Mujurlah ingatan
datuk itu, sedia dipatuhi oleh Haji Salim. Ia tetap bersikap tenang. Serangan
mata parang dari Daud dapat dielakkannya dengan mudah. Tetapi, Daud terus
mengasak dan menyerang. Ia tidak nampak penat pun. Makin lama makin bertambah
tenaganya. Seluruh badan Daud terus dibasahi oleh peluh.
“Ah, haji laknat,”
pekik Daud sambil melompat tinggi ke arah Haji Salim.
Daud melepaskan
tetakan pancung ke arah leher Haji Salim. Cepat-cepat Haji Salim merebahkan
badannya. Mata parang panjang singgah di papan diding dan terus melekat di
situ.
Daud menarik parang
panjangnya dan papan dinding pun terkopak. Ia berpusing ke kanan lalu melakukan
serangan kilat. Haji Salim mula terdesak. Ruang untuknya bergerak bagi
mempertahankan diri begitu terhad. Daud mahu menggunakan kesempatan itu untuk
menamatkan riwayat Haji Salim.
Dalam keadaan yang
terdesak itu, Haji Salim masih berjaya menepis serangan dari Daud. Haji Salim
berjaya mengguling-gulingkan badannya hingga beralih tempat ke arah pintu
keluar. Bila sampai di muka pintu, Haji Salim segera bangun untuk lari keluar.
Dalam masa itu Daud melepaskan satu tetakan yang tajam ke arah perut Haji
Salim. Waktu Haji Salim mahu mengelakkan serangan itu, mata parang di tangan
Daud sempat jatuh ke bahu kanan Haji Salim.
Saya lihat darah
memuak keluar dari pangkal bahu kanan Haji Salim. Daud terus ketawa sambil
menjilat-jilat kesah darah Haji Salim yang melekat di mata parang panjang.
Waktu Daud asyik menjilat-jilat darah itu, Haji Salim menerpa ke arah Daud.
Daud ditolaknya hingga jatuh. Datuk keluar dari bawah pelantar dan terus
merampas parang panjang dari tangan Daud.
“Kau sudah melampau,”
jerkah datuk pada Daud yang terkial-kial mahu bangun. Haji Salim segera
mengambil kain untuk membalut luka di lengannya. Saya pun melangkah ke dalam
ruang kerja Haji Salim.
“Mengapa ini kau
lakukan pada aku Daud,” Haji Salim renung muka Daud. Saya lihat Daud terus
membisu. Ia berdiri kaku sambil menggigit bibirnya. Datuk terus menghampirinya.
Dan Daud berusaha dengan sedaya upaya menjauhkan dirinya dari datuk.
“Ah,” jerit Daud lalu
menumbuk pangkal tengkuk datuk. Datuk terjatuh. Daud sambar parang dari tangan
datuk dan terus bertempik dengan sekuat hati. Daud terus keluar dari ruang
tempat kerja, berlari dalam panas yang terik. Suara tempikan Daud mengejutkan
penduduk Kampung Mandi Upih.
Sambil berlari Daud
terus memarang apa sahaja. Ia mengamuk dengan semahu-mahunya. Pokok pisang,
dahan rambutan dan manggis jadi mangsanya. Tidak memadai dengan itu Daud terus
membunuh lembu, kambing, ayam serta itik yang ditemuinya.
“Kita tangkap dia,”
kata datuk. Serentak dengan itu, saya dan Haji Salim terus mengikut datuk
memburu Daud yang lari menuju ke Kampung Gaduh. Saya tercungap-cungap dan
berhasrat tidak mahu memburunya. Tetapi, datuk tetap memaksa saya.
Dari Kampung Gaduh,
Daud terus memasuki Kampung Bakar Sampah menuju ke Kampung Kilang. Dari Kampung
Kilang ia terus mengamuk hingga ke Ulu Licin dan akhirnya menghilangkan diri
dalam hutan di Ulu Licin.
Saya, Haji Salim dan
datuk kembali ke tempat asal. Sebaik sahaja kami sampai di rumah Haji Salim,
orang-orang kampung sudah berkumpul. Mereka ingin mengetahui apa yang terjadi.
Haji Salim terus memberikan penjelasan dengan terperinci. Selesai Haji Salim
bercakap, datuk pula mengambil peranan, memeberikan penerangan selanjutnya.
Saya lihat, baik
datuk mahupun Haji Salim tidak membocorkan rahsia diri Daud yang mereka
ketahui. Mereka tidak memburuk-burukkan Daud, mereka sekadar berkata bahawa
Daud jadi demikian kerana fikirannya terganggu dengan kejadian yang berlaku di
kampung.
“Usah bimbang.
Baliklah ke rumah masing-masing dan teruskan kerja macam biasa,” beritahu datuk
pada mereka. Semuanya anggukkan kepala tanda setuju.
“Kami harap kalau ada
hal-hal yang buruk segera beritahu kami. Kami tidak mahu anak-anak dara sunti
kami jadi korban tidak tentu fasal,” cara mendadak salah seorang daripada
mereka bersuara.
Orang yang bersuara
itu, seorang lelaki tua yang sudah berusia kira-kira lapan puluh tahan, memakai
tongkat.
“Mana yang kami tahu,
kami khabarkan. Mana yang kami tak tahu, kita serahkan pada Allah. Semoga Allah
akan melindungi kita semua,” balas Haji Salim dalam nada suara yang lembut.
Orang-orang kampung
puas hati dengan jaminan itu. Mereka pun bersurai.
Anehnya, tidak ada
seorangpun yang bertanya tentang lengan kanan Haji Salim yang berbalut. Mungkin
mereka tidak nampak atau perasan dengan apa yang ditanggung oleh Haji Salim.
Satu hal yang pasti, sama ada datuk atau Haji Salim tetap merahsiakan kemampuan
diri masing-masing di mata orang kampung.
“Bagaimana dengan
luka tu masih terasakah bisanya?” tanya datuk pada Haji Salim, bila keadaan
suasana sekitar beransur aman.
“Tak apa, esok
sembuhlah. Malam ni saya tawar sendiri,” jawab Haji Salim dengan tenang.
“Kalau begitu,
biarlah kami pulang,” ujar datuk.
“Silakan, tapi…,”
Haji Salim tidak meneruskan kata-katanya. Ia termenung panjang sambil menatap
batang tubuh datuk, dari atas ke bawah, dari bawah ke atas.
Melihat keadaan Haji
Salim yang lain macam itu, datuk terus mengajukan pertanyaan.
“Kenapa Haji?”
“Saya terasa badan
kurang sedap, terasa tiap sendi berdenyut-denyut.”
“Agaknya bisa parang
panjang.”
“Bukan.”
“Kalau bukan itu, apa
dia?”
“Setiap kali saya
teringatkan Daud dan gurunya, badan saya terasa sakit, kepala terasa
berpusing.”
“Bukan apa-apa tu,
darah terlalu banyak keluar.”
“Boleh jadi betul,
boleh jadi tidak cakap awak tu.”
“Terpulanglah pada
awak,” balas datuk. Mereka ketawa serentak dan saya cuma tumpang senyum sahaja.
“Kampung kita dalam
bahaya, berhati-hatilah. Lepas sembahyang Zuhur dan Asar, saya nak jumpa awak,”
Haji Salim menyambung perbualan yang terputus.
“Jumpa di mana? Di
surau atau di rumah saya.”
“Di rumah awak. Ada
rahsia yang nak saya cakapkan. Tunggu saja di rumah.”
“Baiklah.”
Saya dan datuk pun
mengatur langkah. Panas yang memancar terik menikam ke kulit muka hingga terasa
pedih. Awan kelihatan putih bersih berarak di dada langit. Angin yang bertiup
cuma mampu mengerak-gerakkan dedaun tetapi tidak berjaya mengurangkan rasa panas
pada diri saya.
Saya terus berjalan
mengekori datuk sambil mata liar memandang ke kiri dan ke kanan, melihat burung
merbah dan murai melompat di dahan. Kepala saya terus menggambarkan wajah guru
Daud. Aneh, setiap kali saya cuba membayangkan bentuk wajah gurunya, bulu
tengkuk saya meremang. Saya merasakan semacam ada orang yang memerhatikan
langkah saya dalam perjalanan. Saya terus tidak berani mengingati nama Daud dan
gurunya.
MANDI
Kami sampai di rumah.
Saya terus mandi, begitu juga dengan datuk. Kami sembahyang Zuhur, saya disuruh
oleh nenek membersihkan kawasan rumah. Pada mulanya saya enggan melakukannya.
Bila nenek berjanji mahu memberikan wang sebanyak lima ringgit, saya menyatakan
kesanggupan.
Menjelang waktu Asar,
seluruh kawasan rumah bersih. Tidak ada daun di halaman, tidak ada dahan atau
ranting kayu yang berserakkan. Semuanya sudah dikumpul dan dibakar. Semut dan
nyamuk habis lari. Ular dan kala terus membawa diri.
Nenek memujuk saya
sebagai orang yang rajin. Memang leceh bila nenek memberitahu saya upahnya akan
dibayar selepas musim menuai. Saya dan nenek terus bertengkar kecil. Tetapi,
saya merasakan pertengkaran kecil itu menguntungkan saya. Sebabnya, lepas
bertengkar nenek menaikkan upah dari lima ringgit menjadi tujuh ringgit.
Nenek terus bayar
tunai tanpa mahu menanti musim menuai. Ada syarat yang nenek kenakan. Syaratnya
bukan susah. Lepas sembahyang Asar nanti, saya dimestikan membelah tujuh batang
kayu getah untuk dijadikan kayu api.
Masa itu wang tujuh
ringgit cukup tinggi nilainya sama dengan nilai lima belas ringgit sekarang.
Saya boleh membeli baju, seluar dan sepasang sepatu getah FUNG KEONG bertapak
tebal atau saya boleh pergi ke bandar Taiping menonton filem Melayu dan tidur di
hotel kelas rendah.
“Kau pergi sembayang
dulu, lepas sembahyang selesai kerja tu,” ujar nenek. Tanpa membuang masa saya
terus mandi dan mengambil air sembahyang. Bila saya masuk ke ruang tengah datuk
sudahpun menanti. Ia menjadi imam dan saya jadi makmumnya.
Setelah memberi salam
terakhir, saya hulurkan tangan pada datuk untuk bersalam. Waktu itu saya
terlihat ada seorang lelaki duduk di sisi saya. Ia juga menghulurkan tangan
untuk bersalam dengan datuk. Saya tidak tahu dari mana lelaki itu datang. Ia
memakai pakaian serba hijau. Dan serban hijaunya terikat kemas di kepala.
Saya yakin orang
inilah yang muncul di depan datuk kira-kira sebulan yang lalu. Saya tidak
memperhiraukannya. Datuk menyambut salam dari saya. Dada saya berdebar kerana
datuk tidak terkejut dengan kehadiran orang itu.
Datuk menyambut salam
darinya. Tetapi, bila telapak tangannya mahu menyentuh telapak tangan datuk,
cepat-cepat orang itu menarik tangannya dan terus menyembunyikannya ke dalam
saku bajunya. Orang itu memalingkan mukanya ke arah lain. Tidak mahu menentang
wajah datuk. Orang itu lebih senang melihat sinar matahari yang beransur reda
di luar.
“Kau benar-benar mahu
menjahanamkan aku,” orang itu bersuara dengan tenang tanpa merenung wajah
datuk.
Bila dilihatnya datuk
tidak mengindahkan cakapnya, ia terus menyapu mukanya dengan telapak tangan
kanan. Datuk terus membaca doa hingga tamat.
“Jangan begitu,
akibatnya buruk,” tambah orang itu lagi.
“Maksud kamu?” soal
datuk.
“Kau menyeksa anak
murid aku.”
“Siapa anak murid
kamu?”
“Daud.”
“Daud?” ulang datuk
dengan rasa gugup.
“Ya. Itu saja yang
mahu aku ingatkan kamu. Aku nak balik ke Ulu Kelubi,” orang itu segera bangun,
melangkah ke pintu. Berdiri di situ sejenak merenung ke dalam rumah. Ia terus
memijak anak tangga. Dalam beberapa minit sahaja orang itu hilang dari
pandangan saya dan datuk.
Datuk terus menemui
nenek. Mereka bercakap seketika. Datuk kembali ke ruang tengah mengenakan baju
putih ke badan. Ia sarung seluar warna kelabu. Tanpa menegur saya datuk turun
dari rumah. Saya segera menemui nenek.
“Datuk nak ke mana
nek?”
“Katanya nak pergi ke
Kampung Ulu Kelubi, apa pula halnya tak beritahu aku.”
“Ha, saya nak ikut,”
jerit saya lalu meninggalkan nenek. Datuk terus saya buru.
Datuk singgah di
rumah Haji Salim sebentar. Dilihatnya Haji Salim terbaring di atas pelantar.
Datuk rasa badan Haji Salim. Ternyata badan Haji Salim panas, keliling
lengannya yang kena parang mula membengkak. Haji Salim tidak dapat menggerakkan
tangannya.
“Badan aku tak berapa
sihat, kau seorang saja pergi ke Kampung Ulu Kelubi, jumpa Lebai Din. Cucu kamu
tahu rumahnya,” ujar Haji Salim sambil merenung ke arah saya.
Datuk anggukkan
kepala. Ia tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun untuk saya. Tetapi, dari
kerdipan mata dan air mukanya, saya yakin datuk merestui saya mengikutinya.
LEBAI
Kami terus ke rumah
Lebai Din. Saya terus memperkenalkan datuk dengan Lebai Din. Mereka terus
bercakap penuh mesra, ada nasihat tertentu yang disampaikan oleh Lebai Din pada
datuk. Semuanya di dengar oleh datuk dengan teliti.
“Hati-hatilah dengan
orang itu. Saya tak boleh melihat rupanya tetapi setiap kali ia bercakap dengan
saya, saya rasa dia bukan sebarang orang. Banyak ilmu salah yang dimilikunya,”
terang Lebai Din.
“Saya bukan apa-apa.
Saya cuma nak berjumpa dan bercakap-cakap panjang dengannya,” jawab datuk.
“Kalau niat awak
baik, Allah menyebelahi awak.”
“Saya berdoa Allah
akan melindungi saya,” suara datuk merendah. Kami pun terus meninggalkan rumah
Lebai Din.
Saya dan datuk
terpaksa meredah kebun getah yang cukup luas. Pokok getah tua yang berbatang
besar masih mampu mengeluarkan susu getah yang banyak. Dedaunnya kelihatan
menghijau serta bergoyang-goyang di tolak angin petang.
Kulit buah getah
berserakkan atas rumput. Pot-pot getah bertaburan di pangkal pokok getah.
Langkah datuk cukup cepat, ia kelihatan bagaikan tidak menghadapi masalah
memijak ranting dan kayu yang lintang pukang di celah-celah nirai getah.
Saya terpaksa
melangkah dengan hati-hati, silap langkah saya akan tersepakkan tunggul atau
akar yang merayap di bumi. Berjalan di celah-celah nirai pokok getah terasa
amat seronok. Cahaya matarahi tidak menjamah muka kerana dihalang oleh dedaun
getah yang lebat dan berlapis-lapis.
Saya dan datuk sampai
ke kepala sawah. Dari situ kami melihat ke arah sebuah pondok lama yang
terletak di tengah-tengah sawah. Pondok itu didirikan di atas sebidang tanah
yang agak tinggi dari permukaan sawah. Kawasannya agak luas.
Ada pokok kelapa
gading yang berbuah lebat di samping beberapa batang pokok rumbia. Untuk ke
pondok lama tersebut, kami terpaksa melalui batas yang sempit dan memanjang.
Di kiri kanan batas
yang penuh dengan pokok-pokok padi yang baru bunting, anak-anak ikan haruan dan
keli berlari liar di celah-celah padi. Angin yang bertiup membuat air dalam
sawah bergelombang. Saya dan datuk terpaksa memijak batas dengan teliti serta
mengimbangi badan.
Kalau tidak pandai
mengimbangi badan pasti jatuh ke dalam pohon padi. Seluruh badan akan basah
kena air sawah. Lumpur sawah akan masuk ke mata. Saya menarik nafas panjang
kerana berjaya sampai ke kawasan pondok lama. Saya lihat pintu dan tingap
pondok lama tertutup rapat. Rumput tumbuh subur hingga ke bawah pondok.
Saya renung ke arah
datuk yang berdiri di sisi saya. Datuk anggukkan kepala memberi syarat, supaya
mara ke arah pondok. Saya terus mengekori datuk hingga ke kaki tangga pondok
lama.
Tanpa di
sangka-sangka, pintu pondok lama terbuka sendiri. Seorang lelaki tua duduk di
muka pintu. Bau hapak mula datang menerkam lubang hidung. Tekak saya mula
terasa loya dan mahu muntah. Orang tua itu menjuntai kaki kanannya. Saya lihat
ada tokak di buah betisnya, beberapa ekor ulat macam ulat nangka jatuh ke
tanah.
Ulat yang masih lekat
di tokaknya terus bergerak-gerak memakan daging buah betisnya. Memang
menggelikan melihat ulat-ulat hidup yang jumlahnya bukan sedikit bergerak.
Saya tergamam bila orang
tua itu mengambil ulat-ulat yang jatuh atas tangga lalu menaruh kembali pada
tokaknya.
“Apa hajat?” tanyanya
pada datuk.
“Tadi kita berjumpa
tapi tak puas. Fasal itu saya datang lagi ke sini.”
“Oh, awak salah
orang.”
“Tidak.”
“Awak yakin.”
“Saya yakin awaklah
yang datang ke rumah saya dan sembahyang bersama.”
Mendengar cakap datuk
itu, orang tua tersebut terdiam. Wajahnya yang kasar dan keras, penuh dengan
parut berubah menjadi pucat. Memang, kalau direnung wajah orang tua itu
lama-lama terasa seram sekali.
Sepasang matanya
kelihatan besar. Kiri dan kanan di bawah kelopak matanya ada kulit tumbuh yang
berlapis-lapis. Kulit itu kelihatan lembik. Kulit pipi sebelah kanannya
menggerutu dan lembik macam telinga gajah. Manakala kulit pipi sebelah kiri
terdapat seketul tahi lalat hitam, sebesar telur ayam.
Tahi lalat yang
melekat di pipi macam terjuntai-juntai. Bila ia bergerak ke kanan atau ke kiri,
tahi lalatnya itu kelihatan terbuai-buai. Di bawah dagunya tumbuh daging tebal
yang berair. Dan parut kelihatan di mana-mana atas kulit mukanya. Bibir atas
dan bibir bawahnya tebal. Hidungnya dempak dan besar. Sebelah keningnya tidak
berbulu.
“Sial,” pekiknya lalu
menutup pintu. Datuk dan saya berpandangan.
Matahari petang
bertambah condong, angin terus bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dedaun kelapa
melintuk ke kiri, melintuk ke kanan mengikut arahan tiupan angin.
“Ya, aku datang,”
saya dan datuk pusing badan ke kiri. Di situ muncul seorang lelaki berpakaian
serba hijau. Ia memberi salam pada datuk, segera datuk menjawabnya. Orang itu
tersenyum.
“Sudahlah Kamal, kau
jangan memperdayakan aku lagi,” datuk segera menyinsing lengan. Saya terus lari
ke pangkal pokok kelapa. Sandarkan badan di situ.
“Mana murid kamu yang
membuka rahsianya, kau perdayakan mereka, kau pura-pura mengajar agama dan
silat. Ajaran agama yang kau bawa bertentangan dengan ajaran Islam yang
sebenar. Kau tidak mengajak mereka pada kebaikan, kau mengajak mereka pada
jalan kejahatan untuk kepentingan dirimu.”
“Kau silap kawan.”
“Aku tidak silap
Kamal. Kau memang orang yang tahu tentang agam dan mempelajari agama secara
mendalam. Sayangnya kau jadikan agama sebagai alat untuk memenuhi kemahuan
kamu.”
“Buktinya?”
“Tak payah aku
terangkan. Kau ke mari kerana mencari aku untuk membalas dendam. Banyak
rancangan kau yang aku gagalkan.”
“Ya,” jawab orang
itu.
Serentak dengan itu,
pakaian hijau yang membalut tubuhnya terbuka. Dan badannya terus dibalut dengan
pakaian serba hitam. Di kepalanya terletak tanjak berwarna hitam, kain sampingnya
juga hitam. Kaki seluarnya kecil dan agak singkat. Ia berdiri berpeluk tubuh,
macam seorang pendekar.
“Dia pakai pakaian
dua lapis, tapi macam mana ia membuka pakaian hijau di badannya,” hati saya
tertanya dan terus berubah tempat. Dari pangkal pokok kelapa duduk di anak
tangga.
Saya menarik nafas
dengan tenang. Saya tahu sebentar lagi, saya akan menyaksikan satu pertarungan
yang hebat.
“Alang-alang menyeluk
pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,” kata orang itu sambil merenung ke arah
sebatang pokok pisang dara. Tiba-tiba pokok pisang dara itu patah dua. Orang
itu memperlihatkan kemampuan kuasa matanya di depan datuk.
Tidak memadai dengan
itu, ia renung ke arah seekor tupai yang sedang melompat dari hujung dahan
mempelam menuju ke hujung pelepah rumbia. Tupai itu jatuh atas tanah,
mengeletek tidak tentu arah dan terus mati. Melihatkan kehebatan yang
diperlihatkan oleh orang itu, saya rasa datuk bukanlah tandingannya. Ilmu
kebatinan yang dimiliknya sungguh hebat sekali.
Saya segera
menghampiri datuk. Saya mengajak datuk pulang. Bagi saya, kalau dengan Daud
datuk mengalah, betapa pula ia akan menentang gurunya. Saya tidak mahu melihat
datuk yang saya sayangi kalah untuk kali keduanya. Bukan zamannya untuk datuk
beradu kekuatan lagi, usianya kian bertambah tua.
“Pulang saja tuk.”
“Kau diam, orang
pengecut bukan keturunan aku,” tengking datuk. Saya termangu-mangu bila
ditengking begitu.
Kamal terus
memperlihatkan kemampuannya lagi. Ia membuka langkah silat sambil menarik kaki
seluarnya yang menyimpan tokak. Anehnya, tokaknya memang tidak kelihatan.
Kakinya tetap elok macam kaki orang biasa. Tidak ada tokak, tidak ada ulat
macam ulat nangka.
Kamal membengkokkan
badannya. Kedua belah tangannya dibuka lebar-lebar. Ia terus melompat separas
pucuk padi. Ia berjalan dan bersilat atas pucuk-pucuk padi yang menghijau.
Tidak ada pokok padi yang patah atau daunnya relai. Keadaan Kamal seperti orang
memperlihatkan senaman aerobik.
Dari atas pucuk-pucuk
padi Kamal melompat lagi. Kami ini ia berada di awang-awangan terus membuka
silatnya. Ia seolah-olah seperti orang terbang bergerak ke sana, bergerak ke
sini, di udara dengan bebas. Tiba-tiba Kamal menghilangkan diri.
“Bagaimana?” katanya
dengan muncul dari arah belakang saya. Kali ini badannya diselimut dengan kain
hitam. Cuma bahagian mukanya sahaja yang kelihatan.
Bila saya melihat
keadaannya begitu, saya teringat orang yang berjubah hitam di kubur lama.
Suaranya juga macam suara orang di kubur lama.
Datuk segera menoleh
ke arahnya. Kamal mendepangkan kedua belah tangannya. Dari celah-celah kain
hitam yang menyelimuti seluruh tubuhnya keluar beberapa ekor ulat dan lipan.
Merayap atas kain hitam, tidak tentu arah.
“Syaitannya cukup
kuat,” kata datuk sambil menggigit bibir. Saya terdiam dan terus merenung ke
arah tingkap pondok yang terbuka dengan sendirinya.
Di situ saya lihat
Daud tersengih. Ia melontarkan sebatang kayu ke arah Kamal. Kamal terus
menyambutnya, dengan kayu itu Kamal terus menyerang datuk.
“Persediaan kita
belum cukup Tamar, mari kita balik,” kata datuk pada saya. Datuk terus meniti
batas menuju ke arah kebun getah dengan layu. Saya terpaksa berlari.
Sayup-sayup saya terdengar suara ketawa Kamal dan Daud.
TERBENAM
Sebelum matahari
berada di puncak bukit, saya dan datuk sudah pun berada di rumah. Nenek
memberitahu datuk yang Haji Salim sakit tenat. Luka di lengan kanannya terus
dihurungi ulat-ulat yang besar. Ulat-ulat itu membiak dengan cepat sekali
memakan daging lengan dan menghisap darah Haji Salim.
“Badannya tidak
bermaya, mukanya pucat,” beritahu nenek pada datuk. Tanpa membuang masa, kami
pergi ke rumah Haji Salim. Memang benar cakap nenek, Haji Salim terkapar di
pelantar di depan isterinya.
“Kita bawa saja ke
hospital,” kata isteri Haji Salim pada datuk.
“Nanti dulu. Ini
sihir, mana boleh luka baru terus berulat. Ambilkan saya satu baldi air, tujuh
helai daun limau purut, tujuh helai pucuk ubi gajah, taruhkan semuanya itu
dalam baldi air tadi,” beritahu datuk pada isteri Haji Salim.
Sementara menanti barang-barang
yang dipesan itu tiba, datuk terus memeriksa lengan Haji Salim yang luka. Saya
lihat ulat-ulat itu sama panjang dan bentuknya serupa dengan ulat-ulat yang
terdapat pada tokak di kaki Kamal. Luka di lengan Haji Salim mula mengeluarkan
bau hapak.
“Haji,” seru datuk.
Haji Salim membuka mata dan merenung sayu ke arah datuk.
“Terasa bisa seluruh
badan,” soal datuk lagi.
“Ya, kau usahakan.
Ini kerja sihir. Ada orang yang mengamalkan ilmu tuju ulat. Orang ini
mengamalkan Ilmu Cenderaular, semuanya bertuhankan syaitan,” kata Haji Salim.
Datuk menarik nafas panjang.
Barang-barang yang
dipesan oleh datuk pada isteri Haji Salim pun tiba. Datuk terus bersila
menghadapi baldi yang berisi air, pucuk ubi gajah dan daun limau purut. Perkara
pertama yang datuk lakukan membaca ayat fatihah seribu kali. Kemudian, ia
membaca surah yasin, tiga kali berturut.
“Bersedia Haji, kami
nak jiruskan air ke badan,” datuk bangun lalu menjinjing baldi berisi air.
Perlahan-lahan datuk tumpahkan air ke tubuh Haji Salim yang dimulai dari
ubun-ubun kepala membawa ke hujung kaki.
Selesai sahaja datuk
melakukan semuanya itu, badan Haji Salim terus menggeletar. Dan ulat-ulat yang
mengerumuni luka di lengannya terus gugur satu persatu atas lantai pelantar.
No comments:
Post a Comment