“Kita juga
tidak percaya tapi ramai orang yang percaya dengan perkara yang karut-marut
tu.”
“Ajal maut milik
Allah. Kalau ajal kita belum tiba, jatuh dalam gunung berapi pun kita hidup.
Bila ajal dan janji kita sudah tiba, digigit semut pun kita mati.”
“Kita jangan lupa,
nyawa kita ini dipinjamkan oleh Allah pada kita. Bila sampai waktunya nyawa
kita akan diambilnya. Jadi kenapa kita takut pada mati, kalau kita sudah
membuat persiapan yang cukup,” balas Haji Salim dengan tenang. Ketika ia
berkata-kata tadi, saya lihat sinar matanya cukup tajam.
“Kita setuju,” jawab
datuk.
“Mari sembahyang,
Isyak dah sampai,” Haji Salim segera bangun. Ketika itu juga terdengar suara
azan Isyak dari surau membelah ketenangan seluruh kampung.
“Kita jadi imam,”
tambah Haji Salim.
“Silakan,” ujar datuk
tersenyum.
“Nanti dulu,” kata
saya.
“Kenapa pula budak
ni,” keras sekali suara datuk.
“Saya terkentut dalam
diam tuk.”
“Ah kamu ni, ada ada
saja. Pergi cepat.”
Saya meluru ke bilik
air. Saya terdengar suara ketawa dari haji dan datuk tingkah meningkah. Mereka
geli hati dengan kelakuan saya. Memang kelemahan diri saya, air sembahyang saya
cepat batal. Bila ada air sembahyang perut buat ragam dan sering mahu mengeluarkan
udara kotor dari dalamnya.
Kalau tidak ada air
sembahyang, perut tidak pula buat hal. Entah mengapa begini jadinya, mungkin
dugaan pada orang yang ada air sembahyang terlalu banyak, fikir saya sendirian.
Nantilah satu hari, mahu saya tanyakan hal itu pada Haji Salim.
Haji Salim mengambil
tempatnya sebagai imam. Saya dan datuk berdiri hampir berlaga bahu. Memang
pesan datuk kalau sembahyang jemaah mesti rapat, jangan ada ruang untuk syaitan
lalu yang menggoda kita sembahyang.
Sembahyang Isyak
dapat disempurnakan dengan aman. Haji Salim terus membaca doa. Suaranya cukup
terang dan jelas sekali. Cara mendadak suaranya yang terang itu beransur lemah
dan tidak kedengaran langsung.
Saya lihat Haji Salim
terus rebah di tikar sembahyang. Datuk dan saya terus menghampirinya. Haji
Salim kelihatan sukar untuk bernafas. Datuk segera mahu melakukan rawatan
kecemasan.
“Tak payah, masanya
sudah sampai,” kata Haji Salim. Nafasnya beransur tenang. Ia terus merenung
wajah datuk dengan senyum. Dengan susah payah Haji Salim melunjurkan kedua
belah kakinya. Ia terus baring. Sepasang matanya merenung lelangit rumah dengan
tenang.
Isterinya datang
membawa bantal. Datuk segera mengambil bantal itu, terus mengenepikan ke kepala
Haji Salim. Ia kelihatan lemah sekali.
“Maafkan aku, kalau
ada tersilap dan kasar bahasa pada kamu,” Haji Salim renung muka isterinya.
Perlahan-lahan isterinya anggukkan kepala bersama wajah yang gusar.
“Begitu juga pada
kamu Tamar,” Haji Salim renung muka datuk dan saya.
Serentak datuk dan
saya anggukkan kepala. Isteri Haji Salim mula tersedu dan datuk terus memujuk
isteri Haji Salim supaya jangan menangis dan meraung. Ternyata isteri Haji
Salim patuh dengan cakap datuk.
“Sahabat, kita nak
tidur. Kita rasa bekalan kita sudah cukup,” suara Haji Salim cukup lemah. Sinar
matanya cukup redup menikam wajah datuk. Saya lihat datuk menarik nafas dengan
rasa yang penuh berdebar.
Beberapa saat
kemudian, saya lihat Haji Salim merapatkan kedua belah kelopak matanya dengan
aman. Wajahnya nampak seakan-akan orang tersenyum. Datuk segera merasai
perjalanan nadinya.
“Dia kembali pada
yang HAK. Semoga amal ibadahnya diterima oleh Allah,” beritahu datuk pada
isteri Haji Salim. Dan saya lihat perempuan tua yang berwajah tenang itu
mengesat air matanya dengan hujung baju.
“Saya goreng pekasam
kesukaannya tapi…,” perempuan Haji Salim tidak terdaya meneruskan kata-kata
itu. ia terus tersedu. Saya dan datuk berpandangan.
“Jangan disesali
kematiannya. Kita mesti merelakan apa yang sudah diatur oleh Allah,” datuk
mengingatkan isteri Haji Salim yang masih termenung.
“Baik tuk.”
“Pergi sekarang.”
SEMPIT
Dengan hati-hati saya
memijak anak tangga kiri kanan jalan menuju ke surau ditumbuhi pokok-pokok
kecil yang merimbun. Memang sukar berjalan di jalan yang sempit. Kalaulah orang
lain yang menyuruh, pasti saya bantah.
Melangkah di jalan
yang sempit waktu malam, memang menyulitkan. Dua tiga kali saya terlanggarkan
akar pokok yang melintang atas jalan. Bukan kepalang sakitnya.
Ada masanya saya
terpaksa melompat, akibat dilanggar oleh katak puru yang muncul dari rimbunan
pokok kecil di kiri kanan jalan. Saya lihat langit yang cerah, gumpalan awan
terus berarak.
Saya sampai dekat
pokok kelapa yang patah pucuk, akibat dipanah petir. Dari pangkal pokok kelapa
itu, saya lihat cahaya gasolin di surau terang-benderang. Hati saya gembira
kerana surau masih belum ditinggalkan oleh orang kampung.
Dalam gelap yang
pekat itu, suara cengkerik kian rancak menyanyi. Beberapa ekor kelip-kelip
terbang tidak tentu arah. Desir angin yang menyentuh dedaun terus berbunyi.
Jarak surau dengan rumah Haji Salim kira-kira suku batu.
Tiba-tiba saya
tersepakkan benda lembik. Saya berhenti melangkah sambil memusingkan kaki kanan
saya dengan harapan dapat merasakan benda lembik itu. Anehnya, benda lembik itu
tidak tersentuh bila melangkah. Dan dengan tiba-tiba saya teringatkan Haji
Salim yang sudah menjadi mayat.
Saya juga teringat
cakap orang tua-tua yang mengatakan bila ada orang mati malam, syaitan selalu
merayau di kawasan orang ang meninggal dunia bertujuan untuk menakut-nakutkan
orang yang masih hidup. Mengingatkan semuanya itu, cara mendadak sahaja bulu
tengkuk saya meremang. Rasa takut mula bersarang dalam diri.
Cara yang paling baik
dilakukan, berlari sahaja dalam gelap. Redah atau langgar apa sahaja, dengan
itu cepat sampai ke surau dan terus pukul kerantung tujuh kali berturut-turut.
Setelah diperhitung
dan dipertimbangkan dengan teliti, saya membuat keputusan untuk lari menuju ke
surau. Baru lima enam langkah berlari, saya terlihat benda putih sebesar buah
kelapa datang bergolek-golek ke arah kaki saya.
Dalam jarak dua kaki
dari saya, benda putih itu berhenti bergolek. Bentuknya juga berubah jadi
memanjang bantal peluk. Perlahan-lahan benda putih itu bangun, berdiri setinggi
tubuh saya. Saya renung kiri kanan. Apa yang saya lihat, barisan kelip-kelip
yang terbang menuju ke satu arah, iaitu arah barat daya.
Saya jadi tidak tentu
arah dan bersedia menjerit memanggil datuk. Tetapi, hasrat itu saya batalkan.
Saya terus membaca ayat-ayat Quran untuk menghalau syaitan. Makin kerap
ayat-ayat Quran itu saya ulangi, makin rancak benda putih itu berpusing-pusing
di depan saya.
Saya terus lari
sekuat hati menuju ke surau. Sampai di surau saya dapati tidak ada seorang pun
di situ. Saya terus memanggil-manggil nama Siak beberapa kali. Tidak ada
jawapan yang saya terima. Tetapi, mengapa Tuk Siak tidak mematikan lampu
gasolin. Barangkali ia terlupa, kata hati saya.
Tanpa membuang masa,
saya ambil kayu pemukul lalu memukul kerantung tujuh kali berturut-turut.
Selesai sahaja kerantung (beduk) dipukul lampu gasolin terus padam dengan
sendiri. Hati saya berdebar. Dan saya bagaikan mahu menangis rasanya. Saya
terus duduk di tangga surau.
Dalam keadaan yang
kelam-kabut itu, saya terdengar bunyi suara orang batuk dari arah belakang
surau.
“Siapa yang mati?”
tanya suara dari belakang surau.
“Tuk Siak di mana?”
“Aku tanya lain, kamu
jawab lain.”
“Haji Salim yang
mati.”
“Eloklah tu.”
Darah saya tersirap.
Dan saya yakin, itu bukan suara Mat Upih Tuk Siak surau. Suara Mat Upih parau
bercampur nyaring. Tetapi suara yang saya dengar ini, keras tidak nyaring dan
serak.
Setiap orang kampung
yang menerima berita kematian akan menjawab dengan kata-kata; Innalillah wa
inna Ilaihirajiun. Mereka tidak akan mengucapkan perkataan, eloklah tu, seperti
yang diucapkan oleh orang dari arah belakang surau.
“Itulah padahnya
melawan kita,” tercetus lagi kata-kata dari orang yang tidak saya kenali. Dengan
tidak disangka-sangka rasa marah dan benci tumbuh dalam hati saya terhadap
orang itu.
“Ei, manusia tak baik
cakap macam tu. Kamu juga akan mati,” balas saya.
“Sudahlah, tak lama
lagi giliran datuk kamu.”
“Nyawa datuk aku
bukan di tangan kamu, tahu.”
“Tunggu, dan lihat
sendiri.”
“Laknat.”
Sebaik sahaja
kata-kata itu saya ucapkan, saya tercium bau yang amat busuk. Saya terlihat dua
lembaga manusia melintas di depan saya. Dari bentuk lembaga itu, saya tahu
orang itu tidak lain tidak bukan ialah Kamal dan Daud.
“Aku tahu siapa
kamu,” jerit saya.
Dalam saya terus
berlari meninggalkan surau, terdengar suara orang ketawa berdekah-dekah
dituruti dengan bunyi tapak kaki memburu saya dengan kuat. Saya terus berlari
tanpa mahu menoleh ke belakang, ke kiri atau ke kanan.
Bila saya sampai di
rumah Haji Salim, saya lihat orang sudah ramai. Mat Upih duduk di halaman rumah
bersama dengan kawan-kawan. Semuanya memakai songkok putih.
“Macam mana tahu Haji
Salim meninggal?” saya ajukan pertanyaan pada Mat Upih yang berkulit putih,
berasal dari Pangkalan Bharu, dekat Pantai Remis.
“Ada orang datang
beritahu para jemaah. Bila disuruh pukul kerantung, dia tak mahu. Katanya kamu
nak pukul lepas sembahyang Subuh,” jawab Mat Upih.
“Pak Mat Upih kenal
orangnya?”
“Inilah yang kami
bincangkan. Orang tu memakai serba hijau, kami ingatkan keluarga si arwah yang
datang dari jauh,” Mat Upih renung kawan-kawannya. Semua kawan-kawannya
anggukkan kepala.
Saya garu pangkal
telinga dua tiga kali. Di sudut halaman datuk sedang berunding dengan penggali
kubur. Isteri Haji Salim sedang bercakap dengan Borhan. saya terus menghampiri
mereka.
“Aku nak suruh si
Borhan ni telefon anak buahku dan telefon malam ni juga. Mana yang tak ada
telefon pagi esok di pejabat,” terang isteri Haji Salim lalu memberi nombor
telefon pada Borhan.
“Macam mana kau nak
buat Borhan,” soal saya.
“Aku ke pekan malam
ni juga, gunakan telefon abang aku Tamar.”
“Bila balik ke sini?”
“Malam ni juga.”
Borhan segera meluru
ke Honda 70cc miliknya. Meninggalkan saya yang terpaku di sisi isteri Haji
Salim. Bunyi enjin motosikal Borhan tidak kedengaran lagi.
Berita kematian Haji
Salim cukup cepat merebak ke seluruh kampung. Tidak sampai dua jam rumah arwah
Haji Salim jadi tumpuan. Semua yang datang tanpa di arah tahu dengan tugas
masing-masing.
Ada yang datang
membawa ketam, penukul dan paku serta gergaji. Ada yang datang membawa papan
dan kayu. Mereka bergotong-royong membuat keranda dan pengusung. Menjelang
pukul dua belas malam, semua kelengkapan itu siap.
Tepat pukul satu
pagi, orang-orang yang datang pulang ke rumah masing-masing. Mereka sudah tahu
tugas-tugas yang akan dilakukan pada esok pagi. Beberapa orang penduduk kampung
terus membaca Quran di depan jenazah Haji Salim.
Pada mulanya, perbuatan
itu ditentang oleh datuk. Menurut datuk membaca Quran di depan jenazah
merupakan perbuatan yang bidaah, tidak pernah dilakukan oleh Nabi Besar
Muhammad SAW.
“Tidak. Tujuannya
baik dan perkara ini harus. Kita menyedekahkan pada roh arwah, kita tak usah
bertekak atas perkara ini, nanti menimbulkan perbalahan antara kita,” sanggah
Pak Imam.
“Saya tak pula
bermaksud begitu. Setahu saya amal ibadah yang ditambah-tambah, perkara yang
tidak dilakukan oleh nabi kita buat, sudah tentu perbuatan tu dicela oleh agama
kita,” datuk mempertahankan pendapatnya.
“Sebenarnya masalah
ini, ulama-ulama besar pun tidak sependapat. Ada yang kata boleh, ada yang kata
tidak. Sudah jadi kebiasaan orang-orang kita membaca Quran di depan jenazah,”
tambah Imam lagi.
“Tak apalah, saya
akan tanya pada ahli-ahli agama dalam hal ini, supaya orang kita dapat
melakukan sesuatu yang baik mengikut nabi,” suara datuk merendah.
“Saya setuju dengan
awak, tapi apa yang berjalan sekarang jangan dikacau.”
“Demi perpaduan
penduduk perkara tu saya tak halang. Tetapi bila saya dapat hujah yang kuat
saya menentangnya.”
“Saya setuju,” Pak
Imam tersenyum.
Saya tersenyum
mendengar percakapan antara datuk dan Pak Imam. Mereka sering bertolak ansur
demi kepentingan dan perpaduan para penduduk. Pak Imam terus naik ke rumah.
Saya duduk dekat pokok mempelam. Dua tiga kali saya menguap. Kelopak mata
terasa amat berat sekali. Rasa dingin kian hebat mendakap seluruh badan. Tanpa
diduga saya terlena sejenak.
“Tamar.”
Saya membuka mata.
Saya lihat datuk sudah pun duduk di sisi saya. Muka saya ditenungnya lama-lama.
Kemudian pangkal ketiak kanan saya ditamparnya sekuat hati. Rasa mengantuk
segera hilang.
“Jangan mudah tidur
di mana-mana, nanti dikacau syaitan,” katanya pada saya.
“Saya mengantuk tuk.”
“Kalau mengantuk
balik ke rumah.”
“Saya takut tuk.”
“Takut?” datuk
membeliakkan biji mata pada saya.
Saya terus
menceritakan pada datuk, segala kejadian aneh yang saya lalui ketika pergi ke
surau beberapa jam tadi. Datuk mendengarnya dengan tenang.
“Dendamnya pada kita
belum habis,” cetus datuk sambil meraba ulu keris pemberian Haji Salim yang
disimpan dalam uncang kecil. Datuk meninggalkan saya. Ia terus menemui isteri
Haji Salim. Setelah bercakap-cakap sebentar dengan datuk, isteri Haji Salim
masuk ke rumah. Keluar kembali dengan ditemanui oleh nenek.
Datuk dan nenek
bercakap-cakap sebentar. Datuk tinggalkan nenek dan terus menghampiri saya.
“Kita balik dulu
Tamar. Lepas Subuh kita datang lagi ke sini. Di rumah kamu boleh tidur.”
“Ini sudah cukup baik
tuk.”
“Cepat bangun.”
Saya segera bangun.
Badan saya menggeletar kesejukan. Langit tetap cerah tetapi sekitar kawasan
rumah Haji Salim terus didakap oleh suasana malam yang agak pekat. Suara jampuk
berpadu dengan suara pungguk mendendangkan irama malam yang tidak pernah habis
selagi dunia berkembang. Begitu juga dengan suara cengkerik.
Langkah datuk cepat,
tidak tersepakkan tunggul atau akar. Ia cukup arif dengan jalan yang
dilaluinya. Bagi mengelakkan supaya saya jangan jauh ketinggalakan, saya
terpaksa berlari. Kerana berlari membuat badan saya berpeluh dan menghilangkan
rasa sejuk.
“Tamar.”
Datuk menepuk bahu
saya. Langkah kami terus kaku.
“Ada apa tuk?”
“Kau nampak apa-apa
Tamar.”
“Tak ada apa-apa
tuk,” saya renung ke kiri, saya renung ke kanan. Dalam gelap gelita itu saya
ternampak ada bentuk manusia berdiri antara saya dengan datuk.
“Ada orang tuk.”
Sebaik sahaja
kata-kata itu berakhir, bayang-bayang orang itu segera hilang. Ia muncul di
depan datuk. Kali ini bayang-bayang ini menjadi nyata. Mempamerkan wajah dan
batang tubuhnya. Bila datuk mahu menyapa, orang itu segera hilang dan berdiri
jauh di belakang saya.
Orang itu membongkok
macam mencari sesuatu di atas tanah. Perlahan-lahan orang itu mengeluarkan
buluh tajam dan bersedia mahu menikam tanah yang ada kesan tapak kaki saya dan
datuk.
Waktu orang itu mahu
menikam buluh tajam ke arah kesan tapak kaki saya dan datuk, bagaikan kilat
datuk melompat lalu melakukan satu tendangan yang kuat ke arah pergelangan
tangan orang itu. Buluh di tangan orang itu terpelanting lalu melekat di batang
pokok pisang.
Orang itu terus
tercengang. Tergamam untuk melakukan sesuatu. Dalam keadaan yang serba-salah
itu datuk melepaskan satu tendangan yang kencang pada orang tersebut. Saya
lihat orang itu tersandar di pangkal pokok pisang.
Kalau orang itu tidak
mengelak sudah pasti buluh tajam yang tercabut dan terjatuh dari pokok pisang
mengenai perutnya. Kalaulah perkara itu terjadi, sukar untuk saya
membayangkannya.
“Aku tahu, kamu
menuntut dari kaum kubu di Sumatera, tidak ada sesiapa yang boleh mengalahkan
kamu kecuali kaum itu sendiri,” kata datuk. Saya lihat orang itu terdiam. Datuk
segera merapatinya.
“Kamal, kamu
menggelarkan diri kamu mahaguru. Kau memaksa orang memanggil kamu datuk.
Kamulah penipu besar di dunia ini,” datuk terus mengutuk orang itu. tidak ada
jawapan dari orang tersebut.
“Aku tahu, ilmu dunia
orang kubu cukup hebat, bekas tapak kaki manusia musuhnya kalau ditikam dengan
buluh orang itu boleh mati. Jika musuhnya berada jauh dalam jarah
berpuluh-puluh batu, boleh dibunuh dengan membalingkan pisau ke arah rumah
musuh dan musuhnya mati dengan serta-merta. Aku juga tahu ilmu itu tidak ada
pada kamu Kamal,” sambung datuk dalam nafas yang tercungap-cungap.
Saya tidak berkata
apa-apa. Bau hapak mula menyumbat lubang hidung saya. Ketika itu juga saya
lihat beribu-ribu kelip-kelip berterbangan sekitar kawasan kami berada. Cahaya
dari kelip-kelip itu memudahkan saya melihat pergerakan Kamal yang mula mahu
bangun.
“Kalau ajalku belum
sampai dan tidak diizinkan oleh Allah mati di tangan kamu, usahlah kamu memburu
aku Kamal,” beritahu datuk lagi. Kamal terus bangun.
“Buktinya Haji
Salim,” pekik Kamal.
“Kamu silap. Ia mati
kerana sudah sampai janjinya.”
“Sial, kamu sial, menghalang
kerja-kerja aku.”
“Kalau kamu mahu
menunjukkan kehandalan ilmu dunia kaum kubu yang kamu tuntut, aku bukanlah
tempatnya. Aku tahu ilmu kamu tidak cukup lagi.”
“Mana kamu tahu.”
“Aku berasal di Tanah
Jambi. Aku sudah bercampur gaul dengan beberapa orang ketua kaum tersebut,
banyak ilmu dunia dia orang yang aku tahu. Serba sedikit pantang larang dan
sumpahnya aku tahu,” datuk berhenti bercakap.
Kelip-kelip kian
bertambah. Kamal termenung panjang. Bau tokaknya kian kuat berbau. Lolongan
anjing sayup-sayup terdengar. Bunyi angin kian kuat bertiup.
“Tokak di kaki kamu
tu terjadi kerana kamu tidak pergi berjumpa dengan ketua orang kubu yang mahu
tuntut ilmu. Kamu tidak membawa upahnya seekor babi hutan pada setiap tahun.”
“Ah mengarut.”
“Kamal, aku tak mahu
cakap banyak. Eloklah kamu pindah dari sini sebelum kamu dilaknati oleh Allah.
Pergilah ke mana-mana dan bertaubat.”
“Sudahlah.”
Dengan sekelip mata
kelip-kelip yang beribu-ribu itu terus hilang. Kamal juga lesap dari pandangan
saya dan datuk. Buluh yang ada di bawah pohon pisang terbakar dengan
sendirinya.
Datuk menarik nafas
panjang. Di wajahnya terbayang rasa kesal. Lama juga datuk termenung, macam ada
sesuatu yang difikirkannya.
“Mari Tamar.”
Saya pun terus
melangkah mengikut rentak kaki datuk. Dua tiga kali melangkah, saya renung ke
belakang. Bimbang, kalau Kamal muncul lalu menikam saya. Kalau perkara itu
terjadi, tentu saya mati katak.
Kami selamat sampai
ke rumah. Tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Sampai di rumah saya
terus tidur. Saya tidak tahu apa yang datuk lakukan dalam biliknya.
USUNG
Pagi itu, sebelum
pergi ke rumah arwah Haji Salim, datuk duduk di kepala tangga. Saya terus
menghampirinya.
“Tamar.”
“Ya, tuk.”
“Kau ingat dengan
Daud.”
“Ingat tuk, kenapa
tuk.”
“Dia menipu kita.
Katanya dulu, Kamal orang nombor dua yang menjalankan perintah guru. Sebenarnya
Kamal itulah kepala nombor satu.”
“Betul ke tuk.”
“Sudahlah, mari kita
pergi ke rumah arwah Haji Salim.”
Waktu kami sampai
orang ramai di rumah Haji Salim. Sanak saudaranya yang jauh sudah ada yang
tiba. Saya pusing keliling rumah, kalau-kalau Saadiah dan keluarganya sudah
tiba. Ternyata Saadiah masih belum sampai.
Rasa terkilan
berbunga dalam diri saya. Rindu benar rasanya mahu melihat lesung pipit di pipi
Saadiah. Dalam rasa kehampaan yang memanjang itu saya terus menuju ke arah
Lebai Din yang buta kedua belah matanya.
“Tamar,” kata Lebai
Din. Saya tersenyum bagaimana orang tua yang buta ini memanggil nama saya
dengan tepat. Padahal saya tidak menegurnya.
“Kau pakai baju dan
seluar putih hari ni,” tambahnya.
“Ya Pak Lebai,” jawab
saya.
Lebai Din terus
ketawa dan menepuk belakang saya beberapa kali dengan penuh kemesraan.
Tangannya saya pegang erat-erat.
“Macam mana tahu Pak
Aji meninggal?” tanya saya.
“Borhan beritahu.”
“Macam mana datang?”
“Jalan kaki Tamar.”
“Jauh tu Pak Lebai.”
“Sebagai orang Islam
bila tahu saudara seagama meninggal kita mesti datang,” katanya. Saya anggukkan
kepala. Setuju dengan pendapatnya itu.
Datuk datang dan
terus duduk di sebelah Lebai Din. Saya tahu bila datuk datang, saya tidak boleh
bercakap ikut suka hati, nanti kena tegur oleh datuk.
“Bila mahu
dikebumikan,” tanya Lebai Din.
“Lepas Zuhur, nanti
anaknya dari Beranang tiba. Kalau tak sampai juga, tak boleh ditunggu lagi.”
“Bagus, menyegerakan
mengkebumikan mayat memang dituntut oleh agama, tak baik
melambat-lambatkannya,” jawab Lebai Din.
Orang tidak
putus-putus datang ke rumah Haji Salim, orang sekampung semuanya tidak pergi
kerja hari itu. orang luar dari kampung juga tidak kurang ramai yang datang.
Melihat keadaan itu, saya meramalkan semasa hayatnya, Haji Salim memang
terkenal dan dihormati.
“Orang yang duduk di
tanah saya tu dah pindah,” Lebai Din memberitahu pada datuk. Saya lihat datuk
terkejut.
“Macam mana awak
tahu.”
“Lepas sembahyang
Subuh tadi, orang tu lalu dekat rumah saya dan beritahu perkara tu.”
“Biadab, manusia
biadab.”
“Biarlah dia biadab,
asalkan kita tidak jadi macam dia. Saya bersyukur pada Allah…”
“Bersyukur, bersyukur
apa?”
“Dia sudah
meninggalkan pondok itu. kalau di suruh keluar dengan paksa lain pula jadinya.”
“Begitu,” saya lihat
datuk ketawa kecil. Keterangan dari Lebai Din membunuh keraguan dalam diri
datuk.
Seperti yang
dijanjikan, lepas waktu Zuhur jenazah Haji Salim pun diusung ke tanah
perkuburan. Masa di tanah kubur saya terlihat Kamal dan Daud ada di celah-celah
orang ramai yang sedang mendengar Pak Imam membaca talkin.
“Mata kamu rabun.”
“Tak, saya nampak
tuk.”
“Pandangan kamu saja,
semuanya kerana takut.” Suara datuk keras. Saya terus diam.
Bila semuanya sudah
selesai. Orang ramai pun meninggalkan tanah kubur. Tetapi, datuk dan Lebai Din
masih berdiri di sisi pusara Haji Salim. Wajah mereka muram, mata mereka merah.
“Allah kasihkan
dirinya, kerana itu ia dipanggil,” keluh datuk. Lebai Din menarik nafas,
matanya tidak berkedip merenung tanah pusara.
“Saya kehilangan
kawan,” tambah datuk lagi.
“Saya juga begitu.
Susah mahu mencari orang macamnya, penyabar dan bertimbang rasa,” sahut Lebai
Din. Serentak datuk dan Lebai Din meninggalkan pusara.
“Tadi, saya rasa
laknat tu ada sama,” cara mendadak sahaja Lebai Din memberitahu datuk. Muka
datuk segera berubah. Perlahan-lahan ia menarik nafas.
No comments:
Post a Comment