Saya gembira dengan
berita itu. Secara tidak langsung perkara yang disebutkan oleh Lebai Din itu
menguatkan kata-kata yang saya ucapkan pada datuk sebentar tadi.
“Kalau macam tu, tak
salahlah apa yang dikatakan cucu saya tadi, dia nampak orang tu,” datuk segera
menjeling ke arah saya. Lebai Din terus tersenyum.
“Saya tak nampak,
tapi bau yang dibawa angin meyakinkan saya orang tu ada di tanah kubur,” Lebai
Din terus melangkah.
GUGUR
Dedaun getah tua
terus berguguran dirempuh angin. Walaupun angin bertiup tetapi baju kami basah
juga diresapi peluh. Panas terlalu terik. Kami terus berjalan di celah-celah
nirai getah yang tua.
Sambil berjalan itu,
mata saya tetap liar merenung ke arah dedahan getah yang digayuti oleh
monyet-monyet liar. Monyet-monyet itu memulas dan menggigit buah getah yang
berwarna hijau. Buah-buah getah yang dibuang oleh monyet tersebut
bersepah-sepah di mana-mana.
Bila sampai di rumah
Haji Salim, Lebai Din terus jumpa isteri Haji Salim. Ia meninggalkan rumah
tersebut. Datuk pula menemui isteri Haji Salim bertanyakan kalau-kalau isteri
arwah memerlukan apa-apa pertolongan darinya.
Masa datuk
bercakap-cakap itu, sebuah teksi masuk ke kawasan rumah Haji Salim. Saya
tersenyum bila perut teksi itu meluahkan Saadiah, ibu dan ayahnya serta
adik-adiknya. Mereka meluru ke rumah dengan wajah yang resah dan muram.
Ayah Saadiah
menyelesaikan pembayaran tambang teksi. Kemudian menemui datuk. Mereka
bersalam. Datuk minta ia bersabar. Tetapi ayah Saadiah ternyata tidak berjaya
menahan rasa sedih. Dia terus menangis. Datuk memimpinnya ke rumah.
Saya terus ikut
datuk. Bila saya berdiri di muka pintu, saya lihat Saadiah yang tersedu
merenung ke arah saya. Dalam wajah yang rawan ia masih sempat menghadiahkan
sebuah senyum manis dan penuh erti untuk saya.
Aduh, dalam
sedu-sedan pun wajahnya tetap manis, inilah yang membuat diri saya tidak tentu
arah. Kalau datuk tidak ada di situ pasti saya menghampirinya, memujuknya supaya
jangan bersedih dan menangis, harus menerima segala-galanya dengan sabar.
Apakan daya datuk ada
dekat saya. Kalau saya turutkan kata hati, pasti saya dimarahi datuk. Hanya
renungan dan kerlingan mata sahaja yang dapat saya lakukan. Lebih dari itu saya
tidak sanggup membuatnya.
“Mari kita balik
Tamar.”
“Ya tuk,” jawab saya
sambil cuba menghampiri Saadiah yang berdiri di pintu ruang tengah. Saya lihat
Saadiah seakan-akan melangkah mahu menghampiri saya.
“Ke mana kamu nak
pergi tu Tamar. Ikut ini bukannya nak keluar ikut pintu dapur.”
“Haaa…,” saya
pura-pura terkejut. Beberapa orang wanita yang ada di ruang rumah tersenyum ke
arah saya. Tebal rasa kulit muka. Saya terus menuju ke pintu. Pijak tangga dan
terus melangkah pulang.
Sebelum sampai di selekoh
jalan, saya renung ke arah muka pintu sambil melambai-lambaikan tangan. Saya
renung datuk. Dia tunduk melangkah. Cepat-cepat lambaian tangan Saadiah saya
balas. Baru dua kali lambai. Datuk terus berdehem. Saya terkejut dan tidak
menoleh ke arah rumah Haji Salim.
Sudah seminggu Haji
Salim meninggal dunia. Saya rasa cukup sepi. Dalam tempoh seminggu itu, secara
diam-diam saya mengunjungi rumah arwah Haji Salim. Dua kali saya dapat bercakap
dengan Saadiah.
Saya gembira bila
Saadiah memberitahu saya yang dia akan tinggal lama bersama neneknya.
Persetujuan sudah dibuat antara nenek dengan kedua orang tuanya yang sudah pun
pulang ke Beranang. Sebenarnya setiap hari saya berdoa supaya Saadiah terus
tinggal bersama neneknya.
Rupanya tindak-tanduk
saya itu dapat dikesan oleh datuk. Suatu hari datuk memanggil saya.
“Aku rasa kamu
berkenan dengan Saadiah?”
“Tidak tuk, saya
kawan biasa saja.”
“Hai, dua malam yang
lalu aku dengar kau mengigau menyebut nama Saadiah.”
“Haa tuk silap tu.”
“Tak silap Tamar. Aku
tahu, aku juga muda macam kamu. Tak usahlah sembunyi-sembunyi. Cuma aku nak
ingatkan satu saja.”
“Apa dia tuk?”
“Urus diri sendiri
dulu, sebelum nak menguruskan anak orang. Berfikir dengan masak-masak sebelum
berkenan dengan anak orang. Kalau kamu rasa kamu sanggup aku tak
menghalangnya.”
“Ha tuk ni mengarut.”
Saya segera
meninggalkan datuk dengan perasaan malu. Dalam kata-kata yang lunak datuk
mengenakan saya. Sindirannya tajam dan penuh makna. Dua tiga hari saya tidak
mahu memandang muka datuk. Bila rasa malu itu sudah hilang barulah saya
mendampinginya.
Dan datuk tidak lagi
menyebut perkara Saadiah di depan saya. Saya juga cuba menjauhkan diri dari
Saadiah. Malangnya makin saya cuba menjauhkan diri, hati bagaikan digaru-garu
mahu melihat wajahnya. Sehari tidak dipandang, saya rasa hidup ini tidak ada
ertinya.
Setiap pagi, bila
datuk keluar dan nenek membuat kerja-kerja dapur, cara sembunyi-sembunyi saya
pergi ke kawasan belukar di belakang rumah Haji Salim pura-pura melastik
burung. Bukan apa-apa, dapat renung rambut Saadiah sudah cukup.
KELUAR
Macam selalu, datuk
tidak pernah betah duduk di rumah. Perangainya yang suka berjalan, menengok
sanak-saudara dan sahabat handai yang jauh sudah mendarah daging dalam dirinya.
Kali ini datuk
mengajak saya mengunjungi pusara Siti Lipat di Belanja Kiri. Saya membantah,
kampung tersebut sudah kerap saya kunjungi. Tidak ada sesuatu yang istimewa,
kecuali musim buah durian dan langsat.
Pergi ke Belanja Kiri
musim buah-buahan memang seronok. Naik muak makan buah durian. Tidak saya duga
perbuatan saya itu menimbulkan kemarahan yang amat sangat pada diri datuk.
“Kamu tahu di situ
ramai kaum kerabat kamu. Kamu mesti ikut. Biar kamu kenal asal keturunan kamu,”
katanya. Saya terus membisu. Dalam masa itu juga saya teringatkan Sungai
Sandang dan Sungai Perak.
“Siti Lipat tu dua
kali moyang kamu. Kamu mesti pergi ke kubur membaca fatihah.” Tambahnya lagi.
Saya tidak ada jalan lagi. Terpaksa ikut cakapnya.
Berat juga rasa hati
mahu meninggalkan Saadiah. Kalau saya tidak memikirkan yang diri saya ini sejak
kecil dipelihata datuk dan nenek, pasti saya memberontak dan melawannya. Bila
dikenangkan jasa mereka membela saya, semuanya tidak jadi saya lakukan.
Di Belanja Kiri, kami
tinggal di rumah Mehran yang letaknya tidak jauh dari rumah Hajah Fatimah,
iaitu kakak Mehran. Kedua-dua wanita ini mempunyai pertalian keluarga yang
cukup rapat dekat datuk.
Malam itu selepas
makan, Mehran menceritakan tentang kisah Siti Lipat. Saya tahu Mehran berbuat
demikian kerana mahu memenuhi permintaan datuk.
“Kamu ceritakan pada
budak nakal ni siapa dia Siti Lipat,” kata datuk yang duduk bersandar di
dinding sambil mengunyah daun sirih. Hajah Fatimah ketawa sahaja melihat
telatah datuk yang selalu membanggakan asal keturunannya itu.
Maka berceritalah
Mehran pada malam itu. menurutnya Siti Lipat berasal dari sebuah kampung yang
tidak jauh dari Cekar Galah di daerah Kangsar. Orangnya cantik, pandai
bersilat, peramah dan bersopan santun.
Tiba-tiba perempuan
cantik itu berselisih faham dengan keluarga. Ia merajuk lalu membuat rakit
buluh dan menghilir ikut Sungai Perak. Hatinya terlalu keras. Masa berakit itu
semua halangan ditempuh dengan tabah.
Sampai di Cekar
Galah, ia dipujuk oleh kaum keluarga yang ada di situ supaya kembali ke
pangkuan keluarga. Nasihat itu tidak diindahkan oleh Siti Lipat yang berkulit
putih, memiliki raut wajah macam orang Arab.
Ia meneruskan
perjalanan hingga rakitnya tersekat di sebuah jeram. Masa tersangkut di jeram
itulah ia didatangi oleh seorang lelaki yang bernama Kanda Ali, iaitu orang
suruhan Sultan. Kedatangan Kanda Ali ditentang oleh Siti Lipat.
Akhirnya, Siti Lipat
berjaya dipujuk dan dibawa ke istana. Siti Lipat berkahwin dengan Kanda Ali.
Tetapi, kerana dirinya cantik ia digoda oleh orang lain. Mereka menyangka Siti
Lipat mudah digoda.
Kerana sakit hati,
orang yang jahat itu terus berusaha mahu membunuh suaminya. Perbuatan itu
menjadikan Siti Lipat marah. Ia terus bertindak dan berjaya membunuh orang yang
mahu membunuh suaminya.
Perkara itu sampai ke
pengetahuan Sultan. Siti Lipat dan suami diperintahkan ditangkap serta dihukum
bunuh.
Orang yang mahu
menangkap Siti Lipat semuanya mati di hujung kerisnya. Tidak ada seorang pun
yang berani rapat dengannya. Siti Lipat dan Kanda Ali melarikan diri dengan
rakit hingga sampai ke Tepus.
“Dari situ mereka
pindah ke sini, menetap hingga mereka mati,” kata Mehran menamatkan ceritanya.
Saya tersenyum. Sukar untuk saya mempercayai cerita dari mulut ke mulut itu.
Walaupun kubur Siti Lipat masih wujud di Belanja Kiri, mungkin cerita itu ada
tokok tambahnya, fikir saya.
“Awak tahu, Saadun
anak saudara kita sudah nak jadi dukun. Kononnya berguru dengan kaki tokak,”
cara mendadak Hajah Fatimah membuka mulut.
“Itu bahaya, itu
bomoh pembohong,” kata saya.
“Eh, bomoh kaki tokak
tu sudah banyak mengubat orang sakit, semuanya sembuh. Tapi bayarannya mahal.
Tengok jenis penyakit kena lima puluh ringgit. Sekali berubat kena dua tiga
ratus. Apa yang peliknya sakit yang diubatinya semuanya sembuh.” Tambah Hajah
Fatimah.
“Kita kena panggil
dia Mahaguru,” tingkah Mehran dengan lebih serius.
“Ini sudah mengarut.
Esok saya nak jumpa Saadun, jangan berguru pada bomoh penipu tu,” tiba-tiba
datuk melenting. Ia terus bangun. Berdiri dengan wajah yang merah. Mehran dan
Hajah Fatimah jadi cemas.
“Kita tak mahu anak
buah kita diperalatkan oleh orang tu. Kalau sudah masuk perangkapnya, kita
semua menerima bala yang besar,” sambung datuk. Ia terus duduk kembali.
Saya segera
teringatkan Saadun anak saudara dua wanita tersebut. Orangnya berbadan kurus,
suka belajar perkara dukun-mendukun. Pernah menuntut ilmu dengan orang asli.
Pernah pergi ke Siam.
“Kita mesti
selamatkan Dun,” suara datuk keras. Ia renung muka Mehran dan Hajah Fatimah
yang tercengang. Datuk nampak resah, kalau boleh malam itu juga ia mahu menemui
Saadun. Tetapi hasrat itu dihalang oleh kedua ibu saudara Saadun.
“Esok saja kamu cari
si Dun tu Mat Diah. Malam ni kalau kamu pergi ke rumahnya, kamu tak dapat jumpa
dengannya.”
“Dia ke mana?”
“Ikut gurunya belajar
agama.”
“Di mana?”
“Di kaki bukit dekat
Cangkat Banjar.”
“Masjid ada, surau
ada. Kenapa belajar agama dalam hutan.”
“Entahlah, kami tak
tahu,” balas Hajah Fatimah dan Mehran serentak.
Datuk terdiam. Saya
lihat jam tua yang tersangkut di dinding sudah pukul sebelas malam. Datuk
membincangkan sesuatu dengan suami Hajah Fatimah. Hajah Fatimah dan suaminya
pulang ke rumah.
Pukul sebelas
setengah, suami Mehran pulang dari memburu rusa. Tidak ada seekor rusa atau
pelanduk yang dibawa. Kata suami Mehran, ia dan kawan-kawannya tidak dapat
masuk hutan kerana gajah liar mula berkeliaran.
Sebelum masuk bilik
tidur, suami Mehran menyatakan bimbangnya dengan perangai Saadun yang mula
mencari kubur-kubur lama sekitar kampung. Salah sebuah kubur lama yang
diminatinya ialah kubur Siti Lipat.
“Ini tidak boleh
dibiarkan, nanti kubur lama tu dipuja,” cetus datuk.
“Buat apa?” soal
suami Mehran.
“Kumpulan mereka tu
percaya dalam kubur lama ada emas dan harta karun.”
“Kerja bidaah tu,”
bentak suami Mehran.
“Sebelum dia tersesat
jauh, kita perlu menyedarkannya. Jangan biarkan keturunan kita tunduk dengan
kuasa syaitan,” datuk terus menggenggam penumbuk.
Mehran dan suaminya
bertukar pandangan.
“Siapa yang berani
melarang budak tu. Kalau silap cakap, kepala kita diparangnya,” Mehran
bersuara. Suaminya anggukkan kepala. Rasa cemas terbayang di wajahnya.
“Dia tu, kalau dah
naik angin, bukan kenal tua muda,” Mehran menambah.
“Biar saya uruskan.
Membiarkan orang yang membuat kerja bertentangan dengan agama, ertinya kita
bersubahat. Dosa orang bersubahat ini terlalu besar,” jelas datuk. Mehran dan
suaminya terus terdiam.
Saya dan datuk masuk
ke bilik tidur yang dikhaskan untuk kami berdua. Saya terus tidur dan datuk
terus membaca Quran kecil yang selalu dibawanya ke mana-mana.
Saya tidak tahu pukul
berapa datuk tidur. Saya terjaga bila dikejutkan oleh datuk untuk melakukan
sembahyang Subuh. Sebelum matahari terbit, datuk sudah berjalan seluruh kampung
kerana mandi embun.
Lepas sarapan,
menebas kebun durian dan langsat milik Mehran. Tujuan datuk berbuat demikian
untuk mengeluarkan peluh. Tepat pukul sepuluh datuk pergi ke sungai Perak. Ia
berenang dan menyelam. Datuk memberi petua pada saya untuk menyelam lama dalam
sungai sampai setengah jam.
Petua itu saya
lakukan dan hasilnya memang memuaskan. Masa berada dalam air, saya rasakan air
sungai tidak menempuh tubuh badan. Kita seperti berada di dalam bilik kaca,
dapat bernafas dengan baik. Dapat melihat ikan-ikan berenang.
Semua ikan dan
binatang dalam air tidak boleh diusik atau ditepis, meskipun ikan itu melanggar
tubuh sendiri. Jika ditepis atau dimaki, air akan menyerbu tubuh dan tidak
boleh bernafas. Selain daripada itu, waktu mahu menimbulkan badan di permukaan
sungai, mesti menemukan kulit kepala dengan dasar sungai sebanyak kali.
Waktu naik, badan
tidak boleh tegak. Mesti ikut arus air serta mengadap arah matahi jatuh. Tidak
boleh melagakan gigi atas dengan gigi bawah atau menggigit lidah. Mulut mesti
berada dalam keadaan separuh terbuka. Amalan dan petua itu pada mata kasar
cukup mudah. Tetapi bila dilaksanakan terlalu sukar rasanya.
Pantangnya yang
paling besar tidak boleh terjun dalam sungai kepala dulu. Tidak boleh minum air
sungai, walau macam mana dahaga sekalipun. Amalan itu saya lakukan hanya
beberapa tahun sahaja. Lepas itu saya tinggalkan langsung hingga kini.
Orang yang
mengamalkan ilmu menyelam lama sampai berjam-jam dilarang memakan ikan sungai
yang dibuat gulai kecuali digoreng tanpa membuang kepala dan ekor serta sisik
ikan. Tidak boleh kencing dan buang air besar dalam sungai.
“Kita ke rumah
Saadun. Sebelum tu kita balik ke rumah Mehran dulu, aku nak tukar pakaian,”
ujar datuk.
Kami pun meninggalkan
tebing sungai Perak. Setelah menukar pakaian kami menuju ke Kampung Tua dengan
harapan Saadun ada di rumah. Baru separuh jalan melangkah, kami bertembung
dengan Mat Resad yang tepok. Macam selalu, Mat Resad yang suka bergurau itu
terus mengusik datuk dengan kata-kata yang melucukan hingga datuk ketawa
terbahak-bahak.
“Kamu dari mana Mat
Resad?”
“Balik tengok orang
berlatih silat.”
“Kenapa kamu tak
belajar.”
“Malaslah, lain macam
silat yang diajar. Belum bersilat kena sembah matahari. Kena bayar duit lima
ringgit setiap kali masuk gelanggang.”
“Lagi apa syaratnya?”
“Syarat yang boleh
diterima mengakui mahaguru silat, sebagai orang kuat boleh melakukan apa saja.
Setiap orang murid mesti menganggap mahaguru itu sebagai nabi.”
“Ada mahaguru tu di
situ.”
“Tak ada. Yang
mengajar tu orang kanannya yang dipanggil panglima.”
“Siapa namanya Mat
Resad?”
“Daud.”
“Daud,” suara datuk
gugup bersama wajah yang cemas. Hati saya mulai cemas. Mat Resad mengarahkan
jari telunjuk arah kanan. Tanpa mengucapkan sesuatu pada Mat Resad, datuk menarik
tangan saya.
KAYU
Bila Daud melihat
datuk berdiri di bucu gelanggang, ia berhenti membuka langkah silat. Ia suruh
anak muridnya ke tepi. Perlahan-lahan Daud memegang sepotong kayu berhampiran
kakinya. Kayu itu diangkat dan separas dada. Semua anak muridnya terkejut
melihat kayu itu mengeluarkan asap dan hancur.
Daud cuba
memperlihatkan kemampuannya di depan anak-anak muridnya serta datuk. Datuk
masih tenang menghadapi semuanya itu.
Datuk terus masuk gelanggang.
Tiba-tiba Daud hilang entah ke mana. Saya terhidu bau busuk dan hapak. Datuk
merenung anak-anak murid Daud yang secara kebetulan pula semuanya ada hubungan
keluarga dengan datuk.
“Kamu balik semua,”
suara datuk lembut. Tidak seorang pun yang mahu mematuhi cakap datuk. Saya
lihat datuk tersenyum.
“Baliklah kalau tidak
mahu jadi sesat. Aku kenal siapa dia guru kamu,” datuk kecewa lagi. Mereka
tidak juga mahu meninggalkan gelanggang.
“Kalau kamu tak mahu
balik tak apa. Kalau apa yang terjadi pada diri kamu, jangan salahkan aku.
Sebagai orang tua aku sudah memberitahu kamu,” datuk terus meninggalkan
gelanggang menuju ke rumah Saadun. Bila saya renung gelanggang itu kembali,
kumpulan anak-anak muda itu pun bersurai.
Rumah Saadun yang
pangkat cucu saudara pada datuk letaknya agak terpencil. Di kelilingi pokok
pisang dan rumpun buluh. Di belakang pondok terdapat pokok jejawi yang besar.
Akar-akar pokok berjuntaian.
Dari jauh kami sudah
terhidu bau kemenyan. Panas pagi mula memancar agak terik memanah atas dedaun
pisang yang hijau dan lebar. Ayam peliharaan Saadun berlari di halaman pondok.
Datuk berhenti melangkah, ia terus menepuk bumi sambil mulut bergerak-gerak.
Kami terus rapat ke
dinding pondok. Terdengar bunyi orang batuk dan bercakap-cakap.
“Permulaannya, malam
ini kita adakan pemujaan di kubur. Kita bawa budak-budak yang belajar silat
dengan Daud. Langkah kedua kita potong lidah anak dara sunti,” saya kenal
itulah suara Kamal yang jadi musuh datuk nombor satu.
“Dia tidak serik
lagi,” bisik datuk pada saya dan terus mengetuk pintu pondok Saadun
berkali-kali.
Saya terdengar Kamal
melarang Saadun membuka pintu. Datuk terus marah membara. Pintu pondok
dijentiknya dan papan pintu terus terkopak. Datuk meluru dan berdiri di muka
pintu, macam seorang hulubalang dengan pandangan mata yang tajam dan liar
sekali.
Saya tetap berdiri
tidak jauh dari datuk. Saya lihat muka Saadun pucat lesi. Kamal menyandar badan
ke dinding sambil mendirikan lutut kanannya. Cukup tenang Kamal membalut rokok
daun tanpa memandang muka datuk.
“Kamu keluar Saadun,”
suara datuk meninggi. Saadun seperti berada dalam keadaan yang serba salah.
Sekejap renung muka datuk, sekejap renung muka Kamal.
“Saya mahu belajar
Ayah Uda.”
“Bukan tempatnya,
kamu keluar.”
“Tapi.”
“Tak ada tapi. Keluar
kata aku, keluar,” kian keras suara datuk. Saadun terus keluar tanpa
memperdulikan suara batuk dari Kamal yang memberi isyarat jangan keluar.
Perlahan-lahan Kamal
mengangkat kakinya yang dihinggapi tokak. Ulat-ulat tokak yang jatuh atas
lantai dipegang serta ditaruh kembali pada tokaknya. Ia semacam tidak kisah
dengan kehadiran datuk di depannya.
“Kamu memburu aku,”
suara Kamal parau. Ia angkatkan kepala mempamerkan mukanya yang mengerutu dan
berbonjol lembik.
“Aku tak memburu kamu.
Semuanya terjadi cara kebetulan.”
“Agaknya, aku tak
boleh lari dari kamu.”
“Itu aku tak tahu
semuanya tu Kamal.”
“Tak tahu.”
“Ya, aku tak tahu si
Saadun ni anak buah kamu. Kalau aku tahu, aku tak ingin mendekatinya.”
“Sudahlah Kamal.”
Kamal membuka
tengkoloknya. Ia mencapai tongkat yang berkepala ular. Ia bangun sambil
berusaha supaya ulat yang memakan buah betisnya tidak jatuh atas lantai.
Datuk masih juga
berdiri di muka pintu. Saadun terpegun melihat peristiwa yang terjadi di
depannya. Sebelum Kamal mengangkat tongkatnya, datuk membuka kain yang membelit
pinggangnya. Kain itu dikibaskan ke arah tongkat Kamal. Dengan sekali sentak
sahaja tongkat Kamal berlegar-legar di depan datuk, macam harimau dalam kandang
besi.
Datuk bagaikan tahu
niat Kamal, ia menyuruh saya dan Saadun beredar darinya. Mungkin dengan berbuat
demikian memudahkan datuk mempertahankan diri bila Kamal meluru ke arahnya.
“Kamal, aku tahu
kekuatan ilmu dunia yang kamu tuntut hanya berkesan pada sebelah malam. Bila
siang kurang berkesan,” kata datuk.
Kamal tidak menjawab.
Ia membuka bajunya. Saya lihat di leher dan pergelangan tangannya penuh dengan
tangkai yang dibuat dari tulang binatang.
Seluruh kulit di
badannya berbenjol-benjol dan penuh dengan parut. Sinar matanya cukup tajam,
macam mata kucing yang sedang memburu tikus. Cara mendadak sahaja Kamal hilang
dari pandangan kami.
“Tamar.”
“Ya tuk.”
“Carikan aku tujuh
helai daun lalang.”
“Baik tuk.”
Saya terus mencari
tujuh helai daun lalang. Saya serahkan pada datuk yang berdiri di muka pintu.
Dedaun lalang itu datuk ramas. Diludah dua tiga kali. Daun lalang dilemparkan
di tengah pondok. Di tempat daun lalang itu jatuh, terpacak sekujur tubuh
Kamal.
“Kalau kamu belajar
ilmu dunia dari kaum kubu, aku juga belajar petua untuk menawar ilmu itu dari
orang kubu juga,” ujar datuk dengan tenang. Kamal terus membongkokkan badan.
Kepalanya dimasukkan ke celah kangkang. Datuk juga tidak berganjak dari muka
pintu. Panas yang terik di luar pondok membuat badan Kamal nampak berminyak.
Datuk terus membaca
sesuatu. Secara mendadak semua tangkal dan azimat di badan relai dan jatuh
berserak atas lantai pondok. Kamal terus mengguling-gulingkan badan atas lantai
pondok dua tiga kali.
Akhirnya, ia berdiri
tegak di tengah pondok. Datuk terus merendahkan badan, beberapa ketul batu yang
datang dari tempat Kamal berdiri lalu atas kepala datuk.
“Kamal, kamu tidak
mahu bersahabat dengan aku untuk jalan kebaikan,” kata datuk. Kamal terus
membisu. Ia berlari dalam ruang pondok dan terus mengambil tongkat berkepala
ular di sudut pondok.
Ia menghentakkan
tongkat itu pada tiang pondok. Sebaik sahaja tongkat itu bertukar menjadi
pedang pendek. Datuk tergamam.
Tiba-tiba saya
terdengar suara Saadun mengeluh. Saya segera menoleh. Saya lihat Saadun
tersungkur atas tanah. Bila saya mahu menerpa ke arahnya satu tendangan hinggap
di bahu saya. Tendangan itu cukup keras. Saya tercampak di perdu pisang.
Saya lihat Daud
berdiri tidak jauh dari saya. Belum pun sempat saya menyebut sesuatu, saya
lihat Daud menyerang datuk dari arah belakang. Datuk mengelak dan melepaskan
pukulan ekor buaya jalan ke badan Daud. Pukulan itu membuat Daud tersungkur
lalu merempuh papan pondok. Papan pondok berkecai.
Bila datuk mahu
melepaskan pukulan ekor buaya jalang kali kedua, Kamal meluru ke arah datuk
dengan pedang pendek. Datuk terdesak tetapi sempat melepaskan tamparan kucing
jantan ke pergelangan tangan Kamal. Pedang pendek terlepas dari tangan, jatuh
atas lantai pondok dan bertukar menjadi tongkat kembali.
“Sihir,” jerit datuk
sambil melipatkan lengan bajunya. Ketika itu juga Kamal mengangkat kakinya yang
tokak ke arah datuk. Saya lihat datuk terhoyong-hayang. Bau busuk yang cukup
busuk mula menguasai seluruh kawasan pondok.
“Tamar pandangan aku
gelap,” jerit datuk dengan sekuat hati. Kamal berjaya melepaskan dirinya dari
dalam pondok. Ia terus mengangkat Daud. Badan Daud ditepuknya dua tiga kali.
Daud kembali cergas dan bertenaga.
Kamal mengambil
sekepal tanah. Dilemparkannya ke arah datuk. Bahagian baju datuk yang kena
tanah terus berlubang dan reput macam kena air asid. Datuk terus
terhoyong-hayang. Datuk jatuh dan menggolekkan badannya atas rumput.
Datuk meniarapkan
badan atas rumput, dua tiga kali ia menyondol-nyondol rumput hijau. Datuk terus
kaku di situ untuk beberapa saat. Saya tergamam tidak tahu apa yang harus
dilakukan. Saadun masih mengerang kesakitan.
Saya cuba bangun
tetapi tidak terdaya. Saya cuma dapat melihat pergerakan datuk dari jauh.
Perlahan-lahan datuk memusingkan badannya merenung ke arah matahari, datuk
membukakan kelopak matanya dalam panas yang cukup terik.
No comments:
Post a Comment