Haji Salim menggigit bibir. Matanya merenung wajah saya dan datuk sebentar. Ia menarik nafas panjang sambil menepuk pangkal lengan datuk.
“Bagaimana kalau
kebolehan yang ada pada awak dan saya disatukan untuk menentang perkara jahat.”
“Saya juga terfikir ke
arah itu tapi…,” datuk tidak meneruskan kata-katanya. Saya lihat datuk kerutkan
kening macam ada sesuatu masalah besar yang bermain dalam kepala.
“Apa masalah yang awak
fikirkan?” mendadak Haji Salim mengajukan pertanyaan.
“Dari mana harus kita
mulakan kerja ni, inilah yang saya fikirkan.”
“Mudah saja.”
“Mudah macam mana?”…
“Kita tahu, ada orang
yang memuja syaitan dan syaitan yang dipuja tu mula bergerak dan kita harus
menentangnya.”
“Banyak persediaan yang
mesti kita adakan Haji.”
“Kita adakan,” tingkah
Haji Salim tenang.
Datuk meraba pangkal
leher berkali-kali. Sinar matahari petang yang lembut masuk ke ruang tempat
kami duduk melalui jendela yang terbuka. Haji Salim terus memicit ibu jari
kanan perlahan-lahan.
Datuk bangun dan
berdiri di muka jendela, melihat beberapa ekor burung gagak yang terbang rendah
sambil berbunyi. Haji Salim juga bangun mengambil sebilah keris. Mata keris itu
dilurutnya dengan limau nipis. Air limau menitis atas kain pelekat yang
dipakai.
“Aduh,” jerit saya
sekuat hati.
Cara tiba-tiba saya
terasa batang leher ditekan oleh sepasang tangan yang kasar dan berbulu tebal.
Makin kuat saya bergerak, makin kejap tangan berbulu itu menekan leher membuat
saya susah bernafas.
Datuk dan Haji Salim
segera menghampiri saya. Aneh, bila mereka berada dekat saya, tangan kasar yang
berbulu, melepaskan leher saya. Semua yang berada di ruang itu bergerak dengan
sendiri. Lembing yang tersusun di atas tempatnya bergerak lagi, macam dilanggar
sesuatu.
“Benda sial tu, masih
ada lagi di sini,” nada suara datuk meninggi. Matanya, merenung ke setiap
penjuru ruang. Haji Salim terus menghampiri saya, melihat bahagian tengkuk saya
yang disentuh oleh tangan ghaib.
“Leher cucu kamu lebam
dan bercalar,” Haji Salim memberitahu datuk dengan wajah yang sedikit cemas.
“Tak apa, benda tu
mencabar kita,” balas datuk.
“Kalau selalu dicabar,
padahnya kita yang menanggung,” rungut Haji Salim penuh kesal.
Haji Salim terus
mengurut tengkuk saya. Rasa sakit dan sengal terus berkurangan. Saya dapat
menggerakkan leher saya ke kiri dan ke kanan dengan aman. Rasa pedih dari kesan
tercalar itu masih dapat saya rasakan. Datuk dan Haji Salim kembali di tempat
asal.
Benda-benda yang berada
di ruang tersebut terus bergerak. Datuk dan Haji Salim tidak ambil kisah dengan
semuanya itu, seolah-olah tidak ada apa yang berlaku di situ. Mereka terus
merancang untuk melakukan sesuatu.
“Huuuupppp…,” jerit
Haji Salim sambil melompat. Seekor belalang kunyit yang besar hinggap di
pangkal lengan Haji Salim. Mata belalang itu kelihatan bersinar-sinar merenung
ke arah datuk dan saya.
Haji Salim cuba
menangkap belalang tersebut. Usahanya tidak berjaya, setiap kali ia cuba
mengangkat tangan, belalang itu terbang ke tempat lain. Bila Haji Salim diam,
belalang itu datang padanya. Hinggap di mana suka. Ada masanya di pangkal
hidung, di telinga atau di kening. Tindak tanduk belalang kunyit itu memang
tidak menyenangkan Haji Salim. Ia jadi marah.
“Belalang sial,” jerit
Haji Salim bila belalang kunyit itu hinggap di cuping telinganya untuk kali
yang kelima. Ia bangun dan terus mengambil batang penyapu.
Belalang itu terbang ke
arah dinding dan hinggap di situ. Haji Salim angkat penyapu dan hayun ke
dinding. Belum pun sempat penyapu menjamah dinding, belalang itu terus terbang
dan hinggap di batang hidungnya. Marah Haji Salim kian menjadi-jadi, mukanya
kelihatan kemerah-merahan, sinar matanya nampak garang sekali.
“Sudah, jangan dilawan
nanti awak penat sendiri,” kata datuk.
“Sial betul.”
“Ada cara menghalaunya,
ambilkan saya sebiji cili kering, sebiji bawang besar dan limau nipis,” kata
datuk dengan tenang.
“Nak buat apa?”
“Saya nak menumis
sambal belalang kunyit?”
“Ah…,” Haji Salim
terkejut. Wajah datuk direnungnya tepat. Ia mahu mempastikan apakah datuk
bercakap benar atau sekadar untuk bergurau senda.
“Kau bergurau dalam
masa orang cemas begini?”
“Tidak,” datuk bangun
menuju ke ruang dapur. Tiba-tiba belalang yang terbang ke sana ke mari dalam
ruang, terus menghilang tanpa dapat dikesan.
“Dah hilang,” kata
saya. Langkah datuk terus mati. Haji Salim letakkan penyapu atas pelantar. Kami
merenung ke setiap sudut tidak bergerak lagi. Suasana terasa sepi sekali.
“Aku harap dia keluar
terus dari sini,” keluh datuk lalu melangkah dan berdiri di muka jendela.
Melihat langit petang yang cerah, beberapa ekor burung gagak kelihatan terbang
dengan bebas sambil berbunyi.
“Biar kami balik dulu,”
kata datuk. Saya pun segera bangun mengikut langkah datuk menuju ke muka pintu.
“Boleh saya gunakan
petua awak untuk menghalau belalang tu, kalau-kalau ia datang lagi,” Haji Salim
berlari mendapatkan datuk. Saya lihat datuk tersenyum.
“Boleh, saya dapat
petua tu dari orang tua-tua yang terdahulu. Kata mereka itulah petua menghalau
hantu syaitan seperti pelesit dan jembalana,” terang datuk dengan tenang. Haji
Salim anggukkan kepala.
PULANG
Saya dan datuk
meninggalkan rumah Haji Salim. Matahari terus beransur condong. Burung-burung
gagak berkeliaran melompat dari dahan ke dahan sambil berbunyi dalam nada suara
yang nyaring. Lebih kurang dua puluh langkah kaki melangkah, saya menoleh ke
arah rumah Haji Salim. Saya lihat Haji Salim masih tercegat di muka pintu,
melambai-lambaikan tangan ke arah saya dan datuk.
“Ada masanya petua
orang tua-tua tu boleh dipakai, kau sendiri tengok. Lepas aku cakap begitu
belalang tu terus ghaib entah ke mana,” beritahu datuk kepada saya. Macam
selalu, bila datuk berkata demikian, saya cuma anggukkan kepala sahaja.
Kira-kira sepuluh minit
perjalanan, akhirnya saya dan datuk sampai ke rumah. Saya terus menuju ke bilik
dapur. Saya lihat nenek sedang duduk memilih antah beras. Tanpa membuang masa,
saya terus duduk di sisi nenek dan terus membantunya memilih antah beras.
Saya mampu bertahan di
sisi nenek cuma kira-kira lima minit sahaja. Memilih antah beras memang
membosankan dan tidak layak untuk dikerjakan oleh orang lelaki. Saya terus
bangun untuk pergi ke ruang anjung rumah. Baru mahu melangkah nenek terus
bersuara.
“Kau dan datuk singgah
di mana? Hingga lambat balik. Air kopi yang disediakan semuanya sudah sejuk.”
“Singgah rumah Haji
Salim,” sahut datuk dari atas.
Saya senyum memandang
ke arah nenek. Saya lihat nenek tersenyum. Saya terus masuk ruang anjung. Tukar
baju dan seluar.Saya ambil gasing dan tali di bawah meja. Kemudian melompat ke
halaman rumah. Hasrat hati saya mahu pergi mencari kawan untuk diajak main
gasing.
“Tamar.”
“Ya tuk.”
“Kau mahu main gasing
dengan kawan-kawan.”
“Ya tuk.”
“Jangan main lama-lama,
dekat Maghrib mesti balik. Aku tak mahu kau merayau ke mana-mana. Keadaan tidak
begitu aman.”
“Saya pergi main kejap
aje tuk.”
“Pergilah.”
“Baik tuk,” saya terus
melompat keriangan. Kemudian terus berlari menuju ke rumah beberapa orang
kawan. Menjelang waktu Maghrib baru saya pulang. Tetapi kepulangan saya, tidak
segembira waktu saya pergi tadi.
Gasing kesayangan saya
terbelah dua dipangkah oleh kawan. Mahu menangis rasanya, melihat gasing yang
dibuat dari batang limau terkopak dua dan pakunya tercabut lalu hilang.
“Esok aku buat yang
baru,” kata saya menghiburkan hati.
MENETAP
Sudah dua hari Haji
Salim tidak datang ke rumah. Sudah dua hari orang-orang kampung terhindar dari
gangguan perkara-perkara yang ganjil. Semuanya berada dalam keadaan aman.
Selama dua hari juga,
datuk tidak membincangkan perkara kubur lama di hujung kampung dengan nenek
atau saya. Datuk lebih banyak membisu dan membuat amalan pada waktu malam. Pada
sebelah siangnya, datuk banyak menghabiskan dengan membuat lukah atau memburu
ayam hutan.
Berdasarkan pada tindak
tanduknya itu, saya menganggap datuk dan Haji Salim telah berjaya membanteras
perbuatan terkutuk itu dengan cara kebatinan. Kalaulah anggapan saya itu benar,
saya memang gembira.
Dua minggu kemudian,
kira-kira pukul sepuluh malam, Haji Salim datang ke rumah datuk dengan membawa
sundang. Datuk yang sedang membaca surah Yasin terkejut dengan kedatangan Haji
Salim.
“Bukankah sudah saya
pesan, kita tak boleh berpandangan muka, bertegur selama tiga minggu. Apa awak
sudah lupa. Kalau macam ini awak, usaha kita akan jadi sia-sia, kita buat
perkara bodoh,” suara datuk keras. Pertama kali saya lihat datuk bersikap kasar
terhadap Haji Salim.
Datuk berdiri di muka
pintu tanpa mahu menjemput Haji Salim naik ke anjung. Andang daun kelapa yang
dibawah oleh Haji Salim menerangi sebahagian daripada halaman rumah. Cahaya
andang itu juga menjalar hingga ke ruang anjung.
“Maafkan saya, saya ada
masalah besar,” tambah Haji Salim yang memakai kain pelekat petak besar,
berbaju putih tebal yang sudah bertukar warna menjadi agak kekuning-kuningan,
bersongkok putih yang tepinya sudah bertahi lalat.
“Apa masalahnya?”
“Cucu saudara saya,
hilang.”
“Lelaki ke perempuan.”
“Perempuan, baru anak
dara sunti.”
“Haaa…,” datuk
mengeluh. Wajahnya mula resah. Kemarahan yang merajai wajahnya sebentar tadi
terus hilang.
“Sudah dicari ke
belum?” tanya datuk.
“Saya sudah puas
mencarinya, bila tak terdaya baru saya jumpa awak. Saya ingat pesan yang awak
buat pada saya dulu, saya terpaksa melanggarnya. Saya sudah terpaksa.”
“Sudah terpaksa tak
apalah,” suara datuk terus lembut.
Datuk terus menjemput
Haji Salim naik ke anjung. Jemputan datuk itu segera ditunaikan. Andang daun
kelapa dipadam dan disandarkan pada pangkal tiang. Tanpa dijemput saya datang
ke anjung. Duduk bersimpuh dekat datuk.
“Kita pergi ke kubur
lama,” Haji Salim mengemukakan cadangan.
“Jangan terburu-buru,
kita cari,” balas datuk.
“Di mana kita nak cari,
sudah puas mencarinya. Saya dah putus asa. Sudahlah cucu saudara saya tu tak
ada ayah, ada emak lumpuh pula, entah apalah nasibnya,” Haji Salim tunduk
merenung lantai.
Saya jadi hiba. Badan
saya terasa sejuk dijamah angin malam yang membawa suara katak dan cengkerik
bersahut-sahutan. Bunyi burung hantu di hujung dahan jelas kedengaran.
“Jangan putus asa, mari
kita ikhtiar untuk kali terakhir kumpulkan orang-orang kampung,” datuk renung
muka Haji Salim.
“Orang-orang kampung
tunggu dekat dewan sementara menanti awak datang. Saya tahu ini semua kerja
orang yang memuja kubur, mereka dendam dengan saya,” keluh Haji Salim.
“Sudahlah tu, mari kita
ke dewan,” datuk terus bangun meninggalkan ruang anjung.
Haji Salim juga berbuat
demikian. Sampai di halaman, Haji Salim menghidupkan api andang daun kelapa.
Datuk terus menyuluh ke kiri dan ke kanan dengan lampu picit. Saya masih lagi
berdiri di anjung rumah. Tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Apakah saya
harus mengikuti mereka atau tinggal bersama nenek di rumah.
“Kau jangan ikut
Tamar,” kata nenek.
“Ha….saya nak ikut,”
saya terus melompat, memburu datuk dan Haji Salim yang berada dalam jarak 30
kaki dari saya.
Datuk dan Haji Salim
tidak menoleh ke arah saya, mereka terus melangkah dengan rancak. Walau
bagaimanapun, mereka tahu saya mengikuti mereka di belakang.
Cahaya obor daun kelapa
Haji Salim terus menerangi permukaan jalan, bunga-bunga api dari obor daun
kelapa berterbangan di udara ditolak angin malam. Siulan cengkerik dan bunyi
katak tidak pernah putus.
Kami sampai ke dewan,
terdapat kira-kira antara enam hingga sepuluh orang kampung yang duduk
bertenggek pada bibir simen dan semuanya saya kenal. Beberapa dari mereka
menyedut rokok daun bertembakau jawa. Bau asap dari rokok daun bertembakau jawa
itu membuat nyamuk tidak berani dekat pada orang-orang kampung yang ada di
situ.
“Kau Daud, duduk dekat
rumah budak tu, kau tentu tahu waktu bila budak itu hilang,” datuk mengajukan
pertanyaan pada seorang lelaki yang berbadan kurus.
“Budak perempuan tu
memang selalu mandi di sungai waktu Maghrib nak tiba, saya sudah tegur tapi dia
tak peduli.”
“Bukan itu, aku nak
tahu waktu bila ia hilang Daud.”
“Begini, petang tadi
saya nampak dia ke sungai. Maghrib dia tak balik, emaknya menangis dan suruh
saya mencarinya.”
“Kau pergi cari?”
“Saya cari tapi tak
jumpa, saya minta tolong jiran lain. Semuanya sia-sia. Kemudian baru saya
beritahu Haji Salim,” Daud berhenti bercakap. Wajahnya sedih.
Dan orang-orang kampung
yang ada di situ mengakui keterangan Daud itu. Mereka terlibat dalam usaha
mencari gadis sunti yang hilang itu. Mereka juga memberitahu datuk, mustahil
gadis sunti itu dihanyutkan oleh arus sungai kerana air sungai begitu cetek
sekali. Mahu dikatakan gadis itu dilarikan oleh orang jahat juga tidak masuk di
akal. Belum ada orang jahat yang muncul di kampung.
“Ah, semuanya ni
perbuatan orang yang memuja kubur,” tiba-tiba Haji Salim bersuara lantang dan
bersedia untuk mengeluarkan beberapa ungkapan lagi.
“Sudah haji, dalam
sesuatu hal kalau kita terlalu menurut perasaan akan membawa padah buruk pada
diri kita,” tingkah datuk. Orang-orang kampung yang ada di situ anggukkan
kepala, seolah-olah setuju dengan apa yang datuk katakan itu.
“Begini saja, kita cari
malam ni juga,” datuk mengemukakan cadangan.
Ternyata tidak semua
orang-orang kampung yang ada di situ mahu menerima cadangan datuk.
“Siapa mahu ikut saya,”
tanya datuk lagi. Cuma tiga orang sahaja yang mengangkat tangan tanda setuju,
manakala yang lain tidak mengangkat tangan termasuklah Daud, jiran terdekat
keluarga gadis sunti yang hilang.
“Kenapa Daud?” soal
Haji Salim.
“Kerja sia-sia. Susah
mencari orang hilang waktu malam. Kami dah buat tadi,” sahut Daud.
“Habis apa yang patut
kita lakukan?” Soal Haji Salim.
“Kita cari siang esok,
lagi mudah.”
“Tak apalah, siapa yang
tak mahu boleh pulang. Siapa yang mahu ikut, bersedia,” datuk mengeluarkan
arahan. Kumpulan Daud terus meninggalkan kawasan dewan.
Bila saya hitung,
ternyata cuma tiga orang sahaja orang kampung yang mahu menyertai kami.
Dicampur dengan diri saya, datuk dan Haji Salim, jumlah kami menjadi enam orang
sahaja.
“Kita pecahkan enam
orang ni, menjadi tiga kumpulan. Tamar ikut Borhan, Salleh ikut Haji Salim,
Hassan ikut saya.” Datuk mula mengatur gerakan. Saya segera berdiri di belakang
Borhan yang sudah pun menyalakan obor daun kelapa.
“Saya yakin dengan
pertolonga Allah yang Maha Besar, budak perempuan yang hilang tu akan kita
jumpa juga,” kata datuk lalu mengajak kami pergi ke tebing sungai.
Ia menyuruh kami
mencari kesan-kesan yang ditinggalkan oleh budak perempuan yang hilang itu.
Seluruh kawasan tempat
gadis sunti mandi, habis kami jajahi. Pokok besar, pokok kecil semuanya kena
pijak dan diselongkar. Tidak ada sesuatu kesan pun yang dapat kami temui.
Haji Salim cacakkan
andang daun kelapa ke tanah. Ia terus duduk di atas sebatang pokok yang
tumbang. Langit waktu itu kelihatan cerah. Gumpalan awan putih bergerak
perlahan-lahan arah barat daya. Bulan yang sedang mengecil terus dipagar oleh
bintang-bintang yang sedang mengerdip. Embun malam terasa menjamah rambut.
“Begini, Tamar dan
Borhan cari sebelah sana, terus hingga sampai ke kaki bukit. Haji Salim sama
Salleh dari sebelah sini hingga ke hilir sungai. Saya sama Hassan cari dari
seberang sungai hingga sampai ke kawasan bendang,” datuk mengeluarkan aturcara
dari pertimbangan akal fikirannya. Tidak ada bantahan. Semuanya berpecah
mengikut arahan yang ditetap.
Saya jadi gementar,
usia Borhan dengan saya jaraknya antara lima dan enam tahun sahaja. Tidak ada
pengalaman. Dan orang-orang yang mengikut datuk dan Haji Salim lebih beruntung
lagi. Datuk dan Haji Salim orang tua yang banyak pengalaman, tidak mudah
gementar bila berhadapan dengan kecemasan.
Saya dan Borhan bertengkar
kecil, masing-masing tidak mahu jadi kepala. Borhan mahu saya jadi kepala,
sedangkan saya keberatan kerana itu merupakan tugas yang berat. Akhirnya Borhan
mengalah.
“Tak apa, kalau kau tak
mahu apa boleh buat, marilah,” Borhan terus meredah hutan kecil.
Saya tersenyum tetapi,
saya ditugaskan untuk membawa obor daun kelapa. Kami terus meredah hutan.
Angin malam yang
bertiup membuat badan saya terasa amat dingin. Beberapa batang ranting kering
dan daun kering berjatuhan ke bumi akibat dirempuh angin. Bunyi katak dan
cengkerik terus rancak kedengaran di samping bunyi tolongan anjing liar yang
ditingkah oleh bunyi kelawar yang terbang malam mencari makanan.
Semua lubang, semua
perdu pokok dan rimbunan lalang kami jenguk. Beberapa ekor katak dan belalang
berlompatan, bagaikan marah kerana tempat mereka diganggu. Sesekali, kaki saya
terpijak lopak. Dedaun yang saya langgar merempuh batang leher lalu,
menjatuhkan air embun yang lekat di hujungnya pada kulit tengkuk. Terasa cukup
sejuk.
Tiba-tiba saya
tersepakkan sesuatu yang lembut dalam rumpun lalang. Bila saya bergerak, terasa
benda lembut itu memaut pergelangan kaki saya. Benda lembut sejuk itu merayap
hingga ke buah betis saya.
Dada saya berdebar,
badan terasa seram sejuk. Lolongan anjung kian jelas kedengaran. Suara
cengkerik dan katak kian bertambah rancak. Angin terus menggugurkan
ranting-ranting kering yang bunyinya amat menakutkan.
“Kenapa berdiri di situ
Tamar.”
“Ada…,” saya tidak
dapat meneruskan kata-kata. Badan saya terus menggeletar. Malam yang dingin
terasa panas hingga memercikkan peluh-peluh halus di dahi.
“Kenapa muka kamu pucat
Tamar?”
“Ahhh..Ahhh ada…,”
mulut saya terus terlopong. Benda lembut sejuk itu terus meraba buah betis
saya.
Melihat saya dalam
keadaan yang cemas itu, Borhan menghampiri saya dan terus merampas obor dari
tangan saya. Ia terus menyuluh ke arah rumpun lalang. Biji mata Borhan
terbeliak. Tangannya terus menggeletar dan obor terus bergerak tidak tentu arah
menurut getaran tangannya.
“Mayat Tamar,” suara
Borhan separuh menjerit. Mukanya kelihatan berubah. Mujurlah, rasa cemas itu
sekejap saja menguasai dirinya. Beberapa minit kemudian, ia kembali tenang. Ia
menarik tangan saya dari rumpun lalang. Saya angkat kaki kanan tetapi tidak
berdaya. Kaki saya bagaikan ditarik oleh sesuatu. Jari-jemari manusia saya rasa
mula merayap dari buah betis menurun ke buku lali.
“Mayat pegang aku
Borhan.”
“Nanti aku lepaskan.”
Borhan pacakkan atas
bumi. Dari cahaya obor itu saya melihat mayat seorang gadis terlentang. Biji
matanya terbeliak, mulutnya ternganga, penuh dengan darah beku. Rambutnya
mengerbang.
Perkara yang
benar-benar mencemaskan perasaan saya bila saya melihat jari jemari mayat itu
memaut pergelangan kaki saya. Macam diarahkan oleh sesuatu untuk berbuat demikian.
Dengan ekor mata saya menjeling ke arah jari-jemari mayat dan kaki kanan saya.
Rupa-rupanya telapak
kaki kanan saya memijak pangkal lengan mayat itu. Tidak hairanlah bila saya
menggerakkan kaki, tangan dan jari-jemarinya turut sama bergerak. Biji matanya
yang terbeliak dengan rambut yang terhurai pada mayat tersebut memang
menakutkan.
Saya rasa matanya
bagaikan melihat diri saya hingga ke jantung hati. Kakinya terkangkang keras.
Kain batik lusuh yang dipakainya terselak hingga ke pangkal paha dan baju
kebayangan pula terkoyak di bahagian dada. Saya kira ada perlawanan antara
orang yang menyerang dengan mangsanya.
Borhan terus menatap
mayat itu. Tanpa diduga, Borhan menutup kedua belah matanya dengan telapak
tangan.
“Mayat tu bergerak,”
katanya.
“Bergerak,” pekik saya
lalu membuka langkah seribu.
Habis pokok besar dan
kecil saya redah, tidak terasa sakit walau sedikit pun. Melihat saya lari,
Borhan juga ikut lari lintang pukang di malam yang gelap melanggar apa sahaja
yang menghalang.
Anehnya, kami sampai
serentak ke tempat mula datang tadi. Kami tidak dapat berkata apa-apa, cuma
tercungap-cungap macam ikan kekurangan air.
Tidak sampai lima minit
kami berada di situ Haji Salim, Hassan, Salleh dan datuk pun tiba. Mereka
tercengang melihat kami tercungap-cungap dengan wajah yang pucat.
“Ada orang jumpa?”
tanya datuk.
“Adaa…,” jawab Borhan
sambil menyandarkan badannya pada saya. Tiba-tiba ia terus rebah. Haji Salim
terus mendekatinya.
“Pengsan,” kata Haji
Salim.
Semua yang ada di situ
segera memberi pertolongan pada Borhan. Akhirnya, Borhan pulih dari pengsan.
Datuk memberikan rawatan dengan secukupnya pada Borhan. Mukanya yang pucat
lesi, kembali merah.
“Apa yang kau jumpa
Borhan?” Datuk terus menyoal Borhan. Tangan datuk terus memicit setiap sendi
tubuh Borhan. Air embun yang gugur terus menyentuh rambut kami. Dua tiga orang
menguap panjang.
“Cucu saudara Haji
Salim, si Timah sudah mati,” suara Borhan lemah. Haji Salim terus termenung
panjang. Matanya merenung pokok-pokok hutan yang tegak kaki di malam yang
dingin.
Lolongan anjing sudah
tidak kedengaran lagi. Diganti dengan suara burung hantu dan jampuk. Bunyi
katak dan cengkerik tetap hebat macam tadi.
Datuk dan Haji Salim
mengadakan rundingan. Kemudian datuk minta saya dan Borhan menunjukkan rumpun
lalang tempat mayat itu dijumpai. Kali ini saya jadi kepala jalan. Saya tidak
merasa takut atau gentar kerana ada datuk dan Haji Salim.
Kami sampai ke rumpun
lalang. Haji Salim terus mengangkat tubuh cucu saudaranya yang sudah kaku.
Usianya sekitar tiga belas tahun. Datuk merenung mayat gadis malang itu dengan
tenang.
“Lidahnya dipotong
orang,” beritahu datuk pada Haji Salim.
“Memang tak salah
agakan saya.”
“Kita berusaha mencari
orang yang membuat kerja laknat itu.”
“Ya, kematian cucu
saudara saya harus dibalas,” nada suara Haji Salim keras.
Saya, Hassan, Salleh
dan Borhan hanya mendengar sahaja dengan apa yang dikatakan oleh datuk dan Haji
Salim. Ketika mayat itu berada di pangkuan Haji Salim, saya tidak berani
merenungnya.
Mayat gadis sunti yang
malang itu dibawa ke rumah ibunya. Diletakkan di ruang depan. Siang esok mayat
gadis malang itu akan diuruskan pengkebumiannya, begitu mengikut rancangan Haji
Salim yang disampaikan pada datuk.
Lebih kurang pukul
empat pagi, saya dan datuk meninggalkan rumah ibu gadis yang malang itu. Haji
Salim terus membaca Quran dekat cucu saudaranya.
“Biar kami balik dulu
Haji,” kata datuk pada Haji Salim. Waktu itu, sudah pukul empat pagi, bintang
timur sudah pun muncul di kaki langit. Udara terasa bertambah dingin.
“Tak apalah, esok
datang awal. Kalau boleh biarlah sebelum pukul lapan pagi,”jawab Haji Salim
pendek. Ia terus membaca Quran dekat jenazah cucu saudaranya. Saya dan datuk
meninggalkan rumah gadis sinti yang malang.
TANAM
Sudah dua mingu ,
jenazah gadis sunti yang malang itu disemadikan di tanah perkuburan Islam di
Jalan Parit. Saya masih ingat, waktu orang-orang kampung meratakan tanah kubur,
kira-kira pukul sebelas pagi, cuaca begitu baik, matahari memancar keras.
Tanpa diduga oleh
sesiapa pun, dalam cuaca panas yang terik itu, hujan turun dengan selebatnya.
Pakaian ornag kampung yang ada di situ semuanya basah kuyup. Beberapa orang
kampung meramalkan bahawa, hujan panas yang turun waktu orang menanam jenazah
membawa alamat yang kurang baik pada orang yang masih hidup.
No comments:
Post a Comment