Datuk menggigit bibir. Sepasang matanya berpaut pada wajah Norlin yang kelihatan cemas itu. Dari wajah Norlin, mata datuk beralih ke wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya.
"Mahu halau siapa? Tidak
ada seorang pun yang masuk ke sini?", ulang datuk dengan nada suara yang
cukup lembut.
"Ada. Dia selalu ganggu
saya, kalau diusir diaaaa...", dan Norlin terus menghentak-hentakkan kaki
ke lantai sambil meronta-ronta. Ibunya terus memeluk dengan erat dan kemas.
Datuk terdiam, tidak tahu apa yang harus di buatnya. Suara bising di bilik atas
membangunkan Pak Ayub Naim dan isterinya yang tidur di bilik bawah. Mereka naik
ke bilik Norlin. Waktu Pak Ayub dan isterinya sampai, Norbaya sedang menyapu
peluh yang tumbuh di dahi Norlin. Isteri Pak Ayub Naim terus bertanya:
"Apa yang dah jadi
Norlin?"
"Saya takut makcik",
suara Norlin terketar-ketar. Kemudian Norbaya memberitahu isteri Pak Ayub Naim
bahawa kakaknya seperti melihat sesuatu di luar bilik mahu mengacaunya. Norbaya
terus membaca ayat-ayat suci, tiba-tiba dia mendapati Norlin jatuh pengsan.
"Badannya terus jadi panas
makcik", ujar Norbaya. Isteri Pak Ayub Naim resah dan berkata pada
suaminya:
"Apa yang harus kita
buat?" Pak Ayub Naim terdiam. Dia berjalan berpusing-pusing di hadapan Tok
Kaya Sendi Diraja lalu berhenti di hadapan datuk.
"Norlin diganggu oleh
sesuatu. Setahu aku, penjaga rumah tua ni tidak akan membuat kacau, apa lagi
terhadap keluarga Tok Kaya", tutur Pak Ayub Naim. Mukanya merenung muka
datuk dan Tok Kaya Sendi Diraja. Pak Ayub terus menyambung:
"Kalau pun dia menampakkan
dirinya, itu sebagai tanda salam perkenalan.
Isteri Pak Ayub Naim secara
tiba-tiba berdiri. Matanya mula merah merenung ke wajah Norlin.
"Sama ada salam perkenalan
atau tidak, dia tetap syaitan. Saya tahu setiap kali Norlin cuti dia jadi
korban", nada suara isteri Pak Ayub Naim cukup keras. Semua yang ada dalam
bilik itu berpandangan sesama sendiri.
"Kita harus mengatasi
masalah ini. Saya tak mahu anak saya jadi korban”, kata isteri Tok Kaya Sendi
Diraja.
"Siapa orangnya boleh
menolong kita?", sahut Pak Ayub Naim. Pertanyaan Pak Ayub Naim tidak
mendapat jawapan. Datuk terus bercakap sesuatu dengan Tok Kaya Sendi Diraja.
Kemudian Tok Kaya Sendi Diraja pula membisikkan sesuatu ke telinga Pak Ayub
Naim.
"Baik", tiba-tiba
suara Pak Ayub Naim meninggi lalu keluar dari bilik.
Sepuluh minit kemudian Pak Ayub
Naim masuk ke bilik dengan membawa air dalam mangkuk putih.
"Berikan padanya",
ujar Tok Kaya Sendi Diraja. Pak Ayub Naim meletakkan mangkuk putih berisi air
di hadapan datuk. Datuk memasukkan separuh jari hantunya kedalam mangkuk putih.
"Ambil air ini dan sapukan
ke mukanya", beritahu datuk pada isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Perintah
datuk segera dilakukan. Bila jari jemari isteri Tok Kaya Sendi Diraja menyapu
air ke muka Norlin, saya lihat Norlin lemah dan terus terlena.
Norlin pun diletakkan ke atas
katil dengan di temani oleh ibunya. Tok Kaya Sendi Diraja, datuk dan Pak Ayub
Naim keluar dari situ dan terus menuju ke bilik saya dan datuk menginap. Mereka
berbincang panjang. Datuk dengan rasa rendah hati ingin membantu mengatasi
masalah yang dihadapi oleh keluarga Tok Kaya Sendi Diraja.
"Saya sekadar mencuba.
Sama ada jadi atau tidak terletak pada kuasa Allah. Kalau Allah memberkati,
kita akan berjaya”, ujar datuk.
"Saya faham”, sahut Tok
Kaya Sendi Diraja.
"Mencuba apa salahnya”,
celah Pak Ayub Naim pula. Akhirnya mereka pun berpisah.
Esoknya Norlin terus jatuh
sakit. Tubuhnya sekejap panas, sekejap sejuk. Datuk tidak melakukan sesuatu
pada sebelah paginya bagi mengubati sakit Norlin. Menurut datuk Norlin demam
kerana lemah semangat. Pada sebelah petangnya, baru datuk memulakan tugasnya.
ltupun sesudah membuat beberapa persiapan rapi di biliknya. Datuk meminta izin
pada Tok Kaya Sendi Diraja untuk masuk ke bilik Norlin.
"Silakan, emaknya ada di
dalam”, Kata Tok Kaya Sendi Diraja. Datuk merenung muka Tok Kaya Sendi Diraja.
”Jangan tegur apa yang saya
lakukan”, dengan tenang datuk mengingatkan kepada saya dan Tok Kaya Sendi
Diraja. Dengan tenang datuk melangkah. Berdiri betul-betul di tengah pintu
bilik. Dia memusingkan badannya dari kiri ke kanan.
Dia mengeluarkan kain hitam
dari pinggang lalu melemparkan ke ruang tengah rumah. Lepas itu, datuk pun
mempersilakan Tok Kaya Sendi Diraja dan saya menghampiri Norlin. Tiba-tiba
wajah Norlin berubah menjadi takut dan cemas. Dia merasakan Datuk mahu
mengganggunya. Namun begitu dengan wajah yang tenang dan penuh keyakinan, datuk
memegang urat nadi di tangan kanan Norlin. Mulut datuk terus terkumat-kamit.
Matanya sekejap terpejam, sekejap terbuka. Datuk memperhatikan wajah Norlin
dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.
Saya lihat datuk menarik nafas
panjang. Datuk mengangguk-anggukkan kepalanya beberapa kali. Saya terdengar
bunyi jam tua di tengah ruang berbunyi lima kali. Angin petang terasa masuk
dengan deras kedalam bilik. Ada bunyi suara burung gagak liar di pucuk kekabu.
Meski pun diluar cuaca cukup
panas dan cerah, tetapi diruang itu tetap kelihatan muram, malah ada beberapa
bahagian rumah itu bagaikan tidak kena sinar matahari. Sedang saya dan Tok Kaya
Sendi Diraja serta isterinya melihat datuk menjalankan tugasnya dengan tekun.
Terdengar bunyi bingkai gambar terhempas di lantai. Kaca dari bingkai gambar
itu bagaikan bergerak sendiri menuju ke arah tiang seri rumah. Bila Tok Kaya
Sendi Diraja mahu merapatinya, datuk segera menahan.
"Jangan”
"Kenapa?"
"Barangkali dia mahu menguji
kita"
"Apa yang patut kita
lakukan?"
"Tidak ada apa yang yang
perlu kita lakukan”, datuk memberi penjelasan pada Tok Kaya Sendi di Diraja.
Dan Tok Kaya Sendi Diraja pun anggukkan kepalanya dua tiga kali. Waktu isteri
Tok Kaya Sendi Diraja membetulkan duduknya kerana lenguh lama duduk bertempuh,
pintu bilik berbunyi dengan kuatnya macam dihempas oleh tangan manusia.
Gegarannya menjatuhkan
botol-botol kecil yang terletak di atas meja hias Norlin. Bulu roma saya mula
tegak. Datuk masih lagi tenang. Mata Norlin tidak seliar tadi. Kedua dua biji
matanya merenung lelangit rumah. Norlin tidak tahu apa yang berlaku di
sekelilingnya. Dia seolah-olah berada di dunia lain.
Datuk memberi isyarat kepada
Tok Kaya Sendi Diraja supaya mendekatinya.
"Bagaimana?", soal
Tok Kaya Sendi Diraja pada Datuk.
Datukpun mendekatkan mulutnya
ke telinga Tok Kaya Sendi Diraja lalu berbisik:
"Memang ada yang
mengacaunya."
"Siapa? Penunggu rumah
ini, dia tu rajakah,puterikah atau apa?"
Nampak benar tidak sabarnya Tok
Kaya Sendi Diraja bila berhadapan dengan masalah yang rumit itu. Datuk mula
resah. Memang pantang benar bagi dirinya bila dia menjalankan tugas, di ganggu
dengan beberapa soalan atau pertanyaan. Perbuatan begitu boleh mengganggu
tumpuan fikiran pada kerja yang dilakukan.
"Saya tak dapat mengatakan
siapa orangnya. Ada baiknya Tok Kaya tengok sendiri."
"Tengok sendiri? Apa saya
seorang sajakah?"
"Tidak. Bersama dengan
orang yang ada di sini." Mendengar jawapan dari datuk itu, Tok Kaya Sendi
Diraja merenung muka isterinya. Mereka nampak cemas dan gusar sekali. Norlin
masih terkapar di atas katil. Matanya tidak lagi tertumpu pada lelangit rumah.
Datuk memberi isyarat supaya saya menghampirinya.
"Ada apa tok?"
"Kau duduk dekat aku”,
suaranya cukup tegas. Saya angguk kepala dengan lemah. Ekor datuk merenung
wajah Tok Kaya Sendi Diraja.
"Usah bimbang. Tok Kaya
dan yang lain-lain harus mandi dengan air bunga tujuh jenis”, beritahu datuk
pada Tok Kaya Sendi Diraja dengan wajah yang selamba. Datuk lalu minta mangkuk
putih berisi air bersama dengan bunga kemboja, bunga raya dan bunga tanjung.
Tidak sampai sepuluh minit,
semua barang yang di kehendaki oleh datuk tersedia di hadapannya. Tiga kuntum
buang yang berlainan jenis itu datuk taburkan ke atas air dalam mangkuk putih.
Jam tua di tengah ruang rumah
berbunyi lagi sebanyak enam
kali. Cuaca di luar tidak secerah tadi. Keadaan dalam rumah bertambah suram.
Kami terdengar bunyi deru angin
menguasai perut rumah. Bunyinya cukup kuat. Datuk menyuruh kami menghadapi
keadaan itu dengan tenang. Dan datuk pun memperkemaskan silanya. Datuk
memejamkan matanya sambil menarik nafas dengan tenang. Mulutnya terkumat-kamit
membaca sesuatu. Nafasnya kian kencang. Wajah datuk berkerut.
Kemudian datuk meraba telinga
kirinya tiga kali berturut-turut. Wajahnya kelihatan beransur tenang dan
tarikan nafasnya bertambah aman. Datuk pun membuka matanya dengan
perlahan-lahan dan merenung ke kiri dan ke kanan. Wajah saya dan wajah Tok Kaya
Sendi Diraja direnung dengan tajam oleh datuk.
"'Begini Tok Kaya.
Penunggu ini sedia menemui kita”, kata datuk.
"Bila?", soal saya
tidak sabar.
"Malam ini, kira-kira
pukul sembilan”, jawapan datuk itu ternyata menimbulkan kebimbangan di hati Tok
Kaya Sendi Diraja, lalu dia mengemukakan pertanyaan.
"Dimana?"
"Di ruang rumah ini",
jawab datuk dengan nada suara yang agak keras. Bagaikan ada sesuatu kuasa
ghaib, Norlin yang terlentang di atas katil bangun dengan tiba-tiba. Dia nampak
sihat dan melangkah dengan tenang di hadapan datuk.
"Penunggu rumah sudah
membebaskannya. Bawalah dia ke bilik mandi”, datuk memberitahu isteri Tok Kaya
Sendi Diraja. Arahan datuk itu segera dipatuhi. Kemudian, datuk mengajak saya
turun dari bilik Norlin.
"Saya dan cucu mahu
memetik bunga tujuh jenis, jadi Tok Kaya tak payahlah ikut”, beritahu datuk
pada Tok Kaya Sendi Diraja.
"Silakan."
"Tapi jangan lupa. Lepas
sembahyang Isyak datang jumpa saya ambil air bunga."
"Mesti”, datuk dan Tok
Kaya Sendi Diraja pun ketawa.
Dengan pertolongan Pak Ayub
Naim, saya dan datuk terus pergi ke Kampung Keramat Pulai. Pak Ayub Naim terus
membawa kami ke satu kawasan di kaki gunung. Menurut PakAyub Naim semua jenis
bunga yang tumbuh di kawasan itu boleh dipetik.
"Tak payah minta kebenaran
dari tuannya?", tanya datuk penuh keraguan.
Pak Ayub Naim tersenyum.
"Tanah ini, tanah Tok Kaya
sendiri, ambillah."
"Senang hati saya. Kita
nak buat ubat mesti dapat izin, kalau dah Tok Kaya punya senanglah kita
berunding”, datuk mengakhiri cakapnya dengan ketawa kecil. Kawasan di kaki
gunung itu memang lapang. Di gunung paling hujung ada tempat orang memecah
batu.
Banyak anak muda Keramat Pulai
yang bekerja dengan syarikat pemecah batu disitu. Arah ke selatan terdapat
kawasan kolam lombong tinggal dengan air yang membiru. Terdapat beberapa orang
kampung dari Keramat Pulai memancing di kolam lombong tinggal itu.
Satu perkara yang menarik,
semua jenis bunga terdapat di kawasan tanah lapang tersebut. Sesekali bila
angin datang saya dapat menghidu baru yang cukup wangi. Datuk pun sudah dapat
mengumpulkan tujuh jenis bunga. Semuanya datuk masukkan ke dalam bekas khas.
Ketika itu, kaki langit sudah bertukar warna. Puncak gunung yang tadi kelihatan
hijau dengan tumbuh-tumbuhan bertukar menjadi hitam sekata.
"Siapa yang tanam
pokok-pokok bunga di sini?", soal datuk pada Pak Ayub Naim. Lelaki tua
yang sudah beruban itu kerutkan dahi luasnya sebentar.
"Arwah ayah Tok Kaya, masa
hayatnya dia selalu jalan di sini setiap malam jumaat, waktu bulan penuh."
"Buat apa dia ke
sini?"
"Itu saya kurang periksa
pula."
Mendengar jawapan itu, datuk
tidak lagi mengajukan sebarang pertanyaan. Tetapi cakap Pak Ayub Naim itu
menimbulkan beberapa persoalan dalam diri saya.
Apakah arwah ayah Tok Kaya
Sendi Diraja mempunyai hubungan sulit dengan makhluk asing? Apakah pokok-pokok
bunga yang di tanam di kawasan kaki gunung itu mempunyai tujuan yang tertentu?
Cukup sukar untuk saya memberi jawapan pada pertanyaan yang timbul dalam diri
saya itu.
Kamipun meninggalkan kawasan
kaki gunung itu. Waktu saya dan datuk serta Pak Ayub Naim melintasi jambatan
yang merintangi sebuah anak sungai, suara azan terdengar dari surau kecil yang
terletak di tepi sungai.
Datuk pun memutuskan untuk
menunaikan fardhu Maghrib di surau Keramat Pulai. Selepas menunaikan fardhu
Maghrib, kami meneruskan pejalanan ke rumah Tok Kaya Sendi Diraja. Kali ini
saya tidak mahu naik basikal yang di kayuh oleh datuk. Saya memutuskan mahu
naik basikal yang di bawa oleh Pak Ayub Naim.
"Kenapa?"
"Saya mahu bercakap dengan
Pak Ayub Naim"
"Hum, terpulanglah. Boleh
ke bawa cucu kami Ayub?"
"Boleh, apa salahnya”
Saya pun terus melompat ke atas
lanting basikal. Entah macam mana, Pak Ayub Naim terus bercerita tentang
keistimewaan arwah ayah Tok Kaya Sendi Diraja. Menurut Pak Ayub Naim, ayah Tok
Kaya Sendi Diraja pemah mendapat harta karun di kaki gunung iaitu tempayan
tembaga yang sumbing mulutnya.
Tempayan itu tidak di bawa
pulang. Ditempatkan di satu kawasan dan dimandikan dengan air bunga-bungaan
selepas sembahyang Jumaat. Sejak bertemu tempayan tentang itu, pemiagaannya
bertambah maju. Lombong bijih terus dibuka hingga ke Jeram Mengkuang dekat
Bidor. Bila ayah Tok Kaya Sendi Raya meninggal dunia, tempayan tembaga itu
terus ghaib entah ke mana.
Lebih kurang pukul sembilan
malam, sesudah dimandikan dengan air bunga tujuh jenis, Tok Kaya Sendi Diraja
dan isterinya kelihatan tenang dan penuh semangat untuk menghadapi sebarang
kemungkinan. Begitu juga dengan Norbaya, Norlin dan Pak Ayub Naim suami isteri.
Semuanya duduk di atas tikar mengkuang panjang dua belas. Norlin mengadu pada
datuk yang dirinya terasa pening.
Datuk pun menyuruh dia baring
dekat ibunya. Sesuai dengan permintaan datuk, hanya tiga batang liIin sahaja
yang di pasang menjadikan suasana agak samar-samar. Datuk pun duduk
lurus-Iurus.
Mulut datuk terkumat-kumit.
Suasana cukup sunyi, macam berada di tanah perkuburan di waktu petang. Hanya
bunyi tekanan nafas sahaja yang kedengaran. Entah dari mana, tiba-tiba
terdengar sayup-sayup suara lolongan anjing.
Cukup menghairankan, sekitar
kawasan itu tidak ada orang yang memelihara anjing. Udara mendadak sahaja
menjadi sejuk. Apa terdengar suara orang mengeluh dari bilik sebelah. Norlin
tiba-tiba bangun lalu memandang wajah ibunya.
"Bersedialah, sebentar
lagi dia akan datang”, ujar datuk perlahan-lahan tetapi cukup tegas. Apa yang
dikatakan oleh datuk itu memang benar. Di hadapan, secara perlahan-lahan muncul
semacam gumpalan kabus, bergulung-gulung dan kemudian menipis pula secara
perlahan-Iahan.
Bila gumpalan kabus itu hilang,
muka isteri Tok Kaya Sendi Diraja berubah menjadi pucat begitu juga dengan
Norlin. Ada lembaga berbentuk bayi terapung-apung tanpa seurat benang pun.
Matanya yang bercahaya itu memandang wajah Tok Kaya Sendi Diraja dan isteri.
Dari situ beralih pula ke muka Norlin.
"Siapa namamu anak yang
baik?”, tanya datuk.
"Saya belum ada nama”,
jawab bayi itu. Tidak terkeluar dari mulut bayi tersebut, tetapi datangnya dari
satu arah yang lain dan bergema pula. Datuk terus merenung ke arah bayi itu.
"Apakah kau yang punya
rumah ini?”, tanya datuk.
Badan datuk saya lihat mula
menggigil bagaikan di goncang oleh sesuatu.
"Kau tinggal menetap di
sini?", soal datuk lagi.
"Tidak”, terdengar suara
gema yang agak jauh.
"Kenapa kau ganggu
Norlin?"
"Saya cuma nak jumpa emak
saya, isteri Tok Kaya Sendi Diraja"
Isteri Tok Kaya Sendi Diraja
mula mengelabah, kemudian terpekik tertahan-tahan. Datuk memberi isyarat pada
semua yang ada di situ supaya bertentang. Tetapi perubahan wajah jelas
kelihatan pada Tok Kaya Sendi Diraja dan isterinya.
"Apa fasal kau mahu
menemui ibumu?"
"Saya minta di
pertanggungjawabkan"
"Maksudmu aku faham"
"Kenapa saya
dibunuh?"
"Jadi ibumu telah
membunuhmu?"
"Ya. Waktu saya tujuh
bulan dalam kandungan dengan pertolongan doktor, saya di keluarkan dari rahim
secara paksa"
Sebaik sahaja suara itu hilang,
diganti pula dengan suara tangisan. Suara itu terdengar sayup-sayup dan amat
memilukan. Datuk meletakkan kedua belah tangannya atas tempurung lutut. Salah
satu dari pada api lilin dihadapannya di padamkan.
"Kau mahu membalas dendam
datang ke sini?"
"Bukan itu maksud
saya"
"Jadi apa tujuan mu yang
sebenar?"
"Saya memerlukan nama, dan
pengakuan dari ibu yang sebenar dan kaum keluarga"
"Baiklah, selain dari aku
dan cucuku, ada ayah, emak dan kakak atau adik kau. Mereka sudah mengakui kau
sebagai keluarga mereka”,ujar datuk sambil merenung muka Tok Kaya Sendi Diraja.
Tok Kaya Sendi Diraja dan isteri serta-merta anggukkan kepala. Datuk mengigit
bibir lalu bertanya:
"Siapakah orang yang
selalu muncul di sini, seperti yang pernah ditemui oleh cucuku dan orang lain
itu?"
Bayi itu kelihatan
berpusing-pusing, lalu berdiri dekat tiang seri. Dia seakan-akan ketawa menghadapi
ke arah kami. Terdengar bunyi angin yang cukup kuat. Semua yang ada di ruang
rumah berterbangan. Walaupun begitu api lilin yang tidak jadi padam.
"Mereka adalah waris dari
keturunan datuk nenekku, merekalah yang memberi jalan kemewahan pada keturunan
ayah dan ibuku. Dan merekalah yang mendesak aku supaya menemui ibuku yang
sebenar." Terdengar gema suara dari arah kiri datuk.
"Baiklah, mereka sudah
tahu sekarang. Mereka akui kau adalah keturunan mereka. Pulanglah jangan ganggu
kakakmu Norlin”, datuk terus bersuara.
"Aku mahu bersalam dengan
mereka”,minta bayi itu.
"Silakan”
Keluarga Tok Kaya Sendi Diraja
menghulurkan tangan, ternyata mereka tidak bersalaman dengan bayi itu. Mereka
hanya macam terasa angin yang tenang mengenai jari-jemari mereka. Seperti waktu
mula muncul, bayi itu terus berubah menjadi gumpalan yang kabur, kemudian
menipis, dan akhimya terus menghilang.
Setelah beberapa detik berlalu,
datuk kembali bertafakur dan membaca sesuatu. Dengan nada suara yang parau dan
mengandungi maksud tertentu, datuk bersuara:
“Bangunlah wahai hati nurani
yang tidak di kuasai oleh nafsu. Bangun dan temuilah kami"
Suasana bertambah sepi. Tidak
ada seorang pun yang sedar tentang isteri Tok Kaya Sendi Diraja yang jatuh
pengsan. Datuk meletakkan tangannya ke atas dahi isteri Tok Kaya Sendi Diraja.
”Saya tak tahu masa bila dia
pengsan”, kata Tok Kaya Sendi Diraja.
"Jangan khuatir, kita
mencari jalan yang baik”, balas datuk lalu menepuk tikar mengkuang panjang dua
belas.
Isteri Tok Kaya Sendi Diraja
bangun. Duduk bersila, wajahnya pucat. Sepasang matanya merenung mata datuk.
"Siapakah yang datang
tadi? Hati nurani cik puan yang tidak di kuasai oleh nafsu?", tanya datuk
pada isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Dia mengangguk. Wajahnya resah tidak
menentu.
"Kau menggugur anakmu
waktu berusia tujuh bulan?"
Isteri Tok Kaya Sendi Diraja
angguk kepala.
"Kenapa kau berlaku
sekejam itu?"
"Sebelum saya kahwin
dengan Tok Kaya Sendi Diraja, saya jadi tukang masaknya. Kemudian terjadi
perkara yang tidak baik, saya terus diam dibahagian atas rumah ini. Apabila
genap tujuh bulan, saya dengan persetujuan Tok Kaya Sendi Diraja menggugurkan
bayi ini dengan seorang doktor swasta di Kuala Kangsar"
Satu pengakuan yang jujur dari
isteri Tok Kaya Sendi Diraja. Dan Tok Kaya mengakui apa yang dikatakan oleh
isterinya itu memang benar. Datuk pun merenung wajah Tok Kaya Sendi Diraja.
"Awak berdua sudah
melakukan dosa”, ujar datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja. Isteri dan suami
berpandangan sama sendiri. Sekarang semua peristiwa buruk itu sudah tidak
menjadi rahsia lagi buat keluarga diri Tok Kaya Sendi Diraja. Tok Kaya Sendi
Diraja menundukkan mukanya dan dia baru sedar, bahawa kekayaan yang ada tidak
dapat menutup perbuatan terkutuknya.
"Lupakan semuanya itu.
Yang berdosa tetap berdosa. Hanya Allah yang Maha Besar lagi Penyayang sahaja
yang boleh menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan kamu berdua”,
tambah datuk.
Tok Kaya terus menarik tangan
datuk pergi ke ruang bawah. Saya mengikutinya dari belakang. Saya tidak tahu
apa yang mereka bicarakan. Selepas bercakap datuk pun mengajak saya ke
biliknya. Sebaik sahaja pintu bilik di buka, wajah lelaki yang garang berbadan
besar tercegat di dalam bilik. Datuk berhenti di hadapannya. Datuk pun
memejamkan mata.
"Aku hanya datang untuk
membetulkan mana yang silap”, kata datuk pada lembaga itu yang bergerak ke
kanan sambil tersenyum dan terus hilang.
No comments:
Post a Comment