“Cuba kau tengok
Tamar, apa yang jatuh atas lantai,” cukup lembut datuk mengeluarkan perintah.
Dengan rasa jijik saya segera mematuhi cakap datuk. Saya periksa ulat-ulat yang
ada atas lantai.
“Bukan ulat tuk,”
beritahu saya terketar-ketar.
“Kalau bukan ulat,
apa bendanya?”
“Benang putih yang
sudah reput dan bercerai-cerai, kalau dikumpulkan jumlahnya dekat tiga buku
benang.”
“Sebenarnya,
penglihatan kita sudah disihir. Benang nampak macam ulat,” datuk terus renung
ke muka isteri Haji Salim. Datuk juga menyuruh isteri Haji Salim mencari tiga
pucuk pisang tanduk yang belum kembang penuh.
Isteri Haji Salim
menyediakan bahan-bahan tersebut. Tubuh Haji Salim diletakkan atas pucuk pisang
tersebut, manakala kepalanya dilapik dengan badan kukur kelapa. Mata kukur yang
bergigi seratus dicabut. Diikat pada ibu kaki kanan dan kiri Haji Salim.
Tubuh Haji Salim
tidak menggeletar lagi. Ia terbaring kaku, macam orang pengsan. Beberapa minit
kemudian, Haji Salim membuka mata. Mukanya yang pucat kembali menjadi merah.
Pucuk pisang yang melapik badannya terus kecut dan layu, seperti kena api.
Haji Salim terus
duduk. Bengkak di lengannya terus surut. Wajah datuk direnung oleh Haji Salim
seketika, seolah-olah mengucapkan ribuan terima kasih. Datuk terus memeluk
tubuh Haji Salim erat-erat.
“Kita sedar kita kena
sihir, tapi tak terdaya melawannya. Pengaruh syaitan tu cukup kuat. Kita jadi
lupa dengan beberapa ayat Quran yang perlu dibaca bila terasa diri disihir
orang,” beritahu Haji Salim pada datuk dalam keadaan suara yang terputus-putus.
Datuk terus
menepuk-nepuk belakang Haji Salim sambil berkata:
“Rawatlah luka awak
tu. Kalau tak boleh pergi saja ke klinik kerajaan.”
“Rasanya, boleh
dibuat cara kampung.”
“Buatlah mana yang
patut. Asalkan luka awak sembuh.”
“Saya cuba. Dengan
izin Allah, tetap sembuh.”
Saya cuma tersenyum
sahaja mendengarkan perbualan datuk dengan Haji Salim. Isteri Haji Salim juga
tersenyum. Senyumnya tentu lebih lebar daripada saya. Suaminya sudah beransur
pulih.
Datuk juga
menceritakan pada Haji Salim tentang usahanya mencari rumah Dukun Pendekar yang
mencari guru pada Daud. Haji Salim anggukkan kepala.
“Saya tidak mampu
melawannya. Ilmu batinnya yang diapit syaitan cukup kuat,” terang datuk dengan
wajah kesal.
“Berusaha dan
berikhtiarlah. Kalau dibiarkan ramai orang yang jahanam.”
“Tengoklah, sebelah
malam nanti saya pergi lagi ke pondoknya.”
“Kalau begitu, biar
saya ikut sama.”
“Tak payahlah, diri
awak belum cukup baik.”
“Apa yang boleh saya
tolong?”
“Awak doakan kejayaan
saya.”
“Saya berjanji.”
Datuk terus bersalam
dengan Haji Salim. Kami meninggalkan rumah Haji Salim. Waktu saya sampai di
kaki tangga rumah datuk, matahari sudah pun berada di kaki langit. Beberapa
ekor burung gagak berterbangan menuju ke sarang. Kelawar mula mengembangkan
kepak mahu memulakan tugas mencari rezeki.
Saya renung ke
langit, cukup bersih. Saya lihat keluang terus terbang berkawan-kawan mencari
bunga durian. Cara kebetulan waktu itu musim durian berbunga di kampung saya.
Terdengar sayup-sayup tembakan senapang kampung berlaras satu,
berturut-turutan. Dan fahamlah saya tembakan itu dilepaskan oleh beberapa orang
Cina yang datang dari Sitiawan dan Air Tawar yang suka makan daging keluang.
“Cepat mandi. Maghrib
dah tiba, kita nak pergi ke surau sekarang. Kau lambat, kau tinggal,” sergah
datuk dari anjung rumah. Ia sudah siap mandi dan mengenakan pakaian yang rapi.”
“Malam ini, ada guru
agama dari Jabatan Agama Islam mengajar rukun haji dan mandi mayat,” sambung
datuk lagi.
Tanpa membuang masa
saya terus mandi. Tergesa-gesa sarungkan kain pelekat dan baju Melayu. Kepala
saya terus diserkup dengan ketayap putih.
TINGGAL
Saya meninggalkan
surau kira-kira jam sebelas lebih. Lepas makan malam, saya terus masuk ke bilik
tidur. Datuk terus membaca Quran di ruang tengah. Mungkin badan terlalu letih,
saya terus terlelap.
Saya terjaga, bila
datuk menyentapkan kaki kanan saya agak kuat dari biasa. Tanpa fikir panjang,
saya terus duduk.
“Cepat sangat Subuh
datang.”
“Bukan Subuh. Baru
pukul tiga pagi. Bangun ikut aku.”
“Ke mana tuk?”
“Bangun, jangan
banyak cakap.”
Saya terus bangun dan
tukar pakaian. Kemudian terus mengikut datuk menuju ke pondok lama di tengah
sawah. Berjalan, dalam keadaan yang agak gelap dalam suasana yang dingin memang
terasa sukar sekali. Dua tiga kali saya terjatuh kerana tersepakkan tunggul dan
ranting kayu.
“Melangkah dengan
teliti,” beritahu datuk bila kami sampai di halaman pondok lama. Semua pintu
dan tingkap pondok tertutup rapat.
Dari celah-celah
papan dinding yang susunannya tidak teratur dan rapat, terlihat cahaya pelita
minyak tanah. Saya dan datuk mengintai ke dalam pondok melalui celah-celah
papan dinding. Ada dua tubuh bengkok terkapar atas lantai, macam angka lima
yang jaraknya tidak jauh dari pelita minyak tanah. Mereka memakai baju dan
seluar hitam.
Saya kenal mereka.
Lelaki yang meletakkan tangannya atas leher sambil mengeluarkan dengkur yang
kecil itu ialah Daud. Manakala lelaki yang merapatkan kepala lututnya dengan
pangkal dagu dan tidak berdengkur itu ialah Kamal, guru pada Daud.
Tidak jauh dari
pelita minyak tanah, di sebelah kanan terdapat beberapa keping daging kering
yang nipis, diletakkan atas daun pisang. Sekali pandang daging itu bentuknya
macam paru goreng. Tidak jauh dari daging kering terdapat dupa yang diisi
dengan bara. Dupa itu mengeluarkan asap yang nipis bersama bau kemenyan.
“Apa benda yang macam
daging kering tu tuk?”
“Cuba kau kira,
berapa jumlah daging kering tu,” selesai mendengar cakap datuk itu, saya terus
menghitung daging kering tersebut.
“Ada tujuh keping
tuk.”
“Maknanya, mereka
sudah memotong tujuh lidah anak dara sunti.”
“Ah…,” keluh saya
cemas. Badan saya mula terasa seram sejuk. Perkara-perkara yang buruk dan
menakutkan mula terbayang dalam kepala.
“Mereka baru lepas
memuja lidah,” bisik datuk ke telinga saya. Datuk terus menggaru pangkal pipi
kanannya yang digigit nyamuk. Seekor katak puru melompat tidak jauh dari kaki
saya. Beberapa ekor nyamuk mula menggigit cuping telinga saya.
Angin pukul tiga pagi
terus bertiup garang. Dedaun rumbia berlaga sama sendiri, begitu juga dengan
daun kelapa. Dahan dan ranting kering terus gugur ke bumi. Bunyi dedaun rimba,
daun kelapa dan reranting yang jatuh itu bila berpadu menimbulkan bunyi yang
tidak menentu.
Sesekali terdengar
macam bunyi suara bayi menangis. Bila diteliti terdengar seperti bunyi orang
mengeluh menahan kesakitan. Ada masanya pula macam bunyi orang ketawa.
Disebabkan saya tahu
punca dari semuanya itu adalah dari dedaun dan ranting jatuh yang ditiup angin,
hati saya tidaklah cemas sangat tetapi debarnya tetap ada.
Tiba-tiba saya lihat
Kamal bangun. Ia membuka seluarnya dan bertelanjang bulat. Saya menutup muka
bila ia menghalakan anunya yang hodoh ke arah saya.
“Sial, haram jadah,”
kutuk saya. Datuk tersenyum melihat telatah saya. Tiba-tiba saya terdengar
bunyi air, saya membuka mata. Ya Allah, kenapa begitu buruk benar perangai
Kamal. Ia kencing berdiri dalam pondok yang jadi tempat tidurnya.
Kamal sarung
seluarnya kembali. Ia duduk sambil mengutip ulat-ulat tokak yang jatuh atas
lantai, ditaruh ke dalam tokaknya kembali.
“Masuklah kenapa
mengintai, perbuatan tu tak baik,” cara mendadak sahaja Kamal bersuara. Saya
tahu, kata-kata itu ditujukan pada datuk dan saya. Cepat-cepat bahu datuk saya
cuit.
“Jangan silap, dia
bukan bercakap dengan kita. Dia bercakap dengan orang lain.”
“Ah, dengan siapa
tuk.”
“Kau cakaplah.”
Cakap datuk itu
memang tepat, saya lihat salah satu lidah yang ada di depannya bergerak-gerak.
Lidah itu berpusing-pusing di depan Kamal sebentar. Kemudian lidah itu terus
berdampar atas dupa. Bara dalam dupa terus padam. Kepulan asap bertambah tebal
keluar dari dupa.
Dari gumpalan asap
itu, saya lihat ada kepala manusia terawang-awangan. Dari mulutnya terjelir
lidah yang panjang dan menitik darah segar ke dalam dupa.
Kepala yang botak
licin dengan dua mata terpelohong ke dalam berpusing-pusing atas dupa. Berhenti
bila mata yang berlubang itu menentang mata Kamal. Daud terus berdengkur, tidak
tahu apa yang berlaku pada sisinya.
“Kamu lapar?” tanya
Kamal. Lidah yang terjulur dari kepala yang licin itu tersentap ke dalam. Dari
matanya yang terpelohong ke dalam memancarkan cahaya bara yang menyilaukan
pandangan saya.
Perlahan-lahan Kamal
mengangkat kakinya tokak itu ke arah bara. Beberapa detik kemudian, lidah dari
kepala botak terjulur kembali. Kali ini lebih panjang dan lebar dari tadi.
Lidah yang merah segar itu terus menjilat-jilat tokak di kaki Kamal, macam lidah
kucing menjilat susu yang tumpah.
Beratus-ratus ekor
ulat dari tokak Kamal berlari atas lidah dan hilang ditelan oleh kepala licin.
Perkara itu berlangsung kira dua tiga minit sahaja. Semua ulat-ulat di tokak
Kamal hilang. Kamal menarik kakinya kembali.
Tanpa dikejutkan oleh
sesiapa, Daud terus bangun dan melukakan ibu jari kakinya dengan pisau lipat.
Darah merah memancut dari ibu kaki. Sebelum darah itu menitik ke atas lantai,
Daud menghalakan ibu jari pada lidah dari kepala botak.
Keadaan Daud dan Kamal
berbeza sekali. Ulat di tokak Kamal dijilat dengan lidah tetapi darah Daud
terus disedut dengan rakusnya oleh kepala di atas dupa. Masa darahnya disedut,
Daud tetap senyum.
“Tarik kaki kamu,”
Kamal mengeluarkan arahan. Cepat-cepat Daud menyentap kakinya. Kepala licin di
atas dupa berpusing lagi. Asap kian tebal dan menghitam.
Asap yang menebal di
dupa mula menipis. Kepala manusia yang menggerunkan itu masih berada di situ.
Kali ini ia tidak berpusing. Kepalanya yang botak licin mula ditumbuhi oleh rambut
yang hitam lebat dan panjang sampai ke atas lantai. Dan rambut itu seolah-olah
menjadi tiang untuk kepala tanpa badan itu berada dalam keadaan tegak.
“Lidah anak dara
sunti masih belum cukup 44. Kalau tak cukup apa yang kamu tuntut tidak akan
menjadi. Kamu tidak akan menjadi kaya-raya. Kamu tidak akan dapat harta karun.
Kamu tak boleh hidup sampai dunia kiamat,” terdengar suara parau yang keras.
Tidak tahu dari arah mada datangnya.
Tetapi yang pasti,
mulut dari kepala yang kaku atas dupa itu bergerak-gerak. Matanya nampak
berkedip-kedip sekali sekala.
“Apa yang kamu dapat
sekarang cuma separuh sahaja. Pantangnya kamu tidak boleh kena air dan pasir
yang timbul di tengah sungai. Semua pantang itu menjadi tawar bila dapat 44
lidah anak dara sunti,” bergema lagi suara parau yang keras. Kamal termenung
dan merenung muka Daud.
Kamal terus
mengangkat kedua belah tapak tangannya ke dahi. Ia menyembah kepala di atas
dupa sambil berkata:
“Kami dalam bahaya di
sini, Mahaguru.”
“Aku tahu, kamu harus
pindah. Cari mangsa di tempat lain.”
“Ya Mahaguru.”
“Kamu sekarang
diintip musuh.”
“Ha…,” Kamal terus
melompat seketika. Kemudian duduk kembali dengan tenang.
Asap dalam dupa
berhenti. Kepala yang ada di situ terus hilang. Apa yang saya lihat sekarang,
ialah keping lidah yang terawang-awang dan kembali terkapar di atas lantai
bersama lidah-lidah kering yang lain.
“Sebelum mereka
menyerang kita, elok kita balik,” kata datuk. Kami tergesa-gesa pulang. Waktu
kami meniti atas batas bendang, kami melihat sejenis cahaya yang memanjang
memancar di atas bumbung pondok lama. Cahaya itu bergumpal-gumpal di situ dan
bentuknya macam kepala ribut.
“Syaitan,” tutur
datuk sebaik sahaja sampai ke kawasan kebun getah. Saya menoleh melihat cahaya
yang sudah bertukar rupa. Kali ini muncul dari tulang bumbung pondok lama.
Bentuk cahaya itu sebesar telur ayam, merah menyala dalam jumlah antara sepuluh
hingga dua puluh biji.
Cahaya bulat itu
kelihatan bergolek-golek atas atap rumbia. Kemudian bertukar jadi memanjang dan
tajam menuju ke dada langit dalam bentuk ekor ikan pari. Sekali pandang macam
bunga api dengan berbagai-bagai warna.
Bila cahaya yang
menuju ke dada langit itu hilang, saya dapati api membakar daun-daun getah yang
kering di sekeliling saya. Api itu terus marak. Katak dan cengkerik
bertempiaran lari menyelamatkan diri.
“Jangan peduli dengan
api tu,” kata datuk lalu menarik tangan saya untuk merempuh api. Saya keberatan
untuk melakukannya. Saya bimbang kalau kaki seluar saya disambar api, badan
saya pasti terbakar.
“Ikut aku, jangan
banyak fikir,” tambah datuk lagi dengan nada suara yang keras. Badan saya mula
berpeluh. Bahang api membuat saya jadi tidak tentu arah. Api terus marak, kiri
kanan, depan dan belakang penuh dengan api.
“Kita tersepit tuk,
kita boleh mati di sini tuk!” kata saya.
“Kalau Allah
berkehendakkan kita hidup, kita tetap selamat.
“Tapi saya bimbang.”
“Apa yang kau
bimbangkan,” sergah datuk sambil menjegilkan sepasang matanya. Saya terus
terdiam.
Di langit, bulan
sabit mula muncul. Awan putih berarak tenang di langit biru. Angin dinihari
terus bertiup menggugurkan dedaun getah yang sudah tua. Peluh dingin terus
menguasai sekujur tubuh saya. Pejam celik saya menatap wajah datuk dalam
keadaan yang selamba.
Api kian menghampiri
diri saya dan datuk. Perlahan-lahan datuk membongkokkan badan mengambil sekepal
tanah. Dengan tenang tanah yang dikepal itu terus diserakkan ke arah api yang
mengelilingi kami.
“Biasanya dengan cara
ini dapat menahan perbuatan syaitan,” kata datuk sambil merenung ke arah saya
yang sedang menyapu peluh di dahi dengan telapak tangan.
Tiba-tiba datuk
kelihatan resah. Api tidak juga padam malah kian meninggi. Gegendang telinga
saya menangkap suara orang ketawa yang dibawa oleh angin dinihari.
“Terlalu kebal
ilmunya Tamar.”
“Apa yang mesti tuk
buat.”
“Sabar. Allah
memberkati orang yang berusaha.”
“Hum….,” keluh saya
separuh kecewa.
Datuk membongkok
lagi. Kalau sebentar tadi ia mengepal tanah dengan tangan kanan, kali ini ia
mengepal tanah dengan tangan kiri dan tanah itu terus diserakkannya dari arah
kiri membawa ke kanan. Saya terkejut, api yang menjulang terus menjadi kecil
dan akhirnya padam.
“Kita tak boleh
tunggu lama di sini,” datuk terus menarik tangan kanan saya. Sepasang bibir
datuk terus bergerak-gerak. Apa yang dibacanya saya tidak tahu.
“Jangan tengok,”
suara datuk meninggi, bila ia melihat saya enggan melangkah dan masih merenung
ke arah dedaun getah kering yang bertaburan atas tanah. Saya merasa pelik
kerana tidak terdapat kesan abu atau dedaun kering yang rentung dimamah api.
“Langkah cepat,”
datuk mendesak dan perintahnya itu saya patuhi. Kami terus melangkah dalam
nirai getah. Langkah datuk terlalu cepat. Saya tercungap-cungap mengikutnya
dari belakang.
GUGUR
Angin dinihari terus
bertiup menggugurkan dedaun getah tua. Suara kokok ayam sayup-sayup terdengar.
Suara burung tukang muncul sekali sekala bersama dengan laungan anjing. Suasana
demikian membekalkan rasa cemas dan bimbang dalam diri saya.
Dua tiga kali
perasaan saya tersentak, bila beberapa ekor katak puru yang memburu serangga
melompat berhampiran kaki seluar saya. Memang timbul niat mahu memijaknya
supaya katak-katak itu mati. Tetapi bila teringat pesan datuk yang melarang
membunuh binatang tanpa sebab, hasrat itu segera saya batalkan.
“Berhenti,” kata
datuk.
Saya pun berhenti
melangkah. Angin dinihari yang bertiup membekalkan rasa sejuk ke seluruh tubuh.
Datuk meletakkan telapak tangan kanan ke atas kening kirinya untuk beberapa
saat. Dahinya nampak berkedut.
Dari kening kiri
datuk ubah telapak tangannya ke atas dada sebelah kanan. Perlahan-lahan datuk
menjatuhkan tangan kanan dan sepasang mata lembutnya meratah wajah saya.
“Kenapa tuk?”
“Daging dada aku
bergerak-gerak.”
“Apa alamatnya tuk?”
“Mengikut petua orang
tua-tua, ada bahaya yang tidak diduga,” suara datuk lemah.
Sebaik sahaja
berhenti bercakap, saya terlihat seketul benda putih sebesar telur ayam
melayang-layang di udara. Paling menceaskan hati saya, benda putih itu menuju
ke arah saya dan datuk.
“Ambil daun getah
kering, kepitkan ke celah ketiak dan meniarap serta berlindung di balik pokok
yang kecil,” datuk mgeneluarkan arahan. Kelam kabut saya mencari daun getah
kering dan mematuhi dengan apa yang dikatakan oleh datuk.
Benang putih itu
berputar-putar atas kepala kami sambil mengeluarkan suara macam dengung kumbang
yang amat kuat. Bila suara dengung itu berkurangan benda putih itu mengeluarkan
cahaya api dan jatuh kira-kira sepuluh kaki di depan saya dan datuk. Di tempat
benda itu jatuh segera terbakar.
Sebelum api itu
melarat datuk segera mengepal tanah dan melemparkan ke arah api tersebut. Api
segera padam.
“Mari kita lihat apa
bendanya, Tamar.”
“Takut tuk,
barangkali bom tangan.”
“Kau merepek Tamar,”
ujar datuk bersama ketawa kecil.
Saya dan datuk pun
mengatur langkah menuju ke tempat benda putih itu jatuh. Belum pun saya dapat
mempastikan benda tersebut, datuk segera menutupnya dengan kain merah dan
membungkusnya.
“Apa bendanya tu
tuk?”
“Nanti sampai di
rumah kamu boleh tengok.”
“Di sini ada pantang
larangnya tuk?”
“Ah, kamu memang
banyak mulut. Tanya itu, tanya ini. Apa kamu tak boleh diam.”
Saya segera menutup
mulut dengan telapak tangan. Tidak berani menentang biji mata datuk yang
terbeliak bagaikan memancarkan cahaya yang panas.
Saya terus
mengekornya dari belakang dengan meninggalkan perdu pohon getah yang tertegun
kaku. Dahan getah yang berlapis terus bergerak bila disentuh angin lalu
mengeluarkan suara macam budak menangis.
Entah mengapa, setiap
kali saya melangkah dada saya terus berdebar. Macam ada sesuatu yang
memperlihatkan gerak geri saya dan datuk. Saya dongak ke langit, awan tetap
bersih, bulan sabit tetap ada. Lolongan anjing tetap berterusan.
“Tamar,” jerit datuk
sekuat hati. Saya lihat datuk rebah ke bumi sambil memegang bahu kanannya.
Datuk cuba bangun ternyata ia tidak mampu berbuat demikian. Saya jadi tidak
tentu arah. Tidak tahu apa yang patut saya lakukan.
“Ada orang menendang
aku cara curi Tamar.”
“Siapa orangnya?”
“Aku tak tahu,” suara
datuk tersangkut-sangkut macam menahan kesakitan yang amat sangat.
“Jangan dekat aku
Tamar. Kau bediri di situ, buka seluar kamu, kau telanjang di situ. Angkat kaki
kanan kamu separas lutut,” kata datuk bila saya mahu bergerak menghampirinya.
“Sejuk tuk, saya malu
anu saya kena angin.”
“Hei, ikut cakap aku,
kalau kamu mahu hidup.”
“Ah,” keluh saya
sambil melucutkan seluar.
Bila saya berdiri
dalam keadaan bogel, bulu roma di betis dan paha terus berdiri akibat dirempuh
angin dinihari. Badan saya menggeletar. Tidak sanggup saya merenung bahagian
tubuh saya yang terdedah.
Datuk terus
mengguling-gulingkan badannya di tanah. Saya tidak tahu, kenapa datuk melakukan
semuanya itu. satu hal yang pasti setelah berguling sebanyak lima kali, datuk
dapat bangun dan berdiri dengan baik sekali.
Gembira hati saya,
datuk yang kelihatan tenang sambil menekan pangkal belikatnya dengan kedua belah
tangan. Kami mengatur langkah kembali. Ketika itu juga, kami terdengar bunyi
tapak kaki orang berlari dengan memijak daun-daun getah yang kering.
“Jangan pedulikan,”
bisik datuk dengan lembut. Saya terus melangkah. Bila sampai di pohon getah
yang tumbang, kami melihat ada benda putih baring atas batang tersebut.
“Jangan toleh sampai
dua kali,” datuk mengingatkan saya.
“Baik tuk.”
Bila sampai dekat
pokok kabung (enau) saya lihat rambut perempuan berjuntai di pelepah kabung.
Rambut itu mencecah bumi. Rambut itu nampak kasar dan keras dan warnya agak
perang.
Dari celah-celah
rambut itu ternampak batang tubuh seorang perempuan dalam keadaan yang bogel,
berkulit putih tanpa mata dan dahi.
“Jangan renung,” kata
datuk.
“Baik tuk,” balas
saya.
“Semuanya syaitan,”
rungut datuk dan meneruskan perjalanan tanpa mahu menoleh ke kiri dan ke kanan.
Kawasan pokok kabung (enau) terus kami tinggalkan di belakang. Kini kami
membelok ke kanan melintasi sebuah danau kecil.
Tiba-tiba saya lihat
dari permukaan danau yang berair cetek muncul berpuluh-puluh tangan yang
berbulu. Semua tangan-tangan itu menghala ke arah kami. Saya didatangi rasa
cemas kembali. Datuk segera mengambil sehelai rumput serunai laut. Rumput itu
diramas hingga hancur.
Sebelum rumput yang
hancur itu dicampakkan ke dalam danau yang berair cetek datuk membaca sesuatu.
Aneh sekali, bila rumput itu jatuh ke dalam danau berair cetek, tangan-tangan
yang terkapai di permukaan danau terus hilang.
“Ingat, kerja kita
belum selesai. Mungkin esok mungkin lusa kita bertemu lagi,” tiba-tiba datuk
dan saya terdengar suara dari arah kanan.
Bila kami menoleh,
seorang lelaki berdiri di situ. Bau tokak yang busuk dan hapak mula mencucuk
lubang hidung kami.
“Orang tu datang lagi
tuk,” bisik saya pada datuk.
“Aku tahu Tamar. Dia
menggunakan semua ilmunya untuk menewaskan.”
“Jadi, apa yang mesti
kita buat tuk.”
“Kalau Allah
mengizinkan kita berjaya, tentu kita menang.”
Datuk merenung ke
arah lelaki yang berdiri dalam jarah sepuluh kaki darinya. Saya segera
berlindung di belakang datuk. Bau busuk dan hapak dari tokak lelaki itu membuat
tekak saya menjadi loya dan terasa mahu muntah.
“Aku berpegang pada
kata orang tua-tua. Musuh jangan dicari. Kalau musuh datang elakkan diri tetapi
sudah beralah dan mengelak musuh datang juga, aku tidak menolak lawan,” tutur
datuk dengan nada suara yang lembut pada lelaki itu.
Lelaki itu tersenyum
lalu membelakangi datuk dan saya. Beberapa detik kemudian lelaki itu terus
ghaib. Saya dan datuk merasa aman dan mempercepatkan langkah. Datuk mahu
sebelum azan Subuh dilaungkan, kami mesti berada di rumah.
Tanpa diduga datuk
berhenti melangkah. Ia pusingkan badannya ke belakang. Sepasang mata tajamnya
merenungi batang tubuh saya sambil ketawa kecil. Saya resah dan serba salah.
“Kau telanjang
Tamar?”
“Ha, telanjang,” kata
saya tersipu-sipu sambil menutup anu saya dengan kedua belah telapak tangan.
Datuk terus ketawa. Seluar yang terletak di bahu kanan segera saya turunkan.
Sesungguhnya, saya lupa dengan seluar dan diri saya yang telanjang akibat
diresapi rasa takut dan cemas melulu.
“Pakai seluar tu
cepat. Tak malu dah besar telanjang,” usik datuk. Saya terus sarung seluar ke
badan serta meneruskan perjalanan.
Peristiwa yang lucu
itu meninggalkan kesan dalam diri saya hingga kini. Setiap kali saya melihat
kanak-kanak telanjang, saya pasti teringatkan peristiwa lalu yang membuat saya
senyum sendirian.
SAMPAI
Waktu saya dan datuk
sampai di kaki tangga terdengar suara azan Subuh yang mendayu-dayu. Saya terus
pergi ke perigi untuk membersihkan badan dan datuk pula menuju ke sungai dengan
tujuan yang sama seperti apa yang saya lakukan.
Lepas menunaikan
sembahyang Subuh tanpa minum kopi dan makan kuih saya terus tidur. Tidak mampu
rasanya saya menahan kelopak mata yang terasa amat berat. Saya dikejutkan oleh
nenk kira-kira pukul dua belas tengah hari.
Bila saya bangun dan
mahu melangkah menuju ke dapur untuk membasuh muka, saya terasa pening.
Pandangan saya berpinar-pinar. Lantai yang saya pijak terasa turun naik dan
berpusing-pusing. Saya hilang pedoman dan terus jatuh atas lantai.
Nenek berlari dari
dapur menghampiri saya. Tanpa membuang masa ia menyandarkan badan saya ke
dinding. Badan saya diurutnya, dua tiga kali. Saya tersedak dan sendawa
beberapa kali. Dari jendela, nenek memanggil datuk yang sedang menjemur jala di
halaman. Datuk segera naik ke rumha.
“Kenapa?” tanya
datuk.
“Cucu awak ni, bangun
tidur terus pening dan jatuh atas lantai."
No comments:
Post a Comment