Beduk di masjid pun dipalu
orang, tidak lama kemudian suara azan maghrib bergema ke seluruh kampung. Kami
segera bangun. Haji Bagus bergeas ke ruang dapur. Tidak lama kemudian dia
kembali menemui kami.
"Saya dah suruh orang rumah masak lebih, saya suruh sediakan makanan yang sedap untuk kamu semua," Haji Bagus renung muka saya dan si baju hitam.
"Niat nak bermalam di rumah lama," celah datuk sambil ketawa.
"Saya dah suruh orang rumah masak lebih, saya suruh sediakan makanan yang sedap untuk kamu semua," Haji Bagus renung muka saya dan si baju hitam.
"Niat nak bermalam di rumah lama," celah datuk sambil ketawa.
"Begitu, walau macam mana
pun makan malam di rumah saya dulu," terdengar nada suara Haji Bagus
bersahaja. Datuk tersenyum sambil menggosok hujung hidungnya berkali kali. Kami
pun menuju ke muka pintu, si baju hitam turun dulu, diikuti oleh saya, datuk
dan diakhiri oleh Haji Bagus. Azan terus bergema.
"Dimana kamu jumpa budak
baju hitam tu, kalau tak silap aku kenal dia. Budak tu dah lama ghaib dari
sini, katanya menuntut ilmu batin dengan Munah Supandi, bermacam ikhtiar dibuat
oleh emak bapanya, dia tak juga mahu balik. Tiba-tiba dia mengikut kamu pula Mat
Diah," suara bisikan Haji Bagus ke telinga datuk dapat saya dengar agak
jelas.
"Nanti lepas sembahyang Isyak, lepas kita makan boleh saya cerita. Panjang ceritanya," itu jawapan yang datuk berikan. Ternyata jawapan itu amat menyenangkan Haji Bagus. Buktinya, dia tidak mengemukakan pertanyaan selanjutnya.
KERUMUN
Malam itu, selesai sembahyang
maghrib dan isyak, datuk dikerumuni oleh para jemaah yang kebanyakan usianya
lebih tua ari datuk, dan yang seusia dengan datuk ada kira-kira lima enam orang
saja.
Para remaja yang muda buat tidak kisah dengan apa yang berlaku di masjid. Mereka tercengang dan berbisik sesama sendiri sambil melemparkan renungan yang sinis ke arah datuk. Tindak tanduk para jemaah muda itu dapat dikesan oleh Haji Bagus.
"Orang ni, anak jati kampung ni. Berpuluh-puluh tahun duduk di Tanah Melayu. Arwah orang tuanya mewakafkan tanahnya untuk mendirikan masjid tempat kita berjemaah, orang tuanya juga mewakafkan tanahnya untuk dijadikan kubur," kata-kata Haji Bagus itu membuat para jemaah muda buka mata. Mereka merenung ke arah datuk dengan penuh rasa kagum.
"Rumah besar sebelah
masjid yang selalu kita gunakan untuk majlis nikah kawin, berkhatan dan
macam-macam lagi majlis....," secara mendadak saja seorang tua turut
bersuara dari arah kanan saya. Semua biji mata tertumpu ke arah lelaki tua
itu.
"Dia beranak di situ,
rumah dan pinggan mangkuk yang kita gunakan bila kenduri kendara milik orang
tuanya yang diwakafkan untuk kita semua. Dia balik ke kampung macam berdagang
di rantau orang, ada tanah, ada rumah tapi bukan haknya," sambung orang
itu penuh semangat. Datuk hanya gelengkan kepala.
"Saya balik ke sini kerana saya rindukan pada kampung laman, rindu pada saudara-mara, terutama golongan tua yang ada pertalian darah dengan saya," secara mengejut datuk bersuara. Semua yang ada dalam masjid anggukkan kepala.
"Budak yang pakai baju hitam, seluar hitam, ada hubungan apa dengan awak," tanya seorang anak muda dalam lingkungan usia tiga puluhan.
"EH, berbudi bahasa
sedikit, hormatilah orang tua," sergah haji kepada anak muda itu,
"dia cucu saya, tak suka saya tengok dia biadap begitu dengan orang
tua," tambah Haji Bagus, bila dia melihat datuk terpampan dengan tindak
tanduknya.
Penjelasan yang diluahkan oleh
Haji Bagus membuat datuk menarik nafas panjang. Membayangkan kelegaan yang amat
sangat.
"Maafkan saya," kata
cucu Haji Bagus dengan wajah sedih. Datuk segera mendekatinya, dua tiga kali
datuk gosok belakang cucu Haji Bagus.
"Aku maafkan kamu,"
bisik datuk ke telinganya, " orang muda jangan cepat naik darah. Kalau
cepat naik darah, nanti ramai musuh dari sahabat," tambah datuk, anak muda
mulut celupar terus anggukan kepala.
"Terima kasih kerana
nasihat yang berguna," kata anak muda itu sambil merenung lantai masjid.
Para jemaah mula bercakap
sesama sendiri. Mereka memuji anak muda mulut celupar yang mahu mengakui
kesilapan sendiri.
"Untuk pengetahuan jemaah
semua, budak ini...," datuk menuding jari telunjuk ke arah si baju hitam,
" ... dia tiada pertalian darah dengan saya tapi, dia adalah sahabat
seagama dengan saya. Cerita bagaimana saya berkenalan dengannya, rasanya tidak
elok saya ceritakan di sini. Walau apapun, dia adalah saudara Isalam tuan-tuan
semua," sambung datuk dengan wajah yang tenang dan di akhiri dengan senyum.
Semua wajah para jemaah berada dalam bola mata datuk.
"Tak apalah, kalau begitu
kita lupakan saja," terdengar suara seorang jemaah.
"Saya bersetuju, eloklah
kita bersurai," sahut yang lain.
"Saya tak puas hati,
kalau tidak di terangkan dengan sebenar," tingkah yang lain pula.
Saya lihat datuk resah
semacam. Sudah ada dua kumpulan yang berbeza pendapat didalam masjid yang
berpunca dari rasa tidak puas hati.
Jika perkara ini di biarkan
tergantung (tanpa penyelesaian) pastikan akan menimbulkan hal yang tiada
diingini. Mungkin ada yang menaruh prasangka yang buruk terhadap saya dan
datuk. Saya kira datuk tidak akan membiarkan bengkak menjadi bisul.
RAMALAN
Ternyata ramalan saya tidak
meleset. Datuk berbisik sesuatu pada si baju hitam. Selesai saja datuk
berbisik, si baju hiam melangkah ke depan. Berdiri di tengah-tengah jemaah.
Saya lihat ada jemaah yang tercengang-cengang, malah ada yang merenung pintu
masjid.
Barangkali sebagai persiapan
untuk lari, sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini. Si baju hitam
bagaikan mengetahui apa yang berada dalam hati para jemaah. Dia pun menghiasi
wajah seriusnya dengan senyum. Haji Bagus tetap berhati-hati dan melihat
gerak-geri su baju hitam dengan penuh teliti sekali.
"Apa yang dikatakan oleh
orang tu memang benar. Kami tidak ada pertalian darah keluarga. Tetapi, kami
mempunyai ikatan saudara seIslam yang cukup kuat" dengan tenang si baju
hitam memulakan percakapan, " saya tahu apa yang ada dalam hati perut
tuan-tuan semua. Tuan-tuan yang ada di sini kenal saya, kalau tak kenal saya
tapi kenal ibu bapa saya, saudara-mara yang lain," sambung si baju hitam.
Di bawah sinar lampu gasoline, dia menatap wajah para jemaah. Bagaikan minta
simpati.
"Malah ada kawan-kawan
yang sama-sama main gasing dengan saya di dalam masjid ni, buat tak kenal
dengan saya. Sebabnya saya jahat, Menuntut ilmu dengan bomoh wanita. Kerana
malu emak bapak saya tinggalkan kampung ni....." si baju hitam tidak
meneruskan ucapannya. Wajahnya nampak sedih sekali.
Dia tundukkan muka renung lantai
masjid. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kemudian menelan air liur. Semua yang
ada dalam masjid terdiam dan berpandangan sesama sendiri.
"Tahukah tuan-tuan, saya
disuruh oleh tuk bomoh membunuh orang ini," jari telunjuk si baju hitam
menghala ke arah batang tubuh datuk. Ada yang gelengkan kepala sambil
mengucap panjang. Datuk tersunyum sambil anggukkan kepala membenarkan apa yang
dikatakan oleh si baju hitam.
"Tetapi, ilmu yang ada
pada diri saya belum cukup, dikalahkan dengan cara zahir dan batin. Saya
terpaksa ikut dia dan berjanji untuk jadi orang baik-baik. Saya nak bertaubat.
Kalau tuan-tuan semua sangsi dan masih renung serong dengan saya, susahlah
saya. Dengan perkataan lain, tuan-tuan mahu selama-lamanya saya berkawan dengan
iblis. Dimanakah letak dan rasa tanggongjawagb seorang Islam, jika tidak
sanggup memberi maaf dan bimbingan kepada orang Islam yang sesat untuk kembali
ke jalan Allah," nada suara si baju hitam agak tinggi. Dia merenung ke
arah datuk.
"Orang ini memberitahu
saya," lagi sekali jari telunjuk si baju hitam menuding ke arah datuk,
" katanya, Allah amat sayang kepada orang yang sedar dan mahu mengaku
kesilapan sendiri. Ajaran Islam tidak menolak pengikutnya yang mahu memilih
jalan yang baik," sambung si baju hitam. Saya lihat dia tersedu. Datuk
menepuk bahu kirinya meminta dia bertenang.
"Sabar, kalau mereka
tidak mahu menerima kamu, ada kampung lain yang mahu menerima kamu. Bukankah
Islam itu berada di mana-mana, anggaplah ini cubaan pertama kamu," anak
telinga saya masih dapat mendengar suara datuk berbisik dengan si baju hitam.
Dengan segera si baju hitam panggungkan kepala. Dia senyum ke arah para jemaah.
Dia bagaikan mendapat kekuatan baru.
"Sekarang semua sudah
jelas, terimalah dia kembali. Kita tunjukkan kepadanya jalan yang harus di
laluinya, sesuai sebagai seorang Islam," secara mengejut datuk bersuara.
Saya perhatikan orang yang berada dalam masjid diam terpaku.
SALAM
Paling mengejutkan saya, tanpa
diminta atau disuruh para jemaah mengerumuni si baju hitam. Bersalaman sebagai
tanda persaudaraan seagama. Malah ada yang secara terang-terangan bersedia
melupakan perbuatan si baju hitam terhadap diri mereka. Masing-masing
mengharapkan si baju hitam segera bertaubat.
"Syukurlah, kamu sudah
sedar," seorang tua dalam lingkungan tujuh puluhan memeluk si baju
hitam.
"Dulu aku nasihatkan
kamu, kamu marahkan aku. Kamu ajak aku berlawan. Sekarang kamu sendiri dapat
buat kesimpulan samada nasihat aku dulu betul atau silap," sambung lelaki
tua itu lalu melepaskan sepasang tangan yang memeluk si baju hitam. Akhirnya,
semua para jemaah meninggalkan masjid.
Tanpa diduga, beberapa orang
jemaah yang ada pertalian darah keluarga dengan Haji Bagus dan datuk, turut
mengiringi kami pulang ke rumah Haji Bagus. Saya tidak tahu kenapa mereka
berbuat demikian, mungkin diluar pengetahuan saya, Haji Bagus memang ada
menjemput mereka.
Walau apapun, kedatangan
sebilangan kecil para jemaah itu memaksa isteri Haji Bagus menyediakan makan
malam lebih daripada yang di hadkan. Sesungguhnya, malam itu keadaan rumah Haji
Bagus bagaikan kenduri kesyukuran.
Haji Bagus terpaksa bertungkus
lumus membantu isterinya membawa dan menyusun hidangan. Melihat kepada keadaan
hidangan yang disusun, saya kira isteri Haji Bagus bagaikan tahu yang suaminya
akan mengundang tetamu. Bila hidang sudah lengkap tersedia, Haji Bagus meminta
datuk membaca doa selamat. Permintaan itu segera di patuhi oleh datuk.
"Silakan, kita makan apa
yang ada sikit sama sikit," kata Haji Bagus sebaik saja datuk selesai
membaca doa.
"Langkah kanan kita malam
ni, hajat hati nak bertanya keadaan saudara mara kita di Perak, tiba-tiba dapat
nasi pula," salah seorang tetamu bersuara, matanya melirik tajam ke arah
hidangan yang tersedia.
"Tuah orang, rezeki
kita," sahut yang bersongkok baldu merah, memakai baju melayu potongan
teluk belanga, berkain pelikat dengan corak kotak besar.
"Musuh jangan dicari,
rezeki jangan di tolak, makanlah apa yang ada," ulang Haji Bagus lagi.
Jemaah yang hadhir segera menjamah nasi.
Selesai makan, badan terasa
segar, mata bertambah terang. Borak pun makin panjang. hampir jam sebelas lebih
para tetamu yang tidak diundang itu angkat punggung dari rumah Haji Bagus.
Pulang ke rumah masing-masing.
Bila malam kian larut membuat
badan terasa dingin. Tetapi, Haji Bagus masih bercerita lagi dengan datuk.
Peliknya, datuk tetap melayaninya, walau pun dia tahu saya dan si baju hitam
mula resah semacam.
"Bagaimana kalau kami
tidur di rumah lama," datuk bersuara. Ternyata pertanyaan itu kurang
menyenangkan Haji Bagus. Dia segera mengedutkan dahi. Dua tiga kali Haji Bagus
menggaru hujung dagunya dengan jari kelingking. Dari gerak-gerinya, saya yakin
Haji Bagus agak keberatan mahu memenuhi permintaan datuk.
"Aku fikir, tidur sahaja
di rumah aku. Malam esok baru tidur di rumah lama," penuh diplomasi Haji
Bagus bercakap.
"Lagi pun tempat tidur
telah disiapkan," campur Hajjah Mimah, isteri Haji Bagus yang terjengul di
pintu dapur yang memisahkan ruang dapur dengan ruang tengah. Saya dan datuk
bertukar pandangan. Si baju hitam hanya tunduk merenung lantai. Entah apa yang
di fikirkannya, sukar untuk saya ramalkan.
"Usah banyak cerita,
tidor saja di sini. Lepas sembahyang subuh kita pergi ke situ, tengok keadaan
dalam rumah, kita bersihkan dulu, sebelum tidur. maklumlah rumah lama tidak
diduduki macam-macam benda boleh menumpang. Entahkan ada ular bertelur, kala
menumpang. Entahkan ada lipan singgah. Bila dah dibersihkan dan dah selamat
bolehlah kamu tidur di situ," Haji Bagus bersuara lagi.
Ketika itu saya sudah tidak
mampu untuk menegakkan kelopak kulit mata. Tanpa rasa segan dan silu saya pun
merebahkan badan ke atas lantai. Saya tidak peduli apa kata datuk atau
Haji Bagus. Saya sudah mengantuk sangat.
Dalam hal ini, ternyata saya
tidak kesaorangan. Si baju hitam sudah dua tiga kali tersengguk-sengguk,
Tetapi, dia tetap duduk dan berusaha menjegilkan sepasang biji matanya. Datuk
masih belum memberi kata putus sama ada mahu terus bermalam di rumah Haji Bagus
atau bermalam di rumah lama? Haji Bagus terus menanti kata muktamad dari
datuk.
"Bagaimana mahu tidur di
rumah pusaka?"
"Bila dua orang membuat
permintaan, ertinya saya terpaksa mengalah. Jadi malam ini saya tidur di sini,
itu kata pemutus dari datuk dan Haji Bagus tersenyum manakala isterinya
tersengih. Penuh rasa bangga kerana tetamu tidak menghampakan harapan
mereka.
TIDUR
Maka datuk pun dianjurkan di
bilik depan, dekat anjung. Si baju hitam di bilik tengah. Sedangkan saya
disuruh tidur di bilik tepi, dekat pintu dapur.
Sudah tentu saya kurang
gembira bila di tempatkan di situ. Sebabnya saya berjauhan dengan datuk.
Bermacam-macam sangkaan yang buruk-buruk tumbuh dalam kepala saya. Wajarkah,
saya minta bilik lain. Kalau itu saya lakukan, ertinya saya sudah keterlaluan.
Jadi, dengan hati separuh rela, saya mesti bermalam di bilik tepi.
"Semuanya sudah sedia,
bila rasa mengantuk masuklah," dengan senyum Haji Bagus bersuara,
"saya tak boleh tahan lagi, mata dah rasa berat. Biar saya masuk
dulu,"
"Silakan," sahut
datuk.
"Saya harap semuanya
dapat tidur dengan nyenyak, subuh esok kita berjemaah bersama sama."
"Saya pun berharap macam
tu, " riang benar nada suara datuk. Haji Bagus pun melangkah, lalu masuk
ke ruang dapur. Memang bilik tidurnya terletak di situ. Tingkapnya menghadap
sebuah danau kecil.
Macam selalu, tidak kira
berada di mana, datuk yang suka tidur lewat, memulakan tugasnya membaca Quran
sebelum tidur untu sejam dua. Kemudian dia bangun untuk melakukan sembahyang
Tahajud. Tidur kembali dan bangun menjelang subuh untuk membaca Quran dan
sembahyang subuh.
Bagaimana caranya untuk
menyatakan kepada datuk yang saya tidak mahu tidur dalam bilik tepi. Sementara
itu, saya lihat si baju hitam keluar masuk bilik. Dia nampak resah dan cemas
semacam. Macam ada sesuatu yang dibimbangkannya.
Kelakuan si baju hitam
disedari oleh datuk. Tindak-tanduknya membuat hati saya bertambah berat untuk
tidur sendirian di bilik tepi.
"Ada apa Andy?"
Si baju hitam tersengih,
berdiri kaku di depan datuk. Kedua belah tangannya di luruskan ke bawah dengan
sepasang matanya tertumpu ke wajah datuk.
"Cakap, apa dia masalah
kamu," desak datuk lalu menutup Quran kecil lalu disimpan dalam beg khas.
"Cakap apa dia masalah
kamu," ulang datuk. Si baju hitam terus membisu merenung lantai. Cara yang
di perlihatkan oleh si baju hitam itu sudah pasti tidak disenangi oleh datuk.
Saya terus didakap keresahan.
"Kenapa diam? Cakap
terus-terang dengan aku sebelum darah aku naik," datuk mula mengertak.
Matanya mula nampak merah. Wajah datuk juga nampak serius.
"Ada cicak hitam besar
dalam bilik saya," suara si baju hitam bagaikan berbisik. Saya segera
mengigit bibir. Secara mendadak saja bulu tengkuk saya mula meremang.
"Pelik, mana ada cicak
hitam," datuk bagaikan merungut.
"Besar mana?" Tanya
saya
"Sebesar kucing
hitam."
"Apa kamu buat
dengannya," soal datuk.
"Saya tak buat apa-apa,
dia duduk dekat pelita minyak tanah. Bila saya cuba dekat, cicak itu
menjulurkan lidahnya ke arah saya," lanjut si baju hitam. Wajahnya nampak
cemas sekali. saya pun melihat jam dinding yang tergantung. Sudah pukul satu
pagi.
"Syaitan," keluh
datuk sambil menggenggam penumbuk.
Serentak dengan itu, terdengar
lolongan anjing sayup-sayup. Suasana malam yang sepi memudahkan anak
telinga saya menangkap bunyi desiran angin malam yang menyentuh dedaun pokok di
luar rumah. Saya juga mendengar bunyi telapak kaki orang berlari di bawah
rumah. Mahu rasanya saya beritahu datuk tetapi, bukan masanya. Dan saya kira
datuk juga mengetahui keadaan di luar rumah.
"Tak apa biar aku
tengok."
Datuk pun segera bangun. Cara
datuk agak luar biasa. Mula-mula dia luruskan sepasang kakinya. kemudian kaki
kanannya didirikan. dia meletakkan telapak tangan kiri keatas tempurung kepala
lutut kanan. Datuk pejamkan mata seperti orang bertafakur selama beberapa
minit. Bila matanya dibuka semula, datuk terus 'berselawat' sebanyak tiga kali
berturut-turut.
Selesai selawat datuk tarik
nafas dalam-dalam, tiga kali berturut-turut. Matanya merenung kearah dinding
tanpa berkedip. Dengan sekelip mata, datuk terus bangun berdiri bagaikan pendekar.
"Mari kita tengok,"
suara datuk meninggi, lalu dia menyuruh si baju hitam berjalan dulu.
Baru lima langkah berjalan,
Haji Bagus muncul dengan lampu suluh ditangan.
"Apa halnya abang
haji," datuk bertanya.
"Saya terdengar bunyi
orang perempuan menangis," Haji Bagus renung muka datuk sejenak. Sudah
tentu, apa yang Haji Bagus ungkapkan itu membuat kami bertiga terkejut dan
tercengang.
"Pelik, tak ada orang
perempuan bersama kami, macam mana pula abang haji boleh dengar suara orang
perempuan," kata datuk.
"Saya juga fikir macam
tu, pelik dari mana datangnya suara orang perempuan tu," Haji Bagus mula
resah. Dengan lampu suluh dia menyuluh ke setiap ruang rumah.
"Andi Kamarool jumpa
cicak hitam besar dalam biliknya, agaknya suara cicak tu macam suara orang
perempuan," beritahu datuk.
"Pelik," Haji Bagus
gelengkan kepala.
"Ini yang membuat saya
pening kepala abang haji. "
"Usah bimbang, kalau
begitu mari kita tengok."
"Jum." balas
datuk.
SELIT
Kami pun melangkah menuju ke
bilik Andi Kamarool. Kerana tidak mahu menjadi orang terakhir, saya segera
menyelit antara datuk dengan Haji Bagus. Si baju hitam terpaksa berada di
belakang. Dengan terketar-ketar Haji Bagus menolak daun pintu yang tertutup.
Sebaik saja bilik terbuka, tidak ada apa yang dapat dilihat.
"Tadi pelita elok
menyala, kenapa sekarang dah padam," tutur si baju hitam.
"Agaknya cicak hitam yang
padamkan," sahut saya.
"Eh kamu banyak cakap
pula, tak boleh diam," datuk memarahi saya. Haji Bagus berdehem dua tiga
kali. Tanpa banyak cakap cahaya dari lampu picit bergerak dari sudut ke sudut
bilik.
"Aduh,"jerit Haji
Bagus.
Serentak dengan itu lampu
suluh ditangannya terlucut, macam ada kuasa yang memukul pergelangan tangan Hai
Bagus, bila dia menyuluh ke arah tiang di sebelah kiri bilik. Haji Bagus
mengerang menahan rasa sakit.
"Ada benda yang memukul
tangan saya, keras macam kayu," itu yang dinyatakan Haji Bagus kepada
datuk. Dengan segera datuk memegang tangan Haji Bagus lalu diurutnya dua tiga
kali.
"Bagaimana rasanya tuan
haji."
"Dah tak terasa sakit
lagi."
"Hati-hati kita dalam
bahaya," datuk mengingatkan. Haji Bagus segera mengambil lampu suluh di
atas lantai. Lagi sekali Haji Bagus menyuluh ke arah tiang, di sudut kiri
bilik.
"Lihat," kata Haji
Bagus.
Semua biji mata tertumpu ke
arah cahaya merah saga yang melawan sinar lampu suluh Haji Bagus. Mungkin
kerana terkejut atau tergamam dengan apa yang dilihatnya menyebabkan lampu
suluh ditangan Haji Bagus terjatuh untuk kali keduanya.
Datuk segera mengambil lampu
suluh yang tersadai di lantai. Tetapi malangnya lampu suluh itu tidak berfungsi
dengan serta merta.
"Ambil lampu gasolin dan
gantungkan di sini."
Saya segera menurut kata Haji
Bagus itu mengambil lampu gasolin di ruang tengah.
"Sangkutkan pada palang
pintu."
Arahan Haji Bagus saya patuhi.
Bila cahaya dari lampu gasolin menyimbah ke seluruh sudut bilik, semuanya
tergamam tidak berkata sepatahpun. Semuanya terkejut bila melihat seekor cicak
ganjil, berwarna hitam duduk terperup di sudut bilik.
"Ini binatang yang kamu
katakan Andy," datuk ajukan pertanyaan kepada si baju hitam.
"Iya."
"Bala apa yang datang ke
rumah aku," Haji Bagus merungut.
"Sabar tuan haji, dengan
izin Allah yang jahat tetap hancur yang baik tidak binasa," balas datuk.
No comments:
Post a Comment