KATAK aneh terus membesarkan badannya. Sama besarnya dengan raga rotan di
sisinya. Suaranya garang dan menakutkan sesekali suaranya kedengaran seperti
suara budak yang berumur enam bulan menangis. Melihat keadaan yang tidak pernah
saya lihat itu membuat saya ketakutan dan terus meninggalkan guru silat
sendirian.
Saya terus
memeluk tubuh datuk yang sedang membaca Quran. Entah apa malangnya diri saya.
Datuk terus menolak hingga saya tersungkur di sisinya. Tanpa menghiraukan kesakitan
yang saya tanggung, datuk terus membaca Quran tanpa mempedulikan tempias hujan
yang sudah membasahi sebahagian dari bajunya.
“Tolong,
tolong katak serang aku.”
Suara guru
silat bertempik dalam suasana gemuruh hujan dan angin malam yang amat hebat.
Datuk merenung ke wajah saya sambil menutup Quran.
“Mari ikut
aku, tengok apa yang jadi,” datuk terus bangun dan melangkah menuju ke ruang
dapur. Tanpa banyak cakap saya menurut saja.
“Ya Allah,
apa dah jadi,” kata saya dengan kedua belah kepala lutut menggigil. Biji mata
saya terbeliak merenung ke arah guru silat yang terlentang di lantai. Mukanya
terdapat kesan-kesan air kental yang berbuih. Selalunya air seperti itu hanya
terdapat dari mulut katak. Guru silat menggolek ke kiri dan ke kanan macam orang
kesakitan.
“Jangan
pegang dia,” datuk melarang bila saya mahu menjamah bahu kiri guru silat. Saya
terlihat bahagian depan baju guru silat terkoyak dan ada kesan kena cakar tapi,
anehnya, bahagian yang kena cakar itu tidak mengeluarkan darah. Daging dan tulang
dada guru silat jelas kelihatan.
“Kita
mesti tolong dia tuk.”
“Biarkan
di situ, dia sebenarnya tidak apa-apa, curna penglihatan kita saja yang nampak
dirinya teruk.”
“Tapi, ini
bukan main-main tuk.”
“Eb, Tamar
kamu faham cakap aku tak?” Datuk terus memekik dan darah saya tersirap. Rupanya
tindakan saya memanaskan darah datuk yang dingin di malam yang gemuruh dengan
hujan, petir dan halilintar.
“Mana raga
burungnya Tamar?” Tanya datuk.
“Itu,”
jari telunjuk saya tertuju ke arah raga buluh di tepi tiang seri. Datuk terus
menuju ke situ sambil menarik lengan kanan saya.
“Kau
tengok, apa yang ada di dalam Tamar.”
Saya
jenguk ke dalam raga. Apa yang menakjubkan hati dan perasaan saya bila terlihat
burung puyuh duduk di tengah raga buluh dabm keadaan kesejukan. Matanya
merenung lembut pada saya seolah-olah minta dikasihani.
“Apa yang
kamu nampak di dalamnya Tamar?”
“Burung
puyuh, tuk”
“Jadi, kau
tak nampak katak? Bukan begitu Tamar.”
“Ya, tuk,”
saya anggukkan kepala.
Saya mula
merenung ke setiap sudut dapur, mencari katak aneh yang tidak diundang. Usaha
saya tidak berhasil tetapi, saya masih dapat melihat kesan air liur katak yang
melekat di lantai. Apa yang telah saya alami bersama guru silat sebentar tadi,
saya ceritakan pada datuk.
Panas juga
hati saya melihat sikap datuk. Dia seperti tidak kisah dengan apa yang saya
katakan. Datuk seolah-olah menganggap apa yang saya sampaikan padanya satu
cerita dongeng yang tidak wujud. Datuk lagi sekali mendekati raga rotan yang
berisi burung puyuh. Kali ini, dia bertindak di luar apa yang saya fikirkan.
Datuk
terus menangkap burung puyuh. Diangkat tinggi-tinggi melepasi kepalanya.
Kemudian disusupnya ke celah kangkang sebanyak tiga kali berturut.
Akhirnya,kepala burung puyuh diludah lima kali berturut-turut. Datuk terus
mendekati tingkap. Berdiri di situ dalam rimbasan tempias hujan yang menggila,
lampu dalam rumah terus padam.
Kilat
terus mencabar dengan hebatnya. Dari pancaran cahaya kilat itu, saya dapat
melihat wajah datuk yang serius, rambutnya agak mengerbang disentuh angin malam
menggila. Bersama pancaran kilat dan tempias hujan serta hembusan angin, datuk
mencampakkan burung puyuh keluar. Sebaik sahaja burung puyuh itu terlepas dari
tangannya terdengar bunyi petir yang amat kuat, dituruti dengan bunyi suara
orang ketawa dan menangis memanjang.
“Mana
katak sial, biar aku lanyak sampai mampus,” guru silat terus bangun. Calar di
wajah dan dadanya terus hilang. Bajunya yang koyak dibabagian dada sudah
bercantum kembali. Lampu yang padam menyala semula.
“Bersabar,
jangan turutkan perasaan,” datuk menenangkan perasaan guru silat. Saya menghela
nafas panjang. Datuk mengajak guru silat duduk di ruang tengah rumah.
“Duduk di
sini, kita ikhtiar untuk menyelesaikan semuanya,” tambah datuk. Guru silat
terus anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang dikatakan oleh datuk.
Hujan
lebat, petir dan halilintar mula berkurangan tetapi rasa dingin tetap menguasai
diri saya. Datuk memperkemaskan silanya. Datuk menyuruh saya merapatkan semua
tingkap yang terbuka. Perintahnya, saya patuhi dengan perasaan cemas dan takut.
Megah juga
rasa hati, bila semua daun tingkap berhasil saya rapatkan dengan baiknya. Saya
terus mendekati datuk dan guru silat. Bersila macam mereka.
“Belum
pernah saya mengalami perkara macam ini,” ujar guru silat. Matanya liar
merenung ke kiri dan ke kanan.
“Ini juga
satu pengalaman dalam hidup kamu.”
“Saya
faham. Apa yang patut kita buat."
“Tak ada
apa yang patut kita buat sekarang kita tidur dan lupakan semua yang terjadi.”
“Haaaaaaaa,”
mulut guru silat terlopong dengan rasa cemas. Datuk tersenyum panjang.
Keadaan
yang agak tenang itu berkocak kembali, diganggu oleh tendangan yang kuat. Bomoh
tua terpacak di ambang pintu. Tidak terdapat kesan air hujan di pakaiannya
meskipun hujan turun dengan lebat. Kedatangan bomoh tua yang tidak diduga itu
mencemaskan perasaan kami.
“Ada apa
hal datang waktu begini?” Soal datuk.
“Mencari
burung puyuh saya yang hilang.” jawabnya.
“Burung
puyuh?” Ulang guru silat dan bersedia untuk menyambung kata-katanya kembali
tetapi, tidak diteruskan kerana datuk mengenyitkan mata ke arahnya dua kali
berturut-turut.
“Kami tak
nampak burung tu di sini,” datuk memberikan jawapan. Terbayang keraguan dan
kesangsian di wajah bomoh tua. Tanpa mengucapkan sesuatu bomoh tua terus
meninggalkan kami sambil menjeling ke arah daun pintu yang terkopak. Tugas
membaiki pintu yang terkopak dilakukan oleh guru silat.
“Pelik
juga saya memikirkan apa yang terjadi,” rungut guru silat. Datuk tidak
memberikan sebarang pendapat berhubung dengan rungutan yang diluahkan oleh guru
silat. Datuk terus menyandarkan badannya ke dinding sambil mengedutkan dahi.
Hujan dan petir terus berhenti sama sekali. Kokok ayam mula terdengar
sayup-sayup. Saya terus merebahkan badan dan kelopak mata terasa amat berat.
Bila saja
mahu terlelap, saya terdengar suara guru silat dalam keadaan yang cemas.
Kelopak mata segera saya buka lebar-lebar. Datuk saya lihat masih tersandar di
dinding dengan kedua belah kelopak matanya tertutup rapat. Saya renung ke arah
guru silat.
Tanpa
mengucapkan sesuatu, guru silat meluruskan telunjuknya pada benda yang
tergantung di tulang bumbung rumah. Apa yang saya lihat ialah sekujur tubuh
manusia tergantung di situ dengan tali terjerut di lehernya. Saya lihat kaki
orang yang tergantung itu bergerak-gerak, macam berjalan di awang-awangan. Bila
saya renung ke mukanya, darah saya tersirap badan saya menggeletar.
Saya
segera memejamkan mata, tidak sanggup saya melihat lidahnya yang terjelir
keluar dengan sepasang biji matanya tersembul, bahagian mata hitamnya bagaikan
mahu tercabut dan terbuai-buai sedangkan bahagian mata putihnya seperti melekat
pada kedua belah pipinya. Sepasang tangannya bergerak ke kanan dan ke kiri.
Dalam
keadaan yang serba tidak kena itu, saya terdengar bunyi benda jatuh, bila saya
buka kelopak mata dan melihat ke arah benda yang jatuh itu, saya terlihat orang
yang tergantung sudah berada di lantai. Bangun perlahan-lahan seperti menerkam
ke arah guru silat. Dan guru silat yang selama ini saya kagumi kehandalannya
mengatur langkah dan buah silat ternyata tidak sanggup menentang makhluk yang
menuju ke arahnya.
Guru silat
terus cabut dan melanggar dinding rumah, dinding rumah terkopak dan guru silat
tercampak ke tanah bersama jeritan yang memanjang di malam yang sudah mendekati
waktu subuh. Anehnya, bila guru silat jatuh ke tanah, manusia yang terjatuh di
lantai terus hilang. Saya sudah tidak terdaya mahu bergerak, saya cuba menjerit
tetapi suara saya tidak keluar.
Dalam keadaan yang berhempas-pulas untuk mendekati datuk itu, saya lihat datuk terjaga sambil mengucap beberapa kali.
Dalam keadaan yang berhempas-pulas untuk mendekati datuk itu, saya lihat datuk terjaga sambil mengucap beberapa kali.
“Aku
tertidur dan mimpi yang bukan-bukan,” kata datuk lalu menggesel-gesel kelopak
matanya. Renung kiri, renung kanan mencari guru silat.
“Mana dia
guru silat Tamar?”
“Terjun ke
tanah ikut dinding.”
“Kenapa
ikut dinding, bukankah pintu ada,” datuk segera merenung ke arah dinding yang
terlopong. Saya hampir mahu ketawa melihat telatah datuk yang agak terkejut
dengan peristiwa tersebut.
Terdengar
suara guru silat mengeluh di tanah. Datuk dan saya segera mendapatkan guru
silat yang menggeliat menahan kesakitan. Waktu saya dan datuk menghampiri guru
silat, terdengar azan subuh. Langit subuh kelihatan cerah dan bersih.
“Kau
luka?” Tanya datuk.
“Tak ada,
cuma pangkal paha saya yang sakit.”
“Kenapa
kamu pecahkan dinding?”
“Entah,”
guru silat menjawab pendek dan terus membongkok dan meluruskan badannya
beberapakali hingga mulutnya mengeluarkan sendawa yang panjang macam orang
kekenyangan. Saya ketawa dengan telatahnya.
Dengan
terjengkut-jengkut guru silat melangkah mengikut datuk menuju ke perigi
mengambil air sembahyang. Setelah sembahyang subuh, datuk terus mandi embun dan
guru silat membuka beberapa langkah bunga silat dengan tujuan untuk menguatkan
tubuhnya.
WARUNG
Lebih kurang pukul tujuh pagi, kami bertiga menuju ke sebuah warung untuk sarapan. Datuk hanya minum kopi pekat dan sepotong pulut udang. Beberapa orang pelanggan yang datang ke warung menegur guru silat. Salah seorang lelaki menegurnya berbadan tegap. Berjambang tanpa misai.
Lebih kurang pukul tujuh pagi, kami bertiga menuju ke sebuah warung untuk sarapan. Datuk hanya minum kopi pekat dan sepotong pulut udang. Beberapa orang pelanggan yang datang ke warung menegur guru silat. Salah seorang lelaki menegurnya berbadan tegap. Berjambang tanpa misai.
“Dah
banyak malam kau dudak di rumah lama, pesaka orang tua kamu, wah kamu memang
berani,” ujar lelaki itu sambil menepuk bahunya. Guru silat ketawa kecil.
“Rumah
orang tua sendiri, apa yang ditakutkan,” guru silat membalas cakap kawannya.
Datuk dan saya berpandangan saya merasakan macam ada sesuatu rahsia yang
tersembunyi di rumah yang kami duduk. Muka kawan guru silat saya renung.
“Kalau
sampai tiga orang duduk di situ, tak hairanlah kalau kami tak mengalami apa-apa
kejadian buruk,” tambah guru silat dengan nada suara separuh meninggi. Ekor
matanya menjeling lembut ke arah saya dan datuk. Saya meraba pinggir bibir yang
mulai dirayapi tunggul misai sulung.
Sambil
meraba itu, saya membayangkan bila misai saya tumbuh dengan suburnya, akan saya
bentuk menjadi misai yang menarik macam misai seniman P Ramlee yang berbentuk
huruf M. Bila saya tersenyum, misai saya akan mengembang cantik. Pasti, ada
orang yang memuji dan mengagumi misai milik saya itu. Saya senyum sendirian
melayani angan-angan yang bermain dalam tempurung kepala.
“Kau
hati-hatilah, rumah lama memang ada penunggu. Lebih-lebih lagi kalau rumah tu
ada orang mati berdarah,” sambung kawan guru silat dan membunuh angan-angan
yang berlegar-legar dalam kepala saya. Hati saya bertambah yakin pasti ada
sesuatu yang luar biasa berlaku di rumah tersebut tetapi, guru silat sengaja
tidak mahu menceritakan pada saya dan datuk.
Perbuatannya
itu membuat saya kurang percaya dan yakin atas kebaikan yang diperlihatkannya
pada saya dan datuk. Siapa tahu, guru silat yang kelihatan baik itu sebenarnya
berniat kurang baik terhadap saya dan datuk. Mungkin ia mengundang saya dan datuk
datang ke kampungnya untuk mengubat adik iparnya hanya sebagai alasan untuk
memperdayakan kami.
“Aku nak
tengok berapa lama kamu boleh duduk di rumah orang tua kamu,” kawan guru silat
ketawa kecil.
“Dengan
izin Allah, aku boleh duduk beberapa lama yang aku suka,” balas guru silat
sambil merenung muka datuk.
“Cakap dia
betul, kalau diizinkan Allah tidak ada yang ganggu kami,” cara mengejut datuk
meningkah cakap guru silat. Saya lihat wajah kawan guru silat segera berubah.
Mungkin
perubahan itu terjadi, kerana ia tidak menduga datuk yang sejak tadi membatu
mahu ikut campur dalam percakapan di warung. Kawan-kawan si guru silat menanti
wajah datuk sejenak, macam mencari sesuatu di wajah datuk.
“Mungkin,
pak cik betul, mungkin tidak, kadang-kadang manusia selalu bercakap macam pak
cik untuk menutup kelemahan diri sendiri, cuba berlagak berani dalam takut.”
dengan tenang kawan guru silat meluahkan kata-kata yang saya kira agak
keterlaluan untuk seorang tua seperti datuk.
Kagum juga
saya melihat telatah datuk, tidak memperlihatkan rasa marah. Malah dengan sopan
bahu kawan guru silat itu ditepuknya berkali-kali. Guru silat terus meughirup
kopi dengan tenang tanpa mahu merenung ke arah pelanggan yang masuk ke warung
kopi.
Entah
mengapa, guru silat bertindak demikian. Kebanyakan pelanggan yang datang
menegurnya dengan hormat tetapi tidak dijawabnya. Sesekali guru silat itu
melepaskan keluhan kecil dengan wajah yang tidak damai.
“Semua
orang di sini kenal saya, maklumlah kampung halaman sendiri,” guru silat seperti
mengeluh dan kata-katanya itu sampai ke telinga kawannya.
“Itu
kenyataan,” sahut kawannya. Guru silat mengedutkan keningnya. Muka kawannya
ditatap lagi dengan sinai mata yang garang. Kawannya terus menghulurkan tangan
sambil berkata:
“Maafkan aku kalau apa yang aku katakan tadi menyinggung perasaan kamu, aku tahu kamu tak suka kisah lama diungkit-ungkit kembali.”
“Maafkan aku kalau apa yang aku katakan tadi menyinggung perasaan kamu, aku tahu kamu tak suka kisah lama diungkit-ungkit kembali.”
“Ya, tapi
aku tak terdaya menutup mulut orang.”
“Kau
hadapilah semuanya dengan tenang, aku nak balik.”
“Nanti
sebelah petang kalau ada masa aku datang ke rumah kamu,” kawannya terus menepuk
bahunya dua kali berturut-turut. Dan kawannya meninggalkan warung.
Guru silat
melihat dengan tenang ke arah motosikal yang terletak di tepi jalan. Guru silat
melambaikan tangan ketika kawannya memandu motosikal ke arah pekan Bukit
Mertajam. Bila motor kawannya hilang dari pandangan, guru silat segera merenung
ke arah datuk.
“Macam
mana, kalau kita balik,” guru silat mengajukan pertanyaan pada datuk. Saya
segera minum sisa air kopi dalam cawan.
“Ya, kita
balik” sahut datuk.
“Pak
Achin, tolong kira berapa semuanya,” teriak guru silat pada pemilik warung.
Pemilik warung segera menghampirinya.
“Seringgit
lima kupang semuanya,” kata pemilik warung.
Guru silat
keluarkan wang dan saku. Dengan senyum pemilik warung menerima wang tersebut.
Mereka berjabat tangan sejenak.
“Jangan
lupa esok datang lagi minum di sini.”
“lnsya-Allah,
kalau panjang umur kami datang,” datuk menjawab. Pemilik warung tersengih
sambil merenung ke muka guru silat.
“Apa rumah
lama tu dah tak buat kacau lagi?” Pemilik warung mengajukan pertanyaan. Muka
guru silat yang tadi dihiasi dengan senyum segera bertukar menjadi resah dan
cemas.
“Tak ada perkara lain yang Pak Achin nak tanya?”
“Tak ada perkara lain yang Pak Achin nak tanya?”
“Bukan
apa-apa, cuma nak tahu aje.”
“Entah,
saya tak tahu,” suara guru silat keras. Pemilik warung tercengang.
Guru silat
segera menarik tangan datuk keluar dari warung. Saya terpaksa mengikut. Lebih
kurang sepuluh rantai meninggalkan waning, datuk segera menyoal guru silat.
“Apa
rahsia yang ada di rumah kamu?”
“Hum,”
guru silat berhenti melangkah.
“Tak ada
apa-apa,” katanya selamba.
“Mustahil,
kalau tak ada apa-apa tentu orang tak menyebutnya, usahlah merahsiakan semuanya
dari aku.” tambah datuk lagi. Guru silat merenung ke arah kiri jalan raya agak
sepi dengan sebarang kenderaan.
“Bapa
saudara saya...,” guru silat berhenti bercakap, “Kenapa dengan bapa saudara
kamu?”
“Gantung
diri di rumah tu.” guru silat membuka rahsia.
“Puncanya?”
Datuk mendesak.
“Saya
sendiri, tak tahu.”
Hati saya
terasa lapang. Guru silat sudah menyelesaikan keraguan yang menyelubungi diri
saya. Tetapi perasaan seram tetap menguasai hati kecil saya membuat saya enggan
melangkah pulang ke rumah arwah orang tua guru silat. Datuk terus menggosok
pangkal telinga kanannya sambil mengedutkan dahi.
“Jangan
berhenti, terus jalan,” kata datuk bila melihat guru silat mahu memberhentikan
langkahnya. Saya terus meraba pangkal kening yang mula ditumbuhi peluh-peluh
halus. Matahari terus bersinar garang. Langit cerah dengan gumpal awan yang
putih bersih.
“Saya tak suka mengingati semua yang terjadi tetapi, orang lain yang memaksa saya untuk mengingati semua kisah pahit itu.” sepasang kelopak mata guru silat bergerak lemah. Air mukanya membayangkan rasa kesal yang amat pahit.
“Saya tak suka mengingati semua yang terjadi tetapi, orang lain yang memaksa saya untuk mengingati semua kisah pahit itu.” sepasang kelopak mata guru silat bergerak lemah. Air mukanya membayangkan rasa kesal yang amat pahit.
“Sudahlah,
usah fikirkan semuanya itu,” datuk terus memujuknya.
“Saya cuba
melupakannya tetapi, bila ada peristiwa macam ini, hati saya terasa sakit.”
“Sabarlah,” tingkah datuk. Setelah itu perjalanan jadi rancak. Tidak ada perkara yang mahu diperkatakan. Masing-masing melayani perasaan yang bersarang di tempurung kepala.
“Kita tak usah balik ke rumah,” satu cadangan yang tidak diduga datang dari guru silat. Mengejutkan hati dan perasaan saya serta datuk.
“Sabarlah,” tingkah datuk. Setelah itu perjalanan jadi rancak. Tidak ada perkara yang mahu diperkatakan. Masing-masing melayani perasaan yang bersarang di tempurung kepala.
“Kita tak usah balik ke rumah,” satu cadangan yang tidak diduga datang dari guru silat. Mengejutkan hati dan perasaan saya serta datuk.
“Habis
kita nak ke mana?” Soal saya tanpa sabar.
“Ke rumah
adik saya,” jawab guru silat secepat kilat.
“Bagus
juga, kalau begitu aku setuju,” balas datuk.
Kami pun
berbelok ke kanan menuju ke rumah adik guru silat. Sebaik saja, sampai dekat
pokok ara besar. Bomoh tua muncul di depan kami. Wajahnya nampak cemas tetapi
dipaksanya tersenyum. Muka kami ditentangnya sejenak. Direnung ke atas, ke
bawah berkali-kali, bagaikan meragui diri kami.
“Nak
kemana?” Bomoh tua bertanya sambil melipat lengan baju kanannya separas siku.
Hujung seliparnya menekan rerumput hijau di gigi jalan.
“Kamu
dipanggil untuk mengubatnya?” Bomoh tua mengajukan pertanyaan. Biji matanya
menatap tubuh datuk dan atas ke bawah, dan bawah ke atas macam mencari sesuatu
di tubuh datuk yang terpaku di depannya.
“Kami tak
dipanggil. Sebagai abang saya mesti menengok adik ipar saya,” jelas guru silat.
“Bukankah
adik ipar awak dalam jagaan saya.”
“Ya saya
tahu,” guru silat angguk kepala.
“Kau tahu
pantang-larangnya?”
“Apa
pantang-larangnya?” Guru silat seperti terkejut.
“Kamu tak
boleh tengok adik ipar waktu matahari belum condong.”
“Hum...,”
guru silat seakan-akan mengeluh dan terus merenung muka datuk dan saya.
Dari
kerutan di dahi datuk, saya dapat menduga rasa hairan dan terkejut bersarang
dalam dadanya. Saya kira belum pernah datuk menemui dukun dan bomoh yang ada
pantang-larang untuk melihat orang sakit. Datuk menentang biji mata bornoh tua
dengan tepat.
“Tengok
saudara sendiri pun tak boleh,” datuk mengecilkan mata kanan. Guru silat terus
termenung, terkejut dengan pantang-larang yang tidak pernah difikirkannya
selama ini.
“Berubat
dengan saya, ikut syarat saya,” suara bomoh tua bertambah keras. Datuk terus
mendekati guru silat. Mereka berbisik sejenak. Bomob tua kelihatañ resah.
“Biarlah,
saya langgar syarat, saya nak tengok adik ipar saya,” ternyata kata-kata yang
diucapkan oleh guru silat itu menimbulkan semacam kemarahan pada bomoh tua.
Mukanya jadi merah dan nafasnya tercungap-cungap, bila melihat datuk dan guru
silat meneruskan perjalanan.
“Eh, nanti
dulu,” jerit bomoh tua.
Laungannya
tidak diperhiraukan. Kami terus melangkah dalam panas yang kian terik. Angin
ketika itu, tidak terasa bertiup. Badan saya terus berpeluh.
“Eh nanti
dulu,” pekik bomoh tua lagi.
Laungannya
tidak kami pedulikan. Kami terus melangkah.
“Padah
buruknya, adik ipar kamu yang terima,” kata-kata itu membuat guru silat
berhenti melangkah lalu menoleh belakang merenung bomoh tua yang sedang membuka
sepasang tangannya dengan lebar, macam burung membuka sayap.
“Jangan
pedulikan, teruskan hajat kita,” bisik datuk pada guru silat.
“Tapi,
saya bimbang.”
“Jangan
bimbang, dia manusia biasa macam kita,” datuk memberikan semangat dan memaksa
guru silat meneruskan langkah yang terhenti. Guru silat menurut saja arahan
datuk.
Dua tiga
kali saya mengesat peluh yang mercik di dahi begitu juga dengan datuk yang
tidak putus-putus melurut rambut di pangkal telinga kanannya dengan tapak
tangan kiri. Suara bomoh tua sudah tidak kedengaran lagi dan kami merasakan
perjalanan terasa aman dan damai. Tidak
ada
gangguan dari sesiapa.
Saya
merasa bertuah dalam cuaca yang terik itu, terasa hembusan angin menyentuh
kulit muka. Rambut yang terjuntai atas dahi terbuai-buai. Kami memasuki sebuah
lorong kecil yang di kiri kanannya ditumbuhi dengan pepohon senduduk yang
merimbun. Dari kanan lorong saya terdengar bunyi sesuatu yang bergerak aras
dedaun kening. Bila di renung tidak ada sesuatu yang dapat saya lihat.
“Aduh,”
jerit guru silat serentak dengan itu saya lihat guru silat terjatuh atas tanah.
Saya jadi cemas tetapi, datuk bertindak cepat membangunkan guru silat serta
memberi rawatan mengejut padanya.
Saya
menjeling ke kanan sepasang kaki yang dibalut dengan seluar kelabu tegak kaku
di depan saya. Dan bahagian atas lutut terdapat kain pelekat dua warna, putih
dan biru dalam bentuk kotak kecil. Warna putih dalam kotak dikelilingj oleh
garis-garis biru halus. Keadaan kain itu, seperti orang mengikat kain samping.
“Aku
terpaksa bertindak untuk menjaga nama baik dan pantang-larang aku,” cepat-cepat
saya dongakkan kepala. Mata saya dengan mata bomoh tua bertembung. Dengan
tenang bomoh tua mengapit rokok daun ke bibir. Perlahan-lahan ia mengalih
pandangan matanya pada guru silat.
“Kau
jangan tunjuk pandai di sini,” bomoh tua seperti mengherdik datuk yang dalam
keadaan terpinga-pinga.
“Apa salah
dia tuk bomoh?” Tanya guru silat. Malang sungguh nasib guru silat, pertanyaan
ikhlas dijawab dengan buah silat dari kanan tetapi, guru silat yang sudah
bersedia terus membuang dan menepis buah silat dari bomoh tua. Tindakan itu
memanaskan lagi hati bomoh tua yang memang sudah panas.
Mungkin,
ia merasai dirinya tercabar. Bomoh tua terus membalas dengan pukulan buah silat
yang kencang. Satu pergaduhan di bawah pancaran matahari pagi terjadi di depan
mata saya dan datuk. Dua manusia yang memang handal dalam bidang mempertahankan
diri bertarunng dengan hebat seolah-olah pertarungan itu tidak akan berhenti
selagi salah seorang daripada yang bertarung itu rebah atau tewas.
“Ah,”
jerit bomoh tua, serentak dengan itu rumput di kiri kanan lorong terus layu,
macam terkena bahang api yang amat kuat. Guru silat masih dalam bentuk kekuda
pertahanan silat yang cukup kejap. Siku kanannya rapat ke dada dengan genggaman
penumbuk harimau jantan, manakala tangan kanannya ke depan dengan telapak
tangan terkembang, macam ekor ikan menolak arus air.
No comments:
Post a Comment