SEMASA azan subuh dilaungkan dari sebuah
masjid berdekatan, keadaan diri Jaafar beransur pulih. Dapat tidur dengan lena.
Tetapi, Masron tidak bersedia untuk meninggalkan Jaafar sendirian. Masron
bimbang semasa ketiadaannya nanti akan berlaku perkara yang tidak diingini
terhadap sahabat karibnya itu.
Demi persahabatan, Masron rela menutup kedai
perabutnya selama sehari. Dia melupakan temujanji yang dibuatnya dengan
beberapa orang pelanggan. Pada hemat Masron, biar hilang pelanggan jangan
hilang sahabat. Pelanggan boleh di cari tetapi, nilai kesetiaan seorang sahabat
memang tiada taranya.
Masron tahu, tidak kurang dari tiga atau
empat orang pelanggan akan menemuinya. Mereka datang dari Singapura dan Melaka.
Jaafar terus berdengkur dan Masron tetap berada di sisinya. Bagi menghilangkan
rasa sunyi dan bosan dia membaca surah yassin beberapa kali. Bila terasa penat
dia membelek- belek masalah terbitan dari Singapura.
Lebih kurang pukul lapan pagi, Jaafar terjaga
dan terus duduk. Bagi memastikan yang sakit itu sudah pulih, Masron menyuruh
Jaafar melakukan gerakan leher yang diakhiri dengan senaman ringkas.
Arahan itu dipatuhi oleh Jaafar dengan penuh
semangat hingga badannya berpeluh. Masron senang hati melihat peluh melilih di
dahi dan tubuh Jaafar. Semuanya itu menandakan yang Jaafar sudah cukup sihat.
Sebelum membenarkan Jaafar masuk kebilik air (mandi), Masron memeriksa setiap
sendi tubuh Jaafar dengan menggunakan rotan seni.
Hujung rotan yang disimpul itu diketuk
berkali-kali di tempurung lutut. hujung siku, sendi bahu dan buku lali. Setiap
kali ketukan dilakukan kelopak bibir Masron bergerak.
Ada sesuatu yang dibacanya, entah doa, entah
jampi mentera yang bertujuan menghalau hantu syaitan. Bila Masron yakin yang
Jaafar bebas dari penyakit, barulah dia membenarkan Jaafar masuk ke dalam bilik
air untuk mandi.
Sementara Jaafar mandi, Masron menyediakan
sarapan pagi. Rebus dua biji telur dan kopi tanpa gula. Lebih kurang pukul
sepuluh, Jaafar memberitahu Masron yang keadaan dirinya sudah pulih seperti
sediakala. Boleh bergerak dengan bebas, seluruh tubuhnya terasa sakit atau
sengal sengal. Masron segera menyampaikan hasrat hatinya untuk membawa Jaafar
menemui seorang bomoh terkenal di daerah tersebut.
Niat baik Masron itu tidak dapat dipenuhi
oleh Jaafar. Masron tidak berkecil hati atas penolakan itu. Namun hati kecilnya
tetap berkata bahawa di dalam tubuh Jaafar terdapat sesuatu benda ghaib.
Sudah seminggu keajadian aneh yang dialami
oleh Jaafar berlalu. Tidak ada tanda- tanda penyakit itu akan lagi. Perkara
ini, amat mengembirakan hati Masron. Walaupun begitu, dia tetap meneliti
perkembangan diri kawannya itu dari masa ke semasa.
Masuk minggu yang ketiga, Jaafar mengadu
kepada Masron bahagian tepi leher sebelah kiri terasa sakit, macam dicucuk-
cucuk dengan benda tajam yang halus. Berbekalkan ilmu perubatan tradisional
yang dibawa dari Tanah Jawa, Masron cuba mengubatinya dengan cara kebatinan.
Rasa sakit itu hilang sebentar, kemudian datang semula.
DOKTOR
JAAFAR mengambil keputusan untuk menemui
doktor bagi mengatasi masalah penyakit yang dihadapinya. Masron tidak
melarangnya malah dia mengatakan kalau cara moden tidak bcrjaya, eloklah dibuat
cara lain.
Setelah berkali-kali menemui doktor punca
penyakit tidak dapat di kesan. Doktor membuat kesimpulan Jaafar tidak mengalami
sebarang penyakit. Apa yang dialami ialah beban psikologi atau kewajipan.
Keadaan Jaafar bertambah berat, setiap hari
Jaafar mengalami rasa sakit di leher. Rasa sakit itu datang tidak tentu waktu.
Sebagai sahabat, tanpa rasa jemu dan putus asa Masron terus memujuk Jaafar agar
berubat cara tradisional.
Usaha Masron tidak sia-sia, Jaafar setuju
berubat cara tradisional. Masron pun membawa Jaafar menemui bomoh yang
dikatakan handal menyembuh penyakit. Malangnya, setelah melihat keadaan
penyakit yang dialami oleh Jaafar, bomoh itu segera angkat tangan. Dia tidak
mampu menanganinya. Kalau diteruskan, mungkin dia mengalami sakit yang lebih
teruk dari Jaafar.
"Kesudahannya bagaimana Pak haji," tanya
Andi Kamarool bila melihat Haji Basilam bagaikan tidak berminat untuk
meneruskan ceritanya.
"Habis macamana Jaafar boleh baik hingga
boleh buka warung makan?" saya pula menyoal. Haji Basilam tidak memberi
sebarang reaksi. Sisa kopi yang masih ada di cawan dihirupnya.
"Bomoh tu, suruh Masron jumpa seseorang
dan orang itu akan membawa Masron dan Jaafar menemui seorang lelaki yang boleh
dikatakan alim juga, bersedia berikhtiar membantu orang yang menderita
sakit," saya dan Andi Kamarool berbalas senyum. Haji Basilam mahu
bercerita.
"Agaknya, orang yang dimaksudkan oleh
bomoh tu. Pak Haji." Andi Kamarool main serkap jarang. Senyum terpamer di
kelopak bibir Haji Basilam.
"Betul," angguk Haji Basilam.
"Orang alim yang dimaksudkan tu
siapa?" Saya mencelah.
"Bapa saudara Abu Zaharin, Haji
Simpul."
"Ha....," kata kami serentak.
Haji Basilam ketawa kecil sambil menjentik
badan cawan dengan jari telunjuk. Jaafar masuk ke bilik khas mengambil
bungkusan gula dan teh, macam tadi juga, sebelum keluar dia menghadiahkan
senyum untuk kami.
"Datuk kamu Tamar kenal dengannya. Haji
Simpul beritahu aku. Datuk kamu bukan calang- calang orang."
"Lupakan tentang tu Pak Haji. kami mahu
dengar cerita tentang Jaafar sampai habis," saya memintas. Haji Basilam
tidak kecil hati dengan tindakan saya itu.
Haji Basilam menyambung cerita yang terputus,
setelah mendapat maklumat terperinci dari bomoh tersebut, Masron mula mencari
orang perantaraan yang boleh membawa dia menemui orang yang dikatakan alim itu.
Setelah puas bertanya di sana-sini, akhirnya Masron bertemu dengan Haji
Basilam.
Haji Basilam masih ingat lagi macamana Masron
bersama seorang kawannya menunggu dia selesai sembahyang zuhur dimasjid Pekan
Baru. Sebaik saja keluar dari masjid, Masron segera menerkam ke arah Haji
Basilam. Masron menceritakan tujuan sebenar dia mahu menemui Haji Basilam.
Masron menyebut nama bomoh yang menyuruh dia mencari Haji Basilam.
Setelah mempastikan cerita dari Masron itu
benar, Haji Basilam bersedia membantu tetapi, dengan syarat, dia harus membawa
Haji Basilam menemui Jaafar dan mengadakan dialog singkat dengannya, Haji
Basilam mendapati tahap penyakit Jaafar berada di paras bahaya dan mesti
ditolong dengan segera.
Dua hari kemudian, Haji Basilam bersama
Masron membawa Jaafar menemui Haji Simpul. Masron dan Jaafar agak terkejut
kerana kedatangan mereka bagaikan sudah diketahui oleh Haji Simpul.
Buktinya, Haji Simpul sudah menyediakan tikar
mengkuang tiga wama putih, merah dan biru untuk Jaafar duduk atau baring semasa
menjalani rawatan.
TELAPAK
SETELAH melihat telapak tangan Jaafar kiri
dan kanan berkali- kali, haji Simpul menyuruh Haji Basilam mencari dedaun di
belakang rumah. Haji Basilam yang sudah faham daun apa yang sudah faham daun
apa yang harus diambil dapat menjalankan tugasnya dengan pantas sekali.
Dedaun yang dipetik itu dimasukkan ke dalam
mangkuk putih. Kemudian, Haji Simpul menyuruh Haji Basilam mengambil air
telaga.
Air telaga itu dituangkan ke dalam mangkuk
putih yang berisikan dedaun ramuan. Beberapa minit kemudian dia merenung ke
arah Jaafar duduk bersila di atas tikar mengkuang tiga warna.
Bahu kanan Jaafar dipegangnya dengan kemas.
Setelah Jaafar mengeluarkan keluhan yang panjang, Haji Simpul berhenti memegang
bahunya.
Kali ini. Haji Simpul beralih pada mangkuk
putih. Seluruh perhatian ditumpukan kepada bahan ramuan yang berada dalam perut
mangkuk. Dalam keadaan mata separuh pejam, mulut Haji Simpul bergerak macam
membaca sesuatu.
Perkara ini berlangsung hampir lima minit.
Masron dan Haji Basilam hanya melihat saja. Bila kelopak bibimya berhenti
bergerak, Jaafar yang duduk di tikar mengkuang tiga warna direnung dipanggil
agar mendekatinya.
Dengan dua belah tapak tangannya, Haji Simpul
meraup ramuan dalam mangkuk putih dan diusap ke leher Jaafar tiga kali
berturut- turut. Dari tepi leher Jaafar keluar benda runcing yang menyerupai
tulang. Benda itu segera dipungut oleh Haji Simpul lalu bungkus dengan kain
putih.
"Kamu tahu tulang apa yang keluar dari
tepi leher Jaafar tu?" Haji Basilam renung muak saya dan Andi Kamarool.
"Tak tahu pak haji," jawab kami
serentak.
"Itulah tulang ikan pari. Haji Simpul
menyimpannya dalam kotak kecil yang dibuat dari papan jati," kata Haji
Basilam sambil merenung ke arah Jaafar yang melintasi bilik menuju ke dapur.
Haji Basilam segera memanggil Jaafar.
"Ada apa haji?"
"Aku baru menceritakan kepada budak
berdua ni, perkara yang kamu alami."
"Orang dengki kerana perniagaan saya
maju, saya tahu siapa orangnya tapi, orang yang mengubat saya pesan jangan
balas dendam. Dia juga tidak mengenakan sebarang bayaran, dia tolong dengan
ikhlas dan suruh saya tinggalkan pekan Baru, buat perniagaan tempat lain.
Sekarang saya berniagaan di sini," jelas Jaafar dan keluar dari bilik
khas.
"Bagaimana dengan Masron? Apakah dia
meninggalkan Pekan Baru?" kerana yang bertanya itu Andi Kamarool, sepasang
biji mata Haji Basilam tertumpu ke wajahnya. Buat beberapa detik Haji Basilam
termenung panjang, macam mengingati sesuatu.
"Iya, dia juga tinggalkan Pekan Baru.
berhijrah ke Pontian, Johor, lepas itu pergi ke Singapura. Dari Singapura dia
pindah lagi."
"Ke mana pula?" saya bertanya.
"Pindah ke Kuala Lumpur, berniagadi
Pasar Sungai Besi tapi, duduk Kampung Malaysia. Dengar cerita dah jadi penduduk
tetap," Haji Basilam terus bangun dan meninggalkan bilik khas. kami terus
mengekorinya.
"Berapa?"
Haji Basilam segera menyeluk sakunya dan
mengeluarkan wang (wang rupiah) untuk membayar harga minuman. Jaafar yang duduk
tertonggok dibelakang meja, segera donggakkan muka ke arah Haji Basilam.
"Simpan duit tu."
"Ini yang susahnya, bila singgah di
kedai kamu Jaafar."
"Jangan susah hati. pertolongan susah
nak saya balas."
"Hum..." Haji Basilam dan Jaafar
masih mahu bercakap lagi, saya dan Andi Kamarool segera beredar ke kaki lima
warung dan berdiri di situ.
"Ayuh kita teruskan perjalanan."
Haji Basilam menepuk bahu saya dan dan Andi
Kamarool. Saya masih ragu- ragu untuk melangkah kerana saya tidak tahu berapa
jauh jarak antara kedai Jaafar ke tempat yang mahu dituju. Kalau jauh
berbatu-batu memang tidak wajar berjalan kaki dalam panas yang begini terik.
"Mari."
Haji Basilam segera menarik tangan saya dan
Andi Kamarool.
"Jalan kaki?" soal saya.
"lyalah, ikut jalan pintas," sahut
Haji Basilam. Kami tiada pilihan dan terpaksa akur dengan kata-kata Haji Basilam.
EPISOD
EPISOD menuju ke rumah atau ke kampung tempat
datuk menanti pun bermula. Setelah melalui jalanraya dalam jarak enam rantai,
kami melencung masuk lorong yang kecil dan sempit, berhenti di bawah pokok
besar yang terdapat busut jantan setinggi berdiri. Haji Basilam memberikan kain
hitam berukuran sapu tangan kepada kami.
"Tutup mata kamu dengan kain hitam tu,
ikat kemas-kemas. Jangan banyak membuang masa lagi, ikatlah sekarang
juga." Tanpa banyak cakap, arahan itu segera kami patuhi. Memang tidak
selesa rasanya, bila pandangan menjadi hitam gelap. Fikiran pula mula dibayangi
dengan bermacam- macam perkara yang menakutkan. Bagi menguatkan semangat dan
keyakinan diri, dan Andi Kamarool saling berpegang tangan.
"Dengar sini,Tamar pegang hujung baju aku
sebelah kiri. Andi pegang hujung belah kanan. Letak kaki kanan di depan, tahan
nafas sambil menghitung atau mengira sampai tiga belas. Bila aku kata, dah
sampai segera lepaskan hujung baju aku...." Haji Basilam berhenti
bercakap.
Terdengar bunyi telapak kakinya memijak
reranting dan rerumput di depan kami.
"Ingat cakap aku Tamar, Andi."
Serentak kami mengangguk kepala.
Kalau tadi, kami dapat mendengar bunyi kicau
burung dan deru angin. kini tiada kedengaran lagi. Kami berdepan dengan suasana
sunyi sepi.
"Kamu dah dengar penerangan aku."
terdengar suara-Haji Basilam bagaikan berirama," aku harap kamu berdua
faham dan sudah bersedia untuk melakukannya," tambah Haji Basilam.
"Kami faham," serentak kami
menjawab.
"Sudah bersedia?"
"Sudah."
"Kalau begitu, kita mulakan," suara
Haji Basilam terus bergema. Arahannya segera dipatuhi.
Sebaik saja hujung bajunya dipegang, saya
dapati tubuh bagaikan terangkat dan terasa seperti berada diawangan-awangan
lalu bergerak ke depan dengan laju bagaikan ada kuasa yang mendorongnya, dari
arah belakang. Kedua belah cuping telinga terasa sejuk disentuh angin, lubang
telinga berdengung macam rasa pekak.
Ada ketikanya, saya terasa bahagian-bahagian
tubuh ini bagaikan bersentuhan dengan pepucuk dan reranting kayu.
Malah sepatu getah yang dipakai terasa
seperti mahu tercabut dari kaki. Saya cuba bersuara tetapi, tidak boleh berbuat
demikian. Bila mulut dibuka, angin terus masuk menyebabkan saya sukar bernafas.
HASRAT
RINTANGAN yang dihadapi, mengagalkan hasrat hati
untuk memberitahu Haji Basilam apa yang sedang saya alami.
Saya tidak tahu, apakah Andi Kamarool
mengalami perkara yang sama. Seperti apa yang saya alami. Barangkali, dia juga
sedang terbang macam saya. di saat mengelamun dan berfikir, saya terasa geralaju
tadi, sudah beransur perlahan dan badan mula memberat serperti mahu jatuh.
Rasa cemas dan bimbang mula bertandang, saya
bimbang kalau secara mendadak saya akan terhempas ke bumi. Sudah pasti ada
tulang belakang yang patah, mungkin ada daging dan tulang yang tersangkut di
dahan kayu.
Dengan sedaya-upaya saya cuba mengimbangi
badan. Lagi sekali saya berdepan dengan kegagalan, badan terus memberat dan
sepasang telapak kaki memecah bumi. Badan saya terus berpusing macam gasing.
Hujung baju Haji Basilam terlucut dari genggaman dan saya terhumban ke
permukaan bumi. Bergolek ligat dan akhimya terhenti.
Sepasang kelopak mata terbuka, saya tergolek
di padang kerbau dengan rumput yang menghijau, berdekatan dengan sebatang anak
sungai yang airnya amat jernih tetapi mengalir lambat kerana dihalang oleh
reranting dan akar pohon yang tumbuh ditepi tebing.
Bila toleh ke kanan, saya lihat Andi Kamarool
terlentang merenung langit. Sedangkan Haji Basilam berdiri tegak antara kami.
"Bangun," katanya sambil tersenyum
lebar.
Saya raba cuping telinga, pangkal hidung dan
batang leher. Perlahan- lahan saya mengucapkan syukur pada Allah. Andi Kamarool
juga lihat saya sedang terkial-kial berusaha untuk berdiri.
"Bangun cepat," Haji Basilam
sengaja meninggikan perkataan "cepat".
Ternyata taktiknya itu membuat kami melompat
dan berdiri pantas. Dia tidak sekadar bercakap saja, alam perkataan ada mentera
pembakar semangat. Dalam hembusan nafas ada iringan angin halus mengerakkan
urat saraf. Itulah keistimewaan Haji Basilam, menurut hemat saya.
"Dari sini kita jalan kaki."
"Ke mana?" Tanya saya.
"Ke tempat datuk kamu menanti."
"Jauh?" Andi Kamarool minta
kepastian.
NAFAS
"TAK jauh, lebih kurang empat lima
rantai saja. Lepas kawasan belukar, nampaklah bumbung rumah," sambung Haji
Basilam sambil melihat hujung baju sebelah kiri dan kanan yang kami paut..
"Bagus, baju aku tak koyak tapi,
kamu..." sepasang anak mata hitamnya tertumpu ke arah batang hidung
saya,"banyak syarat yang tak kamu patuhi. Akibatnya, perjalanan jadi
susah." "Maksudnya?" Saya menyoal. "Kau tidak menghitung
seperti apa yang aku suruh." Saya anggukkan kepala.
"Kamu banyak berkhayal, berbeza dengan
Andi yang patuh dengan perkara yang aku suruh. Kerana masalah yang kamu timbulkan
membuatkan aku tidak dapat mengeluarkan perintah seperti yang aku rencanakan.
Akibatnya, kamu tidak boleh turun dengan baik, kamu jatuh. Andi turut sama
tumpang susah."
Penjelasan yang diaturkan oleh Haji Basilam
membuat saya menarik nafas. Jauh disudut hati, saya mengakui kebenaran dari
kata- kata tersebut.
"Usah fikirkan perkara yang sudah
terjadi," serentak bahu saya dan Andi Kamarool ditepuk.
No comments:
Post a Comment