Beberapa orang yang lalu di depan kedai runcit segera menegur
Fuad Hassan. Walaupun saya dan datuk tidak ditegur sapa, kami tetap mempamerkan
senyum. Saya merasa kurang enak bila orang yang menegur Fuad Hassan menjeling
ke arah saya dan datuk.
"Begini, kita minum dulu," kata Fuad Hassan bila
menyedari saya dan datuk kurang senang berada di depan kedai runcit.
"Di mana?" Tanya datuk.
"Di hujung sana, tu," jawap Fuad Hassan, sambil
menuding jari telunjuk ke arah yang dimaksudkannya. Jarak antara kedai runcit
dan kedai kopi cuma selang tiga buah kedai saja. Terletak di hujung deretan
kedai.
"Mari," ajak Fuad Hassan.
Kami segera melangkah ke arah kedai tersebut. Sebagai
orang yang sudah arif dengan perangai datuk yang tidak suka minum di kedai,
merasai pelik dan aneh bila datuk memenuhi permintaan Fuad Hassan. Mungkin
datuk berbuat demikian kerana mahu menghormati hati seorang kawan. Kami segera
ke kedai kopi. Meja paling hujung jadi pilihan Fuad Hassan. Di situlah kami
berlabuh.
"Baru datang," tegur pemilik kedai. Fuad Hassan
anggukkan kepala. Mereka berbalas senyum dan saya tumpang jeling ke arah Nurul
Hayat yang tunduk merenung dada.
"Ini kawan saya," Fuad segera memperkenalkan datuk
dengan pemilik kedai. Mereka bersalaman. Saya lihat pemilik kedai berusia
sekitar empat puluhan, berkulit hitam dan rambut keriting cukup peramah. Senyum
sentiasa bermain di bibir dan saya merasa cemburu yang amat sangat, bila Nurul
Hayat membalas senyumnya.
"Nak minum apa?" Tanyanya.
"Saya teh susu," tentang Fuad Hassan memberi
jawapan.
"Encik minum apa?" Pemilik kedai renung muka
datuk.
"Beri saya air panas saja."
"Air panas," ulang pemilik kedai dang merasa agak
aneh dengan permintaan datuk itu. Fuad Hassan juga terkejut dengan karenah
datuk itu.
"Saya memang begini, suka minum air biasa bila di
kedai," datuk membunuh keraguan dan rasa hairan yang tumbuh di hati Fuad
Hassan dan pemilik kedai.
"Ada pantang larang agaknya," pemilik kedai cungkil
rahsia. Datuk tersengih sambil gelengkan kepala.
"Memang tak ada pantang larang, datuk saya ni memang
sejak dulu macam tu. Suka minum air biasa bila singgah di kedai kopi,"
kata saya, secara tiba-tiba. Fuad Hassan anggukkan kepala tetapi, pemilik kedai
pamerkan senyum yang saya kira tersembunyi seribu persoalan.
"Kamu juga nak minum air biasa?" Pemilik kedai ajukan pertanyaan kepada saya.
"Saya mahu kopi susu."
"Awak pula nak air apa?" Pertanyaan untu Nurul
Hayat.
"Saya tak minum apa-apa."
"Hai! Agaknya nak jada kecantikan," usik si pemilik
kedai. Hati saya makin membara.
Pemilik kedai meninggalkan kami dan datang kembali bersama
dengan barang-barang yang dipesan. Mungkin kerana kenal mesra dengan Fuad
Hassan atau mahu menarik perhatian Nurul Hayat, pemilik kedai yang saya anggap
separuh gatal terus duduk dekat Fuad Hassan.
"Baru kali pertama datang ke sini?" Pemilik kedai
renung muka datuk. Fuad Hassan yang sedang menatang cawan teh segera meletakkan
cawan atas meja kembali.
"Dia orang jati di sini, tetapi sudah lama merantau dan
balik sekali sekala saja, awak tak kenal asal keturunannya kerana awak bukan
anak jati di sini, awak orang luar, awak orang Acheh yang mencari rezeki di
sini," sampuk Fuad Hassan.
"Oh, maafkan saya kalau tersinggung," tutur
pemilik kedai.
"Tak mengapa, ini perkara biasa. Usahkan awak, anak jati
di sini terutama yang baru tak berapa kenal dengan saya," kata datuk
merendahkan diri.
Fuad Hassan terus menghirup air teh. Begitu juga dengan saya.
Ekor mata Nurul Hayat menyorot setiap gerak-geri saya. Hati saya amat gembira
sekali, bila pemilik kedai meninggalkan meja kami untuk melayani pelanggan lain
yang baru masuk ke kedainya.
Bila Fuad Hassan mahu membayar harga minuman, pemilik kedai
tidak mahu menerimanya. Alasannya, kerana dia mahu meraikan kehadhiran orang
luar (maksudnya datuk) yang sudah singgah di kedai. Berkali-kali datuk
mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya. Kami pun keluar dari
kedai.
"Hati-hati sikit, orang di sini suka menguji ilmu dan
kepandaian orang, terutama orang yang berdagang di sini," Fuad Hassan
mengingatkan datuk sebaik saja berada di depan kedai minum.
"Ini kisah baru, sebelum ni hal macam ni tak pernah terjadi di sini," balas datuk.
"Begitulah adat hidup, sentiasa berubah. Dulu lain,
sekarang lain, kita cuma terjaga jaga sudahlah, jangan sampai kita
terjebak," lanjut Fuad Hassan lagi. Dan datuk akur dengan nasihat
itu.
RENUNGAN
Dalam renungan beberapa orang yang lalu lalang di depan kedai
sederet itu, datuk dan Fuad Hassan terus bersalam untuk sekian kalinya. Mereka
berpisah mengikut kemahuan hati masing-masing. Nurul Hayat dan ayahnya menghala
ke utara. manakala saya dan datuk menuju ke selatan.
Kira-kira dalam jarak dua ratus kaki dari kedai minuman, saya
dan datuk membelok ke kanan memasuki jalan enam kaki. Suasana terasa agak
sunyi. Bayu petang yang bertiup menyentuh kulit muka membuat badan terasa
segar. Kami terus melangkah. Sambil melangkah, saya merenung ke kiri dan kanan
jalan enam kaki yang ditanam dengan ubi kayu. Dedaun ubi kayu yang hijau
kelihatan bergerak lembut mengikut arah angin bertiup.
Kebanyakan rumah didirikan di sebelah kanan jalan, letak atau
jarak antara satu sama lain agak berjauhan. Rata-rata atap rumah di situ dari
daun rumbia. Dindingnya dari papan dan ada juga dari tepas.
"Jauh ke lagi tuk?" Tanya saya tercungap-cungap.
Rasa sudah terlalu jauh saya menghayun sepasang kaki hingga terasa penat dan
kaki pula lenguh.
"Lepas selekoh di depan sampailah kita," kata datuk sambil menuding telunjuknya ke arah selekoh tajam. Di sebelah selekoh tersebut terdapat pokok jati berdaun lebat.
"Lepas selekoh di depan sampailah kita," kata datuk sambil menuding telunjuknya ke arah selekoh tajam. Di sebelah selekoh tersebut terdapat pokok jati berdaun lebat.
Saya meneruskan perjalanan dalam sinar matahari petang yang
kian runduk. Lebih kurang dalam jarak 50 meter mahu sampai ke selekoh tajam,
saya seperti terlihat sesuatu yang melintas jalan.
Bentuk benda yang saya lihat keadaannya menyerupai kanak-kanak
yang berusia sekitar tujuh tahun. Kulitnya hitam legam dan agak kurus. Kepala
nya gondol. Tiba-tiba saja bulu tengkok saya meremang. Cepat-cepat saya menarik
hujung baju datuk hingga langkahnya terhenti.
"Kenapa Tamar?"
"Saya nampak macam ada budak kecil melintas jalan dekat
selekoh."
"Ah! Kamu jangan merepek," datuk segera menepis
tangan saya bersama dengan kerlingan yang tajam. Dia meneruskan perjalanan dan
saya pun meneruskan langkah yang terhenti. Sambil berjalan saya toleh kiri dan
kanan. Sesekali saya merenung ke belakang. Entah mengapa, perasaan saya jadi
cemas dan takut semacam.
Sebaik saja sampai ke selekoh tajam, lebih tepatnya dekat
pokok jati besar yang berdaun lebat, badan saya terus menggigil dengan serta
merta tanpa sebab. Saya tidak boleh melangkah macam ada sesuatu yang memegang
kedua belah kaki saya. Tulang-tulang sendi terasa lembik dan saya terus rebah
ke bumi.
"Tamar, kenapa kamu?"
Datuk segera memeluk saya.
"Kenapa kamu Tamar?" Ulangnya lagi. Saya cuba
menjawap pertanyaan datuk tetapi, suara tidak keluar. Mulut mula berbuih.
Kerongkong terasa kering dan pedih. Seluruh kulit badan terasa amat panas
bagaikan terkena bara api.
Sinar matahari petang yang kian meredup (saya kira pada masa itu lebih kurang pukol lima setengah petang) terus menyimbah wajah. Kelopak mata amat sakit dan air mata terus mengalir.
Datuk terus menggosok kedua belah tempurung lutut saya dengan
ibu jari kirinya berkali-kali. Datuk berhenti menggosok tempurung lutut. Dia
termenung, macam ada sesuatu yang difikirkannya.
"Kalau tak silap aku, dari sini tak jauh lagi nak sampai ke rumah kaum kerabat aku. Memang tak salah lagi, aku sekarang berada di sempadan tanah kaum kerabat. Ada baiknya aku rawat di rumah saudara mara, ini lebih baik lagi," saya terdengar datuk berkata sendirian. Tanpa membuang masa lagi, datuk terus mendukung saya.
"Sekarang kita pergi Tamar."
Datuk pun memulakan langkah dengan berlari anak. Kenapa datuk berbuat demikian? Timbul pertanyaan dalam hati. Mungkin datuk dapat mengesan sesuatu yang kurang baik.
DUKUNG.
Semasa berada dalam dukungan datuk, telinga saya dapat
menangkap bermacam-macam bunyi aneh. Pada mulanya saya dapat menangkap bunyi
desiran angin yang lembut. Kemudian bertukar bunyi ribut bersama dengan
dentuman petir.
Saya juga mendengar bunyi pokok tumbang, jeritan gajah dan
ngauman harimau. Malangnya, apa yang saya dengar tidak dapat saya sampaikan
kepada datuk kerana saya tidak boleh bercakap. Suara saya hilang.
Datuk berhenti berlari anak. Tubuh saya diletakkannya atas
rumput di sebelah jalan enam kaki. Datuk tinggalkan saya di situ dan dia terus
berlari ke tengah jalan enam kaki. Berdiri di situ sambil berpeluk tubuh. Dan
sepasang matanya tertumpu ke arah pokok besar tanpa berkedip. Saya hanya
melihat saja apa yang datuk lakukan.
Sepasang kaki segera dikangkang. Jarak kaki kiri dengan kaki
kanan kira-kira dua belas inci. Kedudukan kaki kanan ke depan sedikit dari kaki
kiri. Berulang kali datuk mengerakkan lehernya dari kanan ke kiri sambil
ekor matanya melirik tajam ke arah pepohon renek sebelah kiri jalan enam kaki
yang kelihatan bergoyang seperti dilanda ribut.
Dedaun kering, reranting kering dan dahan-dahan yang ada
disitu terus terangkat lalu berterbangan. Pelik sungguh, semua yang
berterbangan itu menuju ke arah datuk.
Setap kali dahan atau ranting kayu menyentuh tubuh datuk saya
seperti terdengar suara orang berteriak keriangan. Ternyata datuk tidak ambil
kisah dengan semuanya itu. Dia tidak mengelak dan juga tidak menepis. Dia
merelakan dedaun, reranting dan dahan kayu menghujani tubuh badannya.
Datuk menggerakkan tubuhnya dengan mengangkat kedua belah
tangannya. Begitu juga dengan kakinya. Keadaan datuk seperti mahu memulakan
langkah silat yang teratur. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya lalu
membelakangi pokok besar.
Aneh! Semua benda-benda yang berterbangan tadi berpatah balik ketempat asalnya. Keadaan kembali aman dan tenang. Dan saya secara tak sengaja merenung ke langit, saya terlihat dua ekor burung helang terbang rendah sambil matanya merenung ke arah saya yang terlentang di bumi. Burung helang bagaikan bersedia mahu membenamkan paruhnya ketubuh saya. Mahu mengoyakkan kulit badan saya. Tentu saja saya menjadi cemas.
Datuk segera mengarahkan kembali sepasang biji matanya ke arah
pokok besar. Di saat datuk menumpukan seluruh perhatiannya ke batang pokok
besar, kelihatan sehelai kain hitam entah dari mana datangnya melayang-layang
di udara.
Tiba-tiba kain itu mengibas kearah susuk kiri datuk. Saya mencari siapakah yang mengibas kain hitam ke arah datuk itu. Usaha saya gagal. Tidak ada apa yang saya lihat. Apa yang pasti libasan kain hitam yang nampak lembut itu memberikan kesan yang hebat kepada datuk. Saya lihat datuk tersungkur ke bumi. Bahagian belakang bajunya terbelah dua.
Datuk mengeliat seperti menahan rasa sakit yang amat sangat.
Datuk berjaya bangun dalam keadaan membongkok. Dia memeluk lutut sambil menekan
kepalanya ke celah paha. Barangkali itu petua atau taktik datuk bagi
menyelamatkan kepalanya dari terkena libasan kain hitam aneh.
Disaat datuk bergelut melindungi kepalanya, libasan kedua pula
menyusul. Ternyata libasan kali kedua lebih berbisa, menghasilkan api lalu
membakar bahagian tepi baju datuk.
Sebelum api itu marak dan melarat ke bahagian lain, datuk
berhasil memadamnya. Belum pun hilang penat, libasan ketiga dari kain hitam
datang lagi. Datuk menggolekkan tubuhnya di atas jalan enam kaki, macam kucing
mandi pasir. Usaha yang datuk lakukan berhasil. Libasan kain hitam tidak
mengenai sasarannya.
BANGUN
Datuk terus bangun. Berdiri dengan gagah sambil mendepangkan
sepasang tangannya. Bersedia menanti apa saja, bak kata orang, membujur lalu
melintang patah dan serangan ke empat terjadi serta merta. Kerana datuk sudah
bersedia dengan tangkas dia menyambar hujung kain hitam.
Dengan sepenuh tenaga datuk berusaha menarik kain hitam ke
arahnya. Usaha datuk tidak berhasil, sebaliknya datuk seperti ke arah hujung
yang bertentangan dengan arah datuk.
Saya amati hujung kain (yang bertentangan dengan arah datuk)
muncul dari rimbunan pokok senduduk. Hujung kain itu diikat pada ranting
sebesar jari kelingking. Kalau difikirkan dengan fikiran yang waras, mustahil
ranting sebesar itu tidak patah bila ditarik oleh datuk dengan sepenuh tenaga.
Mesti ada tenaga ghaib yang menarik atau menahan kain hitam itu dari dikuasai
oleh datuk. Kain hitam yang terentang itu cukup tegang.
Datuk berhempas pulas mempertahankan dirinya dari ditarik oleh
kain hitam itu ke arah rimbunan pokok senduduk. Muka datuk nampak merah
padam. Peluh bagaikan mandi menguasai tubuhnya. Datuk tercungap-cungap tetapi,
dia masih lagi dapat bertahan dari tempat dia mula berdiri.
Mungkin kerana terlalu kuat menarik kain hitam menyebabkan
sepasang telapak tangannya luka. Darah merah segera bercucuran de bumi dan
sebahagiannya meresap ke kain hitam yang dipaut. Saya terharu melihat keadaan
datuk. Apakah daya, saya tidak boleh membantunya. Mahu menjerit suara saya
tiada. Mahu membantunya, saya tidak boleh bangun kerana tulang temulang sendi
saya tidak berfungsi sama sekali. Datuk terus bertarung.
Tiba-tiba datuk terus melaungkan azan. Suaranya nyaring dan
lantang. Bergema keseluruhan. Dengan serta merta kain hitam yang teregang
(tegang) menjadi kendur. Ranting tempat kain hitam melekat segera patah dan
kain hitam yang terentang terus ghaib entah kemana.
Tetapi sebahagian dari kain hitam yang berada di tangan datuk
tidak pula hilang sebaliknya bertukar warna menjadi seperti tepung gandum
bertaburan atas tanah merah.
Datuk pun mengesat kesan darah di telapak tangannya dengan
cebisan bajunya. Bila kerja itu selesai dia terus menatap sepasang telapak
tangannya dengan teliti. Tiap garis dan lekuk di telapak tangan ditenung dengan
tepat. Datuk membaca sesuatu, setiap jari dihembus.
"Ahhhh....," datuk menjerit. Serentak itu dia terus
membongkok. Sepasang telapak tangannya ditepuk di permukaan jalan tanah merah
sebanyak tiga kali berturut-turut. Datuk duduk bersila atas jalan sambil
menghalakan muka dan dadanya ke arah pokok senduduk.
Apa yang dilakukan oleh datuk selanjutnya amat mengejutkan
saya. Dia mengoyakkan bajunya yang dipakai. Dadanya terserlah lalu terkena
pancaran matahari petang yang redup. datuk menumbuk bahagian dada sebelah
kiri dengan tangan kanan sebanyak enam kali.
Kemudian datuk menumbuk bahagian dada sebelah kanan dengan
tangan kiri sebanyak lima kali. Datuk menarik nafas dalam-dalam.
"Sekarang aku bersedia, kalau syaitan tunjuk rupa kamu. Kalau kamu manusia datanglah kita bersalam," jerit datuk sekuat hati. Dia mengulangi kata-kata itu sebanyak tiga kali berturut-turut.
Datuk terus berada di dada jalan. Dia tidak mengubah posisi
kedudukannya. Lebih dari sepuluh minit datuk berada di situ. Bila datuk yakin
cabaran yang dibuat, tidak menerima tindak balas, dia segera bangun lalu
memetik beberapa lembar daun dari pokok renek. Datuk mendekati saya.
Daun yang dipetik segera diramas dan digosok di setiap sendi
tubuh saya. Kemudian datuk suruh saya bersenam ala kucing baru bangun
tidur.
Setelah selesa melakukan apa yang disuruh, seluruh tubuh saya
berpeluh. Dan gegendang telinga tidak lagi didatangi bunyi bunyi yang aneh.
Malah saya boleh bangun dan melangkah. Keadaan diri saya kembali normal.
"Sekarang apa rasa badan kamu, Tamar?"
"Saya rasa sihat tuk."
"Boleh kita teruskan perjalanan?"
"Boleh," jawap saya dengan penuh semangat dan
keakinan. Datuk pun memulakan langkah dan saya mengekorinya. Baru lima enam
tapak melangkah, datuk berhenti berjalan.
"Kenapa tuk?"
"Tak ada apa-apa, kamu jalan dulu, aku ikut dari
belakang."
"Saya jalan dulu tuk?" Tanya saya penuh keraguan.
Hati dan perasaan mula berdebar. Wajah datuk saya tatap.
"Jalan, apa tunggu lagi," desak datuk.
'Saaaayyy...," kata saya gementar.
Semasa saya mengekorinya tadi, saya terlihat benda-benda aneh
yang menakutkan. Bila disuruh menjadi kepala jalan, tentu perkara yang lebih
aneh dan dasyat dari itu akan saya alami.
"Kenapa saya, tidak datuk?" Saya memberanikan diri
memberi protes secara sopan.
"Ikut saja cakap aku, jangan banyak soal jawap,"
datuk jegilkan biji mata.
"Oh, kalau gitu saya jalan dulu tuk," kata saya
tersengih. Datuk anggukkan kepala bersama segaris senyum yang terukir di bibir.
Hatinya senang kerana saya patuh dengan cakapnya.
TOLEH
Tiga empat langkah berjalan, saya toleh ke belakang.
Tentu saja, cara yang saya lakukan itu kurang disenangi oleh datuk.
"Jalan terus, jangan toleh-toleh ke belakang," suara
datuk meninggi. Cuping telinga saya terasa pedih dijentik oleh datuk. Kalaulah
yang melakukan perbuatan itu bukan datuk, pasti saya maki atau kena penumbuk
saya.
"Ular."
Saya menjerit dan terus melompat.
Seekor ular hitam melintang jalan. Menghalang perjalanan saya
dengan datuk. Dengan pantas datuk menolak saya. Dia ke depan mengambil tempat
saya. datuk menghadapi ular hitam secara perlahan-lahan panggungkan kepala.
Datuk tumpukan perhatian kepada gerakan kepala ular itu.
Disaat ular itu mahu melepaskan patukan, bagaikan kilat datuk
menangkap kepala ular. Badan ular dihempas ke dada jalan. Kemudian ular hitam
dihumbankan ke dalam semak samun di seberang jalan.
"Susah sungguh hidup ni kerana manusia tidak pernah
jujur. Balik ke kampung halaman sendiri pun masih ada yang mahu
menguji," rungut datuk. Rasa kesal tergambar di wajahnya. Datuk mengigit
bibir, macam ada sesuatu yang difikirkannya.
"Tamar."
"Iya tuk, ada apa?"
"Buka beg pakaian yang kamu bawa."
Perintahnya segera saya akur. Datuk tukar baju koyak dengan
baju baru, masih memakai seluar lama.
"Nampaknya, aku tak boleh mengalah Tamar. Aku terpaksa
berkeras," ujar datuk sambil menyingsing kedua belah lengan bajunya. Dia
bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk pun memberi isyarat tangan agar
saya beredar dari sisinya. Saya pun beredar dan mencari tempat perlindungan
yang agak selamat. Dari gerak-gerinya ternyata datuk akan menerima tetamu yang
tidak diundang.
Datuk juga bagaikan tahu dari arah mana tetamu itu akan
muncul. Dia pun berdiri betul-betul di hadapan sebuah busut jantan. Semua gerak
geri datuk saya ikuti dengan teliti dari tempat persembunyian di balik sebatang
pokok jejawi besar yang berjuntai dengan akar sebesar lengan budak berusia
tujuh tahun.
"Prraaaappp."
Bunyi ranting kering di pijak. Saya jadi resah dan serba
salah. Apakah saya mesti terus bersembunyi atau keluar dari tempat
persembunyian untuk mendekati datuk. Saya tergamam, dari balik busut jantan
muncul sesusuk tubuh dalam pakaian serba hitam. Kaki kanan orang yang memakai
serba hitam memijak busut jantan. Dia berpeluk tubuh. Kepalanya juga dibalut
dengan kain hitam. manakala bahagian pinggang diikat dengan kain kuning.
No comments:
Post a Comment