Apa yang didengar dan
dilihat, ternyata menghadiahkan
kegembiraannya yang tiada taranya. Dan saya buat tidak kisah dengan
tingkah laku anak buah Haji Bagus. Biarlah mereka bersiul atau menyanyi
semahu-mahunya. Apa yang dapat saya kesan di sebalik semuanya itu, mereka
berusaha memperlahankan langkah agar jarak mereka dengan Haji Bagus kian jauh.
Saya tidak tahu,
apakah tindak tanduk mereka itu dapat dikesan oleh Haji Bagus. Tidak wajar saya
ambil tahu. Saya terus melangkah dengan mengambil kira keselamatan diri,
terpaksa berpaut pada batang-batang pokok kecil.
Kami kini sedang
menuruni kawasan berbukit menuju ke tanah pamah. Silap langkah ayau tersilap
paut, badan bergolek di bumi dan berhenti bergolek bila sampai di kaki bukit.
Kerana itu harus melangkah dengan hati-hati dan teliti. Dua tiga kali saya
dikejutkan oleh mengkarung liar yang berlari di bawah dedaun kering. Nyamuk
terus mengelilingi cuping telinga, bunyinya menganggu perjalanan.
Begitulah, sesudah peluh
membasahi sekujur tubuh, akhirnya kami berhadapan dengan jalan berpasir selebar
tiga kaki. Ada kesan tayar basikal dan motosikal di samping tapak kaki manusia dan binatang ternakan.
Panas makin terik,
angin yang bertiup lembut sudah lama berhenti tetapi, unggas terus berbunyi.
Saya mula terasa penat dan mahu berhenti. Malangnya saya tidak dapat berbuat
demikian kerana Haji Bagus tidak mengizinkan perjalanan diberhentikan tanpa
kebenaran darinya.
Setelah hampir dua
rantai memijak jalan berpasir, tanpa disangka-sangka Haji Bagus berhenti
melangkah.
“Kita sekarang ada di
hujung kampung. Kita dah sampai,” Haji bagus bersuara lalu duduk bertengek di
akar pokok tepi jalan berpasir. Saya masih berdiri dan tidak dapat membuat
keputusan samada terus berdiri atau duduk.
“Kenapa duduk?” Tanya
Tuk Siak yang terlewat beberapa minit
“Nak tunggu
budak-budak,” sahut Haji Bagus.
Tuk Siak anggukkan
kepala dan terus duduk di sisi Haji Bagus. Dan tanpa rasa malu saya terus duduk
atas rumput tepi jalan.
Lebih kurang lima
minit kemudian anak buah Haji Bagus pun sampai. Mereka berkumpul lalu mengelilingi
kami (Haji Bagus, Tuk Siak dan saya). Semuanya bermandi peluh tetapi masih
mempamirkan wajah keriangan dan senyuman.
“Kamu tahu, kita ni
dah berada di hujung kampung,”
“Iya, kami tahu Pak
Aji.”
“Jadi aku nak tanya
kamu semua, kamu nak ke masjid atau nak terus balik ke rumah masing-masing,”
suara Haji Bagus bernada lembut yang diakhiri dengan senyum.
“Begini saja Pak Aji,
kami ikut ke masjid dulu. Kemudian baru balik ke rumah masing-masing,” jawap
lelaki bermisai yang menjadi jurucakap kawan-kawan.
“Aku setuju dengan
cara kamu tu, kita ke masjid dulu dan baca doa kesyukuran kerana kerja kita
berhasil,” celah Tuk Siak yang disambut dengan tepukan gemuruh.
GARANG
Perjalanan yang
terhenti diteruskan. Selesai saja melalui jalan berpasir, kumpulan kami terus
membelah jalan tanah merah yang terbentang di tengah kampung dan akhirnya
melintasai kawasan perumahan. Matahari terus bersinar garang. Kerana angin mula
bertiup yang sekaligus berjaya menyingkirkan rasa panas di tubuh kami.
Kanak-kanak yang
bermain gasing dan galah panjang di halaman rumah segera berhenti bermain.
Seluruh perhatian mereka tertumpu ke arah kami yang bergerak bagaikan ombak.
Manakala suri rumah menjengukkan muka di
tingkap dan di muka pintu. Beberapa orang lelaki setengah baya bergegas turun
dari rumah lalu bersatu dengan rombongan kami menuju ke masjid.
Saya tidak tahu,
apakah kehilangan saya selama lebih 14 jam itu menjadi berita yang menggemparkan
seluruh kampung tersebut? Pasti kehilangan saya menjadi buah mulut penghuni
kampung. Buktinya, semua insan di dalam kampung melemparkan pandangan ke arah
saya.
Semoga di sebalik
daun pintu dan tingkap ada gadis Tanah Jambi yang bermata galak dan hidung
mancung. Mana tahu, secara diam-diam ada yang simpati nasib malang yang saya
alami dan akhirnya jatuh hati kepada saya. Terhibur rasa hati dengan
angan-angan yang berpeta dalam kepala secara mendadak.
Saya melangkah dengan
tenang dan pura-pura buat tak kisah dengan apa yang berlaku di sekeliling.
Sepasang mata saya arahkan ke masjid yang tersergam indah di hadapannya,
seolah-olah menanti kepulangan saya. Alangkah bahagianya, kalau datuk dan Andi
Kamarool menyambut kepulangan saya di
pintu masjid, Fikir saya dalam hati sambil menghayun langkah bersama
Haji bagus dan Tuk Siak.
Lebih kurang dalam
jarak 100 hingga 150 kaki mahu sampai ke kawasan masjid (setelah melepasi
selekoh kecil) tiba-tiba hati saya berdebar. Saya dapat merasakan ada empat biji
mata meenung gerak geri ssaya. Apa yang bergolak dalam dada tidak saya cakapkan
dengan Haji Bagus dan Tuk Siak. Dalam cemas dan debar langkah diteruskan.
“Assalamualaikum.”
Serentak kami menoleh
ke kanan. Datuk dan Andi Kamarool muncul dari celah-celah rimbunan peppokok
kecil. Saya menarik bafas lega.
“Kemana kamu pergi.”
Biji mata datuk
terbeliak ke arah saya.
“Sa sssss…..,” saya
tidak meneruskan kata-kata kerana saya tergamam.
“Jangan dipaksa cucu
kamu, semangatnya belum pulih. Kalau kamu marah-marah buruk jadinya,” Tuk Siak
mengingatkan datuk.
“Saya faham,” suara
datuk lembut.
“Kamu diseksa Tamar?” Andi Kamarool mengajukan pertanyaan.
“Kamu diseksa Tamar
?” soal Andi Kamarool lagi.
“Iya, “ kata saya
perlahan sambil anggukkan kepala. Dan selanjutnya tidak ada pertanyaan yang di
ajukan oleh Andi Kamarool kepada saya. Wajahnya nampak gusar sekali.
“Tak usah buang masa,
ita ke masjid dulu. Kita buat sembahyang syukur,” Haji Bagus mengemukakan usul.
“Satu cadangan yang
baik,” sahut Andi Kamarool.
Datuk memberikan
persetujuan dengan menganggukkan kepala.
Sebelum bergerak ke
masjid, Haji Bagus menemui salah seorang anak buahnya yang berbadan kurus,
berkulit putih menyimpan janggut, misai dan jambang. Ada sesuatu yang Haji
Bagus cakapkanpada si kurus yang banyak mengangguk dari bersuara. Beberapa
minit kemudian, (sebaik saja Haji Bagus selesai bercakap) si kurus keluar dari
kumpulannya, lalu bergerak menuju ke arah rumah Haji Bagus.
Apakah pesanan yang
dibawa oleh si kurus untuk orang rumah Haji bagus? Muncul pertanyaan nakal
dalam benak saya.
“Awak tak usah
marahkan cucu awak tu, dia dah selamat. Aku percaya dia tersesat,” tanpa
diduga, Haji Bagus bersuara sambil merenung ke arah datuk yang melangkah
seiring dengannya.
“Saya tahu Abang Aji,
saya tahu tapi…”
“Ha, kenapa tak teruskan,
biar aku dengar.”
“Tak mahu dengar
cakap orang tua-tua.”
“Ai, usah ambil kira
semuanya tu, budak-budak memang begitu.”
“Semuanya menyangka
diri dah pandai, bertindak ikut suka hati.
Tak mahu dengar cakap orang,” datuk terus merungut kecil kerana Haji
Bagus dan Tuk Siak buat tidak kisah dengan apa yang datuk rungutkan, perkara
tersebut mati begitu saja.
Bila masuk di
perkarangan masjid, anak buah Haji Bagus bergegas ke perigi membersihkan diri.
Saya dan Andi kamarool juga tidak ketinggalan. Begitu juga dengan Tuk Siak,
Haji Bagus dan datuk. Saya agak terkejut bila mendapati anak buah Haji Bagus
mengenakan pakaian ang baru dan bersih.
“Di mana dapat
pakaian baru, Andi ?”
Pertanyaan yang saya
ajukan itu membuat Andi Kamarool tersenyum lebar. Dua tiga kali bahu saya
ditepuknya.
“Kamu tak perasan,
masa kamu jumpa dia orang tadi semua nya memakai baju putih, seluar hitam dan
kain lilt kepala warna merah.”
“Aku tak begitu ambil
berat entang apa yang mereka pakai, itu kelemahan diri aku Andi.”
“Lain kali jangan
buat macam itu, sudah menjadi kebiasaan orang-orang di sini, bila masuk ke
hutan untuk mencari orang hilang atau sesat menggunakan pakaian khas macam tu.
Pakaian tu disimpan dalam pondok kecil dibucu masjid. Bila kerja dia orang
selesai, mereka pakai balik pakaian asal mereka.”
“Barangkali dia orang
ada ilmu baru.”
“Bukan ilmu lah
Tamar, perkara itu sudah menjadi kebiasaan orang-orang di sini. AKu dah tanya
hal ini dengan Tuk Siak.”
“Hmm…” saya mengeluh.
“Macam kau, awal-awal
lagi datuk kau sudah sediakan pakaian baru untuk kau. Dia tau pakaian kamu
mesti kotor. Kau ni tak boleh berfikir langsung,” sindir Andi Kamarool.
Sembahyang kesyukuran
dan dan pembacaan doa selamat pun diadakan. Saya jadi kelam kabut dan cemas
semacam, bila sebahagian dari penduduk kampung yang berada dalam mesjid
mendesak supaya saya menceritakan kembali pengalaman yang dilalui.
Saya tidak ada
pilihan terpaksa akur dengan permintaan mereka. Haji Bagus dan Tuk Siak
memberikan kata-kata perangsang supaya saya bercerita. Manakala datuk sendiri,
tidak pula melarang tu menyuruh. Segala-galanya terletak atas kebijaksanaan
saya untuk membuat keputusan.
“Ceritakan Tamar, ‘
desak Andi Kamarool.
“Baik, ‘ kata saya
tenang.
Setelah rasa kelam
kabut dapat cemas dapat saya kawal dengan sebaik mungkin. Maka dengan wajah yang penuh keyakinan saya memulakan cerita
dari kedatangan seorang gadis yang
menyerupai (menyamar) sebagai Nurul Hayat. Dari situ berganjak kepada pengalaman
pahit dan ngeri yang saya rasai semasa menjadi tetamu manusia yang disebut
mahaguru.
“Itulah yang saya
alami,” dengan nada suara yang rendah saya mengakhirkan cerita.
Sebahagian daripada
orang yang mendengar cerita saya itu terus mengeluh. Malah ada juga yang
mengelengkan kepala dengan wajah yang berkedut.
“Kamu tahu kepala
iblis yang paling besar, bukannya lelaki yang di panggil mahaguru. Orang kanan
mahaguru itu sebenarnya iblis besar,” seorang tua yang duduk dekat tiang seri
masjid bersuara lantang. Semua biji mata tertumpu ke arah nya.
“Perempuan jahanam tu
di panggil Bomoh Monah Supandi, nama sebenarnya adalah Halijah. Ilmu hitamnya
cukup tinggi, sihir dan puakanya tak terkalahkan. Kalau dia bergaul dengan kita,
dia nampak seperti orang baik baik, macam orang bangsawan. Namanya selalu
berubah,” tambah orang tua tu lagi. Dia tidak peduli dengan biji mata orang
ramai yang tertumpu kepadanya.
RESAH
Kita harus
berhati-hati , dia sedang mengembangkanilmu jahatnya. Anak muridnya bukan saja
di Sumatera ni, tetapi sampai ke Jawa dan Tanah Melayu,” Dengan wajah yang
merah padam orang tua berhenti bercakap. Dia terus duduk dan bersandar di tiang
seri masjid.
“Nanti dulu, jangan
tinggalkan masjid ni, kita makan duilu,” Haji Bagus berdiri di muka pintu masjid
menahan orang yang mahu keluar. Pada sangkaan mereka semuanya sudah tamat
sebaik sahaja saya mengakhiri cerita. Orang yang berdiri duduk kembali.
Orang tua yang
bersandar di tiang seri nampak resah semacam. Saya segera menghampirinya. Kami
bersalam penuh mesra.
“Apa yang mahu saya
panggil,”
“Panggil apa saja,
kamu tahu aku lebih tua dari datuk kamu,” kata orang tua itu ramah.
“Sudah ke Tanah
Suci?”
“Sudah dua kali ke
sana.”
“Kalau begitu saya
panggil Tuk Aji saja, boleh?”
“Kamu budak yang bijak,
aku tak kisah,” orang tua itu ketawa terkekeh. Misai putih nya yang lebat turut
bergerak. Rambutnya yang lebat sewarna dengan songkok putih (ketayap) yang di
pakainya.
“Orang asal kampung
ini?” saya merisik rahsia.
Dia gelengkan kepala.
“Dari kerinci, dari
Kampung lempur Mudek. Datang berziarah ke rumah Tuk Siak. Petang semalam.tiba.
Masa sampai orang di sini heboh tentang kehilangan kamu, mereka bersiap nak
mencari kamu,” ada segaris senyum bermain di kelopak bibirnya.
“Jumpa dan bercakap
dengannya.”
“Tuk Aji tak
ceritakan apa yang Tuk Aji tahu tentang bomoh perempuan tu.”
Saya lihat orang tua
tu menarik nafas panjang sambil merenung ke arah beberapa orang anak muda yang
sedang menatang beberapa talam hidangan di muka pintu masjid. Hidangan itu
segera disusun sebaris di ruang masjid.
Saya juga terlihat
datuk, Haji Bagus dan Tuk Siak berada di sebelah masjid, tidak jauh dari
tingkap. Mereka seperti berbincang entang sesuatu.
“Aku dari mula sudah
syak yang kamu ni dah masuk perangkap manusia syaitan tu. Tapi, aku tak berani
nak cakap pada sesiapa,” tanpa diduga orang tua itu bersuara tenang, saya mengigit bibir. Kumpulan anak muda yang
mengatur hidangan segera beredar ke tepi dinding. Tugas mereka sudah selesai.
“Aku tahu, datuk kamu
juga sependapat dengan aku tapi, dia tidak mahu menceritakannya. Walau apapun,
jangan fikirkan yang lalu tu, kamu dah selamat. Aku bercadang nak mengajak kamu
dan datuk kamu ke Tanah Kerinci.”
“Kalau tak dijemput
pun datuk memang ada rancangan nak ke sana.”
“Betul ke ?”
“Iya, Tuk Aji,” kata
saya serius.
“Jemput makan,
jamahlah apa yang ada.”
NIAT
Hai Bagus
mempersilakan tetamu masjid menjamah hidangan yang tersedia. Sudah tentu
permintaan yang tersebut tidak dihampakan. Hidangan yang disediakan, boleh
tahan juga. Keledek rebus, sambal bacang. Tumis petai ikan bilis, pulut putih,
kopi dan the. Pilih sendiri mana yang berkenan di hati. Dan yang menjadi
pilihan saya ialah pulut putih, tumis petai ikan bilis dan kopi. Enaknya tiada
terkata.
“Masa bila orang
rumah Abang Aji buat semuanya ini,” tanya datuk yang hanya menghirup kopi panas
. Dia tidak menjamah makanan yang lain.
“Saya dah niat dalam
hati saya kalau jumpa cucu awak, saya nak jamu orang yang mencari cucu awak,
termasuk orang yang menanti di masjid. Kerana itu, sebelum masuk hutan saya
suruh orang rumah sediakan barang-barangnya. Bila di beritahu yang cucu awak
sudah dapat, orang rumah saya terus masak,” Haji bagus buka rahsia.
“Ini dah kira cukup
baik, tengah hari ni, tak payah suruh orang rumah masak,” Tuk Siak bersuara
lalu disambut dengan ketawa oleh tetamu ang ada.
“Sekarang baru pukul
sebelas pagi, lepas waktu zuhur awak lapar semula, terpaksalah orang rumah
masak nasi,” tingkah datuk yang juga disambut dengan ketawa.
Menjelang pukul dua
belas tengah hari masjid jadi sunyi. Para tetamu sudah pulang kerumah
masing-masing. Saya, datuk dan Andi Kamarool terus berhenti dirumah Haji Bagus.
Semasa di rumah Haji
Bagus, datuk terus menyoal saya secara lebih mendalam lagi tentang perkara-perkara
aneh yang saya lihat dan alami semasa menjadi tetamu yang disebut mahaguru itu.
Dua hari kemudian,
setelah menunaikan sembahyang Asar, saya dan Andi Kamarool terus berehat di
ruang masjid. Datuk dan orang tua yang saya panggil Tuk Aji berada di bahagian
bawah masjid. Mereka berborak panjang di situ, barangkali datuk menceritakan
kepadanya tentang rancangan untuk pergi ke Tanah Kerinci.
Mungkin bukan perkara
itu yang dibincangkan. Siapa tahu, datuk dan orang tua itu sedang menyusun
strategi tertentu untuk melanyak gerombolan anak buah mahaguru hinga ke akar
umbinya. Begitulah, sambil baring saya meramalkan sesuatu tentang perbualan
datuk dengan Tuk Aji. Mungkin ramalan itu betul, mungkin tidak.
“Assalamualaikum….,”
terdengar suara di halaman masjid.
Saya dan Andi
kamarool segera bangun dan bergegas ke pintu masjid.
Seorang lelaki
memakai terendak, di pinggangnya terselit golok danparang panjang. Di bahu
kanannya tersangkut segulung rotan seni. Dengan pakaian yang agak lusuh dan
bertampal di sana sini, lelaki itu berdiri tenang di halaman masjid tanpa
sepatu.
“Pencari rotan
sesat,” bisik Andi Kamarool.
“Barangkali.”
“Bagaimana kita ke
bawah.”
“Ayoh,”
Sebaik saja kami sampai
di bahagian bawah masjid, tetamu yang tidak dikenali itu sudah pun berjabat
tangan dengan datuk dan Tuk Aji.
‘Apa hal awak kemari, “ soal datuk
“Tadi saya ke rumah
Haji Bagus dan Tuk Siak, malangnya mereka tak ada di rumah. Orang rumah Haji
Bagus suruh saya jumpa awak di masjid. Ada hal mustahak yang nak saya sampaikan
kepada awak berdua. Saya bukan orang kampung ni, kampung laman saya sebelah
hulu tetapi, saya selalu lalu lalang
semasa nak masuk ke hutan mencari rotan,” tetamu yang tidak dikenali berhenti
bercakap.
“Itu saja yang awak
nak cakapkan kepada kami,” kata Tuk Aji separuh resah. Aya dan Andi Kamarool
berpandangan, sedangkan datuk duduk merenung tanah. Dahinya dikerutkan.
“Bukan itu, ada hal
lain yang lebih mustahak dari itu,” suara tetamu yang tidak dikenali mula
meninggi. Segulung rotan seni di bahu dihempaskan ke bumi. Terendak yang
menyerkup kepala segera dibuka. Dia mempamirkan wajah garangnya. Mungkin dia
tersinggung dengan kata-kata yang diucapkan oleh Tuk Aji. Dia merasakan
kata-kata itu seolah-olah mempersendakan segala usahanya.
“Jangan marah, abang
saya ni tak bermaksud untuk memperkecilkan awak, terangkan, saya sedia
mendengarnya. Kalau awak nak minta pertolongan saya sedia membantu,” kata-kata
dari datuk itu ternyata dapat memadamkan api kemarahan yang meluap-luap di
hatinya.
RESAH
Bila perasaannya
sudah cukup tenteram, terendak di kepala diletakkan kembali ke kepala dan
segulung rotan di bumi segera diambil lalu disangkutkan ke bahu kiri semula.
Dengan senyum dia menatap wajah datuk. Tetapi, dia seperti keberaan untuk
mengucapkan sesuatu kepada datuk.
“Cakapkan, jangan
segan-segan,” datuk mendesak.
“Kerana kejadian tu
saya kira terjadi dalam kawasan jagaan Haji Bagus, eloklah saya beritahu kepada
orang-orangnya dengan…” dia tidak meneruskan kata-katanya akibat diganggu rasa
gatal dileher. Dia terus mengaru dengan sepuas-puasnya. “Dengan berbuat begitu
perkara ini boleh awak sampaikan kepadanya, iaitu Haji Bagus,” sambungnya.
“Apa halnya,” celah
Tuk Aji tanpa sabar.
“Begini, semasa saya
mencari rotan di kaki bukit, saya terserempak dengan sepasang suami isteri.
Kata mereka, mereka datang dari Tanah Melayu dan tersesat jalan, saya tunjukkan
jalan.”
“Kamu bantu mereka,”
soal datuk .
“Iya, saya bawa
bermalam di rumah saya, pagi tadi sebelum mencari rotan saya bawa dia orang ke
pekan dan saya perkenalkan mereka dengan orang yang selalu berulang alik ke
Tanah Melayu.”
“Dia tak cakap
apa-apa dengan kamu?” Soal Tuk Aji.
“Ada.”
“Apa dia.”
“Katanya lepas cari
rotan di hutan, dia suruh saya pergi ke satu tempat jumpa ketuanya untuk ambil
hadiah. Saya ikut apa yang dia suruh.”
“Kamu jumpa
ketuanya?” Soal datuk lagi.
Saya lihat tetamu
yang tidak dikenali tu terdiam. Dia nampak resah. Dua tiga kali dia kedutkan dahi. Mundar mandir di
depan datuk macam kucing hilang anak.
“Saya jumpa ketuanya
dalam keadaan sungguh menakutkan. Seluruh badanya rentung terbakar, tempat
kediamannya berselerak tetapi, beberapa patung manusia dan binatang yang dibuat
dari tembaga kuning masih elok. Saya juga terjumpa beberapa bahagian tanah yang
diturap dengan simen, tidak jauh dari tubuh yang terbakar hangus tu, saya jumpa
mayat orang lelaki.
“Mayat itu juga
terbakar?” datuk serkap jarang.
“Mayat lelaki tu
rentung separuh badan dari pinggang ke atas. Dari pinggang ke kiri, keadaannya
elok.”
“Macam mana kamu tahu
dia lelaki?” Soal Tua Aji.
“Alat sulitnya, alat
sulitnya elok.”
“Lagi apa yang kamu
jumpa?” Desak datuk lagi.
Pertanyaan itu
membuat tetamu tidak dikenali melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa
kali. Matanya merenung ke arah papan dinding masjid. Saya kira dia sedang
memerah otak untuk mengingati sesuatu.
“Semasa saya
berpusing-pusing di situ saya juga terjumpa pedang lama dan tempayan. Oh ya.
Saya jumpa mayat perempuan mati dihempap pokok besar separuh badannya terbenam
dalam tanah. Perkara ini lah yang hendak saya sampaikan kepada Haji Bagus. Ohh.
Terlupa pulak nak bagi tau nama, “ tetamu yang tidak dikenali itu tersengih
merenung saya dan Andi Kamarool. Barangkali dia sendiri terasa lucu dengan tindak tanduknya itu.
Sudah sampai mahu berbuih mulut, baru teringat mahu beritahu namanya kepada
kami.
“Nama saya Khatib
Koyan tapi orang panggil Koyan saja,” katanya lalu membelakangi datuk dan Tuk
Aji. Orang itu pun meneruskan perjalanan
pulang. Lebih kurang dalam jarak sepuluh kaki meninggalkan kami, orang itu
berpatah balik.
“ini ada beberapa bungkus
barang yang diberikan oleh pasangan suami isteri itu kepada saya. Dia minta
barang-barang ini disampaikan kepada Haji Bagus.”
“Apa barangnya?” Soal
Tuk Aji.
Koyan pun
mengeluarkan tiga bungkusan yang berbalut dengan kain hijau, putih dan merah
dari dalam bajunya. Bungkusan itu berukuran panjang kira-kira tiga inci dan
lebarnya tiga inci. Tingginya dalam dua inci lebih, berbentuk empat segi.
No comments:
Post a Comment