Datuk terus berbisik kepada saya, “tidurlah, esok kau akan tahu apa yang dah terjadi,” saya angguk kepala dan cuba memejamkan mata dengan harapan saya akan terus terlena. Usaha saya itu gagal sama sekali. Tetapi banyak perkara yang menakutkan datang dalam kepala saya. Datuk tahu dengan apa yang saya alami. Dua kali dia menghembus muka saya, kemudian memicit batang leher saya mencari urat tidur. Bila urat tidur itu dipicitnya, mata saya terasa berat sekali. Akhirnya saya terlena.
Bila saya membukakan
kelopak mata, saya lihat datuk sudah pun selesai sembahyang subuh. Tanpa banyak
bicara saya terus ke perigi mengambil air sembahyang. Bila saya mahu memulakan
sembahyang saya lihat datuk menyandarkan badannya ke dinding. Kedua belah kakinya
diluruskan.
“Aku harap kau akan
jadi orang Islam yang teguh dengan rukun yang lima bila kau sudah jadi macam
aku,” ujar datuk sebaik saja saya menyelesaikan perintah Allah. Saya tersenyum
“Sembahyang itu tiang
agama, kita pandai bercakap dan tahu hukum agama tidak bererti, kalau kita
tidak sembahyang,” tambahnya sambil bangun. Datuk berdiri di muka pintu melihat
matahari pagi yang mula terbit di kaki langit. Bunyi kicau burung mula
kedengaran. Datuk turun ke tanah. Datuk turun ke tanah. Saya mengikutinya dari
belakang. Sampai dekat pokok besar datuk berhenti berjalan.
“Kenapa ? Datuk tak
mahu mandi embun pagi ni ?” tanya saya.
“Mandi, tapi aku nak
mencari mayat Kidon dulu.”
“Aku agak di kawasan
ni, kau cari arah matahari terbit dan aku arah matahari jatuh.” Baiklah Tok.”
Saya berjalan menuju
ke arah pokok jejawi besar. Lebih kurang dalam dua puluh langkah mahu sampai ke
pangkal pokok jejawi besar, saya terserempak dengan mayat Kidon. Badan saya
menggigil saya lihat mayat Kidon tanpa kepala. Seluruh badannya bercalar, macam
digaru oleh binatang buas. Datuk pun segera saya panggil.
“Kenapa ?” soal datuk
“Mayat.”
“Mayat,” suara datuk
menurun. Dia pun melangkah menuju ke arah mayat Kidon. Datuk mematahkan
anak-anak pokok lalu menutup mayat Kidon.
“Kita mandi embun
dulu,” kata datuk dengan senyum.
“Mayat ni macam mana
tok ?”
“Biarkan di situ
dulu, lepas mandi embun baru kita uruskan, baru kita beritahu pada orang
kampung.”
“Saya faham tok.”
Pagi itu, kami
berjalan di tepi hutan kecil sambil mandi embun. Badan terasa cukup segar. Bila
mandi embun selesai. Datuk terus menemui ketua kampung. Kerana Kidon tidak
mempunyai sanak saudara, urusan pengkebumian mayatnya diuruskan oleh pesatuan
khairat kematian kampung itu. Ketua kampung memberitahu pada semua penduduk,
bahawa kematian Kidon di baham oleh harimau. Perkara yang serupa itu juga
dilapurkan kepada pihak polis. Sejak kematian Kidon, Kampung Hulu Kuang tidak
lagi diancam toyol yang mencuri wang penduduk dan barang-barang yang berharga.
Seminggu selepas itu
kematian Kidon, pondoknya terbakar dengan sendiri waktu dinihari. Akhirnya
orang-orang kampung tahu juga yang Kidon membela toyol jadi-jadian. Mereka
datang mengucapkan tahniah atas kejayaan datuk.
“Saya tidak membunuh
Kidon, dia mati dimakan oleh toyol yang diciptanya sendiri, biasanya toyol
jadi-jadian boleh mendurhaka pada tuannya, itulah kepala Kidon hilang,” kata
datuk pada pada orang-orang kampung yang melawat pondok Kidon yang terbakar
itu.
Waktu datuk
mengkais-kais di kawasan rumah Kidon yang sudah dimakan api, datuk menemui
tengkorak. Datuk yakin tengkorak itu ialah tengkorak Kidon. Masuk minggu kedua
Kidon dikuburkan orang-orang kampung terdengar bunyi suara lelaki menjerit dari
tanah kubur waktu malam. Bila disiasat ternyata suara itu datangnya dari kubur
Kidon. Orang-oang kampung terpaksa membacakan Surah Yassin selama dua minggu di
surau, mohon pada Allah supaya suara menjerit itu tidak kedengari oleh
orang-orang kampung. Akhirnya dengan kuasa Allah yang maha besar suara itu
tidak kedengaran lagi.
Menurut Imam Masjid
kampung tersebut, perkara itu berlaku adalah dengan kuasa Allah yang mahu
memperlihatkan kepada manusia di dunia, bahawa sesuatu yang dilakukan tidak
mengikut atau terkeluar dari hukum-hukum agama akan mendapat balasan yang
setimpal dari perbuatannya itu.
“Orang-orang islam
yang baik mendapat rezeki yang halal melalui titik peluhnya sendiri, Islam
menyuruh umatnya berusaha dengan cara yang baik, saya harap apa yang terjadi
pada diri Kidon akan menjadi pelajaran pada kita semua.” Imam Kampung Hulu
Kuang yang berbadan tegap itu memberitahu pada semua penduduk di satu petang di
dewan orang ramai. Dalam jangkaannya, saya dan datuk akan meninggalkan Hulu
Kuang pada petang Khamis kerana pada malam Jumaat datuk akan bermalam di rumah
isteri mudanya orang bunian. Jangkaan itu tidak terlaksana. Waktu saya
bersiap-siap pada petang Rabu seorang lelaki dari Tanjung Rambutan mengajak
datuk menembak kijang di Hulu Kinta.
“Saya setuju, tapi
macam mana sekarang musim dharurat,” datuk bertanya pada orang yang
mengajaknya. Orang itu ketawa.
“Sebenarnya, saya
memang ada memasang jerat pelanduk, kancil dan lain-lain di hutan Hulu Kinta,
kita dikenakan perintah berkurung pada waktu malam saja,”
“Jadi.”
“Kita boleh pergi
pada waktu siang.”
“Hum begitu.”
“Tentu Setuju.”
Pada pagi Khamis,
saya dan datuk menaiki bas dari Chemor ke Tanjung Rambutan. Dari situ berjalan
kaki menuju ke batu lapan. Belumpun pukul sepuluh kami sudah berada di dalam
hutan tebal. Sebelum itu kami melapurkan diri di Balai Polis Tanjung Rambutan
dan menyatakan tujuan kami masuk ke dalam hutan. Kawan baru datuk itu
memberikan senapang kampunnya untuk digunakan oleh datuk di samping itu dia
juga menyuruh datuk membuat beberapa jerat baru. Sampai di satu kawasan, kawan
baru datuk menyuruh saya dan datuk menuju ke arah sebuah anak bukit yang
menurutnya di situ ada beberapa jerat yang sedang dipasang. Sedangkan dia
menuju ke arah lain.
Berpeluh juga saya
berjalan dalam hutan itu. Satu keistimewaan datuk yang tidak terdaya saya
melawannya ialah, dia terlalu cepat bergerak dalam hutan. Dahan-dahan dan
pokok-pokok yang dipijaknya tidak berbunyi. Saya terkejut besar bila seekor
harimau dengan tiba-tiba muncul dari balik rimbun pokok salak jambi. Matanya
tajam merenung saya. Ekornya bergerak-gerak.
“Ah, kamu jangan
kacau aku nak lalu di sini, pergi cari makan tempat lain,” begitulah datuk
berdialog dengan harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang
datuk katakan itu. Dia bergerak perlahan-lahan dan akhirnya menghilangkan diri
dalamhutan yang tebal itu.
“Berhenti,” datuk
memamaut bahu saya.
“Kenapa tok ?”
“Sembunyikan diri
balik pokok.” saya pun akur dengan cakap datuk. Dia meniarap di pangkal pokok
besar. Saya juga begitu. Datuk mencangkung, macam kucing mahu menerkam sesuatu.
Mata datuk tajam melihat pada rimbun anak-anak pokok yang bergerak. Seekor kancil
muncul di depan kami. Datuk melompat bagaikan kucing, dalam sekelip mata saja
dia berjaya menangkap kancil lalu dimasukkan ke dalam guni.
Kawasan yang kami
masuk itu, sekarang sudah dijadikan pusat latihan dan rumah pasukan polis hutan
Hulu Kinta. Hutan tebal yang kami jelajahi dulu, sudah digantikan dengan hutan
rumah pangsa yang bertingkat-tingkat. Datuk dan saya terus berjalan, kalaulah
datuk itu adik saya sudah pasti saya menarik tangannya pulang, saya terasa
bosan berjalan dalam hutan yang tebal dan lembab, dnegan bermacam-macam bunyi
burung hutan. Saya merasakan kesal mengikutnya, kalaulah saya mengikut cakap
adik datuk yang menyuruh saya tinggal di rumah tentulah saya tidak mengalami
kesengsaraan semacam ini.
Bila saya fikirkan
dalam-dalam, ada baiknya menurut datuk berburu dalam hutan. Dapat menambahkan
pengalaman saya sendiri. Kepala dah hati terus melayan perasaan, kaki terus
juga melangkah meredah duri dan onak. Saya mula terasa dahaga, tekak terasa
cukup kering,
“Saya dahaga tok.”
“Kau memang banyak
ragam, tadi gatal sangat nak ikut.”
“Jahanam.” Datuk
merungut panjang sambil menyambung, “jalan ke depan lagi kalau-kalau ada paya
atau kolam, lepas tu kau minum sampai bengkak perut,” datuk terus menolak saya.
Ramalan datuk tepat, dua puluh langkah melangkah ke depan kami bersua dengan
sebuah paya airnya cukup jernih. Bila saya mahu minum datuk segera menahan.
“Jangan minum.”
“Saya haus tok.”
“Minum di sini, datuk
pun mencetus akar besar yang tergantung dari sepohon pokok rendang. Bila akar
itu dipotong, darinya keluar air yang bersih. Dan air itu terus saya minum.
Dahaga saya terus hilang. Bila saya merenung ke arah paya yang berair jernih,
saya lihat air di paya itu bergerak-gerak . Di tengah perut paya itu terdapat
seketul batu besar macam bentuk kapal. Saya terdengar bunyi suara orang ketawa
panjang tetapi bentuk manusia memang tidak kelihatan.
“Ada suara tok.”
“Aku tahu, aku
mendengarnya kerana itu aku tidak membenarkan kau meminum air paya.”
“Kita balik saja
tok.”
“Tak usah kita tengok
apa yang terjadi.”
Datuk dan saya pun
segera bersembunyi di dalam rumpun pokok-pokok hutan. Saya lihat seorang
perempuan berkulit putih berambut panjang sampai ke pinggang. Perempuan itu
berkemban berenang ke tengah dan ke tepi sambil ketawa. Tiba-tiba perempuan itu
hilang. Cuma yang tinggal di tengah paya ialah gelombang air yang beralun-alun
memburu tepi paya.
“Siapa tu tok,” saya
menyoal.
“Penunggu paya,
jangan tunggu lama di sini, susah kita ,” datuk dan saya mula mengubah haluan,
kami berjalan ke arah selatan. Datuk mula terasa sesuatu yang ganjil. Dia
menyatakan rasa sangsinya terhadap kenalan barunya yang mengajak dia masuk
hutan tadi.
Dia mula merasa kesal
menerima pelawaan kawannya itu. Lebih aneh lagi kenalan barunya itu tidak pula
menjumpai orang-orang di Hulu Kuang sebelum menemuinya. Masa melapurkan diri di
Balai Polis Tanjung Rambutan, anggota polis bertugas di situ tidak menyoalnya,
seolah-olah kenalan baru datuk itu tidak wujud di depan anggota polis itu,
meskipun kenalan datuk itu berdiri di depannya.
“Keganjilannya baru
aku sedar sekarang,” rungut datuk. Saya tersenyum. Tetapi wajah datuk kelihatan
muram membayangkan rasa kesal yang amat berat dideritainya.
“Aneh juga kawan kita
tu, aku bagaikan terpukau. Apakah dia benar-benar manusia atau jin atau
syaitan,” sebaik saja datuk berhenti bercakap, kenalan barunya terpacul di
depan kami. Dia menghulurkan tangan untuk bersalam dengan datuk. Datuk
menyambutnya. Mulut datuk bagaikan terkunci. Tidak terlahir kata-kata. Kata
kenalan datuk itu menundingkan jarinya ke arah barat daya. Datuk angguk kepala
lalu menarik tangan saya ke arah barat daya. Bila datuk dan saya menoleh ke
belakang, kenalan datuk itu sudah tiada lagi.
Saya terasa bulu
tengkuk saya meremang. Bau harum dan wangi mula menusuk lubang hidung saya dan
datuk.
Datuk dan saya tidak
berkata walau sepatahpun kami terus berjalan hingga sampai ke tebing Sungai
Kinta. Di seberang sungai terdapat perkampungan orang asli. Perkampungan orang
asli itu sekarang terkenal dengan nama Kinta Intek, kebanyakkan orang asli di
situ sudah memeluk agama Islam.
Matahari sudah mula
condong, bunyi deru air Sungai Kinta memekakkan lubang telinga. Datuk dan saya
terus membasuh muka. Tidak jauh dari tempat kami berdiri terdapat sebuah jambatan
merintangi sungai tersebut. Di sekitar kawasan jambatan itu sekarang jadi
tumpuan orang ramai setiap hari Ahad untuk berkelah.
“Ke mana kita nak
pergi tok, ” saya menyoal datuk.
“Nampaknya ada orang
mahu menguji ilmu aku, tapi biarkanlah, ilmu yang aku tuntut untuk kebaikan .
Allah yang tahu hati aku,” datuk bagaikan mengeluh. Dia turun ke dalam sungai
dan mandi. Lepas mandi datuk tukar pakaian, memang datuk membawa dua pasang
pakaian satu untuk dipakai waktu berjalan dalam hutan, mana kala satu lagi
digunakan untuk sembahyang. Datuk terus sembahyang asar di tepi sungai. Marah
juga datuk pada saya kerana tidak membawa pakaian yang bersih untuk sembahyang.
Lama juga datuk duduk
berehat di tepi sungai. Dia membaca sesuatu dan mengambil seketul batu. Batu
itu dilemparkannya ke dalam sungai. Saya diam saja. Biarlah datuk melakukan apa
saja yang difikirkannya patut. Dalam keadaan yang tidak tentu arah itu, saya
tercium bau yang cukup wangi. Saya kira kenalan baru datuk akan menjelma di
depan kami. Bau wangi itu hilang, kenalan datuk tidak juga menjelma.
Saya terus melihat
langit, matahari kain condong ke barat. Hati saya sudah menggelabah. Datuk
masih juga tenang dan damai.
“Kita balik saja,”
datuk memberitahu saya. Cepat-cepat saya anggukan kepala. Saya dan datuk
berpusing-pusing dalam hutan Hulu Kinta mencari jalan keluar. Kami tidak dapat
menemui jalan yang mana kami lalu tadi, yang anehnya ialah sejauh mana kami
bergerak, baik arah matahari jatuh atau matahari naik, kami akan sampai juga ke
tepi tebing sungai, malah untuk sampai ke jambatan di sebelah hilir sungai kami
tidak berdaya. Jambatan itu nampak dekat dan kami boleh melihat orang asli
berjalan di atasnya, tapi kami tidak dapat menembusi hutan tebal untuk sampai
ke jambatan. Berkali-kali diusahakan untuk pergi ke situ tetapi kami gagal
juga. Pergi balik pergi balik kami tetap berlegar-legar di kawasan tepi sungai
itu juga.
Hari mula remang
senja. Datuk menggunakan segala kepandaiannya, ternyata kepandaian datuk tidak
berguna sama sekali di dalam hutan Hulu Kinta. Akhirnya datuk memutuskan untuk
bermalam saja di tepi tebing sungai tersebut. Waktu saya mahu pergi ke dalam perut
sungai, saya terserempak dengan seekor ular, sebesar batang kelapa. Saya
menjerit. Datuk segara menghampiri saya. Datuk juga terkejut melihat ular besar
itu. Lama juga datuk menenung mata ular itu.
“Matanya berkedip.”
Kata datuk dengan penuh semangat.
“Kenapa, mata ular
tidak berkedip ke datuk ?”
“Biasanya begitulah,
kalau berkedip tu, tandanya jin atau bukan ular biasa.”
Saya terdiam
mendengar penerangan datuk itu. Lagi sekali, saya dan datuk tercium bau wangi
yang amat sangat. Hari bertambah gelap. Fikiran saya bertambah kacau. Datuk
terus mengadap ular besar. Perlahan-lahan ular itu membuka lingkarannya. Dalam
sekelip mata saja, ekornya menjunam ke dalam sungai. Air sungai yang mengalir
deras jadi tertahan. Saya lihat air sungai mula melimpah ke atas terbing.
Menenggelamkan batu-batu besar di tengah sungai di bahagian hulu, manakala di
bahagian hilir sungai, saya lihat air tidak mengalir.
Saya perhatikan datuk
bercakap sesuatu dengan ular tersebut. Setiap kali datuk mengahkiri
percakapannya, ular itu mengerakkan kelopak matanya. Ular itu bagaikan mengerti
dengan apa yang datuk cakapkan. Datuk menyuruh saya menutup mata. Saya patut
pada cakapnya. Masa saya menutup mata itu saya terdengar bunyi suara angin yang
cukup kuat. Saya juga terdengar bunyi dahan patah dirempuh angin. Bumi yang
saya pijak saya rasa bergerak macam berlaku gerak gempa yang cukup dahsyat.
“Buka mata,” ujar
datuk.
Saya pun membuka
mata. Saya dapat diri saya dan datuk berada di sebuah surau tua. Saya terdengar
suara Azan. Seorang lelaki berjubah hijau, berjanggut separas dada menyuruh
saya dan datuk mengambil air sembahyang, orang tua berserban hijau itu menjadi
Imam sembahyang Maghrib. Selepas membaca doa, orang tua berserban hijau itu
menghantar saya dan datuk ke perkampungan orang asli. Dia menyerahkan saya pada
penghulu orang asli yang dipanggilnya dengan nama tok batin bah aloi. Dia juga
menyuruh penghulu orang asli itu menghantar saya dan datuk ke jalan besar
Tanjung Rambutan - Ipoh pada siang esoknya. Penghulu orang asli itu memberi
pengakuan akan membuat apa yang diperintahnya.
Bila orang tua itu
membuka serban dan bersalaman dengan datuk, barulah saya kenal bahawa orang tua
itulah yang menjadi kenalan baru datuk itu. Dia mengucapkan terima kasih pada
datuk yang telah membinasakan Kidon. Dia juga mengingatkan datuk supaya jangan
datang ke hutan Hulu Kinta tanpa menemuinya terlebih dahulu. Menurutnya,
kawasan hutan Hulu Kinta adalah kawasannya. Dia juga meminta datuk memulangkan
kancil yang ditangkap oleh datuk “Kalau
kamu tidak menangkap binatang peliharaan aku, kami tidak akan sesat di sini,”
katanya dengan senyum.
“Tapi, awak yang
mengajak saya ke mari berburu ?”
“Saya mahu menguji
sejauh mana awak boleh menghargai nyawa makhluk lain,” katanya dengan senyum.
“Saya jadi bingung
dengan perbuatan kamu,” tingkah datuk.
Jangan bingung,
selain dari manusia ada makhluk lain diam di bumi ini, kamu harus mengenali
mereka, tapi kau terlebih dulu mengenali kekuasaan Allah yang menjadikan langit
dan bumi,” tambah lelaki serban hijau. Kemudian dia menghilangkan diri. Sebelum
tidur, penghulu orang asli memberitahu saya dan datuk dia telah memeluk agama
Islam. Orang bertanggung jawab mendorong dia memeluk agama islam ialah lelaki
serban hijau itu. Saya menggigit lidah mendengar cakapnya. Datuk pun
menceritakan semua peristiwa yang kami alami pada penghulu orang asli. Dia
ketawa. Menurutnya ular besar memang selalu ditemui oleh anak buahnya. Anehnya
ular itu tidak pernah membinasakan orang.
“Kalau dia lahu di
depan rumah kami, waktu senja menunjukkan ada perkara yang tidak baik akan
berlaku, tiga bulan dulu dia melintas waktu senja di kampung kami, seminggu
kemudian anak saya mati lemas,” kata penghulu orang asli. Saya dan datuk
anggukkan kepala.
“Lelaki serban hijau
tu siapa tok batin ?” tanya saya
“Haji Lokman,” jawab
penghulu orang asli. Selepas tidak ada pertanyaan yang keluar dari mulut saya
atau datuk. Saya dan datuk disuruh tidur di bahagian depan rumah penghulu itu.
Pagi esoknya atas permintaan datuk penghulu orang asli itu membawa saya dan
datuk ke kawasan tempat kami bertemu dengan lelaki serban hijau itu. Tidak
terdapat sebarang kesan atau tanda kawasan itu pernah didiami oleh sesiapa pun.
“Di tempat ni tak ada
apa-apa, dulu kami jumpa orang komunis bunuh diri di sini,” tanpa diminta
penghulu orang asli menerangkan.
Saya dan datuk
dihantar oleh penghulu orang asli hingga ke tepi jalan besar. Datuk dan saya
membuat keputusan untuk berjalan kaki sahaja pergi ke Pekan Tanjung Rambutan
yang jaraknya kira-kira dua batu saja. Sedang seronok melangkah, kenalan baru
datuk muncul di depan kami dalam masa dua saat, kemudian dia menghilangkan
diri. Sebaik saja saya dan datuk sampai di depan balai polis Tanjung Rambutan,
beberapa orang Hulu Kuang bersama adik datuk tersenyum memandang kami, mereka
sedang merancang untuk mencari kami di dalam hutan.
No comments:
Post a Comment