MATAHARI pagi memancar indah.
Sinarnya jatuh pada dedaun dan rerumput di halaman. Sekawan itik air berlari di
tanah lapang menuju ke arah danau nan terbentang membiru. Dan kabus kelihatan
kian menipis di puncak bukit.
Saya masih lagi
berdiri di muka jendela. Datuk yang sudah selesai mandi embun terus melakukan
senaman Harimau Bangun Tidur. Saya terus menggeliat sambil melebarkan kedua
belah tangan. Saya tarik nafas panjang. Angin pagi yang menyentuh kulit tubuh,
membuat saya terasa seram dan sejuk.
Datuk terus bersenam.
Dari arah dapur saya terdengar batuk Malik Cina. Sesekali terdengar suara
isterinya merungut sesuatu. Tidak tahu apa yang dirungutkan, kerana suaranya
tidak berapa jelas.
Datuk berhenti
melakukan senaman. Ia mengenakan seluar dan baju ke tubuh. Wajahnya nampak
kemerah-merahan dan berseri. Seimbas pandang datuk kelihatan lebih muda dari
usianya. Dengan tenang datuk turun ke tanah. Datuk berdiri sejenak di kaki
tangga.
Macam ada sesuatu
yang ganjil saya rasakan pagi itu. Selalunya, datuk mengajak saya turun atau
memberitahu sesuatu yang akan dilakukannya. Tetapi, kenapa perkara seperti itu
tidak datuk lakukan pagi ini? Timbul pertanyaan dalam hati saya.
Datuk bergerak
meninggalkan kaki tangga. Ia menuju ke tengah halaman dan berdiri di situ
sebentar. Kemudian datuk membongkokkan badannya lalu mencabut beberapa rumpun
rumput hijau. Rumpun rumput itu datuk ramas dan datuk kenakan dengan air embun
yang berada di dedaun mempelam dan bunga di sisinya.
Semua gerak-geri
datuk saya perhatikan dengan penuh teliti. Datuk memasukkan rumpun rumput itu
ke dalam sakunya. Ia terus juga mundar-mandir mengelilingi halaman rumah.
Sampai di sudut kanan halaman, datuk berdiri di situ merenung ke arah matahari
jatuh.
Perlahan-lahan datuk
angkat kaki kanannya separas pusat. Badannya dipusingkan lebih dari sepuluh
kaki. Saya kagum, kerana datuk mengimbangi badannya dengan sebelah kaki. Saya
kira, apa yang datuk lakukan itu satu senaman untuk menegangkan kulit tubuh.
Senaman seperti itu,
amat jarang sekali dilakukan oleh datuk. Dalam sebulan, ia cuma melakukan dua
atau tiga kali sahaja di tempat yang berlainan. Kadang-kadang apa yang datuk
lakukan, memang melucukan dan boleh jadi bahan ketawa atau dianggap sebagai
kerja orang yang tidak siuman. Terutama pada orang yang tidak mengenali diri
datuk.
Saya membiarkan wajah
disentuh oleh sinar matahari yang ramah. Dalam saat-saat demikian, saya semacam
terlibat satu lintasan bayangan di halaman. Bentuknya kurang jelas dan sukar
untuk digambarkan. Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam perasaan timbul
dalam hati. Tiba-tiba lintasan bayangan itu muncul kembali.
Badan saya mula
berpeluh dalam hembusan angin pagi yang nyaman. Secara tidak sengaja saya
mendongak ke langit. Saya menggigit ibu jari dan terus tersenyum. Saya sudah
dapat mengesan dari mana lintasan bayangan itu muncul.
“Ya, dari pelepah
kelapa dara yang ditiup angin.”
Bisik batin saya.
Sepasang mata saya tertumpu ke pelepah kelapa yang bergoyang. Sinaran matahari
yang mula keras tertumpu ke arah pelepah tersebut dan membentuk bebayang yang
panjang di bumi. Bila angin bertiup agak kencang pelepah kelapa itu tu bergerak
dengan cepat, lantas membentuk lintasan bebayang yang panjang di bumi (untuk
beberapa saat). Ternyata saya sudah ditipu oleh perasaan saya sendiri.
Perlahan-lahan saya menarik nafas panjang dan senyum pun terukir di bibir.
Keraguan dan kebimbangan yang merajai hati, sudah pun berakhir.
“Datuk kamu ke mana
Tamar?”
Saya menoleh ke
kanan. Malik Cina tersenyum ke arah saya. Ia memakai baju Melayu, berkain
pelekat kotak berwama putih dan hijau serta berjalur merah. Songkok putihnya
terserkup kemas di kepala. Rambut di bahagi pelipis kanannya, kelihatan
memutih.
“Itu dia”
Jari telunjuk saya
menuding ke arah datuk. Malik Cina tersenyum lalu melambaikan tangan ke arah
datuk. Mereka berbalas senyum. Datuk bergerak menghampiri ke arah anak tangga.
Malik Cina menggaru pangkal lehernya dua tiga kali.
“Buat apa di situ?”
Tanya Malik Cina, matanya menatap wajah datuk. Biji mata saya juga tertikam ke
muka datuk yang kelihatan kemerah-merahan. Tanda sihat.
“Bersenam,” suara
datuk lembut.
“Dab tua-tua mahu
jaga badan.”
“Bukan jaga badan,
jaga kesihatan, tubuh badan perlu dijaga. Bila sihat mudah kita buat amal
ibadah dan menolong orang, bukankah, menjaga kesihatan diri disuruh oleh
Islam.”
“Saya setuju dengan
awak,” Malik Cina menegakkan ibu jari kanannya.
Mereka ketawa
serentak. Datuk terus memijak mata tangga. Sampai di ambang pintu ia berdiri
sebentar. Renung kiri, renung kanan. Melangkah kembali menuju ke ruang anjung.
“Macam mana anak kamu
Malik?”
“Alhamdulillah, sejak
minum air yang awak beri tu, ia terus tidur nyenyak.”
“Aku harap, dia tidak
menjerit lagi.”
“Saya juga harap
begitu.” Malik Cina membetulkan songkok putihnya. Ia menggaru pipi kanannya dua
kali. Malik Cina terus duduk bersila. Datuk juga berbuat demikian.
“Ke mari kamu,” Datuk
renung ke arah saya. Tanpa buang masa saya terus duduk di sisinya. Malik Cina
dengan tenang membalut rokok daun. Isterinya datang lalu menghidangkan kuih dan
satu teko air kopi, berserta beberapa cawan.
“Cuma ini saja yang
ada, kuih jemput,” Malik Cina terus menuangkan air kopi ke dalam cawan. Asap
nipis berlegar-legar di permukaan cawan. Isteri Malik Cina meninggalkan kami.
“Ini pun sudah cukup
baik,” kata datuk sambil mengenakan telapak tangan kanannya dengan asap nipis
yang bermain di permukaan cawan.
Perbuatan itu segera
disedari oleh Malik Cina. Air mukanya nampak berubah. Pelik juga, kenapa datuk
melakukan perkara sedemikian? Ah, datuk mempenlihatkan perkara yang ganjil
ketika berada di rumah sahabat lamanya. Timbul pertanyaan dalam diri saya.
“Kau terkejut dengan
apa yang aku buat ni?” Datuk ajukan pertanyaan pada Malik Cina. Dengan sopan
sekali Malik Cina anggukkan kepala sambil meletakkan piring kuih jemput di
depan datuk. Saya menjeling ke arah datuk.
“Kau tak usah
bimbang, apa yang aku buat ni hanyalah petua dan orang tua-tua. Menurut kata
mereka, jika nak menguji sesuatu keluarga tu kena sihir, beginilah caranya,”
datuk membuka rahsia.
“Tak kan minuman dan
makanan yang dibuat sendiri pun disihir?” Malik Cina ragu-ragu.
“Kau sendiri tahu,
kerja syaitan ini, selagi ada udara, selagi ada langit dan bumi serta air
semuanya dimanfaatkan untuk menjahanam dan membinasakan anak adam,” terang
datuk. Malik Cina terdiam.
KOPI
Datuk terus menghirup air kopi. Datuk menggerakkan bahu kanannya dua kali sambil mencuit kepala lutut saya dengan ibu jari kelengkengnya.
Datuk terus menghirup air kopi. Datuk menggerakkan bahu kanannya dua kali sambil mencuit kepala lutut saya dengan ibu jari kelengkengnya.
“Minum, semuanya
selamat,” suara datuk tenang. Tanpa membuang masa saya terus minum kopi dan
makan kuih jemput. Terasa cukup enak. Saya tidak pasti berapa banyak kuih
jemput sudah masuk ke dalam perut.
Datuk tersenyum
melihat kuih jemput yang kian berkurang di piring. Dan datuk pura-pura batuk.
Mengingatkan saya supaya jangan lahap sangat makan. Tetapi, Malik Cina terus
juga menyuruh saya makan kuih jemput. Katanya, di dapur masih ada kuih jemput
yang panas dan baru.
“Ahhhhhhh.”
Mendadak sahaja datuk bersuara demikian. Tangkai cawan terpisah dari badan. Piring kuih jemput terus jadi retak seribu. Serentak dengan itu juga terdengar suara jeritan anak Malik Cina. Keras dan nyaring sekali.
Mendadak sahaja datuk bersuara demikian. Tangkai cawan terpisah dari badan. Piring kuih jemput terus jadi retak seribu. Serentak dengan itu juga terdengar suara jeritan anak Malik Cina. Keras dan nyaring sekali.
Datuk terus bangun.
Cawan, teko dan piring di depan terus ditendang. Semuanya hancur berkecai. Saya
terkejut, bila melihat anak perempuan Malik Cina berdiri depan kami. Matanya
kelihatan merah dan rambutnya mengerbang.
Anak perempuan Malik
Cina terus menyambar langsir tingkap. Kain langsir itu dikoyaknya hingga
hancur. Ia bersedia untuk mengoyak baju dan kain yang dipakainya. Sebelum
perkara itu dilakukan, Malik Cina segera menyerah seberkas akhbar lama padanya.
Akhbar lama itu terus
dikoyak. Tidak sampai sepuluh minit, naskhah akhbar lama itu habis dicarik-carik
dan bersepah atas Iantai. Perlahan-lahan ia membuka sepuluh jarinya dan
bersedia untuk mencakar muka datuk. Sebelum bergerak ke arah datuk. Ia membuka
silat dan menyembah ke arah matahari.
Melihat keadaan yang
agak cemas itu, saya terus melompat ke tanah untuk menyelamatkan diri. Saya
mula menggigil ketakutan. Sesungguhnya, saya sendiri tidak sedar bagaimana saya
boleh terjun dari rumah yang mempunyai tujuh anak tangga. Air kopi yang saya
minum tadi terasa mahu keluar menerusi kemaluan saya.
Anehnya, dalam rasa
takut itu timbul pula rasa berani dalam diri saya. Rasa ingin mengetahui apa
yang terjadi mendorong saya berlindung di balik pohon bunga raya. Saya
mengintai keadaan dalam rumah. Semuanya dapat saya lihat dengan jelas.
Malik Cina cuba memeluk
tubuh anaknya. Tetapi, ia ditolak hingga terlentang. Isterinya cuba memegang
tangan anaknya, ia juga ditendang hingga tersandar ke dinding. Anak Malik Cina
terus menjerit, rambutnya yang terurai menutup sebahagian dari wajahnya. Ia
melangkah ke arah datuk.
Datuk masih lagi
duduk di tempatnya. Tiba-tiba datuk menepuk lantai dengan sekuat hati. Anak
Malik Cina bagaikan terpaku di lantai. Tidak terdaya melangkah ke mana-mana.
Tegak bagaikan patung. Datuk terus bangun melafazkan azan dengan suara yang
amat lantang sekali. Seluruh penduduk kampung jadi gempar. Mereka dikejutkan
dengan suara azan waktu pagi yang bening.
Selesai datuk
melafazkan azan. Datuk membaca ayat Kursi dengan kuat sekali. Belum pernah
datuk membaca ayat Kursi selantang itu. Bila pembacaan ayat suci itu berakhir,
anak perempuan Malik Cina jatuh berdentum di lantai. Terkapar bagaikan mayat.
“Jangan sentuh
tubuhnya.”
Suara datuk meninggi.
Isteri Malik Cina tidak jadi menyentuh tubuh anaknya. Dari kerutan wajahnya,
ternyata perempuan yang berusia hampir lima puluh tahun itu, kurang senang
dengan perintah datuk. Perempuan itu terus dipeluk rasa resah dan gelisah.
Sesekali, ia meraba kelopak matanya yang terasa berair. Hatinya terasa amat
sayu. Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Lebih lebih lagi melihat keadaan anak
yang terlantar dengan keadaan pakaian yang tidak senonoh.
“Boleh saya
selimutkan tubuhnya dengan kain, saya malu kalau ada orang yang datang dan
nampak anak saya dalam keadaan begini,” rayu Malik Cina.
“Jangan, jangan
disentuh dan jangan rapat dengannya.”
“Habis, awak mahu
seksa anak saya begini,” jerit isteri Malik Cina.
“Kalau awak mahu saya
selesaikan semuanya, ikut sahaja cakap saya, kalau awak tak setuju, saya tak
marah,” datuk renung muka Malik Cina.
SEPI
Suasana dalam rumah menyepi. Deru angin yang melanggar dedaun dan reranting jelas kedengaran. Malik Cina dan isterinya saling berpandangan. Datuk terus meraba-raba pangkal telinganya macam ada sesuatu yang didengarnya.
Suasana dalam rumah menyepi. Deru angin yang melanggar dedaun dan reranting jelas kedengaran. Malik Cina dan isterinya saling berpandangan. Datuk terus meraba-raba pangkal telinganya macam ada sesuatu yang didengarnya.
“Kami mahu awak
meneruskan hingga berjaya,” Malik Cina membuat keputusan. Isterinya terus
membatu. Biji matanya terus menjilat batang tubuh anaknya yang terkapar.
Melihat keadaan dalam
rumah sudah tenteram. Saya keluar dari tempat persembunyian. Naik ke rumah dan
duduk dekat datuk.
“Kamu ke mana tadi
Tamar?”“Saya lari, saya takut.”
“Memanglah kamu ni
pengecut,” suara datuk serak. Ia telan air liur. Saya tersengih, tebal rasa
kulit muka, bila disoal begitu di depan Malik Cina dan isterinya. Bagi menutup
rasa malu itu, saya cuba tersenyum pada Malik Cina. Malangnya senyuman yang
saya berikan tidak dibalas.
“Kali ni, kamu jangan
lari ke mana-mana walau apapun yang terjadi kau duduk di situ, hadap semua yang
datang,” datuk mengeluarkan perintah. Wajahnya nampak serius. Sepasang
tangannya terus memeluk tubuhnya kejap-kejap. Mata datuk tertumpu ke arah
permukaan tikar mengkuang yang terbentang. Kedua belah pipinya kelihatan
kembung dan daun telinganya nampak tegak, macam telinga arnab.
Datuk angkat
punggungnya perlahan-lahan. Kedua belah tangannya dibuka. Udara yang ada dalam
mulutnya dihembuskan. Kedua belah pipinya yang kembung terus jadi kempis. Datuk
meluruskan tubuhnya macam batang kayu.
Saya perhatikan
gerak-geri datuk dengan teliti. Di luar rumah, sinar matahari kian garang.
Beberapa orang kampung yang terdengar jeritan anak Malik Cina segera
menghampiri rumah. Kerana tidak ada sesiapa pun yang mempelawa mereka, mereka
terus berdiri di hujung halaman rumah sambil memanjangkan leher. Mereka ingin
mengetahui apa yang terjadi dalam rumah.
Rupanya, kedatangan
orang-orang kampung itu, tidak menyenangkan hati Malik Cina. Ia minta kebenaran
pada datuk untuk menutupkan pintu dan tingkap. Permintaannya tidak
diperkenankan oleh datuk.
“Jangan pedulikan
mereka, kau pergi carikan mayang pinang dan cendawan batang,” kata datuk pada
Malik Cina.
“Kamu pula carikan
aku kain putih dan bunga cengkih,” datuk renung muka isteri Malik Cina. Tanpa
bersuara sepatah apa pun, pasangan suami isteri itu turun dan rumah.
Datuk meraba pangkal
telinga kiri dengan tangan kanannya. Ia melangkah dua tapak ke depan. Urat-urat
di batang lehernya narnpak menonjol. Datuk memusingkan badannya ke kanan dengan
kaki kanannya terangkat dan badannya dibengkokkan sedikit. Kedua belah
tangannya kelihatan bergerak lembut, macam mengikut irama muzik.
Sekali pandang,
gerakan yang datuk lakukan itu macam orang mahu memulakan Tarian Inang Pulau
Kampai. Saya terasa geli hati.
“Kamu tunggu budak
perempuan ni,” suara datuk keras serentak dengan itu ia menghentakkan kakinya
ke lantai rumah. Saya terpinga-pinga. Amat berat rasanya untuk memenuhi
permintaannya.
Belum pun sempat saya
menyampaikan bantahan pada nya. Datuk sudah meninggalkan saya sendirian. Ia
melangkah tenang menuju ke halaman rumah dalam sinar matahari yan keras. Bayang
tubuh datuk nampak memanjang di tanah.
Bila datuk hampir ke
hujung halaman tempat orang-orang kampung berdiri, datuk pusingkan lehernya ke
kanan. Tiba-tiba, orang-orang yang berdiri di situ lari lintang-pukang tidak
tentu arah, macam terpandangkan sesuatu yang amat menakutkan.
“Datuk.”
Pekik saya sekuat hati. Datuk segera melihat ke arah saya. Ya Allah, wajah datuk berubah, jadi macam muka harimau yang amat menakutkan. Badan saya menggeletar dan kepala lutut saya terasa amat lemah sekali. Saya berdoa dalam saat saat demikian, supaya datuk jangan datang ke rumah.
Pekik saya sekuat hati. Datuk segera melihat ke arah saya. Ya Allah, wajah datuk berubah, jadi macam muka harimau yang amat menakutkan. Badan saya menggeletar dan kepala lutut saya terasa amat lemah sekali. Saya berdoa dalam saat saat demikian, supaya datuk jangan datang ke rumah.
Doa saya
diperkenankan oleh Allah, datuk tidak memandang ke arah saya. Ia meneruskan
perjalanannya dalam panas terik membelah hutan kecil di hujung halaman.
Orang-orang yang lari tadi menyampaikan berita pada kawan-kawan tentang
keanehan yang terjadi pada datuk. Seluruh kampung jadi gempar.
Tidak sampai satu
jam, cerita manusia berkepala harimau hauskan darah merebak ke seluruh kampung.
Halaman rumah dan kaki tangga rumah Malik Cina mula dikerumuni oleh orang-orang
kampung, mereka membawa parang, lembing serta senapang kampung berlaras satu.
Mereka mahu menangkap manusia berkepala harimau.
“Eh, budak! Mana dia
Malik Cina?” Salah seorang dari orang yang berada di kaki tangga mengajukan
pertanyaan pada saya.
“Dia keluar cari ubat
anaknya,” jawab saya.
“Bininya ke mana?”
“Cari ubat juga.”
“Orang tua yang baru
datang tu ke mana perginya?”
“Keluar.”
“Sudah sahlah, rumah ni jadi punca manusia kepala harimau,” suara orang di kaki tangga kian meninggi. Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam yang saya fikirkan. Saya renung anak Malik Cina yang terbujur. Saya renung muka orang-orang kampung di halaman. Semuanya masam, tidak memperlihatkan rasa persahabatan.
“Sudah sahlah, rumah ni jadi punca manusia kepala harimau,” suara orang di kaki tangga kian meninggi. Saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam yang saya fikirkan. Saya renung anak Malik Cina yang terbujur. Saya renung muka orang-orang kampung di halaman. Semuanya masam, tidak memperlihatkan rasa persahabatan.
Saya yakin, kalau
orang-orang naik ke rumah dan menjentik hidung saya. Tentu saya mati kelemasan,
jumlah mereka bukan sedikit. Inilah, saat yang paling genting dalam hidup saya.
Pada siapa mahu saya sampaikan rasa cemas dan takut ini?
TAKUT
Rasa cemas dan takut yang menguasai diri saya terus berakhir. Malik Cina dan isterinya muncul di depan saya. Mereka masuk ke rumah menerusi pintu dapur. Semua barang-barang yang diingini oleh datuk mereka adakan. Mereka juga terkejut melihat orang berkumpul di kaki tangga dan di halaman rumah.
Rasa cemas dan takut yang menguasai diri saya terus berakhir. Malik Cina dan isterinya muncul di depan saya. Mereka masuk ke rumah menerusi pintu dapur. Semua barang-barang yang diingini oleh datuk mereka adakan. Mereka juga terkejut melihat orang berkumpul di kaki tangga dan di halaman rumah.
“Eh Malik ke mana
orang tua itu kamu sembunyikan, dia bawa bencana,” tanya seorang penduduk pada
Malik Cina.
“Aku tak sembunyikan
dia, masa aku keluar rumah tadi, dia ada di sini?” tingkah Malik Cina.
“Kau tahu tak apa
yang sudah terjadi?”
“Aku tak tahu.”
“Kami mahu tangkap
dia, kalau dibiarkan seluruh kampung jadi huru-bara, dia tu bukan manusia, aku
tengok badannya sahaja serupa kita tetapi, kepalanya tak serupa kita, dia
berkepalakan harimau,” sambung orang itu bersungguh-sungguh. Air liurnya
bersembur.
Malik Cina dan
isterinya berpandangan sama sendiri, Orang yang berkumpul terus membisu.
Seluruh wajah mereka kelihatan cemas. Tetapi, biji mata mereka tertumpu ke arah
saya. Mereka bagaikan mahu mematahkan seluruh tulang temulang di anggota tubuh
saya.
“Kamu cari aku, aku
datang,” saya terdengar suara datuk dari arah belakang kumpulan orang kampung.
Semu orang yang berkumpul kelihatan terkejut. Beberapa orang dari mereka terus
merendahkan badan dan menyusup di bawah rumah, kemudian terus menghilangkan
diri. Saya kembali bersemangat. Muka orang yang berdiri di halaman, saya renung
satu-persatu.
Saya lihat datuk
melangkah dengan gagahnya sambil membibit baldi yang berisi air. Dua orang cuba
menghalang perjalanan datuk. Tetapi, usaha mereka gagal. Bila datuk berdehem,
kedua-dua orang yang menahan datuk itu terus terjatuh, seolah-olah tulang kaki
mereka tidak berguna sama sekali.
Anehnya, bila datuk
meninggalkan mereka dalam jarak sepuluh langkah, mereka dapat bangun kembali,
Tetapi, mereka terlupa dengan apa yang mereka alami. Datuk terus merempuh
barisan orang ramai itu. Bila sampai di kaki tangga, datuk terus berdiri di
situ. Baldi yang berisi air diletakkan di sebelah kanannya.
Saya berharap datuk
tidak akan bertindak yang boleh menimbulkan seribu ketegangan dan haru-biru.
Isteri Malik Cina terus menangis tersedu-sedu.
“Apa yang kamu mahu?”
Tanya datuk pada orang ramai.
“Kamu tukang sihir dan
kami mahu menghukum kamu,” jawab seorang lelaki. Badannya cukup tegak. Besar
dan nampak gagah.
“Kenapa kamu cakap
macam tu?” Soal datuk lagi.
“Tadi, kami nampak
kepala kamu bertukar jadi kepala harimau.”
“Itu tandanya kamu
tidak ikhlas, kamu mahu menganiayakan aku, kalau kamu jujur, kamu tak nampak
semuanya itu.”
“Kamu berdalih.”
“Siapa yang berdalih,
kamu atau aku cakap dengan jujur?” pekik datuk lalu menghentakkan kakinya ke
mata anak tangga.
Orang itu terdiam.
Mulutnya bagaikan terkunci. Datuk membaca sesuatu sambil melipatkan ibu jari
kanannya dan jari kelengkengnya menekan ibu jari tersebut. Saya tahu, selagi
datuk tidak menegakkan ibu jarinya, orang itu tidak kan boleh berkata-kata
walau sepatah pun.
“Cakap dengan jujur,” ujar datuk. Ibu jari dan jari kelengkengnya ditegakkan. Muka orang itu berpeluh. Nafasnya jadi sesak. Tempurung lututnya menggeletar.
“Cakap dengan jujur,” ujar datuk. Ibu jari dan jari kelengkengnya ditegakkan. Muka orang itu berpeluh. Nafasnya jadi sesak. Tempurung lututnya menggeletar.
“Ya, saya mengaku,
saya mahu menggunakan ilmu sihir saya yang boleh melumpuhkan seluruh badan
awak,” orang itu memberikan pengakuan. Datuk tersenyum.
“Sekarang kamu dah
mengaku, apa yang kamu mahu dari aku, kamu mahu bersahabat atau untuk menjadi
lawan,” datuk renung muka orang itu.
“Aku mahu
bersahabat.”
“Kalau mahu
bersahabat, pulanglah ke rumah. Aku tahu, kamu tak suka orang mengubat anak
Malik Cina, kau suka perempuan itu menjerit dan koyak kain, kemudian kau
tumpangkan ilmu salah kamu. Aku tahu, kamu yang suruh orang-orang mengerumuni
anak Malik Cina. Betul atau tidak?”
“Betul.”
“Kenapa kamu buat macam tu.”
“Kenapa kamu buat macam tu.”
“Saya sebenarnya
sedang menuntut ilmu terlentang ke langit anak Malik Cma yang sakit ini mahu
saya jadikan ujian.”
“Sudahlah,
berhentikan perbuatan itu. Pulanglah ke rumah dan bertaubat, biar aku uruskan
anak Malik Cina,” suara datuk keras.
Orang itu tundukkan
kepalanya. Tanpa mengucapkan sesuatu ia meninggalkan rumah Malik Cina. Kawan
kawannya yang lain menurut jejak langkahnya. Datuk menyorot langkah mereka
hingga keluar dari kawasan halaman rumah Malik Cina.
Datuk terus duduk
dekat anak Malik Cina. Ia minta barang- barang yang dipesan dari Malik Cina
isterinya. Semua barang-barang itu dimasukkan ke dalam baldi yang berisi air
kecuali kain putih.
“Ikatkan kain putih
itu pada buku lali anak kamu,” kata datuk pada isteri Malik Cina. Perintah itu
segera dipatuhi.
“Ini usaha terakhir,
aku hanya menjalankan ikhtiar. Allah yang akan menentukan untuk menyembuhkan
penyakit atau sebaliknya. Cara ini tidak sesuai dengan perubatan moden tetapi
inilah ikhtiar yang terdaya aku lakukan,” sambung datuk lagi dengan tenang.
Datuk tarik baldi ke
depannya. Ia memperkemaskan silanya. Kedua belah lengan bajunya dilipat separas
siku. Datuk terus membaca Al-Fatihah seribu kali. Bila sudah selesai, datuk
berdiri di muka pintu.
Datuk melihat
matahari yang memancar garang dengan wajah yang tenang dan penuh keyakinan.
Mulutnya telap bergerak. Entah apa yang dibacanya, saya sendiri pun tidak tahu.
“Sekarang usung anak
kamu ke tengah laman rumah, biarkan ia di situ,” beritahu datuk pada Malik
Cina. Anak perempuan Malik Cina segera diusung. Saya hanya memegang bahagian
buah betis dengan perasaan bimbang. Saya takut, ketika diusung nanti, anak
perempuan Malik Cina tersedar dari pengsan dan terus menendang saya.
Syukur, apa yang saya
bimbangkan tidak berlaku. Anak Malik Cina diletakkan di tengah halaman dalam
sinaran matahari yang amat garang. Datuk terus membimbit baldi ke halaman
rumah. Tanpa menegur Malik Cina dan saya, datuk terus menjiruskan air dalam
baldi ke tubuh anak Malik Cina.
Anak Malik Cina
tersedar dari pengsan. Saya merasa terkejut air yang membasahi tubuhnya kering
dengan serta-merta. Kain dan baju terus kering.
“Pergi ambil kain,
balutkan tubuhnya, ia sejuk tu,” datuk menujukan kata-kata itu untuk isteri
Malik Cina. Isteri Malik Cina masuk ke rumah dan keluar dengan sehelai batik
jawa. Tubuh anaknya segera dibalutkan dengan kain tersebut.
“Bangun nak,” kata
datuk. Anak Malik Cina terus bangun. Ia duduk mencangkung. Matanya merenung ke
arah datuk. Cahaya matanya cukup lembut.
“Kenapa saya ni,”
tanyanya tersipu-sipu.
“Kau tak ada apa-apa,
baliklah ke rumah.”
“Ya saya nak balik.”
MANDI
Anak Malik Cina terus menuju ke rumah. Kami mengekorinya dengan hati-hati. Sampai di rumah, anak Malik Cina terus mandi, kerana keadaannya agak lemah. Datuk menyuruh isteri Malik Cina mendampinginya. Anak Malik Cina terus menghias diri. Sikat rambut dengan rapi serta menaruh bedak ke pipi. Ia mula menyebut nama suaminya berkali.
Anak Malik Cina terus menuju ke rumah. Kami mengekorinya dengan hati-hati. Sampai di rumah, anak Malik Cina terus mandi, kerana keadaannya agak lemah. Datuk menyuruh isteri Malik Cina mendampinginya. Anak Malik Cina terus menghias diri. Sikat rambut dengan rapi serta menaruh bedak ke pipi. Ia mula menyebut nama suaminya berkali.
“Kamu layan
karenahnya, jangan dimarah, sebaiknya kau beri hatinya gembira hingga ia
percaya pada diri sendiri. Dalam tempoh dua tiga hari ni, ia akan menghadapi
tekanan perasaan yang hebat, susah untuknya membuang kebiasaan yang dialami
masa ia sakit dulu,” datuk mengingatkan Malik Cina. Malik Cina anggukkan kepala.
“Aku terpaksa duduk
di rumah kamu dua hari lagi, bila anak kamu sudah sihat dan pulih, aku pergi,”
datuk renung muka Malik Cina.
“Itulah yang aku
harapkan,” Malik Cina keriangan. Tetapi saya kurang senang mendengar kata-kata
itu. Duduk di rumah memang membosankan. Apakan daya, kata-kata datuk tidak
boleh dibantah.
Selama tiga hari
berikutnya, datuk terus berikhtiar memulihkan sisa sakit yang dideritai oleh
anak Malik Cina. Setiap pagi dan petang anak Malik Cina disuruh minum segelas
air sejuk yang sudah dibacakan dengan Bismilah seratus kali.
No comments:
Post a Comment