LORI kecil terus melanda dada jalan dengan lancar sekali.
Pemandunya sudah berubah selera. Dia mula berkasidah, suaranya boleh tahan juga
membuat saya terpesona. Tetapi, dia tetap berhati-hati dan waspada
mengendalikan lori yang dipandunya. Laju lorinya diperlahankan bila memasuki
selekoh yang tajam atau mendaki bukit.
Adakalanya, lori terpaksa berhenti secara mengejut untuk
memberi laluan kepada kumpulan beruk besar menyeberangi jalan. Kumpulan beruk
besar itu kelihatan tertib melintas, buat tidak kisah dengan lori kecil yang
berhenti.
"Beruk- beruk di sini semuanya jinak, bersopan
santun di jalanraya. Mereka melintas dengan baik," kata Abu Zaharin sambil
ketawa terkikih.
Lori kecil bergerak kembali, kali ini agak laju. Ketika
mahu memasuki satu selekoh yang tajam, pemandu lori kecil menekan berek secara
mengejut. Akibatnya, saya dan Andi Kamarool terdorong ke depan. Dahi kami
terkandas di cermin. Aduh sakitnya. Tetapi, rasa sakit itu terus hilang dengan
serta akibat kemunculan mendadak tiga ekor gajah dari rimbunan pokok sebelah
kiri kami. Muka saya dan Andi Kamarool jadi pucat dan terus berdebar. Pemandu
lori tetap tenang, membiarkan tiga ekor gajah itu menyeberang jalan dengan
aman.
“Perkara macam ini, perkara biasa bagi saya. Binatang dan
alam Kerinci masih terperlihara," tutur pemandu lori.
Kali ini perjalanan agak lancar, kami melintasi beberapa
kawasan perkampungan kecil. Kami sering saja berselisih dengan motorsikal dan
agak jarang berselisih dengan kereta. Kebanyakkan motorsikal yang mereka gunakan
adalah buatan dari Eropah yang berbadan besar dan mempunyai kuasa kuda yang
agak tinggi (masa itu motorsikal Jepun belum popular lagi) seperti jenis
Triumph, BSA. Norton dan sebagainya.
Setelah menuruni kawasan berbukit, saya lihat pemandu
lori nampak resah semacam. Tidak tenteram seperti tadi, apa yang dibuatnya
serba tidak kena. Dia selalu saja menekan berek dan minyak, akibatnya laju lori
tidak seimbang, kami jadi tersengguk- sengguk.
"Kenapa?" Tanya Andi Kamarool.
"Entah mengapa, tiba-tiba saja hati saya berdebar
cemas. Berpandukan pada pengalaman dulu perkara macam ini membawa pertanda
kurang baik. Saya harap tak ada perkara buruk terjadi".
" Insya Allah kita selamat pandu dengan
cermat," jawab Andi Kamarool.
"Saya juga harap macam tu" tingkah Abu Zaharin,
setering kereta di paut erat dan kejap sekali.
KABUS
DIBAWAH sinaran matahari yang kian mencacak itu, saya
renung kiri dan kanan. Lori kecil sedang melalui kawasan hutan tebal. Suasana
sekitar terasa sepi, tidak ada kenderaan yang lalu kecuali lori yang kami naik,
walaupun cahaya matahari bersinar terang tetapi, kawasan sekitar jalanraya agak
gelap dengan kabus yang menebal.
"Harimau." jerit Abu Zaharin.
Dengan serta merta dia menekan berek kecemasan. Saya dan
Andi Kamarool jatuh terperosok di celah bangku. Lori kecil dengan empat roda
terpaku di dada jalanraya. Saya dan Andi Kamarool segera bangun dan duduk. Dan
apa yang kami lihat di jalanraya ialah seekor harimau Sumatera sedang
terbaring, berguling di atas batu jalan sesuka hati tanpa mempedulikan lori
kecil yang berhenti tidak sampai sepuluh kaki darinya.
"Kita dalam bahaya Abu." kata saya perlahan.
"Bertenang saudara".
Harimau berbadan besar itu berdiri, merenung ke arah kami
sambil menguap. Giginya yang tajam jelas kelihatan. Misainya yang panjang dan
keras bergerak- gerak. Kemudian harimau itu duduk mencangkung lalu
menjilat-jilat kuku ditelapak kakinya. Abu Zaharin turun dari lori.
"Mahu ke mana Abu?" Andi Kamarool bersuara
cemas.
"Biar aku suruh dia ke tepi".
"Merbahaya Abu," celah saya.
Abu Zaharin hanya tersenyum dan saya lihat kelopak
bibirnya bergerak- gerak. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dihembuskannya ke kiri
dan ke kanan. Dengan tenang dia melangkah ke arah harimau Sumatera yang sedang
duduk mencangkung menanti kedatangannya.
Setiap kali Abu Zaharin melangkah mendekati Harimau
Sumatera tali jantung saya bergegar hebat, bila menarik dan melepaskan nafas
dada terasa sakit. Dan saya bayangkan, bagaimana mudahnya harimau itu menapar
muka Abu Zaharin dan kemudian mematahkan batang lehernya. Darah melimpah
dipermukaan jalanraya.
Separuh badan Abu Zaharin berada dalam mulut harimau dan
separuh lagi berada di luar. Bahagian badan yang berada di luar mulut harimau
(dari dada hingga kaki) mengelitik bagaikan kepala ikan keli diketuk kepala.
Saya renung ke arah Andi Kamarool, sepasang anak matanya tidak berganjak dari
merenung ke arah Abu Zaharin.
"Subahanallah.... "terpancut kata-kata itu dari
kelopak bibir saya. Apa yang saya fikirkan,tidak terjadi. Empat kali saya
mengurut dada.
NASIB
"DIA bukan sebarang orang, kepalanya penuh
pengetahuan dan dadanya penuh ilmu,"ungkap Andi Kamarool.
"Cakap kamu benar,Andi".
Perhatikan kami tidak berganjak ke arah Abu Zaharin.
Dengan tenang dia menepuk-menepuk kepala harimau Sumatera, misai harimau
dipintal-pintal. Penuh mesra harimau Sumatera menjilat kiri kanan pipinya. Abu
Zaharin membisikan sesuatu ke telinga harimau, tidak berapa lama harimau itu
mengaum lalu beredar.
Abu Zaharin kembali ke lori kecil dengan senyum.
"Aku harap pejalanan selanjutnya tidak ada
halangannya".
Abu Zaharin melompat ke dalam perut lori dan beberapa
detik kemudian bunyi injin lori kecil terus mengaum menguasai dada jalan raya.
"Saudara memang hebat".
Saya terus menepuk bahu kanan Abu Zaharin, dia tersengih.
"Semuanya dengan izin Allah, kalau tidak diizinkan,
usaha aku tidak menjadi," katanya merendah diri. Lori kecil terus
bergerak.
Nyanyian beburung liar dan hembusan bayu memberikan
kesegaran kepada diri saya dan mungkin juga diri Andi Kamarool.
"Sudah bertahun aku membawa lori sayur. Macam-macam
perkara pelik aku temui. Dengan izin Allah semuanya dapat aku atasinya,”
lanjutnya lagi. Kami anggukkan kepala.
Dalam asyik bercerita itu, lagi sekali kami mengalami
kejutan. Abu Zaharin menekan brek secara mengejut, lori kecil terbabas ketepi
jalan. Nasib baik tidak masuk parit.
"Kenapa Abu?"Soal Andi Kamarool.
"Kamu lihat, apa ada di tengah jalan," katanya.
Saya dan Andi Kamarool terus merenung ke jalan raya. Ada
lingkaran ular hitam berkilat setinggi busut disitu. Kepalanya berada di
bahagian atas terlentuk di situ bagaikan sedang tidur dengan lena.
SERAM
ABU Zaharin tidak memperlihatkan rasa cemas atau takut.
Dia mengendalikan lori kecil yang terbabas hingga berada di jalanraya.
"Langgar saja Abu," saya mengemukakan usul.
"Jangan terlalu kejam dengan makhluk Allah yang
lain."
"Dia ganggu kita," saya meningkah.
Abu Zaharin tersenyum lalu mengajak kami turun dari lori
kecil. Berjalan serentak ke arah ular hitam yang berlingkar. Lebih kurang kira-
kira lima langkah mahu sampai ke arah ular berlingkar, saya terdengar nafas
ular cukup kuat.
Saya segera memegang bahu kanan Andi Kamarool. Malangnya,
saya tidak sempat menahan Ahu Zaharin. Langkahnya cukup cepat sekali.
"Kenapa Tamar?"
"Aku sudah baca doa nabi Allah Sulaiman. tiba- tiba
tengkuk bulu tegak. Aku jadi seram sejuk," bisik saya kepada Andi
Kamarool.
"Aku rasa seperti apa yang kamu rasa, ada baiknya
kita balik ke lori. Aku yakin apa yang ada di depan kita bukannya ular seperti,
jin," Andi Kamarool terus menarik tangan saya.
Langkah selajutnya, kami segera berlari menuju ke lori
kecil. Diri jauh kami melihat perkembangan tentang diri Abu Zaharin.
Memang ada kelainannya, Abu Zaharin tidak seberani tadi.
Kalau tadi dia nampak mudah menangani harimau Sumatera. Tetapi kali ini,
keadaan agak berbeza sekali. Dua tiga kali dia jatuh ketika ular hitam
mengangkat kepala. Dengan sedaya-upaya, dia cuba menjauhkan dirinya dari
mendekati longgokkan ular hitam yang sudahpun memanggungkan kepalanya. Abu
Zaharin dongakkan kepala merenung ke arah kepala ular Mereka kelihatan seperti
sedang bercakap sesuatu.
Dalam beberapa detik kemudian, Abu Zaharin membelakangi
lingkaran ular hitam dan pada ketika itu kedengaran bunyi ledakan yang amat
kuat. Tempat ular hitam berlengkar dipenuhi kepulan asap tebal menghilang. Ular
hitam juga turut ghaib entah ke mana. Abu Zaharin tertiarap di permukaan
jalanraya dengan kedua belah kakinya terkangkang. Sepasang tangannya terletak
di kepala.
"Jangan".
Andi Kamarool memegang tangan kanan saya dengan sekuat
hati. Dan saya tidak jadi melangkah untuk mendekati Abu Zaharin.
"Sekejap lagi dia bangun. Dia sudah menyelesaikan
masalahnya dengan baik sekali," Andi Kamarool renung muka saya.
"Abu Zaharin bukan sebarang orang, pendiam dan
banyak cakap. Bila terdesak semua ilmu habis dimanfaatkannya," komen saya.
Andi Kamarool anggukkan kepala sambil tersenyum panjang. Matanya masih tertumpu
ke arah Abu Zaharin yang terkapar di jalanraya, macam katak mati dilanggar lori
balak.
"Kamu lihat," suara Andi Kamarool keriangan.
Saya segera renung ke arah yang dimaksudkannya. Saya
lihat Abu Zaharin sudah tegak berdiri. Menumbuk angin ke kiri dan ke kanan.
Kakinya juga menendang angin. Dia melakukan senaman singkat untuk menegangkan
urat.
Sebelum berlari ke arah lori terlebih dahulu Abu Zaharin
melambai- lambaikan tangan ke arah saya dan Andi Kamarool. Lambainya kami
balas.
"Apa yang kamu lihat tadi bukannya ular sebenar.
Tetapi, jin nakal yang nak kacau kita, menjelma jadi ular. Kalau tidak pandai
mengatasinya, kita boleh tadi susah, mungkin menderita sakit seumur hidup atau
kita terpedaya tunduk pada kemahuannya," ucap Abu Zaharin sambil mengesat
peluh di dahi dengan sapu tangan. Kami hanya anggukkan kepala.
BERGERAK
"JIN nakal itu sengaja berusaha supaya kita marah
dan bertindak balas. Bila kita bertindak balas, panjanglah ceritanya. Selalunya
kita yang rugi. Dalam hal begini, kita mesati sabar, tenang dan pasrah pada
Allah," lanjut Abu Zaharin, injin lori kecil dihidupkan kembali dan
perjalanan yang tergendala diteruskan.
Sambil memandu Abu Zaharin terus bercerita. Katanya, jin
adalah makhluk Allah yang paling ramai di dunia, tidak dapat dibayangkan
jumlahnya oleh akal manusia. Pokoknya, makhluk jin mengatasi jumlah manusia.
Boleh dikatakan tidak ada tempat di dunia ini yang tidak diisi oleh jin, baik
di daratan, lautan mahupun di udara.
Lori kecil terus bergerak dengan aman, kali ini kami
menempuh kawasan perkampungan yang tidak putus-putus, pokok-pokok buah- buahan
kelihatan di mana-mana.
"Jin juga ada pelbagai," sambung Abu
Zaharin," mempunyai rumpun bangsa yang berbeza- beza. Dunia jin juga macam
dunia manusia, tiap bangsa jin, mempunyai kerajaan dan pegawai takbir, antara
bangsa jin terdapat permusuhan antara mereka".
“Oh begitu," kata saya sambil menelan air liur.
"Agama mereka macam mana, Abu?" Soal Andi
Kamarool, Abu Zaharin tersenyum, setering kereta dipegang penuh cermat.
"Macam manusia juga, ada yang Muslim, ada yang
Kristian, Hindu Buddha, penyembah berhala. Malah ada yang berfaham
komunis".
"Abu, aku nak tanya satu perkara, boleh tak,"
saya lihat Andi Kamarool merenung muka Abu Zaharin yang sedang memandu itu.
"Silakan".
"Apakah iblis itu nenek moyangnya jin, macam manusia
adalah keturunan dari Adam alaihis-salam".
"Begini, sepanjang yang aku tahu, Iblis ada
keturunan Jin, bukannya moyang jin".
"Dari mana kamu tahu?" Potong saya dengan wajah
serius.
"Dari para ulama, dari guru aku di Mesir, Makkah
juga dari pembacaan dan kajian aku," ada suara Abu Zaharin penuh keyakinan
dan kepastian. Lori terus dipandu, menempuh kawasan tanah berpaya. Monyet-
monyet liar bergayut di dalam pokok.
"Kalau begitu, siapa dia datuk nenek jin?"
terhambur pertanyaan dari saya. Abu Zaharin menelan air liur, matanya merenung
tajam ke depan. Matahari kian meninggi, sinarnya tersebar di mana- mana.
"Kata guru aku, orang Mesir tetapi, menetap di
Istambul, Turki. Dia beritahu aku, sepanjang yang diketahuinya, entah betul,
entahkan tidak. hanyalah Allah saja yang maha mengetahui, nenek moyang jin
adalah Jin......."
Andi Kamarool anggukkan kepala beberapa kali. Barangkali
dia dapat menerima dengan apa yang diluahkan oleh Abu Zaharin.
"Macam mana dengan iblis," saya memintas.
Abu Zaharin menguap panjang, rasa bosan dan jemu
tergambar di wajahnya. Barangkali, dia merasa dengan pertanyaan demi pertanyaan
yang kami ajukan kepadanya.
Kali ini, Abu Zaharin seperti hilang minat untuk menjawab
pertanyaan saya. Dia kembali berkasidah sambil merenung ke kiri dan ke kanan
jalan. Setering kereta di pegang erat.
Kerana Abu Zaharin tidak berminat, saya tidak ingin
mendesaknya. Biarlah perkara itu berlalu begitu saja. Saya tidak menyesal atau
terkilan
Abu Zaharin terus berkasidah, seolah saya dan Andi
Kamarool tidak wujud di sisinya. Setering kereta dipegang sebelah tangan,
meskipun waktu mengambil selikuh yang tajam. Semuanya membuatkan hati saya
berdebar cemas.
"Menurut kata guru aku, juga hasil pembacaan aku dari
sebuah buku yang diterbitkan di Mesir menyatakan bahawa iblis adalah keturunan
Jin, cukup bijak dan pandai macam malaikat. Tetapi, dia bongkak dan sombong dan
dimurkai Allah," gembira bukan kepalang bila Abu Zaharin memulakan
percakapan.
PENAT
RASA puas juga terbayang di wajah Andi Kamarool. "
Kisah iblis durhaka kepada Allah terdapat surah Al- Kahfi: 50 yang
berbunyi.....,” Abu Zaharin tidak meneruskannya, buat beberapa saat dia
termenung, dahinya berkerut macam mengingati sesuatu.
“Yang berbunyi lebih kurang begini," dia menyambung
kembali.
"Dan ingatlah ketika kami berfirman kepada para
malaikat, sujudlah kau kepada Adam. Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia
dari golongan jin, lalu dia mendurhakai perintah Tuhannya....."
"Tapi, ramai orang percaya bahawa iblis adalah
moyang Jin." saya mencungkil lagi.
"Cukup setakat ini, lain kita bercakap tentang hal
ini," dengan cara yang sopan, Abu Zaharin memaksa kami supaya berhenti
dari menimbulkan perkara tersebut. Kami tiada pilihan, terpaksa mematuhinya.
Abu Zaharin kembali dengan keadaan biasaanya, berkasidah
sambil memandu lori kecil. Penat berkasidah dia membaca Quran sambil berlagu.
Suaranya memang boleh tahan. Kami jadi terhibur.
"Sekarang aku pula nak tanya kamu berdua, boleh tak?"
"Silakan Abu Zaharin," sambut Andi Kamarool.
Abu Zaharin tersenyum, setering lori dipulas dengan
teliti dan lori kecil berbelok ke kanan lalu menempuh jalan yang agak curam
sedikit.
Sebelah kanan jalan penuh dengan rumpun kelubi yang
daunnya bergerak malas merempuh bayu pagi. Manakala sebelah kanan jalan
ditumbuhi pepohon besar dari jenis pokok meranti, jelutung dan talang. Semuanya
tinggi menjulang.
"Apa hasil yang kamu dapat dari rumah batu
lama?"
Pertanyaan yang mengejutkan bagi kami. Saya gigit bibir
hingga terasa sakit. Sepasang anak mata Andi Kamarool terpanah ke wajah saya.
"Tak ada apa- apa, biasa saja," tanpa memndang
wajah Abu Zaharin, Andi Kamarool bersuara.
"Mustahil," balas pemandu lori sambil senyum
sinis.
"Apa yang dikatakannya tu memang benar," saya
memberi sokongan padu. Abu Zaharin gelengkan kepala bersama senyum yang
bertali. Hati kami terus dijentik keresahan.
"Mustahil, mustahil," ulangnya berkali- kali
sambil menjentik-jentik setering kereta dengan hujung jari manis.
"Kami cakap betul. Abu." nada suara Andi
Kamarool agak lemah.
"Mustahil- mustahil," ulangnya berkali- kali
sambil menggelengkan kepala.
"Kamu berdua mahu merahsiakannya dari aku,"
sambungnya lalu mengaru pangkal dagu kiri.
No comments:
Post a Comment