"APA sakitnya Pak
Aji?" Tanya saya ingin tahu.
Tiada jawapan dari Haji Basilam.
"Apa sakitnya, Pak Aji?".UIang
saya.
"Doktor pun tak tahu apa jenis
penyakitnya. Begitu juga dengan dukun dan pawang. Seluruh badannya
bengkak-bengkak, dari liang roma keluar peluh bercampur darah."
"Dah berapa lama dia sakit macam
tu?" Andi Kamarool memintas.
"Khabarnya, dah hampir enam bulan. Dia
berselera mahu makan. bila makan apa yang disuap semuanya keluar."
"Kasihan," kata saya lemah.
Suasana kembali sepi. Saya terharu dengan
penderitaan yang ditanggung oleh lelaki tersebut. Andi Kamarool mengigit bibir,
pada hemat saya dia juga berfikir seperti apa yang saya fikirkan. Haji Basilam
menggeliat dan meluruskan sepasang kakinya untuk menghilangkan rasa
lenguh-lenguh sendi.
"Semasa sakit itulah," suara Haji
Basilam memecah kesepian, "dia memberitahu ketua kampung, pak imam dan
kadi yang dia mahu mewakafkan sebahagian dari tanahnya yang berpuluh-puluh ekar
untuk mendirikan masjid. surau, sekolah agama. Tanah ladang getah dan tanah
sawah juga diwakafkan bagi membiayai masjid, surau, sekolah agama serta tenaga
pengajar. Hanya. sebahagian kecil saja yang diberikan kepada isterinya."
"Orang bergelar dan kaya yang baik
hati." saya memberi komen.
"Tetapi....." Haji Basilam tidak
menyambung kata. Wajah kata dan Andi Kamarool direnung tajam.
"Kenapa Pak Aji?" Saya terus
menyoal
"Sebaik saja dia mati dan selamat
dikuburkan, keadaan menjadi sebaliknya..." Haji Basilam berhenti lagi.
Dia menarik nafas sambil melepaskan keluhan
kecil. Pandangannya, tertumpu ke arah tingkap yang terbuka lebar. Anak mata
menangkap gerakan dedaun ciku yang disentuh bayu pagi. Tindak tanduk Haji
Basilam itu mengundang keresahan dan tanda tanya dalam hati.
"Apa yang terjadi Pak Aji? cerita Pak
Aji terputus-putus."
Ungkapan yang dihemburkan oleh Andi Kamarool
membuat Haji Basilam tersentak.
Sepasang anak matanya, kembali tertumpu ke
wajah saya dan Andi Kamarool.
"Isterinya."
"Kenapa dengan isterinya Pak Aji?".
Tanya saya tidak sabar.
"Dia melanggar wasiat arwah suaminya
yang sudah diberitahu pada ketua kampung, tuan kadi dan pak imam. Dia menafikan
yang suaminya membuat wasiat semacam itu."
"Perempuan tamak." Andi Kamarool
meledakkan kemarahannnya.
"Semua harta benda yang diwakafkan itu
dijual kepada orang kaya bukan Melayu yang berasal dari Nibung Tebal, Seberang
Perai. Kemudian, secara diam-diam si janda tamak itu menghilangkan diri,
membawa wang yang banyak." Haji Basilam senyum sambil mengaru pipi
kirinya.
"Kenapa dia lari, Pak Aji?" Saya
tidak berdaya melawan sabar.
"Kaum kerabat arwah suaminya yang tahu
keadaan sebenar mula bertindak, mula mengutuknya. Mereka mahu patah-patahkan
batang leher si janda."
"Ke mana dia lari Pak aji?" Andi
Kamarool pula bertanya Haji Basilam termenung sambil mengkedutkan kening, macam
mengingati sesuatu.
"Ramai yang mengesyaki dia lari ke Kuala
Tungkal di daerah Riau, kerana datuk neneknya berasal dari situ. Bila dicari
oleh kaum kerabat arwah suaminya ke tempat tersebut, ternyata dia tak ada di
situ." tutur Haji Basilam bersahaja.
"Memang, licin dan cekap orangnya,"
kata saya.
"Datuk kamu juga turut mencarinya ke
sana. Usahanya sia-sia saja."
"Tanah yang dijual macamana?" Andi
Kamarool menyoal.
"Tanah yang dibeli oleh orang kaya dari
Nibong Tebal terus terbiar menjadi belukar. Bila mahu diusahakan atau dimajukan
oleh pemiliknya. macam-macam kejadian pelik berlaku. Pernah pembeli datang
melawat ke kawasan tersebut waktu siang, diburu gajah liar. Terpaksa lari
lintang pukang dan akhirnya jatuh sakit. Berbulan-bulan duduk di hospital, bila
sembuh terus jadi gila."
"Agaknya si wanita tu lepaskan
penunggu," saya beri komentar.
"Entahlah, aku sendiri tak berani nak
kata apa-apa. Terpulanglah kepada kamu berdua buat tafsiran," Haji Basilam
senyum panjang lalu menyandarkan tubuhnya ke dinding.
PERSOALAN
CERITA yang diluahkan oleh Haji Basilam
menimbulkan seribu pertanyaan dan persoalan dalam hati saya. Diri Andi Kamarool
saya tidak tahu tetapi, bukan sesuatu yang aneh jika dia juga berfikir seperti
apa yang saya fikirkan. Dua tiga kali saya lihat Andi Kamarool melagakan gigi
atas dengan gigi bawah.
Pada saat itu juga, saya segera terfikir
kenapa manusia sanggup menafikan perkara yang sebenar. Kenapa wasiat suami yang
baik rela dikhianati oleh siisteri? Barangkali didorong oleh nafsu tamak haloba
membuat manusia lupa diri.
"Apa yang kamu menungkan? Apa yang kamu
fikirkan Tamar?"
"Tak ada apa-apa pak aji, tetapi apa
yang saya fikirkan kenapa si pemuda itu secara mendadak saja mencari
datuk."
"Semuanya terjadi secara
kebetulan."
"Cara kebetulan?". Andi Kamarool
seperti terkejut.
"Iya," angguk Haji Basilam serius.
"Cuba ceritakan pak aji." saya
mendesak.
Sepasang tangan Haji Basilam menekan pangkal
belikat kiri dan kanan. Dia kembali mengaru pipi kiri. Kesempatan itu saya
manfaatkan untuk menghilangkan rasa lenguh dipunggung. Saya bangun dan bergerak
ke jendela, merenung keadaan diluar dan kemudian kembali duduk untuk mendengar
cerita selanjut dari Haji Basilam.
"Waktu aku dan datuk kamu berjemaah
Isyak di masjid, seorang jemaah mengadu pada aku yang anak lelakinya baru
berusia setahun, menangis sepanjang malam. Tangisan itu bermula dari waktu
maghrib hingga matahari terbit, perkara itu sudah berlanjutan selama tiga
bulan. Sudah puas berikhtiar, tidak juga mahu baik, apa yang peliknya bila
waktu siang, budak tu tidur lena."
"Jadi Pak aji minta datuk si Tamar
menolongnya?" Tanya kamarool.
"Iya," angguk Haji Basilam.
"Datuk setuju?" Muncul lagi
pertanyaan dari saya.
"Setuju, ikhtiar dan usaha datuk kamu
diperkenankan oleh Allah. Dengan segelas air dingin yang disapu ke muka budak
tu, dia tidak lagi menangis malam. Dari situlah sipemuda tu mendapat tahu
tentang kebolehan datuk kamu. Lalu dia mencuba."
"Memang perangai datuk kamu suka
menolong orang sakit." sambil komentar, Andi Kamarool menepuk bahu saya.
"Itu amal jariahnya," tingkah Haji
Basilam yang kamu sambut dengan ketawa.
CERITA
BAGI saya cerita dari Haji Basilam sudah
berakhir. Tetapi, bagi Andi Kamarool masih belum berakhir. Dia mahu tahu apakah
punca atau jenis penyakit yang dideritai oleh janda kaya yang dianggapnya
sebagai manusia tamak. Andi Kamarool mahu tahu macamana bentuk dan rupa
penyakit yang ditanggungnya.
Kerana faktor-faktor tersebut. tidak
hairanlah dia terus mendesak Haji Basilam untuk menyambung cerita tersebut.
Pada peringkat awalnya, Haji Basilam agak keberatan untuk melanjutkannya.
Desakan yang kuat dari Andi Kamarool membuat Haji Basilam mengaku kalah.
"Menceritakan kisah orang yang sudah
meninggal dunia kepada orang lain yang masih hidup, bukanlah perbuatan yang
baik, ditegah oleh ajaran agama kerana bila disebut-sebut roh simati tidak
selesa," Haji Basilam menggunakan senjata terakhir untuk menolak hajat
Andi Kamarool.
"Tujuan kita baik untuk mengingatkan
orang yang hidup supaya jangan mengikuti jalan yang silap. Saya sekadar ingin
tahu saja, setidak-tidaknya saya boleh beringat supaya jangan terkena macam
dia," itu alasan Andi Kamarool, kenapa Haji meneruskan ceritanya.
Alasan yang diutarakan oleh Andi Kamarool
dapat diterima oleh Haji Basilam. Dan dia pun berusaha memperlengkapkan cerita
seperti apa yang dihajati oleh Andi Kamarool.
"Ada syaratnya," wajah Andi
Kamarool ditatap oleh Haji Basilam.
"Apa syaratnya " tanya Andi
Kamarool.
"Jangan dipanjangkan kepada orang lain.
"Saya berjanji," ikrar Andi
Kamarool yang disambut oleh Haji Basilam dengan senyum. Penuh yakin dengan
ikrar yang diluahkan oleh Andi Kamarool.
"Sebaik saja sisakit melihat wajah datuk
kamu, dia pun menangis semahu-mahunya dan menyatakan hasratnya untuk balik ke
tanah semenanjung. Dia mahu jumpa penghulu. Ketua kampung, pak imam dan tuk
kadi. Dia juga nak jumpa dengan anak buah arwah suaminya," Haji Basilam
memulakan cerita yang terputus dengan penuh keyakinan. Saya terus pasang
telinga.
"Buat apa dia nak jumpa orang-orang tu
pak aji?"
Pertanyaan yang diajukan oleh Andi Kamarool
membuat Haji Basilam tersenyum sinis. Ekor matanya mengerling tajam ke arah
saya.
"Kamu tak dapat tangkap maksudnya, Andi."
"Tidak"
"Mudah saja, dia mahu minta maaf atas
perbuatannya yang lalu. Dia bersedia menebus kembali tanah yang dijual,
bersedia menyempurnakan wasiat suaminya."
"Apa yang datuk beritahu padanya?"
"Datuk kamu beritahu, penghulu sudah
bertukar ke tempat lain. Pak Imam meninggal dunia di Mekah, ketua kampung sudah
pindah ke Sanglang Perlis. Tanah yang dijual terbiar begitu saja. Dia terus
menangis."
TANAH
Menurut Haji Basilam, kerana tanah tersebut
dipercayai menyimpan bijih yang banyak, pembeli (pemiliknya) mula menjalankan
kerja- kerja melombong ditanah tersebut. Semua jentera berat yang bakal
digunakan dalam kegiatan melombong yang ditempatkan dikawasan tersebut habis
diterbalikkan oleh makhluk halus.
Para pekerja yang ditempatkan di rumah
panjang (yang dibuat dari papan lapis) tidak dapat tidur dengan lena. Setiap
malam, mereka didatangi oleh sejenis makhluk yang menyerupai mayat yang sudah
dikafankan dalam jumlah yang besar, kira-kira hampir seratus orang, mereka
mengusung keranda mayat sambil mengetuk dan menerajang pintu rumah panjang.
Bila ada penghuni yang membuka pintu, mereka
menghadiahkan secebis kain kafan berserta tulang yang dikeluarkan dari keranda
usang yang dipikul. Bila azan subuh dilaungkan kegiatan dilakukan oleh makhluk
ganjil segera berakhir. Cebisan kain kafan segera bertukar menjadi kulit
binatang yang mengeluarkan bau busuk. Tulang menjadi daging yang dikerumuni
ulat bersama bau yang boleh membuat seorang muntah tahi.
Jentara berat yang tidak dirosakkan segera
dimanfaatkan oleh para pemandu yang mendakwa dirinya handal, tidak percaya
dengan hal-hal ganjil atau ghaib. Tetapi, apa yang pasti mereka terpaksa
melalui pengalaman yang getir.
Ketika mereka menggunakan jentolak untuk menumbangkan
pokok, secara tiba-tiba injin jentolak mereka mati atau terbalik secara
mengejut. Jika tidak terbalik, sipemandu akan mengalami kecelakaan dalam bentuk
lain, secara tidak semena-mena seperti dipatuk ular hitam, dihempap pokok atau
dahan terjatuh dalam lubang yang mengakibatkan kaki mereka patah.
Pendek kata, setiap pohon yang terdapat
dikawasan tanah yang sudah diwasiatkan itu, tidak boleh diusik sebarangan.
Kerana kejadian-kejadian yang dianggap aneh dan tidak masuk akal itu
menyebabkan para pekerja lari. Walau diberi upah yang tinggi atau mahal, tidak
ada siapa yang mahu bekerja.
"Semua cerita-cerita aneh yang berlaku,
tidak disampaikan oleh datuk kamu kepadanya," Haji Basilam renung muka
saya.
"Apa muslihatnya?"
'Tak ada apa-apa muslihatnya, kalau
diberitahu mungkin sakitnya bertambah," jelas Haji Basilam. Serentak saya
dan Andi Kamarool anggukkan kepala.
"Wanita tu, masih beruntung kerana ada
jiran yang mahu ambil tahu tentang dirinya, kalau tidak, keadaannya tentu lebih
teruk lagi,"
Andi Kamarool sengaja mengemukakan pertanyaan
agar Haji Basilam tidak berhenti bercerita. Ternyata teknik yang digunakan itu
berhasil. Haji Basilam seperti mendapat kekuatan baru untuk melanjutkan
perbualan.
"Setelah bersoal jawab, pemuda yang
menjemput kami itu mengaku yang dia adalah suami sisakit yang dikahwini secara
senyap-senyap. Umur budak lelaki itu dalam lingkungan tiga puluhan, sedangkan
umur sisakit sudah hampir lapan puluhan."
"Itulah sebabnya, bila dia menjemput
datuk dan Pak aji dia memperkenalkan dirinya sebagai jiran. Dia malu nak
mengaku sebagai suami pada wanita tua," saya luahkan pendapat.
"Mungkin cakap kamu ada benarnya,"
balas Andi Kamarool. Saya lihat Haji Basilam anggukkan kepala. Saya kira dia
setuju dengan pendapat yang saya katakan.
"Seperti biasa. sebelum melakukan
sesuatu. datuk kamu akan bertanya tentang perkara agak ganjil yang selalu
dibuat oleh orang yang sedang sakit," tidak saya nafikan kebiasaan datuk
seperti apa yang dikatakan oleh Haji Basilam itu.
Bila keterangan yang diberi memuaskan hati,
barulah datuk bersedia menolong orang yang terlantar sakit.
"Menurut kata budak lelaki tu....,"
kali ini tekanan nada suara Haji Basilam agak meninggi seperti memperolehi
kekuatan tersendiri.
"Dalam masa-masa tertentu terutama waktu
malam, wanita itu akan menjerit dan meracau tidak tentu arah, tidak mahu makan,
tidak boleh melihat wang, kalau melihat wang badannya menggeletar dan berpeluh
kemudian terus jatuh pengsan," sambung Haji Basilam.
"Kasihan dia pak aji?" Andi
Kamarool bersuara lemah.
"Kami juga diberitahu, sudah hampir
setahun dia tidak boleh berdiri dan terpaksa baring menanggung sakit. Melihat
kepada penyakit dan keadaan tubuh, sukar untuknya sembuh. Harapan untuk hidup
cukup nipis, kecuali dengan izin Allah," Kesedihan terbayang diwajah Haji
Basilam. Saya dan Andi Kamarool termenung panjang.
BANGUN
SECARA mendadak Andi Kamarool bangun, berlari
ke muka pintu. Berdiri di situ, merenung ke setiap sudut halaman macam ada
sesuatu yang dicarinya. Andi Kamarool kembali mcndekati saya lalu memberitahu,
yang dia seperti terdengar ada suara orang yang memanggil namanya.
"Lupakan saja, perkara yang kamu
dengar," Haji Basilam bagaikan tahu apa yang dirasai oleh Andi Kamarool.
"Berbalik pada cerita kita tadi pak aji.
apa tindakan datuk saya selanjutnya."
'Dia agak keberatan, tetapi kerana dirayu
oleh sipemuda berkali-kali hatinya menjadi lembut."
"Syukurlah kerana datuk mahu menolongnya
" tanpa disedari terkeluar kata-kata itu dari kelopak bibir. Haji Basilam
ketawa kecil, saya tidak tahu apakah ketawa itu terjadi secara kebetulan atau
ketawa menyindir.
Kata Haji Basilam lagi, sebagai memenuhi
harapan budak lelaki yang menjemputnya. datuk segera menyuruh sipemuda
menyediakan segelas air tawar dan sehelai daun kunyit yang sudah tua.
Permintaan datuk segera dipenuhi. Daun kunyit tua segera digosok oleh datuk
dengan belakang tangan beberapa kali. Tujuannnya berbuat demikian untuk
menghilangkan habuk ulat atau sebarang kekotoran yang melekat pada daun kunyit.
Bila sudah dipasti dan diyakini yang daun
kunyit itu sudah bersih lalu bahagian hujung daun dibenamkan dalam air putih.
Dibiarkan beberapa rninit sebelum dipusingkan berkali-kali. Semasa melakukan
perbuatan itu datuk bagaikan menafikan kehadiran Haji Basilam dan sipemuda yang
berada dekatnya. Dia seolah-olah hanya berdepan dengan sisakit saja.
Daun kunyit tua yang masih dilekati air terus
dilekapkan ke pangkal telinga sebelah kanan. Manakala air putih dijaramkan ke
bahagian kepala yang seluruhnya sudah dikuasai rambut putih yang kusut masai.
Bila semua kerja tersebut selesai dilakukan,
datuk terus berdiri. Kemudian perlahan-lahan dia merendahkan tubuhnya hingga
dia duduk dalam keadaan mencangkung untuk beberapa saat saja. Setelah itu
barulah dia duduk dalam keadaan biasa.
Tiba-tiba datuk terus memegang ibu jari kaki
kanan pesakit. Secara mendadak seluruh tubuh pesakit tersintak-sintak macam
terkena kejutan letrik sambil mengerang seolah-olah mengalami sakit yang amat
sangat.
"Kesian dia, lepaskan ibu jari. Dia
menangis pakcik."
"Rayu sipemuda dengan wajah yang sedih.
Datuk anggukkan kepala dan ibu jari kaki kanan yang dipegang segera dilepaskan.
"Beri dia minum air ini."
Datuk segera menghulurkan gelas berisi air
putih yang ditawar kepada sipemuda. Arahan datuk segera dilaksanakan. Setelah
meneguk air tersebut, pesakit nampak lemah sekali dan akhirnya terus terlena.
Datuk pun beralih tempat duduk. menyandarkan belakang pada tiang seri.
"Bila dia terjaga, beri minum air dalam
gelas. Cuma ini saja ikhtiar yang mampu saya buat. Semoga Allah memberkati
usaha ikhtiar saya. Marilah kita berdoa supaya dia cepat sembuh."
Sipemuda mengikuti gerak bibir datuk dengan
penuh teliti.
"Apakah dia ada harapan untuk sembuh
pakcik?" tanya sipemuda.
Datuk termenung sebentar dan menetap wajah
sipemuda dengan penuh rasa simpati.
"Susah nak cakap, pada zahirya harapan
tu tak ada," nada suara datuk lemah, wajahnya nampak sayu sekali.
"Itu pendapat zahir saja. Tetapi, kuasa
Allah mengatasi segala-galanya. Bersabar dan berdoalah. mudah-mudahan dengan
izin Allah dia akan sembuh." Haji Basilam segera memujuk sipemuda yang
nampak resah. Dan datuk segera mendekati sipemuda.
"Sabarlah anak, biarlah kami pulang
dulu," datuk membisikkan kata- kata ke telinga pemuda sambil jari-jarinya
menepuk belakangnya kemesraan.
"Kami balik dulu," ulang datuk.
Si pemuda anggukkan kepala. Dia merestui
kepulangan datuk dan Haji Basilam hingga ke kaki tangga.
"Kalau ada apa-apa masalah. datang jumpa
kami bila-bila masa," pesan datuk.
"Baik," terima kasih."
Sipemuda anggukkan kepala dan terus masuk ke
rumah.
Datuk dan Haji Basilam meneruskan perjalanan
pulang.
No comments:
Post a Comment