Semua biji mata tertumpu ke
arah kotak yang berada di kedua belah telapak tangan Koyan. Dari gerak mata dan
air muka datuk, ternyata dia cukup berminat dengan kotak-kotak tersebut.
“Semuanya untuk Haji Bagus,” soal datuk.
“Tidak,” balas Koyan.
Dia renung ke kiri dan ke kanan, macam ada
sesuatu yang diawasinya. Bila dia yakin semuanya dalam keadaan baik dan
aman, barulah dia merenung muka Tuk Aji
dengan renungan yang tajam.
“Bungkusan yang dibuat dengan kain hijau
untuk Haji Bagus sendiri. Dan yang dibalut dengan kain merah untuk kawannya
dari Tanah Melayu.”
“Yang dibalut dengan kain putih untuk siapa?”
Tanya Andi Kamarool.
“Ha,
yang itu untuk cucu orang dari Tanah Melayu. Kepada siapa barang-barang
ini nak saya serahkan.”
“Berikan kepada saya,” datuk segera
menghulurkan tangan untuk mengambil barang yang dimaksudkan. Dan Koyan dengan
wajah yang tenang bersedia mahu menyerahkan barang-barang tersebut.
“Jangan.”
Tuk Aji menjerit dan terus melompat dan
menolak tubuh datuk ke kiri. Dan dia segera mengambil tempat datuk berdiri
tadi. Sudah pasti, perbuatan Tuk Aji itu menimbulkan persoalan dalam kepala
datuk. Rasa kurang senang terpamer diwajahnya tetapi, Tuk Aji tetap bersikap
seperti biasa. Dua tiga kali datuk gosok hujung dagu dengan ibu jari kiri. Dia
cuba mengawal perasaan dan datuk menyedari perbuatan Tuk Aji itu mempunyai
muslihat tertentu, datuk tidak ambil hati.
“Kenapa awak tolak dia, biarlah dia ambil
barang-barang itu dari saya,” Koyan jegilkan sepasang biji mata ke arah muka
Tuk Aji. Saya lihat Tuk Aji tersenyum.
“Saya tua darinya, eloklah saya ambil.”
“Hummm …,” keluh Koyan dan wajahnya tidak
dapat menyembunyikan rasa terkejut. Gerak anak matanya seolah-olah menyimpan
keraguan terhadap Tuk Aji.
“Bukan kerana sesuatu muslihat?”
“Tidak,” jawap Tuk Aji.
“Kalau begitu, nah ambil,” Koyan segera
menghulurkan bungkusan tersebut kepada Tuk Aji.
Tuk Aji seperti keberatan mahu menerimanya. Lagi sekali datuk merasa
terkejut oleh perbuatan Tuk Aji itu. Saya dan Andi Kamarool berpandangan. Hati
kecil saya turut merasa hairan dengan sikap Tuk Aji itu.
“Begini, awak letak saja bungkusan itu di
tepi masjid. Lagi pun awak dah terangkan nama pemiliknya mengikut warna,” dalih
Tuk Aji.
“Awak lidah bercabang,” rungut Koyan.
“Maafkan saya, kalau awak tersinggung.”
“Hiss…, terkeluar dari mulut Koyan.
HILANG
Mungkin Koyan tidak mahu perkara itu
berlarutan, meskipun hatinya sakit, dia segera menuju ke tepi sebelah ruang makan. Di situ bersedia sebuah
rak untuk meletakkan sepatu para jemaah.
“Boleh saya letakkan di sini saja.” Koyan
renung Tuk Aji.
“Boleh.” Datuk pula menjawap.
“Jangan lupa, beritahu pada Haji Bagus
perkara yang saya sebutkan kepada awak tadi.”
“Iya, kami faham,” angguk Tuk Aji.
“Baguslah, kalau dah faham. Tapi, saya
harapkan awak jangan amallkan cakap berdolak dalik. Perbuatan macam itu tak
bagus. Boleh hilang sahabat,” Koyan senyum sambil anak matanya tertumbuk ke
wajah Tuk Aji.
Satu sindiran yang cukup tajam. Peliknya, Tuk
Aji masih boleh mempamerkan senyum.
“Selamat jalan Koyan,” kata datuk.
Koyan pun anggukkan kepala tetapi, ekor matanya
masih menjeling ke arah Tuk Aji. Koyan pun melangkah meninggalkan kami.
Bila sekujur tubuh Koyan hilang dari
penglihatan kami, datuk segera mendekati Tuk Aji.
“Kenapa saya tak boleh ambil barang-barang
dari Koyan.” Dengan sopan datuk ajukan pertanyaan kepada Tuk Aji. Orang tua
yang sentiasa nampak tenang itu mengukir senyum. Tanpa mahu menjawap pertanyaan
yang datuk kemukakan, Tuk Aji terus bergerak menuju ke rak kasut lalu mengambil
barang (bungkusan) yang diletakkan oleh Koyan tadi.
Semua ungkusan yang diambil segera diletakkan
oleh Tuk Aji di atas tanah di halaman masjid. Bungkusan itu disusun sederet.
Tuk Aji terus mencangkung menghadapi ketiga-tiga bungkusan itu.
“Ketiga-tiga bungkusan ini bertujuan untuk
membunuh orang yang menerimanya,” Tuk Aji memalingkan mukanya ke arah datuk,
Andi Kamarool dan saya. “biar aku tunjukkan buktinya,” sambungnya sambil
membuka ketiga-tiga ikatan kain pembungkusan kotak tersebut. Dengan mengunakan
ranting kayu Tuk Aji menolak dengan hati-hati penutup ketiga-tiga kotak
tersebut.
“Semua mari dekat aku,” panggil Tuk Aji.
Kami segera mendekatinya. Datuk berdiri
sebelah kanan, saya sebelah kiri manakala di sebelah saya pula Andi Kamarool.
Semua penutup kotak sudah terbuka.
“Kamu nampak isi dalam kotak?”
“Nampak,” sahut saya.
Dua tiga kali datuk pejam celikkan kelopak
mata sambil mengkedutkan kening. Akhirnya, datuk senyum, bila didapati semua
kotak tersebut diisi dengan pasir hitam yang halus disamping beberapa kuntum
bunga tanjung dan cempaka.
“Kamu senyum kerana kamu tahu muslihat
sebenarnya,” Tuk Aji renung biji mata datuk. “Tapi kamu tak tahu, barang-barang
yang kamu tengok ini, kalau disentuh dengan jari, seluruh badan kamu jadi
hitam,” tambah Tuk Aji.
Datuk tersentak mendengar penjelasan itu.
Biji matanya terbeliak. Dua tiga kali dia tarik nafas sambil
mengeleng-gelengkan kepala.
“Orang yang mengirimkan bungkusan ini nak
membunuh kamu, cucu kamu dan Haji Bagus. Biar aku tunjukkan buktinya. Sekarang
kamu pergi ambil ranting yang ada daun dan serahkan pada aku,” Tuk Aji
keluarkan arahan untuk saya. Perintahnya segera saya patuhi.
“Nah, Tuk Aji.”
“Terima kasih Tamar.”
Tuk Aji segera menyambut tiga ranting
mempelam yang saya hulurkan kepadanya. Dua tiga kali dia melurut dia melurut
ketiga-tiga ranting mempelam dengan pasir hitam dalam kotak.
“Tunggu
dan lihat,” Tuk Aji segera duduk bersila di halaman masjid. Kami juga
turut bersila, semua biji mata tertumbuk ke arah kotak dan tanting mempelam.
Walaupun panas mula terik tetapi, kami tidak merasai bahang kepanasan itu
mengigit kulit. Mata, hati dan fikiran tertumpu ke arah tiga kotak di hadapan.
“Ahhhhh….”
Mulut saya separuh terbuka.
Tidak sampai beberapa minit, ranting mempelam
mengeluarkan asap nipis. Bila asap nipis itu lesap, ranting mempelam menjadi
arang. Tiga letupan kecil kedengaran dan ketiga-tiga kotak di depan kami pecah
berkecai dan kain pembungkusnya terbakar jadi abu. Dan akhirnya bersatu dengan
tanah halaman masjid.
MATA
“Kamu sudah tengok dengan mata kepala kamu
sendiri. Aku sudah buktikan apa yang aku katakan. Itulah sebabnya aku tak bagi
kamu sentuh barang-barang itu. Orang itu mengirim racun untuk membunuh,” Tuk
Aji segera bangun. Kami juga turut bangun dan bergerak menuju ke bahagian
belakang masjid. Kami duduk di bangku panjang yang ada di situ.
“Saya faham sekarang, terlalu tinggi
permainan ilmu hitam mereka,” datuk memulakan percakapan, memecahkan suasana
yang kami hadapi.
“Memang hebat,” celah saya.
“Kamu jangan campur, kamu dengar saja,” datuk
mengherdik saya bersama dengan jelingan yang amat tajam sekali. Tindalan datuk
itu membuat saya rasa malu.
“Kenapa kamu marahkan dia? Aku fikir dia
berada dipihak yang betul, dia kagum dengan kebolehan orang itu,” kata-kata
yang diungkapkan oleh Tuk Aji membuat saya rasa megah. Dia membela saya, secara
tak langsung memberikan sokongan moral yang tiada nilainya.
“Sekuat mana dan sehebat mana ilmu hitam yang
dipelajari dari iblis akhirnya pasti kalah juga dengan kebesaran Allah,” Tuk
Aji bersuara setelah menyedari yang datuk menerima pandangannya.
“Maksud Tuk Aji, “ Andi Kamarool minta
kepastian.
Mudah saja, aku percaya dengan apa yang
dikatakan oleh Koyan tadi. Gelanggang Munah Supandi dan anak buahnya dipanah
petir, cuba kamu ingat apa yang terjadi waktu subuh tadi.”
Apa yang dituturkan oleh Tuk Aji membuat saya
termenung sejenak. Tidak dinafikan, sekitar jam lima pagi tadi berlaku hujan
lebat, bersama petir sabung menyabung.
“Agaknya bomoh handal tu dah mampus kena petir,”
Andi Kamarool bersuara dalam nada keriangan.
“Belum tentu, barangkali yang mati itu
pengikutnya, “ celah datuk.
“Boleh jadi pengikutnya, boleh jadi dirinya
sendiri tapi, ilmu jahat susah disekat,” saya lihat wajah Tuk Aji gusar sekali.
Dia merenung ke langit sambil menelan air liur berkali-kali. Datuk mengigit
bibir.
“Orang yang balik ke Tanah Melayu tu mungkin
membawa bencana orang di sana. Percayalah cakap aku, ramai orang akan jadi
korban terutama orang-orang politik yang mahu cepat berkuasa, peniaga yang
tamak dan mahu cepat kaya,” sambung Tuk Aji.
“Orang tamak haloba, gila kuasa, kurang iman
dan jahil agama tentu masik perangkap mereka,” celah Andi Kamarool.
“Pendapat kamu tu mungkin betul Andi,” sahut
datuk sambil mengosok-gosok mata kirinya. Mungkin mata datuk dimasuki habuk.
“Aku tak mahu kata apa-apa, kita semua ada
otak untuk berfikir dan kemudian boleh buat kesimpulan sendiri. Tapi…, “ Tuk
Aji berhenti bercakap. Dia agak terkejut bila melihat datuk melekapkan telapak
tangan kiri ke mata kanan, Manakala telapak tangan kanan menutup mata kiri.
Kira-kira sepuluh minit datuk berbuat
demikian. Kemudian barulah sepasang tangannya dijatuhkan lalu dihayun ke depan
dan ke belakang beberapa kali. Bila datuk berhenti menghayunkan sepasang
tangan, dia berdehem dua kali berturut-turut sambil sepasang kelopak matanya
dipejam celikkan beberapa kali hingga matanya berair.
Dengan hujung lengan baju, datuk sapu air
mata yang melelah di pipi. Kelopak matanya dibuka luas-luas dan dengan senyum
terukir di kelopak bibir, datuk menatap
wajah Tuk Aji.
“Ada petua tersendiri mengeluarkan habuk
dalam mata?”
“Sekadar untuk diri sendiri, tak usah tanya
tentang petua itu. Lupakan saja, sambung balik cakap yang terputus,” datuk
bersuara.
“Itu yang kamu nak tahu? Bukan apa-apa. Aku
tak suka bincang tentang bomoh tu, sebenarnya aku lebih suka bincang tentang
rancangan kita.”
“Rancangan? Rancangan apa ? Datuk
membeliakkan biji matanya. Rasa hairan dan terkejut terpamer di wajahnya.
Saya dan Kamarool saling berpandangan. Hati
kami terus berdebar. Mungkin ada sesuatu yang mahu dirahsiakan dari saya dan
Andi Kamarool. Tetapi, kini perkara yang dirahsiakan itu tidak dapat
dipertahankan lagi.
“Saya tak dapat menangkap maksudnya. Masih
samar-samar.
“Hum kamu, cepat sangat lupa,’ Tuk Aji terus
tepuk bahu kanan datuk dua tiga kali.
Mereka sama-sama ketawa. Semuanya itu membuat
hati saya dan Andi Kamarool berdebar.
“Kau lupa?” Ulang Tuk Aji.
“Iya, saya benar-benar lupa.”
“Kamu pernah cakap yang kamu nak ikut aku ke
Tanah Kerinci. Kata kamu di Kerinci masih terdapat kaum keluarga kamu. Lagi pun
dari Kerinci ada yang berhijrah ke Tanah Melayu.”
“Allah hu Akbar baru saya ingat sekarang.
Tadi saya tak ingat langsung,” dua tiga kali datuk gelengkan kepalanya. Tuk Aji
tersenyum melihat telatah datuk yang agak melucukan itu.
“Bagaimana? Sekarang kamu dah ingat?” Usik
Tuk Aji.
Datuk anggukkan kepala.
“Kamu bersedia nak ke sana?”
“Sudah tentu! Bila kita nak pergi.”
Jawapan dari datuk membuat Tuk Aji
mengaru-garu hujung hidungnya dengan jari kelingking beberapa kali . Dia renung
kiri kanan, macam ada sesuau yang difkirkannya.
“Hari ini hari Senin, esok Selasa. Macam mana
kalau kita bertolak dari sini pagi Rabu.”
“Saya mengikut saja,” balas atuk dengan
senyum.
“Kalau dah begitu, kamu semua kena buat
persiapan.”
“Ikut jalan laut atau darat?”
TAJAM
Pertanyaan itu membuat Tuk Aji membeliakkan
sepasang biji matanya. Muka datuk ditatap tajam. Kemudian wajah saya dan Andi
Kamarool menjadi sasaran. Kenapa Tuk Aji berbuat demikian? Saya sendiri pun tak
tahu.
“Kenapa kamu tanya macam tu?”
“Bukan apa-apa, kalau ikut perjalanan darat
kena buat persiapan cara jalan darat. Begitu juga dengan jalan laut.
“Hum… aku fikirkan pertanyaan yang kamu buat
tadi sebagai usaha kamu berdalih tak mahu pergi,”
“Insya-Allah . kalau sudah berjanji tetap
saya tepati.
“Maafkan aku, Tuk Aji hulurkan tangan. Datuk
segera menyambutnya. Mereka berpelukan.
Beberap minit kemudian kami pun berpisah. Tuk
Aji pulang ke rumah Tuk Siak sementara saya, datuk dan Andi Kamarol menuju ke
rumah Haji Bagus.
Di rumah Haji Bagus, datuk melahirkan rasa
bangganya kerana rancangan untuk ke
Tanah Kerinci sudah berada di ambang jaya. Haji Bagus dan isteri merestui
perjalanan kami bertiga (saya, datuk dan Andi Kamarool). Dia yakin perjalanan kami
tidak akan menghadapi sebarang masaalah.
“Dia selalu berulang alik Kerinci-Jambi dan Jambi ke Kerinci. Dia bagi tahu kamu nak
pergi ke sana nak ikut jalan sungai atau jalan darat?” Tanya Haji Bagus.
‘Dia
tak bagi tahu Abang Haji,” jawab datuk sambil mengkerutkan dahinya seperti ada
keresahan bermain dalam kepala datuk.
“Biasanya, dia ikut jalan sungai separuh dan
separuh lagi ikut jalan darat. Tak kira ikut jalan mana, pokoknya kamu semua
beruntung dapat pergi ke Kerinci bersama Haji Ahmad Basilam, dia orang lama,
umurnya dah dekat seratus tahun tapi masih tegap dan gagah. Dia banyak menyiman
cerita Tanah Kerinci,” kata Haji Bagus.
Pagi Rabu yang cerah, saya dan Andi Kamarool
bersilat di halaman masjid untuk mengeluarkan peluh. Haji Basilam dan datuk
masih berada di dalam masjid.
Saya kira mereka sedang berbincang tentang
perjalanan yang ditetapkan. Walau apa pun, saya tidak bimbang semua keperluan
untuk perjalanan sudah siap sedia. Beg yang memuatkan beberapa helai pakaian
saya dan datuk terletak di kepala tangga masjid. Begitu juga dengan pakaian
Andi Kamarool.
“Sudah.”
Serentak saya dan Kamarool menoleh ke arah
suara tersebut. Haji Basilam (Tuk Aji) dan datuk berdiri di kaki tangga. Mereka
tersenyum ke arah kami.
“Mengapa mesti membuang tenaga nanti letih,”
usik Haji Basilam.
“Sekadar nak melembutkan urat,” sahut Andi
Kamarool. Mereka berdiri didepan kami, melihat peluh yang mercik di kening dan
dahi.
“Kamu berdua dah sedia, kalau dah sedia kita
mulakan,” tutur Haji Basilam. “Kamu berdua tunggu kami di kepala simpang, aku
nak ambil barang di rumah Tuk Siak, datuk kamu ikut aku.”
“Baiklah,” kata saya.
“Pergi ambil barang-barang kamu,” sambung
Haji basilam. Saya dan Andi Kamarool bergegas menuju ke kepala tangga msjid
mengambil beg pakaian dan meneruskan perjalanan menuju muara jalan.
Sementara menanti kedatangan Haji basilam dan
datuk , saya dan Andi kamarool berdiri di bawah pohon ketapang.
Matahari pagi terus memancar sinar
bersama-sama dengan kicau beburung. Orang-orang kampung yang ramah terus
melemparkan senyum ke arah kami tidak kira samada mereka berjalan kaki atau
naik basikal.
“Andi, kamu pernah pergi ke Kerinci?”
“Belum pernah, kata orang alamnya cantik,
banyak sejarahnya dan banyak pula misterinya.”
“Bila sampai Kerinci apa yang kamu mahu
tengok Andi,”
“Aku nak tengok, kolam air panas di Sumurup
dan Sungai Medang. Kata orang airnya sentiasa berasap, aku nak rebus telur di
kolam air panas tu. Kamu pula nak cari apa pula disana Tamar?”
“Aku nak jumpa orang pendek yang ganjil dalam
hutan Kerinci, tubuhnya tegap, berjalan tegak, mukanya bulat berjanggut
panjang. Tingginya antara 80-100 cm. Badannya penuh dengan bulu warna coklat
dan hitam, bila berjalan tapak kakinya terbalik. Aku teringin benar nak melihat
makhluk ganjil ini.”
“Lagi apa yang ingin kamu cari di sana?”
tanya Andi Kamaroo lagi.
“Aku teringin nak jumpa dengan keturunan
manusia harimau, kalau jumpa yang perempuan dan cantik serta muda pula aku nak
jadikan dia isteri,’ kata saya.
“Bila kamu tidur dengannya dia terus baham
kamu,” balas Andi Kamarool. Kami terus ketawa terkekeh tanpa memperdulikan
orang yang lalu lalang di jalanan.
“Apa yang kamu berdua ketawakan hingga nak
pecah perut.”
Tanpa disedari datuk muncul dari belakang dan
Haji Basilam menyongsong dari sebelah kanan. Saya tergamam, tetapi Andi
Kamarool dapat mengawal keadaan. Dia tenang sekali.
“Tamar ni, bila sampai di Kerinci dia nak
jumpa keturunan manusia harimau,” Andi Kamarool buka rahsia. Datuk gelengkan
kepala sambil berkata. “kamu bercakap ikut sedap mulut sahaja,Tamar.”
“Tak mengapa, kalau kamu berhajat Tuk Aji
boleh bawa kamu jumpa mereka,” sahut haji Basilam.
“Bergurau dengan cucu saya.”
“Tidak, saya cakap perkara yang benar. Kalau
awak nak jumpa pun boleh saya bawakan. Soal perkara itu benar atau tidak
terpulang pada diri masing-masing.”
“Di mana mereka tinggal Tuk Aji, ‘ saya pula
menyoal.
“Usah tanya di mana, sampai masanya aku
temukan keturunan tu dengan kamu,” penuh semangat Haji Basilam bersuara. Dua
tiga kali belakang saya di tepuknya. Andi Kamarool hanya tersenyum sahaja.
Di
bawah hembusan angin dan sinaran matahari pagi yang telah melepasi pokok
ketapang, kami pun bergerak meninggalkan muara jalan menuju ke pengkalan
(jeti). Sesekali, Haji Basilam menceritakan pengalaman silamnya yang menarik
dia mendaki Gunung Kerinci.
“Nama Kerinci
selalu dikaitkan dengan kapal iaitu Kapal Kerinci, pada hal nama Kerinci
diambil dari nama Gunung Kerinci, “ sambil melangkah Haji Basilam membuka
tentang sejarah bumi kelahirannya. Dan saya terus pasang telinga.
Bagi saya nama Kerinci bukanlah sesuatu yang
asing dan secara kebetulan pula di kampung saya terdapat ramai orang yang
berasal dari Kerinci.
“Pada hemat aku, Kerinci itu, boleh jadi
berasal dari perkataan KERING CAIR yang bermaksud danau yang kering,” Haji
Basilam bercerita kembali,” kerana proses alam dasar danau terangkat atau naik
ke atas menjadi dataran tanah yang tinggi. Tanah kering sebelah utara menjadi
Gunung Kerinci manakala yang berair sebelah selatan menjadi danau Kerinci.”
Datuk tidak memperlihatkan sebarang reaksi,
samaada benci atau suka bila mendengar cerita Haji Basilam. Datuk nampak
bersahaja dan tenang. Mungkin dia pernah kesana dan merasakan apa yang
dituturkan oleh Haji Basilam itu sebagai perkara biasa saja.
Berlainan kami berdua, apa yang keluar dari
mulut lelaki tua iu, adalah perkara baru membuat kami mendengar penuh minat dan
sekali-sekala anggukkan kepala.
Haji Basilam terus bercerita dan perjalanan
ke jeti yang agak jauh terasa dekat. Panas yang beransur terik juga turut juga
tidak terasa. Haji Basilam tetap macam tadi, bercerita dan terus bercerita. Dan
akhirnya kami sampai ke pengkalan. Tanpa membuang masa kami segera menaiki
salah satu bot penambang menyeberang Sungai Batang Hari menuju ke kota Jambi.
MENJERIT
“Kamu tunggu di sini, jangan kemana-mana.
Kami berdua ada urusan, tunggu di sini.” Haji Basilam mengingatkan saya dan
Kamarool sebaik saja kami duduk di sebuah bangku panjang depan sebuah kedai.
Haji Basilam dan datuk terus menghilangkan diri. Keadaan kota Jambi ari itu
cukup sibuk, kenderaan dan manusia bertali arus. Di saat saya dan Kamarool
melihat gelagat manusia ang lalu di hadapan kedai, sebuah kereta berhenti.
“Masuk.”
Haji Basilam jengukkan muka dari dalam
kereta.
“Kenapa tersengih-sengih masuk saja. Orang
suruh masuklah,” kata datuk ang berada di bahagian belakang (Di kusyen belakang) kereta. Saya buka pintu,
tanpa membuang masa terus meluluskan diri ke dalam kereta. Pemandu kereta yang
berkulit hitam berwajah garang menjeling tajam ke arah kami. Kereta yang
ditumpangi terus meluncur ke depan, Setap kali ada orang melintas alan
pemandunya membunyikan hon kereta.
“Tamar, Andi, ini anak saudara aku. Dia
selalu berulang-alik dari Jambi ke Sungai Penuh. Cara kebetulan dia mahu ke
sana, kita naik kereta dia, cepat sikit sampai,” Haji Basilam memperkenalkan
pemandu kereta kepada kami.
Si pemanadu hanya tersenyum misai tebalnya
turut bergerak tetapi sinar matanya tajam menyorot wajah kami. Saya agak cemas
melihat perangainya yang memandu laju dengan sebelah tangan. Hon keretanya
terus menjerit. Sesekali dia memarahi kenderaan lain yang memotong keretanya.
Datuk, hanya diam saja.
“Dari Jambi ke Sungai Penuh, berapa kilometer
Tuk Aji?” Andi bertanya. Haji Basilam terdiam.
“Lebih kurang 434 kilometer, kamu tahu tak
Sungai Penuh ibu Negeri Kerinci,” si pemandu menjawab dalam nada suara yang
keras. Dia masih memandu dengan sebelah tangan. Bila ada lembu atau kambing
melintas jalan, hon keretanya terus memekik. Sesekali dia menekan berek
kecemasan, membuat kami yang ada dalam kereta tersengguk-sengguk.
Perjalanan yang cemas dan membosankan itu
sampai ke sebuah bandar yang disebut Muarabungo. Kerana kami sudah hampir
dengan waktu zuhur, Haji Basilam menyuruh anak saudaranya berhenti di sebuah
masjid.
GANJIL
Setalah menunai sembahyang zuhur, kami
menjamu selera di sebuah gerai kepunyaan orang PADANG, datuk hanya makan tiga
suap nasi dan minum air putih. Setelah itu perjalanan menuju ke negeri
Kerinci–Sungai Penuh diteruskan.
“Berhenti di sini,” kata Haji basilam kepada
anak saudaranya. Empat tayar kereta terpaku di atas jalan raya. Tindakan Haji
Basilam membuat anak saudaranya terkejut. Saya dan Andi Kamarool juga merasa
ganjil, kenapa Haji Basilam berhenti di kawasan hutan.
Bila menoleh ke kanan, saya terlihat sebuah
rumah batu bentuk lama tersergam gagah. Halaman rumah yang bercat putih itu
kelihatan bersih. Pepokok bunga kertas yang berdaun lebat ditanam di kiri kanan
menuju ke tangga rumah.
Begitu juga dengan pasu-pasu bunga,semuanya
tersusun cantik. Pintu pagarnya terbuka luas. Di tiang pagar (kiri dan kanan)
terdapat sepasang patung burung helang yang sedang mengembangkan sayapnya untuk
terbang dengan mulut (muncung) terbuka.
“Kenapa berhenti di sini, Ayah Alang,” soal
anak saudara Haji Basilam.
“Sekarang dah dekat pukul lima, aku nak
tumpang sembahyang asar di rumah batu tu.”
“Eh, rumah tu,” muka anak saudara Haji
Basilam berkerut, dia resah semacam, “ semua pemandu tak berani berhenti di
sini, perempuan yang duduk di rumah tu bukannya manusia,” tambah anak
saudaranya.
“Siapa yang kata macam tu? “
“Kawan-kawan saya yang bawa kereta macam
saya.”
“Jangan pandai-pandai buat cerita. Itu rumah
kawan aku, nama sebenarnya Abdulhadi, gelarannya orang kaya, masa perang
melawan Belanda dulu dia jadi gerila masuk hutan dan terus ghaib, aku singgah
sembahyang di sini. Si tamar dan si Andi ni nak berkenalan dengan keturunan
orang kaya tu,” Haji Basilam renung ke arah saya dan Andi Kamarool. Datuk hanya
tersenyum sinis.
Tiba-tiba saya berdebar, teringat apa yang
saya ucapkan kepada Haji Basilam. Ternyata orang tua ini tidak mungkir janji.
Dia mahu memenuhi permintaan saya tetapi, sebaliknya saya pula terasa tergugat.
“Kamu pergilah ke Sungai Penuh, kalau tak
silap aku dari sini ke sana kira enam puluh batu. Aku dengan kawan-kawan balik
sendiri tapi, kalau kamu nak tolong, kamu datang saja pagi esok kira-kira pukul
sepuluh pagi.”
“Ayah Alang nak tidur di sini?” Wajah anak
saudaranya nampak cemas.
“Iya, di belakang rumah batu tu ada pondok
kecil khas untuk aku yang dibuat oleh orangkaya. Kami mengakui adik-beradik
dunia akhirat, anaknya aku jadikan anak angkat, sebulan sekali aku turun ke
sini menengok dia,” Haji Basilam memberikan penjelasan kepada anak saudaranya
yang sekali gus untuk kami bertiga.
Anak saudara Haji Basilam pun beredar. Tidak
sampai sepuluh minit bunyi enjin keretanya hilang dari pendengaran kami.
“Mari kita masuk.”
Kami pun segera megekori Haji Basilam
melepasi pintu pagar memasuki halaman rumah batu tua yang nampak tegap.Di
sebelah kiri rumah terdapat beberapa pohon ciku (sawo) yang berbuah lebat, di
sebelah kanan ada tiga pohon kelapa gading yang sarat berbuah. Sebaik saja
sampai di depan pintu rumah, Haji Basilam memberi salam dan terdengar suara
orang perempuan menjawap salam.
“Ayah datang bawa kawan.”
Serentak dengan itu daun pintu terbuka,
seorang wanita berkulit putih, leher jinjang, berambut ikal ombak laut tercegat
di situ. Dan kedua belah bibirnya yang nipis,
terukir senyuman mesra.
“Silakan masuk,” pelawanya penuh hormat.
“Masuk,” kata Haji Basilam.
Kami pun segera masuk ke ruang tamu
berpermaidani merah darah.
Saya duduk di kerusi antik buatan dari
Belanda menghadap ke arah dinding (ruang tamu) sebelah kanan, yang mempamerkan
potret muka harimau si seluruh dinding tersebut. Potret itu menakutkan, misai
dan mata harimau bila direnung lama-lama terasa seperti bergerak-gerak.
Melihat kelengkapan di ruang tamu
membayangkan pemilik rumah tersebut bukan sebarang, orang kaya dan ternama
serta dihormati. Kebanyakan barang perhiasannya semuanya buatan dari Belanda
atau Jerman.
No comments:
Post a Comment