"Lelaki tua yang tertonggok didepan kami
ialah Haji Basilam. Dulu memakai songkok, sekarang pakai serban. Dia menarik
dan melepaskan nafas dengan perlahan. Biji matanya dihalakan ke wajah saya.
"Kenapa tak tunggu di tempat yang dijanjikan?"
cepat-cepat saya alihkan pandangan ke muka Andi Kamarool. Minta bantuan agar
dia menjawab pertanyaan Haji Basilam.
"Kami terlupa, terlanjur menumpang lori
Abu Zaharin, kami ajak kemari," jelas Andi Kamarool.
"Siapa suruh kamu ke mari ?" Sergah
Haji Basilam, gerak matanya membayangkan kekesalan. Dia langsung tidak
memberikan perhatian kepada Abu Zaharin yang berdiri disebelah Andi Kamarool.
"Bukankah Pak Haji dan datuk nak datang
ke Danau Kerinci," saya cuba mempertahankan tindakan yang kami lakukan
memang wajar.
JARI
MENDENGAR kata-kata yang saya luahkan itu,
Haji Basilam menggigit bibir sambil jari-jemari kanannya memain hujung serban.
Dia terus mengerutkan kening.
"Tapi, aku dan datuk kamu tak suruh
datang ke sini. Kami suruh kamu berdua tunggu di kedai Saad mata sebelah. Lain
yang disuruh lain pula yang kamu berdua buat," Haji Basilam merungut
tetapi wajahnya tidak sekeruh tadi. Sudah cerah dan boleh tersenyum kepada
kami. Dengan Abu Zaharin dia masih buat tidak kisah, seolah-olah Abu Zaharin
tidak wujud.
"Hairan juga Pak Haji bagaikan tahu kami
ada dalam lori," begitulah, berdasarkan riak wajah Andi Kamarool cuba
memberanikan diri menyoal Haji Basilam.
Pertanyaan yang diajukan itu tidak dijawab
oleh Haji Basilam. Entah mengapa, secara mengejut saja dia tumpukan perhatian
kepada Abu Zaharin lalu menghadiahkan senyum persahabatan yang disambut dengan
penuh kemesraan oleh Abu Zaharin.
"Maaf, saya nak bercakap dengan
budak-budak ni sekejap, awak tunggu di sini."
"Silakan," balas Abu Zaharin.
Dengan tergesa-gesa Haji Basilam menarik
tangan saya dan Andi Kamarool ke belakang lori kecil. Kali ini secara
terang-terangan Haji Basilam melepaskan ledakan kemarahan untuk kami.
Haji Basilam meningatkan kami supaya
berpegang teguh kepada janji dan jangan mengulangi perbuatan yang boleh
merisaukan hati orang lain. Apa yang terdaya saya dan Andi Kamarool lakukan
ialah mohon maaf padanya.
"Kami tak niat nak susahkan pak haji,” nada
suara saya lemah. "Sebaik saja aku sampai ke kedai Saad mata sebelah, aku
tengok kamu berdua tak ada. Seluruh anggota sendi aku lemah, bila Saad mata
sebelah beritahu dia nampak dua orang budak lelaki naik lori kecil, kepala
merah," penuh perasaan Haji Basilam bercerita. Mulut kami berdua terlopong
mendengarnya.
"Dia beri nombor lori dan arah mana lori
itu pergi, aku pinjam motosikalnya, kejar kamu berdua " tambah Haji
Basilam lalu kami sambut dengan ketawa dan ketawa kami berhenti dengan serta
rnerta bila Haji Basilam menjengilkan biji matanya kepada kami.
"Sepatutnya kawan pak haji itu panggil
kami," Andi Kamarool tersengih.
"Dia tak begitu yakin. Syukur kamu
berdua selamat, aku takut kamu berdua kena colek."
Sungguh melucukan andaian Haji Basilam
tetapi, kami tidak berani ketawa.
"Siapa nama drebar lori yang kamu
tumpang tu?" Anak matanya terdampar ke wajah Andi Kamarool. Andi Kamarool
pula menghalakan pandangannya kepada saya.
"Abu Zaharin, anak saudara Haji Simpul.
Dia yang suruh kami naik lori ni, dia juga beritahu kami yang Haji Basilam dan
datuk berada di salah sebuah kampung dekat Danau Kerinci," kata saya, air
muka Haji Basilam berubah. Dahi dan keningnya berkedut. Tanpa berkata apa-apa
Haji Basilam meninggalkan kami. Tindakan itu. sudah pasti mengejutkan saya dan
Andi Kamarool.
Rupa-rupanya Haji Basilam menerkam ke arah
Abu Zaharin yang sudah berada dalam lori kecil. Kami lihat mereka bercakap
sebentar. Tidak lama kemudian Abu Zaharin melompat turun dari lori. Haji
Basilam menepuk bahu Abu Zaharin mereka berpelukan penuh mesra. Kemudian
serentak mereka melangkah menghampiri kami.
"Bapa saudaranya Haji Simpul aku kenal .
Kawan rapat ayah si Mia. Kenapa kamu berdua tak beritahu aku," cukup
lantang suara Haji Basilam. Abu Zaharin tersengih. mereka masih berpelukan.
"Kalaulah aku tahu, kamu berdua naik
lori anak saudara Haji Simpul memanglah aku tidak bimbang. Kamu mesti
selamat." wajah Haji Simpul nampak ceria sekali. Telapak tangan kanannya
terus menepuk-nepuk bahu Abu Zaharin, bagaikan sudah berkenalan bertahun-tahun.
PELUH
PANAS yang menggigit tubuh membuat
bintit-bintit peluh halus menguasai dahi saya dan Andi Kamarool . Dengan hujung
serban Haji Basilam menyapu peluh di dahi. Senyum Abu Zaharin bertali arus
dikelopak bibir.
"Bagaimana? Boleh saya tinggalkan mereka
berdua disini." Saya dan Andi Kamarool berpandangan. Macam-macam perkara
yang kurang menyenangkan timbul dalam tempurung kepala saya. Barangkali Abu
Zaharin sengaja mahu mempermainkan kami. Mana mungkin kami boleh menumpang
motosikal Haji Basilam.
“Sabar dulu, tunggu sekejap," tahan Haji
Basilam. Kami mula merasa lega.
Di bawah sinar matahari yang kian keras itu,
Abu Zaharin tatap wajah Haji Basilam dengan seribu persoalan.
"Masih memerlukan pertolongan saya
lagi?"
"Sudah tentu," Haji Basilam tentang
anak mata Abu Zaharin. “aku nak kirim motosikal ni," sambung Haji Basilam.
Abu Zaharin segera menggosok hujung hidungnya yang diruapi peluh harus.
"Nak kirim kemana pak haji?"
"Ke Sungai Penuh, hantarkan ke kedai
kopi Saad mata sebelah" bermain di wajah dan dahinya kembali berkerut.
Bintit-bintit peluh halus dihujung kerutan segera meleleh ke cerun pipi. Haji
Basilam tahu apa yang difikirkan oleh Abu Zaharin.
"Kedainya, sebelah kanan jalan besar.
Didepannya ada toko kain," kata Haji Basilam bagaikan berbisik.
"Oh, saya tahu," sahut Abu Zaharin
riang. "kalau begitu tolong naikkan motosikal atas lori," tambahnya
lalu menerkam ke arah motosikal. Dengan penuh tenaga dia mendorong motosikal
hingga ke bahagian belakan lori untuk dijadikan titian.
"Sekarang kita ramai-ramai tolak
motosikal," arahan pun dikeluarkan oleh Haji Basilam. Kami segera
mematuhinya.
Saya ditugaskan menolak motosikal dari
belakang, Abu Zaharin menjaga bahagian depan dan handle.
Andi Kamarool menjaga bahagian tepi. Haji
Basilam berdiri dalam perut lori kecil memberi arahan. Tidak sampai dua puluh
minit semua urusan selesai.
"Motosikal tu mesti diikat supaya tidak
jatuh bila melalui selekoh. Kamu ikatkan Tamar, ini talinya," Haji Basilam
mencampakan tali belati kepada saya. Tidak tahu dari mana dia memperolehi tali
tersebut. Saya sempurnakan ikatan dengan sebaik mungkin. Bagi mempastikan sama
ada ikatan itu kemas dan kuat, dua tiga kali badan motor saya goncang.
"Dah kuat tu, tak payah
digoyang-goyang," tegur Andi Kamarool.
"Aku pun fikir begitu, dah cukup kuat.
Lagipun aku bawa lori bukannya laju sangat," tingkah Abu Zaharin. Saya
terima semua komen yang diluahkan dengan senyum.
"Bab pertama sudah selesai." Semua
biji mata tertumpu ke arah Haji Basilam yang berdiri di tengah lori kecil.
Kemudian dia melangkah dan lantas terjun dari lori. Kami juga turut berbuat
demikian.
"Begini, kerana kamu mahu balik ke
Sungai Penuh, kami tumpang lori kamu separuh jalan. Turunkan kami di simpang,
dari situ kami berjalan ke kampung dalam. Datuk di Tamar menanti di situ."
"Boleh, tak jadi masalah. Saya boleh
hantar sampai ke kaki tangga," jawab Abu Zaharin lalu masuk kedalam lori.
Sudah tentu janji yang diluahkan itu membuat kami riang.
GARANG
SETELAH membuat pusingan, lori kecil kepala merah
berpatah balik menghala ke Sungai Penuh.
Matahari garang, Abu Zaharin nampak begitu
selesa memandu, begitu juga dengan Haji Basilam cukup aman duduk di sebelah.
Saya dan Andi Kamarool sengaja memilih untuk berdiri di bahagian belakang lori.
Tidak seronok rasanya duduk dekat Haji Basilam.
Lori kecil kepala merah terus bergerak
lancar, kami terpaksa berpaut pada dinding lori. Rambut kami mengerbang
disentuh angin dan mata mula berair, tidak boleh dibuka luas kerana pedih
akibat angin. Apa yang pasti sepanjang jalan itu, Abu Zaharin dan Haji Basilam
cukup rancak bercakap.
"Oooppp...," jerit saya sambil
berpaut pada dinding lori. Ternyata saya gagal mengimbangi badan, akibatnya
tubuh tersungkur atas lantai lori. Tergesa-gesa saya bangun.
"Celaka si Abu kenapa membelok macam
tu," terpancut kata dari mulut.
"Salah kamu juga, sepatutnya pegang
kuat-kuat dan berdiri betul," Andi Kamarool melunturkan pendapat. Memang
benar, apa yang diungkapkan itu. Saya cuai tetapi, memang dasar tidak mahu
mengakui kelemahan diri sendiri, saya tidak mahu menerima pandangan Andi
Kamarool.
MERAH
SETELAH melepasi selekoh tajam, lori kecil
berkepala merah mula bergerak perlahan. Di hadapannya terbentang simpang tiga,
kelihatan beberapa buah lori kecil, kereta dan motosikal berhenti di bibir
jalan. Para pemandu kenderaan tersebut menyemberang jalan menuju ke sebuah
warung yang terletak di kepala simpang.
"Cukup di sini saja Abu." gegendang
telinga saya dapat menangkap suara Haji Basilam dalam deru enjin lori. Tayar
lori mula melanggar rumput dan lopak tepi tepi jalan membuat tubuh saya dan
Kamarool turut bergerak ke kiri dan ke kanan, mengikut pergerakkan badan lori.
Akibatnya enjin lori dimatikan. Haji Basilam melompat turun.
"Turun, tunggu apa lagi,"
Saya dan Andi Kamarool segera terjun dari
lori.
"Kita minum di kedai seberang jalan
Abu."
"Terima kasih, kerana susah payah
menolong budak dua orang ni, sampaikan salam saya pada Haji Simpul."
"InsyaAllah."
Lori kecil berkepala merah terus meninggalkan
kami bertiga di gigi jalan. Perut mula terasa lapar. Saya mula teringat tentang
nasi lemak sambal tumis ikan bilis yang dibekalkan oleh Mia untuk kami.
Haji Basilam dongak ke langit, melihat
kedudukan matahari untuk beberapa minit. Kemudian dia tersenyum merenung ke
arah saya dan Andi Kamarool.
"Kamu berdua lapar?"
Kami segera mengangguk.
“Mia bekalkan kamu nasi lemak sambal tumis
ikan bilis."
“Iya Pak Haji, macamana Pak Haji tahu,"
tanya Andi Kamarool.
"Aku kenal emak bapa Mia, aku kenal
keturunannya. Memang sudah jadi rasmi keluarga Mia, setiap orang luar yang baru
dikenali dan bermalam di rumahnya akan dibekalkan dengan nasi lemak sambal
tumis ikan bilis bersama tiga biji bertih, hujung daun pisang pembungkus nasi
lemak sebelah kiri dipotong, kalau tetamu tidak dibekalkan dengan perkara
tersebut nanti SAKA menganggu, kecuali orang yang kuat ilmu batinnya.
Penjelasan Haji Basilam membuat saya dan Andi
Kamarool menarik nafas serentak. Memang tidak dinafikan, saya melihat bertih
dan daun pisang yang dipotong hujungnya ketika saya mahu memasukan bungkusan
nasi lemak kedalam beg galas. Cara kebetulan bungkusan itu terbuka sendiri.
“Tak usah susah hati, nasi lemak tu selamat
dimakan, kalau terjadi sesuatu yang tak baik aku boleh tawarkan," janji
Haji Basilam kepada saya dan Andi Kamarool.
Kami bertiga segera melintas jalanraya menuju
ke warung di kepala simpang. Kami disambut dengan ramah oleh pemilik warung
yang memang kenal Haji Basilam.
Kami tidak dibenarkan duduk bersama pelanggan
warungnya yang lain. Kami ditempatkan di bilik khas dan dilayan dengan sebaik
mungkin. Episod lapar yang kami alami pun berakhir. Nasi lemak yang dibekalkan
oleh Mia habis masuk perut, hingga kami terlupa untuk mencari bertih dan daun
pisang yang dipotong hujung.
"Haji ni berjasa besar kepada saya, dia
banyak membantu, kalaulah bukan kerana usahanya, mungkin awak berdua tidak
dapat singgah di kedai saya ini,” pemilik warung yang berhidung besar dengan
parut selebar dua inci dipipi kanan meletakkan tiga cawan kopi di depan kami.
"Usahlah dikenangkan perkara itu,
semuanya dengan izin Allah," jawab Haji Basilam. Pemilik warung
meninggalkan kami di bilik khas. Dia meneruskan tugasnya melayani pelanggan.
"Siapa namanya Pak Haji?" saya mula
mencungkil rahsia.
"Jaafar."
"Apa jasa pak haji dengannya?"
"Adalah sedikit, semuanya cara
kebetulan. Datuk kamu tahu ceritanya, kau tanyalah sama dia."
"Minta maaf, saya tak berani. Sambil
minum ada baiknya pak haji bercerita sambil lalu."
"Tolonglah ceritakan pak haji, kami
sekadar mahu mendengarnya.” rayu Andi Kamarool. Haji Basilam meneguk kopi,
matanya merenung dinding warung. Akhirnya, dia akur dengan permintaan. Haji
Basilam pun mulakan ceritanya.
TINGGAM
Di daerah Sumatera, sejenis ilmu yang disebut
TINGGAM masih dimanfaatkan atau digunakan bagi merosakkan (menyakiti) lawan
atau orang yang tidak disenangi. Bila TINGGAM mula berkerja (bergerak) bahagian
tepi leher terasa sakit sakit yang kadangkala berpindah pindah.
Bila sakit sudah sampai pada puncaknya
(kemuncaknya) dari tepi leher akan muncul jenis bisul yang kemudiannya pecah
serta mengeluarkan air yang busuk baunya. Akibatnya, sipengidap penyakit
dijauhi atau kurang disenangi.
"Pak haji, saya nak tanya apa makna
TINGGAM tu?" tanya saya.
"Perkataan TINGGAM berasal dari
Minangkabau yang bermaksud jampi-jampi untuk menjadikan seseorang itu sakit
bengkak-bengkak dan bahagian dan sebagainya dengan mencucukkan duri ekor ikan
pari pada gambar orang yang disakit atau pada ikan pari," jelas Haji
Basilam.
"Dahsyatnya.” keluh Andi Kamarool.
Selanjutnya Haji Basilam menjelaskan, TINGGAM
ada bermacam- macam jenis. Tetapi yang paling popular dan sangat jahat ialah
Tinggam tulang ikan pari. Tulang yang digunakan ialah tulang yang terdapat di
bahagian pangkal ekor iaitu tulang yang runcing & tajam. Tulang itu
digunakan untuk dimasukan ke tubuh musuh atau atau lawan secara ghaib.
Setelah tulang itu diambil ikan pari tersebut
dilepaskan kembali ke tengah laut. Jika ikan itu masih hidup, maka tulang yang
digunakan untuk tinggam tetap akan bergerak dalam tubuh orang yang dimaksudkan
sehingga orang tersebut hidup menderita.
"Si Jaafar pemilik warung ni, salah
seorang bekas mangsa Tinggam," bisik Haji Basilam kepada saya dan Andi
Kamarool. Dia memberi senyuman kepada Jaafar yang secara kebetulan masuk ke
bilik khas mengambil sesuatu untuk pclanggannya.
Kerana tidak mahu cerita tentang Tinggam dan
Jaafar mati begitu saja, kami berdua terus memujuk dan merayu Haji Basilam meneruskan
ceritanya. Usaha kami berhasil.
Menurut Haji Basilam, Jaafar anak jati
kampung Simpang merantau ke Pekan Baru yang ketika itu belum begitu maju dan
penduduknya tidak seramai sekarang. Haji Basilam tidak menyebut tahun berapa
Jaafar merantau ke tempat tersebut. Di rantau orang Jaafar berkenalan dengan
Marson yang berasal dari Magelang JawaTengah.
Perkenalan Jaafar dengan Masron terjadi
secara kebetulan.
Suatu petang lebih kurang jam lima, Jaafar
minum di sebuah gerai sambil menghirup teh fikirannya berperang sama sendiri.
Dia tidak dapat membuat keputusan yang pasti sama ada mahu terus memperjudikan
nasib di Pekan Baru atau merentas Selat Melaka menuju Melaka atau Johor.
Tiba-tiba Masron datang lalu duduk dikerusi
sebelahnya, mereka memperkenalkan diri masing-masing. Masron juga mahu mencuba
nasib di Pekan Baru kemudian merancang mahu pergi ke Pontian Kecil di Johor
kerana saudara sebelah ayahnya ada disitu.
Perkenalan singkat itu menghasilkan
persahabatan yang kental. Mereka memutuskan untuk mencuba nasib di Pekan Baru
dulu, kalau gagal baru mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu.
RUMAH
MASA terus berlalu, tidak terasa sudah lima
tahun Jaafar dan Masron bersahabat, bagaikan adik beradik. Masing-masing sudah
membuka perniagaan sendiri. Antara mereka berdua ternyata Jaafar lebih berjaya.
Pada suatu petang Jumaat, lebih kurang pukul
enam, Masron datang ke rumah sewa Jaafar, mereka merancang sembahyang jemaah
dan membaca Yasin. Sebagai meraikan sahabat karib, Jaafar menyediakan makanan
enak yang dimasaknya sendiri. Lepas sembahyang Isyak mereka akan makan bersama
diruang tamu.
Malam itu, setelah selesai melaksanakan
sembahyang Isyak. Jaafar terus ke dapur untuk mengambil makanan. Dengan tidak
diduga, dia jatuh dan terus pengsan. Di saat mahu rebah terdengar bunyi yang
agak kuat di bumbung, macam ada seseorang yang membalingkan batu ke atap genteng.
Masron segera memapah tubuh Jaafar, dibawa ke
katil dan dibaringkan. Pertolongan cemas segera dilakukan oleh Masron. Cepat
cepat Masron mendekatinya lalu memicit-micit tubuh Jaafar.
Masron yang tahu serba sedikit petua dan
pantang larang orang tua tua, segera membuat tanggapan bahawa ada sesuatu yang
tidak kena terjadi pada diri Jaafar.
Dalam rintihan kesakitan itu, Jaafar
memberitahu Masron bahawa di dalam tubuhnya terasa seperti ada benda yang
bergerak-gerak dan terasa mencucuk-cucuk. Hampir seluruh tubuhnya tidak dapat
digerakkan.
Masron terus berada di sisi Jaafar, sepanjang
malam dia tidak dapat tidur, malah makanan yang dimasak Jaafar tidak
dijamahnya. Dia terus berdoa agar penyakit aneh yang singgah di tubuh
sahabatnya segera hilang.
No comments:
Post a Comment