SAYA segera melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Andi Kamarool. Dua tiga kali saya pejam celikkan kelompak mata. Saya rasa kurang yakin dengan apa yang saya lihat.
"Apa yang mereka buat Andi?"
Andi Kamarool gelengkan kepala.
"Mereka korek kubur?" Soal saya
lagi.
"Barangkali," Andi Kamarool
menjawab lemah. Bau busuk terus menusuk lubang hidung. Saya jadi resah tidak menentu.
"Jangan bimbang Tamar, kita tunggu dan
lihat."
Saya akur dengan saranan Andi Kamarool itu.
Sepasang mata ditujukan ke arah beberapa
orang lelaki yang berbadan tegap. Mereka sedang mengerumuni sebuah kubur.
Hampir dua puluh minit kami menanti tindakan
selanjut dari kumpulan lelaki berbadan tegap. Saya menghitung jumlah mereka.
Enam orang semuanya, dua daripada mereka mengkais-kais tanah kubur dengan
cangkul, sementara yang lain bercakap sama sendiri dalam nada suara yang
perlahan.
Apakah kami wajar menunggu atau terus
mendekati kumpulan lelaki tersebut? Fikir saya sendirian. Andi Kamarool terus
termenung bagaikan orang menggelamun.
"Kita jumpa saja," bisik saya pada
Andi Kamarool.
"Merbahaya."
Saya terdiam seketika.
Alasan Andi Kamarool memang ada kebenarannya,
kalau kami terus mendekati mereka, mungkin kami dibelasah sampai setengah mati.
Tetapi, kalau kami berterusan mengintip dari jarak jauh mungkin lebih
merbahaya. seandainya kami disergap. Kami menghadapi masalah yang amat sulit.
Saya dan Andi Kamarool harus merumuskan keputusan yang jitu sebelum melakukan
sesuatu. Tersilap bertindak celaka akan menimpa diri.
Di bawah rerimbunan dedaun dan pokok, kami
memerah otak. Setelah dikaji dengan sehalus-halusnya, kami mengambil keputusan
keluar dari tempat persembunyian untuk memperkenalkan diri kepada kumpulan
tersebut. Dan kami bersedia menerima apa saja risiko.
Dengan penuh keyakinan, kami melangkah keluar
dari tempat persembunyian menuju ke arah kumpulan lelaki yang berbadan tegap.
Mereka menyedari kedatangan kami tetapi, berpura-pura tidak tahu. Kami terus
melangkah mendekati mereka.
"Asalam-mualaikum," kata kami
serentak.
"Mualaikum salam," jawab mereka,
batang tubuh kami menjadi sasaran biji mata mereka.
Hati kecil saya merasa cemas dan Andi
Kamarool nampak tenang sekali. Dan kehadiran kami tidak dipedulikan.
"Ada orang meninggal?". Saya
memberanikan diri.
Mereka membisu dan saling berpandangan sama
sendiri.
"Siapa yang meninggal?", Susul saya
lagi.
"Huh, menyibuk pula," salah seorang
daripada mereka merunggut.
"Sabar, biar aku uruskan," lelaki
yang berkulit agak cerah menepuk bahu kawannya dua tiga kali dan terus berdiri
berdepan dengan saya.
'Tak ada orang yang meninggal," sepasang
biji matanya dijengilkan ke arah saya. Andi Kamarool segera menendang betis
kiri, memberi syarat supaya saya berhati-hati.
"Kalau tak ada orang mati, kenapa
kerumun kubur, bawa cangkul dan datang ke sini," cara bersahaja sekali
Andi Kamarool menyoal.
Saya lihat muka lelaki yang berkulit agak
cerah itu segera berubah, nampak bengis dan marah. Jelingannya cukup tajam
menikam ke wajah Andi Kamarool. Saya lihat dia menggengam penumbuk, saya jadi
cemas kalau dia melepaskan penumbuk ke muka Andi Kamarool.
"Balik saja Andi," bisik saya.
“Tunggu dulu,” nada suara Andi Kamarool
keras. Saya tidak ada pilihan dan terpaksa akur dengan permintaannya. Dalam
erti kata lain, saya harus menghadapi atau menerima risiko yang akan terjadi.
"Kenapa kamu berdua sibuk urusan orang
lain," cukup keras suara lelaki yang berkulit agak cerah itu. Dia bergerak
ke kiri dan ke kanan. bagaikan mencari tempat berdiri yang sesuai dan selesa
untuk membuka silat.
"Kamu nak tahu ceritanya?"
sergahnya. Serentak kami anggukkan kepala. "Aku ingat, kamu berdua orang
luar."
"Iya," cepat sekali aku dan Andi
Kamarool menjawab.
Dalam sekelip mata saja mereka terus
mengelilingi kami. Beberapa orang daripada mereka sengaja menolak badan kami
dengan bahu. Malah, ada yang cuba mengutuk dan memaki kami. Sudah tentu
perbuatan itu membuat hati jadi panas. Mujurlah saya masih ingat dapat mengawal
perasaan.
PANAS
DI tengah suasana yang serba panas itu,
lelaki berkulit cerah bertindak menyuruh kawan-kawannya yang mengelilingi saya
dan Andi Kamarool beredar. Arahan itu segera dipatuhi, barulah hati saya merasa
aman dan tenteram.
"Kamu berdua nak tahu ceritanya kenapa
kami ada disini," ujar lelaki berkulit cerah. Wajah kami direnung penuh
dengan perasaan geram.
"Iya, kami sekadar nak tahu," kata
saya.
Kubur ni dipanah petir petang semalam. Bau
busuk dan hangit yang kamu berdua hidu, datangnya dari kubur ini. Sekurang kamu
dah dengar ceritanya. Aku nasihatkan kamu berdua berhambus dari sini, jangan
nak siasat, ini urusan kami, bukan urusan kamu berdua. Kalau kamu tak pergi,
kamu berdua susah nanti."
Saya dan Andi Kamarool terlopong mendengar
cerita yang agak pelik dan ganjil. Saya renung wajah lelaki yang bengis itu
sejenak. Dia menjengilkan biji mata. Tidak memperlihatkan tanda-tanda
persahabatan.
"Ada hubungan keluarga dengan
awak?", tanya Andi Kamarool.
"Saya suruh awak berdua berambus dari
sini, bukanya bertanya lagi. Fahammmmmmm," jerit lelaki berkulit cerah.
"Maafkan kami," saya mohon.
"Pergi sekarang, sebelum batang cangkul
kena kepala," lelaki itu merampas cangkul dari salah seorang kawannya lalu
mengacukan ke arah kepala kami.
Setelah diusir, kami tidak ada pilihan dan
terpaksa meninggalkan kawasan perkuburan. Sebelum berangkat. kami sempat
melihat keadaan permukaan tanah kubur.
Di bahagian tengah kubur terdapat lubang
besar akibat dipanah petir. Tanah sekeliling lubang nampak hitam, kain kafan
dan papan keranda bertaburan. Tulang dan daging simayat yang sudah rentung
kelihatan di sekitar kubur. Batu nisan dibahagian kepala patah dua manakala
bahagian kaki tidak kelihatan langsung.
Kesan petir yang hebat dan kuat itu masih
kelihatan. Tanaman dan pepokok yang terdapat di kawasan perkuburan terbakar
hangus. Dedahan pokok yang patah menimpa beberapa kubur lain batu nisan yang
patah bergelimpangan.
"Cepatlah, jangan renung sana, jangan
renung sini."
Andi Kamarool terus menarik tangan saya.
Sesungguhnya, saya masih belum puas melihat keadaan sekitar. Memang diharapkan
semasa merenung itu, saya akan terlihat batu petir yang dikatakan mempunyai
seribu kegunaan. Saya ingin memilikinya.
"Cepatlah Tamar, kau lihatlah tu."
Saya segera melihat ke arah yang disebutkan
oleh Andi Kamarool. Hati menjadi kecut. Kumpulan manusia yang mengerumuni kubur
masih merenung ke arah kami. Di tangan mereka tersedia dahan kayu.
"Kita lari Andi."
"Ayuh."
Dan kami pun memulakan langkah seribu. Terus
berlari tanpa mahu menoleh ke arah mereka. Akibat takut, bau busuk dan hangit
terus hilang.
PERHATIAN
APA yang dialami, kami ceritakan pada datuk
dan Haji Basilam. Ternyata, mereka seperti ambil peduli. Apa lagi untuk
memberikan sebarang komentar. Dan saya terus berusaha menarik perhatian mereka
dengan mengulangi dan menyebut kisah tersebut berulangkali. Ternyata usaha saya
itu berhasil membuka mulut datuk.
"Kamu berdua masih bernasib baik, tidak
dipukul." Datuk terus sandarkan tubuh ke dinding. Kedua belah kakinya
diluruskan. Saya dan Andi Kamarool yang duduk berdepan dengannya (datuk)
berbalas senyum. Malangnya, setakat itu sahaja datuk bersuara.
Kami kembali dibelenggu perasaan hampa.
Haji Basilam yang baru pulang dari warung,
membeli kuih untuk sarapan pagi tersenyum melihat kami membatu di depan datuk.
Haji Basilam terus ke ruang dapur. Dan dia datang kembali menghampiri kami
membawa sedulang air kopi dan kuih.
"Minum."
Dia pun meletakkan secangkir kopi di depan
saya dan Andi Kamarool.
"Terima kasih, aku tak mahu kopi, bagi
aku air suam."
Haji Basilam mengenepikan cawan kopi dan
meletakkan segelas air suam di hadapan datuk.
"Memang sudah dijangkakan, fasal tu saya
buat satu cawan kopi dan segelas air suam," makna, penuh kemesraan.
"Terima kasih, sahabat yang memahami
tingkah laku, perangai serta kegemaran kawan seperjuangan," balas datuk
tenang bersama senyum yang memanjang di kelopak bibir.
Suasana kembali tenang seketika.
Masing-masing menghirup air minuman. Dari gerak-geri dan air mukanya, saya
dapat menduga yang Andi Kamarool masih mengharapkan datuk menyambung kata-kata
yang sudah terputus agak lama itu.
"Apa yang dikatakan oleh datuk kamu tu
memang benar, kamu berdua sungguh bemasib baik," hujung jari-jemari Haji
Basilam mengosok-gosok badan cawan perlahan-lahan. Cawan diangkat lalu air kopi
diteguk.
Kerana terlalu lama duduk membuat bahagian
pinggang saya terasa lenguh. Saya mengeliat dua tiga kali ke kiri dan ke kanan
hingga rasa lenguh hilang.
"Kamu berdua memang bernasib baik,"
Haji Basilam meletakkan cawan dilantai. Kali ini, wajah kami berdua menjadi
sasaran biji matanya.
"Haji."
"Iya, ada apa sahabat," Haji
Basilam renung muka datuk.
"Aku fikir eloklah kamu selesaikan
perkara budak berdua ini."
"Maksud sahabat."
"Eloklah kamu ceritakan, biar mereka
tahu betapa merbahaya kerja yang mereka buat. Mengintip kerja orang lain bukan
perbuatan yang baik." nada suara datuk lembut sekali.
Selesai saja dia mengakhiri kata-kata
tersebut. datuk pun menarik nafas dalam-dalam. Sisa air angin dalam cawan
segera dihirupnya. Entah mengapa, tiba-tiba saja datuk mengelengkan kepalanya
berkali-kali, macam ada sesuatu yang dikesalinya dan akhirnya, wajah kami
menjadi sasaran biji matanya.
"Syukurlah kamu berdua tidak
diapakan-apakan," ulang datuk lagi.
Sesungguhnya. saya kurang senang dengan
kata-kata yang diluahkan. Hati kecil terus merumuskan yang datuk seolah-olah
menyindir kami. Saya pun melahirkan protes dengan menggenggam penumbuk serta
menekankannya ke permukaan lantai.
Andi Kamarool melahirkan rasa kurang
senangnya dengan merenung ke arah tingkap yang mula dimasuki sinar matahari.
Bila rasa marah mula menurun saya bersedia mendengar kata-kata yang bakal
diungkapkan oleh datuk. Tidak kira sama ada ungkapan itu mengembirakan atau
menyakitkan perasaan. Ternyata datuk tidak mengungkapkan sepatah kata pun. Dia
lebih banyak termenung. Sekali- kali mengkedutkan dahi. Suasana terasa agak
damai. Masing-masing membatu melayani perasaan.
PECAHKAN
HAJI BASILAM memecahkan suasana damai dan
hening. Dia sengaja melagakan punggung cawan dengan bibir piring. Datuk tersintak
dari lamunan dan segera menoleh ke arah Haji Basilam tanpa memberikan sebarang
komen. Haji Basilam segera melunjurkan kaki kiri serta memicit buah betis
berkali-kali. Agaknya, dia mahu menghalau rasa lenguh yang bersarang di kaki
kirinya.
"Apa yang dikatakan oleh datuk kamu tu,
Tamar memang benar. Kamu berdua memang bernasib baik," Haji Basilam
bersuara dengan tenang. Datuk segera angkat muka dan senyum ke arah Haji
Basilam.
"Kamu teruskan Haji."
"Saya cuba."
Dengan segera saya cubit bahu Andi Kamarool.
"Kita tunggu Tamar," bisik Andi
Kamarool.
"Cakap kamu betul," saya berharap
misteri kubur kena panah akan segera tersingkap. Andi Kamarool memang ingin
mengetahui mayat siapakah yang dikuburkan disitu.
"Haji."
"Ada apa hal," Haji Basilam menyoal
datuk.
"Uruskan," sahut datuk sambil
bangun lalu meninggalkan kami.
"Kenapa dengan dia tu, Pak Aji?"
Tanya Andi Kamarool.
Dengan senyum, Haji Basilam mengangkat kedua
belah sayap bahunya. Perasaan saya mula kurang tenteram. rasanya macam ada sesuatu
yang tidak kena. Barangkali antara datuk dengan Haji Basilam sudah terjalin
permuafakatan. Segala soalan yang kami ajukan harus dijawab oleh Haji Basilam,
demikian hati kecil membuat kesimpulan.
"Kerana datuk kamu suruh aku terangkan.
biarlah aku terangkan," begitu bersahaja nada suara Haji Basilam. Dan
ungkapan itu, bagaikan menguatkan lagi kata hati saya. Haji Basilam bingkas
dari tempat duduk. Berjalan ke arah jendela, berdiri disitu merenung pepohon
dan awan dilangit.
Dan apa yang dilakukan oleh Haji Basilam
menimbulkan tanda tanya dalam diri saya dan mungkin juga dihati Andi Kamarool.
Tanpa diduga, secara mendadak Haji Basilam duduk bersila didepan kami. Saya dan
Andi Kamarool saling berpandangan.
"Sebelum kamu berdua bercerita tentang
apa yang kamu alami pada kami perkara tu sudah ada dalam kepala kami. Semuanya
kami tahu," wajah Haji Basilam nampak serius sungguh.
"Huuuuuhhh....." keluh saya dan
Andi Kamarool serentak dengan mulut terlopong. Otak terus dihujani dengan
seribu persoalan. Haji Basilam ketawa terkikih melihat kami agak terkejut.
"Kamu berdua terkejut?" Ulangnya
lagi. Kali ini, kami menganguk serentak. Entah kenapa secara spontan Haji
Basilam menepuk bahu kami. Barangkali, dia cuba memujuk atau menenangkan
perasaan kami.
"Tiga hari sebelum kamu berdua tiba,
rumah ni didatangi oleh seorang lelaki yang berumur kira-kira tiga
puluhan." Haji Basilam mengaru hujung hidungnya. Kedua belah tangannya
didepangkan.
"Apa hal orang tu datang?" Andi
Kamarool yang tidak mahu kisah itu terputus begitu saja, terus bertanya.
"Dia mengajak kami berdua datang ke
rumahnya."
"Sebabnya?" Saya mencelah.
"Katanya, jirannya sakit tenat."
Saya lihat haji Basilam begitu berhati-hati
sekali meluahkan kata-kata.
Sepasang anak matanya merenung liar ke kiri
dan ke kanan. Dia bagaikan terasa ada sesuatu yang memerhatikan gerak gerinya.
"Kemudian bagaimana Pak Aji,” Andi
Kamarool terus mendesak.
"Kami pun pergi dan sesudah melihat muka
pesakit....." Haji Basilam menelan air liur dan berhenti bercakap. Lagi
sekali dia bangun dan menuju ke tingkap, meninjau keadaan di luar. Dia kembali
duduk bersimpuh di hadapan kami. "....setelah muka pesakit tu direnung
datuk kamu terkejut besar dan mengucap panjang. Dia tidak menyangka sama sekali
orang yang sakit dihadapannya, adalah orang yang di carinya selama ini."
sambung Haji Basilam.
DEBAR
PERJELASAN itu sungguh mendebarkan hati.
Penuh misteri dengan seribu teki-teki yang sukar diramalkan jawapannya. Haji
Basilam kelihatan seperti tidak mahu meneruskan cerita.
"Pak Aji, saya nak tanya satu perkara?
"Silakan Tamar."
"Apa hubung kaitnya datuk saya dengan
sipesakit tu?."
"Tak ada apa-apa hubungan, saudara dekat
pun tidak, saudara jauh pun bukan tapi..." Haji Basilam berhenti bercakap.
“Tapi, apa pula Pak Aji?". Agak tinggi
nada suara Andi Kamarool yang tidak dapat menahan perasaan ingin tahu.
"Suaminya," wajah saya mula
direnung dengan tajam oleh Haji Basilam. Bibirnya nampak bergerak-gerak,
"arwah suaminya dulu kenalan rapat datuk kamu Tamar. Anak jati Kampung
Tualang Sekah dekat Malim Nawar. Datuk neneknya berasal dari Tanah Kerinchi.
Semasa hayatnya arwah semasa hidupnya bertugas sebagai imegrisen beribu Pejabat
di Pulau Pinang," Haji Basilam mula menyingkap masa lampau yang penuh misteri.
Saya dan Andi Kamarool terus pasang telinga
dan berdoa semoga Haji Basilam akan meneruskan ceritanya hingga tamat. Tidak
setakat separuh jalan sahaja.
"Bila bersara, dia dilantik oleh pihak
istana menjadi orang bergelar. Semuanya itu, kerana mengenangkan jasanya yang
banyak pada pemerintah," sambung Haji Basilam dengan wajah yang berseri.
Kali ini, dia kelihatan tidak takut-takut atau cemas lagi.
"Bila dah jadi orang bergelar, mesti
banyak benda dan wang ringgit," Andi Kamarool mencelah. Haji Basilam
anggukkan kepala, membenarkan kata-kata Andi Kamarool.
"Masa dalam kerja lagi, dia terkenal
sebagai pegawai kerajaan yang rajin membuat harta. Kata orang, dia memang hidup
mewah, macam orang kaya. Tidak mengambarkan yang dirinya itu seorang pegawai kerajaan,
dia layak dipanggil jutawan."
"Dia tak ada anak ke Pak Aji?" Saya
cuba merisik.
Haji Basilam mengekedutkan dahinya, merenung
permukaan lantai. Kemudian menarik nafas dalam-dalam. Macam ada sesuatu yang
menyentuh hati nuraninya.
"Itulah malangnya," suara Haji
Basilam amat perlahan sekali,"seorang anak lelakinya di hantar ke
Australia, belajar di sana. Bila tamat pengajian, tidak mahu balik, menetap
terus di sana. Akhirnya, mati kemalangan jalanraya," kepiluan tergambar di
wajah Haji Basilam. Buat beberapa detik dia diam terharu.
"Itu saja anaknya?" Tanya Andi
Kamarool setelah melihat Haji Basilam dapat mengawal emosinya.
"Ada seorang lagi, anak perempuannya di
hantar belajar ke England. Kahwin dengan orang putih beranak cucu disana, tidak
mahu balik ke Tanah Semenanjung. Mungkin kerana kecewa berdepan dengan keadaan
yang tidak menyenangkan itu, orang bergelar jatuh sakit, puas berubat ke
mana-mana sakitnya tidak juga sembuh," Haji Basilam berhenti lagi dan
kembali termenung.
No comments:
Post a Comment