"Begini," Alang Abdul Rauf menggosok-gosok
badan cawan dengan jari kelingkingnya. Lagi sekali ia merenung ke kiri dan ke
kanan. Ia menarik nafas panjang. Kesan air kopi yang melekat di bibir bawahnya
terus dikesat dengan hujung jari telunjuk. Saya masih menanti, apakah
petua-petua yang akan diucapkannya kepada saya.
"Begini Tamar, orang tua-tua kita dulu, banyak
mengamalkan petua terutama bila berdepan dengan minuman dan makanan,"
Alang Abdul Rauf memulakan," petua tu digunakan untuk menjaga diri, mungkin
makanan atau minuman yang diberi atau dihidangkan oleh orang lain pada kita,
ada benda-benda bisa yang termasuk secara tidak sengaja," tambahnya dengan
nada suara yang lembut.
Wajahnya nampak tenang sekali. Saya anggukkan kepala
beberapa kali sambil merenung tangkai cawan.
"Apa dia petuanya pak cik?"
"Selalunya, orang menaruh guna-guna dalam minuman,
juga makanan dengan tujuan untuk menjadikan seseorang tu bodoh, ada juga yang
cuba menaruh racun," Alang Abdul Rauf membetulkan duduknya, supaya selesa.
"Cara pertama gunakan lidah untuk menjolok lelangit,
kalau terasa geli, bolehlah minum dan makan benda yang dihidangkan, kalau tidak
terasa apa-apa semacam kebas jangan makan atau minum, itu merbahaya,"
Alang Abdul Rauf meluahkan petua pertama. Saya mendengar dengan penuh minat.
"Cara kedua macam mana pak cik?"
"Tekup kedua belah telinga kamu dengan tangan,
biasanya bila telinga ditekup, kita akan terdengar bunyi gugup memenjang, macam
bunyi dalam air waktu kita menyelam. Kalau terdengar bunyi macam tu, kita boleh
minum dan makan, kalau tak dengar macam tu jangan makan,"
"Lagi petua
yang ketiga macam mana pula?"
"Sebelum makan atau minum, gosok rambut dengan
telapak tangan, biasanya, jika rambut digosok terasa kesat dan mengeluarkan
bunyi, jika tak dengan bunyi, jangan minum dan makan barang yang dihidangkan di
depan kamu," Alang Abdul Rauf meluahkan semua petua yang diketahuinya pada
saya.
Saya mengaru-garu batang leher yang gatal. Mata terus
merenung ke setiap sudut kedai kopi. Saya kira petua-petua yang dikatakan oleh
Alang Abdul Rauf itu memang baik untuk diamalkan.
"Tetapi, orang-orang muda sekarang mana mahu amalkan
semua petua, Bismillah pun jarang dibaca bila mahu makan atau minum," kata
Alang Abdul Rauf dan saya merasakan kata-kata itu, bagaikan menyindir diri saya
sendiri. Muka Alang Abdul Rauf saya pandang sejenak.
"Tapi, aku yakin kamu selalu baca Bismillah setiap
kali minum dan makan, bukan begitu Tamar?"
"Insya-Allah pak cik," balas saya dengan
segaris senyum.
"Mari kita pergi Tamar."
Alang Abdul Rauf terus bangun. Ia menuju ke meja tuan
punya kedai kopi. Alang Abdul Rauf bayar harga kopi dan kuih. Kedai kopi kami
tinggalkan dan saya terus duduk di pelantar basikal menuju ke rumah adiknya
yang terletak kira-kira sebatu dari kedai kopi tersebut.
ADIK
Tujuan utama Alang Abdul Rauf menemui adiknya untuk
membincangkan tanah pusaka peninggalan orang tua mereka. Alang Abdul Rauf mahu
menjual tanah pusaka itu pada orang lain.
Tetapi adiknya tidak setuju dengna alasan tanah pusaka
itu mahu ditanam dengna pokok durian dan langsat. Sedangkan Alang Abdul Rauf
berpendapat cara yang mahu dilakukan oleh adiknya itu tidak sesuai kerana
kedudukan tanah itu jauh dan tidak pernah dijaga.
"Dari tanah tu terbiar ada baiknya kita jual,
duitnya kita bagi sama, selama ni duit cukai tanah aku yang membayar hasilnya
tak ada apa-apa," ujar Alang Abdul Rauf pada adiknya.
"Saya tak mahu jual, kalau abang jual juga, kita
bukan lagi adik beradik," suara adiknya keras.
"Kalau sudah begitu kata kamu, tak jadilah aku nak
jual tapi, cukainya kita bayar sama-sama."
"Abang saja yang bayar, saya mana ada duit,
anak-anak saya ramai, bila saya ada duit nanti saya bayar."
"Itulah yang selalu kamu cakapkan, bila aku datang
minta duit kamu lari," suara Alang Abdul Rauf meninggi. Adiknya terus
membisu.
Mungkin kerana sifat penyabarnya, Alang ABdul Rauf tidak
mahu menyebut-nyebut soal tanah pusaka dalam perbincangan berikut dengan
adiknya. Anehnya, sebelum Alang Abdul Rauf pulang, adiknya meminta wang
darinya. Alang Abdul Rauf hulurkan wang dua puluh ringgit pada adiknya.
"Itulah adik aku Tamar, namanya Mat Judin, susah
mahu diajak berunding," bisik Alang Abdul Rauf pada saya, ketika turun
dari rumah.
"Adik nombor berapa pak cik."
"Adik bongsu, yang dia tahu minta duit tak beri
tarik muka, kerana tak mahu bergaduh dengan adik-beradik, terpaksa aku ikut
cakapnya," terang Alang Abdul Rauf.
"Apa pendapat kamu tentangnya."
"Tak ada apa-apa pak cik," balas saya dengan
senyum pendek. Saya tidak mahu melibatkan diri dalam urusan keluarga orang
lain.
Kami tinggalkan rumah Mat Judin, ketika matahari sudah
condong. Seronok naik basikal di bawah lindungan pokok-pokok getah. Terasa
cukup redup dan selesa sekali. Peluh tidak sehebat tadi mercik di dahi dan
tubuh. Alang Abdul Rauf cukup rancak bercerita tentang keluarganya. Saya cuma
anggukkan kepala. Sesekali, saya ketawa, bila terdengar peristiwa lucu terjadi
antara Alang Abdul Rauf dengan adik bongsunya.
Tiba-tiba, Alang Abdul rauf brek basikalnya dengan
mengejut. Saya terpelanting ke tanah. Siku kiri saya berdarah kena tunggul
getah. Dengan susah payah saya bangun. Pada mulanya saya mahu marahkan Alang
Abdul Rauf tetapi, bila saya lihat dirinya terkial-kial ditindih basikal dan
baju Melayu cekak musangnya koyak, saya tidak jadi marah.
"Kenapa pak cik," tanya saya.
"Tengok tu,"
"Ha," mulut saya ternganga. Kepala lutut saya
terasa lemah. Seekor ular tedung sela memanggungkan kepalanya separas dada
saya. Ular itu kelihatan seperti berdiri atas ekornya.
"Kamu jangan bergerak, Tamar," perintah Alang
Abdul Rauf. Saya mematikan diri. Tegak macam patung.
Ular tedung selar itu menggerakkan kepalanya ke kanan
mengikut gerakan tubuh Alang Abdul Rauf yang cuba mendirikan basikalnya. Ular
tedung sela itu terus mematuk ke arah tubuh Alang Abdul Rauf. Anehnya patukan
ular itu bagaikan tidak sampai ke tubuh Alang Abdul Rauf, macam ada sesuatu
yang menghalangnya.
Ular tedung sela berhenti mematuk tubuh Alang Abdul Rauf
. Basikal tua berjaya ditegakkan. Ular tedung sela masih berdiri dengan kepala
yang terkembang.
Perlahan-lahan Alang Abdul Rauf membongkokkan badannya.
Ular tedung sela turut merendahkan badannya dan bersedia untuk melepaskan
patukan pada ubun-ubun kepala Alang Abdul Rauf.
Belum pun sempat ular tedung sela membenamkan siungnya yang
bisa ke kulit Alang Abdul Rauf, saya lihat Alang Abdul Rauf terus melompat
dengan sekelip mata sahaja, bahagian bawah kepala ular tedung sudah berada
dalam genggamannya. Cepat-cepat Alang Abdul Rauf menekan siung ular tedung pada
besi galang basikal.
"Kau ambil mangkuk getah dan tadah," perintah
Alang Abdul Rauf. Saya segera mengambil mangkuk yang tersangkut pada pohon
getah lalu menadah bisa ular tedung yang keluar. Badan ular terus melilit
lengan Alang Abdul Rauf. Pada mulanya lilitan itu cukup kuat dan kejap. Sepuluh
minit kemudian, lilitan ular tedung menjadi lemah dan badannya terus lurus ke
bawah, tidak bermaya.
"Balik ke tempat kamu," kata Alang Abdul Rauf
meletakkan ular tedung sela atas tanah. Beberapa minit kemudian, ular tedung
sela itu menggerakkan ekornya beberapa kali. Panggungkan kepala separas lutut
Alang Abdul Rauf untuk beberapa saat. Badannya direndahkan lalu melata atas
bumi masuk ke dalam semak di sebelah kanan jalan.
"Buat apa bisa ular ni pak cik, tanya saya. Alang
Abdul Rauf terus mengeluarkan botol kecil yang dibawanya. Ditutup dengan sapu
tangan bewarna merah.
"Jarang-jarang dapat bertemu dengan ular tedung,
entah macam mana petang ni, dia datang serah diri," Mukanya kelihatan
kemerah-merahan.
"Buat apa bisa ular ni pak cik?" ulang saya
lagi.
"Untuk menawarkan bisa ular," balasnya
tersenyum.
"Naik, kita balik," gesa Alang Abdul Rauf pada
saya. Ia terus menolak basikalnya atas jalan tanah merah. Tanpa membuang masa
saya terus melompat atas lanting basikal. Kali ini Alang Abdul Rauf kayuh
basikal dengan laju sekali. Rambut saya terus mengerbang ditolak angin.
"Pak cik saya nak tanya sikit?"
"Apa dia tamar."
"Tadi saya nampak ular tu patuk ke badan pak cik
tapi macam tak sampai."
"Betul ke?" Alang Abdul Rauf macam terkejut.
"Ya, pak cik."
Alang Abdul Raud tidak menjawab, ia terus membongkok
kayuh basikal. Langgar akar dan tanah keras. Saya terpaksa angkat punggung.
Kalau tak buat macam itu, daging punggung saya terasa sakit dan mungkin juga
lebam. Angin yang memukul tubuh membekalkan kesegaran.
"Lain kali saja perkara tu aku ceritakan pada kamu
Tamar."
"Kenapa?"
"Tak usahlah kamu tanya kenapa."
"Bisa ular tu nak buat apa pula?"
"Kamu terlalu banyak bertanya," suara Alang
Abdul Rauf mula meninggi. Saya tahu ia kurang senang dengan sikap saya. Buat
beberapa ketika kami tidak bercakap. Bunyi rantai basikal tua yang tidak pernah
ditaruh minyak menyakitkan anak telinga saya.
"Bisa ular itu, aku campurkan dengan minyak kelapa
tulin kemudian aku hangatkan ke api hingga mendidih, isi dalam botol,"
tidak saya duga Alang Abdul Rauf mahu membuka rahsia kegunaan bisa ular yang
diambilnya sebentar tadi. Saya tersenyum dan memasang telinga untuk mendengar
keterangan lanjut darinya.
"Lepas tu pak cik buat apa?"
"Aku jadikan minyak untuk menyapu seluruh badan,
bila mahu tidur malam, dengan izin Allah jika kita kena patuk ular bisanya
terus tawar, kadang-kadang ular tidak mahu mematuk kita, kecuali ular yang
betul-betul ganas."
"Macam ular tadi."
Alang Abdul Rauf terus anggukkan kepala. Badannya terus
membongkok kayuh basikal.
"Selain dari itu, apa khasiatnya lagi."
"Boleh menghilangkan sakit-sakit lenguh sendi,
terkehel dan penawar bisa binatang."
"Macam tu, barulah saya tahu."
"Datuk kau tak cakap dengan kau."
"Tidak."
Alang Abdul Rauf terbatuk. Basikal terus dikayuh dengan
tenaga tuanya. Bau peluhnya terasa hangit menyucuk lubang hidung saya. Baju
dibahagian ketiaknya basah dengan peluh. Dedaun getah yang tua terus
berguguran. Melayang-layang di udara sebelum tersadai di tanah.
"Kalau macam tu, kenapa pak cik tak tangkap ular dan
ambil bisa untuk dijadikan ubat, jual pada orang ramai macam tukang-tukang ubat
kaki lima buat," soal saya. Alang Abdul Rauf memperlahankan laju
basikalnya.
"Tak boleh, kita tak boleh tangkap sebarang ular
bisa, kecuali ular yang betul-betul garang dan menyerang kita, macam ular tadi.
Kalau sengaja kita tempah cari ular bisa, perkara tu tak mahu menjadi,"
terang Alang Abdul Rauf dalam keadaan yang mengah.
Ia terus menyapu peluh di dahi dengan telapak tangannya.
Saya terus melihat pepohon getah yang kaku. Dua tiga ekor kera berlompatan di
dahan getah, memulas dan membuang buah getah muda.
"Lagi satu ubat macam tu, tak boleh dijual, kalau
dijual mujarabnya kurang, malah tak datang kesan langsung, kita boleh
menyimpannya dan menggunakannya untuk orang yang benar-benar memerlukan
pertolongan, kalau dijadikan punca rezeki, ia tak mahu menjadi, silap-silap
caranya kita dituduh orang, jadi penipu." lanjut Alang Abdul Rauf penuh
semangat. Saya terus diam.
Apa yang saya fikirkan dalam kepala, macam mana Alang
Abdul Rauf tahu kegunaan bisa ular itu. Apakah sebelum itu ia pernah kena patuk
ular bisa atau memang sejak dulu lagi, ia ada ilmu ular.
"Agaknya pak cik ada ilmu ular?" Saya
memberanikan diri bertanya. Soalan saya tidak dijawabnya untuk beberapa minit.
Saya tidak berani mengulanginya, saya takut kena marah. Saya biarkan ia
mengayuh basikal dengan tenang.
"Tak ada ilmu, memang aku tak tahu ilmu ular, cuma
setiap kali berhadapan dengan ular aku baca Bismillah, kemudian amalkan petua
orang tua-tua bersama dengan rasa yakin dan berani, tidak melupai kebesaran
ALLAH."
"Apa dia petuanya."
"Bila kamu jumpa kulit ular mahu bersalin kulit,
ambil kulitnya itu, bawa pulang dan bakar, abunya kamu isi dalam buluh kecil,
bila kamu masuk hutan yang kamu fikirkan terdapat ular bisa bawalah buluh tu,
dengan izin Allah, ular datang ke kaki kamu menyerah diri. Kamu jangan buat
apa-apa, bacalah Bismillah dan tangkap ular itu, letakkan ke tanah sebelah
kanan tempat kamu berdiri." Alang Abdul Rauf berhenti bercakap. Ia menelan
air liur dua tiga kali. Bau peluhnya bertambah hebat.
"Biarkan ular itu pergi, kalau ular tu tak mampu
bergerak kerana terkena sumpah kulitnya, kau mesti meletakkan di tempat yang
kamu fikirkan ia boleh bergerak. sebaik-baiknya cari pucuk gelenggang letakkan
atas kepalanya, kamu dapat tengok ular itu lari macam pelesit," tokok
Alang Abdul Rauf sambil batuk.
"Berani kamu membuatnya Tamar?"
"Tak berapa yakin."
"Kalau tak yakin, jangan cuba-cuba melakukannya
nanti kamu terima padah, lagipun petua ni ada ujiannya, bila kamu bawa kulit
ular dalam buluh, macam-macam ular yang tak pernah kamu lihat akan kamu
lihat."
"Ular macam mana tu pak cik?"
"Ular kepala dua, kadang kepala tiga, ada masanya
kamu jumpa ular bertanduk, kalau kamu takut, petua tu tak akan menjadi."
"Kalau saya berjaya macam mana pak cik?"
"Kamu boleh jadi macam aku, bila jumpa ular yang
garang macam tadi ambil bisanya dan buat seperti apa yang aku katakan,"
Alang Abdul Rauf menoleh ke arah saya bersama senyum sinis.
Saya tahu, ia semacam memperkecilkan kemampuan diri saya.
Sesungguhnya, saya tidak minat sama sekali untuk jadi macam dirinya. Tetapi
saya seronok melihat kejadian-kejadian yang aneh dalam hidup saya. Saya
bercadang minta kebenaran dari datuk untuk tinggal lebih lama dengan Alang
Abdul Rauf, saya mahu berkongsi pengalaman dengannya. Saya yakin tidak ramai
orang-orang tua yang ada ilmu dan petua dalam dada seperti Alang Abdul Rauf.
Kalau saya tidak mahu mengambil petua darinya, apa
salahnya melihat dirinya mengamalkan petua itu. Setidak-tidaknya akan jadi
bahan cerita anan cucu saya, betapa orang-orang tua terdahulu mempunyak
keistimewaan yang tersendiri.
RUMAH
Lebih kurang pukul empat petang, saya dan Alang Abdul
Rauf sampai ke rumah. Saya lihat datuk duduk menongkat lutut atas pelantar di
bawah pohon mempelam membaca akhbar dengan tenang.
"Macam mana, semuanya berjalan dengan selamat."
tanya datuk pada Alang Abdul Rauf yang sedang menyandarkan basikal tuanya di
tiang rumah.
"Semuanya selamat, kalau tak selamat aku dan cucu
kamu tak sampai ke sini," sahut Alang Abdul Rauf dalam nada suara yang
meninggi. Datuk melipatkan akhbar yang dibaca. Saya terus menghampirinya dan
duduk disisinya.
Beberapa minit kemudian Alang Abdul Rauf datang ke
pelantar dan duduk di sebelah kanan saya. Datuk terus meraba-raba dagunya.
"Apa yang cucu aku dapat ikut kamu Alang?"
"Banyak yang dia dapat, kamu tak percaya cubalah
tanya dirinya sendiri."
"Betul ke ni Alang atau nak bergurau saja,"
tingkah datuk dan mereka ketawa berderai di bawah sinar matahari petang yang
cerah.
"Eh Tamar kau cakapkan pada datuk kamu, apa yang
kamu tengok dan masa kamu ikut aku," Alang Abdul Rauf merenung mata saya.
Datuk menggaru-garu pangkal telinganya.
"Cakaplah Tamar," Alang Abdul Rauf seperti
mendesak.
"Tak payah Tamar cakap pun aku dah tahu, kamu bawa
balik bisa ular tedung Alang," Saya lihat muka Alang Abdul Rauf berubah.
Ia terkejut besar. Memang ia tidak menduga yang datuk tahu apa yang telah terjadi.
"Mana kamu tahu?" tanyanya cemas.
"Hidung aku dapat menciumnya," balas datuk.
"Bukan hidung, tetapi pancaindera yang kelima
memberitahu aku."
"Kamu memang manusia aneh."
"Tak aneh, tetapi aku mengamalkan pantang larang dan
petua orang tua-tua," suara datuk merendah. Alang Abdul Rauf termenung
panjang. Membiarkan angin petang menyentuh wajahnya. Saya mengeliat dua tiga
kali.
"Sengaja aku suruh si Tamar ikut kamu, biar dia tahu
setiap orang ada kelebihan dan kekurangannya, aku tak suruh dia ikut saja,
semuanya sudah aku kira dan perhitungkan," datuk membuka rahsia.
"Jadi, semuanya sudah kamu rancang." tanya
Alang Abdul rauf.
"Ya, bila kamu sebut kamu nak pergi jauh, aku segera
terfikir untuk menyuruh Tamar menemani kamu, aku tahu kamu bukan sebarang
orang, setidak-tidaknya Tamar dah tahu kamu memang handal melemahkan ular
berbisa.
"Kamu memang bijak, cara kamu mengajar cucu kamu
supaya menghargai kehebatan orang tua-tua memang tidak terasa."
"Entahlah," datuk terus menepuk pangkal pahanya
berkali-kali.
Saya terus bangun dan menggeliat, tidak lama kemudian
terdengar suara azan asar. Kami bertiga segera bangun. Menuju ke rumah. Saya
basuh muka dan kepala. Datuk tukar baju dan Alang Abdul Rauf tergesa-gesa
mandi.
Kami pun menuju ke masjid untuk berjemaah. Selesai
berjemaah Alang Abdul Rauf mengajak saya dan datuk meninjau ke kawasan tanah
perkuburan yang sudah dikosongkan. Tidak lama lagi kawasan itu akan menjadi
kolam lombong.
"Kawasan sebelah sana, kubur-kuburnya masih belum
diubah."
Alang ABdul Rauf berdiri di bawah pohon gajus. Tangannya
mengarah ke kawasan perkuburan yang penuh dengan susunan batu nisan dalam
pelbagai aneka bentuk. Pokok-pokok yang tumbuh di situ, seolah-olah menjadi
payung pada perkuburan dan batu nisan. Sinar matahari bagaikan tidak menyentuh
tanah kubur.
"Kubur yang kamu korek tu sebelah mana?" Tanya
datuk pada Alang Abdul Rauf, saya lihat Alang Abdul Rauf membetulkan songkok
putihnya yang senget di kepala. Ia menarik nafas panjang.
"Saya korek sebelah kiri kawasan kubur yang kita
nampak ni, lepas tu baru sebelah kanan. Semua kawasan kubur orang Islam ini
penuh dengan bijih," tangan kanan Alang Abdul Rauf terus cekak pinggang
merenung kawasan-kawasan yang disebutnya.
"Sejak kamu korek kubur, kamu tak jumpa dengan
perkara-perkara yang ganjil Alang?" Saya lihat Alang Abdul Rauf tersenyum
sumbing mendengar pertanyaan dari datuk. Saya terus garu kepala dalam keresahan
yang tidak menentu.
"Setakat ini, dengan izin Allah tak ada perkara
buruk yang aku alami," jawab Alang Abdul Rauf.
"Syukur, tetapi sikit-sikit tu ada," datuk buat
serkap jarang.
Saya terus menggosok-gosok pangkal hidung. Alang Abdul
Rauf merenung wajah datuk.
"Perkara tu ada juga, umpamanya jumpa perempuan
cantik berjalan dekat pokok besar, jumpa musang yang bertukar menjadi
kucing," satu pengakuan dari Alang Abdul Rauf yang tidak berselindung.
Tidak saya duga serkap jarang datuk menjadi tepat.
"Itu syaitan nak menguji kamu," celah datuk.
"Aku pun fikir begitu juga, aku dan kawan-kawan buat
tak kisah, harimaukah, perempuan burukkah, kami tak peduli akhirnya benda-benda
tu semuanya terus hilang," Alang Abdul Rauf terus ketawa.
Dari pinggir kawasan kubur, kami menyusur ke kanan menuju
ke kaki bukit, melihat kebun-kebun getah yang bakal jadi lombong. Bergerak lagi
melalui kawasan dusun yang penuh dengan pohon kelapa, durian dan langsat,
semuanya tidak boleh bertahan lama di situ. Dalam sedikit masa lagi kawasan
durian itu akan menjadi lombong yang memuntahkan bijih dari perut bumi.
Saya dapat membayangkan dalam tempoh dua tiga tahun lagi,
kawasan sekitar akan menjadi lapang. Penuh dengan pepasir dan saujana mata
memandang. Dan kawasan tempat yang kami lalui sekarang, tidak mungkin dapat
dikesan. Kami terus berjalan. Terasa segar dan menyenangkan kerana hembusan
angin yang sepoi-sepoi bahasa.
"Ke mana lagi kamu nak bawa aku Alang?" Tanya
datuk.
"Tak ke mana-mana, kita pergi ke sungai dari situ
kita terus pulang.
"Sungai tu ada ikan tak?"
"Ada, kenapa? Kau nak memancing," Alang Abdul
Rauf renung muka datuk. Mereka berbalas senyum.
"Kalau ada ikan, aku nak menjala," ujar datuk.
"Itu satu cadangan yang baik, aku juga nak ikut kamu
menjala."
"Bila kita nak menjala?" Datuk renung muka
Alang Abdul Rauf yang sedang mengerutkan dahinya.
"Nanti dua tiga malam lagi."
"Boleh juga, kalau aku tak ubah rancangan, memanglah
aku nak duduk dua tiga hari di sini," datuk menelan air liur. Kami terus
melangkah. Akhirnya sampai ke rumah.
Seronok rasa hati, setelah penat berjalan. Isteri Alang
Abdul Rauf menyediakan kopi dan goreng pisang panas. Saya terus makan dengan
lahapnya. Lepas makan dan minum kopi, datuk terus berborak dengan Alang Abdul
Rauf di serambi rumah hingga menjelang waktu Maghrib. Entah apa yang mereka
cakapkan saya tidak berminat mahu mendengarnya. Bukannya menarik sangat cerita
orang tua-tua.
KUBUR
Malam itu lepas sembahyang Isyak, datuk dan Alang Abdul
Rauf terus berwirid hingga jam sepuluh malam. Sebaik sahaja wirid berhenti,
kawan-kawan Alang Abdul Rauf yang mengorek kubur terus datang dan duduk di serambi.
Saya kira jumlahnya lebih kurang enam orang. Semuanya berbadan tegap tetapi,
wajah mereka nampak tenang dan berani untuk menghadapi dugaan dan rintangan.
Datuk dan Alang Abdul Rauf berbincang, sejenak, tanpa
saya duga perbincangan mereka, kerana mahu membawa saya ikut sama rombongan
menggali kubur. Alang Abdul Rauf menggalakkan datuk supaya membenarkan saya
ikut serta dalam rombongan menggali kubur. Datuk patuh dengan cadangan Alang
Abdul Rauf.
Pukul sepuluh lebih, kami meninggalkan rumah menuju ke tanah
perkuburan yang sunyi dan seram. Saya terdengar bunyi suara burung hantu
sayup-sayup, saya juga terdengar desiran angin malam menyentuh dedaun getah
yang memagari kawasan perkuburan.
Bunyi dedaun yang disentuh angin itu melahirkan suara
yang menakutkan, ada masa terdengar seperti orang menangis dan ada masa pula
terdengar macam bunyi orang ketawa yang tidak putus-putus.
Dari sinaran lampu picit, saya melihat batu-batu nisan
tegak kaku. Malah ada yang nampak berkilau-kilau kena cahaya lampu picit. Katak-katak
puru melompat di kaki membuat saya terperanjat. Bagi saya tidak menghadapi
masalah yang sukar berjalan di situ kerana saya di barisan tengah.
Kepala jalan Alang Abdul Rauf, dituruti oleh orang
kanannya. Kemudian datuk, diri saya dan kawan-kawan Alang Abdul Rauf. Menurut
Alang Abdul Rauf yang jadi pembantunya cuma tiga orang sahaja yang lain cumma
ikut-ikut sahaja, mereka mahu menggeletar kerana kesejukan.
"Kita korek dua kubur malam ni, kau sebelah kanan
dan aku korek kubur ini," Alang Abdul Rauf memberitahu kawannya yang
sedang berusaha menyalakan api gasolin.
Seluruh kawasan yang mahu dikorek terang-benderang
tetapi, cahaya gasolin tidak mampu menghalau nyamuk yang memang dahagakan darah
manusia. Suasana di situ mula dikuasai dengan bunyi cangkul dan menyebak
membongkar tanah kubur. Tanah-tanah yang segar bertimbun sedikit demi sedikit
lalu membentuk sebuah bukit kecil. Suara jampuk dan burung hantu
bersahut-sahutan, angin menjatuhkan reranting kering yang bunyinya macam orang
berjalan. Terdengar juga salakan anjing yang bertalu-talu dan berpanjangan.
Saya melihat malam yang pekat bersama titik-titik embun dari langit.
Ada seribu macam bunyi yang datang ke telinga saya.
Semuanya membuatkan bulu tengkuk saya tegak. Terdengar juga suara seakan-akan
orang menangis. Bila saya renung ke arah yang tidak kena cahaya lampu gasolin.
Saya lihat nisan yang tadi kaku, macam bergerak-gerak. Saya lihat datuk masih
duduk dengan tenang.
Bila kubur yang digali oleh Alang Abdul Rauf sampai
separuh, saya mula terhidu bau wangi macam kasturi.
No comments:
Post a Comment