Pak Mardan dan saya terus ke bahagian
belakang rumah. Lama juga Pak Mardan berlegar-legar di situ. Hujan terus turun
mencurah-curah. Petir dan kilat sabung-menyabung di malam yang pekat. Saya dan
Pak Mardan naik ke bilik pengantin. Halimah masih memegang besi kuning
erat-erat. Pak Mardan meletakkan baldi di sudut bilik dan terus duduk di situ.
"Kau
Tamar, duduk dekat lutut aku ni”, Pak Mardan memerintah dan saya patuh pada
perintahnya.
Pak Mardan
merenung ke muka Halimah yang sudah kelihatan cemas. Saya lihat mulut Pak
Mardan bergerak-gerak. Saya tidak tahu apa yang di bacanya.
"Kau
jangan tegur apa yang kami buat Halimah. Aku tahu sebahagian dari anak rambut
kamu sudah terkena tempias air hujan”, suara Pak Mardan parau.
Matanya
mula bersinar garang. Pak Mardan terus bersemadi di depan baldi di plastik
berwarna merah. Dalam masa itu Pak Mardan menumpukan seluruh perhatian pada
ilmu yang di tuntut dari gurunya, saya lihat baldi dalam air plastik merah
bergerak macam air sedang mendidih. Diluar hujan terus mencurah-curah, cahaya petir
jelas kelihatan menyelinap ke dalam bilik pengantin. Kerana saya ada mendapat
petua sedikit dari datuk bagaimana mahu menumpukan seluruh pancaindera pada
alam lain, saya segera melakukannya. Memang saya terasa yang diri saya
terpisah dari keadaan keliling.
Saya
berhadapan dengan satu alam yang sunyi dan tenang. Lebih kurang setengah jam
kemudian, saya terdengar sayup-sayup bunyi berdesing. Makin lama, makin jelas
bunyi itu seperti benda yang sedang terbang menuju ke arah bilik pengantin.
Tidak lama kemudian terdengar bunyi ledakan yang cukup kuat di atas bumbung
rumah, bunyinya macam letupan meriam buluh. Serentak dengan ledakan itu, saya
terdengar bunyi besi-besi kecil berlaga sesama sendiri. Saya juga terdengar
bunyi logam berjatuhan dari tulang bumbung berhampiran dengan hujung kaki
Halimah. Bila saya membuka mata, saya dapati Halimah tidak sedarkan diri. Di
hujung kakinya terdapat berpuluh-puluh batang paku, kaca dan jarum karat
berserakan. Pak Mardan segera menghampiri saya.
"Kalaulah
kita terlewat Tamar, aku tidak dapat membayangkan apa yang terjadi”, ujar Pak
Mardan pada saya sambiI meraba pangkal kening sebelah kiri. Bunyi suara hujan
diluar mula berkurangan. Tiba-tiba terdengar bunyi letupan kecil betul-betul di
hujung kepala lutut Pak Mardan. Saya lihat Pak Mardan rebah atas lantai,
mukanya segera bertukar menjadi kehitam-hitaman. Saya mengelabah, paku dan besi
buruk serta jarum karat bagaikan bergerak-gerak ke arah saya dan Pak Mardan.
"Datukkkk
tolongggg”, pekik saya dengan sekuat hati. Ketika itu saya rasa batang leher
saya cukup panas, bila menelan air liur terasa pedih. Punggung saya bagaikan
berada di atas bara api. Dalam keadaan yang gawat itu, saya dapati datuk sudah
pun berdiri diambang pintu.
"Bertenang”,
kata datuk lalu melemparkan kain hitam yang terselepang di dada atas lantai.
Pak Mardan
boleh bergerak dan duduk semula seperti asli. Leher saya tidak terasa panas
lagi, punggung saya kembali berada di atas papan lantai.
"Kau
saja selesaikan perkara ini Mardan”, kata datuk.
Pak Mardan
anggukkan kepala. Datuk terus duduk bersila di tengah pintu. Halimah masih lagi
terkapar di kaki katil macam mayat. Tetapi besi kuning masih berada dalam dalam
genggamannya.
"Bantu
saya kalau saya tewas”, beritahu Pak Mardan pada datuk.
"Saya
akan bantu mana yang patut, Allah bersama kita”, balas datuk.
Pak Mardan
pejamkan mata, saya juga begitu. Tidak ada sesuatu yang aneh berlaku. Pak
Mardan menampar paha kanan saya sekuat hati.
"Begini
saja. Kau dan aku sama-sama melihat air dalam baldi”, bisik Pak Mardan sambil
merenung ke wajah datuk.
Dan datuk
bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh Pak Mardan pada saya. Datuk
anggukkan kepala kepada saya dengan maksud supaya mematuhi apa yang
diperintahkan Pak Mardan. Saya pun merenung ke arah air di dalam baldi, saya
lihat air di dalam baldi bergerak macam air sedang mendidih, mengeluarkan asap
tebal macam asap rokok, berlegar-Iegar di permukanan baldi, asap itu naik
meninggi dan akhirnya terus hilang. Saya mula terhidu bau hamis, seperti bau darah
seekor ayam yang baru disembelih.
Kepala
saya terasa pening tetapi saya masih lagi dapat mendengar bunyi hujan yang kian
berkurangan diluar. Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Dalam samar-samar itu,
saya lihat bayangan wajah seorang lelaki yang tidak saya kenali. Dalam keadaan
saya terkhayal itu, saya lihat Pak Mardan menepuk air di dalam bilik. Kemudian
Pak Mardan menutup permukaan baldi dengan kain putih. Datuk melihat saja dengan
apa yang dilakukan oleh Pak Mardan. Halimah mula bergerak dan melepaskan besi
kuning yang di genggamnya.
"Kau
terlepas dari bahaya Halimah”, kata Pak Mardan dan menyuruh Halimah beredar
dari situ.
Hujan
berhenti terus. Orang ramai mula membetulkan kain-kain khemah yang jatuh
dirempuh angin. Pancaragam dari Taiping diminta meneruskan permainannya
kembali. Pak Mardan terus menemui ayah Halimah dan minta meneruskan acara yang
telah ditetapkan. Walaupun acara bersanding agak lewat diadakan dari masa yang
ditetapkan, orang ramai tidak merasa kecewa malah memuji pihak tuan rumah yang
sanggup mengadakan majlis tersebut. Upacara bersanding berjalan dengan penuh
kemeriahan.
"Semuanya
sudah selamat”, kata datuk pada Pak Mardan yang ketawa kecil melihat pengantin
perempuan dan lelaki di atas pelamin.
Bila
upacara bersanding selesai, Pak Mardan terus menerpa ke bilik Halimah untuk
mengutip paku dan besi yang berserakan.
Malam itu
saya dan datuk serta Pak Mardan tidur di masjid. Pada mulanya pihak tuan rumah
melarang kami tidur di masjid. Setelah diberitahu oleh Pak Mardan bahawa tindakan
itu bukanlah berniat mahu memalukan tuan rumah, tetapi bertujuan menghindarkan
sesuatu yang buruk terjadi kalau Pak Mardan masih ada di situ, orang yang
berniat jahat terhadap Halimah akan mengulangi perbuatan terkutuknya. Alasan
itu, dapat diterima oleh pihak tuan rumah dengan baik.
Banyak
perkara yang ditanya oleh datuk pada Pak Mardan berhubung dengan ilmu menahan
hujan. Saya lihat datuk cukup berminat belajar sesuatu dari Pak Mardan. Rasa
meluat mula datang dalam hati saya terhadap sikap datuk itu. Apa perlunya datuk
mencari ilmu lagi? Apakah dia tidak terfikir usianya sudah lanjut? Apakah
ilmunya yang ada tidak mencukupi? tanya saya dalam hati sambil menyandarkan
badan pada pada tiang seri masjid.
"Saya
bukan apa-apa, sekadar mahu tahu saja. Bukankah belajar dan menambahkan ilmu
pengetahuan itu memang dituntut oleh agama Islam”, saya terdengar suara datuk
agak meninggi.
"Memang”,
sahut Pak Mardan.
"Saya
teringat tentang Surah Ar-Rahman ayat 33 yang bermaksud
lebih kurang begini: Wahai para jin dan manusia! Kalau kamu sanggup menembus
sempadan langit dan bumi, maka tembuslah. Kau tak akan sanggup melintasi
melainkan dengan kekuatan”, ujar datuk dengan tenang.
Pak Mardan
tersenyum seraya berkata, "Maksud kekuatan dari ayat itu ialah ilmu
pengetahuan"
"Betul. Tepat sekali cakap awak tu”, sahut datuk.
"Betul. Tepat sekali cakap awak tu”, sahut datuk.
Kedua-duanya
saling tepuk menepuk antara satu sama lain. Melihat dari cara mereka bercakap
itu, saya segera membuat kesimpulan antara datuk dan Pak Mardan memang terdapat
rasa persefahaman. Tetapi secara tidak langsung antara mereka masih mahu
menunjukkan yang diri masing-masing sama-sama tahu. Dan saya kira kalau datuk
masih meneruskan sikapnya itu, Pak Mardan tidak begitu mudah mahu melahirkan
sesuatu yang dia tahu pada datuk.
Suasana di
luar masjid cukup gelap. Suara cengkerik dan katak bersahut-sahutan. Saya
merasa kedinginan dan kelopak mata mula rasa agak berat. Dua kali saya menguap
panjang. Barangkali datuk mula sedar bahawa Pak Mardan tergolong dalam golongan
orang yang agak sombong dan membanggakan diri, yang mengakui dirinya tidak
begitu pandai tentang hal-hal ilmu dunia.
"Saya
ni baru sangat dalam hal ini. Ilmu dunia tidak sebanyak mana, ilmu akhirat lagi
kurang, saya masih belajar”, begitu lemah nada suara datuk.
Ekor
matanya menjeling ke arah saya dalam sinaran lampu gasolin yang sekejap terang
dan sekejap gelap. Mendengar kata-kata datuk itu, Pak Mardan termenung panjang.
Dia kerutkan kedua belah keningnya, macam memikirkan sesuatu.
“Saya
tidak ada kuasa untuk menahan hujan”, katanya lemah.
"Jadi
apa yang awak buat?", sanggah datuk.
"Awak
ini macam tak tahu pula, bukankah AIlah berkuasa atas segala-galanya. Saya
mohon doa pada Allah minta hujan jangan turun di suatu kawasan"
"Lagi
apa yang awak buat?"
"Mengamalkan
beberapa petua dari nenek moyang itu saja. Setakat ini permohonan saya
diberkati, itu saja yang buat"
Datuk
anggukkan kepala mendengar keterangan dari Pak Mardan. Tetapi datuk merasakan
Pak Mardan menyembunyikan sesuatu darinya. Kerana itu datuk agak keberatan bila
Pak Mardan menyuruh dia baring di atas lantai masjid. Datuk terus melawan dia
bercakap hingga Pak Mardan memberitahu datuk yang dia memang menuntut ilmu
menahan hujan dari seorang bomoh hujan yang berasal dari Selatan Siam, iaitu di
negeri Patani.
"Tiga
tahun aku tinggal di sana”, Pak Mardan memberi keterangannya pada datuk.
Menurut
Pak Mardan, ayahnya dulu salah seorang pendekar yang terkenal di Perak.
Berjaya memotong leher pihak lawan dalam perang Larut. Ayahnya telah diberikan
50 ekar tanah sawah oleh Sultan Perak masa itu, sebagai mengenangkan jasanya.
Tanah itu dikecualikan dari sebarang cukai. Bila tanah itu bertukar pada
dirinya, Pak Mardan menjualkan tanah itu pada seorang jutawan Melayu dari Kuala
Kangsar. Hasil wang dari jualan tanah itu, Pak Mardan membeli tanah lain di
Kampung Kota. Saya tidak tahu, bagaimana datuk memujuk Pak Mardan hingga dia
sanggup memberikan pada datuk beberapa petua dan amalan yang mesti dilakukan
untuk menahan hujan. Pak Mardan juga memberitahu datuk yang dirinya ada menyimpan
ilmu melompat yang dituntutnya dari arwah ayahnya dulu.
"Ilmu
tu dinamakan lompat sekayu kain. Masa perang Larut dulu, ilmu itu telah
digunakan oleh ayah saya bagi menewaskan pihak lawan”, Pak Mardan tersenyum
bangga menceritakan tentang keperwiraan ayahnya.
Datuk
mengurut-urut dada. Kemudian dia tersenyum sinis. Pak Mardan kurang senang
dengan sikap datuk itu, lalu dia menentang biji mata datuk lama-lama. Datuk
juga berbuat demikian. Dari gerakan dan kelipan mata Pak Mardan, datuk dapat
membaca pembawa atau peribadi Pak Mardan. Datuk tahu Pak Mardan orangnya
pantang dicabar. Kesempatan itu datuk gunakan untuk menguji sejauh mana
kebenaran kata-kata Pak Mardan.
"Aku
tak yakin kau ada ilmu melompat sekayu kain”, amat lantang suara datuk.
Tiba-tiba saja
Pak Mardan bangun. Dia beliakkan mata kearah datuk.
"Awak
mahu saya buktikan?"
"Itulah
yang sebaiknya?"
"Mari
keluar"
Pak Mardan
keluar dari masjid. Datuk pun begitu. Saya jadi serba salah. Dalam samar-samar
lampu gasolin saya lihat jam tua yang tersangkut di tiang seri. Jarum pendek
dan panjang menunjukan ke angka dua belas. Rasa dingin cukup hebat menggigit
kulit badan saya. Bibir saya mengeletar. Suara katak dan cengkerik kian
bertambah hebat. Datuk menghampiri Pak Mardan dengan tenang.
"Begini
saja, sekarang pukul dua belas tepat. Pesan guru saya, tidak baik melakukan
sesuatu tepat jam dua belas malam atau siang, banyak buruk dari baiknya”,
beritahu datuk pada Pak Mardan.
Nampaknya
Pak Mardan tidak membuat sebarang bantahan pada datuk. Sementara menanti jarum
jam berganjak dari pukul 12.00 ke pukul 12.02 minit, datuk duduk di kaki tangga
masjid. Pak Mardan berdiri di halaman masjid. Dia sudah pun memakai baju hitam
dan seluar serta berselepang kain kuning. Dia membelakangi datuk.
"Datuk
mahu bergaduh?", tanya saya pada datuk.
"Tidak.
Sekedar mahu menguji. Setahu aku seorang pendekar atau pahlawan tidak akan
menunjukkan kebolehannya di khalayak ramai. Pahlawan selalu bersikap macam
harimau menyimpan kuku”, kata datuk.
Cakap
datuk itu memang benar. Sudah setengah jam masa berlalu Pak Mardan tidak juga
menunjukkan kebolehan dan kemampuannya. Datuk pun mula bertindak. Dia mencabar
Pak Mardan dengan membalingkan sebilah sundang ke arah belakang Pak Mardan.
Dalam gelap itu Pak Mardan berjaya menyambar sundang dengan tangan kanannya
lalu membalingkan ke arah datuk kembali dan datuk bagaikan kilat menangkap hulu
sundang lalu ditikamkan ke batang pisang. Sundang terus melekat di situ.
Saya
segera masuk ke masjid dan membawa lampu gasolin keluar. Saya letakkan di atas
simen kolah tempat orang mengambil air sembahyang. Cahaya dari gasolin itu
menerangi sebahagian daripada halaman masjid. Datuk terus menyerang Pak Mardan.
Tujuan datuk berbuat demikian supaya Pak Mardan naik semangat. Tujuan datuk
memang berjaya. Pak Mardan lalu membuat serangan balas yang cukup hebat, buah
silat yang dilepaskan pada datuk cukup tajam dan cepat.
Datuk
terus mengelak dan menepis hingga buah-buah silat yang ditujukan padanya tidak
menjamah badan. Datuk lalu mencabut sundang dari batang pisang, menerkam ke
arah Pak Mardan. Cepat-cepat Pak Mardan melompat separas kepala datuk lalu
menyepak pergelangan tangan datuk dari udara. Pak Mardan tidak berjaya, saya
lihat dia bagaikan terapung-apung di udara membuka silat baru, kemudian kakinya
menjamah kaki bumi. Saya lihat datuk melepaskan sesuatu macam bola api ke arah
kaki kiri Pak Mardan. Dia menjerit lalu melompat melepasi bumbung masjid. Pak
Mardan bagaikan terbang di udara.
Tubuhnya
nampak bulat macam seketul kayu itu menuju kearah pokok pisang tempat sundang
terletak tadi. Lebih kurang dalam jarak empat kaki mahu sampai ke perdu pokok
pisang, Pak Mardan hulurkan kaki kanannya. Dari kaki kanannya itu saya lihat
keluar cahaya bulat dan memanjang, macam api andang. Saya dengar pekikan dari
Pak Mardan cukup lantang, serentak dengan itu terdengar satu letupan kecil.
Saya lihat
pokok pisang rebah ke bumi dan terbakar. Dalam beberapa saat saja saya lihat
Pak Mardan dan datuk berdakap-dakapan di halaman masjid.
"Jangan
menguji saya sampai macam itu. Nasib baik saya dapat arahkan pada perdu pokok
pisang, kalau pada awak sudah lain jadinya”, ucap Pak Mardan sambiI menukar
baju hitam kepada baju kemeja putih.
"Saya
tahu. Saya cuma menguji bukan bergaduh”, balas datuk, "awak bukan
calang-calang orang"
"Ah,
tiap manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Macam kau dengan aku ni ada
kelebihan dan ada kekurangannya. Yang sempurna dan gagah hanya Allah yang Maha
Besar”, sebaik saja mengakhiri cakap itu, lagi sekali Pak Mardan memeluk tubuh
datuk.
Kami masuk
ke masjid. Ketika saya mahu merebahkan badan di sisi datuk. Pak Mardan
menghampiri saya, muka saya direnungnya lama-lama.
"Belajarlah
sesuatu dari datuk kamu"
"Datuk
kedekut dengan ilmu"
"Betulkah
cakap cucu awak ini? Tak patut buat begini”, Pak Mardan mengajukan pertanyaan
pada datuk. Saya lihat datuk tersenyum.
"Tak
betul tu. Ada saya curahkan ilmu penjaga diri dan beberapa petua untuknya. Saya
rasa itu sudah cukup yang lain tak mustahak. Saya dah pesan gunakan ilmu itu
bila ada musuh atau masa terdesak, tidak boleh di gunakan sebarangan”, ternyata
penjelasan datuk itu memuaskan hati Pak Mardan.
"Zaman
kami muda-muda dulu, kalau tak cukup syarat dengan ilmu di dada kami tidak
merantau. Tetapi, anak -anak muda sekarang ini lain pula. Adat budaya dan cakap
orang tua-tua di lupakan, sudah mahu merantau. Baru ada ilmu tak sampai sebuku
sudah tunjuk pandai”, Pak Mardan macam merungut.
Datuk
anggukkan kepala mengiakan cakapnya. Saya menguap lagi, kelopak mata terasa
cukup berat. Suara datuk dan Pak Mardan yang sedang bercakap saya dengar kian
lama, kian jauh dan akhirnya saya tidak terdengar apa-apa lagi.
"Bangun,
bangun”, saya dengar suara datuk meninggi dan badan saya digoncang oleh Pak
Mardan.
Saya
membuka mata dalam gelap. Lampu gasolin tu sudah lama padam. Rasa marah mula
datang dalam hati, bagaimana saya tidak marah, kalau tengah sedap tidur
terpaksa bangun.
"Kenapa
tok?"
"Bangun,
jangan banyak cakap"
Hasrat
saya untuk mengajukan pertanyaan mati bila terdengar nada suara datuk begitu keras.
Datuk menyuruh saya dan Pak Mardan berpisah. Saya disuruh merangkak ke arah
utara masjid, Pak Mardan ke selatan dan datuk sendiri merangkak ke arah pintu
masjid.
Suara
katak dan cengkerik di luar masjid berambah hebat. Saya mula terdengar deru
angin melanggar ranting dan dahan kayu. Dengan tiba-tiba bulu roma saya tegak.
Dari tingkap masjid yang terbuka di tolak oleh angin, saya lihat ada api
bergerak dalam gelap mengelilingi masjid. Tiba-tiba pintu masjid terbuka dengan
lebarnya kemudian terkatup dengan sendirinya, macam ada tenaga manusia
menolaknya dari luar.
"Apa
hajat?", teriak datuk sekuat hati.
Dan api
yang bergerak mengelilingi masjid terus padam.
"Apa
hajat?", ulang datuk lagi.
Saya lihat
cahaya api itu datang kembali berada betul-betul di luar pintu masjid. Teriakan
datuk tidak mendapat jawapan. Pak Mardan tanpa disuruh terus menghidupkan lampu
gasolin. Lampu itu dibawa ke pintu masjid. Bila melihat cahaya lampu gasolin
itu hati saya mula rasa tenteram. Kerana Pak Mardan sudah berdiri di samping
datuk, saya segera menghampiri mereka.
"Kau
nampak apa tu?", Pak Mardan menepuk bahu saya.
Dengan
pertolongan cahaya lampu gasolin, saya dapat melihat dengan jelas sebatang kayu
terpacak di halaman masjid, di hujung kayu bahagian atas terletak tengkorak
manusia. Saya pandang wajah datuk. Dia nampak serius, saya pandang wajah Pak
Mardan, ada tanda-tanda keresahan dimukanya.
"Datanglah,
apa hajat kamu?", pekik datuk lagi dan lampu gasolin terus malap.
Kayu di
tengah halaman masjid mengeluarkan cahaya api. Bunyi tapak kaki manusia memijak
dahan dan ranting-ranting kering mula kedengaran dari tiap penjuru masjid, saya
terasa bagaikan ada beribu manusia yang bergerak di sekeliling masjid. Datuk
terus bertafakur lebih kurang lima minit. Bila dia membuka mata, lampu gasolin
yang malap bersinar terang. Di halaman masjid terdapat seorang manusia berdiri
di sisi kayu yang ada tengkorak.
"lnilah
orang yang saya lihat dalam baldi di rumah pengantin tadi”, bisik Pak Mardan
pada datuk.
Dengan
tenang datuk anggukkan kepala lalu keluar dari masjid. Datuk berdiri berhadapan
dengan orang itu. Suara katak dan cengkerik kian hebat. Angin juga mula bertiup
agak ganas. Bila angin berhenti bertiup, hujan pun turun menambahkan rasa sejuk
pada diri saya. Titik hujan yang halus itu terus menjadi kasar. Pak Mardan
segera menarik tangan datuk. Orang yang berdiri dengan kayu itu terus memeluk
tubuhnya. Titik-titik hujan tidak mengenai tubuhnya.
"Masuk,
orang ini mahu membalas dendam”, beritahu Pak Mardan pada datuk.
Saya lihat
datuk termenung sejenak. Dengan tenang datuk memegang kain hitam di kepala.
Kain hitam itu dibukanya. Datuk simpulkan kain hitam itu hingga menjadi
seketul, macam buku benang.
"Kalau
niat kau baik, engkau tidak apa-apa. Tetapi kalau niat kau buruk kau akan
binasa”, ujar datuk pada lelaki ditengah halaman dari muka pintu masjid.
Datuk
lemparkan kain itu ke arah lelaki tersebut. Bila kain itu jatuh di hujung kaki
lelaki itu, kelihatan asap berkepul-kepul naik ke udara. Batang tubuh lelaki
itu hilang dalam kepulan asap. Pak Mardan terus duduk lalu membaca beberapa
mentera hingga hujan yang mula teduh berhenti sama sekali. Bila kepulan asap
itu hilang, tengkorak yang yang berada di hujung kayu jatuh ke atas tanah.
Batang tubuh lelaki itu segera bertukar menjadi hitam. Lidah lelaki itu
terjujur keluar macam lidah anjing yang kehausan, biji matanya mula merah.
Datuk menepuk tangan kanannya tiga kali ke bendul masjid. Orang lelaki di
tengah halaman mula batuk dan muntah darah dua kali. Pak Mardan segera mengambil
air dari dalam kolah satu gayung dan menyerahkan pada datuk.
"Tawarkan
dia”, Pak Mardan menyarankan dan datuk terus menunaikannya.
Setelah
datuk membaca sesuatu pada air didalam gayung, saya pula ditugaskan menyimbah
air kebadan lelaki itu. Bila air dalam gayung terkena badan lelaki itu,
kulitnya yang hitam segera bertukar macam biasa, dia sudah tidak muntah lagi.
Pak Mardan menghampiri lelaki itu. Sebelum berdiri di hadapan lelaki tersebut,
Pak Mardan terlebih dahulu membaca beberapa mentera. Dia menguncikan semua
pancaindera lelaki tersebut. Saya merasa terkejut, bila secara tiba-tiba Pak
Mardan mendapatkan datuk semula.
"Awak
tengok apa kerja maksiatnya selama ini”, suara Pak Mardan lemah.
Datuk
terdiam, dia terus bertafakur lagi. Bila semuanya selesai datuk terus
memberitahu Pak Mardan bahawa lelaki itu pernah meminang Halimah untuk
dijadikan isteri mudanya. Pinangan itu di tolak oleh ayah Halimah kerana lelaki
itu sudah beristeri sepuluh kali. Enam isterinya sudah diceraikan, empat masih
dipakainya lagi. Dia hanya mengharapkan hasil dari titik peluh isterinya untuk
menyarai dirinya. Dia tidak pernah mahu melakukan sebarang pekerjaan. Dia lebih
senang duduk di rumah atau berjalan ke sana ke mari dengan pakaian yang kemas.
Walau pun usia sudah hampir lima puluh tahun, tetapi dia kelihatan muda, macam
anak teruna yang berusia dua puluhan. Gagah dan tampan. Datuk juga memberitahu
Pak Mardan lelaki itu tidak pernah mandi, kecuali kalau dia bertemu danau di
tengah hutan yang ada teras kayu terendam di dalamnya. Kalau dia mandi, hanya
memadai dengan sekali selam tanpa memakai kain basahan.
Bila air
di badannya kering dengan sendiri barulah dia memakai baju dan seluar. Lepas
itu, dia akan mengurungkan diri dalam bilik selama satu minggu. Masa dia
mengurungkan diri dalam bilik itu dia akan melumurkan seluruh kulitnya dengan
najisnya sendiri. Bila Pak Mardan mendapatkan penjelasan itu dari datuk, dia
segera berdiri di hadapan lelaki itu.
"Kenapa
kau berbuat begitu pada Halimah?", pertanyaan dari Pak Mardan itu, dijawab
oleh lelaki itu dalam bahasa yang tidak dapat saya dan datuk faham.
Pak Mardan
segera memberitahu datuk yang lelaki itu bercakap dalam bahasa Siam. Kerana Pak
Mardan boleh bercakap Siam, lelaki itu terus dilawan bercakap dalam bahasa itu.
Perbuatan itu tidak menyenangkan hati datuk. Datuk membuka tapak tangan kirinya
dan terus membaca sesuatu.
"Orang
ini menuntut ilmu bomoh Siam. Biar saya kembalikan hati dan perasaannya kepada
bangsanya sendiri”, rungut datuk lalu melangkah ke arah lelaki itu.
Sebaik
saja datuk sampai di hadapan lelaki itu, dia terus menampar perut lelaki itu
dengan tapak kanannya. Lelaki itu menjerit lalu membongkok sambil memegang
perutnya. Ketika itu juga lelaki tersebut muntah, dari mulutnya terkeluar
segumpal kain kuning yang penuh dengan ulat, sebesar ulat nangka, bau kain
kuning itu macam bau bangkai. Datuk menekan kain kain kuning itu dengan jari
telunjuk kirinya hingga kain itu pecah. Bila kain itu pecah bertaburan, kaca,
batu dan ketul-ketul daging jatuh keatas tanah. Ular hidup berserakan atas
kawasan muntah orang lelaki itu. Pak Mardan mencari daun kayu lalu memukul
tubuh lelaki itu dengan sekuat hatinya. Wajah lelaki yang tampan berubah
menjadi kendur dan bergaris-garis macam orang lelaki yang berumur lima puluh tahun.
Lelaki itu rebah ke tanah. Datuk segera menghentakkan pangkal siku kirinya ke
belakang lelaki itu dengan sekuat hatinya. Lelaki itu dengan tiba-tiba bangun.
"Kau
orang Islam?" tanya datuk.
"Ya
saya orang Islam"
"Rukun
Islam berapa perkara?"
"Lima
perkara"
"Pertama
apa dia?"
"Mengucap
dua kalimah syahadah"
"Cuba
kau mengucap dua kalimah syahadah"
Ternyata
orang itu tidak dapat menunaikan permintaan datuk. Mata orang itu terkebil.
Toleh kiri, toleh kanan macam orang ketakutan. Pak Mardan mengheret lelaki itu
ditepi kolah.
"Kita
mandikan dia sekarang”, kata Pak Mardan.
"Aku
setuju”, balas datuk.
Saya pun
menjiruskan air ke tubuh lelaki dengan gayung. Lelaki itu menggeletar. Dalam
kedinginan dinihari bibirnya kelihatan biru. Lututnya berlaga sama sendiri.
Datuk membuka seluar yang dipakai oleh lelaki itu, digantikan dengan kain dan
baju Melayu kepunyaan Pak Mardan. Bila lelaki disuruh masuk ke masjid dia
enggan. Perbuatan itu membuat datuk naik darah.
"Kenapa?",
tanya datuk.
"Saya
sudah bersumpah dengan guru saya. Tidak akan masuk masjid atau membaca
Al-Quran"
"Awak
mengarut”, datuk mendorong lelaki ke pintu masjid.
Bila
lelaki itu melangkah bendul dia jatuh dan dari tubuhnya keluar kepulan asap
nipis. Serentak dengan itu terdengar deru angin yang amat kuat diluar masjid.
Deru angin itu makin kurang dan akhirnya terus hilang. Datuk terus mengajarkan
lelaki itu mengucap dua kalimah syahadah dan meminta dia bertaubat. Cukup sukar
untuk menyuruh lelaki itu bertaubat, dia begitu fanatik dangan ajaran gurunya.
Sesudah berbagai pandangan diberikan padanya oleh Pak Mardan barulah dia mahu
bertaubat.
"Awak
tidak akan membalas dendam pada saya?", tanyanya pada Pak Mardan.
"Tidak.
Aku mahu kau bertaubat dan jangan sekali-kali mengulangi perbuatan yang lalu"
Mendengar
cakap Pak Mardan lelaki itu terdiam. Walau bagaimanapun, datuk memberikan
kesempatan pada lelaki itu membuat keputusan sendiri. Datuk tidak mahu memaksa
dia. Datuk mahu dia kembali ke pangkal jalan dengan penuh keinsafan dan
kesedaran.
No comments:
Post a Comment