“Kamu ni ada-ada
saja,” datuk terus meraba dan menggosok serta memicit pergelangan kaki saya.
Berkerut muka saya menahan sakit. Sendawa saya bertalu-talu.
“Aku dah pesan.
Setiap kali bangun tidur, jangan bangun terus. Pusing ke kanan sekali, pusing
ke kiri sekali sambil gerakkan kaki dan tangan perlahan-lahan. Kemudian duduk
dan membongkok dua tiga kali. Kemudian menggeliat perlahan-lahan dan tarik
nafas panjang-panjang,” datuk mula membebel.
“Saya jarang buat
tuk.”
“Inilah yang susah.
Ada petua diberikan tetapi tidak mahu diamalkan. Tujuan aku suruh buat macam
itu, untuk melembutkan urat, mengeluarkan angin dari badan dan perut. Lepas
sembahyang Subuh terus tidur. Tidak makan tidak minum, akibatnya angin masuk
perut,” tambah datuk lagi.
Nenek yang baik hati
terus menggosok-gosok bahu kanan dan kiri saya. Datuk bangun dan terus keluar.
Dengan langkah yang tenang saya terus ke daput mencuci muka. Lepas ucui muka
saya terus makan.
Bila perut diisi
dengan nasi dan lauk-pauk, badan mula terasa segar dan malas mahu bergerak ke
mana-mana. Saya sandarkan badan ke dinding. Datuk tetap dengan kerjanya di
luar. Selesai menjemur jalan, ia meraut bilah lukah. Kadang-kadang saya merasa
hairan dengan datuk. Setiap masa ada sahaja kerja yang dilakukannya. Ia
seolah-olah tidak pernah merasa letih.
Setelah penat
bersandar, saya bangun menuju ke arah serambi rumah. Baru tiga kali melangkah
saya teringatkan tentang barang yang dibungkus oleh datuk malam tadi. Saya
tidak tahu di mana datuk meletakkan barang tersebut. Saya terus mendapatkan
datuk yang sedang meraut bilah lukah.
“Ha, apa yang kamu
mahu. Kamu nak pergi menangkap burung?”
“Tidak tuk.”
“Kalau bukan itu, apa
yang kamu mahu?”
“Saya nak tanya
tentang barang yang tuk bungkus malam tadi.”
“Barang,” datuk
kerutkan dahi.
“Barang yang nampak
bercahaya kemudian tuk bungkus,” saya mengingatkan datuk.
Datuk senyum. Ia
faham dan ingat kembali peristiwa yang dialami. Ia meninggalkan bilah-bilah
lukah yang baru diraut separuh.
Datuk masuk bawah
rumah, ia mengambil sesuatu dari gelegar rumah. Saya hanya melihat dari luar.
Tetapi, saya tahu datuk meletakkan benda itu pada gelegar rumah yang ada
kuda-kuda dan kuda-kuda itu pula mengarah hala matahari terbenam.
Tentu ada petua dan
muslihat yang tertentu datuk melakukan semua itu. pada hal kalau diletakkan di
mana-mana pun benda itu saya fikir tidak mendatangkan mudarat pada sesiapa
saja.
Ah, datuk sudah tua
ada pengalaman dan ada sedikit ilmu. Tentu dia tahu dengan apa yang dibuatnya,
fikir saya.
Datuk keluar dari
bawah rumah membawa bungkusan kain merah. Tanpa memanggil saya, datuk menuju ke
halaman rumah. Ia membuat garisan bulat di tanah dengan ranting kayu. Bungkusan
kain merah diletakkan di tengah dalam garisan bulat.
“Tamar ke mari,”
laung datuk. Saya terus berlari menghampiri datuk yang duduk bertinggung di
luar garisan bulat. Peluh terus membasahi baju datuk dalam panas yang terik dan
garang.
“Kamu bertinggung di
sini.”
Saya terus
bertinggung di sisi datuk. Peluh-peluh halus mula meruap di muka saya. Dengan
perlahan-lahan datuk membuka bungkusan kain merah.
Bila bungkusan itu
terbuka, saya lihat biji telur burung puyuh. Datuk tidak menjamah telur
tersebut. Ia menolak telur itu dengan ranting kayu supaya kedudukannya beratur
lima sebaris.
Saya menggigit bibir.
Pelik, telur yang sekecil itu boleh mengeluarkan api dan membakar dedaun
kering. Memang sekali pandang telur puyuh itu tidak ada bezanya dengan telur
puyuh yang sering saya temui di sarangnya.
Tetapi bagaimana
orang yang kakinya mempunyai tokak memanfaatkan telur tersebut untuk mengancam
keselamatan orang lain.
Pertanyaan itu terus
berputar-putar dalam tengkorak kepala saya. Mahu saya ajukan pertanyaan pada
datuk tetapi, bila saya melihat datuk termenung panjang, hasrat itu saya
batalkan.
Datuk terus duduk
bersimpuh sambil menguris-guris tanah dengan ranting kayu. Ia menulis perkataan
Allah dan Muhammad di tanah.
Beberapa minit
kemudian tulisan di tanah itu dipadamkannya. Ia merenung ke arah saya. Kedua belah
bibirnya kelihatan bergerak-gerak. Bila mulutnya berhenti bergerak, ia
menyerahkan ranting kayu pada saya.
“Pukul semua telur tu
hingga pecah,” katanya. Saya terus memukul ke lima-lima biji telur puyuh itu
dengan sekaligus. Saya lihat ada percikkan api yang halus keluar dari telur.
Bila percikkan api
itu berhenti, keluar asap nipis dan akhirnya asap itu hilang dalam sinaran
matahari yang keras.
“Orang itu
menggunakan ilmu tuju-tuju telur puyuh, ilmu syaitan yang ada di dadanya sudah
terlalu tinggi,” beritahu datuk pada saya. Datuk terus mengkuis-kuiskan kulit
telur burung puyuh hingga berserakkan atas tanah.
Sekejap lagi, kamu
nampak apa yang ada dalam telur yang baru kamu pecahkan tadi,” dengan rasa dada
yang lapang, saya terdengar ungkapan yang diluahkan oleh datuk.
Sepasang mata saya
tumpukan pada kulit-kulit telur burung puyuh dalam garisan bulat.
Panas terik terus
menggigit kulit tubuh. Dan muka saya terus dibasahi peluh. Datuk pun demikian
juga. Saya terlihat beberapa batang jarum berkelip-kelip dipanah matahari. Saya
juga melihat beberapa ekor semut api mengelilingi gumpalan rambut dan tulang
ikan terubuk. Beberapa ketul batu juga terdapat di situ.
“Tuju-tuju telur
puyuh ini kalau kena tubuh kita, sukar untuk diselamatkan. Bisanya tidak boleh
ditahan. Seluruh badan jatuh biru. Tempat yang jadi sasarannya dada, perut dan
mata,” terang datuk.
“Macam mana, kalau
jatuh atas tanah boleh mengeluarkan api?” soal saya. Datuk mengelap peluh di
dahi dengan jari telunjuk.
“Bila ada orang yang
mampu mengalihkannya, benda itu jatuh ke tanah dan keluarkan api. Kalau jatuh
dalam air menjadi racun. Berbulan-bulan baru racun dalam air itu hilang.”
“Di mana orang ni
menuntut ilmu syaitan ni tuk?”
“Aku agak dari kaum
Kubu tu. Ilmu dunianya terlalu kuat.”
“Kau tak usah tanya
semuanya itu. Makin lama kau hidup, makin banyaklah hal-hal dunia yang
diturunkan oleh syaitan pada anak Adam dan kau akan tahu,” tamat berhenti
bercerita.
Datuk menggenggam
sekepal tanah dan tanah itu ditaburkan dalam garisan bulat. Bila tanah yang
ditabur oleh datuk itu kena pada kulit telur, jarum, rambut dan tulang terubuk
terus menjadi hitam, macam arang. Kemudian hancur menjadi abu. Tanah dalam
garisan bulat bertukar menjadi warna kemerah-merahan macam darah.
“Sekejap lagi tanah
tu akan bertukar menjadi macam warna asalnya,” kata datuk. Tidak lama kemudian
tanah yang di dalam garisan kembali dalam warna asalnya. Datuk terus memadamkan
garisan bulat dan menepuk bumi dengan tangan kiri sebanyak tiga kali
berturut-turut.
Kau tengok sendiri,
kain kuning jadi lapik telur puyuh pun hangus jadi abu,” datuk menudingkan jari
telunjuknya. Cakap datuk itu memang benar. Kesan kain kuning itu sukar
dijejaki.
Suara azan Zuhur
terus berkumandang. Datuk mengajak saya mengambil air sembahyang. Selesai
sembahyang datuk mengajak saya duduk di ruang tengah. Ia mengajar saya tentang
sifat dua puluh serta menunjukkan cara sembahyang yang betul.
“Awak tak pergi
tengok Haji Salim?” nenek muncul di ambang pintu dapur dengan wajah yang agak
cemas. Datuk menutup kitab di depannya dan diletakkan atas rak. Datuk
mengenakan baju ke badan, menukarkan kain dengan seluar.
“Kenapa dengan Haji
Salim, bukankah dia nak ubat sakitnya sendiri,” datuk berhenti melangkah dan
merenung ke wajah nenek dengan seribu persoalan.
“Sakitnya datang
balik. Dia muntah darah dan meracau tak tentu arah,” jawab nenek.
“Apa yang nak dibuat
oleh bininya?”
“Nak dihantar ke
hospital.”
“Ah,” kata datuk dan
terus meluru ke muka pintu. Dengan sekelip mata datuk hilang dari pandangan
saya.
IKUT
Tanpa mengucapkan
sesuatu pada nenek, saya terus melompat dan memburu datuk dari belakang.
Tercungap-cungap saya bila sampai ke rumah Haji Salim. Saya lihat datuk sedang
memangku Haji Salim. Saya segera menghampiri datuk.
“Bawakan saya ke
hospital sahabat,” rayu Haji Salim.
“Saya tunaikan, kalau
itu yang awak mahu,” balas datuk dan meletakkan kembali kepala Haji Salim atas
bantal.
Datuk meninggalkan
rumah Haji Salim. Datang kembali dengan sebuah teksi. Haji Salim pun diusung
dan diletakkan dalam perut teksi. Bila berada dalam teksi batuk darah yang
dideritai oleh Haji Salim berhenti. Ia tidak meracau lagi.
“Ke mana kita, nak
bawa ke Taiping atau ke Ipoh?” tanya datuk pada isteri Haji Salim yang memakai
baju kurung kedah dan berkain batik. Isteri Haji Salim termenung sejenak.
“Bawa ke Taiping.
Anak saudaranya ada kerja di hospital Taiping,” tiba-tiba sahaja isteri Haji
Salim bersuara.
“Kerja apa?” tanya
datuk.
“Pembantu hospital.
Kalau haji masuk hospital, saya boleh tumpang di rumah anak saudaranya. Dapat
saya menengok haji di hospital tiap-tiap hari,” terang isteri Haji Salim.
Teksi pun bergerak
meninggalkan halaman rumah Haji Salim. Saya dan nenek serta jiran-jiran berdoa,
semoga Haji Salim yang peramah, suka mengambil berat tentang jiran-jiran akan
segera sembuh.
“Mari kita balik
Tamar. Kalau tunggu di sini pun tak guna, dia tu balik lambat tu. Agaknya dekat
Maghrib baru sampai,” ujar nenek pada saya. Nenek pun merapatkan pintu rumah
Haji Salim. Kami pun meninggalkan rumah sahabat baik datuk.
Sampai di rumah, saya
beritahu nenek yang saya mahu pergi keluar. Tetapi nenek keberatan untuk
memenuhi permintaan saya. Nenek menyuruh saya menyambung kerja-kerja datuk yang
belum selesai. Nenek suruh saya raut bilah lukah, nenek suruh saya membetulkan
jala yang koyak.
“Saya nak pergi ke
sawah nak menangkap burung,” kata saya.
“Nak tangkap burung
apa Tamar?”
“Burung wak-wak.”
“Panas macam ni. Eh
kau tahu kalau terlalu lama berpanas nanti demam.”
“Tak apalah,” balas
saya terus meninggalkan nenek.
Dengan nenek saya
berani menentang atau membantah perintahnya. Tetapi, dengan datuk saya tidak
berani buat demikian. Telinga saya pernah dipulas oleh datuk, macam mahu
tercabut rasanya, akibat saya membantah cakapnya.
Sampai di kawasan
sawah yang lapang, saya mula mencari rumpun Menerung yang jadi tempat
berlindung burung wak-wak. Pokok atau rumpun tersebut berbatang lembut serta
mempunyai tiga segi, berdaun kecil dan panjang, mempunyai umbi dan akar yang
kuat.
Tumbuhan jenis ini
memang jadi musuh pada pesawah. (Mungkin di tempat anda tumbuhan jenis ini
disebut dengan perkataan yang lain.)
Kini saya berdiri di
depan kawasan tumbuhan Menerung (nerung) yang luas. Dua ketul kayu pembaling
yang saya ikat di pinggang pun saya buka. Kayu itu saya pegang. Kayu yang
berukuran kira-kira satu kaki itu digunakan untuk membaling ke arah burung wak-wak
yang mahu terbang.
Tiga minggu saya
belajar membaling ke arah wak-wak yang terbang dari Haji Salim. Tanpa membuang
masa saya terus meranduk ke dalam rumpun Menerung.
Beberapa ekor burung
wak-wak muncul dari rumpun menerung dan terus terbang untuk menyelamatkan diri.
Tanpa membuang masa saya terus membalingkan kayu ke arah burung-burung
tersebut.
Dua ekor tidak cukup.
Paling kurang dapat sepuluh ekor baru cukup, saya membuat keputusan tersendiri
sambil mengikat kaki dua ekor burung wak-wak dan saya letakkan di bawah perdu
mempelam. Saya terus mengharungi rumpung menerung lagi.
“Bagaimana? Banyak
burung yang kau dapat?” saya tergamam sebentar.
Di depan saya wujud
dua orang lelaki. Mereka ialah Kamal dan Daud. Saya tidak menjawab pertanyaan
mereka. Kamal mengangkat kaki yang dikuasai tokak separas dada saya.
“Sampaikan salam kami
pada datuk kamu,” kata Daud.
Saya terus muntah
bagaikan mahu keluar semua isi perut saya. Tanpa membuang masa saya terus
memusingkan badan dan lari langkah seribu.
Semua yang saya alami
ketika berada di tengah sawah tidak saya ceritakan pada nenek. Dan nenek terus
menyindir saya kerana pulang dengan tangan kosong.
KEMBALI
Tepat pukul enam
setengah petang, teksi yang membawa Haji Salim ke Hospital Taiping pun pulang.
Saya dan nenek bergegas ke rumah Haji Salim kembali.
“Doktor sudah
mengesahkan Haji Salim sihat. Sebaik sahaja meninggalkan rumah ini batuk
darahnya terus berhenti, badannya cukup sihat,” isteri Haji Salim memberitahu
nenek.
Datuk dan pemandu
teksi menganggukkan kepala mengiakan kata-kata isteri Haji Salim.
Bagi orang lain saya
tidak tahu tetapi bagi saya, cerita yang disampaikan oleh isteri Haji Salim itu
menimbulkan keraguan dalam hati saya. Dalam saat-saat begitu, saya teringatkan
Kamal (si tokak di kaki) dan Daud.
Jiran-jiran yang
berkerumun di halaman rumah terus dikejutkan dengan suara batuk Haji Salim
bertalu-talu. Setiap kali batuk itu berakhir, Haji Salim akan muntah darah.
Darah yang diluahkannya berbuku-buku serta merah kehitam-hitaman. Muntah dari
Haji Salim datuk kumpulkan dalam mangkuk putih. Jiran-jiran yang berkumpul di
halaman terus bercakap sama sendiri.
Ada yang mulut lepas
mengatakan Haji Salim kena buatan manusia. Bila kata-kata itu didengar oleh
Haji Salim, ia segera bangun dan berdiri di muka pintu. Tidak peduli dengan
larangan datuk dan isterinya yang menyuruh ia baring.
“Hei kamu. Sakit yang
aku tanggung ni bukan buatan mausia. Sakit ini datangnya dari Allah. Baliklah
ke rumah masing-masing. Jangan bercakap yang bukan-bukan di sini,” suara Haji
Salim meninggi.
Jiran-jiran yang
jumlahnya antara sepuluh hingga lima belas orang berpandangan sesama sendiri.
Kemudian mereka bersurai. Haji Salim terus merebahkan badanya atas pelantar.
Isterinya memberikan
segelas air Lidah Buaya yang dicampurkan dengan gula batu yang dibancuh dengan
serbuk Lampoyang.
Bila bahan yang ada
dalam gelas itu diteguk oleh Haji Salim. Batuknya beransur kurang dan muntah
darahnya tidak sekerap tadi berlaku.
“Kenapa awak halau
jiran-jiran kita?” isteri Haji Salim mengajukan pertanyaan. Perlahan-lahan Haji
Salim mengalihkan wajahnya ke kanan, merenung muka datuk. Saya lihat datuk
meraba batang hidungnya dua tiga kali.
“Kalau dibiarkan
mereka di situ, makin banyak perkara karut-marut mereka cakapkan. Membiarkan
mereka bercakap tentang manusia yang melebihi kuasa Allah, mengajar mereka
menjadi syirik. Aku tak mahu bersubahat dalam perkara semacam ini,” kata Haji
Salim dengan tenang. Datuk anggukkan kepala. Isteri Haji Salim terdiam.
Saya terus menguap
sambil merenung ke luar rumah. Sebentar lagi maghrib pasti tiba. Tetapi, datuk
masih tidak berganjak dari duduk merenungi ke arah Haji Salim.
Kerana cuaca sudah
beransur gelap, isteri Haji Salim terus memasang pelita minyak tanah. Pelita
minyak tanah itu diletakkan tidak jauh dari saya. Isteri Haji Salim terus
bangun. Ia mahu menutup semua jendela rumah.
Bila semua jendela rumah
sudah dirapatkan, isteri Haji Salim terus keluar, menutup pintu reban ayam
itik. Kemudian terus ke telaga.
Dari cahaya lampu
minyak tanah, saya terlihat jejari Haji Salim yang kasar dan keras meraba
pergelangan tangan datuk. Kemudian jejari datuk dan Haji Salim kelihatan
bercantum.
“Kamu jangan balik,
tunggu aku,” suara Haji Salim tenang.
“Ya, saya tunggu
kalau itu hajat sahabat.”
“Aku rasa
persahabatan kita tidak lama. Aku kembali kepada yang berhak.”
“Tak usahlah mengarut
sahabat.”
“Aku bercakap benar.
Banyak ayat-ayat suci yang aku amal sudah lupa atau tersilap baca.”
“Sudahlah haji.”
“Aku mahu kau jadi
imam maghrib di sini, kita sembahyang sama-sama.”
“Baiklah.”
Haji Salim tersenyum.
Dengan perlahan-lahan ia bangun. Saya cuba menolongnya tetapi, Haji Salim
menolak pertolongan saya. Ia sendiri pergi ke perigi mengambil air sembahyang.
Kemudian menukarkan kain yang dipakainya dengan kain baru.
Kali ini saya lihat,
Haji Salim berpakaian lengkap sebagai seorang Haji. Perkara seperti ini memang
jarang dilakukannya. Datuk hanya memerhatikan sahaja gerak dan tingkah laku
kawan karibnya itu.
Apa yang nyata, sejak
Haji Salim bercakap-cakap dengannya sebentar tadi, datuk lebih banyak
termenung. Macam memikirkan sesuatu.
Dalam keadaan yang saya
anggap berlainan dari keadaan biasa itu, saya terdengar suara azan Maghrib.
Beberapa saat kemudian datuk mengambil tempatnya sebagai imam.
Fardhu Maghrib sudah
ditunaikan. Doa dan wirid sudah pun selesai dibaca. Tetapi, Haji Salim tidak
membenarkan saya dan datuk pulang. Sebenarnya, saya tidak setuju dengan
tindakan Haji Salim itu. Ada kerja yang perlu saya lakukan di rumah.
Saya mahu menyiapkan
sangkar burung yang belum siap. Apakan daya datuk sendiri memperkenankan
permintaan Haji Salim. Sama ada rela atau tidak, saya terpaksa akur dengan
keputusan datuk.
“Tunggu, kita
sembahyang Isyak pula. Kali ini biar kita jadi imam. Lepas tu kita makan dan
baca Quran sampai pagi,” ujar Haji Salim dalam sinar lampu gasolen yang
menyinar menerangi tiap sudut ruang.
Datuk sandarkan badan
ke dinding. Isteri Haji Salim menyorongkan tepak sirih. Sehelai daun sirih yang
besar dan hijau segar datuk ambil. Datuk renung urat-urat sirih yang
berselirat. Datuk letakkan kembali daun sirih ke tempat asalnya kembali.
“Ada sedikit petua
yang nak kita sampaikan pada awak,” Haji Salim bersuara tenang.
“Petua apa tua?”
sahut datuk.
“Nanti dulu, lepas
sembahyang Subuh kita bagi tahu.”
“Tak apalah, saya
tunggu.”
“Bila kita bagi tahu,
amalkan petua tu.”
“Tengoklah, kalau
sesuai dan saya yakin pula, tentulah saya amalkan.”
“Baguslah tu.”
Datuk dan Haji Salim
berbalas senyum. Angin malam yang masuk melaui jejaring bahagian atas dinding
rumah, membekalkan rasa dingin pada diri saya. Datuk menegakkan kaki kiri dan
terus memeluk kepala lutut. Haji Salim memicit daging lengan kirinya
perlahan-lahan. Suasana begini amat membosankan bagi diri saya.
Bunyi cengkerik dan
dedaun yang disentuh angin jelas kedengaran. Sesekali gegendang telinga saya
menangkap bunyi suara kucing biang menggaru papan, terdengar juga suara burung
jampuk merayu di hujung dahan.
Isteri Haji Salim
terus merendang ikan pekasam, baunya cukup menyelerakan. Saya kira, isteri Haji
Salim seorang yang yang cukup cekap membuat kerja-kerja di dapur.
Kalau saya mahu
mencari calon isteri, saya pasti memilih gadis yang memiliki tingkah laku macam
isteri Haji Salim. Barangkali cucunya, Saadiah mewarisi perangai yang terpuji
itu. Saya senyum sendirian.
Saadiah berwajah
manis, memilik lesung pipit di pipi, berkulit cerah terus terbayang di ruang
mata. Bagi saya, Saadiah gadis melayu yang cukup ayu, bersopan santun tetapi
berat mulut. Sinar matanya cukup tajam.
Pernah saya bermimpi
berjalan dengannya sambil berpegang tangan. Dan mimpi itu tidak pernah saya
ceritakan pada sesiapa.
“Kenapa senyum
seorang diri,” kejut Haji Salim. Matanya merenung muka saya. Apakah Haji Salim
dapat membaca rahsia hati saya? Kalau benar, perkara itu amat memalukan, fikir
saya.
“Orang yang senyum
sendiri, dipermainkan syaitan,” tambah Haji Salim lagi. Datuk anggukkan kepala.
Setuju dengan pendapat Haji Salim.
“Begini Pak Aji, saya
fikir orang yang senyum sendiri dan bercakap sendiri tu bukan dipermainkan
syaitan. Tetapi ia melepaskan sesuatu yang tersembunyi dalam hatinya,” antara
berani bercampur takut, saya menjawab kata-kata Haji Salim.
“Betul cakap kamu tu
Tamar. Tapi syaitan tu selalu mengambil kesempatan dari orang yang suka
mengikut perasaan,” jawab Haji Salim.
“Macam mana nak
mengatasinya Pak Aji?”
“Kita mesti selalu
beristighfar Tamar.”
“Sekarang kau dah
faham,” celah datuk.
“Faham,” jawab saya.
Ingatan saya pada
Saadiah terus punah. Kesal juga rasa hati bila khayalan dikacau oleh orang
lain. Saya terus menelan air liur. Harapan terus juga berbunga, semoga pada
satu waktu dan ketika, saya dapat bertutur sepatah dua dengan Saadiah yang saya
rindui secara diam-diam.
Saya menguap panjang.
Badan kian bertambah dingin. Bunyi angin malam kian keras bertiup di luar.
Suara anjing terdengar sayup-sayup di pinggir kampung.
Haji Salim bangun
menuju ke ruang kerjanya. Datang kembali ke tempat saya dan datuk dengan
sebilah keris tanpa ulu. Keris itu diletakkan atas lantai.
Haji Salim bangun
kembali. Kali ini masuk ke bilik tidurnya. Entah apa yang dibuatnya di dalam,
tidak ada sesiapa pun yang tahu. Haji Salim keluar dari bilik. Di tangannya ada
ulu keris berbentuk kepala burung geruda.
“Ulu dan mata keris
ni, saya berikan awak.”
“Terima kasih,” datuk
menyambut pemberian itu dengan wajah tenang. Beberapa saat, datuk menatap ulu
dan mata keris itu dengan teliti sekali. Saya lihat datuk menarik nafas dengan
penuh bersemangat.
“Kenakan ulu dan
matanya pada pagi Jumaat, buat sarungnya pada pagi Isnin, ini petua.”
“Usah bimbang, pesan
awak saya buat.”
“Simpanlah
baik-baik.”
“Sudah tentu.”
Datuk terus menatap
wajah Haji Salim tanpa berkedip. Haji Salim tetap mempamerkan senyuman yang
cukup manis. Dua tiga kali, saya terdengar batuk isteri Haji Salim di dapur.
Haji Salim terus memperkemaskan silanya.
“Awak ada dengar
cerita, ilmu dunia boleh mengambil nyawa manusia,” datuk bagaikan terkejut
mendengar kata-kata dari Haji Salim.
“Takbur dan bidaah,”
sahut datuk.
No comments:
Post a Comment