“Yaaaakkk,” saya
terdengar suara pemegang parang, lepas itu saya tidak terdengar apa-apa.
Semuanya sunyi sepi.
Bila saya terdengar suara tepukan tangan orang ramai, saya segera menjatuhkan
telapak tangan yang menutup mata saya.
Aduh, sungguh
mengkagumkan, lengan penjual ubat tidak putus dua. Tidak ada darah yang menitik
atas muka tunggul. Wajah penjual ubat kelihatan tenang sambil menggosok
lengannya dengan sejenis minyak yang dipamerkan di situ. Sedang penjual ubat
asyik menggosok minyak di lengan, pemukul gendang mengambil tombak bermata
kapak, lalu mengapak belakang penjual ubat dengan sekuat hati.
Semuanya tidak
mendatangkan kesah, penjual ubat tersenyum bahagian belakangnya terus digosok
dengan minyak. Dalam beberapa minit sahaja, orang yang berkumpul di situ
berebut-rebut membeli minyak tersebut yang harganya lima puluh sen sebotol.
Bila orang ramai selesai membeli ubatnya. Ia memperlihatkan kekuatan kulit
tubuhnya yang tidak mampu dilukakan dengan senjata tajam. Ia menikam perutnya
dengan pedang. Ternyata pedang itu tidak mampu menembusi kulit perutnya.
“Orang Melayu mana
ada kuat macam saya,” ujarnya dalam bahasa pasar yang tunggang-langgang. Ia
merenung satu-satu wajah orang Melayu yang ada di situ. Kemudian, ia mencabar
orang Melayu yang ada di situ menunjukkan kekuatan.
Seorang Cina tempatan
menghampiri penjual ubat. Cina tempatan itu menasihatkan penjual ubat dari
Taiwan, supaya jangan berbuat demikian. Perbuatan itu boleh menyinggung
perasaan orang Melayu di tempatnya. Penjual ubat dari Taiwan itu, tidak
mengendahkan nasihat Cina tempatan tersebut. Ia terus mencabar dan mencabar.
“Eh, lu jangan ingat
orang Melayu tak kuat,” saya segera menoleh ke kanan.
Saya lihat Haji Salim
melangkah garisan putih yang ada di situ. Ia menyinsingkan lengan bajunya.
Penjual ubat dari Taiwan terus ketawa. Orang ramai yang ada di situ resah.
Mereka bimbang, kalau sesuatu yang tidak diingini akan terjadi. Cina tempatan
segera menghampiri Haji Salim, bahu Haji Salim dipegangnya dengan lembut
sekali.
“Haji tolong jangan
gaduh, dia bukan Malaysia punya orang, dia tak tahu punya adat,” pujuk Cina
tempatan.
“Saya tahu, fasal dia
bukan orang Malaysia, saya mahu tunjuk sama dia orang Malaysia juga kuat,” balas
Haji Salim. Saya mula terasa kecut dan cemas.
“Pak Haji tak usah
Pak Haji, ini merbahaya,” pujuk saya pula.
“Tak apa Tamar,”
balas Haji Salim dengan tenang. Ia menyuruh saya keluar gelanggang.
Penjual ubat dari
Taiwan tersenyum sinis melihat saya dan Haji Salim.
“Sekarang kalau lu
boleh kasi luka, gua beri lu lima ratus, kalau gua kasi luka lu berapa lu
kasi,” penjual dari Taiwan menyoal Haji Salim.
Saya lihat muka Haji
Salim selamba sahaja. Sesekali memberi isyarat tangan pada Cina tempatan supaya
bersabar dan bertenang.
“Tak usah kasi
apa-apa, gua tak mahu lu punya wang dan gua punya wang tak mahu kasi sama lu,”
ujar Haji Salim dan terus meletakkan lengannya atas tunggul kayu.
“Nanti lu punya
tangan putus macam mana?”
“Tak apa.”
“Betul ni.”
“Betul, semua orang
boleh jadi saksi.”
“OK, kita mula.”
“Ayuh.”
Penjual ubat dari
Taiwan pun mengambil parang bermata lebar. Lengan Haji Salim ditetaknya dengan
sekuat hati. Ia terkejut, lengan Haji Salim tidak putus dua atau pun berdarah.
“Silakan, tetaklah
seberapa banyak yang kamu suka,” kata Haji Salim.
Muka penjual ubat
jadi merah padam. Tanpa membuang masa, ia terus menetak sebanyak tiga kali
berturut-turut. Semuanya tidak mendatangkan kesan. Penjual ubat itu merenung
orang yang mengelilinginya.
“Sekarang lu kasi
pukul saya punya tangan,” penjual ubat bersuara.
“Jangan marah kalau
luka,” balas Haji Salim.
“Tak marah, gua
kuat.”
“Silakan.”
Penjual ubat dari
Taiwan itu terus duduk mencangkung. Lengan kanannya diletakkan atas tunggul kayu
khas. Ia menarik dan menahan nafas, perutnya kelihatan kempis, kiri kanan
pipinya kelihatan kembung, macam monyet menyembunyikan makanan dalam mulut.
Haji Salim mengambil
parang bermata lebar. Berdiri dengan tenang dekat penjual ubat itu. Kedua belah
bibir Haji Salim kelihatan bergerak-gerak. Saya kira ia sedang membaca
‘Bismillah’ untuk melakukan pekerjaan itu.
Semua biji mata orang
ramai tertumpu pada Haji Salim yang memakai serban putih, berseluar kuning
dengan baju putih berbutang lima. Ada di antara orang ramai itu berbisik sama
sendiri. Mereka bagaikan tidak percaya lelaki yang bertubuh kurus dengan
janggut sejemput itu boleh mencederakan lengan penjual ubat dari Taiwan. Dalam
keadaan orang ramai yang termanggu-manggu itu. Haji Salim pun menjatuhkan
parang bermata lebar ke atas penjual ubat.
“Wahhhhh….,” suara
penjual ubat meninggi. Mukanya kelihatan berkerut menahan kesakitan. Urat-urat
hijau nampak menonjol menolak kulit.
Dalam saat-saat
begitu, bahagian daging yang membengkak itu menjadi merah dan akhirnya bertukar
menjadi hitam kebiru-biruan. Kawan penjual ubat segera menyapukan minyak.
Hasilnya tidak ada apa-apa. Makin disapu dengan minyak, makin besar bengkaknya
dan penjual ubat beransur lemah. Ia tidak terdaya menggerak-gerakkan tangan yang
kena tetak itu. Ia cuba bangun, usahanya itu gagal juga.
Haji Salim segera
menghampirinya. Bahu penjual ubat itu disentuhnya dengan jari kelingking kiri.
“Lu bangun,” kata
Haji Salim.
Penjual ubat itu
terus bangun tetapi, lengan yang kena tetak itu kelihatan terkulai dan terus
bengkak. Mukanya terus berpeluh. Haji Salim terus menjamah jari telunjuk kanan
penjual ubat. Jari itu direntapnya hingga berbunyi.
Beberapa minit
kemudian bengkak yang membatas di lengan beransur kurang dan akhirnya terus
pulih seperti sediakala. Kesan mata parang masih kelihatan seperti satu garisan
di lengan penjual ubat. Orang ramai yang menyaksikan peristiwa itu tercengang.
Beberapa orang anak muda menghampiri Haji Salim, mereka bertanya sesuatu pada
Haji Salim yang berbadan kurus itu.
“Lu memang kuat,”
penjual ubat itu merenung muka Haji Salim.
“Ini semua tuhan
punya kuasa,” jawab Haji Salim pendek.
Penjual ubat itu
segera menghulurkan wang lima ratus ringgit pada Haji Salim. Dengan wajah yang
tenang Haji Salim menolak.
“Tak mahu.”
“Apa fasal, kita
sudah janji.”
“Saya bukan mahu
lawan itu macam, saya panas hati bila lu cakap orang Melayu tak ada kuat dan
tak boleh lawan sama lu.”
“Saya sudah banyak
tempat pergi, belum ada orang Melayu berani lawan, jadi saya ingat orang Melayu
memang tak kuat.”
“Lu silap, orang
Melayu tak suka tunjuk-tunjuk kuat itu macam, tapi kalau sudah lu cakap besar,
saya mau cuba.”
“Lu betul punya haji,
bukan main-main punya haji, badan kurus tapi hati banyak kuat.”
“Sudahlah kawan.”
“Sekarang saya tak
mahu cakap itu macam lagi, lu serupa saya punya saudara,” penjual ubat itu
terus bersalam dengan Haji Salim.
Penjual ubat itu
terus mengemaskan semua bahan-bahan perniagaan. Disumbatkan ke dalam kereta
Morris Minor berwarna hitam.
“Kita kawan, tak mahu
lawan-lawan,” kata penjual ubat itu dan terus masuk ke kereta. Ia meninggalkan
tempat itu menuju arah ke Tapah.
Saya dan Haji Salim
meninggalkan tempat tersebut. Kami menuju ke tempat motorsikal yang diletakkan
berhampiran dengan warung penjual kopi. Bila sahaja Haji Salim memegang
motosikalnya, cina tempatan yang menegah ia beradu kekuatan tadi datang
menghampirinya.
“Terima kasih, lu
sudah ajar itu orang. Dia cakap tak baik, macam dia saja yang kuat. Lagi satu,
dia cakap selalu kata Melayu tak kuat, dia macam suruh Melayu sama Cina gaduh,”
kata Cina tempatan itu.
“Tak apa, saya ingat
dia mesti terus balik Taiwan dan tak mahu datang ke sini lagi.”
“Saya harap juga
begitu, dia bukan Cina Malaysia, dia tak tahu kita di sini, tak kira Melayu,
Cina India semua mahu hidup baik-baik dan satu hati.”
“Sudahlah lu siapa
nama?”
“Saya nama Lim Kim
Seng, lu siapa nama?”
“Haji Salim.”
“Baik, terima kasih.”
“Sama-sama.”
NAIK
Cina tempatan itu
meninggalkan saya dan Haji Salim, ia menuju ke arah kiri jalan. Saya lihat ia
naik basikal menuju ke arah kawasan perlombongan yang tidak berapa jauh dari
pekan Temoh.
Bila Haji Salim
menghidupkan enjin motorsikal, beberapa orang pemuda menghampirinya. Mereka terus
menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Haji Salim. Enjin motorsikal terus
dimatikan. Haji Salim terus berdiri di tengah kumpulan para pemuda yang
berjumlah antara lima hingga tujuh orang.
“Kami mahu menuntut
ilmu dari Pak haji,” salah seorang daripada pemuda itu menyampaikan hasrat
hati.
Saya, mereka tidak
pandang langsung. Saya bagaikan tidak wujud di situ. Haji Salim merenung wajah
mereka satu-satu dengan tenang.
“Minta maaf, aku
bukan orang handal,” jawab Haji Salim.
“Tak usah jadi harimau
menyembunyikan kuku, kami sudah lihat kemampuan tuan haji tadi,” balas
jurucakap pemuda itu.
“Semuanya dengan izin
Allah. Kalau mahu mencari sesuatu kau pelajarilah isi Quran. Ingat, sebelum itu
kau harus mengenali Allah lebih dahulu.”
“Maksud Pak Haji.”
“Kalau diizinkan oleh
Allah semua perkara boleh berlaku. Tetapi kalau kamu tidak mengenalinya,
bagaimana kamu mahu minta pertolongan dariNya.”
“Kami mahu mengenali
Allah dengan pertolongan tuan haji.”
“Carilah ilmu itu.
Tetapi, bukan pada saya. Ingat, menuntut ilmu atau belajar itu memang dituntut
oleh agama Islam. Hukumnya fardhu kifayah.”
Haji Salim menepuk
baju pemuda yang menjadi jurucakap kumpulan itu. Saya lihat pemuda itu resah
tidak menentu sambil merenung wajah kawan-kawannya yang lain.
“Tamar kita pergi
sekarang,” kata Haji Salim pada saya.
Ia terus menghidupkan
enjin motorsikal. Ia duduk atas motorsikal dan Haji Salim mengangkat tangan
kanannya sebagai tanda selamat jalan.
Akhirnya, bahagian
depan warung dan kumpulan pemuda itu kami tinggalkan. Kami terus menuju ke
Kampung Haji Ariff.
Sepupu Haji Salim
menyambut kami. Tengahari itu, kami makan di rumah sepupunya. Kira-kira pukul
empat, kami kembali ke kampung dengan membawa benih durian dari jenis yang
baik. Dekat waktu senja kami pun sampai di rumah. Haji Salim memberikan saya
dua pokok benih durian.
“Kau tanam dekat
rumah.” Kata Haji Salim.
“Masa kau menanamnya,
bacalah Bismillah dan selawatkan nabi tiga kali.”
“Ya Pak Haji, saya
faham.”
Saya pun meninggalkan
rumah Haji Salim menuju ke rumah nenek. Waktu itu, hari sudah beransur gelap.
Saya melangkah dengan
cepat sekali. Sampai dekat pokok besar, langkah saya tidak serancak mula
melangkah tadi. Hati saya berdebar. Saya menoleh ke kiri. Saya terpandang tubuh
manusia berdiri di balik pokok besar. Kerana pandangan pertama tidak berapa
jelas. Saya memandang untuk kali kedua. Saya lihat datuk berdiri di situ. Bila
saya panggil namanya, datuk terus menghilangkan diri.
Rasa cemas mula
menguasai diri saya. Mustahil waktu menjelang Maghrib datuk mahu berada di
situ? Kalau datuk, bila namanya dipanggil, dia pasti menyahut. Aneh, kenapa
setelah namanya disebut datuk menghilangkan diri. Timbul pertanyaan dalam diri
saya.
Saya terus renung ke
arah pokok besar untuk kali yang ketiga. Di tempat saya melihat datuk berdiri
tadi, diganti oleh seorang perempuan yang memakai serban putih. Perempuan itu
mengamit saya, menyuruh saya menghampirinya.
Kali ini, saya sudah
dapat memutuskan bahawa apa yang saya lihat itu bukannya manusia. Tetapi, syaitan
yang menyerupai manusia. Saya terus membaca ayat al-kursi. Sampai tamat ayat
itu saya baca, perempuan yang memakai serba putih masih juga tersenyum. Kerana
takut yang terlalu kuat menguasai diri, saya terus berlari dengan sekuat hati.
Benih durian saya campakkan.
Sampai di rumah saya
lihat nenek dan datuk berada di muka pintu menanti kepulangan saya. Mereka
tidak bertanya bila melihat muka saya pucat. Datuk menyuruh saya mandi. Baju
yang saya pakai dilarangnya untuk dibawa masuk ke rumah. Saya tidak bertanya
kenapa datuk dan nenek melarang saya membawa masuk baju ke rumah.
Apa yang saya alami
sebentar tadi, tidak saya nyatakan pada datuk. Saya kira, peristiwa itu adalah
kecil dan tidak wajar di beritahu pada mereka. Mungkin apa yang saya lihat itu
memang betul, mungkin tidak. Sebabnya, bila seseorang itu sudah dikuasai rasa
takut, tunggul pun disangka hantu.
Selepas makan malam,
apa yang saya alami bersama Haji Salim di Temoh itu, saya ceritakan pada datuk.
Aneh, saya tidak nampak datuk merasa terkejut dengan apa yang telah saya alami
itu.
“Kerana itu, aku
suruh kau ikut dia. Kau harus sedar Tamar, orang yang berilmu tidak pernah mahu
menunjukkan ilmunya pada sebarang orang dan sebarang tempat.”
“Untuk apa ilmu itu,
kalau tidak ditunjukkan pada orang tuk?”
“Ilmu bukan untuk
ditunjuk pada sesiapa, ilmu untuk menolong orang dan untuk kegunaan sendiri.”
“Saya faham.”
Datuk tersenyum
mendengar cakap saya itu. Bagaikan faham, bila saya berkata begitu, ertinya
saya tidak mahu mendengar ceramahnya.
“Bila aku mahu
menerangkan sesuatu, kau cuba melarikan diri dari mendengarnya,” rungut datuk.
Saya terus bangun
masuk ke bilik. Saya menatap majalah hiburan sambil berbaring di atas katil.
Saya terdengar suara datuk membaca Yasin dengan lantangnya. Makin lama makin
sayup terdengar suara datuk. Dan akhirnya saya tidak terdaya untuk menahan
sepasang kelopak mata saya dari bercantum.
KUBUR
Saya merasa pelik,
bila Haji Salim sembahyang Maghrib di rumah datuk. Lepas sembahyang Maghrib
mereka membaca Quran. Bagi nenek perkara itu merupakan sesuatu yang ganjil.
“Ada apa rancangan.
Haji Salim dengan datuk kamu?” tanya nenek.
“Petang ni, petang
apa nek?”
“Petang Jumaat dan
malam ni malam Jumaat.”
“Nek tahu datuk dan Haji
Salim nak pergi ke kubur lama tengah malam ini.”
“Kubur lama? Nak buat
apa?”
“Itu kenalah tanya
datuk.”
Nenek terdiam.
Matanya, tajam merenung muka saya. Saya pasti, nenek tidak akan bertanya pada
datuk berhubung dengan hal tersebut. Bukan perangai nenek mahu mengambil tahu
tentang gerak-geri seorang suami.
“Untuk apa datuk dan
Haji Salim pergi ke situ Tamar,” begitu lembut suara nenek.
Renungan matanya,
cukup redup meraut seluruh paras saya.
“Dia orang nak
tengok, kerana orang puja kubur lama.”
“Nak tangkap orang tu
ke?”
“Entahlah, saya pun
tak tahu.”
“Bagus juga tu,
menghalangkan orang membuat maksiat,” balas nenek.
Ia terus bangun
menuju ke dapur. Tentu nenek membuat air kopi untuk Haji Salim dan datuk. Lebih
kurang pukul dua belas malam. Datuk dan Haji Salim berhenti membaca Quran.
Datuk terus menepuk bahu saya dengan kasar.
“Orang baca Quran tak
ikut sama, tersengguk-sengguk, macam burung hantu,” kata datuk. Haji Salim
ketawa sambil menghirup air kopi.
Saya lihat ada enam
cawan kosong di situ. Ini bererti datuk dan Haji Salim terpaksa berhenti dari
membaca Quran sebanyak enam kali, kerana minum kopi.
“Haji Salim ni
mengikut petua datuk. Biasanya datuk kalau minum kopi ia tidak akan menggunakan
cawan yang sama. Ia akan menukarkan cawan setiap kali menuang air kopi yang
baru.”
Cara itu datuk
lakukan, bila ia mahu melaksanakan sesuatu tugas yang dianggapnya terlalu berat
dan sukar.
“Sudah sampai masanya
untuk kita berangkat,” datuk renung muka Haji Salim. Perlahan-lahan Haji Salim
anggukkan kepala tanda setuju.
Datuk terus sarungkan
baju hitam serta seluar hitam ke tubuh. Kepalanya dililitkan dengan kain kuning
sebesar dua jari.
Haji Salim tidak
menukarkan pakaiannya. Ia memakai seluar Melayu berkaki besar. Bajunya dari
kain batik Jawa yang terpamer lukisan wayang kulit. Songkok putihnya terletak
kemas di kepala. Golok pendek terselit di pinggang.
“Kalau kau nak ikut
Tamar, mari,” suara datuk merendah.
Kain pelikat saya
gantikan dengan seluar kuning. Baju T merah saya tukarkan dengan baju Melayu
cekak musang. Datuk menyelitkan rotan semambu yang panjangnya kira dua depa ke
celah ketiak. Ada tugas baru yang datuk berikan pada saya. Saya disuruh membawa
lampu suluh. Tanpa banyak cakap kami pun turun dari rumah. Berdiri di halaman
rumah sebentar.
“Kita melangkah
sekarang,” datuk mengeluarkan arahan.
Kami pun melangkah
menuju ke arah kubur lama. Datuk mengarahkan pada saya, jangan memasang lampu
kecuali arahannya sendiri. Memang tidak selesa berjalan dalam belukar waktu
tanpa menggunakan lampu. Dua tiga kali saya tersepakkan tunggul dan akar kayu.
Saya tidak berani membuat bantahan.
Malam itu, keadaan
langit cerah. Gumpalan awan hitam nampak berarak lembut menuju ke arah barat
daya. Saya kira tidak lama lagi hujan pasti turun. Hal itu saya bisikkan pada
Haji Salim.
“Mengikut pengalaman
aku yang sudah-sudah, hujan akan turun menjelang subuh,” balas Haji Salim
perlahan-lahan. Datuk terus meredah hutan.
Sesekali kelihatan
cahaya kilat menangkap di kaki langit. Deru angin malam terus juga
menampar-nampar gegendang telinga. Terdengar ngiau kucing jantan mencari kucing
betina. Suara jampuk dan burung hantu terdengar sayup-sayup. Begitu juga dengan
suara anjing menyalak sesuatu di malam yang dingin. Angin malam yang menyentuh
kulit muka dan leher membuat saya terasa seram.
Selalunya, kalau
berjalan malam saya terasa takut. Tetapi malam itu rasa takut itu tidak terjadi
dalam diri saya. Apa yang ada ialah rasa berani dan tabah. Cara kebetulan pula
saya berjalan di tengah. Di depan saya datuk, di belakang saya Haji Salim.
Haji Salim terus
menyuluh ke arah pangkal pokok yang bergoyang dalam suluhan lampu picit.
Serentak dengan itu terdengar suara ngauman yang memanjang. Belum pun sempat
datuk bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, satu lembaga menerpa ke
arah datuk bersama ngauman yang cukup kuat. Datuk rebah ke bumi.
“Rimau Kumbang Haji,”
pekik datuk.
Haji Salim mendekati
datuk. Dengan tangkas, ia menendang badan harimau yang mahu menggigit lengan
datuk. Dengan sekali tendang sahaja harimau itu terpelanting dan terus hilang.
Kesannya tidak dapat dicari.
“Bangun,” kata Haji
Salim.
“Ke mana dia pergi.”
“Biarkan dia.”
“Pelik,” rungut datuk
sambil bangun.
Perjalanan diteruskan
lagi. Kami bertiga menyeberangi anak sungai. Airnya terasa cukup sejuk sekali.
Haji Salim menyuruh saya melangkah perlahan-lahan. Ia tidak mahu air sungai
yang diranduk itu mengeluarkan bunyi. Langit sudah kelihatan tidak cerah lagi.
Di mana-mana kelihatan awan hitam bertompok-tompok.
Angin terus bertiup
agak kencang dari tadi. Dahan-dahan mati terus jatuh, bunyinya macam orang
berlari. Semuanya datuk dan Haji Salim buat tidak kisah. Kami sampai ke tebing
dan terus memanjatnya. Dari situ kami mula tercium bau kemenyan yang cukup
hebat dibawa angin.
“Jalan perlahan ke
arah kubur lama,” perintah Haji Salim.
“Ya,” jawab datuk
pendek.
Lebih kurang satu
rantai mahu sampai ke kubur lama, kami melihat cahaya api di atas kubur. Kami
juga terdengar suara orang bercakap yang disertai dengan suara tahlil.
Datuk menyuruh saya
dan Haji Salim merangkak seperti dirinya. Kami pun merangkak menuju ke arah
kubur lama. Lebih kurang dua kaki mahu sampai ke kawasan kubur lama, datuk
menyuruh saya dan Haji Salim duduk sambil merenung ke arah kubur lama.
Dengan pertolongan
cahaya api dari pinggir kubur itu, saya dapat melihat dengan jelasnya kira-kira
sepuluh orang sedang mengelilingi kubur yang berbatu nisan tinggi dan besar.
Mereka semuanya memakai kain hitam dan kepala mereka juga bertudung dengan kain
hitam. Di bahagian kepala nisan terdapat tempat perasap dengan bara yang merah
menyala.
Ada orang yang
melemparkan kemenyan ke dalam tempat bara. Saya tidak dapat mempastikan dengan
tepat, apakah orang yang duduk sebelah kanan atau sebelah kiri yang melemparkan
kemenyan ke dalam tempat bara itu. Ada orang yang ditugaskan untuk menjaga api
di pinggir kubur. Orang itu memegang kayu panjang untuk menolak tunggul-tunggul
kayu ke dalam api. Dengan itu api tersebut terus menyala sambil mengeluarkan
bunga-bunga api yang halus terbang ke atas.
Salah seorang
daripada mereka terus bangun, menatang seorang kanak-kanak kecil. Kanak-kanak
itu didekatkan pada api tersebut. Tiba-tiba kanak-kanak itu menangis.
“Pulangkan pada aku,
dia anakku,” terdengar suara perempuan.
“Aku boleh pulangkan,
tetapi….,” suara orang yang menatang kanak-kanak itu adalah orang lelaki.
“Tapi apa?” tanya
orang perempuan.
“Biar aku potong
lehernya.”
“Untuk apa?”
“Ini janji kita
dulu.”
“Nanti ibunya marah,
aku cuma menjaganya saja.”
“Jadi, ini bukan anak
kamu, kamu curi dari ibunya.”
“Ya.”
“Dia hak aku,” suara
orang lelaki itu meninggi.
No comments:
Post a Comment