Wednesday, September 7, 2011

SIRI 147 DIUSIK PENUNGGU SUNGAI



Apa yang terjadi di depan mata sungguh menakutkan dan saya tidak pernah terfikir yang Nurul hayat begitu tangkas bersilat, bertndak pantas. Melompat bagaikan kuda, menepis serangan bagaikan harimau.

Tidak diduga gadis yang lemah-lembut dan bersopan santun, boleh bertukar watak dengan serta merta menjadi bengis dan garang bila berdepan dengan musuh. Saya kira datu juga mengkagumi kehebatan Nurul Hayat yang terpamer di depan matanya.

Tanpa memberitahu dan meminta bantuan dari saya dan datuk, Fuad Hassan dengan dibantu oleh Nurul Hayat segera mengangkat sekujur tubuh lelaki yang kaku itu, lalu di buang ke laut. Datuk dan saya Cuma melihat saja.

Menyedari dua orang kawannya sudah menjadi korban, si perompak atau si lanun sungai yang berada dalam not kecil segera melompat keatas bot yang kami naiki.

Belum sempat si perompak atau lanun sungai itu mengamuk dengan kapak besarnya, Nuruj hayat menarik tali bot yaang terlonggok di bucu bot. Hujung tali bot dibuatnya bulatan dengan simpul ‘hidup’ (maksudnya simoul yang boleh digerakkan) dan tali itu dilempar ke arah kepala perompak. Lingkaran (bulatan) tali terus masuk ke batang leher perompak.

Kemudian tali yang sudah melingkari batang leher lanun sungai itu segera disenap dengan sekuat hati oleh Nurul Hayat. Leher perompak itu segera terjerut, tubuh perompak segera jatuh ke lantai, mengelitik macam ikan keli kena katuk. Beberpa minit kemudian sekujur tubuh menjadi kaku.
Fuad Hassan dan Nurul Hayat segera mengangkat batang tubuh perompak itu dan terus dicampak ke sungai. Kapak milik lanun yang tersadai atas bot segera di ambil oleh Fuad Hassan. Dengan kapak itu di tangan Fuad hassan segera melompat ke atas bot milik lanun.

Tanpa membuang masa Fuad Hassan segera menebuk lubang di bahagian tengah perut bot lanun dengan kapak. Alam beberpa detik saja air memnuak menguasai ruang bot. Bila Fuad Hassan yakin bot perompak akan berkubur di dasar sungai Batanghari, barulah dia melompat ke atas bot miliknya.

Bila dilihatnya ayahnya sudah selamat, Nurul Hayat pun segera bertindak memutuskan tali bot dan pencakuk besi (milik lanun sungai) yang terlekat pada bendul bot (milik Fuad Hassan) segera diputuskan dengan kapak.

Nurul Hayat bergegas turun ke bahagian perut bot untuk menghidupkan enjin bot. Dan bot yang saya naiki segera bergerak perlahan-lahan, akhirnya bergerak laju, mencipta gelombang di permukaan Sungai Batanghari. 

Bila datuk merasakan suasana sudah aman, perasaan Fuad Hassan sudah tenteram, barulah datk mendekatinya.

“Kenapa bertindak macam tu Fuad? Mengapa mesti binuh dan mayatnya dibuang di sungai dan sampan mereka dibakar. Kenapa tak serahkan mereka di Balai Polis. Biar polis yang menghukum mereka bukannya kita,” kata datuk dengan tenang sambil nerenung awan di dada langit yang bergerak perlahan-lahan.

“Memang inilah cara yang terbaik.”

“Maksud kamu Fuad?” Datuk jegilkan mata ke arah muka Fuad Hassan yang kelihatan amat letih sekali.

“Kalau diserahkan kepada polis dan dibicarakan, paling tinggi dia orang kena penjara dua tiga tahun, bila mereka dibebaskan dari penjara, mereka cari kita dan bunuh kita, sebelum kita dibunuh lebih baik kita bunuh dia orang. Inilah undang-undang di Sungai Batanghari, kalau tak cukup gagah dan dada kurang ilmu dan tak sanggup mati, jangan jadi tuan bot di sini,” Fuad Hassan memberikan penjelasan. Datuk Cuma anggukkan kepala, tidak memberi sebarang komentar.

Bot terus membelah Sungai Batanghari menuju ke Kota Jambi. Pepohon di kiri kanan tebing sungai kelihatan menghijau dan bergerak lemah ditolak bayu. Kicau burung bagaikan mengalu-alukan kedatangan kami. Esekali saya lihat monyet  berlompatan di hujung dahan begitu juga dengan tupai. Semuanya menyenangkan hati tetapi, untuk melupakan peristiwa yang terjadi di depan mata memang sukar saya lakukan.

“Negeri Jambi ni, banyak terdapat peninggalan sejarah tetapi peliknya Sungai Batanghari banyak perompak,” Fuad hassan seperti merungut,  maanya tidak berkedip melihat gelombang dan alun sungai yangbergerak ke tepian.

“Fuad,” kata datuk, “siapa yang jadi penyangak sungai ni, Fuad?”

“Susah nak cakap,” Fuad Hassan menarik nafas dalam-dalam. “mereka tu dulu jadi askar Belanda dan di anggap oleh rakyat jadi anjing kolonial, bila negara merdeka, orang ramai tidak dapat menerima mereka sebagai rakyat. Ada yang lari ke Belanda mana yang tak sempat lari jadi lanun sungai. Hal semacam tu bukan saja terjadi di sini tetapi terjadi juga di Sungai Musi dan beberapa sungai lain,” lanjut Fuad Hassan dengan wajah yang serius.

Saya kira datuk puas hati dengan penjelasan yang dihamburkan oleh Fuad Hassan. Buktinya datuk tidak mengemukakan sebarang pertanyaan lagi kepada ayah Nurul hayat. Walaupun demikian Fuad Hassan masih ghairah mahu menceritakan tentang Sungai Batanghari yang sedang dilalui oleh bot miliknya.


BUKIT BARISAN

 Kata Fuad Hassan, Sungai Batanghari bermulu atau ulunya dari Bukit Barisan dan berakhir (hilirnya) di Selat Melaka. Panjangnya lebih dari 637 kilometer. Di zaman gemilangnya dulu Sungai batanghari jadi laluan kapal dan perahu dagang dari seluruah benua. Dan cara kebetulan pula daerah jambi jadi tumpuan pedagang Islam dari negeri-negeri Arab, sambil berdagang mereka berdakwah.

Hasil perkahwinan penduduk setempat denganpara pekerja kapal dagang (ARAB) melahirkan manusia Jambi dengan wajah insan timur tengah dan patuh dengan ajaran Islam. Kerana itu kebanyakan pemuda Jambi berbadan tegap, hidung mancung, berkulit putih dan tinggi manakala yang perempuan dikatakan cukup jelita dengan raut wajah bujur sirih.

Fuad Hassan juga menerangkan bahawa di Muara Jambi terdapat peninggalan sejarah berupa batu-batu granit, arca dan candi di kawasan seluas 10 kilometer. Di tempat tersebut khabarnya menjadi pusat Kerajaan Melayu dan Sriwijaya.
“Jambi zaman dulu cukup hebat.” Tiba-tiba datuk bersuara. Ada kepuasan terpancar di wajahnya.

“Iya, memang hebat.” Sahut Fuad Hassan seiring dengan senyum bangga secara tidak langsung menyelinapkan rasa megah dalam diri saya kerana datuk berasal dari tanah Jambi.

Bot yang dikendalikan oleh Nurul Hayat terus bergerak dengan lancar membelah dada Sungai Batanghari yang airnya mengalir lembut. Fuad Hassan nampak aman dan tenang, dia segar tidak ada halangan dan rintangan yang bakal ditemuinya. Saya buat tidak kisah dengandatuk dan Fuad hassan, seluruh perhatian saya tumpukan ke arah bebuih dan dedaun yang diarak air ke hilir.

Mungkin datuk dan Fuad Hassan merasa bosan berada di lantai bot atau mungkin mereka kehabisan bahan untuk dibincangkan, mungkin mereka jemu melihat pepohon di kiri kanan sungaidan mungkin juga mereka muak melihat air sungai yang mengalir. Itulah andaian yang berbunga di hati, bila saya melihat datuk dan Fuad Hassan beredar ke bahagian (perut) bot.

Saya merasa aman, bila bersendiriandi atas pelantar bot. Gerak-geri saya bebas terlepas dari pengawasan biji mata datuk. Saya boleh melakukan apa saja yang saya inginkan. Sambil melihat air sungai yang mengalir, saya segera berkhayal mengikut kemampuan daya fikir saya.

Segera saya bayangkan dalam kotak fikiran, secara tiba-tiba muncul buaya di permukaan sungai. Buaya ganas yang sebesar batang kelapa itu mengangakan mulutnya. Dengan ekornya yang panjang sang buaya membedal bot yang kami naik hinga pecah. Papan bot terkapar atas permukaan sungai dankami terhumban ke air.

Di saat kami berenang ketepian untuk menyelamatkan diri, saya terdengar jeritan Fuad Hassan. Bila saya toleh ke kanan terlihat kocakkan dan gelombang air yang kuat, rupa-rupanya Fuad Hassansedang bertarung dengan buaya yang sedang membaham pangkal peha kanannya.

Kemenangan meyebelahi buaya ganas, Fuad Hassan dijulang oleh buaya melepasi permukaan sungai dan beberapa saat kemudian Fuad Hassan yang agak di daratan ghaib dari penglibatan saya.

Saya terus berenang seperti apa yang dilakukan oleh Nurul Hayat dan datuk. Tiba-tiba saya dapati beberapa ekor buaya bermunculan di permukaan sungai. Salah seekor dari buaya itu menyentap Nurul Hayat ke dasar sungai. Datuk juga jadi mangsa buaya. Pangkal bahu sebelah kanannya segera masuk ke rahang buaya. Memang dasar datuk yang tidak mudah mengalah, dia terus bergelut dengan buaya. Dengan kekuatan dua belah tangan, dia cuba membuka mulut buaya. Usaha datuk gagal dan dia pun ditarik ke dasar sungai.  

Saya tidak mahu ambil kisah dengan apa yang terjadi di sekitar saya. Dengan kemampuan yang ada, saya terus berenang ketepian. Sang buaya terus mengejar saya , makin kuat saya berenang makin cepat terasa letih menguasai diri. Saya jadi lemah dan tidak mampu untuk menyelamatkan diri, ketika itu saya rasakan dari hujung kaki ke pinggang sudah berada dalam mulut buaya.


MENJERIT

Kerana tidak tahu apa yang saya harus lakukan, saya terus menjerit dengan sekuat hati. Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Sayup-sayup saya terdengar bunyi kocakan air sungai bertukar menjadi tapak kaki manusia berlari atas lantai papan. Saya bertambah lemah dan akhirnya saya tidak tahu apa yang berlaku..

“Tamar!” Saya terdengar suara datuk dan serentak dengan itu muka saya dipercik dengan air dari hujung sirih sebanyak tiga kali berturut-turut. Saya buka mata dan saya dapati diri saya berada didalam perut bot. Dahi saya ditampal dengan cebisan daun sirih, kedua pergelangan tangan diikat dengan kain merah. Fuad hassan terus mengipas badan saya dengan kipas daun salak berlapis lima.

“Kenapa dengan saya?”

Fuad Hassan tersenyum. Pertanyaan saya tidak dijawapnya. Wajah datuk segera saya tatap.

“Kenapa dengan saya tu?”

“Hum…..” datuk tidak meneruskan ungkapan selanjutnya.

Dia mengigit bibir dan membuang daun sirih yang berada di tangan kirinya ke dalam sungai.

Buat beberapa saat daun sirih itu terapung-apung di permikaan air, terbuai ke kiri dan ke kanan mengikut alunan gelombang air yang dihasilkan dari gerak bot yang kami naiki. Akhirnya daun sirih itu terus diarak air menuju ke muara.

“Kenapa dengan saya tuk?” Tanpa rasa putus asa saya terus bertanya. Datuk masih membisu, dia meyeluk saku bajunya dan mengeluarkan gelang yang dibuat dari besi (dikalangan keluarga saya gelang jenis ini popular dengan  sebutan gelang Mekah) Tanpa berkata apa-apa datuk terus menyarungkan gelang tersebut ke tangan kiri saya. Semuanya ini membuat saya jadi bingung dan tidak tentu arah.

“Kenapa dengan saya tuk?” Ulang saya lagi.

“Kamu terlalu lama berjemur tengah panas menyebabkan kamu jatuh pengsan,” Fuad Hassan memberikan penjelasan. Datuk terus juga membisu. Kedua belah sendi pergelangan tangan saya terus diurut berkal-kali. Begitu juga dengan batang leher saya. Digosok hingga sampai ke pangkal daun telinga.

“Saya pengsan tuk? “

“Hum…,” datuk terus mendengus. Dia berhenti menjamah kedua belah pergelangan tangan saya. Dia juga berhenti menggosok batang leher saya.

Selagi tidak mendapat jawapan dari datuk, saya tetap resah. Bagi saya kata datuk adalah penamat.

“Kenapa saya pengsan tuk?”

“Kamu biadap,” jawapan datuk membuat saya tersentak. Saya segera bangun dan duduk di bahagian kepala bot, melihat air sungai yang mengalir. Saya rasakan bot yang dikendalikan oleh Nurul Hayat makin laju bergerak menuju ke kota Jambi. Kata-kat yang datuk luahkan tetap menjadi persoalan besar dalam diri saya. Kenapa begitu senang datuk menuduh saya biadab.

Bot terus meluncur laju, meninggalkan kawasan tebing yang dikuasai oleh hutan belukar.  Saya yakin, Nurul Hayat tidak menyedari apa yang berlaku di bahagian atas bot.

“Biadap macam mana tuk?”

“Kamu gatal tangan Tamar.”

“Gatal tangan? Saya tak fahamdengan maksud tuk,” kata saya dengan resah. Fuad hassan mengikuti perbualan saya dengan datuk secara serius. Lagi sekali saya menarik nafas dalam-dalam, masih belum terdaya menjangkau maksud dari ungkapan yang datuk luahkan.

“Tadi, semasa aku dan Fuad turun ke bawah sebelum kamu jatuh pengsan, ada benda hanyut lalu dekat bot, kamu usik benda tu. Kamu ludah dan baling dengan kayu,” datuk renung biji mata saya dalam-dalam. Keresahan mula menguasai diri saya. Memang tepat apa yang datuk katakan itu. Saya tidak dapat berdalih atau mengelak. Saya segera anggukkan kepala.

“Kamu nakal, suka cari penyakit,” sambung datuk lagi sambil menggosok batang hidungnya beberapa kali. Saya tunduk kaku sambil menarik nafas perlahan-lahan. Bagaimana datuk dapat mengesan semuanya ini?

Sesungguhnya, saya tidak menduga perkara sekecil itu boleh menimbulkan risiko yang berat untuk diri saya. Perkara itu saya lakukan sekadar untuk suka-suka, tidak lebih dari itu. Disaat saya memikirkan hal tersebut secara sepontan muncul dalam kepala benda terapung yang diarak air sungai di tepi bot. Besarnya sama dengan talam tembaga dan menyerupai bentuk bunga teratai yangterapung dikolam. Tetapi warnanya berbeza dengan warta teratai yang sering kita lihat.

Saya lihat warnanya kehitam-hitaman, di bahagian tengahnya terdapat selonggok bebuih , macam buih sabun. Anehnya buih itu bolehmengembang dan mengecut serta mengeluarkan warna biru kilau-kilauan, akibat dipanah matahari.

Di bahagian kelopak bunga terdapat tulang-temulang (saya kira tulang lembu atau kerbau) yang disusun rapi, tiga selari. Dilihat dari atas bot memang cantik dan menarik, menimbulkan keinginan dalam hati saya untuk mengusiknya.


TERDAMPAR

Cara kebetulan di hujung kaki terdampar sepotong kayu yang panjangnya kira-kira empat inci dantebalnya sekitar empat inci. Kayu sepotong itu digunakan oleh Fuad Hassan untuk menahansesuatu di atas bot. Tidak dinafikan, sejak saya berada di atas bot, kayu seketul memang menjadi perhatian saya. Boleh digunakan untuk mempertahankan diri jika diganggu oleh lanun sungai.

Tanpa mahu berfikir panjang, kayu itu segera saya ambil. Cepat-cepat saya jenguk permukaan sungai. Benda yang berbentuk macam bunga teratai masih terapung-apung, berlegar legar dekat badan bot. Kayu ditangan segera saya lepaskan, tepat mengenai sasarannya.

Benda yang menyerupai bunga teratai terus tenggelam dan timbul kembali dalam keadaan terbalik. Bila sudah terbalik segala-galanya menjadi jelas.  Benda itu sengaja dibentuk demikian rupa dibuat dari anyaman buluh.

Supaya benda ituberada dalamkeadaan terapung bila dihanyutkan dipermukaan sungai, maka bahaian bawahnya ditaruh batang buluh kering. Saya merasa puas bila benda itu sudah terbalik, semua yang berada diatasnya sudah berkubur di dasar sungai. Angkai atau tempat meletakkan benda yang berbentuk bunga teratai terus hanyut ke hilir. Saya tersenyum puas.

Tiba-tiba saya seperti mengalami kejutan elektrik, seluruh sendi bagaikan dicucuk dengan jarum. Saya seperti berada di alam yang fana, semuanya terasa sepi. Otak dan fikiran terasa k osong. Diri bagaikan tidak ujud didunia. Saya tidak tahu dimana saya berada danperkara itu hanya berlaku untuk beberpa saat.

Bila keadaan saya pulih seperti sediakala, fikiran saya mula dibayangi dengan hal-hal aneh yang tidak tentu hujung pangkalnya hingga saya mengkhayalkan kemunculan buaya di dada sungai yangberjaya mengkarakan bot yang dinaiki.

“Sekarang kamu dah dapat menangkap apa yang aku maksudkan? Sebabnya juga dah kamu tahu.”

Fuad Hassan tidak bersuara tetapi, matanya sering menatap wajah saya dan datuk. Dia nampak seperti berada dalam keadaan serba salah dan dia tidak tahu apa yang kami (datuk dan saya)  bincangkan. Minatnya untuk mengetahui tetap ada, ini berdasar gerak geri dipamerkannya.

“Sepatutnya kamu bertanya dan berfikir sebelum membuat sesuatu. Setiap benda yang hanyut dan pelik keadaannya, ada pemiliknya. Kamu usik harta orang dengan minta izin, tentulah tuan punyanya marah’” sambung datuk dengan ekor mata menjeling ke arah Fuad Hassan.

Bot terus meluncur, kini sudah pun masuk perkampungan. Dan saya sekali-sekala dapat menikmati bunyi kokok ayam jantan. Suasana tanah Jambi tidak banyak beza dengan keadaan kampung halaman saya.

“Kamu tahu Tamar….,” datuk berhenti cakap  

“Tahu apa tuk?”

“Benda yang kamu usik tadi ?”

Saya segera gelengkan kepala.

“Jangan kamu tak tahu, benda yang kamu terbalikan tadi ialah ancak jamuan atau pun sesajian untuk jembalang sungai, kamu rosakkan hidangan orang, marahlah orang. Nasib baik aku cepat sedar, kalau lambat dipulihkan, kamu akan bergolek-golek atas bot macam ikan atas darat, bijimata kamu terbeliak merah sebelum kamu terjun ke dalam sungai,” cerita datuk lagi yang membuat saya merasa cemas dan seram.

Setelah mendengar kata-kata dari datuk barulah Fuad Hassan  mengerti dan faham dengan perkara yang (saya dan datuk) bincangkan.     

“Kamu suka dengan nahas,” kat Fuad Hassan. “Tulang dan bunga untuk jin sungai atau jembalang sungai, tak ada siapa yang berani usik makanan makhluk ghaib, kalau terlanggar buruk padahnya. Seorang kawan aku cara tiba-tiba terjun ke sungai dan terus ghaib bila dia sengaja melanggar ANCAK yang dihanyutkan,” Fuad Hassan gelengkan kepala sambil menatap wajah saya serius sekali.

Tanpa diminta, Fuad Hassan pun menceritakan yang lanun sungai amat takut bila terserempak dengan ANCAK yang dihanyutkan. Bila terserempak, mereka tidak akan melakukan rompakan atau memanggil pawang bagi menghalau penunggu sungai supaya jangan mengacau mereka. Jika ancak itu melalui kawasan kanak-kanak mandi, salah seorang dari kanak-kanak (terutama yang lemah semangat) pasti kena rasuk (histeria) atau mengalami sakit yang sukar diubati, kalau pun berjaya diubati si kanak-kanak itu akan mengalami gangguan jiwa (gila).


  SBDJ (Jilid 11)  Siri 148   MEMBUANG ANCAK

        
 

No comments:

Post a Comment