AKHIRNYA, saya mengetahui juga nama pemuda
misteri yang menjemput datuk dan Haji Basilam datang ke rumah pesakit. Nama
sebenarnya, Shamsul Anuar tetapi, dipanggil SHAM saja. Kata Haji Basilam,
orangnya kacak dan tinggi, berkulit putih kemerah-merahan. Rambut kerinting
berombak.
Kerana keistimewaan yang dimiliki tidak
hairanlah Sham menjadi pilihan janda tua yang dikelilingi wang ringgit.
Dua jam setelah berada di rumah (kira-kira
pukul lima petang) datuk dan Haji Basilam dikejutkan oleh kedatangan Sham.
"Ada apa hal Sham?" Tanya Haji
Basilam dari muka pintu.
"Dia sudah meninggalkan kita," ada
kesedihan terpamer di wajah Sham. Datuk segera berdiri di kanan Haji Basilam.
mereka saling berpandangan.
"Pukul berapa dia mati?" Tanya
datuk.
"Kira-kira setengah jam, selepas pakcik
berdua meninggalkan rumah."
"Sudah kamu beritahu orang lain tentang
kematian tu," keluar lagi pertanyaan dari mulut Haji Basilam.
"Sudah tapi, tak ada yang datang."
"Saudara mara kamu yang terdekat
bagaimana? Apa mereka juga tak datang?"
"Mereka datang, malangnya tak tahu nak
buat apa. Mereka tak tahu nak uruskan jenazah, tak pandai baca Quraan, tak
pandai baca yassin. Jadi, saya datang ni, nak minta tolong jasa baik pakcik
berdua uruskan jenazah isteri saya. Panggil orang kampung, mereka macam, tak
mahu datang," adu Sham dengan wajah yang sayu, penuh kehibaan. Dia begitu
setia menunggu di kepala tangga menanti jawapan dari datuk dan Haji Basilam.
Datuk dan Haji Basilam memang bersimpati
dengan Sham. Tetapi, dalam masa yang sama mereka terfikir, mengapa jiran
tetangga (orang kampung) keberatan memberi kerjasama pada Sham. Andainya,
mereka mengambil peranan menguruskan perkara tersebut, apa pula kata orang
kampung.
"Kami berdua bersimpati dengan kamu.
Masalahnya, tentu tidak elok kami membelakangi orang-orang di sini. Kami hanya
pendatang untuk sementara waktu di sini. Kalau kami mendahului mereka akan
menimbulkan kesulitan pula,"dalam nada suara tersangkut-sangkut datuk
memberikan pendapat. Sham, tunduk merenung kami.
"Tolonglah saya," Sham terus
merayu, "saya yakin, bila pakcik datang ke rumah, orang-orang kampung juga
akan datang. Kalau cara ini tidak berjaya, saya minta pakcik berdua jemput
mereka." Serentak dengan itu, Haji Basilam dan datuk menarik nafas
dalam-dalam.
Dan dalam usahanya meraih simpati dari datuk
dan Haji Basilam, Sham terus duduk bersila di kaki tangga. Usaha Syam itu
berhasil, rasa belas simpati terhadapnya, kian mengunung dihati datuk dan Haji
Basilam.
"Pelik. dalam keadaan sekarang, masih
ada orang yang tak tahu baca Quraan atau Yassin," bisik datuk ke telinga
Haji Basilam, tiada ungkapan yang Haji Basilam lahirkan, kecuali menggelengkan
kepala, tanda kesal.
"Begini saja, kamu balik dulu. Biar aku
jumpa Pak Imam, minta jasa baiknya, beritahu pada orang kampung tentang perkara
ini," itulah janji yang diluahkan oleh Haji Basilam kepada Sham. Ternyata,
janji itu amat menyenangkan hatinya. Wajahnya, nampak ceria sekali.
"Baiklah," sambutnya sambil bangun,
lalu melangkahkan kaki kanan meninggalkan halaman rumah.
Sebaik sahaja batang tubuh Sham hilang
dibalik liku jalan, datuk dan Haji Basilam segera bertindak. Dengan serta merta
mereka berangkat untuk menemui Ketua Kampung dan Pak Imam.
"Kalau mereka berdua tak mahu
bagaimana?" datuk bersuara.
"Kita pujuk hingga berjaya, perkara
begini tak boleh dibuat main-main," balas Haji Basilam.
"Iya, kita pujuk," datuk memberi
sokongan dan mereka mempercepatkan langkah.
CERAH
KETIBAAN datuk dan Haji Basilam disambut oleh
Ketua Kampung dan Pak Imam dengan wajah yang cerah. Cara kebetulan rumah Ketua
Kampung bersebelahan dengan rumah Pak Imam. Haji Basilam segera menyampaikan
berita dan tujuan kedatangan mereka. Meskipun tidak ada kata-kata yang
diluahkan oleh Ketua Kampung dan Pak Imam tetapi, datuk dapat membaca
keengganan mereka untuk memenuhi permintaan Haji Basilam melalui gerak-geri dan
mimik muka mereka berdua.
"Bagaimana? kita pergi sekarang,"
datuk cuba menguji.
"Tapi "
"Tak baik begitu, melihat dan mengurus
jenazah, jadi tanggungjawab orang yang hidup. fardhu kifayah hukumnya. Tidak
boleh dibuat ringan. Kalau jenazah tidak disempurnakan satu kampung tanggung
dosa, satu kampung ditanya di akhirat kelak," secara sambil lalu datuk
mengingatkan.
"Kalau ada apa-apa yang tidak baik,
eloklah kita lupakan saja, lagi pun dia dah mati," Haji Basilam bagaikan
memujuk dan merayu.
Buat beberapa ketika, Ketua Kampung dan Pak
Imam membatu. Akhimya, serentak mereka gelengkan kepala.
"Kenapa?" Tanya Haji Basilam sambil
membeliakkan biji mata.
"Masa hayatnya, mati hidup orang
sekeliling tak pernah mahu ambil tahu. Kenduri kendara orang kampung, tak mahu
campur. Dijemput pun tak datang," Ketua Kampung meluahkan suara hatinya.
"Lupakan saja perkara yang remeh
temeh," datuk cuba menenangkan keadaan.
"Kita kena tunjuk perkara yang baik pada
orang lain, kalau kita ikutkan perasaan marah dan benci, kita juga yang rugi.
Silap-silap cara orang lain tuduh kita pendek akal," lagi sekali Haji
Basilam mengeluarkan komentamya.
"Betul juga cakapnya," Ketua Kampung
renung muka Pak Imam.
"Saya belum bersedia, kalau nak pergi,
saya kena tukar pakaian dulu." Pak Imam mengaru cuping telinga.
Pendiriannya mula berubah.
"Saya juga begitu, belum bersedia,"
balas Ketua Kampung.
"Itu perkara mudah. kami tunggu. Pergilah
tukar baju dan kain kamu berdua,” ada keriangan bermain di wajah Haji Basilam.
Sementara menanti Pak Imam dan Ketua Kampung
menukarkan pakaian, datuk dan Haji Basilam duduk di bangku panjang di bawah
pokok manggis disudut rumah.
Kira-kira lima minit kemudian Pak Imam dan
Ketua Kampung muncul. mereka memakai baju melayu teluk belangga, berkain
pelekat samarinda. Kedua-duanya memakai songkok putih. datuk dan Haji Basilam
tersenyum gembira kerana berjaya memujuk dan melembutkan hati orang yang dianggap
penting dalam kampung tersebut.
"Mari," kata Ketua Kampung.
"Jum kita pergi," sahut Haji
Basilam dan datuk serentak.
Di bawah sinar matahari petang yang kian
condong ke barat, empat insan melangkah serentak dipermukaan jalan enam kaki
menuju ke rumah besar di hujung kampung.
Ketika mereka sampai di halaman rumah papan
besar beratap genting, mereka terhidu bau kemenyan. Beberapa orang anak muda
duduk berlonggok di bawah rumpun kemboja, kumpulan anak-anak muda itu berborak
kosong sambil menghisap rokok, ada juga di antara mereka sedang main catur.
Gerak-geri kumpulan anak-anak muda itu ternyata menarik perhatian Ketua
Kampung.
"Kamu kenal mereka?" Tanya Haji
Basilam pada Ketua Kampung.
"Bukan anak muda kampung ni."
"Habis dari mana?"
"Barangkali dari kampung lain."
"Hum....." Haji Basilam anggukkan
kepala dan dia tidak meneruskan pertanyaan berhubung dengan kumpulan pemuda
tersebut.
Selain dari kumpulan anak-anak muda tersebut,
tidak ada orang lain yang datang mengunjungi rumah simati. Keadaan sekeliling
rumah, tidak mengambarkan yang di dalam rumah besar itu ada sekujur mayat.
SEKITAR
MELIHAT keadaan sekitar, Ketua Kampung tidak
senang hati. Dia pun mengambil inisiatif yang drastik.
Ketua Kampung pergi mengetuk pintu rumah
penghuni kampung dan mengesa mereka datang ke rumah orang mati. Usaha Ketua
Kampung tidak mengecewakan. Rumah besar beratap genting di hujung kampung mula
didatangi oleh para penduduk.
"Terima kasih, usaha awak tidak sia-sia,
bila orang dah ramai, senanglah kita buat kerja," kata Haji Basilam sambil
menepuk bahu Ketua Kampung.
"Pengaruh awak memang kuat, sepuluh
minit awak tinggalkan kami disini, lebih dari seratus penduduk kampung dah
datang," datuk pula memuji, Ketua Kampung tersenyum dan merasa agak kesal
kerana meninggalkan datuk, Haji Basilam dan Pak Imam di halaman rumah.
"Suami simati tak nampak," Ketua
Kampung merenung ke kiri dan ke kanan.
"Tak nampak pula," datuk menjawab.
"Agak, dia sibuk di dalam rumah,"
tingkah Pak Imam.
"Kalau begitu. kita naik saja,
setidak-tidaknya kita boleh membaca yassin," datuk mengeluarkan usul.
Temyata tidak ada yang membantah. Semuanya akur dengan cadangan datuk.
Sebaik sahaja sampai di kaki tangga, langkah
datuk terhenti. Macam ada sesuatu yang menarik kakinya dari dalam bumi.
Pandangannya mula berpinar-pinar dan samar-samar. Kepala sebelah kiri terasa
amat sakit seperti ditusuk dengan besi tajam. Urat leher terasa tegang dan
datuk tidak dapat mengimbangi badan hampir sahaja datuk mahu jatuh di kaki
tangga.
"Kenapa ni?"
Haji Basilam segera menerpa dan memeluk tubuh
datuk. Ketua Kampung dan Pak Imam segera membantu. Dan datuk pun dibawa ke satu
sudut lalu didudukan atas bangku panjang.
Mereka pun merawat datuk dengan memicit dan
mengurut bahagian belakang. Perbuatan itu tidak dibenarkan oleh datuk
berlanjutan lebih dari tiga minit. Pantang bagi datuk, urat ditubuhnya di jamah
atau diurut sesuka hati. Dia mempunyai formula tersendiri dalam menanggani
masalah sakit ditubuhnya.
"Sudahlah, aku boleh bangun," datuk
mula terasa tenaganya sudah pulih seperti tadi. datuk segera berdiri dan
berjalan ke kiri dan ke kanan didepan bangku panjang.
"Kenapa dengan kamu?" Tanya Haji
Basilam secara berbisik.
"Aku semacam ternampak bayangan arwah
suami wanita itu duduk berjuntai kaki di muka tangga. Ditangannya ada
tempurung, dia berpakaian compang-camping, macam peminta sedekah. Bila aku
lihat lama-lama dia membalingkan tempurungnya ke arah aku membuat badan aku
terasa lemah dan kepala jadi pening," penjelasan datuk itu membuat Haji
Basilam mengkerutkan kening.
Pak Imam dan Ketua Kampung yang tidak dapat
menangkap apa yang dicakapkan oleh datuk pada Haji Basilam turut tersenyum.
"Bagaimana? mahu kita teruskan?"
Belum pun sempat datuk menjawap pertanyaan
yang diajukan oleh Haji Basilam, secara mendadak Sham muncul dimuka pintu.
"Silakan naik." jemputnya dengan
wajah damai.
datuk dan kawan-kawan mengucapkan terima
kasih dan terus naik ke rumah dan duduk menghadap mayat.
"Buka, saya tenguk mukanya," Pak
Imam mengkemukakan permintaan. Tanpa membuang masa Sham terus menunaikan.
Sebaik sahaja kain yang menutup bahagian mukanya dibuka, datuk dan Haji Basilam
mengalami kejutan yang amat sangat.
Mereka bagaikan tidak percaya, wajah wanita
yang dilihat beberapa jam sebelumnya sudah berubah sama sekali. Kulit dan
daging di bahagian pipi sudah relai, begitu juga dengan bahagian hidung dan
dagu. Tulang- tulang dibahagian tersebut jelas menonjol. Keadaannya amat ngeri
dan menakutkan.
"Tutup."
Sham segera menutup muka mayat isterinya.
"Apa yang patut saya buat pakcik?"
Tanya Sham.
"Kita uruskan macam mayat-mayat yang
lain," sahut Haji Basilam.
"Jadi, pakcik berdua uruskan."
"Ramai orang boleh uruskan, kita ada Pak
Imam, kita ada Ketua Kampung, mereka sanggup menolong," tingkah datuk
sambil merenung wajah Haji Basilam, Pak Imam dan Ketua Kampung.
"Tapi, hubungan saya dengan mereka tak
begitu baik," Sham seperti tergagap.
"Lupakan perkara yang lalu," Ketua
Kampung mula masuk campur.
Serentak Pak Imam, Haji Basilam dan datuk
anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang disuarakan oleh Ketua Kampung. Sham
tunduk seribu bahasa.
DOA
SETELAH menghadiahkan doa pendek pada si
mati, datuk dan kawan-kawan terus membaca surah yassin. Semasa yassin dibaca.
datuk dapat merasakan sepasang kaki mayat bergerak-gerak dalam kain. datuk buat
tidak kisah dengan kejadian itu. Dia terus membaca tetapi, kali ini sepasang
tangan mayat pula bergerak seolah-olah seperti minta tolong supaya dibangunkan.
datuk mempersetankan semuanya itu, dia terus membaca. Bila kepala mayat
bergerak-gerak, pembacaan datuk jadi terganggu.
Buat beberapa ketika datuk merenung sekujur
mayat yang sedang terbaring di depan matanya. Semuanya macam biasa, tiada
sesuatu yang ganjil. Bila pembacaan diteruskan mayat mula buat hal. Kaki,
tangan. kepala dan lutut turut bergoyang. datuk tidak tahu, apakah Pak Imam.
Ketua Kampung dan Haji Basilam turut mengalami seperti apa yang dialaminya.
Apa yang pasti, datuk berusaha dengan sedaya
upaya menghadapi suasana yang menakutkan itu dengan perasaan yang tenang. Nasib
baik, sehingga pembacaan yassin berakhir, tidak berlaku sebarang perkara yang
tidak diingini.
"Bagaimana Pak Imam? pada hemat saya,
mayat ini harus dikebumikan dengan segera. Sebaiknya, dikebumikan petang ini
juga," beritahu datuk pada Pak Imam, semasa mereka bergerak ke ruang
anjung dan berlabuh disitu.
"Perkara ni dah saya beritahu pada suami
arwah, saya dan suruh dia sediakan barang keperluan untuk mengkebumikan
jenazah," kata Pak Imam.
"Oh, begitu. cepat awak bertindak,"
datuk anggukkan kepala lalu merenung ke arah halaman rumah.
datuk menarik nafas lega, bila dia melihat
Ketua Kampung mengetahui beberapa orang penduduk membuat keranda. Haji Basilam
menyediakan batang pisang untuk dijadikan mandi mayat. Beberapa orang anak muda
sudah disuruh pergi ke tanah perkuburan untuk mengali lubang mayat.
Nampaknya, semua berjalan dengan lancar dan
baik sekali.
"Siapa yang menguruskan mandi
jenazah."
Sepasang anak mata datuk tertumpu ke wajah
Pak Imam yang kelihatan tenang. datuk mengalihkan pandangannya kembali ke
halaman rumah. Semuanya nampak sibuk dengan tugas masing-masing.
"Tak apa, biar saya uruskan."
Pak Imam segera bangun lalu menemui suami
simati yang berada dibawah rumah. Ada sesuatu yang dicakapkan oleh Pak Imam.
Suami simati mencatat di kertas apa yang dicakapkan oleh Pak Imam. Tidak lama
berselang, suami simati segera beredar menuju ke pekan kecil. Barangkali
mencari sesuatu.r
Pak Imam segera beredar menuju ke arah
sekumpulan wanita yang duduk di ruang yang agak tersorok dekat bahagian dapur.
Rata-rata mereka berusia antara 50 hingga 60 tahun. Setelah bercakap sebentar
dengan mereka, Pak Imam mendekati datuk.
"Semuanya selesai, Hajjah Safiah dan
kawan-kawan menguruskan mandi mayat dan mengkafankannya. Kalau kesuntukan masa
kita kebumikan lepas Isyak."
"Tak kira, lepas maghrib atau isyak,
pokoknya jenazah ini tidak boleh dibiarkan lama-lama dirumah," nampaknya
awak Berjaya menguruskannya dengan baik" datuk memuji Pak Imam.
"Saya sekadar menjalankan perintah
hukum-hakam agama."
"Tak apalah imam, kita kena fikirkan di
mana jenazah ini mahu disembahyangkan di rumah atau di masjid."
"Iya, sementara menanti kerja mereka
selesaikan kita harus memikirkan perkara yang awak sebut tu. Nanti saya jumpa
suami simati," kata Pak Imam.
"Silakan imam," datuk memberi
jalan.
Pak Imam segera beredar meninggalkan datuk
sendirian di situ. Bila bersendirian, macam-macam yang tergambar dalam otak
datuk, semuanya ada hubungkait dengan simati. Tetapi, usahanya itu tidak
berhasil, sambil merenung langit petang menerusi jendela yang terdedah, datuk
terus mengeluh.
ANAK
MENGAPA dia bersuamikan Sham yang boleh
dijadikan anak?
Mungkin ada tujuan tertentu. Barangkali, dia
mahu dirinya sentiasa kelihatan muda, itulah sebabnya dia menikah dengan Sham
yang muda belia.
Biasanya, wanita yang mahu kulit wajahnya
tidak mengecut atau runtuh akan menikah atau bersama dengan anak-anak muda yang
berusia antara 20 hingga 25 tahun dalam jumlah paling kurang tiga puluh orang.
No comments:
Post a Comment