Kuku di
ibu jari saya gigit dan sepasang mata merauti wajah datuk. Cara mengejut dan
tidak diduga, datuk terus menepuk bahu kanan saya.
“Pergi
ambil air sembahyang, Tamar.”
“Sejuk
tuk.”
“Pergilah,
jangan banyak cakap,” suara datuk meninggi. Saya terus merenung ke arah bilik
air. Saya terdengar banyak air berjatuhan di lantai. Saya senyum.
Ada orang
di bilik air tuk, terpaksa tunggu dia keluar,” suara saya tersangkut-sangkut.
“Siapa?”
“Si sakit
tadi tuk.”
“Hum.. aku
lupa, kalau begitu kau pergi mandi di telaga.”
“Saya
takut tuk.”
“Ha kamu,”
datuk beliakkan biji mata sambil menggaru pipi kanannya beberapa kali. Saya
tahu datuk mula marah.
Tetapi,
saya merasa bertuah dan beruntung kemarahan yang mula berbunga di hati datuk
segera menurun kerana kehadiran guru silat dan isteri si sakit di sisi datuk.
Senyum pun terkembang di bibir datuk. Tidak lama kemudian si sakit yang berada
di bilik mandi pun datang. Matanya tidak berkedip merenung wajah isterinya. Dan
isterinya terus menatap sekujur tubuh suaminya.
“Bengkak
perut dah hilang dan kau boleh berjalan, boleh mandi sendiri,” si isteri
bersuara. Wajahnya dibalut keriangan yang amat panjang. Si isteri segera mahu
mendekati si suami. Tanpa rasa segan si isteri angkat tangan kanan menyentuh
pipi suaminya.
“Jangan
sentuh dia,” datuk bersuara keras. Semua biji mata tertumpu ke arah datuk.
Semuaya merasa hairan dan kurang senang dengan sikap datuk.
“Dia suami
saya.”
“Saya
tahu, tapi bersabarlah untuk beberapa jam. Bila kita dah selesai sembahyang
Subuh dan bumi sudah cerah disinar matahari, kamu boleh buat apa yang kamu
suka,” kata datuk.
“Kenapa
tak boleh buat sekarang?”
“Ini cara
dan petua kalau awak mahu ikut, kalau tak mahu ikut pun tak apa tetapi, kalau
petua dan syarat orang tua-tua dilanggar ada masanya boleh membawa padah,” satu
ingatan yang bersahaja dari datuk. Isteri si sakit menggigit bibir dan menelan
air liur. Sedia mematuhi perintah datuk.
“Kita
sembahyang Subuh di sini?” tanya guru silat.
“Ya, di
mana lagi? Kalau bukan di sini?” Balas datuk.
“Imamnya?”
“Saya kata
datuk. Guru silat tersenyum dan tanpa banyak bicara dia segera menuju ke bilik
air mengambil air sembahyang.
DOA
Sebaik
saja selesai menunaikan Fardhu Subuh, kami semua membaca doa. Selesai baca doa,
isteri si sakit terus ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi.
Guru silat
turun ke halaman rumah lalu melakukan senaman kecil untuk menggerakkan darah
dan menegangkan urat. Datuk terus membaca beberapa ayat suci. Si sakit yang
baru sembuh masih duduk bersimpuh di sisi datuk. Saya kira tentu ada sesuatu
yang mahu diajukannya pada datuk.
Sangkaan
saya tidak salah, sebaik saja datuk berhenti membaca ayat-ayat suci, lelaki
bermata cengkung itu menghampiri datuk.
“Berapa
lama saya tak boleh bersama isteri saya?”
“Sekejap
lagi bolehlah, kau pergi berdiri dekat tingkap dan lihat matahari. Bila
matahari sudah terbit, kenakan seluruh tubuh kamu dengan sinar matahari, lepas tu
kamu bolehlah bersama.”
“Terima
kasih, saya ingatkan sampai berbulan-bulan.”
“Tidak,”
datuk tersenyum.
Datuk
mengajak saya turun ke halaman rumah. Cakapnya saya turuti. Saya dan datuk
melakukan senaman harimau menangkap musuh dan beberapa senaman lain hingga
badan saya berpeluh dalam dingin pagi. Selesai menjalani senaman datuk mengajak
saya berjalan keliling kampung sambil membasahkan kulit dengan air embun.
Saya
membantah ajakan datuk itu. Tidak sanggup rasanya dalam cuaca pagi yang
samar-samar dan dingin itu menyentuh air embun di hujung daun untuk disapukan
ke kulit tubuh. Protes saya menimbulkan rasa kurang senang dalam hati datuk.
Kerana tidak mahu ketegangan yang terjadi itu berlanjutan, saya segera
mengalah. Datuk gembira. Bila kami mahu memulakan langkah, guru silat terus
bersuara.
“Nak ke
mana tu?”
“Mandi
embun.”
“Jangan
lama-lama, nanti ada masalah di rumah saya tak tahu nak mengatasinya.”
“Belum
matahari keluar kami balik,” jawapan itu amat menyenangkan diri guru silat.
Senyumannya terus terukir di bibir dan dia meneruskan latihan silatnya.
Berjalan
dalam suasana dingin begini tidak boleh lambat-lambat. Langkah mesti
dipercepatkan, biar semua sendi bergerak lancar lalu melahirkan peluh yang
boleh menghilangkan rasa sejuk dan dingin. Sedang saya dan datuk asyik
menghulurkan jejari pada air embun di hujung daun, kami terdengar bunyi orang
memijak sesuatu dari hutan kecil di sebelah kanan. Langkah datuk dan saya
segera berhenti.
“Ada
binatang buas tuk.”
“Pada
hemat aku, itu bukannya bunyi langkah binatang.”
“Kalau
bukan binatang langkah apa tuk?”
Datuk
terus membisu lalu membongkok kepala lutut kanannya ditemukan dengan permukaan
bumi. Manakala lutut kirinya tetap tegak menentang dada langit. Kelima-lima
jari kirinya dikembangkan dan terus diletakkan di atas tanah. Hidungnya
dihalakan ke arah angin datang. Hidung datuk nampak kembang kempis menghidu
sesuatu.
“Manusia
Tamar,” mata datuk bersinar merenung ke arah hutan kecil.
Dahinya
berkedut tetapi wajahnya tetap tenang serta bersedia menghadapI sebarang
kemungkinan. Barangkali, ada orang kampung yang menggunakan hutan kecil itu
sebagai jalan pintas untuk pergi ke suatu tempat, fikir saya dalam hati.
“Manusia
dari mana tuk?” saya menyoal kembali.
“Entah,
pedulikan, mari kita pergi,” datuk segera menarik tangan saya. Kami meneruskan
perjalanan yang terhenti.
Tidak
beberapa jauh melangkah, datuk berhenti kembali. Macam ada sesuatu yang tidak
menyenangkannya. Dan saya sendiri pun merasakan ada sesuatu yang mengikuti
segala gerak dan langkah kami. Dalam saat-saat tertentu, benda yang serasa ada
itu bagaikan wujud di depan saya dan datuk tetapi, sukar untuk dilihat apatah
lagi untuk dirasa dan dipegang.
RESAH
Keadaan
yang dihadapi membuat saya resah dan gelisah. Saya segera memujuk datuk supaya
pulang ke rumah adik guru silat. Datuk gelengkan kepala sambil tumit kaki
kirinya menghentak-hentak tanah beberapa kali. Tanpa diduga, datuk terus
membengkokkan badan dan kedua belah tangannya menepuk bumi tiga kali
berturut-turut.
“Kerja
kamu dah selesai,” saya segera merenung ke kiri.
Saya lihat
bomoh tua berdiri di situ. Matanya tidak berkedip merenung ke arah saya. Aneh
sekali kenapa dia tidak mahu memandang wajah datuk? Apakah ini cuma satu helah
darinya untuk memperdayakan datuk? Bermacam-macam pertanyaan bermain dalam
kepala saya.
“Aku hanya
menyelesaikan kerja kamu yang belum selesai,” balas datuk sambil
membelakanginya.
Saya kira,
cara datuk itu amat merbahaya. Kenapa dia memberi belakang pada bomoh tua,
kenapa datuk tidak mahu menentang muka bomoh tua?
“Tapi kamu
tidak pernah minta izin dari aku,” saya terdengar suara bomoh tua. Apa yang
bermain dalam kepala saya terus hilang.
“Ya, niat
saya ikhlas untuk menolong,” suara datuk rendah.
“Cara kamu
menyakitkan hati aku.”
“Apa!
Kerana aku menolong hamba Allah yang sakit. Boleh membuat kamu marah, aku tak
faham dengan cara kamu.”
“Ya, aku
nak beri kamu faham sekarang.”
“Terangkan.”
“Kamu
sepatutnya jangan campur dalam hal ini. Kerja aku dengan orang yang minta
tolong belum selesai.”
“Kamu
terima upah untuk menjahanamkan orang lain.”
“Kerana si
sakit itu memang jahat.”
“Kalau
kamu dah tahu dia jahat, kenapa kamu ubati dia?”
“Aku mahu
mempermainkan orang yang mengupah aku dan orang yang sakit.”
“Kamu
memang iblis,” pekik datuk.
Bomoh tua
itu hilang dari pandangan saya. Datuk tergamam bila bomoh tua muncul di
depannya dan mengajak beradu tenaga.
“Itu bukan
cara aku. Dalam hidup aku, menjual dan membeli bukan cara aku. Kita hamba Allah
dan umat Nabi Muhammad S.A.W kita disuruh berbaik-baik,” jawab datuk dengan
nada suara yang rendah.
“Agaknya
kamu takut, ilmu kamu tidak sebanyak mana,” bomoh tua seperti mengejek datuk.
“Tak
usahlah kita nak tunjuk handal. Kita lupakan semuanya. Kalau saya tersalah,
maafkan saya,” datuk hulurkan tangan pada bomoh tua. Cepat-cepat bomoh tua
menepis huluran tangan datuk sambil membuka langkah untuk menyerang datuk.
“Kalau
benar awak handal, jawab pertanyaan saya. Kalau semua jawapan awak betul, saya
ikut awak,” datuk memberi cadangan.
“Kamu
mempermainkan aku.”
“Aku
ikhlas, aku tak mahu bermusuh dengan sesiapa pun.”
“Bohong,”
suara bomoh tua meninggi. Dia terus menyerang datuk dengan sebatang kayu.
Datuk
tidak bergerak dari tempatnya, menanti serangan bomoh tua dengan tenang. Datuk
hanya mengangkat ibu jari kanannya dan kayu di tangan bomoh tua terpelanting
dengan sendirinya. Bomoh tua jatuh terlentang macam ada sesuatu yang
menolaknya.
Bomoh tua
cuba bangun dan datuk cepat-cepat memusingkan ibu jari kanannya menunjuk ke
bumi, bomoh tua tidak terdaya bangun. Bila datuk menegakkan ibu jarinya, bomoh
tua dapat bangun dan berdiri berdepan dengan datuk, bersedia untuk melepaskan
penumbuk pada datuk.
Lagi
sekali datuk meluruskan ibu jarinya ke bawah. Bomoh tua jatuh terlentang
terkapar-kapar.
“Cuma itu
saja yang ada pada aku, bangunlah,” kata datuk tenang sambil memeluk tubuh.
Bomoh tua tidak mahu bangun. Dia duduk bersila di tanah. JarI kelingkingnya
terus menguis-nguis tanah.
“Apa yang
mahu kamu tanyakan pada aku?”
“Aku cuma
nak menyatakan rasa kesal, kerana kamu seperti orang yang beragama tetapi
membuat kerja terkutuk.”
“Sudahlah,
cakap perkara apa yang mahu kamu tanyakan padaku.”
“Kamu
beragama Islam?” datuk memulakan pertanyaan.
“Ya, aku
percayakan Allah, Quran dan hari kiamat serta malaikatnya,” jawab bomoh tua
penuh keyakinan.
Matahari
mula memunculkan diri di kaki langit. Saya terus menyanDarkan badan pada
sebatang pokok yang berdaun lebat.
“Sebagai
orang Islam aku cuma nak tanya tiga perkara. Harap kamu dapat memberikan
jawapannya.”
“Silakan,
apa perkara yang nak kamu tanya sila kemukakan. Fasal agama, adat, ilmu dunia,
ilmu akhirat, silakan,” bomoh tua terus ketawa kecil.
Jari
kelengkengnya tidak berhenti menguis tanah. Tidak memperlihatkan sebarang rasa
kebimbangan. Bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk raba telinga
kemudian terus duduk bertinggung. Muka bomoh tua direnung dengan tepat tanpa
berkedip. Kali ini bomoh tua menentang wajah datuk.
“Silakan,
aku menanti,” bomoh tua seperti mendesak.
“Sebagai
orang Islam, aku mahu tahu dari mana kamu datang?” datuk menyambut cabaran dari
bomoh tua.
“Apa, ini
saja soalannya?”
“Ini
soalan pertama, dua soalan lagi akan menyusul kemudian,” terang datuk dengan
tenang.
“Aku mahu
kamu terus mengemukakan tiga soalan sekali. Aku tak mahu satu-satu, cara itu
melambatkan.”
“Baiklah,
kalau itu kemahuan kamu. Soalan pertama aku mahu tahu dari mana kamu datang,”
datuk berhenti bercakap dia. Dia menahan air lir sambil batuk kecil.
“Apa kamu
buat dan ke mana kamu nak pergi?” datuk menambah soalannya.
Bomoh tua
kerutkan dahi sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawahnya dua tiga kali.
“Dah habis
soalan kamu.”
“Dah
habis,” jawab datuk tegas.
Bomoh tua
menggigit kuku di ibu jari kanannya. Matanya merenung ke kiri dan ke kanan.
Sesekali dia garu telinga yang tidak gatal. Saya kira bomoh tua masih mencari
jawapannya. Saya juga berfikir, apakah jawapan yang tepat pada soalan yang
datuk kemukakan. Saya kira, inilah kali pertama datuk mengemukakan soalan yang
sedemikian. Agak aneh dan luar biasa sekali pada tanggapan saya.
“Soalan
yang mudah, anak cucu aku sendiri boleh jawab. Kamu tahu yang tak pergi sekolah
pun dah tahu jawapannya, ha.. ha…,” bomoh tua ketawa berdekah-dekah.
“Jawab
sekarang, usah ketawa,” suara datuk meninggi.
“Dari
Allah aku datang, aku dilahirkan untuk membuat amalan dan akhirnya aku pergi
pada-Nya juga. Apa kau sudah puas hati sekarang.”
“Kurang
puas hati.”
“Sebabnya?”
bomoh tua beliakkan biji mata. Cepat-cepat dia berdiri dan terus mencekak
pinggang.
Misai
tebalnya dipulas beberapa kali, macam lanun dalam drama purbakala yang mahu
memperkosa gadis jelita dalam bilik tidur.
“Jawapan
kamu masih ada kurang. Membayangkan kamu kurang pengetahuan,” suara datuk
lembut.
“Kurang
ajar. Cakap apa yang kurang, kalau kamu tak cakap buruk padahnya.”
“Baiklah.
Jawapan pertama begini: dari setitik mani kedua orang
tua, kita dijadikan oleh Allah dan dikeluarkan
dari rahim ibu. Tidak kira orang itu keturunan baik-baik atau tidak, sama ada
berkulit hitam atau putih semuanya keluar dari lubang
yang satu,” datuk berhenti bercakap. Dia menarik nafas dalam-dalam.
“Jawapan
yang kedua pula?” bomoh tua juihkan bibir ke bawah. Datuk segera gosok pangkal
hidung. Perbuatan datuk itu menimbulkan keresahan dalam diri bomoh tua.
“Jawapan
kedua apa dia? Cepat cakap. Aku tak ada masa nak dengar temberang kamu.”
“Baiklah
sekarang aku…..,” datuk berhenti bersuara.
“Eh,
cakaplah. Jangan berdalih lagi.” Bomoh tua mula marah.
“Sekarang
kau sudah tahu dari mana asal-usul kita, kau tahu kenapa kita dijadikan? Apa
yang patut kita buat,” datuk berhenti lagi.
“Eh, aku
mahu jawapan dari soalan kedua,” kali ini suara bomoh tua meninggi. Matanya
mula menahan marah. Datuk masih bertenang.
“Aku baru
memulakan jawapan untuk soalan kedua. Sekarang aku sambung kembali. Allah mencipta manusia dan
jin semata-mata untuk mengabdikan diri pada-Nya. Jadi kita semua hamba Allah harus ikut perintah-Nya. Tidak boleh membesarkan
diri, tak boleh minta disanjung atau dipuja
kerana kita ini hamba Allah,” datuk menggaru pangkal pipi sebelah
kanannya. Bomoh tua terus merenung bumi. Sinar matahari mula memancar lembut
menjamah bumi dan dedaun.
“Jawapan
yang ketiga pula apa dia?” Desak bomoh tua.
“Kamu
sudah tahu asal kita, tahu apa yang mesti kita buat waktu berada di dunia. Dan
akhir sekali ke mana kita akan pergi,” datuk senyum panjang.
“Akhirnya
kita mati,” mendadak bomoh tua mencelah.
“Jawapan
yang kurang tepat,” sanggah datuk.
“Habis,”
apa yang tepat?”
“Kita akan
kembali pada yang menciptanya. Segala apa yang kita buat di dunia diperhitung.
Perbuatan jahat dibalas jahat, perbuatan yang baik menerima yang baik. Masa
menghitung segala kebaikan dan kejahatan kita tidak dibezakan sama ada orang
itu keturunan diraja atau hamba, semua duduk bersama. Hanya di dunia saja
manusia mencipta perbezaan. Kau faham sekarang.”
“Sudahlah.
Kamu nak jual temberang, kamu khianat kerja aku,” cara mengejut bomoh tua naik
darah.
Melihat
keadaan yang tidak begitu aman, datuk segera menjeling serta melakukan
serangan. Belum pun sempat datuk menemui tempat yang dihajati, bomoh tua
melepaskan penumbuk sulung ke arah bahu kiri datuk. Nasib datuk dapat mengelak.
Bomoh tua terdorong ke depan lalu tersandar di pohon halban liar.
Datuk
segera mengangkatnya. Rupa-rupanya bomoh tua tidak mahu menjalikan persahabatan
dengan datuk. Sebaik saja dia dapat berdiri, tanpa membuang masa dia terus
melepaskan satu penumbuk lagi. Datuk tidak terdaya mengelakkannya. Penumbuk
yang agak kencang itu terkena pangkal telinga datuk. Saya lihat datuk
terhuyung-hayang macam orang mabuk. Bomoh tua menerpa ke arah datuk untuk
melepaskan serangan.
Kasihan.
Atur langkah bomoh tua tersilap. Walaupun datuk terhuyung-hayang tetapi dia tidak
kurang tenaga dan akal. Tendangan bomoh tua disambutnya dengan satu tepisan
yang kencang. Bomoh tua jatuh terkangkang atas tanah.
“Bunuh
saja tuk. Bila dah mati mayatnya kita buangkan ke sungai,” secara tidak
disengajakan kata-kata itu terungkap dari mulut saya. Bomoh tua yang kesakitan
renung muka saya.
“Kamu
jangan biadab Tamar,” sergah datuk.
“Saya tak
sengaja tuk.”
“Jaga
mulut, jangan celupar sangat.”
“Maafkan
saya tuk.”
“Sudahlah,
bukan keturunan kita jadi pembunuh. Sikap kita berbaik dengan semua orang.”
Bomoh tua
bangun, hulur tangan pada datuk. Dengan wajah yang tenang dan damai datuk
menyambut huluran tangan itu.
“Kita
sesama hamba Allah. Buat apa kita bermusuhan,” suara bomoh tua merendah.
“Saya
sependapat dengan awak.”
“Kalau
awak dah sependapat dengan saya, awak kenalah menghormati saya dan menunaikan
permintaan saya.”
“Apakah
ini satu syarat?” tanya datuk sambil menatap biji mata bomoh tua. Saya lihat
bomoh tua seperti terkejut mendengar pertanyaan dari datuk. Bomoh tua menggaru
hujung kening kanannya.
“Terpulanglah
pada kamu sendiri. Kalau kamu memikirkan itu sebagai syarat, dia akan menjadi
syarat. Kalau kamu fikirkan itu bukan syarat, dia tidak jadi syarat,”
penjelasan dari bomoh tua berbelit-belit dan berteka-teki serta mempunyai
maksud yang tertentu.
Datuk
kerutkan dahi. Dia perlu berhati-hati membalas kata-kata bomoh tua. Silap jawab
diri akan terperangkap.
“Saya
tidak menganggap itu syarat tetapi apa yang awak minta pada saya itu juga yang
saya minta pada awak,” balas datuk.
“Ha, awak
bijak.”
“Baiklah,
apa yang awak mahu dari saya,” tanya datuk.
“Mudah
saja, saya minta awak jangan ganggu saya. Ini cara saya cari makan. Saya tahu,
awak bukan sebarang orang. Saya tersilap duga. Saya fikir awak macam
orang-orang lain yang pernah saya duga. Lagipun awak tidak memperlihatkan
kebolehan atau rasa sombong. Inilah yang membuat saya terperangkap,” bomoh tua
seperti merayu.
“Saya tak
faham,” datuk berdalih.
“Sebenarnya
saya mendamping benda-benda halus yang ada kaitannya dengan angin, tanah.
Benda-benda halus inilah yang banyak membantu saya. Jika ada orang datang minta
ubat, benda-benda halus ini memberitahu saya apa penyakit yang dihadapi oleh
orang itu.
“Oh
begitu, barulah saya tahu. Lepas itu apa yang kamu buat?” soal datuk.
“Saya
terus memberitahu pada orang yang datang di mana sakitnya, apa puncanya hingga
mereka percaya pada saya. Saya kenakan bayaran yang mahal. Saya juga ambil upah
membuat orang, kemudian mengubat orang yang kena buatan itu. Benda-benda halus
inilah yang membantu saya,” begitu jujur bomoh tua menerangkan kedudukan yang
sebenar. Saya hanya anggukkan kepala. Datuk lebih banyak termenung setiap kali
menerima penjelasan dari bomoh tua.
“Salah
seorang yang kamu kenakan, orang yang aku tolong?” tanya datuk.
“Ya.”
“Kenapa
kamu lakukan perkara tu.”
“Aku
sebenarnya dendam padanya dan selalu bertelagah dengan aku tentang hal-hal
agama, suka membantah.”
“Aku fikir
kerana kamu mahu mencampurkan perkara karut-marut dalam hal agama. Umpamanya suruh
orang percaya pada keramat, memuja kubur, membayar niat di keramat. Bukan
begitu?
“Ya,
memang begitu janji aku dengan makhlus halus.”
“Lagi apa
janji kamu dengan makhluk-makhluk halus tu?”
“Berusaha
mengurangkan akidah agama pada orang kampung. Makhluk-makhluk halus itu pula
berusaha menarik perhatian atau mengabui mata orang kampung supaya memuja dan
mengagumi kebolehan aku. Orang-orang di sini kebanyakannya buta agama.”
Saya mula
merenung ke arah matahari yang kian meninggi. Rasa benci dan menyampah pada
bomoh tua mula bertandang dalam dada saya. Datuk terus meramas sepuluh jari di
tangan yang terasa lenguh dan sakit-sakit.
“Macam
mana kamu gunakan buatan pada orang yang aku tolong? Datuk bertanya lagi.
Bomoh tua
terdiam sejenak. Dia kelihatan keberatan mahu menceritakan kisah sebenar pada
datuk.
“Bagaimana
kamu membuatnya?” ulang datuk.
“Satu hari
ada orang mengadu dirinya sakit. Aku katakan kena buatan orang. Dan orang yang
membuatnya adalah orang yang kamu lindungi itu. cara kebetulan mereka pernah
bertengkar satu masa dulu. Apalagi, aku jalankan jarum,” bomoh tua menelan air
liur.
Keningnya
bergerak dua tiga kali menahan sinar matahari yang terik.
“Aku suruh
orang itu membalas dendam. Dia setuju aku. Aku pun jalankan tugas. Bila orang
yang didendam sakit, aku pergi mengubatinya,” sambung bomoh tua itu lagi.
“Ilmu kamu
tak sebanyak mana. Tapi kamu berlagak macam orang pandai kemudian memperdayakan
orang kampung. Kamu pengkhianat,” datuk bersuara dengan keras.
Muka bomoh
tua ditentangnya. Saya segera mendekati datuk.
“Kita dah
bersahabat. Kau tak boleh marah,” tingkah bomoh tua.
“Ya. Aku
tak akan melakukan apa-apa pada kamu. Kejahatan kamu adalah urusan kamu dengan
Allah. Tetapi selagi aku masih hidup aku akan melindungi orang-orang lain dari
kejahatan kamu.” Suara datuk merendah.
“Jangan
khianati aku kawan.”
“Hum,
datuk juihkan bibir. Kemudian datuk tarik tangan saya. Kami tinggalkan bomoh
tua di situ, di bawah sinar matahari yang kian mengembang.
No comments:
Post a Comment