dilangkah setapak ke depan. Datuk jatuhkan tangan kanan seperti keadaan asal.
Lagi sekali datuk membongkok dan memusingkan badannya melepasi longgokan serbuk
kaca, rambut dan miang buluh. Datuk meniarap atas lantai.
Perlahan-lahan dia menghembus benda-benda tersebut dan dengan
perlahan-lahan pula benda-benda itu bergerak dan terus masuk ke dalam lubang
bcsi sepanjang enam inci itu.
Bila semua benda-benda itu berada dalam lubang, datuk segera
menyumbat bahagian pangkal lubang besi itu dengan segumpal kain
hitam. Saya terkejut, dengan tiba-tiba sahaja besi sepanjang enam inci itu
menjadi merah, seperti besi yang dibakar. Datuk membiarkan besi itu disitu.
Bila besi itu menjadi hitam macam kayu arang, barulah datuk mengambilnya dengan
menggunakan kain hitam juga.
"Ke mari Tamar", kata datuk. Saya segera
menghampirinya dan Dumba yang tidak dipanggil juga ikut menghampirinya. Datuk
memandang wajah kami dengan tenang.
"Cuba lihat"
Biji mata saya dan Dumba tertumpu pada tempat yang ditunjukkan
oleh datuk. Saya gelengkan kepala beberaopa kali sambil menggigit lidah.
"Terbakar", kata Dumba.
"Mestilah, ini menunjukkan betapa bisanya ibu santau yang
kau simpan, tempat habuk-habuk itu berkumpul jadi macam arang", balas
datuk. Dumba terdiam seketika. Wajahnya mempamerkan rasa kesal.
"Serbuk santau ini, bila dah masuk ke dalam tubuh manusia
semua saluran darah jadi rosak, kau tengok Dumba betapa tidak baiknya santau
kepada manusia". Dumba hanya menggigit bibir mendengar cakap datuk itu.
Saya anggukkan kepala beberapa kali.
Tanpa membuang masa lagi, datuk terus memasukkan besi sepanjang
enam inci ke dalam buluh kuning yang panjangnya kira-kira satu kaki, ukuran
lubang buluh itu kira-kira satu hingga dua inci. Datuk balut buluh kuning
itu dengan kain hitam. Buluh kuning itu datuk perolehi dari dalam bilik itu
juga. Datuk letakkan buluh kuning yang sudah berbalut itu atas peti hitam.
"Aku harap semuanya sudah selesai segala petua dan langkah
sudah aku buat sebaik-baiknya, kalau ada ujian dari syaitan kita hadapi
bersama", dengan tenang datuk menujukan kata-kata itu pada
Dumba. Datuk terus melangkah ke pintu. Dia buka daun pintu lebar-lebar.
Datuk berdiri disitu merenung ke langit. Daun pintu datuk rapatkan
kembali. Semua gerak-geri datuk diperhatikan oleh Dumba dengan ekor
matanya. Saya kira, Dumba belum begitu yakin dengan niat datuk untuk berbuat
baik dengannya.
"Meniarap", pekik datuk dengan sekuat hati.
Bagaikan ada satu kuasa yang mendorongkan saya merebahkan badan
dengan begitu pantas atas lantai. Dumba juga demikian. Bila saya renung arah
datuk saya dapati datuk juga sudah merapatkan badannya atas lantai. Ketika
itu juga saya terdengar deru angin yang cukup kuat dalam bilik tersebut, angin
itu berpusing-pusing dalam empat penjuru bilik. Semua yang berada dalam bilik
tersebut berterbangan. Bila bunyi deru angin itu berakhir, saya terdengar bunyi
suara ledakkan yang tidak berapa kuat.
"Bangun", kata datuk.
Saya dan Dumba segera bangun. Ketika itu juga saya lihat pintu
bilik terbuka dengan lebarnya, beberapa keping kertas melayang-layang keluar
ikut pintu tersebut. Bila keadaan sudah kembali tenang, datuk segera
menghampiri saya dan Dumba. Secara mendadak saja, hati saya menjadi cemas dan
berdebar tidak menentu. Perkara yang tidak pernah saya fikirkan, berlaku di
hadapan mata saya sendiri. Dumba menangis teresak-esak sambil memaut lutut
datuk.
"Jangan buat begitu Dumba, cara yang kau lakukan ini
seperti menyembah dan mendewa-dewakan aku, perbuatan ini salah, tidak ada yang
mulia di antara kita, kerana kita semuanya hamba Allah", kata datuk.
Ternyata Dumba tidak menghiraukan kata-kata datuk itu. Dia terus
memeluk lutut datuk. Dengan kasar datuk menolak Dumba hingga terlentang atas
lantai. Dumba berguling-guling sambil menangis. Saya jadi kelam-kabut melihat
keadaan yang serba ganjil itu. Datuk yang tadi kelihatan tenang dan lembut
segera bertindak agak kasar. Tangan kanan Dumba disambarnya serta dipulaskannya
ke belakang.
"Apa kena kau Dumba?"
"Masanya sudah sampai"
"Apa yang sampai?"
"Saya akan mati tuan, hari ini saya akan mati tuan"
"Mana kau tahu?"
"Saya tahu tuan, bila besi yang saya berikan pada tuan tadi
dimasukkan ke dalam buluh kuning, kuasanya akan hilang. Ayah saya dulu, secara
tidak sengaja telah memasukkan besi itu ke dalam buluh kuning, akhirnya dia
mati dibunuh orang."
Datuk terus menggigit bibir sambil mengerutkan keningnya. Dia
jadi serba salah bila berhadapan dengan orang yang teguh keyakinannya pada
sesuatu perkara yang tidak berasas. Datuk sedar keyakinan yang ada dalam diri
Dumba itu secara tidak langsung menafikan kekuasaan Allah. Meskipun tangan Dumba
dipulas agak kuat, kesannya tidak ada pada Dumba. Dia terus meronta-ronta
seolah-olah dia tidak mengalami sebarang rasa sakit.
Dalam saat-saat yang mencemaskan itu, saya lihat datuk terus
membaca surah Al-Fatihah beberapa kali. Kemudian datuk merapatkan mulutnya ke
telinga Dumba sambil membaca surah Al-Ikhlas. Sebaik saja ayat-ayat dari surah
itu tersebut datuk tamatkan, saya lihat Dumba terdiam. Tidak menangis dan tidak
meronta-ronta lagi.
"Dumba"
"Ya"
"Tahukah kau ajal maut seseorang terletak pada Allah, tidak
ada manusia di dunia ini boleh menentukan tarikh kematian seseorang, walaupun
orang itu pandai melangit, kaya dengan ilmu batin, kaya dengan seribu petua dan
langkah."
"Tetapi, ayah saya sudah membuktikan kebenaran itu."
"Itu terjadi secara kebetulan saja, kalau ayah awak tidak
memasukkan besi itu ke dalam buluh kuning, dia akan mati juga, kerana janjinya
sudah sampai", datuk melepaskan tangan Dumba dan termenung sejenak.
Sepasang matanya merenung wajah datuk.
"Dumba, memang menjadi tabiat orang-orang Melayu yang
mengamalkan ilmu dunia, perkara yang berlaku secara kebetulan itu dianggap
sebagai perkara yang benar dan mesti, mereka sudah melupakan kebesaran Allah,
akal fikiran yang diberikan oleh Allah pada mereka tidak dimanfaatkan dengan
sebaik-baiknya, di sinilah syaitan memesongkan iktikad kita sebagai orang
Islam", datuk memberikan ceramah singkat.
Saya lihat Dumba terdiam. Dia sandarkan badannya ke dinding
sambil melihat pokok-pokok buluh di dalam biliknya yang sudah lintang-pukang kedudukannya.
Daun buluh juga sudah kelihatan layu. Datuk segera bangun lalu mengambil buluh
kuning yang terletak atas peti hitam. Buluh kuning itu diletakkan di celah
ketiak kirinya.
"Mari kita selesaikan kerja ni, Dumba."
"Ke mana lagi tuan."
"Jangan panggil aku tuan, panggil nama atau kawan kawan
saja', ujar datuk sambil melangkah ke pintu. Saya segera bangun begitu juga
dengan Dumba. Sampai di muka pintu, datuk berhenti sebentar. Dia merenung ke
arah saya dan Dumba.
"Ke mana kita nak pergi?", soal Dumba dengan nada
suara yang agak cemas.
"Ke hutan mencari kolam tinggal untuk membuang ini",
balas datuk sambil menunjukkan buluh kuning yang terkapit di celah ketiaknya.
Tanpa membuang masa lagi kami keluar dari bilik khas Dumba yang
terlelak di bahagian belakang kedainya. Ketika melintas di ruang kedai,
saya lihat ramai juga orang yang minum kopi di situ. Dumba terus menemui salah
seorang pekerja sambil bercakap sesuatu. Lepas itu Dumba kembali mengekori
datuk hingga ke tepi jalanraya. Datuk merenung ke langit lagi.
"Cuaca baik", katanya.
"Ke mana kita nak pergi tuk?"
"Ke bukit sana", telunjuk datuk mengarah ke sebuah
bukit yang letaknya cukup jauh, nampaknya berbalam-balam dari tepi jalan.
Saya mula membayangkan tentang kcsusahan yang akan dialami untuk
sampai ke tempat tersebut. Saya terbayangkan pacat gunung yang laparkan darah,
saya terbayang binatang-binatang buas dan akar-akar kayu. Mahu saja saya
mencadangkan pada datuk, supaya membatalkan hasratnya itu. Tetapi, saya tidak
berani menyuarakannya pada datuk.
"Mari, jangan buang masa lagi", datuk pun melangkahkan
kaki kanannya. Saya dan Dumba juga melangkah tetapi saya tidak berapa pasti
sama ada saya melangkah kaki kanan atau kaki kiri dulu. Bagi saya, kaki
kanan atau kiri tetap sama. Pokoknya, mesti sampai ke tempat yang
dituju. Itu pendapat saya, pendapat seorang cucu yang berani-berani takut
dengan datuknya. Satu sikap yang tidak wajar wujud dalam diri seseorang yang
mahu menjadi orang berilmu macam datuk. Kerana itu agaknya, saya tidak punya cita-cita
walau sebesar biji saga untuk jadi macam datuk. Tetapi, saya terhibur
mengikutinya ke mana-mana.
Lebih kurang setengah batu kami berjalan kaki di tepi jalan raya
menuju ke arah Tajung Malim. Sampailah kami di satu selekoh berdekatan dengan
sebuah bukit kecil, datuk menyuruh kami berhenti berjalan.
"Kita masuk ikut ini", kata datuk.
"Awak tahu jalannya?", tanya Dumba.
"Ikut saja cakap saya", balas datuk sambil tersenyum
memandang ke arah saya. Saya keberatan sekali untuk melangkah kaki masuk ke
dalam hutan kecil di tepi jalan yang dipenuhi dengan rimbunan pokok-pokok yang
subur. Beberapa orang pemandu kenderaan yang lalu dijalanraya merenung ke
arah kami yang berdiri di tepi jalan. Mereka merasa hairan melihat kami herdiri
di situ sambil merenung ke bukit kecil. Badan saya mula berpeluh dipanah
matahari yang cukup terik. Melihat kedudukan matahari ketika itu, saya
meramalkan sudah hampir pukul dua belas tengahari.
"Mari", datuk terus menarik tangan saya ke dalam hutan
kecil. Dumba mengikut dari belakang. Lebih kurang dua puluh minit bcrjalan,
saya sudah tidak mendengar bunyi kenderaan di jalanraya. Kiri kanan saya
di penuhi dcngan pokok-pokok besar yang tinggi. Cuaca agak lembab, sinar
matahari tidak dapat menembusi kawasan yang kami lalui kerana dilindungi oleh
pokok-pokok besar. Suara burung liar bersahut-sahutan, di samping suara reriang
rimba yang memanjang dan menyeramkan. Perjalanan saya tidak begitu lancar, saya
terpaksa melangkah dengan hati-hati supaya tidak tersepakkan akar-akar rotan, dan
kayu yang menjalar di situ.
Saya lihat Dumba tidak mengalami masalah seperti yang saya
hadapi. Dia melangkah dengan rancak dan bersemangat. Tetapi, wajahnya sentiasa
dibayangi rasa cemas, sesekali dia mengeluh macam orang yang putus
asa. Datuk terus juga melangkah tanpa memperdulikan keadaan diri saya dan
Dumba. Dia tidak mahu ambil tahu sama ada kami merasa dahaga atau letih.
Perjalanan menuju ke bukit tersebut kian sukar. Dua tiga kali saya terjatuh
terlanggar akar kayu. Nyamuk hutan yang besar, kian ganas menyerang saya dan
Dumba. Suara nyamuk itu cukup nyaring dan kuat sekali.
"Dahaga, saya dahaga tuk", jerit saya. Datuk mematikan
langkahnya lalu menghampiri ke pokok besar yang berjuntaian dengan akar-akar
sebesar lengan budak. Salah satu akar itu datuk potong dengan golok.
"Mari minum", katanya sambil menghulurkan akar yang
mengeluarkan air yang jernih itu kepada saya. Air dari akar kayu itu terus saya
sedut hingga rasa dahaga hilang. Dumba juga melepaskan rasa dahaganya seperti
yang saya lakukan tetapi datuk tidak berbuat demikian. Dia cuma membasuhi muka
saja.
"Jauhkah lagi tuk?", tanya saya.
"Tak jauh lagi, kira-kira selari angin saja."
"Selari angin tu apa dia tuk?"
"Jarak selari angin tu, kira dua batu lagi", terang
datuk sambil ketawa. Saya dan Dumba mengeluh, dua batu berjalan dalam hutan
bukanlah satu perkara yang senang.
"Jangan duduk lama sangat, mari kita pergi sekarang",
sebaik saja mendengar cakap datuk itu, saya dan Dumba segera bangun dan
meneruskan perjalanan dalam hutan yang tidak berapa saya senangi itu. Saya
menyumpah-nyumpah dalam hati bila saya terpaksa mendaki bukit yang dilerengnya
dipenuhi dengan pokok-pokok bertam dan kelubi yang berduri tajam.
Kalau kurang hati-hati melangkah, pasti tergelincir dan jatuh
dalam rimbunan pokok bertam dan kelubi. Anda tentu dapat membayangkan betapa
sakitnya badan, bila duri-duri yang tajam itu menyucuk daging tubuh saya yang
lembut ini.
Setelah bersusah payah mendaki, akhirnya kami sampai ke puncak
bukit yang tinggi menjulang itu. Dari puncak bukit itu, saya dapat
melihat hutan yang cukup luas menghijau dengan dedaun kayu. Pemandangannya amat
menarik dan cantik sekali. Keadaan bertambah menyenangkan, bila angin
menyentuh kulit muka dan badan, terasa sejuk dan nyaman sekali. Awan kelihatan
berarak dengan tenang, tidak ada suara burung hutan atau monyet, kecuali
bunyi deru angin dan sesekali kelihatan burung helang terbang rendah di bawah
puncak bukit.
Rasa susah dan penat saya hilang dengan sendirinya bila
berhadapan dengan keadaan alam yang begitu indah. Sungguh indah ciptaan Allah
keluh batin saya sendirian.
"Kalau tak silap, kita sekarang berada di sempadan antara
negeri Pahang dan Selangor." ujar datuk yang tersandar di pangkal pokok
besar. Sebaik saja dia bercakap, datuk segera bangun.
Dia berjalan menuju ke arah barat daya tanpa mengajak saya dan
Dumba ikut serta. Dalam waktu beberapa minit datuk hilang dari pandangan kami
dilindungi oleh pokok-pokok besar yang tumbuh gagah di situ.
Saya dan Dumba berpandangan, bimbang juga dengan tindak-tanduk
datuk itu. Rasa bimbang itu hilang bila datuk muncul dengan tiba-tiba dari arah
belakang kami.
"Aku dah jumpa kolam tinggal", beritahu datuk pada
kami dengan wajah yang riang. Datuk terus mengajak kami menuju ke kolam
tersebut.
Jarak kolam tinggal dari tempat mula-mula kami berhenti lebih
kurang lima rantai. Kedudukan kolam itu betul-betul berada di tengah puncak
bukit, bentukanya macam kawah dan tebingnya agak curam sedikit tanpa ditumbuhi
sebarang jenis rumput. Kolam itu tidak berapa besar, panjangnya
dianggarkan sepuluh kaki dan lebarnya antara lima hingga enam kaki. Airnya
cukup jernih. Bahagian atas tebing kolam itu dikelilingi oleh pokok besar dan
bertam. Kerana kolam itu berada di bahagian tengah puncak bukit, airnya dapat
menerima sinaran matahari dengan cukup sempurna.
Anehnya, walaupun kolam itu dikelilingi oleh pokok-pokok besar,
tidak ada sehelai pun daun dari pokok-pokok tersebut jatuh ke kolam atau
tersadai di tebingnya. Saya merasakan kolam itu bagaikan dijaga oleh orang tertentu
dengan begitu rapi dan baik sekali. Datuk terus berpusing di bibir kolam itu
sebanyak tiga kali. Kemudian, datuk mengambil ranting kering lalu dicampakkan
ke dalam kolam. Air dalam kolam berombak.
"Tempat yang sesuai", kata datuk sambil bertinggung
dibibir kolam. Sepasang matanya merenung tajam pada air kolam. Dia menajamkan
mulutnya sambil menghembus angin.
"Dalam kolam ini tidak ada ikan, kolam ini juga bukan
tempat binatang minum", tambah datuk lagi sambil berdiri. Saya dan
Dumba berpandangan sama sendiri. Tidak berani menyoal atau bertanya sesuatu
pada datuk.
"Kita tidak boleh membuang jenis bisa ke dalam kolam yang
jadi tempat binatang minum atau tempat ikan, perbuatan begitu, satu perbuatan
yang kejam menyiksa makhluk lain untuk kesenangan diri sendiri, kerana itu aku
ajak kau ke mari", datuk berleter lagi.
Dumba terdiam, dia nampak resah tidak menentu, macam ada sesuatu
yang menekan perasaannya.
"Semuanya kita tamatkan di sini Dumba, dan kau rela aku
melakukan semuanya ini?", datuk mengajukan pertanyaan sambil mcrenung
wajah Dumba dengan tepat. Dumba anggukkan kepala sambil menyembunyikan rasa
cemasnya dari pengetahuan datuk.
"Kau takut Dumba?"
"Ya, saya kira hidup saya juga akan berakhir di sini."
"Jangan jadi bodoh.", datuk marah dengan tiba-tiba.
Suara datuk yang meninggi itu membuat Dumba terkejut. Rasa takut dan cemas
hilang dari diri Dumba. Datuk segera mengambil buluh kuning yang tersepit
di celah ketiaknya. Buluh itu dijulangnya tiga kali ke udara sambil mulutnya
membaca sesuatu. Dengan pantas datuk mencabut sebatang pokok yang besarnya
kira-kira sama besar dengan betis budak berusia enam tahun.
Datuk terus mengikat buluh kuning pada bahagian akar pokok
tcrsebut dengan tali guni. Kemudian datuk terus membenamkan akar pokok dan
bawang kayu ke dalam kolam.
Cara datuk membenamkan pokok tersebut juga agak ganjil, dia
tidak perlu masuk ke dalam kolam. Apa yang dibuatnya ialah berlari sebanyak
tujuh kali mengelilingi kolam dan akhirnya dia melompat menyeberangi kolam dari
sebelah kiri ke kanan.
Bila dia yakin yang dirinya berada betul-betul di tengah-tengah
kolam, barulah pokok yang dicabutnya itu ditekan ke dalam perut
kolam. Datuk berada betul-betul di bahagian tengah kolam itu tidak lama.
Dia berada di situ lebih kurang tiga minit saja. Dan keadaannya seperti orang
terbang dengan kedua belah kakinya lurus ke arah tebing kolam, manakala
tangannya terus menekan pokok yang masih berdaun itu ke perut kolam dengan
penuh tenaga.
Bila tugasnya selesai, datuk memusingkan badannya ke udara dan
bergerak ke tepi tebing sebelah kiri. Dia berdiri di situ, seolah-olah dia
tidak melakukan sesuatu. Semua kejadian yang saya anggap amat menakjubkan
itu berlaku bagaikan mimpi di badapan mata saya dan Dumba. Datuk segera
menghampiri kami. Saya lihat pokok yang datuk cacakkan di tengah kolam itu
bertukar warna. Daunnya yang hijau segar terus menjadi layu dan kering begitu juga
dengan batangnya.
Air dalam kolam yang tadi jernih dan tenang segera bertukar
menjadi kelabu dan berbuih, macam buih sabun. Buih-buih itu pula mengeluarkan
asap di permukaan kolam. Datuk melihat kejadian itu dengan tenang. Bila
asap di permukaan kolam tinggal itu hilang, datuk menyuruh saya mencari pucuk
bertam dan kelubi. Dumba pula disuruhnya mencari kulit pokok samak dan
kulit jelutung. Kulit pokok itu harus diambil dari arah kanan ke kiri. Semua
yang datuk inginkan dapat saya dan Dumba adakan.
Semua ramuan itu datuk biarkan berada daIam kolam selama
setengah jam. Bila tempohnya sudah cukup, air kolam kembaIi jernih dan pokok
yang yang datuk benamkan di tengah kolam kembaIi segar.
"Dumba, ibu santau yang kau simpan ini akan kekal selama
sepuluh keturunan dalam keluarga kau, bisanya macam bisa asal, kau sudah
membuangnya dan ibu santau tidak akan mencari sesiapa untuk jadi tuannya",
terang datuk pada Dumba.
Saya lihat Dumba menarik nafas panjang. Dia terus memeluk datuk
dengan eratnya. Datuk terus menepuk-nepuk bahunya dengan penuh mesra.
"Saya terlepas dari kuasa syaitan, saya harap keturunan
saya yang akan datang tidak akan jadi pembunuh akibat mewarisi ilmu santau yang
tidak pernah saya minta", kata Dumba sambil mengesat air mata.
Datuk terus menasihatkan Dumba supaya bertenang. Terharu juga
perasaan saya melihat peristiwa yang terjadi di antara Dumba dengan datuk di
tengah hutan itu. Bila keadaan sudah tenang datuk mengambil pucuk bertam,
kelubi dan kulit pokok samak serta kulit pokok jelutung. Datuk mengambil dengan
tangan sambil memasukkan separuh dari kakinya ke dalam kolam.
"Dengan izin Allah yang maha besar, kerja aku
berjaya", suara datuk lemah. Dia terus membaca Al-Fatihah dan doa
kesyukuran.
No comments:
Post a Comment