Saya tergamam
mendengar arahan yang bertalu-talu dari datuk dalam keadaan cemas itu.
“Saya panas, badan
saya berbahang,” sahut guru silat sambil mengangkat tikar mengkuang separas
kepalanya.
“Teruskan, baca surah
Al-Ikhlas sebanyak yang boleh,” datuk memberi arahan.
“Baiklah.”
Bunyi dengung tidak
juga berkurangan, seluruh ruang rumah mula terang-benderang dengan cahaya merah
dan hijau. Percikan cahaya itu terkena badan terasa pedih dan sakit.
Kepala saya mula
terasa pening tetapi, mata saya masih dapat melihat kecekapan guru silat
membungkus badan si sakit dengan tikar lalu digolekkan ke tepi dinding. Benda
bulat yang bercahaya itu terus mengecil dan akhirnya hilang. Telinga saya
terasa macam pekak.
Bila datuk yakin keadaan
beransur aman dan tenang, ia mula melangkah menuju ke arah guru silat yang
sedang membuka tikar mengkuang untuk mengeluarkan si sakit yang berada di
dalamnya.
Sayang, baru tiga
tapak datuk melangkah kelihatan satu sinaran cahaya muncul cara tiba-tiba di
tengah bumbung rumah. Cahaya itu jatuh berdentum atas lantai. Rumah terasa
bergegar dan akibat dari gegaran itu, saya terdorong ke kanan. Mulut saya
berlaga dengan papan dinding. Bibir saya pecah dan berdarah.
“Kepala manusia,”
jerit saya macam kena histeria bila melihat kepala tanpa badan terlekap atas
lantai, betul-betul di tempat cahaya dari bumbung jatuh. Bahagian lehernya
terlekap atas papan dengan darah merah melimpah di permukaan lantai. Badan saya
terus menggeletar.
Saya renung ke arah
isteri si sakit yang terkulai di tepi dinding. Wajahnya pucat. Dadanya nampak
berombak membuang dan menarik nafas cemas. Ia kelihatan bagaikan tidak bermaya.
Guru silat terdiam, begitu juga dengan si sakit terus diam dalam gulungan tikar
mengkuang.
Dalam keadaan yang
takut dan cemas itu, saya terus merenung ke arah kepala tanpa badan di atas
lantai. Wajahnya amat menakutkan. Kulitnya kelihatan kasar dan penuh parut
bekas jerawat. Rambutnya panjang dan lebat menutup sebahagian dari permukaan
mukanya. Dahinya dililit dengan kulit ular sawa.
Paling menakutkan
bila melihat hidung yang besar dan dempak itu bergerak setiap kali menarik dan
melepaskan nafas, tidak ubah macam perut katak yang bernafas. Mata kirinya
terpelohong seolah-olah macam ada kepala ular tedung terjengkul di situ. Biji
mata sebelah kanannya tersebul sebesar telur ayam. Ia bagaikan tersengih ke
arah saya mempamerkan giginya yang bersiung di sebelah kiri.
Kepala itu bergerak
ke arah saya dengan menyemburkan air liur kental berwarna kekuningan macam
nanah. Saya bagaikan kena pukau tidak terdaya menggerakkan badan.
“Tuk, tolong saya,”
saya menjerit.
“Kamu jangan bergerak
Tamar,” sahut datuk.
“Saya ikut cakap
datuk, saya takut tuk.”
“Duduk diam-diam di
situ.”
Saya pun mengeraskan
badan. Kepala itu terus bergerak dengan darah yang berlimpah-limpah. Sesekali
saya terpandang kepala ular tersembul dari mata kirinya. Tanpa disedari seluar
yang saya pakai terus basah. Bau busuk dari kepala tanpa badan mendekati saya
membuat saya mahu muntah.
“Hupppp,” jerut datuk
lalu menerkam ke arah kepala tersebut sambil melepaskan satu sepakan kencang.
Kepala atas lantai melayang ke udara macam bola. Berlegar-legar di udara
serentak dengan Itu terdengar bunyi suara orang bersorak dan menangis.
Angin dan ribut
kedengaran menggila di luar rumah. Terdengar bunyi dahan dan pokok tumbang
dirempuh angin yang amat kuat. Bunyi suara harimau, gajah dan kerbau serta
lembu kedengaran menguasai ruang rumah. Saya tidak tahu dari mana suara
tersebut datang.
Kepala yang berlegar-legar
di awang-awangan itu, terus bergerak dari sudut ke sudut ruang. Darah
bercucuran menitik atas lantai dari bahagian bawah kepala iaitu di bahagian
leher yang terpotong. Darah segar itu terus mengembang di lantai. Guru silat
terpaksa menutup kepala dan badan isteri si sakit dnegan kain untuk mengelakkan
dari terkena titik-titik darah dari kepala tanpa badan yang terbang.
Datuk terus meniarap
dan menggerakkan badannya seperti ular menuju ke arah guru silat. Gerakan badan
datuk tidak dapat berjalan lancar seperti yang diharapkan. Kepala tanpa badan
yang terapung-apung di awang-awangan itu terus berlegar-legar mengikut gerakan
badan datuk. Apa yang menakjubkan darah yang menitik tidak menimpa tubuh datuk.
Darah itu bagaikan ditolak kuasa ghaib menuju ke dinding.
“Kita lawan, biar
saya pukul kepala tu dengan kayu,” guru silat mengemukakan pertanyaan. Tiada
jawapan dari datuk. Suara orang bersorak dan menangis bertambah hebat dan kuat.
“Jangan bertindak,”
jawab datuk. Serentak dengan itu saya lihat datuk terus bangun.
Kepala terbang menuju
ke arah datuk. Berhenti betul-betul di depan muka datuk atau dengan kata lain
mereka bertentang wajah. Saya mengerutkan dahi, bila terlihat ular keluar dari
mata sebelah kiri kepala tanpa badan. Lidah ular yang bercabang itu hampir saja
mahu menjamah muka datuk tetapi, datuk segera bertindak dengan menjatuhkan
badannya ke lantai.
Paling menakjubkan
bila saya melihat kepala tersebut ikut sama jatuh atas lantai. Dari mulutnya
bersemburan air liur.
Bagi mengelakkan air
liur itu mengenai mata dan muka, cepat-cepat datuk menekupkan mukanya ke lantai
sambil memusingkan badannya secepat yang boleh. Serentak dengan itu, kaki datuk
memberi satu pukulan libas yang amat kencang pada kepala tersebut.
Tendangan yang cepat
dan kuat dari kaki datuk menyebabkan kepala itu melayang ke kanan lalu
melanggar dinding. Dua keping papan dinding terlucut dari pakunya. Serentak
dengan itu, saya terdengar suara orang menjerit kesakitan. Datuk segera bangun
dan menerkam ke arah dinding yang terkopak.
Isteri si sakit terus
diangkat oleh guru silat, dibawa ke bilik di bahagian bawah rumah. Manakala si
sakit masih berada dalam bungkusan tikar mengkuang. Suasana malam terasa gamat
dengan berbagai-bagai bunyi yang tidak pernah saya dengar. Lantai terasa
terumbang-ambing dan bumbung bagaikan bergoyang.
“Ke mana kepala sial
tu Tamar? Hilang begitu saja,” pekik datuk sambil mencari kepala ganjil yang
tidak diundang itu. saya gelengkan kepala dan merasa hairan dengan kepala
ganjil yang ghaib dengan tiba-tiba. Datuk merenung melalui lubang dinding yang
terkopak. Apa yang datuk lihat hanya kegelapan malam yang sedang
bermaharajalela.
“Ke mari Tamar.”
Saya terus mendekati
datuk dan sama-sama merenung keluar. Saya terlihat seperti ada seketul bara api
yang sedang marak di permukaan tanah. Bara api itu kelihatan sekejap mengecil
dan sekejap mengembang macam ada manusia yang meniupnya.
“Kau tahu apa benda
tu Tamar?”
“Itulah mata
syaitan.”
“Mata syaitan,” saya
terkejut.
“Ya,” jawab datuk
lalu mengambil papan dinding yang jatuh di lantai untuk dipasang ke tempatnya
kembali.
Sebaik saja datuk
mengangkat papan dinding separas lutut, seketul cahaya meluru masuk ikut lubang
lalu terkana papan dinding yang dipegang oleh datuk. Papan itu terlepas dari
tangan datuk dan datuk terjatuh tetapi, datuk berusaha untuk bangun. Usaha
datuk berhasil. Benda bulat yang bercahaya sebesar buah mempelam itu berpusing
ligat atas lantai.
Benda bulat berhenti
berpusing dan terus hilang diganti dengan kepala aneh. Bentuk dan keadaannya
tetap macam tadi. Datuk renung kepala itu dengan renungan tajam. Semua
pancaindera datuk tertumpu ke situ dan saya kira renungan itu adalah renungan
makrifat penuh kebatinan. Datuk menggunakan apa yang ada pada dirinya untuk menegakkan
kebenaran.
“Mahu menguji aku?”
Datuk bersuara keras.
Wajahnya nampak
berkerut. Renungan datuk yang tajam itu ditentang oleh sepasang mata dari
kepala aneh. Mata kanan kepala yang tersembul terus mengecil menjadi macam mata
manusia biasa. Begitu juga dengan mata sebelah kiri yang tadi sering
mengeluarkan kepala ular tedung, juga bertukar menjadi mata manusia biasa.
Datuk terus duduk
bersila di lantai. Sepasang tangannya diletakkan atas kedua belah kepala lutut.
Matanya tidak berkedip menentang sepasang mata dari kepala aneh. Semua
urat-urat di lengan dan tangan datuk kelihatan timbul dan tegang begitu juga
dengan urat di leher dan muka. Peluh-peluh halus mula meruap di dahi dan pipi.
Tiba-tiba datuk
terlentang, macam kena tendangan yang kuat. Kedua belah tangannya terkapar
dengan jejarinya terbuka dan bengkok. Seluruh badan datuk menggeletar dan
tersentak-sentak seperti terkena kejutan letrik. Kepala aneh terus
terlompat-lompat. Mulutnya mula tersengih mempamerkan gigi besarnya. Suara
angin dari luar begitu keras dan kuat masuk ke dalam perut rumah. Saya
menggeletar dan rasa takut mula menguasai diri.
Datuk cuba bangun
tapi tidak berdaya, dalam keadaan yang samar-samar saya melihat sepasang kaki
yang berbulu tebal memijak bahagian dada datuk membuat datuk sukar bernafas.
Datuk terus berjuang cuba menggerakkan badannya ke kanan dan ke kiri. Saya cuba
menjerit tetapi, suara saya tidak keluar. Saya terdengar jeritan si sakit
memanjang dan meninggi.
Dengan sepenuh tenaga
datuk menghentakkan siku kanannya ke lantai sambil memusingkan badannya ke
kanan. Tangan kirinya melepaskan penumbuk ke kaki berbulu. Sebaik saja tumbukan
itu terkena pada sasarannya, kaki yang berbulu itu terus ghaib. Jeritan si
sakit terus bergema. Datuk tumbuk lantai lagi sekali. Kali ini jeritan si sakit
terus mati.
Datuk terus bangun.
Berdiri gagah dengan kedua belah kakinya terkangkang. Kedua belah tangannya
diluruskan ke depan. Datuk tarik nafas panjang sambil membengkokkan kaki
kanannya. Badannya terus direndahkan. Datuk hulurkan kaki kanan ke arah
dinding.
“Hupppppppp,” suara
datuk keras dan saya lihat datuk melompat hingga kepalanya tersentuh tulang
bumbung. Datuk bagaikan berada di awangan beberapa saat.
Ketika berada di
awang-awangan itu, datuk kembangkan sepuluh jari tangan dan jari kakinya. Bila
semua jari tangan dan kaki terkembang datuk segera membengkokkan badannya.
Tubuh datuk yang seketul itu kelihatan berpusing beberapa kali sebelum
menyentuh lantai.
Semua gerakan yang
datuk lakukan, saya perhatikan dengan teliti. Datuk duduk bersila di lantai
kembali. Kepala aneh terus bergolek dari sudut ke sudut ruang rumah. Lidahnya
yang terjelir mengeluarkan darah kental bukannya air liur. Darah kental itu
melekat di lantai. Saya mula terhidu bau hanyir.
Sedang saya mengesan
dari arah mana bau hanyir itu datang, saya dikejutkan oleh bunyi kaki Orang
berlari dalam rumah. Saya segera angkat kepala dan saya terlihat isteri si
sakit berdiri di depan saya, seluruh badannya dibaluti dengan kekabu. Susah
untuk saya melihat biji mata dan wajahnya.
Saya menelan air liur
bila melihat isteri si sakit, mengoyakkan bantal panjang yang dibawanya. Semua
kekabu itu berterbangan lalu mengenai muka dan badan datuk. Saya lihat, datuk
tidak berusaha menepis kekabu yang melekat di hidungnya. Dibiarkannya kekabu
itu berada di situ.
Isteri si sakit terus
merapati datuk sambil melepaskan beberapa tendangan yang kencang. Datuk
mengelak ke kiri dan ke kanan. Kerana tendangannya tidak mengenai tubuh datuk,
isteri si sakit jadi marah. Dia berusaha melepaskan tendangan yang
bertalu-talu. Datuk bertindak, kaki kanan iseri si sakit datuk tangkap dan
pusing ke kiri dengan sekuat hati.
Tubuh isteri si sakit
jatuh atas lantai. Serentak dengan itu, terdengar suara jeritan dari isteri si
sakit. Guru silat segera mendekatinya untuk memberi bantuan.
“Duduk, jangan dekat
dia,” suara datuk keras tanpa merenung ke arah guru silat.
“Dia sakit,” sahut
guru silat.
“Jangan bantah cakap
aku,” sergah datuk. Guru silat patuh dengan cakap datuk.
Datuk terus memulas
kaki isteri si sakit dengan sekuat hati hingga perempuan malang itu terkencing
dan terus diam. Terkulai di lantai, tidak sedarkan diri. Kepala aneh segera
mendekati isteri si sakit untuk menjilat dahi wanita yang terkapar.
Belum pun sempat
lidah yang panjang dan berwarna merah garang menyentuh dahi isteri si sakit,
datuk segera menepuk lantai dengan tangan kanan. Dia terus melompat dan
menerkam ke arah kepala aneh. Bagaikan kilat datuk menarik telinga kiri kepala
aneh itu.
“Tuk, mulutnya gigit
lengan tuk,” jerit saya bila melihat mulut dari kepala aneh itu menggigit
lengan datuk. Guru silat segera bangun dan mendekati datuk untuk menolong. Baru
tiga langkah guru silat melangkah, satu tamparan kencang mengenai pangkal
lehernya.
Guru silat tersembam
dan tidak berdaya bangun. Saya mencapai sepotong kayu untuk membantu, saya juga
menerima satu tendangan di rusuk kiri. Pandangan saya berpinar. Lantai rumah
terasa bergoyang dan saya terhuyung-hayang lalu jatuh.
Saya cuma dapat
melihat lelehan darah di lengan kanan datuk. Gigi tajam dari mulut kepala aneh
terus terbenam dalam lengan daging datuk. Muka datuk berkerut menahan rasa
sakit. Datuk hentak kepala aneh ke dinding dengan harapan gigitan di lengan
akan dilepaskan. Usaha datuk itu tidak berhasil, malah lidah dari mulut kepala
aneh itu mula membelit leher datuk. Saya lihat datuk sukar bernafas. Datuk
terus terhuyung-hayang dan akhirnya datuk jatuh atas lantai.
Datuk terus bergolek
atas lantai. Datuk berusaha menghentak kepala aneh pada tiang seri beberapa
kali. Gigitan di lengan tidak juga terlepas, begitu juga dengan belitan lidah
di leher datuk. Muka datuk berpeluh dan pucat. Batang lehernya terus dilumur
darah dari kepala aneh itu. dengan sekuat tenaga datuk hayunkan kepala aneh itu
ke tiang seri hingga gigitan di lengan datuk terlepas. Belitan lidah di leher
juga terbuka.
Datuk segera
mengambil bantal panjang yang koyak dan terus menyerkup kepala aneh. Kepala
aneh itu terus menggelupur dalam bantal panjang. Kekabu berhamburan dan berterbangan.
Datuk memegang hujung bantal itu dengan sekuat hati.
“Tamar, mari tolong
aku.”
Saya segera
menghampiri datuk, saya diarahkan datuk untuk memotong lengan baju kirinya
separa siku. Perintahnya saya patuhi lengan baju yang sudah dipotong itu segera
saya apitkan ke celah ketiak. Kemudian saya serahkan pada datuk.
“Sudah kamu ikut
petua yang aku berikan.”
“Sudah tuk.”
“Sekarang kamu pergi
dekat guru silat, bisikkan surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali, kemudian bacakan
surah Al-Kursi sekali.”
“Baik tuk.”
Saya segera mendekati
guru silat. Apa yang dipesan oleh datuk segera saya tunaikan. Saya berhasil,
guru silat boleh bangun. Tanpa menerima perintah dari datuk, saya ajak guru
silat mendekati isteri si sakit. Apa yang saya lakukan pada guru silat, itu
jugalah yang saya lakukan pada isteri si sakit. Saya tidak tahu, kenapa
semuanya itu saya lakukan. Saya seperti didesak oleh suara hati saya untuk
berbuat demikian.
Kepala aneh yang
sudah datuk sumbatkan dalam bantal panjang itu terus bergerak-gerak, berusaha
mahu keluar dari dalam bantal tersebut. Datuk terus mengikat hujung bantal
panjang dengan kain lengan baju kiri. Datuk gantungkan kepala aneh yang berada
dalam bantal panjang ke paku di tiang seri. Bantal itu terus bergerak ke kiri
dan ke kanan diiringi dengan bunyi deru angin yang amat kuat. Datuk segera
mendekati kami.
“Bawa perempuan ni ke
dapur dan mandikan dengan air. Bila dah selesai dimandikan, kunci dalam
biliknya,” datuk keluarkan arahan. Deru angin yang kuat terus ditingkah dengan
bunyi petir dan hujan lebat. Dalam keadaan yang haru-biru itu, semua perintah
datuk dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kami mendekati datuk lagi untuk
mendengar arahan selanjutnya.
TERKEJUT
Saya dan guru silat
terkejut, bila melihat datuk mengoyakkan gulung tikar yang membalut tubuh si
sakit. Saya mengucap panjang, tubuh si sakit dah dipenuhi dengan bulu macam
bulu di badan orang utan. Wajah si sakit juga berubah seperti muka beruk jantan
mempamerkan sepasang taring yang cukup tajam. Si sakit cuba bangun untuk
menyerang datuk.
“Jangan apa-apakan
dia, dia tak boleh melakukan apa-apa pada kita,” kata datuk pada guru silat
yang cuba mahu menutup si sakit dengan tikar mengkuang. Tujuan guru silat
berbuat demikian untuk menghalang si sakit yang berubah rupa itu dari menyerang
datuk. Cakap datuk memang betul, si sakit cuma terdaya duduk saja. Setelah itu
ia jatuh terlentang kembali.
Cara mendadak saja
kami alihkan pandangan pada bantal panjang yang tersangkut di tiang seri.
Bentuk dan keadaan bantal sudah berubah, jadi lebih panjang. Bahagian atas dan
bawah terikat, macam mayat yang sudah dikafankan terbuai-buai diterpa angin
yang berputar dalam ruang rumah.
“Haaaaaa,” saya
terkejut sambil membeliakkan biji mata.
Ada tangan terjulur
bersama kuku yang panjang dari dalam bantal tersebut. Saya juga melihat
sebahagian dari kain tersebut diresapi dengan darah. Terdengar suara orang
menangis dan mengilai dalam deru hujan dan angin yang amat keras.
“Macam mana boleh
jadi begitu, bantal panjang bertukar jadi kain kafan dan ada mayat pula di
dalamnya? Mayat siapa pula!”
“Tak usah banyak
cakap, kita tengok saja,” jawab datuk pada rungutan guru silat. Saya renung
muka guru silat yang kehampaan.
Datuk terus termenung
panjang. Mulutnya nampak bergerak-gerak macam membaca sesuatu. Apa yang
dibacanya, saya sendiri pun tidak tahu.
“Bantal itu tetap
bantal, cuma pandangan mata kita saja ditipu oleh iblis,” datuk bersuara
lembut. Dia terus bergerak tiga langkah ke belakang. Berhenti.
Bergerak ke kanan
tiga langkah. Berhenti. Bergerak ke kiri tiga langkah. Berhenti. Datuk tarik
nafas dalam dan matanya tidak berkedip merenung ke arah bantal panjang yang
nampak seperti kain kafan.
Tiba-tiba yang
ditenung oleh datuk terlucut dari tempatnya. Jatuh berdentum atas lantai. Rumah
terasa bergoyang. Benda ganjil itu terus bergolek, keadaannya juga sungguh luar
biasa. Ada waktunya kelihatan menipis, ada masanya membulat, ada ketikanya
memanjang. Sepasang mata datuk terus menyorok ke arah benda ganjil itu, tidak
kira ke mana benda itu bergolek.
Saya lihat bantal
panjang yang tadi bersarungkan kain warna merah muda sudah bertukar dengan kain
biru muda. Tangan dan kuku yang terjulur tetap seperti tadi, malah kukunya yang
tadi nampak berwarna putih pucat sudah bertukar menjadi kemerah-merahan.
Urat-urat di belakang tangannya mula timbul seperti akar yang timbul di
permukaan bumi.
Datuk masih berdiri.
Sepasang kakinya bagaikan terpaku di lantai. Perlahan-lahan datuk angkat kaki
kanannya agak tinggi dari biasa kemudian menghentakkan ke lantai. Benda yang
bergolek terus terangkat seperti ditarik sesuatu hingga ke paras palang pintu.
Sebelum benda ganjil
itu jatuh, datuk segera mengambil tikar lalu digulungkannya dengan cepat
sekali. Tikar mengkuang yang sudah digulung itu segera ditegakkan, ditempat
yang diduga benda ganjil itu akan jatuh.
Bila tikar sudah
ditegakkan di tempat yang datuk fikirkan sesuai, datuk segera berlari mendekati
kami. Wajahnya kemerah-merahan dan penuh dengan peluh. Saya lihat peluh
tersebut menuju ke hujung dagu lalu jatuh atas dada datuk.
“Sekarang bersedia,”
kata datuk lalu merenung muka saya dan guru silat. Saya menggigit bibir, saya
mencari tujuan sebenar kata-kata yang datuk ucapkan itu. Dan saya kira guru
silat juga tidak dapat menangkap maksud dari kata-kata yang datuk hamburkan
itu.
“Sedia apa?” tanya
guru silat.
“Bukankah sudah aku
cakapkan tadi,” jawab datuk.
“Awak tak beri apa-apa
arahan pun.”
“Betulkah saya tak
beri arahan?”
“Betul tuk,” balas
saya dan guru silat anggukkan kepala. Datuk terus gosok pangkal hidungnya
beberapa kali. Sinar matanya lembut tertumpu ke wajah saya.
Datuk senyum dan saya
sudah ‘arif benar dengan perangai datuk. Bila dia senyum begitu, ertinya secara
tidak langsung datuk mengakui kesilapan yang dilakukannya secara tidak sengaja.
“Kita mesti cepat
bertindak, mari kita baca ayat Al-Kursi sebelum benda itu jatuh atas tikar yang
saya tegakkan tadi,” ujar datuk. Saya dan guru silat segera anggukkan kepala.
Dan kami segera berdiri di sisi datuk.
Kami pun membaca ayat
suci yang dikatakan oleh datuk dalam hati dengan teliti dan sebutan yang betul.
Sebaik saja pembacaan kami berakhir, benda ganjil tadi terus jatuh atas tikar
mengkuang yang ditegakkan, kami terdengar bunyi petir yang amat kuat di luar
rumah.
Tikar mengkuang yang
ditegakkan terus rebah dengan sendirinya. Terdapat api kecil di sekeliling
tikar yang rebah itu. api itu terus marak, macam disiram petrol.
Ternyata, api itu
marak hanya untuk beberapa minit saja. Kemudian api itu terus padam. Tidak jauh
dari tikar tersebut terdapat bantal panjang dalam keadaan yang elok, tidak ada
yang koyak. Keadaannya tetap seperti asal.
Bunyi angin yang
menguasai ruang rumah terus hilang. Dekat tiang seri dapat tempurung kelapa
jantan yang dibaluti sabut nipis. Tempurung kelapa jantan itu tergolek di situ.
Tiba-tiba anak telinga saya menangkap suara azan memecah subuh yang bening.
Keadaan dalam rumah jadi tenteram.
“Kau pergi buka bilik
orang yang kau kunci tadi,” datuk keluarkan arahan pada guru silat. Saya lihat
guru silat keberatan untuk memenuhi permintaan datuk.
“Kenapa diam,
pergilah buka,” sergah datuk.
“Tapi.”
“Tak ada tapi, dia
tak akan menjerit atau mencekik kamu, syaitan yang menguasainya sudah lari,”
kata datuk. Guru silat segera pergi ke tempat yang diarahkan. Datuk dan saya
segera mendekati si sakit. Datuk tepuk dahi si sakit tiga kali. Tanpa diduga,
si sakit terus bangun.
“Apa macam,” itu yang
diucapkan oleh si sakit pada datuk.
“Kau bagaimana pula?”
“Saya rasa badan saya
segar, macam tak ada sesuatu yang saya tanggung,” jawab si sakit dengan senyum.
Dia terus bangun. Berjalan dalam ruang rumah. Bila dia mahu keluar datuk segera
memegang bahunya.
“Kenapa?”
“Kau belum boleh
pijak bumi selagi matahari belum terbit. Kalau badan kau dah sihat, pergilah
mandi. Kita sembahyang subuh kemudian kau buatlah sembahyang syukur pada Allah
yang menghilangkan penyakit yang kamu tanggung selama ini.”
“Baik,” jawab si
sakit dan terus menuju ke bilik mandi.
Saya menggigit bibir,
lelaki yang setiap kali malam saya lihat terlantar dengan perut buncit dan bila
mahu bangun terpaksa menggunakan bantuan tali, kini sudah boleh bergerak ke
mana saja. Melihat gerak-gerinya, lelaki itu bagaikan tidak pernah mengalami
sebarang sakit.
No comments:
Post a Comment