Suara di sekitar kubur
lama kembali sepi. Tidak ada terdengar suara orang perempuan dan suara
kanak-kanak menangis. Lelaki yang menatang kanak-kanak itu meletakkan
kanak-kanak itu atas kubur. Kanak-kanak itu kembali menangis dan terus diam
bila lelaki itu menyumbat susu ke dalam mulutnya.
“Aku yakin kanak-kanak
itu, bukan kanak-kanak betul,” beritahu datuk pada Haji Salim.
“Tapi, macam mana ia
boleh menangis tuk,” tanya saya.
“Itu bukan suara
kanak-kanak tu Tamar.”
“Habis suara siapa
tuk?”
“Suara itu datang dari
dalam kubur.”
Saya terus diam. Dengan
serta merta bulu tengkuk saya mula meremang. Tetapi mata saya terus tertumpu ke
arah kubur lama. Saya lihat lelaki itu mengeluarkan pisau lalu menikam
kanak-kanak tersebut. Suara jeritan kanak-kanak itu melalak. Saya lihat darah
dari perut kanak-kanak itu mercik. Membasahi pergelangan tangan lelaki yang
menikamnya.
Suara ketawa dari orang
yang mengelilingi kubur lama itu mula terdengar. Bila suara ketawa itu
berakhir, terdengar suara orang perempuan mengilai bersahut-sahutan dari
angkasa. Orang-orang yang mengelilingi kubur lama bertepuk tangan menyambut
hilai ketawa dari udara.
Lebih kurang lima minit
suara ketawa dan mengilai itu berbalas-balas. Lepas itu suasana di situ terasa
sepi. Orang lelaki yang menikam kanak-kanak itu terus berdiri. Ia mendepangkan
kedua belah tangannya. Kain hitam yang dipakainya mengembang lebar macam sayap
kelawar.
“Hai ratu, raja dahulu.
Aku tahu kuburmu kubur Seri Banian, waris terdekat dari Selendang Delima.
Khabarkan pada kami di mana harta keturunan kamu disimpan,” suara lelaki itu
meninggi.
Tidak ada jawapan yang
terdengar. Lelaki itu mengulangi perkataan itu untuk kali yang kedua. Tiada
jawapan yang diterima. Lelaki berjubah hitam itu berjalan atas kubur. Suara
lolongan anjing terdengar sayup-sayup. Burung hantu terus menyanyi dengan
semahu-mahunya. Angin bertiup dengan kencang. Pokok-pokok di belakang kami
bergegar macam ada orang yang menggoyangkannya. Ada lembaga besar dan tinggi
melintas di depan kami.
“Jangan tegur apa yang
kamu lihat,” datuk memberi pesan.
Saya dan Haji Salim
anggukkan kepala. Lelaki yang berdiri di atas kubur berhenti berjalan. Berdiri
di depan seorang lelaki yang berpakaian macamnya. Lelaki itu melompat dan
melutut di depannya.
“Semua harta itu ada di
dalam kubur kami. Kamu tidak boleh mengambilnya kalau tidak memenuhi syarat,”
orang berlutut bersuara.
“Apa syaratnya?”
“Kami mahu lidah dara
sunti, bukannya kanak-kanak, syarat kedua kami mahu mengacau penduduk di sini
dan syarat ketiga kamu semua harus datang ke sini pada setiap tengah malam
Jumaat,” selesai sahaja orang itu berkata-kata ia terus rebah. Tidak ada orang
yang mahu menolong membangunkannya.
Orang yang mengelilingi
kubur lama terus ketawa. Mereka bertepuk bila melihat orang yang rebah bangun
dan terus duduk bersimpuh di depan lelaki yang berdiri.
“Syarat dari siapa?”
tanya lelaki yang berdiri.
“Syarat dari aku, raja
terawal yang memerintah negeri ini. Berasal dari utara,” suara perempuan yang
halus dan lunak. Ia membuka kain hitam yang menutup kepalanya.
Dengan pertolongan
cahaya api, wajahnya mudah dilihat. Orangnya berkulit putih berambut panjang
separas bahu. Orang lain yang mengelilingi kubur terus bertepuk tangan, macam
orang tidak sedarkan diri.
Datuk terus mengarah
saya dan Haji Salim supaya rapat ke kubur. Kami terus merangkak dengan
perlahan-lahan. Berhenti merangkak bila berada di belakang orang-orang yang
mengelilingi kubur lama itu.
Malam yang kian jauh
memburu pagi itu, terasa amat dingin sekali. Pokok kecil yang tumbuh sekitar
kawasan itu nampak bergoyang disentuh angin. Cengkerik dan katak puru terus
melompat tetapi, nyamuk tidak ada yang datang menyerang kami. Mungkin nyamuk
takut dengan sinaran api yang marak itu.
“Bukan orang sini,”
bisik datuk pada Haji Salim.
“Aku rasa pun begitu,”
jawab Haji Salim sambil merapatkan dadanya ke tanah.
Saya menggaru cuping
telinga. Saya terasa terlalu sukar untuk bernafas dalam keadaan meniarap. Bau
tanah menyucuk lubang hidung. Kalau ada semut yang merayap di pipi, tak boleh
ditampar. Semut itu harus ditangkap dan diletakkan atas daun-daun kering.
“Apa yang mereka buat tuk?”
tanya saya pada datuk.
“Memuja kubur.”
“Tujuannya untuk apa
tuk.”
“Ada bermacam-macam,
mungkin mereka mahu mencari harta karun mungkin mereka mahu mengamalkan ilmu
salah.”
“Apa yang harus kita
buat tuk?”
“Menghalau mereka dari
sini, mereka tak boleh dibiarkan begitu, nanti kita yang susah. Syaitan yang
dipuja tu akan ganggu kita semua.”
Saya terdiam. Tidak ada
pertanyaan yang mahu saya kemukakan pada datuk. Biji mata saya arahkan pada dua
orang yang berada di tengah kubur. Saya lihat orang yang duduk berlutut sudah
berdiri. Ia mengeluarkan botol besar dari dalam kain hitamnya. Botol itu
diserahkan pada orang di depannya.
Bila lelaki itu
mendapat botol, tanpa membuang masa botol itu diketuknya pada batu nisan.
Serpihan botol itu diambilnya dan diserahkan pada orang yang baru bangun dari
melutut itu.
“Untuk raja,” katanya.
“Terima kasih, kau pula
harus melutut,” orang yang berdiri segera melutut.
Dan orang yang
dipanggil sebagai raja itu menutup kembali kepalanya dengan kain hitam.
“Apa yang aku mahu
adalah darah kamu semua,” orang yang dipanggil raja itu terus bersuara.
Ia menyerahkan kembali
serpihan kaca pada orang yang berdiri. Salah seorang daripada orang yang
mengelilingi kubur lama itu bangun. Ia meletakkan baldi kecil di depan orang
yang melutut. Dengan tenang orang yang melutut itu melukakan lengan tangan
kirinya. Ia membiarkan darahnya menitis dalam baldi. Perbuatan yang sama juga
dilakukan oleh orang-orang yang mengelilingi kubur lama.
Bila semuanya sudah
menitiskan darah dalam baldi. Orang dipanggil raja itu terus minum darah. Bila
selesai berbuat demikian, baldi itu diserahkan pada orang lain untuk menikmati
rasa darah dalam baldi. Bila upacara ganjil itu selesai. Darah yang masih ada
dalam baldi dicurahkan pada batu nisan. Orang-orang yang mengelilingi kubur
lama terus bertepuk tangan.
“Makan,” kata orang
yang dipanggil raja.
Semua orang yang
mengelilingi kubur lama mengeluarkan daun keladi dari celah ketiak lalu
diletakkan di depan. Orang yang dipanggil raja itu mengeluarkan sesuatu dari
dalam kain hitam dan meletakkan atas daun keladi yang tersusun di depan
orang-orang yang mengelilingi kubur lama.
“Makan,” katanya.
Orang-orang yang
mengelilingi kubur lama terus membongkok dan menyuapkan sesuatu dari daun
keladi ke mulut. Upacara itu berlangsung kira-kira lima minit sahaja.
“Apa lagi yang kamu
mahu?” tanya orang yang dipanggil raja dan terus duduk.
Belakangnya disandarkan
kepada batu nisan. Matanya menatap wajah-wajah orang yang mengelilingi kubur
lama.
“Ilmu yang bertentangan
dengan hukum agama hukum akal, tidak mengenal belas sesama manusia,” jawab
orang-orang yang mengelilingi kubur lama itu serentak.
“Baik, setiap kamu yang
ada di sini harus membawa lidah anak dara sunti, kemudian bila lidah itu sudah
ada di sini, aku tawarkan untuk memperdaya semua manusia,” cukup tenang orang
dipaggil raja itu memberikan jawapan.
Datuk dan Haji Salim
terus diserang rasa gelisah. Mereka tahu kalau semua orang yang mengelilingi
kubur lama itu mematuhi permintaan manusia yang dipanggil raja itu, padahnya
akan menimpa gadis-gadis sunti yang tidak berdosa.
“Ini sudah merbahaya,”
rungut datuk.
“Memang merbahaya,”
jawab Haji Salim.
Saya hanya menggigit
bibir. Pelik juga saya memikirkan, kenapa datuk dan Haji Salim tidak mahu
bertindak dengan segera.
Selain daripada itu,
bila mereka merompak waktu malam, tubuh mereka sukar dilihat dengan mata kasar.
Penjelasan datuk itu diakui oleh Haji Salim.
Bila semuanya sudah
mengenakan kesah darah di batu nisan ke tubuh, mereka duduk di tempat asal
kembali dan terus bertepuk tangan. Orang yang pengsan di batu nisan tidak ada
siapa yang mahu ambil tahu. Akhirnya orang itu sedar sendiri. Ia membuka kain
hitam yang menutup kepalanya. Dan wajahnya saya lihat berbeza sekali.
Kalau tadi kulitnya
putih lembut dengan rambut panjang, kali ini kulit wajahnya menjadi sawo matang
dan keras, rambutnya digunting pendek macam tentera yang baru selesai menjalani
latihan, di pusat latihan tentera di Port Dickson. Ia melangkah longlai ke tepi
kubur lama lalu duduk di situ. Saya menguap panjang sebanyak dua kali. Rasa
mengantuk kian terasa. Rasa dingin kian hebat menggigit kulit tubuh.
Tanpa diduga, Haji
Salim terbatuk dengan kuat. Semua orang yang mengelilingi kubur segera bangun.
Mereka terus membakar andang daun kelapa. Seluruh kawasan kubur terang
benderang. Kain hitam yang membungkus kepala mereka jatuhkan. Semuanya berambut
pendek dengan wajah yang bengis.
Dalam keadaan yang
cemas begitu, datuk terus melompat dan berdiri tidak jauh dari mereka.
“Maksiat,” pekik datuk.
Haji Salim dan saya terus berdiri di kiri dan kanan datuk.
Pada mulanya kumpulan
berjubah hitam itu mahu menentang kedatangan kami. Tetapi, bila mereka melihat
Haji Salim melambaikan tangan ke arah hutan tebal, seolah-olah memanggil orang
lain keluar dari hutan tebal, membuat kumpulan itu berpandangan sama sendiri.
“Apa yang kamu buat di
sini,” tanya datuk. Tiadak ada jawapan yang diterima. Semua anggota kumpulan
itu melangkah setapak ke belakang.
“Tinggalkan,” saya
terdengar suara dari sebelah kanan.
Serentak dengan itu
anggota kumpulan tersebut terus menghilangkan diri. Meredah pokok-pokok yang
terdapat di sekitar kawasan tersebut.
Haji Salim terus
mengejar mereka dengan harapan salah seorang daripada mereka dapat ditangkap.
Usaha Haji Salim itu gagal. Kumpulan berjubah hitam itu cukup cekap berlari
dalam gelap. Apa yang mereka bawa seperti tempat perasap, daun kelai, baldi dan
botol semuanya sempat disambat untuk dibawa lari bersama.
Haji Salim kembali
mendapatkan saya dan datuk yang berdiri di atas kubur. Haji Salim
tercungap-cungap. Dengan pertolongan cahaya api, saya dapat melihat peluh
menitik dari muka ke atas bajunya.
“Penat,” Haji Salim
merungut.
“Sepatutnya, jangan
dikejar tadi,” balas datuk.
“Itulah silap saya,
sekarang apa yang harus kita buat. Kalau kumpulan itu mengamuk, susah kita
dibuatnya.”
“Bertenang, masih ada
masa untuk kita berusaha.”
“Caranya?”
“Nanti kita fikirkan.”
Datuk terus menepuk
bahu Haji Salim. Tanpa banyak cakap kami pun meninggalkan kawasan tanah kubur
lama itu. Seperti yang diduga, ketika kami menyeberang sungai mahu pulang ke
rumah, hujan turun dengan lebatnya. Titik-titik hujan yang kasar itu disertai
dengan kilat dan bunyi guruh.
Seluruh pakaian kami
habis basah kuyup. Saya menggeletar dan dua kali buang air kecil. Berjalan
dalam hujan waktu malam memang menyeksakan. Sama ada suka atau tidak saya mesti
menjalaninya dengan perasaan yang sabar.
“Singgah dulu, kita
sembahyang Subuh bersama,” kata Haji Salim bila sampai ke kawasan rumahnya.
“Tak payahlah, rumah
kita pun tak jauh lagi,” datuk menolak permintaan Haji Salim dengan tenang.
Haji Salim menuju ke
rumahnya. Saya dan datuk meneruskan perjalanan.
Hari masih gelap, hujan
terus gugur bersama kilat dan bunyi guruh sambung-menyambung. Memang dalam
suasana demikian memang seronok tidur, fikir saya. Entah apa yang datuk
fikirkan ketika berjalan dalam hujan itu, saya sendiri pun tidak tahu. Saya dan
datuk pun sampai di rumah.
“Pergi mandi tukar baju
basah tu,” perintah datuk.
“Baik tuk,” saya pun
masuk ke bilik air. Datuk terus menuju ke perigi. Baru dua gayung air menjirus
badan, saya terdengar pintu bilik air diketuk orang bertalu-talu.
“Siapa tu?”
“Aku.”
“Aku tu siapa?”
“Nenek kaulah, kenapa
kau mandi di rumah Tamar. Kenapa tak mandi di telaga.”
“Tuk yang suruh nek.”
“Cucu dengan datuk sama
saja. Adakah patut suruh cucu mandi di rumah,” rungut nenek. Saya tersenyum
sendirian dalam bilik air.
Lepas mandi saya terus
ganti pakaian. Tidak lama lagi waktu Subuh akan tiba. Nenek melarang saya masuk
ke bilik tidur. Ia tahu, kalau saya masuk bilik tidur, sembahyang Subuh pasti
tidak saya lakukan.
“Apa yang kau orang
dapat di kubur lama Tamar?”
“Itu kena tanya tuk,”
saya renung muka nenek. Dalam waktu yang sama datuk masuk ke rumah. Ia berdiri
di depan nenek sebentar.
“Awak nak tahu apa kami
dapat di kubur lama?”
“Apa dia?”
“Jumpa orang buat kerja
maksiat.”
“Kerja maksiat.”
“Ya.”
Datuk pun masuk ke
ruang tengah. Tiba-tiba terdengar suara datuk menjerit. Saya dan nenek menerpa
ke ruang tengah. Saya lihat datuk membongkok mengambil sesuatu dan mencampakkan
ke luar ikut tingkap.
“Apa dia tuk?”
“Daging orang dalam
daun keladi, aku campakkan ke tanah.”
“Kenapa tuk tak tanam.”
“Ah, tak usah banyak
tanya,” suara datuk keras.
Kerana azan Subuh sudah
kedengaran, saya dan datuk meneruskan sembahyang Subuh. Lepas sembahyang saya
ikut datuk bersenam. Hujan masih lagi turun, tetapi tidak selebat tadi. Pagi
itu, datuk tidak mandi embun.
Lebih kurang pukul
sembilan pagi, hujan berhenti terus. Matahari kembali bersinar. Datuk dan saya
berehat di anjung rumah. Dari jauh kelihatan bayang seorang lelaki berbaju
putih berseluar hitam datang ke arah kami. Langkahnya cukup laju. Sampai di
halaman ia terus memberi salam. Datuk membalasnya dengan penuh hormat.
“Silakan naik,” pelawa
datuk. Orang itu tidak menjawab. Ia terus mengurut-urut janggut sejemput di
bawah dagu.
Satu hal yang pasti,
orang itu tidak berani menentang mata datuk. Setiap kali datuk merenung matanya
ia segera mengalihkan pandangannya ke arah lain.
“Rasanya kita pernah
berjumpa tapi, di mana saya tak ingat,” datuk bersuara dengan nada riang.
Belum pun selesai datuk
berkata-kata. Orang itu memalingkan mukanya ke kiri dan terus melangkah tanpa
mahu menoleh lagi ke rumah datuk. Akhirnya, hilang dalam sinar matahari yang
kian garang. Datuk termenung sejenak. Dahinya kelihatan berkerut macam
mengingati sesuatu. Datuk menumbuk lantai sambil berkata:
“Aku ingat.”
“Apa yang tuk ingat.”
“Orang itu pernah
datang jumpa aku di rumah ni waktu malam, masa itu ia memakai jubah sambil
membilang tasbih,”
“Siapa orangnya tuk?”
“Namanya aku tak tahu,
tapi ia pernah memberi amaran pada aku kerana menolong perempuan yang aku
jadikan anak angkat.”
Saya anggukkan kepala.
Wajah Sariyah dan ibunya terbayang di ruang mata saya. Sudah lama mereka tidak
datang menemui datuk. Rasa kesal terus juga bermain di hati saya. Kenapa datuk
mesti menerima akibatnya setelah melakukan sesuatu yang bertujuan untuk
kebaikan.
Saya segera menggigit
bibir bawah. Rasa geram terus meluap-luap di dalam dada. Kalau diturutkan kata
hati, mahu rasanya saya membawa kayu dan memukul batang leher lelaki jahanam
itu.
Dalam saya berperang
dengan perasaan itu cara mendadak Haji Salim datang. Ia membawa sebilah keris.
Datuk mengajak ia naik. Haji Salim menolak.
“Ada apa hajat?” tanya
datuk.
“Nak mengajak pergi ke
kubur lama.”
“Apa pula sebabnya?”
“Hati saya berkata-kata
tak puas rasanya kalau tak melihat apa yang ditinggalkan oleh orang-orang
maksiat itu.”
“Kalau begitu, eloklah
kita pergi.”
Datuk pun turun. Saya
juga ikut turun. Tanpa memberitahu nenek datuk terus menuju ke kawasan kubur
lama. Kerana hujan lebat pada sebelah malam, kesan air hujan masih terasa di
daun kayu dan bumi pun agak lembap sepanjang perjalanan menuju ke tempat
tersebut.
Biasanya, air sungai
tidak naik. Tetapi, pagi itu air sungai naik kira-kira dua kaki. Airnya pula
mengalir keruh. Kami terpaksa meranduk air yang keruh itu. Tidak banyak perkara
yang datuk bualkan sepanjang perjalanan itu. Ia asyik membaca sesuatu. Sebabnya
saya berani berkata begitu, sepanjang perjalanan itu mulut datuk sentiasa
bergerak-gerak sahaja.
Setelah melawan arus
sungai, kami pun sampai ke seberang dan terus memanjat tebing. Dari situ
bergerak menuju ke kubur lama. Apa yang saya lihat di situ ialah
puntung-puntung kayu dan abu yang lembap. Kesan darah di batu nisan sudah tidak
kelihatan lagi. Semuanya hilang kena air hujan.
Datuk dan Haji Salim
terus memeriksa seluruh kawasan kubur lama. Mereka terjumpa dengan serpihan
tembikar tempat perasap serta beberapa ketul kemenyan yang bertaburan. Haji
Salim mengambil ketul kemenyan itu. Ditelitinya sebentar, kemudian dicampakkan
dalam semak.
“Kita balik saja,” saya
terdengar suara datuk.
“Ya, tak ada guna
membuang masa di sini,” sahut Haji Salim.
Kami pun melangkah
meninggalkan kawasan kubur lama. Bila sampai dekat sungai kami terdengar suara
orang perempuan memanggil nama Haji Salim dan datuk bertalu-talu. Datuk dan
Haji Salim buat tidak kisah dengan panggilan itu.
“Jangan dijawab,” datuk
mengingatkan saya.
“Kenapa tuk.”
“Itu suara syaitan.”
“Suara syaitan,” ulang
saya sambil meraba pangkal tengkuk.
GANGGU PENDUDUK
Sudah seminggu lebih
penduduk kampung Mandi Upih didakap keresahan. Setiap senja dan Subuh rumah
mereka didatangi orang-orang berjubah hitam yang tidak dikenali.
Orang-orang yang
berjubah hitam itu mengetuk pintu, terutama waktu sembahyang Maghrib. Kalau
pintu tidak dibuka ketukannya terus berlanjutan. Kalau dibiarkan papan pintu
akan pecah. Bila dibuka, orang yang membuka hanya melihat belakang manusia
berjubah hitam dalam tempoh beberapa saat sahaja. Kemudian orang berjubah hitam
itu terus hilang.
Kalau yang membuka
pintu itu orang lelaki. Ia tidak melihat manusia berjubah hitam tetapi, ia akan
melihat wanita cantik memakai pakaian serba kuning dengan wajah yang menawan.
Kalau direnung lama-lama, wajah yang menawan itu akan bertukar menjadi hodoh.
Gigi yang putih menjadi merah , macam darah. Kiri kanan gigi akan tumbuh siung.
Hidung yang mancung jadi berlubang dengan beberapa ekor ulat, begitu juga
dengan biji mata. Sebelum menghilangkan diri perempuan itu akan ketawa. Dari
mulutnya akan keluar bau yang amat busuk. Tidak ubah macam bau bangkai.
Malang bagi orang luar
atau saudara mara yang datang ke rumah saudara mara di kampung itu waktu
Maghrib. Mereka terpaksa membaca ayat fatihah dan ayat ‘Qulhuallah’ serta dua
kalimah syahadat dengan lantang. Bila pembacaan itu betul dan lancar, baru
saudara atau adik-adik membuka pintu dan mempersilakan masuk. Kalau tidak boleh
membaca anak sendiri pun tidak akan dibuka pintu. Mereka berbuat demikian,
kerana mematuhi nasihat dari Haji Salim.
Akibat dari
undang-undang yang tidak bertulis, kanak-kanak yang belum ke sekolah sudah
lancar membaca ayat-ayat tersebut. Kesannya memang baik. Sejak undang-undang
itu dilancarkan, orang-orang jubah hitam mula berkurangan mengacau para
penduduk di situ waktu Maghrib.
Meskipun kegiatan
kumpulan jubah hitam itu berkurangan. Tetapi, datuk tidak puas hati. Ia mahu
menghancurkan dan melenyapkan kumpulan itu dari mengacau para penduduk. Jadi,
tidaklah menghairankan kalau ada setiap masa datuk berusaha dengan pelbagai
cara untuk menghancurkan kumpulan itu.
Hari itu, seorang
lelaki mengunjungi rumah datuk. Tetamu yang jadi kenalan baik Haji Salim itu
dipersilakan masuk ke rumah. Ia ditemani oleh Haji Salim.
“Apa hajatnya,” soal
datuk.
Teman Haji Salim yang
berasal dari Kampung Matang Aceh itu tunduk merenung lantai. Kemudian ia
mengangkat mukanya perlahan-lahan merenung muka datuk dan Haji Salim.
“Silakan,” gesa Haji
Salim.
“Saya disuruh oleh
Ketua Kampung Matang Aceh menemui awak.”
“Sebabnya.”
“Ada anak dara sunti di
kampung mati dicekik orang waktu senja dan lidahnya dipotong,” kata teman Haji
Salim.
“Dah repot pada polis.”
“Sudah.”
“Bila perkara itu
terjadi.”
“Dua hari yang lalu.”
“Jumpa saya nak buat
apa?”
“Minta ikhtiar supaya
perkara macam itu jangan berulang lagi.”
Datuk menarik nafas
panjang. Datuk renung muka Haji Salim. Mereka berbalas senyum, macam ada
sesuatu rahsia besar yang tersembunyi dalam pancaran senyuman mereka.
“Baliklah, jaga
kampung,” nasihat datuk.
Teman Haji Salim minta
diri dan pulang. Haji Salim cuma menghantarnya hingga ke kaki tangga sahaja. Kemudian
ia naik ke rumah datuk kembali. Datuk di anjung.
“Saya yakin, perbuatan
itu dilakukan oleh orang yang kita lihat di kubur lama,” Haji Salim meluahkan
perasaannya. Datuk anggukkan kepala. Lama juga datuk dan Haji Salim
bertukar-tukar fikiran dan pendapat.
Akhirnya, mereka
meninggalkan rumah untuk pergi ke surau untuk menunaikan sembahyang Asar. Lepas
sembahyang Asar, datuk tidak pulang ke rumah. Ia singgah di rumah Haji Salim.
Haji Salim membawa datuk melawat ke bahagian tempat ia menempah keris.
Datuk terkejut besar,
bila ia melihat beberapa bilah lembing yang di bahagian hujung matanya terlekat
buah limau nipis manakala ulu lembing dilumur dengan tanah liat yang berwarna
kuning.
“Buat apa ni Haji?”
“Ini caranya membunuh
orang yang tidak makan besi tajam.”
“Kenapa kita mesti
membunuh, kalau kumpulan jubah hitam itu berniat jahat, jawabnya mata
lembinglah.”
Datuk ketawa mendengar
cakap Haji Salim. Sebenarnya, ia juga ada petua tersendiri bagi mengalahkan
orang yang tidak mampan oleh peluru dan senjata tajam. Petua yang diamalkan itu
mesti diiringi dengan pembacaan ayat-ayat suci. Hal itu tidak pula dinyatakan
oleh datuk pada Haji Salim.
“Aku yakin, orang-orang
itu tak payah dicari, mereka akan datang mencari kita. Aku rasa orang itu ada
dekat kita.,” ujar datuk lagi. Haji Salim renung kiri kanan, macam mencari
sesuatu. Ia tidak nampak ada manusia di situ, selain diri saya, datuk dan
dirinya.
“Awak bergurau.”
“Tidak, saya yakin
orang itu ada di sini,” selesai sahaja datuk bercakap, ulu lembing yang
tersusun itu terangkat sendiri macam ada orang yang mengangkatnya.
Ulu lembing itu
tersusun kembali seperti asal, ketika itu juga Haji Salim terlihat
bayang-bayang manusia melintas di depannya.
“Awak menggunakan
pancaindera yang keenam,” kata Haji Salim.
“Tidak, saya
menggunakan gerak rasa dan hati. Sejak masuk tadi saya terasa ada orang
bersembunyi di sini, tapi sukar untuk dilihat,” jelas datuk.
Haji Salim tersenyum
lalu menepuk pangkal lengan kanan datuk.
“Kebolehan yang ada
pada awak dan pada saya kita satukan untuk menentang perkara jahat.”
No comments:
Post a Comment