Datuk menolak ramalan
yang tidak berasas itu. tetapi ramalan yang bergerak dari mulut ke mulut itu,
tidak dapat disekat dan terus mempengaruhi orang-orang kampung. Akibatnya,
orang-orang kampung berada dalam kecemasan.
“Entah siapa yang
pandai buat ramalan mengarut tu,” rungut Haji Salim ketika saya mengunjungi
tempat kerjanya. Dari cara ia bercakap dan kerut wajahnya membayangkan rasa
kesal yang mendalam.
“Kau lihat sendiri
Tamar dah dua minggu cucu saudaraku ditanam, sudah dua minggu jugalah peristiwa
hujan panas itu terjadi, tak ada pun perkara yang tak baik terjadi,” sambungnya
lagi sambil membakar beberapa campuran besi untuk dibuat keris panjang.
Saya anggukkan
kepala. Setuju dengan pendapatnya. Apa yang dikatakan oleh Haji Salim itu
memang benar. Sejak dua minggu kebelakangan ini, tidak terdapat makhluk
berjubah hitam dan wanita berwajah cantik, merayau seluruh kampung menjelang
waktu Maghrib. Tidur saya juga aman tenteram, tidak diganggu oleh mimpi-mimpi
yang menakutkan.
“Kubur lama juga
tidak dipuja orang lagi?” saya terkejut mendengar kata-kata Haji Salim.
Wajahnya yang berpeluh dan merah dibahangi oleh kepanasan, saya tenung.
“Macam mana Pak Haji
tahu?”
“Aku pergi sendiri
dengan tidak memberitahu datuk kamu.”
“Kerja tu merbahaya
Pak Haji.”
“Aku tahu. Kalau aku
pergi dengan datuk kamu, aku tak boleh membalas dendam. Datuk kamu bertindak
lambat sangat,” tambah Haji Salim lagi.
Saya menarik nafas
panjang. Tahulah saya bahawa Haji Salim masih menaruh dendam pada orang-orang
yang memuja kubur lama. Ia yakin, kematian cucu saudaranya angkara manusia
pemuja syaitan.
“Kematian cucu
saudaraku mesti dibalas,” ujarnya sambil menggengam penumbuk.
Peluhnya yang meleleh
dari hujung dahi terus menitik atas dadanya. Air peluh itu bercampur dengan air
peluh di dada lalu mengalir ke arah perutnya yang agak buncit sedikit dan
kulitnya nampak kendur. Saya terus memerhatikan ia membuat kerja. Secara tidak
diduga, saya teringatkan datuk yang sejak pagi lagi pergi ke kaki bukit memberu
ayam hutan.
“Aku tahu, datuk kamu
sudah memagar seluruh kampung ni dengan beberapa syarat dan petua,” Haji Salim
merenung ke arah saya.
Cepat-cepat saya
kerutkan dahi, saya tidak tahu dari mana Haji Salim mendapat sumber cerita yang
baru ini. Saya kira, Haji Salim cuma mahu bergurau atau cuba membuat ramalan
kosong. Sepanjang ingatan saya, belum pernah datuk melakukan sesuatu kerja
tanpa memberitahu saya. Selangkah ia bergerak dalam usaha untuk kebaikan ia
pasti memberitahu saya. Kalau tidak beritahu pada saya, ia akan beritahu pada
nenek. Dan nenek akan memberitahu saya.
Bila Haji Salim
berkata demikian, menimbulkan rasa sangsi dalam diri saya terhadap Haji Salim.
Saya rasakan, Haji Salim seolah-olah mengintip segala kegiatan datuk. Apakah
Haji Salim meragui kejujuran datuk? Mungkin Haji Salim mahu memperlihatkan
kelebihan yang ada pada dirinya pada datuk.
Mungkin Haji Salim
merasakan apa yang dilihatnya di tanah kubur lama itu satu rancangan datuk yang
disembunyikan dari pengetahuannya, timbul petanyaan dalam diri saya. Kalaulah
apa yang saya fikirkan itu benar, sesuatu yang lebih dahsyat akan terjadi bila
dua orang yang berilmu mahu menunjukkan kepandaian masing-masing.
“Aku yang meminta
datuk kamu membuatnya. Pada mulanya ia enggan. Setelah aku rayu baru ia setuju,
ia melakukannya waktu tengah malam tanpa ada orang lain yang tahu, kecuali diri
aku sendiri,” saya tersenyum. Rasa sangsi dan bimbang yang bergolak dalam dada
saya menemui jalan akhir.
“Hari ni hari Rabu.
Aku ada janji dengan orang nak berjumpa di Kampung Ulu Kelubi,” Haji Salim
berhenti membakar besi. Ia mengelap peluh di tubuhnya dengan tuala kecil cap
matahari.
“Apa halnya Pak
Haji?”
“Orang tu menempah
parang. Parangnya dah siap. Aku nak menghantarnya sekarang, apa kau nak ikut
sama.”
“Boleh juga.”
“Orang ni aneh sikit
Tamar. Matanya buta tapi ia tahu warna baju yang dipakai oleh orang yang datang
berjumpa dengannya.”
“Hebat orang tu Pak
Haji.”
“Tak tahulah aku nak
kata, hebat atau tidak. Kau tengoklah sendiri.” Haji Salim ketawa.
Ia meninggalkan saya
di rumah kerjanya. Haji Salim masuk ke bilik mandi. Kemudian pakai kain dan
baju Melayu. Dengan motorsikal, kami menuju ke Kampung Kelubi. Saya ditugaskan
oleh Haji Salim memegang parang.
Lebih kurang sepuluh
minit kami melalui jalanraya, akhirnya kami melalui memasuki satu lorong kecil.
Tidak sampai lima minit melalui lorong yang sempit itu, kami sampai ke sebuah
rumah papan kecil.
Haji Salim tongkat
motorsikal di bawah pokok mempelam. Dalam perkiraan saya, jarak Kampung Kelubi
dengan kampung saya kira sepuluh batu lebih. Kampung Kelubi berada dalam
jajahan Larut dan Matang.
Haji Salim terus
memberi salam. Salam Haji Salim dijawab. Bila saya merenung ke pintu rumah,
seorang lelaki tercegat di situ, orangnya kecil, berkulit agak hitam, rambutnya
kerinting.
“Naik, budak yang
pakai baju merah dan berseluar putih tu siapa?” tanya orang itu pada Haji
Salim. Saya tahu kata-kata itu ditujukan pada saya.
“Nanti sekejap lagi
saya beritahu,” jawab Haji Salim dan terus melangkah ke kaki tangga.
Bila berada dalam
rumah orang itu, saya duduk dekat Haji Salim. Orang itu terus menjentik parang
yang diberikan oleh Haji Salim padanya dengan kuku ibu jari kiri.
“Besinya baik, tidak
rapuh,” katanya sambil meletakkan parang itu di hujung lututnya. Dari raut
wajahnya, saya kira orang itu berusia antara 50-55 tahun. Haji Salim
memanggilnya sebagai Lebai Din. Peramah dan suka berjenaka.
“Budak yang kamu bawa
ni, berkulit cerah, rambut kerinting, ada parut di kepala,” Lebai Din terus
memperkatakan diri saya. Semua yang dikatakannya itu memang tepat. Meskipun
matanya buta. Saya kagum dengan kebolehannya itu.
“Pak Lebai nak buat
apa parang ni?” tanya saya.
“Nak menebas kebun
getah, biar mudah aku menoreh.”
“Eh, buta pun boleh
menoreh dan menebas kebun.”
“Apa kau fikir orang
buta tak boleh kerja? Dalam hidup ni biar kita buta mata, jangan buta hati.
Kalau dah buta hati, celik pun tak guna.”
Haji Salim ketawa
mendengar cakap Lebai Din itu. Saya merasakan ungkapan itu satu sindiran buat
saya yang celik. Kalau saya tidak fikir yang berkata itu orang yang cacat
anggotanya, mahu rasanya saya bertekak. Panas hati saya disindir dalam baik.
“Dia bukan menyindir,
cakapnya itu penuh makna,” kata Haji Salim bila melihat saya dalam keadaan
resah. Lebai Din tersenyum.
“Aku tahu budak tu
marah. Tapi dia harus ingat, orang cepat marah selalu rugi. Hei budak kamu
marahkan aku?” ujar Lebai Din dalam senyum yang memanjang.
“Saya tak marah.”
“Belajarlah dalam
hidup untuk jadi orang yang tidak lekas marah. Aku tahu kamu budak pintar,”
Lebai Din terus menepuk nepuk kepala saya. Haji Salim hanya memperhatikan
sahaja telatah Lebai Din terhadap diri saya.
Tanpa diminta, Lebai
Din menceritakan pada saya bahawa kedua belah matanya buta sejak kecil lagi.
Pada mulanya ia sakit mata dalam usia tujuh tahun. Ibunya membawa dia menemui
dukun mata. Entah di mana silapnya, sejak menemui dukun mata itu matanya terus sakit
dan akhirnya menjadi buta.
Menurut cerita
ibunya, dukun mata itu tersalah ramuan ubat. Mungkin dukun mata itu merasa
bersalah lalu menjadikan ia anak angkat. Semasa menjadi anak angkat dukun mata
itulah ia belajar silat, mengenal bentuk tubuh dan kulit orang berdasarkan bau
badan. Dari tekanan suara seseorang ia dapat membaca watak peribadi orang itu.
Memanglah Lebai Din
orang buta yang hebat, pada tanggapan saya. Kalau ia bercerita tentang dirinya
memang asyik kita mendengarnya.
“Itu kisah lalu,”
katanya mengakhiri cerita dirinya sambil merenung ke arah saya.
Meskipun kedua belah
kelopak matanya tercantum, saya masih dapat merasakan di sebalik kulit yang
bercantum itu ada sepasang mata yang tajam boleh menembusi hati dan perasaan
sesiapa yang berada di hadapannya.
“Sekarang ada kisah
baru Haji,” Lebai Din memperkemaskan silanya. Ia meraba kepala lututnya.
“Cerita apa Pak
Lebai?” sahut Haji Salim.
“Begini, sejak dua
tiga minggu lalu, orang-orang di kampung ini heboh memperkatakan tentang
seorang pendekar yang boleh terbang atas angin.”
“Siapa orangnya Pak
Lebai?”
“Aku tak kenal.”
“Pernah Pak Lebai
bercakap dengannya.”
“Ada sekali. Waktu
aku sedang motong getah ia lalu, kemudian ia minta kebenaran dari aku untuk
mendirikan pondok di kebun getah aku.”
“Aku izinkan. Bila
aku izinkan dia tak mahu, dia minta kebenaran untuk dirikan pondok di sawah aku
yang terpencil.”
“Habis Pak Lebai
izinkan.”
“Aku izinkan. Apalah
salahnya dia nak menumpang. Lagipun bumi ini Allah yang punya. Kita cuma
diamanatkan untuk menjaganya semasa kita masih hidup.”
Haji Salim merenung
wajah saya. Kemudian Haji Salim kerutkan kening sambil meraba-raba pangkal
dagunya. Macam memikirkan sesuatu.
“Bila aku tanya
kenapa dia tak mahu mendirikan pondok dalam kebun getah yang letaknya tidak
jauh dari rumah aku, jawapannya meragukan,” Lebai Din berhenti bercerita. Ia
termenung panjang. Perbuatannya itu membuat saya tidak sabar lalu mengajukan
pertanyaan.
“Apa dia jawapannya
Pak Lebai?”
“Hai kau pun nak tahu
jawapannya?”
“Ceritakanlah Lebai,
saya juga nak tahu,” sahut Haji Salim dengan tenang.
“Katanya, dia ramai
anak murid. Mengajar silat dari tengah malam hingga pagi, kalau dekat kampung
nanti orang kampung marah,” Lebai Din memberikan keterangan. Saya dan Haji
Salim anggukkan kepala.
“Dari cara orang tu
bercakap berdasarkan gerak suaranya, dia memang tidak jujur. Kalau aku boleh
mengintip mahu aku mengintipnya waktu malam.” Sambung Lebai Din. Dari cara
Lebai Din bercerita itu, ia seolah-olah minta Haji Salim mengintip gerak geri
pendekar tersebut.
Lebih kurang sejam
kami berada di rumahnya, kami pun minta diri. Kami tidak singgah di mana-mana.
Terus pulang ke rumah. Bila sampai di rumah Haji Salim, saya terkejut besar
melihat datuk berdiri di halaman rumah Haji Salim sambil memulas tangan kanan
Daud ke belakang.
Daud saya lihat
tunduk sambil menahan kesakitan. Wajah datuk merah. Haji Salim segera
menghampiri datuk.
“Kenapa? Kenapa Daud
dibuat macam tu,” suara Haji Salim lembut. Wajahnya cemas. Datuk tidak
menjawab. Daud ditolaknya hingga terjerumus ke bumi.
“Aku bunuh kamu,
kalau kamu membuat perkara maksiat tu,” suara datuk meninggi.
Datuk terus menumbuk
pokok pisang melepaskan geramnya. Pokok pisang yang ditumbuk datuk terus patah
dua macam dipotong dengan parang. Datuk terus termenung panjang di situ. Haji
Salim segera menghampiri Daud yang baru bangun sambil meraba dadanya. Mukanya
nampak pucat.
“Kenapa Daud?” soal
Haji Salim.
“Saya orang miskin.
Kata orang dalam kubur lama ada harta karun, ada emas berlian, jadi saya cuba
korek. Baru dua kali korek orang tua datang,” Daud merenung ke arah datuk. Muka
Daud nampak cemas sekali.
Haji Salim terus
menarik Daud ke dalam ruang tempat kerjanya. Ia suruh Daud duduk di situ.
Kemudian Haji Salim terus menemui datuk. Mereka bercakap-cakap sebentar. Datuk
dan Haji Salim terus menemui Daud.
“Sekarang aku mahu
kau bercerita perkara yang benar,” kata Haji Salim pada Daud. Datuk tidak
berkata apa-apa. Ia cuma termenung dan berusaha menenangkan rasa marah yang
membara dalam dirinya.
Daud terus bercerita.
Kira-kira dua bulan yang lalu, ia diajak oleh seorang kawannya dari Pulau
Pinang untuk memasuki satu kumpulan yang kerjanya mencari kubur lama untuk
dipuja dengan tujuan mencari harta karun. Menurut ketua kumpulan, setiap kubur
lama terutama kubur raja-raja dahulu kala menyimpan harta karun kerana
dipercayai orang-orang yang mati itu ditanam bersama-sama dengan hartanya.
Dalam usaha mencari harta karun itu, mereka sudah menjelajah ke seluruh tanah
air. Mereka bergerak waktu malam.
“Siapa nama ketua
kumpulan kamu,” soal datuk.
“Kamal, orang Batu
Maung. Tetapi, ketua nombor satu seorang dukun tua yang berulat kaki. Saya yang
memberitahu mereka di sini ada kubur lama.”
“Patutlah kamu selalu
keluar. Kata kamu kerja kontrak tetapi lain pula yang kamu lakukan,” potong
Haji Salim.
“Ya, saya menipu,”
sahut Daud.
Datuk terus merisik
rahsia dari Daud. Daud mengakui dia pernah memakai Jubah Hitam dan berada di
kubur lama melakukan pemujaan. Tetapi, ia tidak pernah memotong lidah anak dara
sunti. Cuma ia memberitahu pada kumpulannya tentang jumlah anak dara sunti yang
terdapat di kampungnya.
“Kata dukun panglima
di kampung kita ni susah sikit, ada penghalangnya. Penghalangnya besar dia ni,”
Daud menudingkan jari telunjuknya ke arah datuk. Haji Salim menarik nafas
panjang. Datuk tersenyum, ia sudah dapat mengawal perasaannya.
“Orang yang kau sebut
sebagai Dukun Pendekar tu, boleh mengubat orang dan mengambil upah membuat
orang,” tanya datuk.
“Ya, semua kerja
jahat dia boleh buat. Dia berdendamkan kamu,” jawab Daud. Datuk menarik nafas
panjang.
“Begini saja Daud.
Kau ceritakan pada kami tentang kehebatan Dukun Pendekar yang aku lihat pada
kami. Kalau ia betul-betul hebat, kami ikut dia. Sama-sama kita cari harta
karun. Aku tahu tempat kubur lama yang menyimpan harta,” Haji Salim memujuk
Daud penuh sopan santun.
Pada mulanya, Daud
keberatan mahu menceritakan kisah ketuanya itu. Bila Haji Salim memperlihatkan
kemampuannya menggenggam bara api dan mematahkan besi pejal, Daud terus membuka
rahsia.
Kata Daud, kaki kanan
Dukun Pendekar dihinggapi penyakit tokak, sudah berulat. Ulat-ulat tokak itu
tidak pernah dibuang atau dibunuh. Jika ulat-ulat itu jatuh, ia akan
mengutipnya dibungkus dalam kain kuning. Kemudian ulat-ulat dipelihara dalam
balang besar dan diberi makan bangkai dan lidah manusia serta binatang.
Setiap kali Dukun
Pendekar masuk gelanggang, tokak di kaki kanannya sukar untuk dikesan oleh para
muridnya. Ia pernah melihatkan kemampuannya di hadapan Daud dan anak-anak
muridnya yang lain, berjalan dalam hujan lebat waktu malam dengan membawa
pelita. Pelita yang dibawanya tidak padam.
Dia berjalan cukup
laju, kalau ia mahu pergi ke sesuatu tempat, ia akan menyebut nama tempat.
Selesai saja sebut nama tempat tersebut ia akan hilang dan dirinya akan berada
di tempat yang disebutnya,” ujar Daud penuh rasa kekaguman.
“Lagi apa
kebolehannya?” desak datuk.
“Bila ia berhadapan
dengan orang yang warak dan taat dengan hukum Allah, ia akan memperlihatkan
dirinya sebagai orang yang tinggi dalam ilmu agama. Boleh menyebut ayat
al-Quran dengan fasih.”
“Waktu siang, suka
memencilkan dirinya di gua atau pondok buruk.”
Datuk dan Haji Salim
berpandangan. Saya memicit jerawat batu di pipi kanan. Angin yang menerpa ke
dalam ruang menjamah wajah saya. Terasa nyaman dan selesa. Beberapa helai daun
kering kelihatan gugur di halaman.
Daud terus membisu,
rambut panjangnya yang menyerkup dahi diangkatnya dengan telapak tangan kanan.
Parut di dahi sebelah kiri jelas kelihatan. Parut itu nampak kehitam-hitaman
sedikit.
“Orang tu sekarang
duduk di mana?” suara datuk agak meninggi.
Sepasang matanya
tertumpu ke wajah Daud. Cepat-cepat Daud mengalihkan pandangannya ke arah lain.
Tidak mampu Daud menentang sepasang biji mata datuk yang berkaca-kaca itu.
“Orang tu, berada tak
jauh dari sini. Jangan kacau, dia berjanji pada saya tidak mahu kacau
orang-orang kampung kita,” kata Daud yang berbadan tegap dan tidak suka memakai
baju.
“Buktinya?” tingkah
Haji Salim.
“Dah dua minggu dia
tak kacau,” balas Daud sambil merenung wajah Haji Salim. Aneh sungguh sikap
Daud. Cakap dengan Haji Salim berani, tentang muka dengan datuk tidak berani.
Saya hanya
memerhatikan telatah Daud dengan ekor mata sambil memicit jerawat yang mula
membengkak di sudut dagu kanan. Memicit jerawat memang menyeronokkan. Bila
terasa sakit dilepaskan, kemudian diraba, digosok perlahan-lahan dan dipicit
lagi.
“Boleh kau tunjukkan
tempatnya pada kami,” nada suara datuk mula lembut. Kali ini datuk tidak
merenung ke arah Daud. Datuk renung dinding. Saya lihat Daud merenung muka
datuk. Perlahan-lahan Daud menjuihkan bibirnya ke depan, ia semacam
memperkecil-kecilkan datuk.
“Pendekar Kamal,
tidak mudah dijumpai atau ditemui. Lebih-lebih lagi, kalau orang yang mahu
menemuinya mempunyai niat tertentu,” Daud segera bangun. Melangkah dua tapak ke
arah saya, berdiri di sisi saya. Tiba-tiba perasaan saya jadi gementar.
Saya jeling ulas-ulas
lengan Daud yang menonjol dan keras. Orangnya cukup tinggi hampir lima kaki
tujuh inci. Saya jeling dadanya yang berbulu. Saya kira, kalau ia menghentakkan
siku kanannya ke dada saya, pasti saya tersungkur.
“Saya tidak akan
menunjukkan tempat Pendekar Kamal, walaupun tempatnya saya tahu,” cara mendadak
sahaja Daud menjerit. Ia terus menendang pelipat kaki saya, saya terus jatuh.
Daud terus menendang
apa sahaja yang ada di depannya. Saya cuba bangun. Belumpun sempat saya berdiri
dengan betul, satu penendang hinggap di bahagian kanan perut saya. Saya terus
menggulung-gulung atas lantai menahan kesakitan. Perut terasa senak. Daud terus
melompat dan menyambar lembing.
“Sesiapa yang mahu
kacau guru aku, aku bunuh sampai mampus,” Daud mengacukan mata lembing ke arah
Haji Salim. Saya lihat Haji Salim tenang sahaja.
Melihat datuk dan
Haji Salim terpaku dengan tindakannya itu, Daud mula memperlihatkan taringnya.
Ia melompat atas pelantar lalu mengambil parang panjang. Lembing di tangan
terus dibuang.
“Daud,” jerit Haji
Salim.
Serentak itu Haji
Salim melompat lalu melepaskan penampar sulungnya yang lembut ke pipi kiri
Daud. Tidak saya duga sama sekali penampar yang lembut itu boleh menyebabkan
Daud jatuh tersungkur. Daud mengeletek macam ikan keli kena pukul. Mulut Daud
kelihatan berbuih-buih sambil mengeluarkan suara dengkur, tidak ubah macam
bunyi lembu yang kena sembelih.
“Macam mana awak buat
budak ni Haji?” tanya datuk.
“Saya lepaskan bisa
biar dia tahu tua-tua saya, bukan tua saja. Tua-tua saya, tua berisi.”
“Awak sudah
keterlaluan.”
“Saya tahu.
Melihatkan sikapnya yang takbur saya terpaksa menamparnya dengan bisa tangan.”
“Awak yang melepaskan
bisa tangan, saya tidak upaya menawarnya. Awak tawarlah sendiri.”
Haji Salim
mendekatkan telapak tangan kirinya yang menampar muka Daud ke bibirnya. Saya
lihat bibirnya bergerak-gerak, kemudian jejarinya terus dicium. Haji Salim
rapat ke arah Daud. Tangan kirinya diletakkan ke pipi Daud. Badan Daud yang
menggeletar kembali macam biasa. Mulutnya yang berbuih, sudah tidak berbuih
lagi.
Dengkurnya yang
meninggi mula menurun. Daud membuka mata dan terus duduk termenung, tidak ubah
macam ayam mabuk tahi.
“Budak tu belum cukup
pulih. Kalau dibiarkan begitu dia akan jadi bodoh seumur hidup,” datuk
mengingatkan Haji Salim. Saya lihat Haji Salim anggukkan kepala.
Ia meninggalkan kami
di ruang kerjanya, menuju ke ruang dapur. Saya tidak tahu apa yang dilakukan
oleh Haji Salim di ruang dapurnya. Haji Salim menemui kami kembali. Di
tangannya ada secawan air putih. Ia terus menghampiri Daud. Kepala Daud
digosoknya beberapa kali.
“Minum air ini,” ia
memujuk.
Daud terus mengambil
cawan di tangan Haji Salim. Tanpa berfikir panjang, Daud terus meneguk air di
cawan sampai habis. Dalam sekelip mata sahaja, Daud terus bangun dan bertenaga
kembali.
Mata Daud kelihatan
merah. Ia mula bertempik dan menyambar parang semula. Kali ini, terus menyerang
dengan melulu. Saya terpaksa lari keluar.
Daud memilih datuk
sebagai sasaran utamanya. Ia terus menyerang bertubi-tubi. Setiap kali Daud
melibaskan parang panjangnya, datuk terpaksa melompat ke kiri, melompat ke
kanan. Datuk terus menyusup ke bawah pelantar dan melindungkan badannya dengan
papan. Datuk terus bersembunyi di situ.
Melihat datuk
menyusup bawah pelantar, Daud bertambah marah. Ia terus menjerit-jerit sambil
memukul dadanya dengan hulu parang. Ia menoleh ke kanan lalu menyerang Haji
Salim dengan bertubi-tubi. Macam datuk juga, Haji Salim terpaksa mengelak ke
mana sahaja, asalkan mata parangnya tidak menjamah tubuhnya.
Kekuatan Daud sungguh
berbisa. Langkahnya cukup cepat macam kilat. Telapak kakinya seolah-olah tidak
memijak lantai. Wajahnya cukup garang dan menggerunkan sesiapa yang melihatnya.
“Jangan apa-apakan
budak itu, dia dah kemasukan syaitan. Pertahankan diri awak dari kena
parangnya,” jerit datuk dari bawah pelantar mengingatkan Haji Salim. Datuk
tidak mahu Haji Salim bertindak sebarangan.
No comments:
Post a Comment