Atas
perintah datuk, tingkap yang terdedah saya rapatkan. Guru silat, saya lihat
terus menggeliat. Dedaun dan pepasir yang bertaburan atas lantai segera
disapunya. Datuk nampak tenang tetapi, dahinya berkerut.
Bila
rumah sudah bersih, datuk segera ambil tiga biji bantal. Saya hanya melihat
datuk menyusun tiga bantal itu selari di ruang rumah dan letakkan
bersetentangan dengan tulang bumbung. Saya tidak tahu kenapa datuk berbuat
demikian? Kerja datuk itu, macam kerja orang bodoh.
Kebuntuan
dalam kepala saya segera berakhir, bila guru silat mengajukan pertanyaan pada
datuk:
“Kenapa
bantal diletakkan macam tu?”
“Petua
orang tua-tua.”
“Petua
apa?”
“Petua
menghalang syaitan dari menumpang tidur.”
“Banyak
sangat guna petua. Kenapa tak gunakan ayat-ayat Quran untuk halau syaitan.”
“Kita
berusaha mencari sesuatu yang baik. Kalau apa yang kita buat tidak bercanggah
dengan hukum agama, apa salahnya kita gunakan. Kita gunakan kedua-duanya untuk
kebaikan, ini lebih baik dan berkesan.”
“Betul
juga cakap awak tu, kita mencari sesuatu yang baik,” suara guru silat lembut.
Datuk anggukkan kepala beberapa kali. Saya segera menggaru pipi kanan.
“Sekarang,
awak dah tahu rahsianya,” datuk terus menepuk belakang guru silat beberapa kali
sambil ketawa.
Saya
cuma tersenyum melihat keramahan dan kemesraan yang terjalin.
“Saya
dah Faham, saya mahu belajar dari awak lagi,” sahut guru silat bila ketawa
datuk berhenti.
“Boleh,
asalkan awak sabar.”
“Lebih
dari sabar mahu saya buat, apa yang awak cakap semuanya nak saya patuhi.”
“Ini
sudah cukup baik,” senyum datuk kian melebar.
“Saya
tetap baik untuk selama-lamanya,” tingkah guru silat.
Lagi
sekali datuk dan guru silat berbalas tampar-menampar bahu. Mereka ketawa dan
melangkah serentak menuju ke ambang pintu. Wajah keduanya, kelihatan tenang dan
penuh keyakinan. Saya mengikuti dari belakang. Tugas merapatkan daun pintu dan
menguncikannya adalah tanggungjawab saya. Senang rasa hati saya bila tugas itu
dapat saya laksanakan dengan sempurna.
“Berhati-hati
sebelum memulakan langkah,” ujar datuk sebaik saja sampai di anak tangga
terakhir.
Sepasang
matanya menatap wajah saya dan guru silat, penuh kelembutan. Saya anggukkan
kepala tetapi, guru silat mempamerkan gigi dan gusi pada datuk.
“Tamar.”
“Ya,
tuk.”
“Mulakan
melangkah dengan kaki kanan sambil membaca Bismillah, serahkan semuanya pada
Allah.”
“Saya
faham tuk.”
“Kamu
ni, bila aku ingatkan, jawabnya faham. Bila disuruh buat kamu selalu terlupa.”
Saya
segera menundukkan muka. Sindiran datuk cukup tajam tetapi saya tidak terdaya
untuk menafikan kebenaran dari kata-katanya itu. Guru silat merenung ke arah
saya sambil melemparkan senyum. Saya bertambah malu. Kulit muka terasa tebal.
“Orang
muda memang selalu lupa,” secara mendadak guru silat bersuara. Mungkin guru silat
mahu memberikan kekuatan semangat pada saya.
“Perangai
buruk macam tu, mesti dibuang,” balas datuk.
“Betul
juga cakap awak,” sahut guru silat, lalu menghulurkan kaki kanannya memijak
tanah. Kami pun meninggalkan kawasan rumah pusakan peninggalan orang tua guru
silat.
Perjalanan
menuju ke rumah si sakit di malam yang kian larut itu, membekalkan rasa bimbang
dan cemas dalam hati saya. Dengan pertolongan Allah yang Maha Besar dan Maha
Kuasa, kami tidak menghadapi sebarang masalah. Tidak ada perkara yang tak
diingini terjadi. Cuma sesekali, kami diganggu oleh bunyi suara harimau di kaki
langit.
Suara
ngauman harimau itu tidak mendatangkan rasa takut atau cemas. Datuk sudah pun
memberikan kata-kata semangat. Kata datuk, harimau yang mengaum tidak akan
menangkap manusia. Harimau juga tidak akan menyerang manusia, bila manusia
berjalan tiga sederet waktu malam.
Sebagai
manusia, saya tidak dapat menerima bulat-bulat cerita yang datuk tuturkan. Hati
kecil saya terus berdetik cemas, bila terdengar bunyi dahan yang bergeselan
sama sendiri. Suara dari geselan itu, adakalanya memanjang dan adakalanya pula
pendek macam orang mengeluh. Bunyi geselan dahan itu terus ditingkah oleh suara
monyet malam yang dikejutkan oleh sesuatu.
Suasana
malam terasa amat menyeramkan. Kalau berjalan seorang diri, sudah pasti saya
tidak sanggup melakukannya. Saya tidak tahu, kenapa datuk kali ini tidak mahu
bercakap banyak. Kalau guru silat bertanya sesuatu, datuk seperti keberatan
untuk menjawabnya. Datuk lebih kerap beristighfar, bila kaki atau tubuhnya
terlanggar sesuatu. Perjalan di larut malam itu berakhir di rumah si sakit.
PATUH
Beberapa
kaki mahu sampai ke kaki tangga rumah si sakit, datuk menyuruh kami membaca
surah Al-Ikhlas tiga kali berturut-turut. Perintah itu kami patuhi.
“Biar
aku yang ketuk pintu,” datuk renung muka guru silat.
“Silakan,”
sahut guru silat.
Datuk
terus ketuk pintu rumah si sakit, tiga kali berturut-turut. Isteri si sakit
buka pintu dan mempersilakan kami masuk. Sebaik saja kami duduk berdepan dengan
si sakit yang kelihatan tenang dan aman itu, secara tidak diduga bomoh tua pun
sampai. Tanpa memberi salam, ia terus berdiri di ambang pintu. Wajahnya
kelihatan masam dan bengis.
Saya
menarik nafas sambil menjeling ke arahnya. Tidak ada kata-kata yang terungkap
dari mulut bomoh tua. Hati saya menjadi cemas dan bimbang. Saya berdoa semoga
tidak akan tercetus sebarang pertengkaran atau perkelahian.
“Apa
khabar, sila duduk,” suara datuk lembut.
“Tak
payah,” jawab bomoh tua lalu memusingkan badan ke kanan. Isteri si sakit
merenung muka guru silat.
“Maafkan
kami, kalau kami tersilap,” guru silat bersuara.
“Saya
juga macam tu,” sahut isteri si sakit.
“Tak
payah,” cukup keras suara bomoh tua.
Datuk
segera memusingkan tubuhnya, memberikan belakang pada kami yang berada dalam
rumah. Datuk tunduk merenung lantai, terkejut dengan sikap bomoh tua.
Perlahan-lahan
bomoh tua melangkah, menuju ke muka pintu. Daun pintu sebelah kanannya ditumbuk
dengan sekuat hati. Perbuatannya itu menimbulkan rasa marah pada guru silat.
“Biadap,
kurang ajar,” kutuk guru silat dan bersedia untuk menerkam ke arah bomoh tua
yang sedang menekan kiri kanan belikatnya dengan sepasang tangan.
“Biar
saya ajar dia,” guru silat minta izin dari datuk.
“Jangan,
musuh jangan dicari.”
“Saya
tahu tapi, si tua kutuk ni dah melampau.”
“Sabar
dulu.”
“Hati
saya tak boleh sabar lagi.”
“Kau
mengucap dan kemudian bacalah Surah Al-Ikhlas, semoga Allah akan memberi
kesabaran pada kamu.”
Guru
silat menarik nafas panjang. Saya lihat mulutnya berkumat kamit dan saya yakin,
guru silat tersebut mematuhi apa yang diperintah oleh datuk. Semua biji mata
yang berada dalam rumah tertumpu ke arah bomoh tua yang sedang memijak anak
tangga. Dalam beberapa saat saja bomoh tua hilang ditelan kegelapan malam.
Semua
yang ada dalam rumah berpandangan sama sendiri. Masing-masing mahu mendengar
apa yang mahu dikatakan oleh datuk. Dalam keadaan yang agak kurang tenteram
itu, saya melihat satu bungkusan melayang dari luar masuk ke rumah. Bungkusan
itu tersadai atas lantai.
“Siapa
pula yang baling kita dengan daun keladi,” isteri si sakit bersuara. Wajahnya
nampak cemas dan bersedia untuk mengambil bungkusan dari daun keladi untuk
dicampak kembali keluar rumah.
“Jangan
sentuh,” pekik datuk.
“Kenapa?”
Sanggah guru silat.
“Tunggu
dulu,” jawab datuk tenang.
Tiba-tiba
kami terhidu bau najis manusia. Saya yakin bau itu datangnya dari bungkusan
daun keladi yang ada di depan kami.
“Awak
ada tercium bau busuk?” soal datuk.
“Ya,”
sahut isteri si sakit.
“Bau
najis tu datang dari bungkusan daun keladi, kalau ada sesiapa yang sentuh daun
keladi itu, mungkin seluruh badannya berbau busuk sampai mati,” datuk memberi
penjelasan.
Saya
kedutkan dahi, tidak sanggup rasanya menghadapi dugaan seperti ini. Kenapa
datuk harus melalui pekerjaan yang sukat dan menyulitkan ini? Timbul pertanyaan
dalam kepala saya. Semuanya ini berpunca dari bomoh tua sial, kutuk batin saya
sambil menggigit bibir.
“Ambilkan
saya segenggam beras dan segelas air,” datuk renung muka isteri si sakit.
Tanpa
bersuara, isteri si sakit terus bangun ambil segenggam beras dan secawan air
lalu menyerahkan pada datuk. Datuk rendamkan beras dalam cawan beberapa minit
sambil telapak tangannya menutup permukaan cawan.
Semua
orang yang berada dalam rumah menyaksikan asap nipis keluar dari celah jejari
datuk yang menutup permukaan cawan. Wajah datuk nampak berpeluh. Sepasang biji
matanya tertumpu ke arah bungkusan daun keladi.
“Curahkan
air ini ke daun keladi,” kata datuk.
“Sekarang?
Tanya saya ragu-ragu. Datuk anggukkan kepala. Saya renung ke arah guru silat.
“Cepat,
Tamar.”
“Biar
saya yang buat,” guru silat mohon kebenaran/
“Siapa
pun boleh tapi, mesti cepat jangan sampai asap yang kamu nampak hilang,” suara
datuk keras.
Guru
silat segera menyentuh badan cawan. Air dan beras yang ada dalam cawan segera
dicurahkan ke arah bungkusan daun keladi. Sebaik saja air dan beras terkena
daun keladi, bau busuk segera berakhir. Semua wajah dalam rumah tidak berkerut
lagi. Malah si sakit yang tadi menutup hidungnya dengan bantal, segera
melemparkan bantal ke tepi dinding.
“Saya
buang daun tu boleh tak?” tanya isteri si sakit.
“Biar
saya yang buang,” datuk segera bangun dan menjamah daun keladi. Sebenarnya daun
keladi ni tak isi apa-apa,” kata datuk lagi sambil membuka bungkusan daun
keladi di depan kami.
“Jadi
bau busuk datang dari mana?” soal si sakit.
“Daun
keladi ini dijadikan syarat untuk mengirim bau najis. Biasanya hanya secalit
najis saja yang dikenakan pada tulang daun keladi. Kemudian daun keladi tu
dikirimkan melalui angin. Tujuannya untuk memalukan orang tertentu.”
“Siapa
agaknya yang membuat kerja ni?” tanya isteri si sakit. Datuk gelengkan kepala.
Saya tarik nafas dalam-dalam.
“Apa
ilmu yang digunakan orang tu?” Guru silat pula mengajukan pertanyaan pada
datuk. Saya lihat datuk termenung sejenak, macam ada sesuatu yang
difikirkannya.
“Saya
kurang arif tentang hal ini,” balas datuk.
“Sikit
pun awak tak tahu?” guru silat minta kepastian.
“Saya
tak tahu. Biasanya ornag yang menggunakan najis manusia untuk sesuatu tujuan
diamalkan oleh orang yang menuntut ilmu pukau kucing.”
“Pukau
kucing tu macam mana,” guru silat terus mendesak.
“Begini,
orang yang gagal memukau penghuni rumah atau gagal mencuri sesuatu dari rumah
yang dihajati akan meninggalkan najis sendiri di mana-mana bahagian rumah,”
datuk memberikan penjelasan.
Guru
silat anggukkan kepala dua tiga kali. Dan datuk melanjutkan kisahnya. Menurut
datuk, kawasan rumah yang jadi sasaran ialah di bahagian bucu rumah yang menghala
ke arah matahari jatuh. Tujuan berbuat demikian untuk memalukan penghuni rumah
yang terlibat.
Sebab
disebut pukau kucing kerana ilmu itu tidak akan menjadi pada penghuni rumah
yang membela kucing terutama kucing jantan yang berjaga sepanjang hari. Tetapi,
bila kucing itu tidur di luar rumah ilmu itu akan menjadi.
“Sekarang
kita dah faham, agaknya orang yang membaling daun keladi tadi ada ilmu yang
awak katakan itu,” isteri si sakit bersuara tenang. Datuk tersenyum. Dua tiga
kali ia menelan air liur. Badan saya mula terasa sejuk. Kokok ayam mula
terdengar sayup-sayup. Embun jantan mula berjatuhan dari langit.
“Saya
tak berani nak cakap. Mungkin cakap awak tu benar, mungkin tidak. Maklumlah
ilmu jahat ni ada bermacam-macam,” suara datuk merendah sambil memeluk tubuh
menahan rasa dingin dari menguasai tubuhnya. Guru silat terus bangun merapatkan
daun pintu yang terdedah.
MENGUAP
Suara
cengkerik kian hebat di luar, ditingkah dengan desiran angin malam yang bertiup
lembut. Kokok ayam terus bersahut-sahutan. Guru silat sudah dua tiga kali
menguap. Kelopak mata saya terasa pedih dan berair. Rasa mengantuk bertambah
berat.
Tetapi,
setiap kali saya cuba merapatkan kelopak mata untuk tidur sambil duduk, saya
terdengar suara si sakit seperti orang melepaskan nafas kepenatan yang amat
sangat.
Rupanya
suara si sakit itu dapat juga didengar oleh datuk dan guru silat. Serentak
mereka memandang ke arah si sakit. Guru silat segera menggerakkan sepasang bulu
keningnya. Ternyata ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.
“Ada
apa-apa masalah, agaknya kamu susah nak bernafas?” tanpa bertangguh-tangguh
guru silat mengajukan pertanyaan. Si sakit tersenyum sambil bersuara lembut.
“Tak
ada apa-apa.”
“Hum,”
guru silat seperti mengeluh sambil merenung ke arah saya dan datuk.
Isteri
si sakit segera bangun menuju ke daput. Gegendang telinga saya menangkap bunyi
sudu berlaga dengan cawan. Saya senyum sendirian. Isteri si sakit sedang
membancuh kopi. Sebentar lagi tekak kami pasti basah dan rasa mengantuk pasti
tidak terasa lagi. Ramalan saya memang tepat, isteri si sakit meletakkan kopi
dan kuih di depan kami.
“Minumlah
buat hilang mengantuk,” katanya penuh sopan.
“Terima
kasih,” ucap saya setelah isteri si sakit meletakkan cawan kopi di depan saya.
“Agaknya,
ada rancangan malam ni?” Guru silat renung muka datuk.
“Tengok
keadaan,” pendek saja jawapan dari datuk.
“Dah
jauh malam ni,” si sakit seperti merungut.
“Ya,
dah dekat pukul satu,” sahut saya.
“Patutlah
terasa sejuk,” tingkah guru silat.
Di
luar desiran angin malam yang melanggar dedaun melahirkan suara dalam nada yang
gemersik. Suara burung hantu dan kokok ayam bersama bunyi cengkerik berpadu
menghiasi suasana malam yang kian tua. Bagi mengurankan rasa sejuk, saya terus
menghirup air kopi dan menjamah goreng keledek yang masih panas.
“Kadang-kadang
saya jadi bingung dengan perangai bomoh tua tu,” si sakit membuka rahsia.
Badannya
kelihatan berpeluh. Buncit di perutnya kelihatan menurun dan urat-urat hijau
yang timbul di permukaan perutnya turut berkurangan.
“Apa
benda yang kau bingungkan?” celah datuk.
“Bomoh
tua tu suka marah-marah tak tentu fasal. Baik pagi, petang dan malam, bila
datang terus marah-marah,” si sakit membuka rahsia.
“Pelik
juga memikirkan perangainya,” guru silat bagaikan mengeluh.
“Siang
tadi, ada dia datang?” datuk mencungkil rahsia.
“Ada,
petang tadi dia datang dan marahkan kami, ikut sedap mulutnya. Pedih hati kami
yang mendengarnya,” rahsia yang dicari sudah pun terbongkar.
Isteri
si sakit terus anggukkan kepala, mengiakan apa yang diucapkan oleh suaminya.
Air kopi terus saya hirup. Guru silat perlahan-lahan meraba pangkal hidungnya.
Datuk masih merenung ke arah si sakit yang tidak dapat bergerak dengan bebas.
Bunyi dedaun yang berlaga sama sendiri, akibat dirempuh angin malam jelas
kedengaran.
“Selain
dari memaki hamun kamu berdua, apa lagi yang dikatanya pada kamu?” Datuk
memecahkan suasana yang agak sepi menguasai ruang rumah. Di wajah isteri si
sakit kelihatan keresahan bagaikan mahu merahsiakan sesuatu dari datuk.
“Apa
katanya pada kamu?” Ulang datuk.
“Dia
dah memutuskan, tidak mahu mengubati saya. Kalau ada apa-apa yang terjadi pada
saya, dia tidak mahu bertanggungjawab,” kelopak mata si sakit terkebil-kebil.
“Semua
alat-alat dan ramuan ubatnya habis dibawanya balik,” lanjut isteri si sakit
dengan wajah hampa yang amat sangat.
“Segala
mangkuk putih, gelas dan cawan digunakan habis dihempaskannya di tangga,” si
sakit pula memberi penjelasan. Datuk menarik nafas panjang.
“Bila
bomoh dah buat begitu, saya memang tidak yakin yang saya boleh baik dan hidup.
Saya hanya menanti saat saja untuk mati,” si sakit melahirkan perasaan kecewa
dan putus asa.
Sinar
matanya yang tadi kelihatan bercahaya, kini menjadi pudar, begitu juga dengan
isterinya. Kedukaan dan kehampaan yang merajai sepasang hati suami isteri
tergambar juga di wajah guru silat.
“Apa
si sakit tak ada harapan nak hidup?” Guru silat menentang wajah datuk. Saya
lihat datuk menggigit ibu jari kanan. Macam ada sesuatu yang difikirkannya.
“Aneh
dan pelik perangainya,” datuk seperti mengeluh.
“Apa
yang pelik dan apa yang aneh?” Soal guru silat. Datuk gelengkan kepala beberapa
kali kemudian terus termenung panjang.
Macam-macam
perkara yang buruk datang dalam tempurung kepala saya. Saya bayangkan kepayahan
dan kesukaran yang bakal kami alami. Di samping itu, bukanlah satu perkara yang
mudah untuk mengembalikan keyakinan diri sendiri pada si sakit yang sudah putuh
asa.
“Bila
bomoh tu dah lepas tangan, tak mahu ubat suami saya, apa suami saya boleh hidup?”
Pertanyaan yang tulus ikhlas dari isteri si sakit. Datuk jegilkan biji mata
lalu menatap wajah perempuan yang dalam keresahan itu.
“Kamu
tahu nyawa manusia milik siapa?” Tanya datuk pada perempuan tersebut.
“Saya
tahu, itu saya tahu.”
“Apa
yang kamu tahu, cakap sekarang.”
“Nyawa
atau roh manusia milik Allah.”
“Kalau
dah tahu begitu, kenapa kamu risau.”
“Tapi
dia mengubati suami saya.”
“Hiss
kamu,” datuk terus genggam penumbuk. Wajahnya jadi merah.
Saya
dan guru silat berpandangan. Datuk terus bangun lalu membuka jendela. Badan
saya terasa sejuk. Dari jendela yang terdedah, saya melihat langit yang
digantungi awan nipis yang lembut. Bintang kelihatan bertaburan di mana-mana.
Suara pungguk kian jelas kedengaran. Datuk merapatkan daun tingkap rapat-rapat.
Ia duduk di tempat asalnya.
Datuk
memperkemaskan silanya. Dengan tenang ia menghirup air kopi. Tiba-tiba tanpa
diduga seekor cicak jatuh di depannya. Dan cicak itu tidak berusaha untuk
melarikan diri. Ekornya terjungkit-jungkit beberapa kali ke arah datuk. Datuk
tidak memperhiraukannya tetapi, jari telunjuk datuk memetik lantai tiga kali
berturut-turut. Anehnya, cicak itu terus berbunyi dan akhirnya hilang.
“Kita
minta sesuatu pada Allah, kita tidak mintak bantuan dari bomoh dan dukun atau
patung, kita tidak minta sesuatu dari manusia. Allah berkuasa atas
segala-galanya, kerana digerakkan oleh Allah saya datang ke sini,” datuk
bagaikan memulakan satu ceramah pendek.
Saya
mula resah, sesungguhnya saya tidak suka datuk berbuat demikian. Saya sedar
bila dia mula bercakap sesuatu yang ada hubungan dengan hukum agama pasti
memakan masa yang agak panjang dan membosankan.
“Awak
faham dengan apa yang saya cakapkan tadi?” Cara mengejut datuk menyoal isteri
si sakit. Isteri si sakit anggukkan kepala.
“Kalau
dah faham apa yang awak risaukan.”
“Bukan
risau cuma saya bimbang.”
“Jangan
risau dan bimbang, yakinlah pada kuasa Allah dan diri sendiri. Insya-Allah kita
selamat,” datuk memberikan secebis nasihat. Isteri si sakit tunduk merenung
lantai sambil mengerutkan dahi luasnya.
Semuanya
tertunduk diam mendengar kata-kata yang diucapkan oleh datuk. Mungkin pada
pendapat dan fikiran mereka kata-kata datuk itu memang benar dan tidak diragui.
Datuk bangun kembali lalu menuju ke arah tingkap yang terdedah dan terus berdiri
di situ.
“Pedulikan
bomoh tu,” kata datuk.
“Tapi,
bagaimana dengan saya, tak ada sesiapa yang mahu mengubati,” si sakit seperti
merayu.
“Bukankah
sudah saya minta pertolongan pada Allah,” datuk terus sergah si sakit.
Lagi
sekali mata si sakit terbeliak. Dan si sakit terus menarik nafas dalam-dalam
dan akhirnya termenung panjang.
TINGKAP
Datuk
yang berdiri dekat tingkap merenung ke arah kami. Angin malam yang menyerbu
masuk ikut jendela menolak rambutnya. Isteri si sakit sudah tidak mahu berkata
apa-apa. Semuanya diserahkan pada keadaan. Kalau sudah ditakdirkan oleh Allah
yang suaminya akan meninggal dunia cara begitu, ia tetap menerimanya dengan
tabah.
“Kita
disuruh berusaha dan berikhtiar dan sekarang kita harus berusaha,” ujar datuk
lembut.
Wajah
si sakit dan isterinya segera berubah menjadi riang. Begitu juga dengan wajah
guru silat kelihatan berseri-seri. Segaris senyum terpamer di kelopak bibirnya.
Datuk pun melangkah ke arah kami. Tiba-tiba langkahnya mati diganggu oleh bunyi
dengungan yang amat kuat macam dengung kumbang.
“Jaga-jaga,
ada benda masuk ikut tingkap,” jerit guru silat pada datuk. Bagaikan kilat,
datuk palingkan muka ke arah tingkap. Datuk merendahkan kepalanya dari
dilanggar benda yang masuk ikut tingkap.
Bentuknya
bulat sebesar kelapa gading dan mengeluarkan percikan cahaya. Benda bulat itu
terus meluru ke arah si sakit. Bunyi dengungan cukup kuat memekakkan anak
telinga. Guru silat menutup kedua belah lubang telinganya dengan telapak tangan.
“Jaga,
lindung suami kamu dengan tikar,” jerit datuk dengan sekuat hati, bila ia
melihat benda bulat itu berlegar di depan muka si sakit. Kali ini bentuknya
terus mengecil, bulat seperti ikan buntal. Isteri si sakit tergamam. Tidak tahu
apa yang harus dilakukannya.
Melihat
keadaan yang agak kelam-kabut itu, guru silat segera menerkam ke arah isteri si
sakit. Perempuan yang terkejut dan terkaku dengan keadaan yang dihadapinya
terus ditolak oleh guru silat hingga jatuh tersungkur. Guru silat terus menarik
tikat mengkuang yang diduduk oleh isteri si sakit.
Akibat
ditarik secara mengejut dan kuat, isteri si sakit bergolek atas lantai macam
buah mempelam yang terlepas dari tangkai lalu bergolek atas permukaan jalan
raya. Dalam keadaan yang cemas itu saya masih sempat tersenyum melihat telatah
isteri si sakit yang melucukan itu.
“Serkup
badan yang sakit,” datuk mengeluarkan perintah.
No comments:
Post a Comment