Sejak pulang dari
Hospital Lumut, sudah tiga minggu saya berkurung dalam rumah. Setiap malam,
nenek akan membalut kaki saya dengan Naga Buana. Perut pula, dibalut dengan
pucuk pisang emas.
“Kenapa nek buat
begini, pada kaki dan perut saya?”
“Untuk mengelakkan
kaki kau dari kisit urat dalam perut mesti dikecutkan, kalau tak dibalut dengan
daun pisang, perut kau boroi bila berkalih umur.”
“Huh, saya dah jemu
kena balut nek.”
“Jangan begitu, perut
mesti dijaga. Kau tahu sakit angin, sakit urat saraf dan sakit-sakit badan
semuanya berpunca dari perut. Kalau perut sihat, badan juga sihat.”
Saya terdiam
mendengar cakap nenek itu. Saya hubungkan cakap nenek itu, dengan kata-kata
yang telah diucapkan oleh seorang Imam dalam khutbah Jumaatnya. Imam itu
memetik sabda nabi Muhammad SAW yang menyuruh umatnya supaya makan tidak
berlebih-lebihan. Ia mahu umatnya makan sederhana saja.
“Kalau engkau melihat
orang lelaki perut boroi dan badannya gemuk, tandanya orang itu tidak sihat.
Aku tak mahu kau jadi macam itu, bila sudah berumur empat puluh lebih, jagalah
perut kerana perut kunci kesihatan,” tambah nenek. Saya terus anggukkan kepala.
Demi kebaikan, saya
relakan nenek membalut perut saya dengan pucuk pisang emas, bercampur minyak
kelapa. Tetapi, rasa bosan duduk di rumah memang tidak dapat saya hindarkan.
Datuk amat mematuhi cakap nenek dan tidak mahu mengajak saya ke mana-mana.
Datuk suruh saya duduk di rumah membaca kitab agama dan quran. Katanya, kalau
nenek mengizinkan atau pantang larangnya sudah tamat. Ia pasti membawa saya ke
mana sahaja. Satu janji yang amat menyenangkan.
Sebagai orang tua
yang banyak pengalaman, datuk tahu saya akan merasa jemu dan bosan membaca
quran dan kitab. Bila ia turun ke pekan ia belikan akhbar tulisan jawi – Utusan
Melayu. Kalau datuk pergi ke Balai Penghulu, pasti ia pulang dengan membawa
risalah-risalah dari Jabatan Penerangan dan Jabatan Pertanian. Semuanya dalam
tulisan jawi. Kalau anginnya baik, ia akan membeli akhbar dan majalah kanak-kanak,
seperti Utusan Kanak-kanak, Tunas dan lain-lain lagi.
Jangan harap datuk
mahu membeli akhbar dan majalah hiburan seperti Utusan Filem dan Sports,
Fesyen, Gelanggang Filem dan Arena Filem. Pantang tujuh keturunan bagi datuk,
kalau saya menatap majalah-majalah tersebut. Saya hanya mendapat tahu tentang
perkembangan filem-filem Melayu dan bintang-bintang filemnya seperti P. Ramlee,
Kasma Booty, Nordin Ahmad dan Roomai Noor, menerusi mulut-mulut kawan-kawan.
Begitu juga dengan kisah penyanyi masa itu seperti R. Azmi, Jasni serta Momok
dan Nona Asiah.
“Buat apa tahu
tentang orang wayang dan penyanyi, jangan baca kisah mereka, semuanya tak
berfaedah. Semuanya itu kisah dunia yang tak boleh dibuat bekal ke akhirat.
Lebih baik kau baca kitab,” kata datuk bila saya menyatakan ingin membaca dan
memiliki majalah-majalah tersebut.
Kata datuk, kata
muktamad. Tidak ada ulang-rayu. Kalau dilawan biji matanya akan tersembul,
macam telur burung merpati. Suaranya jadi keras dan parau macam guruh. Mahu tak
mahu terpaksa baca kisah menanam pokok getah, menanam padi dan menanam kelapa.
Sesekali hati kecil
saya memberontak juga. Mana boleh tahan cuma berlegar-legar dalam kawasan rumah
sahaja. Paling jauh saya dibenarkan oleh nenek pergi ke rumah Haji Salim,
kira-kira dua rantai jaraknya dengan rumah datuk. Bukan ada apa-apa di rumah
Haji Salim menitik dan membakar besi untuk membuat keris dan parang.
Saya kagum melihat
Haji Salim memegang besi panas dan membentuknya hingga menjadi sebilah keris
yang berlok tujuh atau sembilan. Bila saya tanya pada Haji Salim, apa ilmu yang
dipakai hingga tapak tangannya tidak terbakar. Haji Salim tidak mahu
memberitahu, ia cuma berkata:
“Keyakinan pada diri
sendiri dan Allah mengizinkan semuanya itu.”
Jawapan yang
membosankan. Sambil memerhatikan ia bekerja, ia menyuruh saya membaca al-Quran.
Kalau pembacaan tajwid saya tidak betul ia segera menegurnya. Bila saya tidak
mahu membaca quran, ia akan bercerita pada saya tentang kisah-kisah 25 orang
nabi pilihan atau memberi penerangan tentang fardhu Ain, fardhu Kifayah dan
fikah.
INDAH
Pagi selasa yang indah. Di dada langit, matahari memancar cemerlang. Dedaun di ranting bergerak lembut mengikut irama angin. Saya masih lagi membalut badan dengan gebar. Perbuatan yang jarang-jarang saya lakukan. Jam sudah pukul sembilan. Jalur sinar matahari masuk ikut tingkap yang dibuka separuh itu, terdampar atas lantai. Sebenarnya, saya memprotes sikap nenek. Ia tidak membenarkan saya mengikut datuk pergi ke hutan untuk melihat jerat napuh dan pelanduk. Meskipun datuk sudah meminta izin darinya.
Pagi selasa yang indah. Di dada langit, matahari memancar cemerlang. Dedaun di ranting bergerak lembut mengikut irama angin. Saya masih lagi membalut badan dengan gebar. Perbuatan yang jarang-jarang saya lakukan. Jam sudah pukul sembilan. Jalur sinar matahari masuk ikut tingkap yang dibuka separuh itu, terdampar atas lantai. Sebenarnya, saya memprotes sikap nenek. Ia tidak membenarkan saya mengikut datuk pergi ke hutan untuk melihat jerat napuh dan pelanduk. Meskipun datuk sudah meminta izin darinya.
Nenek lebih senang,
kalau saya menghabiskan masa berjam-jam dengan Haji Salim. Sepanjang ingatan
saya selama tiga minggu berkurung di rumah. Sudah dua kali datuk berjalan jauh.
Kali pertama datuk ikut kenalannya pergi ke Dungun, Terengganu. Kali kedua,
datuk pergi ke Kroh di Ulu Perak mencari gading gajah.
“Nenek sudah
melampau, mahu ke hutan tengok jerat pun tidak boleh,” rungut saya.
Gebar saya campakkan ke tepi. Saya segera bangun. Saya terus bersilat dengan tujuan untuk menyegarkan tubuh badan. Boleh juga diistilahkan bersilat untuk bersenam.
Gebar saya campakkan ke tepi. Saya segera bangun. Saya terus bersilat dengan tujuan untuk menyegarkan tubuh badan. Boleh juga diistilahkan bersilat untuk bersenam.
“Tamar kau buat apa
di dalam, macam nak patah lantai rumah,” pekik nenek bertalu-talu sambil
mengetuk-ngetuk pintu bilik.
Tanpa melabuhkan kain
yang berada di paras lutut, saya terus membuka pintu. Saya ketawa melihat nenek
yang terkejut.
“Kenapa muka nenek
pucat? Apa nenek merasa hairan melihat gulung kain berat ke kanan dan kain pula
atas lutut? Saya bersilat untuk menegangkan urat,” ucap saya. Nenek tidak
menjawab. Wajahnya mula pucat.
“Nenek marah?”
“Tidak Tamar.”
“Nenek sakit?”
“Tidak Tamar.”
“Habis, apa yang
nenek fikirkan?”
“Kaki kau Tamar.”
“Kaki saya? Kenapa
dengan kaki saya nek.”
Tidak ada jawapan
dari nenek. Sepasang mata hitamnya tertumbuk pada sepasang kaki saya. Nenek
menarik tangan saya ke ruang tengah. Saya disuruh duduk di lantai sambil
menjulurkan kaki. Wajah nenek terus didakap rasa cemas yang sukar untuk dibaca.
“Itulah kau langgar
petua aku Tamar. Kaki kau tak boleh kena air embun dan angin masa berubat,
sekarang apa dah jadi kau lihat sendiri,” suara nenek tersekat-sekat.
Wajah cemasnya segera
bertukar dibayangi rasa kecewa. Saya terus merenung kaki. Memang benar kata
nenek! Kaki saya terus mengecil, kisit. Tidak berbuah betis lagi. Tetapi aneh
sekali kesannya hampir tidak terasa. Hati saya mula terasa hiba dan mahu
menangis. Saya rasa hidup ini sudah tidak bermakna lagi. Apalah ertinya hidup
bagi saya, kalau anggota tubuh sudah cacat. Apalah nilainya sepasang kaki,
kalau tidak boleh digunakan.
Sesungguhnya, saya
tidak sanggup menghadapi penderitaan seperti ini. Saya terus menangis. Nenek
terus membelek-belek urat-urat di kaki. Kerana datuk sudah pergi ke hutan,
nenek segera menemui Haji Salim. Saya cemas bila Haji Salim datang dengan
membawa sebilah keris tanpa ulu dan sarung. Saya lihat keris itu masih berasap
kerana baru dikeluarkan dari api. Haji Salim terus menjamah buku lali kaki. Ia
kelihatan tenang. Senyum tidak putus-putus menari di bibirnya.
“Usah bimbang,
berusahalah dengan sabar. Carilah daun serunai laut, daun gelanggang dan pucuk
paku hutan. Sapukan pada kaki setiap pagi. Kisitnya masih baru, ada harapan
baik,” wajah Haji Salim kelihatan tenang. Senyum terus bermain di wajahnya.
Haji Salim segera
meminta diri. Bila sampai di anak tangga penghabisan ia berhenti. Renung muka
nenek dengan muka saya silih berganti.
“Tamar sikit lagi
datang ke tempat aku, biar aku ajar kau membuat keris,” Haji Salim meraba
pangkal leher kiri.
“Kaki saya Aji.”
“Tak apa, sakitnya
masih baru.”
“Saya bimbang Aji.”
“Tak usah bimbang.”
Haji Salim terus
melangkah menuju ke rumahnya. Nenek kerutkan dahi. Sesekali menggaru tempurung
rambut yang tidak gatal. Dua tiga helai ubat melekat di jari. Nenek berada dalam
keadaan yang serba salah. Saya terus duduk berjuntai kaki di muka pintu. Nenek
ke dapur. Saya tidak tahu apa yang nenek buat di dapur. Saya bayangkan dalam
hati, kalau kedua belah kaki saya dipotong. Tentu susah jadinya. Saya terpaksa
berjalan memakai tongkat.
Lamunan yang tidak
bertepi itu, mati dengan mendadak. Diganggu oleh lintasan bayangan yang kurang
jelas. Dan bayangan itu terjadi hanya dalam beberapa detik sahaja. Kesannya
amat mendebarkan hati. Bulu roma saya tegak dalam sinaran matahari pagi yang
kian garang. Kepala saya terasa pening. Pandangan saya mula berpinar-pinar.
Pokok-pokok yang saya lihat nampak bergoyang. Perut terasa pedih dan tekak juga
mula loya. Rasa muntah-muntah mula terasa.
“Nenek…,” jerit saya.
Nenek segera datang.
Bahu saya dipegangnya. Kemudian nenek meletakkan telapak tangan kanannya ke
dada saya. Ia menarik nafas dengan tenang.
“Dada kau berdebar?”
“Ye nek.”
“Apa puncanya?”
“Saya macam
terpandang lintasan bayangan hitam melintas di depan saya nek.”
“Itu cuma perasaan
kau saja Tamar.”
“Betul nek.”
“Sudahlah Tamar,
pergi mandi. Lepas itu pergi makan. Kopi dan rebus keledek aku sediakan untuk
kamu.”
Nenek meninggalkan
saya. Arahannya saya patuhi. Ada sesuatu yang saya rasa tidak kena pada kedua
belah kaki. Waktu melangkah dari pintu depan menuju ke ruang dapur tadi, terasa
sengal-sengal di pelipat. Saya juga terasa amat sukar untuk mengimbangi badan.
Semuanya tidak saya nyatakan pada nenek. Semangat saya untuk pergi ke rumah
Haji Salim meluap-luap. Saya mahu menghilangkan sakit di pelipat dan rasa
sengal itu dengan berjalan.
Setelah mengenakan
seluar panjang kuning, baju kemeja lengan pendek saya ke rumah Haji Salim.
Nenek hanya memerhatikan sahaja gelagat saya di muka pintu. Sampai di rumah
Haji Salim saya terus duduk di bangsal kerjanya. Pada mulanya, saya duduk dekat
tempat membakar besi. Saya tidak tahan dengan bahang bara api yang garang.
“Kau tak tahan dengan
bahang api Tamar?”
“Ya Pak Aji, kulit
muka macam mahu terbakar rasanya.”
“Inilah orang muda
sekarang. Bahang api pun tak tahan, tak pernah mahu merasakan susah.”
“Sebenarnya saya tak
berapa biasa dengan keadaan macam ini.”
“Kau harus biasakan,
sebagai orang Melayu, kau tidak akan melepaskan diri dari berhadapan dengan
tanah, air, api dan angin.”
“Ya, saya faham.”
Haji Salim tersenyum.
Ia sudah arif dengan perangai saya. Bila saya menyebut perkataan terakhir itu.
Ia sudah dapat membaca hati saya yang tidak berminat untuk mendengar dengan
perkara yang dikatakannya itu. Saya menoleh ke kanan. Atas pelantar bangsalnya
tersusun beberapa bilah parang, ada yang panjang, beberapa bilah tajak dan
pisau penyabit. Semuanya barang-barang itu tidak mempunyai ulu. Haji Salim
mengangkat besi merah dari dalam bara dengan menggunakan penyepit besi. Besi
yang merah menyala itu diletakkan atas pelantar.
“Sebelum besi ini
dibakar, sudah aku campurkan dengan tujuh jenis besi,” kata Haji Salim sambil
mengambil besi yang masih merah itu. Besi itu terus di tempa hingga menjadi
sebilah keris dengan tangan.
“Pak Aji nak jual
keris ni?” tanya saya.
“Tidak, nak pakai
sendiri.”
“Boleh buatkan saya
sebilah.”
“Belum masanya.”
Haji Salim
menghampiri saya. Ia rasa kaki saya. Dengan hati-hati Haji Salim menuangkan air
dari dalam labu tanah ke dalam gelas. Air dalam gelas itu dirapatkan ke
bibirnya yang sedang bergerak-gerak membaca sesuatu.
“Nah sapukan ke kaki
kamu, dengan izin Allah sakit sengal yang kamu rasa itu, akan hilang,” Haji
Salim sambil menyerahkan air dalam gelas pada saya. Air itu saya sapukan ke
kaki. Sepuluh minit kemudian rasa sengal-sengal di kaki terus hilang.
“Kau usah bimbang,
kaki kau yang kisit, tak berdaging tu, akan sembuh nenek kau boleh
mengusahakannya.”
“Dengan apa nenek nak
menyembuhkannya Pak Aji.”
“Dengan senaman,
kalau nenek kau tak tahu datuk kau tahu, datuk kau tu apa kurangnya.”
REBAH
Saya terus diam. Badan saya rebahkan atas pelantar. Dua hari dulu, waktu saya baring di pelantar, cucunya datang membawakan dua cawan kopi. Kali ini saya berharap kisah yang berlaku itu akan berulang lagi. Saya mahu melihat cucu perempuannya yang berwajah manis, berkulit cerah. Ada lesung pipit di pipi. Tidak mudah mengeluarkan kata-kata. Tetapi senyumnya amat murah sekali. Sesungguhnya, saya terpikat dengan sinar matanya yang lembut. Dengan rambutnya yang ikal mayang. Dengan senyumnya yang menawan.
REBAH
Saya terus diam. Badan saya rebahkan atas pelantar. Dua hari dulu, waktu saya baring di pelantar, cucunya datang membawakan dua cawan kopi. Kali ini saya berharap kisah yang berlaku itu akan berulang lagi. Saya mahu melihat cucu perempuannya yang berwajah manis, berkulit cerah. Ada lesung pipit di pipi. Tidak mudah mengeluarkan kata-kata. Tetapi senyumnya amat murah sekali. Sesungguhnya, saya terpikat dengan sinar matanya yang lembut. Dengan rambutnya yang ikal mayang. Dengan senyumnya yang menawan.
“Hari ni nampaknya,
tak ada kopi Tamar.”
“Tak apa Pak Aji.”
“Bukan tak apa Tamar,
aku terpaksa masak sendiri.”
“Mak Aji ke mana?”
“Dia menghantar
Saadiah, ke rumah emak bapanya di Beranang, dah sebulan dia berada di sini,
emak bapanya suruh balik. Dengar cerita ada orang nak masuk meminangnya.”
“Hum, begitu,” kata
saya dengan tenang.
Satu kehampaan
berkocak dalam dda saya. Tujuan utama saya menemui Haji Salim, bukanlah mahu
menunaikan pesannya. Ada tujuan lain. Saya mahu melihat wajah Saadiah cucunya.
Saya mahu kenyit mata padanya. Apakan daya, harapan yang dicari tidak
terlaksana.
“Tamar.”
“Ya Pak Aji.”
“Ya Pak Aji.”
“Kau mahu tahu
tanda-tanda orang yang celaka dalam dunia.”
“Mahu.”
Haji Salim berhenti menempa mata keris dengan tangan sebentar. Ia renung muka saya. Aneh, renungan itu, saya rasakan bukan renungan Haji Salim tetapi renungan Saadiah cucunya. Saya tersenyum.
Haji Salim berhenti menempa mata keris dengan tangan sebentar. Ia renung muka saya. Aneh, renungan itu, saya rasakan bukan renungan Haji Salim tetapi renungan Saadiah cucunya. Saya tersenyum.
“Kenapa kau senyum?”
“Tak ada apa-apa Pak
Aji.”
“Tanda-tanda
orang-orang celaka tu ada empat. Pertama, lupakan dosa-dosa yang lepas dan
tidak mahu bertaubat. Kedua, ia mengingati amal ibadah yang dibuatnya,
menghitung berapa banyak sedekah jariahnya, berapa banyak sembahyang yang
dibuat,” Haji Salim berhenti bercakap.
Ia merenung bentuk
keris yang ada di atas pelantar. Keris itu sudah siap separuh. Cuma bahagian
pangkalnya sahaja yang belum menjadi.
“Tanda yang ketiga,
kau nak tahu apa dia Tamar?”
“Saya tak tahu Pak
Aji.”
“Tanda yang ketiga,
orang yang berkenaan sentiasa memandang orang yang berdarjat, tidak pandang
orang yang miskin dengan sebelah mata pun.”
“Tanda yang keempat
pula Pak Aji? Apa dia.”
“Yang keempat pula,
dalam hal akhirat orang itu merasakan dirinya saja yang sudah sempurna, memandang
hina orang yang tidak sembahyang, tidak puasa serta mengamalkan hukum Islam,
seolah-olah dirinya seorang saja orang Islam yang tulin, itulah tanda-tanda
orang yang celaka di dunia.”
Haji Salim berhenti
berkata-kata. Ia meneruskan kerjanya kembali. Menempa sebilah keris dengan
tangannya sendiri. Setiap kali ia menekan besi, besi itu kelihatan lembut dan
mengikut bentuk yang dihajatinya.
Saya segera menoleh
ke kiri, ke arah jalan yang menghubungkan rumah datuk dengan rumah Haji Salim.
Saya berbuat demikian kerana terdengar nama saya dipanggil berkali-kali. Kerana
panggilan itu kurang jelas, saya tidak dapat meneka, suara siapa yang saya
dengar. Nenek suaranya nyaring dan halus tetapi, suara yang saya dengar kasar.
Kalau mahu dikatakan suara datuk memang mustahil, datuk masih belum pulang dan
suara datuk tidak macam itu.
Suara datuk agak
serak-serak basah dan parau. Paling menakjubkan tidak nampak bayang datuk atau
nenek di muka jalan. Jadi suara siapa pula yang saya dengar? Keresahan yang
melanda diri saya, dapat dibaca oleh Haji Salim.
“Kau terdengar suara
orang memanggil nama kamu Tamar?”
“Ya Pak Aji, agaknya
suara hantu Pak Aji.”
“Bukan, mana ada
hantu waktu siang begini, aku agak suara makhluk Allah yang berkenankan kamu.”
“Macam mana Pak Aji tahu,
saya terdengar suara orang.”
“Dari gerak-geri kamu
Tamar.”
Saya mula resah. Hati
mula berdebar. Badan terasa lain macam. Bulu roma saya mula tegak tanpa sebab.
Saya mula dibayangi dengan bermacam-macam perasaan. Ada lintasan bayangan
seperti yang terjadi di muka pintu tadi, melintas di depan saya. Bentuknya
sukar mahu digambarkan dengan tepat.
Sepintas lalu,
bentuknya macam papan keranda yang melayang-layang. Ada sehelai kain hitam
melekat di papan itu. Dari kain hitam itu berjuntai jari-jari tangan tanpa
daging. Tulang-tulang jari yang keras dan putih itu bagaikan mahu mencakar
wajah saya. Inilah yang menimbulkan rasa takut dalam hati.
“Biarlah, saya balik
dulu Pak Aji.”
“Silakan Tamar.”
Saya pun meninggalkan
Haji Salim di bangsal. Dalam debar dada yang cemas saya terus melangkah tanpa
menoleh ke arah Haji Salim. Dahi saya mula berpeluh. Sebaik sahaja saya sampai
dekat pokok mempelam pauh yang besar dan tinggi, dahan mempelam itu patah lalu
jatuh. Kalau tidak cepat saya mengelak, pasti saya ditimpa dahan tersebut.
Dalam masa yang sama, lintasan bayangan yang tidak menyenangkan itu terjadi
lagi di hadapan saya.
Langkah saya terus
kaku sebentar. Bila saya mahu melangkah kembali terdengar suara menyebut nama
saya. Cepat-cepat saya merenung ke arah pangkal pokok mempelam. Rasa cemas
segera hilang. Seorang tua yang tidak saya kenali muncul di situ dan menuju
pada saya.
“Berikan ini pada
datuk kamu,” kata orang tua itu. Ia menyerahkan satu bungkusan kecil yang
berbalut dengan dauh keladi, bila bungkusan itu mahu saya buka, orang tua
segera memegang tangan saya.
“Belajarlah jadi
manusia yang amanah,” katanya.
“Maafkan saya.”
“Aku maafkan, jangan
menoleh arah mana kamu datang, kerana aku mahu ke sana.”
“Ya, saya faham.”
Orang tua itu segera
bergerak ke arah belakang saya. Bunyi tapak kakinya cukup jelas menuju ke arah
rumah Haji Salim. Saya terpegun sejenak, bau yang amat wangi segera menyumbat
lubang hidung. Saya pasti bau wangi itu datang dari tubuh badan orang tua
tersebut.
Ada dua persoalan
timbul dalam hati saya. Pertama, kenapa orang tua itu tidak memberi salam.
Kedua, orang tua itu memang bukan orang kampung. Ia orang asing. Dua persoalan
yang menggugat hati, membuat saya melanggar larangannya.
Saya segera menoleh
ke belakang. Orang tua itu tidak kelihatan lagi. Tetapi, bau wangi masih dapat
dicium. Dedaun senduduk dan lalang di sebelah kanan jalan, kelihatan
bergerak-gerak, macam baru sahaja dirempuh oleh manusia. Saya tahu, kawasan
sebelah kanan jalan yang dikuasai oleh pokok senduduk dan lalang itu, luasnya
hampir suku batu. Hujung kawasannya bertemu dengan sebuah anak sungai. Seberang
sungai itu terdapat kawasan perkuburan yang tidak digunakan lagi.
Nenek pernah
memberitahu saya, kawasan perkuburan itu tidak luas. Cuma menempatkan tujuh buah
kubur. Batu nisannya diambil dari batu gunung. Tidak seorang pun yang tahu,
mayat siapa yang ditanam di situ. Kata datuk ada waktu yang terluang, ia
seringkali mengajak saya ke situ untuk membersihkannya. Bagi datuk membersihkan
kubur merupakan satu amalan yang baik.
Bila saya
mengingatkan orang yang baru saya temui itu menuju ke kubur lama, saya jadi
takut. Saya terus lari menuju ke rumah. Waktu itu saya tidak ingat langsung
yang kaki saya tidak begitu baik.
JATUH
Waktu saya sampai di kaki tangga. Saya sudah kehabisan tenaga. Tidak mampu memijak mata tangga yang setia menanti sesiapa sahaja untuk memijaknya. Saya terjatuh. Bungkusan barang dalam daun keladi terbuka dan tercampak dekat saya.
Waktu saya sampai di kaki tangga. Saya sudah kehabisan tenaga. Tidak mampu memijak mata tangga yang setia menanti sesiapa sahaja untuk memijaknya. Saya terjatuh. Bungkusan barang dalam daun keladi terbuka dan tercampak dekat saya.
“Tolong,” jerit saya,
bila melihat tulang jari terdampar atas tanah, (tidak jauh dari daun keladi
yang jadi pembungkusnya) nenek segera menerpa pada saya. Nenek segera memapah
saya. Ia suruh saya duduk atas tangga.
Tanpa diduga, datuk
pulang awal dari hutan. Tidak ada pelanduk atau napuh yang dibawanya. Datuk
terkejut dengan apa yang terjadi pada saya.
“Kenapa Tamar?” Tanya
datuk.
“Ada orang beri
barang pada tuk.”
“Mana dia barangnya?”
“Itu dia tuk.”
Mata datuk melihat ke
arah yang ditunjuk oleh jari telunjuk saya. Dia menggigit ibu jari kanannya.
Macam memikirkan sesuatu. Datuk suruh nenek beredar dari situ. Nenek segera
masuk ke rumah.
“Pelik, masa dalam
hutan tadi ada orang yang tak aku kenal, kirim salam pada kau. Bila aku tanya
siapa dia, orang itu terus meninggalkan aku, tetapi ia meninggalkan bungkusan
daun keladi dekat pokok meranti,” datuk memulakan cerita.
“Apa isinya tuk.”
“Sama dengan apa yang
aku lihat sekarang, tulang jari manusia.”
“Orang yang tok jumpa
tu, lelaki ke perempuan.”
“Perempuan tua.”
“Serupa juga dengan
saya, saya juga jumpa perempuan tua, mukanya ditutup.”
Datuk tidak berkata apa-apa lagi. Ia suruh saya masuk ke rumah. Daun keladi dan tulang jari manusia itu diambilnya dan terus ditanam kira-kira serantai dari halaman rumah.
Datuk tidak berkata apa-apa lagi. Ia suruh saya masuk ke rumah. Daun keladi dan tulang jari manusia itu diambilnya dan terus ditanam kira-kira serantai dari halaman rumah.
JUMPA
Pukul empat setengah petang. Datuk duduk di anjung rumah sambil membaca kitab. Datuk tidak memakai baju. Kepalanya dilekati oleh ketayap putih. Datuk seolah-olah, tidak menganggap sesuatu yang luarbiasa dengan peristiwa yang terjadi. Mungkin peristiwa itu tidak menarik minatnya. Kalau datuk tertarik, pasti ia bercerita. Bila melihat sikap datuk begitu, saya sendiri tidak ambil kisah dengan apa yang terjadi.
Pukul empat setengah petang. Datuk duduk di anjung rumah sambil membaca kitab. Datuk tidak memakai baju. Kepalanya dilekati oleh ketayap putih. Datuk seolah-olah, tidak menganggap sesuatu yang luarbiasa dengan peristiwa yang terjadi. Mungkin peristiwa itu tidak menarik minatnya. Kalau datuk tertarik, pasti ia bercerita. Bila melihat sikap datuk begitu, saya sendiri tidak ambil kisah dengan apa yang terjadi.
Nenek terus berusaha
memulihkan kaki saya yang kian mengecil itu. Ia menyentuh dan mengurut
urat-urat tertentu di kaki. Di samping itu, nenek juga sudah menyediakan
berbagai-bagai jenis dauh untuk dibalut ke kaki saya.
“Kaki Tamar tu, kalau
diizinkan Allah, akan sembuh juga,” cara mendadak datuk bersuara.
“Kalau tak diusahakan, tentu tak menjadi,” balas nenek. Suaranya agak meninggi. Datuk tutup kitab yang dibacanya. Ia renung muka nenek.
“Kalau tak diusahakan, tentu tak menjadi,” balas nenek. Suaranya agak meninggi. Datuk tutup kitab yang dibacanya. Ia renung muka nenek.
“Kalau kakinya
mengecil atau kisit tak ada isi disebabkan kena air embun dan angin, kenapa
kita tak cuba ubat dengan embun dan angin juga,” kata datuk. Ia bangun lalu
rapat ke arah nenek yang mengurut kaki saya.
“Caranya bagaimana?”
“Kita lumurkan
kakinya dengan embun, dua puluh pagi Jumaat, kita juga kenakan angin malam
Jumaat, di samping membaca doa tertentu,” kata datuk tenang.
“Awak buatkan.”
“Ya, saya buatkan
mulai malam dan pagi Jumaat depan.”
Nenek tersenyum
mendengar pengakuan datuk. Ia merasakan datuk tidak melepaskan tanggungjawab
itu pada dirinya seorang sahaja.
Tiba-tiba saya
terhidu bau wangi yang amat kuat. Saya segera bergerak menuju ke muka pintu.
Tanpa saya sedari datuk mengekor dari belakang. Saya terkejut, di halaman
rumah, ada perempuan tua yang saya tengok pada sebelah pagi berdiri di situ.
Kali ini, mukanya ditutup dengan kain selendang.
“Ada apa hajat,” tanya
datuk.
“Tak ada apa-apa
hajat buat apa datang ke mari.”
“Nak berziarah pun
tak boleh.”
Datuk terdiam.
Mulutnya bagaikan terkunci untuk menjawab kata-kata dari perempuan tua itu.
Datuk segera merenung ke arah saya. Melihat perempuan tua itu masih tercegat di
halaman, saya terus bersuara:
“Beradatlah sikit,
berilah salam.”
“Sudahlah, saya nak
cari rumah orang yang pandai membuat keris, keris suami saya hilang,” suara
perempuan tua itu tenang.
“Awak pergi arah ke
darat sana, cari orang nama Haji Salim, dia pandai buat keris, kalau pedang
laki awak hilang pun dia boleh buat.”
“Awak menyindir.”
“Sudahlah
perempuan….” Datuk segera menutup mulut saya dengan tangan.
Biji mata datuk
bagaikan mahu tersembul merenung muka saya. Bila sudah begitu keadaannya,
tentulah datuk sudah marah. Saya tunduk.
“Maafkan cucu saya,”
kata datuk. Perempuan tua itu pusingkan badannya. Ia terus menuju ke rumah Haji
Salim.
“Jangan biadap
sangat, kita belum kenal siapa dia,” kata datuk. Dengan tenang datuk menarik
tangan saya untuk masuk ke ruang tengah. Dari gerak-gerinya, saya tahu perasaan
datuk tidak tenteram.
Rasa tidak tenteram
dalam diri datuk itu berlanjutan hingga masuk waktu asar. Lepas sembahyang
asar, ia masih lagi memikirkan tentang perempuan tua yang ditemuinya dalam
hutan, tentang perempuan tua yang memberikan barang saya, tentang perempuan tua
yang baru meninggalkan halaman rumah sebentar tadi.
“Boleh jadi apa yang
kita lalui ini, ada hubungannya dengan Sariyah yang aku tolong dan aku jadikan
anak angkat,” keluh datuk.
“Apa yang mesti kita
buat tuk?”
“Kita hadapi
semuanya, kita sudah terlalu jauh dicabarnya, kaki kau hampir lumpuh tetapi,
mereka masih belum puas, percayalah kali kita berusaha dan berserah pada Allah
kita akan menang.”
“Masanya terlalu panjang
tuk.”
“Sabarlah, kemenangan
tidak akan terjadi dengan sekelip mata.”
Saya menggigit bibir
mendengar cakap datuk. Wajah perempuan tua masih terbayang di kepala saya.
Wajahnya yang ditutup dengan kain selendang, saya bayangkan amat hodoh sekali.
Matanya terperosok ke dalam. Tidak ada hidung. Dahinya bersopak dan kulit pipi
mengerutu.
“Jangan fikirkan yang
bukan-bukan tentang dirinya,” saya terkejut mendengar cakap datuk itu.
Rupa-rupanya datuk dapat membaca dengan apa yang tersirat dalam hati saya.
“Membayangkan wajah
orang dalam keadaan buruk, memang tidak baik. Itu perbuatan syaitan,” sambung
datuk. Saya tersengih. Saya terus menuju ke muka pintu.
Saya lihat matahari
petang sudah condong benar. Burung gagak itu hinggap di pelepah pisang mencari
ulat dalam daun pisang yang bergulung. Angin petang tidak bertiup langsung,
membuat badan saya terasa panas dan berpeluh.
Tiba-tiba saya
terpandang tulang jejari manusia bertaburan atas tanah di halaman.
Tulang-tulang itu bagaikan muncul dari perut bumi dan bumi kelihatan macam
merekah. Dari rekahan bumi itu saya bagaikan terlihat tengkorak manusia
bergerak-gerak, bagaikan mahu tersembul. Saya jadi cemas. Saya renung ke arah
halaman rumah lama-lama. Ternyata apa yang saya lihat tadi, memang tidak ada.
Tetapi, saya merasa hairan kenapa hal yang tidak ada itu boleh wujud di hadapan
mata saya.
Barangkali, semuanya
ini perasaan semata-mata, saya terlalu banyak memikirkan tentang wajah
perempuan tua itu, membuatkan saya terpandang-pandangkan perkara yang menakutkan,
kata hati saya. Saya renung bayang pokok kelapa yang memanjang di bumi.
Matahari petang kian condong. Sesekali terdengar kokok ayam jantan, menunjukkan
lagak di depan ayam betina sambil mengembangkan kepak di badan. Burung gagak
terbang bersimpang siur, mencari ulat daun pisang.
Dalam keramahan dan
keganjilan suasana petang itu, saya dikejutkan oleh suara yang tidak asing lagi
buat saya. Cepat-cepat saya merenung ke arah suara itu datang. Haji Salim
tercegat di sempadan halaman rumah.
“Ada apa Pak Aji?”
“Datuk kau, ada di
rumah Tamar.”
“Ada.”
Haji Salim rapat ke kaki tangga datuk pula segera mempamerkan diri di muka pintu. Saya ditolak ke belakang.
Haji Salim rapat ke kaki tangga datuk pula segera mempamerkan diri di muka pintu. Saya ditolak ke belakang.
“Apa hajat sahabat?”
tanya datuk.
“Nak mengajak pergi
berziarah ke kubur lama.”
“Kenapa dah sayup benar,
matahari dah nak jatuh, susah jadinya kalau kita tidak berhati-hati.”
“Tak apa, tadi ada orang perempuan tua jumpa saya, minta tolong tengokkan anak perempuannya yang sesat di kubur lama.”
“Tak apa, tadi ada orang perempuan tua jumpa saya, minta tolong tengokkan anak perempuannya yang sesat di kubur lama.”
“Sahabat kenal orang
perempuan tua itu.”
“Tak kenal pula.”
Datuk melangkah
turun. Matahari kian bertambah condong. Burung gagak terus berbunyi. Haji Salim
menghampiri datuk. Masing-masing mengedutkan dahi luas, macam memikirkan
sesuatu masalah yang besar.
“Kalau tak kenal
macam mana kita tolong,” datuk meluahkan suara hatinya. Haji Salim termenung
sejenak. Mungkin ia sependapat dengan pendapat yang datuk bentangkan.
“Tak apalah, kita tolong,” jawab Haji Salim.
“Tak apalah, kita tolong,” jawab Haji Salim.
“Sahabat yakinkah
yang perempuan tua tu manusia?”
“Tentulah manusia,
bukan syaitan.”
“Kalau begitu, biar
saya tukar pakaian dulu.”
Datuk segera naik ke
rumah. Pakai seluar dan baju Melayu. Selitkan parang panjang di pinggang.
Tujuannya bukan apa-apa. Parang itu akan digunakan untuk menebas semak-samun di
tanah perkuburan. Bila semuanya sudah selesai mereka pun berangkat. Saya pun
ikut sama.
Meredah hutan
senduduk dan lalang, bukanlah sesuatu yang mudah. Mujurlah datuk membawa parang
panjang. Haji Salim bawa golok. Dapatlah dahan-dahan dan ranting senduduk
dirintis. Dengan berbuat demikian, banyak masa terbuang.
Sebenarnya, memang
ada jalan pintas yang boleh cepat sampai ke kawasan tanah perkuburan lama itu.
Pelik juga, kenapa datuk dan Haji Salim tidak mahu ikut jalan tersebut.
Agaknya, dengan cara meredah hutan senduduk dan lalang, mereka berharap akan
dapat bertemu dengan anak pada perempuan tua yang hilang.
Ramalan saya itu
mungkin tepat dan mungkin tidak tepat. Perkara yang pasti, saya tidak
menghadapi sebarang kesukaran. Setelah hutan senduduk dirintis, barulah saya
dibenarkan berjalan. Seronok berjalan dengan orang tua yang tahu menghargai
kekurangan diri orang seperti saya.
Setelah badan
dibasahi peluh. Kami sampai ke tebing sungai. Menyeberang sungai yang cetek
airnya, tidak banyak menghadapi masalah. Air sungai yang sejuk itu memberikan
rasa kesegaran pada tubuh.
Saya merenung ke kaki
langit, matahari yang kian condong mula dihampiri awan putih yang tebal. Kerana
kawasan kubur lama itu dikelilingi oleh pokok-pokok jati dan jejawi yang besar,
digayuti oleh akar-akar hutan yang berselirat, menjadikan suasana di situ agak
samar-samar dan sunyi.
Bunyi dengung nyamuk
cukup jelas. Begitu juga dengan suara burung merbah dan burung puyuh. Tidak
jauh dari kawasan kubur itu terdapat sebuah busut jantan yang tingginya sama
paras dengan orang dewasa. Anai-anai kelihatan merayap di puncak busut itu.
Tanah busut nampak berlubang-lubang dan seakan-akan merekah.
No comments:
Post a Comment