Dalam irama pembacaan
ayat-ayat suci itu, saya terdengar bunyi orang menumbuk padi dan berpantun.
Terdengar kokok ayam dan hidung saya terbau nasi dan bau gulai. Saya dapati
diri saya bagaikan berada di tengah-tengah sebuah perkampungan yang jumlah
penghuninya bukan sedikit. Para penduduk sentiasa sibuk dan rajin berusaha.
Taat pada perintah Allah. Semua yang saya rasakan itu tidak dapat saya lihat
dengan mata kasar.
"Beberapa
orang anak-anak cucu aku patah kaki dan tangan dan luka akibat perbuatan
orang-orang yang kau ajak berjudi di sini", tambah Agam.
Sebaik
sahaja Agam selesai bercakap terdengar suara budak-budak menangis menahan
kesakitan.
"Kamu
sihir aku", bantah Amjal Kamal.
"Tidak,
kami makhluk Allah seperti kamu, kami minta sesuatu dari Allah", suara
Agam lemah.
"Bohong",
sergah Amjal Kamal.
"Ya,
aku buktikan lihat sekarang", Agam meluruskan jari telunjuknya ke sebelah
kanan.
"Ajaib
sungguh", keluh saya dalam hati. Najib tidak berkata apa-apa. Amjal Kamal
bagaikan terpegun melihat apa yang wujud di depan matanya. Semuanya terjadi
tanpa diduga. Saya gosok kelopak mata dua tiga kali hingga terasa pedih.
Bagaikan mimpi rasanya, melihat sebuah perkampungan yang besar, lengkap dengan
masjid dan rumah yang bentuknya seperti rumah orang-orang Melayu, berdinding
tepas dan beratapkan rumbia. Keliling kawasan rumah terdapat pokok pisang,
cabai dan terung. Binatang ternakan seperti ayam, itik dan kerbau.
Para
penghuni kampung tersebut, kebanyakannya berkulit cerah. Sama ada lelaki atau
perempuan, bentuk tubuh mereka tetap besar dan tinggi. Sukar untuk mencari yang
rendah. Pada hemat saya, rata-rata mereka berukuran sekitar lima kaki sepuluh
inci atau lebih. Mereka nampak ramah sekali. Kanak-kanak yang berusia sekitar
enam tahun, berkumpul di surau belajar membaca Quran. Mereka juga belajar
hukum-hukum agama secara terperinci dari seorang lelaki yang berjubah hitam.
Hampir
semua orang lelaki memakai jubah warna putih bersih, ada juga yang memakai
serban dan songkok dibuat dari kain putih. Semua orang perempuan di
perkampungan tersebut memakai mini telekung putih. Baju dan kain juga dari kain
putih. Suasana sekitar kampung terasa damai. Semuanya kelihatan bersih, setiap
halaman rumah sukar untuk mencari daun. Orang-orang tua duduk di anjung rumah
membaca Quran atau berkasidah memuji Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat.
"Ini
perkampungan, Islam", demikian hati kecil saya membuat kesimpulan. Saya
segera bangun.
"Nak
ke mana Tamar?" Najib terkejut.
"Aku
nak masuk ke kampung tu, aku nak berkenalan dengan orang-orangnya", jelas
saya.
"Jangan",
Najib segera memaut tangan kanan saya.
"Kenapa?"
"Boleh
jadi apa yang kita lihat tu, hanya bayangan saja. Kau mesti ingat kita berada
dalam hutan. Dalam hutan begini macam-macam boleh jadi", Najib mengingatkan
saya.
"Ah,
aku nak pergi", saya membuat keputusan yang amat nekad. Saya cuba
melangkah, tiba-tiba sahaja pangkal paha sebelah kanan saya terasa sakit.
Kedua-dua belah bahu saya seperti dihempap dengan benda berat. Saya tidak
terdaya berdiri dan terus jatuh. Apa yang saya alami, tidak mematahkan niat
saya untuk pergi ke tempat tersebut. Makin berkobar-kobar semangat saya mahu
pergi ke kampung tersebut, makin hebat sakit di pangkal paha kanan saya.
Bila
saya membatalkan niat tersebut. Semua sakit yang saya deritai terus hilang.
Perasaan saya terasa lapang dan lega. Jadi, saya mengambil keputusan melupakan
terus hasrat yang bersarang dalam dada. Bila melihat saya pulih, Najib
mengucapkan syukur pada Allah beberapa kali. Dia mengajak saya pulang. Ajakannya
itu saya bantah terus, Najib terpaksa tunduk pada kemahuan saya.
"Kita
tengok apa yang akan terjadi selanjutnya, Najib."
"Merbahaya,
Tamar."
"Kita
cuma tengok saja, bukan nak buat apa-apa."
"OK,
aku mengikut saja."
"Bagus",
bahu kanan Najib saya tepuk beberapa kali. Saya dongakkan kepala ke langit.
Matahari sudah beransur condong. Berpandukan pada kedudukan matahari di langit,
saya kira waktu itu dah hampir pukul empat petang. Tetapi, saya tidak merasa
jemu atau bosan berdepan dengan peristiwa yang pada tanggapan saya amat
menyeronokkan. Dan jarang-jarang pula terjadi.
"Apa
yang kamu ingini, sudah aku buktikan. Aku tidak berbohong dengan kamu. Aku
bercakap sesuatu yang benar", terdengar suara Agam cukup lantang. Saya dan
Najib tumpukan perhatian pada dirinya dan Amjal Kamal.
"Kamu
tak puas hati lagi?", tanya Agam.
"Hum...",
suara Amjal Kamal mendengus macam orang marah.
HILANG
Perkampungan
di tengah hutan itu terus hilang. Kawasan tersebut segera ditumbuhi pokok-pokok
kecil seperti pokok paku, pokok senduduk dan rumput-rampai yang menjalar
menutup bumi. Kawasan yang ditumbuhi pokok kecil itu cukup luas.
Di
kiri kanan kawasan tersebut dipagari dengan pokok-pokok besar yang digayuti
dengan akar, tempat monyet bergantung atau melompat. Amjal Kamal menolak
kenyataan yang wujud di depan matanya. Dendamnya belum berakhir. Dia berusaha
untuk memusnahkan Agam yang pada hematnya cuba mencabar kebolehan dan
kehandalan dirinya, cuba
menghalang
segala cita-citanya. Amjal Kamal mengeluarkan seketul batu kecil dari saku
seluar sebelah kanannya. Batu kecil itu diletakkan atas telapak tangannya.
Amjal
Kamal hembus batu itu tiga kali berturut-turut. Beberapa detik kemudian
terdengar bunyi deru angin yang kuat. Ribut besar pun berlaku di sekitar
kawasan tersebut. Dahan pokok terus patah malah ada pokok tumbang. Saya dan
Najib segera memeluk pokok di depan. Andainya kami tidak memeluk pokok besar
kemungkinan tubuh kami akan diterbangkan oleh angin. Walaupun ada pokok yang
tumbang tetapi, Agam tidak berganjak dari tempat dia berdiri.
Setengah
jam kemudian, ribut besar yang menggila itu terus berhenti. Agam masih berada
di tempatnya tetapi, Amjal Kamal terus hilang entah ke mana. Saya terdengar
suara ganjil dari sebelah kiri. Saya amati suara tersebut dan saya pasti suara
itu adalah suara beruang.
Ramalan
saya tidak tepat. Itu bukan suara beruang tetapi, suara Amjal Kamal yang sudah
berubah wajah dan bentuk. Seluruh wajahnya ditumbuhi bulu tebal yang berwarna
kemerah-merahan. Begitu juga dengan rambutnya. Sepasang mata Amjal Kamal
bertukar jadi macam mata harimau dan bahagian mulut bertukar bentuk seperti
mulut orang hutan. Sepasang kakinya berbulu hitam. Bahagian badannya berbelang
macam belang harimau.
Sepasang
tangannya memiliki kuku, seperti kuku harimau. Amjal Kamal yang berubah rupa
itu terus melompat, kedua belah tangannya bergerak ke kiri dan ke kanan.
Mencakar dan mematah apa sahaja yang tersentuh oleh tangannya.
Agam
segera memanggil nama saya. Tanpa membuang masa saya terus mendekatinya. Badan
saya terus berpeluh. Macam-macam yang datang dalam fikiran saya.
"Kamu
berubah dari situ, orang ini terlalu akrab dengan syaitan dan boleh melakukan
apa sahaja untuk memesongkan setiap orang yang percayakan kewujudan Allah",
itu perintah Agam.
"Baiklah",
balas saya.
“Sekarang
pindah”, Agam mengamati saya.
“Pindah
ke tempat Iain Jib.”
“Pindah
ke mana Tamar?”, tanya Najlb.
“Sebelah
sana, kita berlindung balik pokok kempas besar.”
“Baiklah”,
sahut Najib. Kami pun berubah tempat. Saya gembira tempat yang saya pilih
terletak di kawasan tanah yang agak tinggi. Pokok kempas yang saya pilih
sebagai tempat berlindung cukup besar. Kawasan di bahagian perdunya bersih dan
lapang. Mudah untuk melihat gerak-geri Agam dan Amjal Kamal. Dari perdu kempas
saya lihat Amjal Kamal mendekati Agam yang berdiri tegap. Bersedia untuk
menghadapi sebarang kemungkinan.
“Tak
usahlah bergaduh, tinggalkan saja tempat ini. Itu saya permintaan aku. Bermusuh
bukanlah tujuan hidup aku", Agam berusaha menenangkan perasaan Amjal
Kamal. Sayang, Amjal Kamal yang sudah bertukar rupa itu tidak dapat
berkata-kata. Setiap kali Agam bersuara dia akan mencabut anak-anak pokok yang
berdekatan.
Amjal
Kamal menerpa ke arah Agam. Dengan tenang Agam menantinya. Kedua belah bibir
Agam kelihatan bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Ketika Amjal Kamal mahu
mencakar mukanya, Agam segera menegakkan ibu jari kirinya.
Saya
terkejut bila melihat Amjal Kamal jatuh dengan tiba-tlba. Dia berguling-guling
atas tanah. Amjal Kamal bertempik dengan sekuat hatinya. Seluruh bulu yang
melekat di tubuh Amjal Kamal gugur dengan sendirinya dan akhirnya terus hilang.
Tubuh Amjal Kamal kembali dalam bentuk biasa. Terkapar di bumi, tidak terdaya
mahu menggerakkan tangan dan kaki.
Dalam
keadaan hati saya yang cemas dan takut itu saya lihat empat orang lelaki muncul
di kiri kanan Agam. Keempat-empat lelaki itu segera mengangkat Amjal Kamal lalu
diletakkan di pangkal pokok jelutung. Tubuh Amjal Kamal lalu ditutup dengan
daun pisang. Empat lelaki yang mengusung Amjal Kamal terus ghaib.
"Ke
mari Tamar", perintah Agam. Saya dan Najib segera mendekatinya.
“Jangan
apa-apakan kami”, saya merayu.
“Aku
tidak akan apa apakan kamu berdua, kamu datang sekadar mahu melihat bukannya
bermaksud jahat.”
“Kalau
begitu biarlah kami balik dulu”, Najib merayu.
“Nanti
dulu, aku nak bercerita pada kamu tentang Amjal Kamal”, kata Agam. Serentak
saya dan Najib anggukkan kepala.
Agam
pun bercerita. Memang sudah lama dia berusaha mengusir Amjal Kamal dan kuncu
kuncunya yang membuka gelanggang sabung ayam ditempat tersebut. Cara yang
dlilakukan oleh Agam ialah dengan melepaskan kerbau clan kambing setiap kali
perjudian itu diadakan.
Kadang-kadang
dia sendiri memunculkan diri dalam bentuk manusia yang bertubuh besar dan hitam
legam. Tetapi semua yang dilakukan itu tidak mendatangkan kesan. Amjal Kamal
cukup keras kepala.
SEPIT
Bila
sudah tersepit, Amjal Kamal akan menggunakan ilmu kebatinan yang dituntutnya
dari orang-orang yang melakukan pertapaan di kaki gunung Himalaya. Memang datuk
nenek Amjal Kamal berasal dan Nepal. Ayahnya dulu berkhidmat dalam Tentera
British di cawangan Pasukan Gurkha.
Dalam
masa darurat sekitar 1948, pasukan yang dianggotai oleh ayahnya ditempatkan di
bandar Sungai Petani, Kedah. Dengan kehendak Allah, ayahnya bertemu jodoh
dengan perempuan rakyat Malaya berketurunan Bangladesh. Ayahnya memeluk Islam
lalu memilih nama Abdul Kamal.
Bila
Amjal Kamal berusia dua tahun, ayahnya meninggal dunia akibat ditembak oleh
pihak pengganas komunis dalam satu serangan hendap tidak jauh dari bandar
Sungai Petani. Amjal Kamal terus membesar dalam jagaan ibunya, Aishah Kamdar.
Amjal Kamal menamatkan persekolahan dalam tingkatan empat di salah sebuah sekolah
Inggeris di Alor Setar. Kemudian pergi ke Bangladesh dan tinggal bersama
keluarga ibunya.
Setelah
bekerja dengan sebuah syarikat perusahaan membuat jerami di Bangladesh selama
lima tahun, Amjal Kamal berhenti kerja. Dia merantau ke Nepal untuk mencari kaum
keluarga ayahnya. Di samping itu dia berhasrat untuk menjadi pemandu pada
pendaki yang ingin menawan kemuncak Everest.
Masa
mencari keluarga ayahnya itu Amjal Kamal bertemu dengan bangsa Nepal yang
menuntut ilmu kebatinan. Dia tertarik dan terus melibatkan diri dalam kumpulan
tersebut.
Bila
merasakan ilmunya sndah cukup, Amjal Kamal kembali ke Malaya. Dia melakukan
berbagai-bagai pekerjaan. Antara pekerjaan yang paling diminatinya ialah
menyeludupkan beras dari Thailand ke Malaysia.
Dia
juga menjalankan kegiatan judi empat ekor secara haram. Padang Besar di Perlis,
Bukit Kayu Hiram di Kedah dan Rantau Panjang serta Pengkalan Kubur di Kelantan
adalah tempat yang sering digunakan oleh Amjal Kamal untuk menyeludup beras,
ganja dan sebagainya.
Supaya
rancangannya berjalan lancar, dia memberi rasuah pada pihak tertentu. Mungkin
kerana faktor usia atau mungkin kerana tindakan tegas dari pihak kerajaan
membuat Amjal Kamal merasakan menjadi penyeludup tidak selamat. Dia pun membuka
langkah lain untuk menampung hidupnya.
“Salah
satu dari caranya, mengadakan judi sabung ayam. Jadi perompak dan pecah rumah
dengan ilmu pukau", Agam meraba pangkal kening kirinya.
Saya
lihat dia cukup tenang dan wajahnya mcmbayangkan kepuasan yang teramat sangat.
"Dia
memang hebat", Najib mengeluh.
"Ya,
dia memang hebat. Dia juga kepala mencuri kereta dan motosikal untuk dihantar
ke Siam. Semua kerja-kerja yang dibuatnya tu, saya tak peduli, saya tak
kisah", suara Agam mula meninggi. Dua tiga kali dia mengeluh. Matanya
menatap wajah saya.
"Jadi,
apa sebab sebenar yang awak marahkan dia?" , soal Najib.
"Saya
marah, bila dia mencemar kampung halaman kami dengan membuka gelanggang sabung
ayam. Ada masanya dia bawa perempuan Siam tidur di pondoknya. Khabarnya,
perempuan-perempuan Siam tu diseludup dari Golok untuk dihantar ke
bandar-bandar besar di Semenanjung", Agam genggam penumbuk. Dadanya
kelihatan berombak melepaskan nafas yang berbaur dengan kemarahan.
Saya
dan Najib diam. Kami berpandangan dan keberatan untuk mengajukan sebarang
pertanyaan. Pada hemat saya, biarkan dulu hati dan perasaan Agam tenang. Bila
sudah tenang, mudahlah bercakap dan dia tentu bersedia menjawab apa-apa
pertanyaan dari kami.
Saya
melihat dada langit kembali. Awan putih terus berarak. Sayup-sayup terdengar
suara gagak di hujung rimba. Burung helang tetap terbang rendah bermain angin
ketika sinar matahari mula meredup.
"Kau
orang baliklah, dulu. Jangan cerita pada sesiapa apa yang kamu tengok di
sini", Agam menggaru pangkal lehernya berkali-kali. Ekor matanya menjeling
tajam ke arah beberapa helai daun tua yang gugur. Melayang-layang dimain angin.
"Kami
boleh merahsiakan perkara ini. Tetapi, macam mana kalau ada orang lain yang
tahu dan menghebahkannya?", saya beranikan diri meluahkan pendapat. Najib
tersenyum, mungkin dia terasa lucu dengan pertanyaan yang saya ajukan pada
Agam.
"Orang
lain, jangan ambil peduli. Apa yang penting saya mahu kamu berdua merahsiakan
perkara ini. Itu saja yang saya harapkan dari kamu berdua", Agam meluahkan
sebuah harapan. Penuh keikhlasan dan kejujuran.
"Kami
berjanji, tak akan ceritakan pada sesiapa apa yang kami lihat. Percayalah cakap
kami", serentak saya dan Najib bersuara. Sepasang mata kami merauti paras
Agam.
Segaris
senyum berlari di kelopak bibir Agam. Perlahan-lahan dia anggukkan kepala.
Tanpa diduga, Agam menepuk kepala Najib beberapa kali, penuh kemesraan.
"Kamu
baliklah, mudah-mudahan Allah menyelamatkan perjalanan kamu berdua."
"Terima
kasih", kata saya.
"Tapi...",
Najib tidak dapat meneruskan kata-katanya.
"Teruskan,
apa yang mahu kamu tanyakan", Agam mendesak.
"Kami
nak tahu, siapa abang ini yang sebenar? Manusia atau penunggu tempat
ini?",
Dada
saya berdebar. Memang di luar dugaan saya yang Najib boleh mengemukakan
pertanyaan demikian. Saya kira pertanyaan itu agak keterlaluan dan bersifat
peribadi. Boleh menimbulkan kemarahan kepada Agam.
"Saya
adalah hamba Allah seperti kamu. Saya bukan penunggu seperti apa yang kamu
fikirkan. Saya ada karnpung halaman sendiri. Itu saja yang dapat saya
terangkan", ujar Agam dengan wajah yang tenang.
"Abang
tak berbohong?", Najib minta kepastian.
"Kamu
tak percaya dengan apa yang aku katakan?", Agam menyoal Najib kembali.
Saya lihat Najib mati akal. Dia tidak dapat menjawab pertanyaan tersebut. Saya
kenyit mata ke arah Najib. Beri isyarat supaya jangan mengkemukakan sebarang
pertanyaan pada Agam.
“Bagaimana,
ada apa-apa yang mahu kamu tanyakan pada saya?”, soal Agam lagi. Serentak saya
dan Najib gelengkan kepala. Saya lihat Agam menarik nafas panjang. Tanda lega
dan puas hati.
“Kamu
berdua baliklah. Si Amjal Kamal sudah pun saya suruh orang-orang saya
menghantarnya ke tepi jalan raya”, tambah Agam dengan nada suara yang lembut.
Dia hulurkan tangan kepada Najib untuk bersalaman.
TANGAN
Agam
hulurkan tangan pada saya. Ketika bersalaman dengannya terasa telapak tangan
Agam cukup lembut macam kapas.
“Kau
mesti ingat, dalam dunia ini tak ada satu yang kekal. Setiap manusia ada
kelebihan dan kekurangannya", bisik Agam ke telinga saya.
“Saya
faham”, segera saya anggukan kepala.
“Baguslah
kalau kamu sudah faham. Semoga hidup kamu diberkati oleh Allah. Kita semua
adalah hamba Allah yang tertakluk pada peraturan yang ditetapkan.”
“Peraturan
apa?", mulut celupar Najib terus mengajukan pertanyaan.
Agam
tersenyum. Tangan saya tidak juga dilepaskannya. Rasa dingin terasa menjalar ke
seluruh telapak tangan. Setiap kali tangan saya digoncangnya, hati saya terasa
aman dan damai sekali.
“Kita
orang Islam kalau mahu hidup bahagia dan tenteram, patuhilah ajarannya.
Berjanjilah untuk jadi orang Islam yang baik, patuh pada hukum-hukum yang
ditetapkan", dalam keadaan yang suntuk itu, Agam masih sempat memberikan
nasihat pada saya dan Najib.
“Jangan
sekali-kali menambahkan hukum yang ada dengan hukum baru", sambung Agam
lagi.
“Kalau
ditambah bagaimana?”, tanya saya.
"Untuk
apa menambah hukum dan ajaran yang sudah ada. Untuk apa?”, soal Agam. Matanya
menatap wajah saya.
“Untuk
mencari Allah, untuk mengenaliNya serta mendampingiNya”, sahut Najib dengan
penuh keyakinan. Agam gelengkan kepala.
“Ramai
manusia yang binasa dan sesat kerana mahu mencari Allah serta mahu
mendampinginya”, Agam jegilkan biji mata ke arah saya dan Najib. Kemudian Agam
dongakkan kepala renung ke arah awan yang berarak lembut.
“Kenapa
kata macam tu. Perbuatan mereka baik”, ujar saya.
“Kerana
mereka terlalu ghairah mahu mencari Allah mereka lupa pada diri mereka yang
sebenar tanpa disedari mereka melakukan amalan yang bertentangan dengan ajaran
agama yang sebenar. Niat suci mereka menjadi sebaliknya”, Agam menarik nafas
panjang. Telapak tangan saya yang digenggam segera dilepaskannya.
Agam
sandarkan tubuhnya ke pangkal pokok yang berhampiran dengannya. Buat beberapa
saat saya dan Najib saling berpandangan. Suara burung liar terus berkicau.
“Sesungguhnya,
Allah sentiasa mendekati kita bila kita berpegang teguh pada ajaran Quran dan
Hadis. Ikut segala hukum dan peraturan yang ditetapkan”, Agam melanjutkan
kata-kata dengan penuh tenang dan keyakinan.
“Begitu”,
keluh Najib.
“Apa
yang diharapkan semoga kamu tidak akan tersesat dalam mencari kebenaran Allah.
Selalulah bertanya pada alim-ulama dan orang yang pandai dalam hal agama bila
menghadapi sesuatu masalah", lanjut Agam lagi.
“Kalau
belajar dari buku dalam hal-hal selok-belok agama boleh tak?", Najib
bertanya.
“Boleh.
Sebaik-baiknya cari orang pandai untuk kita jadikan tempat rujukan. Jangan
terlalu berharap pada buku semata-mata. Sebabnya, belajar hal agama mesti
berguru dan guru itu rnestilah yang benar-benar arif. Jangan guru sebarang”,
Agam mengingatkan saya dan Najib.
Agam
berpusmg ke kanan. Maju dua tapak ke arah pokok besar. Dia berhenti di situ
untuk beberapa saat. Agam berpaling ke arah saya dan Najib.
“Baliklah.
Semoga Allah melindungi kamu berdua dalam perjalanan, soal Amjal Kamal sudah
saya suruh orang-orang saya menguruskannya", kata Agam lagi sambil
mengangkat tangan kanannya separas telinga kiri. Dia tetap mempamerkan senyum
pada kami.
"Terima
kasih atas nasihat", jerit saya.
"Sama-sama",
sahut Agam. Dia ketawa kecil mempamerkan gigi putihnya yang rapi. Agam
berpusing ke kiri lalu membongkokkan badannya macam mencari sesuatu di celah
pepohon renek.
Saya
dan Najib terdengar bunyi suara orang batuk dari arah belakang. Kami segera
menoleh ke arah tersebut. Tidak ada tubuh manusia yang wujud di situ. Saya dan
Najib merenung ke arah Agam kembali. Aneh, Agam hilang dari pandangan kami. Dia
hilang entah ke mana. Sukar untuk dikesan. Najib cuba melaung-laung namanya.
Tidak ada jawapan yang diperolehi. Kicau burung kian rancak. Sayup-sayup terdengar
suara orang membaca Quran dalam hutan yang tebal dengan pepohon besar. Saya dan
Najib jadi cemas. Bulu tengkok terasa kembang.
"Tak
boleh jadi kita ni", keluh saya.
"Kita
mesti cabut, tak boleh lama-lama di sini", jawab Najib.
"Hum...",
suara saya terkulum. Saya tersentak mendengar bunyi suara monyet menjerit macam
dikejar sesuatu. Serentak dengan itu saya melihat sekawan gagak terbang rendah
sambil berbunyi dengan nyaring.
"Mari",
saya terus menarik tangan Najib.
No comments:
Post a Comment