HAJI Basilam pun memulakan
langkahnya. Kami segera mengekorinya, meredah pepokok renik dan badan yang
dingin kembali berpeluh. Panas kembali terasa mengigit kulit tubuh. Sesekali
terdengar siulan burung liar.
Kami segera berjalan hingga bertemu dengan
jalan enam kaki yang debunya berterbangan ditolak angin. Debu-debu itu jatuh di
dedaunan dikiri kanan jalan enam kaki.
“Berhenti."
Haji Basilam angkat tangan. Langkah kami
segera terhenti.
"Kenapa Pak Aji?" Tanya Andi
Kamarool.
"Apa yang kamu berdua alami dan rasai
bersama aku tetap menjadi rahsia kita bertiga, tidak boleh diceritakan pada
orang lain," wajah kami terus ditatap oleh Haji Basilam silih berganti.
Saya dan Andi Kamarool bertukar pandangan. Kemudian, .serentak kami mengangguk.
"Jika aku tahu, kamu berdua pecahkan,
rahsia ni pada orang lain, aku pecahkan kepala kamu berdua dengan ini...."
Haji Basilam mengacukan penumbuk kepada kami berdua.
Wajahnya nampak serius, anak mata hitamnya
bagaikan memancar keazaman. Nada suaranya cukup keras, membuat hati kami kecut
perut.
"Kami berjanji patuh dengan pesan Pak
Aji," serentak kami memberi ikrar.
"Ok."
Ada senyum terukir di kelopak bibir Haji
Basilam. Saya menarik nafas lega.
"Mari Andi. Tamar, kita dah lewat
ni."
Haji Basilam segera menarik tangan saya dan
Andi Kamarool. Kami dipeluk dan ditolak dengan kasar agar mara ke depan.
Kemudian digesa berjalan cepat menuju ke
kawasan perumahan. Saya tidak berminat bertanya pada Haji Basilam nama kampung
yang ditujui. Sampai dipintu tangga rumah kelak, nama kampung akan diketahui
juga, fikir saya dalam hati.
Setelah melepasi sebuah surau kecil
berdinding papan, beratap zink, seterusnya, kami berdepan dengan sebuah rumah
berbumbung limas. Halamannya, cukup bersih dari dedauan dan rerumput. Kiri
kanan halaman ditanam dengan pokok kemunting serta diselang seli dengan pokok
bunga kertas.
"Datuk kamu ada di rumah tu."
Itu yang dituturkan oleh Haji Basilam, sebaik
saja sebelah kaki saya berada di halaman rumah tersebut. Saya anggukkan kepala,
Andi Kamarool tersenyum. Kami terus mendekati rumah berbumbung limas itu.
Entah bagaimana, pandangan saya tertumpu ke
arah sesusuk lelaki tua yang berdiri di situ? Muncul pertanyaan dalam hati.
Walau demikian, di bawah sinar matahari yang
membahang itu, saya terus mengamati lembaga tersebut. Sudah nyata, orang yang
berdiri itu, tidak lain, tidak bukan ialah datuk saya. Dia melambai-lambaikan
tangan ke arah kami bersama senyum lebar. Lambaian kami balas, Langkah
dipercepatkan menuju ke rumah.
"Lama juga kamu menanti budak-budak
ni?"
Begitulah datuk menyambut kedatangan kami. Haji
Basilam tidak segera menjawab. Malah
dengan tenang mengesat peluh di dahi dengan
hujung baju. Saya dan Andi Kamarool terus tercegat di kaki tangga.
"Budak-budak ni, buat hal pula. Lain
yang disuruh, lain pula yang mereka buat," sahut Haji Basilam sambil
menjeling ke arah saya dan Andi Kamarool. Kami pura-pura buat bodoh.
"Tak sangka agakkan aku betul, memang
aku jangka budak berdua ni, suka buat tergeliat," tanpa memandang ke arah
kami datuk bersuara.
“Naik," Haji Basilam mengeluarkan
perintah. Semuanya kami patuhi.
Setelah berada lebih dari tiga jam di dalam
perut rumah berbumbung limas, sejarah rumah itu terungkap. Rumah yang sudah
berusia lebih dari seratus tahun itu, milik salah seorang keluarga rapat Haji
Basilam. Sejak pemiliknya meninggal dunia, rumah tersebut terbiar dan menjadi
rumah penginapan istimewa bila Haji Basilam berkunjung ke daerah Kerinchi.
"Saudara mara rapat yang lain, boleh
dikatakan tidak betah tinggal di rumah ni. Paling lama mereka boleh tidur
semalaman saja, masuk malam kedua, kena campak keluar," tenang sekali Haji
Basilam mengungkapkan kisah aneh rumah pusaka.
"Pak aji pernah kena campak?" Andi
Kamarool bertanya.
"Setakat ni belum lagi, Insya Allah
perkara macam tu tak akan terjadi. Datuk si Tamar juga hebat, dah tiga hari
tiga malam di sini, dia tak apa- apa."
"Ahemmm " Datuk bersuara.
Haji Basilam segera menoleh ke arahnya
(datuk) yang berdiri dekat tingkap. Serentak
mereka ketawa kecil yang tersirat dengan seribu makna.
"Kata kamu dulu, kamu nak beri
pengalaman baru pada budak-budak berdua ni. Ada baiknya kamu memikirkan perkara
itu daripada bercerita tentang rumah lama dan diri aku," datuk melontarkan
komen.
"Saya ingat."
"Apa rancangan yang kamu siapkan untuk
mereka?"
"Mencari orang pendek?" biji mata
datuk terbeliak. Kemudian dia termenung sebentar, macam ada sesuatu yang
difikirkan. Tanpa banyak cakap datuk masuk ke biliknya.
JUMPA
PETANG itu, Haji Basilam membawa kami
berjumpa dengan beberapa orang tertentu yang masih ada pertalian keluarga
dengannya. Selama Haji Basilam dan datuk menginap di rumah pusaka, mereka
bermurah hati menyediakan sarapan pagi, makan tengahari dan malam untuk datuk
dan Haji Basilam.
Imam surau berdekatan meminta datuk menjadi
imam serta mengajar ilmu agama. Datuk tidak menghampakan permintaan tersebut.
Dalam sekelip mata saja nama datuk jadi buah
mulut penduduk setempat. Kalau mereka menghadapi masalah hukum agama, datuk
jadi tempat rujukan. Pendek kata, datuk jadi tumpuan, tempat mengadu susah
senang dan meminta nasihat. Malah kalau ada yang kena sakit demam, datuk juga
jadi tumpuan.
"Datuk kamu terkenal di sini,"
bisik Haji Basilam, ketika keluar dari sebuah rumah anak buahnya. Saya hanya
anggukkan kepala sambil melagakan sisi bawah dengan atas berkali-kali. Andi
Kamarool tidak memberikan sebarang komentar.
"Kamu berdua boleh pergi ke mana-mana di
kampung ni. Dari pangkal hingga hujung kampung ni semuanya anak buah aku,
keselamatan kamu terjamin, aku nak balik dulu. Ada hal yang nak aku buat
bersama datuk kamu di rumah," Haji Basilam segera meninggalkan saya dan
Andi Kamarool di kelapa simpang.
Kerana cuaca baik, saya mengajak Andi
Kamarool pergi ke sebuah kawasan sebelah utara. Saya amat terpikat dengan suara
burung merbuk yang datang dari arah tersebut.
Permintaan saya tidak dihampakan oleh Andi
Kamarool. Bila sampai di kawasan tersebut, saya dapati banyak sekali beburung
merbuk terbang bebas dan turun berkejar-kejaran dikawasan yang berpasir halus.
Sebagai manusia yang memang minat dengan
burung merbuk terutama suaranya, keadaan begitu membuat saya lupa dengan
keadaan begitu membuat saya lupa dengan keadaan sekitar. Tanpa kami sedari,
langit yang putih bersih, segera bertukar menjadi hitam pekat, angin mula
bertiup kencang. Dedaun tua dan reranting yang reput segera berjatuhan. Dalam
sekelip mata, beburung merbuk yang berkeliaran terus ghaib entah ke mana.
"Hari nak ribut," kata Andi
Kamarool.
Saya anggukan kepala.
"Kita balik Tamar."
“Tak sempat sampai, kita tumpang, kita
tumpang teduh di mana-mana."
"Ayuh, kita cari tempat," Andi
Kamarool
mengemukakan usul.
Sebaik saja Andi Kamarool selesai bercakap,
hujan pun turun dengan lebatnya. Kami tiada pilihan dan terpaksa meredah hujan
lebat yang turun berjurai.
Akhirnya, kami tumpang berteduh di sebuah
pondok usang. Saya dan Andi Kamarool mula mengigil. Hujan terus turun
mencurah-curah dan kali ini disertai dengan petir dan kilat sabung menyabung,
memekakkan anak telinga. Di mana-mana kelihatan air sekata.
Kabel letrik yang terentang ditiang berlaga
sama sendiri hingga menimbulkan percikan bunga api. Saya melihat dahan yang
sekah dari pokok lalu jatuh ke bumi. Keadaan sekeliling sungguh mendebarkan.
sungguh menakutkan.
"Ribut dan hujan bersatu," saya
merunggut.
"Macam membawa petanda yang buruk,"
sahut Andi Kamarool.
Dan satu ledakan petir mengegarkan seluruh
kawasan. Kelihatan api petir menjilat pokok nibung.
"Macamana kita Tamar. Apakah kita mesti
bertahan di sini."
"Sabar, bila reda kita balik."
Andi Kamarool mengangguk setuju.
Tidak lama berselang hujan beransur kurang.
Begitu juga dengan angin. Kilat dan petir juga tidak sehebat tadi. Tanpa
melengah-lengahkan masa, kami pun memulakan langkah pulang penuh debar.
"Terperangkap?" Tanya datuk sebaik
sahaja kami melintasi ruang tengah untuk menuju ke bahagian belakang.
"Hujan lebat, petir dengan kilat sabung
menyabung, angin cukup kuat." Andi Kamarool menjawab. Ketika itu, saya
sudah pun berada di bahagian belakang rumah menukar pakaian yang basah.
"Singgah dimana?"
Haji Basilam pula bertanya.
"Di rumah tinggal."
Jawapan itu disambut oleh datuk dan Haji
Basilam dengan ketawa kecil. Haji Basilam memberitahu Andi Kamarool, semasa
ketiadaan kami tadi, mereka dikunjungi oleh dua orang lelaki. Tetamu yang tidak
diundang itu meninggalkan rumah sebelum hujan lebat turun.
Anehnya, Haji Basilam tidak pula menerangkan
siapakah nama tetamu yang tidak diundang itu? Apakah tujuan mereka menemui
datuk dan Haji Basilam. Buat seketika legar-legar dalam tempurung kepala saya.
Dan akhimya, punah sendiri.
TOPIK
PERISTIWA hujan ribut petang tadi, menjadi
topik perbualan yang agak hangat di kalangan para jemaah surau kecil. Para
jemaah memberi tafsiran yang sendiri tentang kejadian itu. Malah ada di antara
mereka menimbulkan kejadian-kejadian aneh yang terjadi, sejak akhir-akhir ini
sebagai tanda-tanda kemusnahan dunia atau kiamat.
Seorang jemaah malam itu dengan suara lantang
menyebut tentang seekor binatang yang menyerupai lembu, boleh menyembuhkan
orang yang sakit. Di sebut juga seorang anak yang dilahirkan berkaki tiga oleh
seorang wanita.
Si jemaah yang berkulit hitam, berbadan kulit
hitam, berbadan kurus itu terus bercerita tentang perkara-perkara yang
menyeramkan. Boleh membuat bulu tengkuk meremang. Bagaimana tidak seram dan
cemas bila dia menyebut tentang ayah yang memperkosa anak kandung. Abang yang
mencabuli adik sendiri. Lelaki tua yang mahu mampus meliwat anak kecil, dia
juga menyebut hal lesbian, homoseks dan paling tidak masuk akal bila anak
memperkosa ibu kandungnya sendiri.
Semua yang berada dalam surau kecil.
mendengar cerita itu dengan mulut terlopong.
"Apakah sewaktu melakukan perkara
terkutuk itu mereka tidak ingat alam akhirat, di situlah kita akan kekal dan di
situ juga kita akan menerima balasan dengan apa yang kita lakukan semasa hidup
di dunia yang fana ini," kata orang itu dengan nada suara yang meninggi,
semua muka yang tertonggok di depannya ditatap satu persatu. Saya lihat datuk
dan Haji Basilam anggukkan kepala.
"Orang yang banyak membuat dosa
....." sambungnya penuh semangat."....akan diseksa dalam api neraka.
Manakala orang yang berbuat kebaikan, banyak membuat amalan akan hidup kekal
dan bahagia dalam syurga bersama para nabi dan Rasul. Bersama para wali, para
Syuhada dan orang orang yang soleh."
Saya kira, kalaulah manusia dapat
membayangkan betapa ngerinya seksaan api neraka, mungkin manusia tidak berani
membuat dosa seperti menipu, mencuri, membunuh, memperkosa. Durhaka kepada ibu
yang telah melahirkan kita dengan susah payah, kemudian memelihara kita hingga
dewasa. Tetapi, sejak akhir-akhir ini durhaka kepada kedua orang ibu bapa
sering terjadi.
"Apa yang saya katakan tadi untuk
renungan
bersama," secara mendadak orang kurus
berkulit hitam bersuara dengan keras. Semua yang bermain dalam kepala saya
terus hilang.
"Kita balik." bisik Haji Basilam
kepada saya.
"Jum....," kata saya.
Serentak saya dan datuk bangun, kemudian
dituruti oleh Andi Kamarool dan Haji Basilam. Beberapa orang jemaah mengikut
jejak kami keluar dari surau kecil. Orang yang berkulit hitam dan berbadan
kurus meneruskan ceramahnya.
ASAR
PETANG besoknya, tanpa memberitahu datuk dan
Haji Basilam, kami berdua membuat keputusan untuk pcrgi sembahyang Asar di
sebuah masjid yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumah tinggal, tempat
kami berteduh petang semalam. Saya berharap tindakan tidak bersembahyang jemaah
disurau kecil tidak akan menimbulkan kemarahan pada datuk atau Haji Basilani.
"Mesti Pak Aji tertanya-tanya bila
melihat kita tak ada di surau." bisik saya pada Andi Kamarool sambil
membasuh tangan di kolah.
"Kalau marah, kita minta maaf."
sahut saya.
"Aku juga terfikir macam tu."
Saya dan Andi Kamarool terus ketawa kecil dan
terus mengambil wuduk. Semasa saya membasuh kedua belah cuping telinga, saya
tercium bau yang amat busuk. Macam bau daging dan tulang yang dibakar rentung.
Saya berhenti mengambil wuduk.
"Aku tercium bau bangkai, Andi."
"Aku juga begitu, Tamar."
"Kalau tak silap, bau itu datang dari
arah belakang masjid dibawa angin, kau tengok daun pokok kecil tu
bergoyang-goyang," saya arahkan sepasang anak mata menghala ke belakang
masjid. Andi Kamarool turut juga berbuat seperti apa yang saya buat. Lantas
kami saling berpandangan.
"Kita sembahyang dulu, kemudian baru
siasat dari mana bau busuk itu datang," satu usul yang lojik dari Andi
Kamarool. Cepat-cepat saya anggukkan kepala tanda setuju.
Memang di kawasan belakang masjid terdapat
sebidang tanah yang boleh dikatakan agak luas juga. Di atas tanah itu terdapat
beberapa batang pokok cempedak, asam gelugur atau asam keping dan selebihnya
adalah pokok-pokok getah yang subur tidak ditoreh. Tanah kubur tersebut
sentiasa dijaga dengan rapi oleh penduduk setempat.
Malah, orang-orang dari kampung berdekatan
yang meninggal dunia diizinkan ditanam ditanah perkuburan tersebut dengan
syarat orang yang meninggal itu mempunyai pertalian keluarga dengan penduduk.
Selesai sembahyang Asar kami pun memulakan
tugas mengesan bau busuk tersebut. Kami menutup hidung dan mulut dengan sapu
tangan tetapi, bau yang tidak menyenangkan itu terus mencucuk lubang hidung.
Tidak sukar bagi kami memasuki kawasan
perkuburan yang pintu pagarnya tidak berkunci.
Cuaca yang terang benderang secara mendadak
bertukar menjadi redup. Bila kepala di donggakkan ke langit, saya lihat ada
tompok-tompok awan hitam tebal yang mula melindungi pancaran matahari.
Walaupun hari siang tetapi, bila memasuki
perkuburan memang terasa seram sejuk. Lebih-lebih ladi keadaan cuaca redup dan
mendung.
Suasana di kawasan perkuburan terasa sunyi.
Batu-batu nisan tegak kaku sementara pepohon kemboja yang ditanam berdekatan
batu-batu nisan nampak bergerak-gerak lemah. Beberapa ekor burung tanpa suara
terus melompat dari dahan ke dahan kemboja.
"Nak hujan Tamar," bisik Andi
Kamarool.
"Kita berdoa supaya hujan tak jadi macam
semalam."
"Aku juga begitu," balas Andi
Kamarool sambil merenung ke dada langit yang kian menghitam.
Bau busuk dan hangit terus menusuk batang hidung.
Kami terus berjalan dengan hati-hati di celah-celah pepohon kemboja dan batu
nisan yang kaku. Bila sampai ke perdu cempedak atau pokok asam gelugur kami
berhenti sebentar untuk menghilangkan rasa penat. Bau busuk dan hangit kian
bertambah kuat, anak tekak terasa loya dan mahu muntah.
CADANGAN
TIBA-TIBA saya merasakan apa yang dilakukan
adalah kerja yang sia-sia. Saya mengajak Andi Kamarool pulang. Tetapi, Andi
Kamarool membantah cadangan saya.
"Alang-alang menyeluk pekasam, biar
sampai ke pangkal lengan. Kalau sudah sampai separuh jalan. tiba-tiba mahu
berhenti. tak kenalah caranya. Kenapa masa mula-mula tadi tak mau fikir
habis-habis," Andi Kamarool meluahkan protesnya. Saya kira diam lebih baik
dari bertekak. Perjalanan dan percarian ditanah perkuburan diteruskan.
"Berhenti."
Andi Kamarool memegang bahu kanan saya.
"Kenapa Andi?"
"Aku dengar suara orang bercakap di
sebelah hujung sana," bisik Andi Kamarool. Dan saya terus pasang telinga.
Apa yang dikatakan oleh Andi Kamarool memang benar. Suara orang bercakap sama
kuatnya dengan bau busuk dan hangit.
"Kita jalan perlahan-lahan. jangan
sampai gerak-geri kita dapat mereka kesan," Andi Kamarool mengeluarkan
arahan. Saya patuhi arahan itu.
Perjalanan selanjutnya cukup hati-hati.
Dengan sedaya upaya kami cuba menghindari dari terpijak reranting kering. Ada
ketikanya kami membongkok dan merangkak di bawah pepohon kemboja. Berusaha
dengan sedaya upaya agar kami tidak melanggar batu-batu nisan yang bersimpang
perinang di tanah perkuburan.
Bunyi orang bercakap, makin lama, makin
jelas. Bau busuk dan hangit makin kuat, membuat saya enggan melangkah ke depan.
"Lihat itu," kata Andi Kamarool
sambil memberhentikan langkah.
No comments:
Post a Comment