Hujan turun
mencurah-curah. Dentuman petir memekakkan telinga dan mengecutkan tali perut.
Tempias hujan terus menerpa ke kamar, lalu jatuh atas halaman akhbar yang
tersedai di dada meja. Rasa dingin terasa menggigit kulit tubuh. Tingkap segera
saya rapatkan.
Bunyi deru hujan amat
jelas kedengaran. Dalam saat-saat tertentu saya tersentak oleh bunyi petir,
diikuti dengan cahaya kilat yang tajam menyelinap menerangi ruang kamar. Bagi
menghilangkan kebekuan itu saya terus membaca berita yang termuat dalam akhbar.
Sejak pulang dari
kampung halaman guru silat, saya dan datuk menghabiskan masa ke kebun getah ata
pisang, pada sebelah pagi. Pada sebelah petangnya pula, pergi ke sawah. Kalau
tidak turun ke sawah kami pergi memburu ayam hutan atau melihat jerat di
pinggir belukar.
Satu hal yang
membanggakan datuk ialah, kerana saya sudahpun menamatkan ilmu persilatan
dengan guru silat. Sudah diadakan ujian dan menutup gelanggang tetapi, datuk
tetap mengatakan apa yang saya tuntut itu masih belum cukup. Mesti
diperlengkapkan dengan pengalaman dan ujian-ujian yang tidak diduga.
Di samping itu, datuk
tetap menyuruh saya menambahkan ilmu mempertahankan diri sebanyak yang terdaya
oleh saya.
“Kau harus belajar
lagi, jangan sampai terpesong dari ajaran Islam. Kau harus mendalami ilmu agama
kamu,” secara mendadak sahaja saya teringat cakap datuk. Saya senyum sendirian.
Bunyi deru hujan mula beransur reda.
Sudah hampir enam
bulan saya meninggalkan kampung halaman guru silat. Tidak ada berita tentang
bomoh tua yang disampaikan oleh adik guru silat kepada datuk. Apakah bomoh tua
itu sudah bertaubat atau kian mengganas? Apakah adik guru silat tidak pernah
menulis surat pada abangnya? Timbul pertanyaan dalam diri saya.
Saya membuat keputusan
sendiri. Besok atau lusa saya akan menemui guru silat untuk bertanyakan perkara
tersebut. Kalau guru silat enggan bercerita, saya sendiri akan menulis surat
pada beberapa orang kawan di kampung halaman guru silat.
“Bagaimana kalau aku
sendiri pergi ke sana, menyiasat keadaan yang sebenar? Tidak mungkin. Kalau
datuk tahu aku pergi sendirian ke sana, teruk aku kena penamparnya,” bisik hati
kecil saya.
Saya senyum sendirian
teringatkan tingkah laku bomoh tua di hari meninggalkan kampung halaman guru
silat. Bomoh tua itu menahan perjalanan kami yang mahu pergi ke perhentian bas.
Dia mengingatkan datuk tentang hasratnya untuk bersahabat dengan datuk, ingin
belajar sesuatu dari datuk.
Ternyata hati datuk
tidak dapat dilembutkannya. Datuk menyuruh dia bertaubat dulu serta kembali ke
jalan yang betul.
Pada mulanya, saya
begitu menyesali sikap datuk yang tidak mahu bertolak ansur itu. saya kesal
kerana datuk begitu angkuh dengan orang yang mahu menjalinkan persahabatan
dengannya. Rasa kesal saya itu berakhir bila saya menerima penjelasan dari guru
silat.
“Tuk kamu tak angkuh
Tamar. Dia tahu bomoh tua tu tak ikhlas, bomoh tu mahu memperdayakan dirinya,”
satu penjelasan dari guru silat. Tapi, saya kurang yakin dengan penjelasan itu.
guru silat segera melanjutkannya.
“Kau sendiri tahu,
datuk kau bersikap lembut. Dia suruh bomoh tua itu bertaubat. Bila bomoh itu
mengetahui dan bersedia mahu bertaubat tentu dia mahu bersahabat. Datuk kau
terlalu berhati-hati,” sambung guru silat ketika berada dalam bas, waktu kami
pulang dulu.
Akhirnya saya percaya
dengan apa yang diluahkan guru silat tersebut. Sebabnya bukan apa-apa. Saya
mahu mendapat keterangan yang tepat dari datuk. Kata datuk, dia memang
menghargai hasrat bomoh tua itu. tetapi, dia tidak yakin apa yang dikatanya itu
ikhlas dan jujur. Buktinya, waktu kamu mahu naik bas, bomoh tua itu cuba
menggunakan ilmu hitamnya dengan memasukkan segenggam pasir ke dalam beg kain
yang saya galas.
Pasir tersebut bila
berada dalam beg dalam jangka waktu lebih kurang tiga jam akan bertukar menjadi
habuk yang cukup halus macam habuk rokok. Melekat pada pakaian. Bila pakaian
itu dipakai, seluruh tubuh menjadi bengkak dan gatal.
Bila terlalu kerap
digaru, kulit akan tercalar lalu berair. Dan air itu akan mengeluarkan bau yang
busuk. Tidak ada ubat yang boleh menghilangkan penyakit tersebut kecuali dengan
cara tradisional iaitu menggunakan pasir yang sudah digoreng dengan hampas
tebu. Hanya orang-orang yang tahu sahaja yang boleh melakukannya.
Bukan senang mencari
orang yang tahu cara perubatan tradisional itu. kalau tidak menemui orang yang
tahu, alamat si sakit akan menderita sampai mati. Mujurlah datuk sempat
bertindak. Kalau lambat bertindak, padahnya akan ditanggung sampai mati. Cara
datuk mengesan perbuatan bomoh tua itu juga amat menarik.
Bila datuk
terpandangkan bomoh tua menaruh pasir ke dalam beg yang saya galas, datuk
segera mengoyakkan bahagian bucu beg. Semua pasir di dalamnya terus jatuh di
permukaan jalan raya, menjadi debu. Melihat tindakan datuk itu, bomoh tua berasa
malu lalu meninggalkan kami tanpa mengucapkan sesuatu.
Walaupun begitu datuk
masih yakin bomoh tua itu akan membalas dendam. Bila masanya bomoh tua mahu
bertindak tidak ada sesiapa pun yang tahu. Walaupun begitu, datuk tetap
berjaga-jaga dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk serahkan
segala-galanya pada Allah yang maha kuasa.
“Assalamualaikum.”
Saya tersentak dari
lamunan.
“Waalaikumsalam,
naiklah.”
Terdengar suara datuk
menjawab. Perasaan saya bagaikan digaru-garu mahu mengetahui suara siapakah
yang memberi salam. Rasa-rasanya saya pernah mendengar suara itu. Di mana dan
bila, saya kurang pasti. Saya terus mengamati dengan teliti suara orang yang
bercakap dengan datuk itu.
“Ah, dia datang.”
Saya melonjak
kegembiraan dan terus bangun. Buku jendela, titik hujan sudah berhenti luruh
dari dada langit. Saya keluar dari kamar lalu menuju ke ruang tengah. Senyum
tetap terukir di bibir dan hati terus dikocak kegembiraan.
“Kamu dari mana
Tamar?” Tanya guru silat.
“Apa lagi, buat tahi
mata lebih-lebih lagi waktu hujang begini,” tingkah datuk. Saya terus duduk
dekat guru silat.
“Saya tak tidur tuk!”
“Kalau kau tak tidur,
kau buat apa dalam bilik?”
“Saya membaca tuk.”
“Kau baca apa?”
“Baca suratkhabar.”
“Hummmmm aku ingatkan
baca kitab,” datuk juihkan bibir sambil menarik nafas panjang. Guru silat terus
senyum. Belakang saya ditepuknya dua tiga kali berturut-turut.
Saya merenung ke arah
jam dinding. Sudah petang. Secara mendadak saya teringat hari itu adalah hari
Khamis. Bila matahari terbenam di kaki langit, saya akan berada dalam suasana
malam Jumaat. Ada beberapa aturan yang mesti saya patuhi. Peraturan itu amat
membosankan tetapi apakan daya saya terpaksa mematuhinya.
Biasanya setelah
menunaikan fardhu Maghrib, datuk berwirid panjang. Lepas itu membaca surah al-Waqiah
atau surah al-Mulk atau surah at-Taubat. Jika tidak membaca salah
satu surah itu, dia akan membaca surah Yaasin. Pokoknya, dari waktu Maghrib
hingga sampai waktu Isyak mesti diisi dengan kegiatan yang mendatangkan faedah.
Kegiatan itu ditamatkan setelah menunaikan sembahyang Isyak.
Memang menjadi
kebiasaan saya, setelah selesai menunaikan fardhu isyak saya menyusur tepi
dinding perlahan-lahan kemudian menyelinap masuk ke kamar lalu mematikan diri.
Saya tidak mahu melibatkan diri dengan datuk untuk membaca Quran.
“Eh, apa yang kamu
menungkan, Tamar?”
Nenek sergah saya.
Cepat-cepat saya renung ke arah datuk dan guru silat. Mereka juga saya lihat
mengelamun tetapi anehnya kenapa nenek tidak menegur mereka.
“Jangan fikir
apa-apa. Minum kopi panas ni,” tambah nenek lalu meletakkan cawan kopi di depan
saya, di depan datuk dan guru silat. Asap nipis merayap di permukaan cawan.
“Kopi bujang aje ke?”
usik datuk.
“Ada kawannya.
Tunggulah dulu.”
Nenek terus menuju ke
dapur. Datang kembali bersama mangkuk bubur kacang. Bau daun pandan yang
ditaruh dalam mangkuk bubur membuat selesa saya terbuka luas.
“Memang bagus ni,”
kata guru silat.
“Silakan,” pelawa
datuk.
“Ya, sila. Jangan
malu,” tingkah nenek.
“Jangan bimbang,
fasal makan saya memang tak tolak punya,” guru silat berjenaka disambut dengan
ketawa. Nenek kembali ke ruan dapur. Saya memang mengharapkan kedatangan guru
silat pada petang itu akan membawa cerita yang baru dan segar untuk saya.
Kopi dalam cawan
sudah habis, bubur dalam mangkuk juga sudah selesai. Cerita yang saya harapkan
dari guru silat tidak juga muncul. Dia dan datuk asyIk bercerita tentang harga
getah, asyik bercerita tentang babi hutan dan monyet yang menyerang tanaman di
kebun. Cerita yang membosankan. Tetapi, saya masih bertahan di ruang tamu.
Masih mengharapkan cerita dari guru silat.
LUNTUR
Dalam cita-cita yang
meluap-luap itu tiba-tiba semangat jadi luntur untuk duduk berdepan dengan guru
silat dan datuk. Tidak ada gunanya menjadi kucing yang menunggu ikan
dipanggang. Saya segera angkat punggung. Meraut bilah buluh di pelantar untuk
membuat bubu lebih baik dari duduk di depan wajah manusia ini, bentak batin
saya. Saya segera mencari pisau raut dan mengeluarkan bilah buluh dari
tempatnya.
Sebaik sahaja saya
bersila di pelantar, saya terdengar suara datuk mengajukan pertanyaan pada guru
silat.
“Apa kau tak dapat
berita dari adik kamu?”
“Ada, pagi tadi saya
terima surat darinya.”
“Apa cerita? Soal
datuk lagi. Guru silat saya lihat menarik nafas dalam-dalam. Dia termenung
sejenak. Saya terus memasang telinga. Dan mengharapkan kata-kata yang terhambur
dari guru silat akan mengembirakan hati saya.
Cepatlah, aku nak
dengar cerita dari kampung halaman kamu guru silat, suara batin saya
melonjak-lonjak. Saya jeling ke arah guru silat dan datuk. Mereka kelihatan
tenang dan bersahaja. Mungkin tidak ada sesuatu cerita yang menarik, sebab
itulah agaknya guru silat tak mahu cerita apa-apa pada datuk, saya cuba
mendamaikan perasaan yang bergelora dalam dada.
“Saya bersyukur pada
Allah.”
“Sebabnya?” datuk
menyoal.
“Bomoh tua tu…,”
gosok batang hidungnya dua tiga kali. Saya keresahan menanti kata selanjutnya
dari guru silat.
“Kenapa dengan bomoh
tua tu? Dia dah bertaubat?” suara datuk agak keras, mungkin tanda protes kerana
guru silat lambat sangat menyambung kata-kata yang terputus.
“Bukan bertaubat.”
“Kalau bukan
bertaubat, dia dah mati agaknya,” datuk buat ramalan.
“Dia tak mati.”
“Habis dia buat apa?”
“Pindah ke tempat
lain,” guru silat telan air liur.
“Ke mana?” datuk
tidak sabar lagi.
“Ke Langkawi.”
“Langkawi,” mulut
datuk separuh terbuka. Guru silat tunduk menatapi permukaan lantai. Batang
tubuh bomoh tua segera terpamer dalam tempurung kepala saya. Ketika itu juga
saya bagaikan terdengar-dengar suaranya di gegendang telinga saya.
“Biarlah dia dengan
halnya. Tapi, adik ipar kamu macam mana? Aku lebih suka mendengar cerita
tentang dirinya dari mendengar cerita bomoh tua tu,” datuk memperkemaskan
silanya.
Kali ini saya cuba
melintasi di depan datuk. Berdiri dekatnya sebentar. Tiada teguran dari datuk,
ini menandakan datuk tidak akan marah kalau saya duduk di sisinya untuk
mendengar perbualan selanjutnya antara dia dengan guru silat. Dengan batuknya
yang dibuat-buat, saya pun bersila tidak jauh dari guru silat.
“Menurut suratnya
pada saya, dia dah boleh turun ke bendang, sudah boleh membuat kerja-kerja
berat,” jelas guru silat.
“Syukurlah. Aku
harapkan apa yang dialaminya akan mendatangkan keinsafan pada dirinya. Kemudian
aku harap dia akan mengikut perintah Allah. Tidak lagi macam dulu, suka membuat
kerja yang sia-sia,” datuk menarik nafas dalam-dalam.
Saya terus
melunjurkan sepasang kaki. Perbuatan saya segera ditegur oleh datuk. Perbuatan
saya itu, tidak senonoh dan biadab. Teguran dari datuk segera saya patuhi. Guru
silat nampak resah. Sesekali ekor matanya merenung ke arah saya.
“Saya juga harap
macam tu,” guru silat bersuara lembut.
“Dari apa yang aku
tahu, adik ipar kamu tu buas juga orangnya. Suka berjudi, suka menipu orang,”
celah datuk.
“Macam mana awak tahu
semuanya ini,” mata guru silat terbeliak.
“Dari orang-orang
kampung kamu dulu.”
“Ha, siapa yang
cerita?” guru silat kerutkan kening.
“Beberapa orang yang
aku jumpa di kedai kopi dulu yang menceritakan pada aku.”
“Tapi, saya tak
nampak awak bercakap dengan sesiapa pun masa di kedai tu dulu.”
“Masa aku bercakap
dengan mereka kau belum datang lagi ke kedai tu. Bila aku dah selesai bercakap,
baru kamu datang.”
“Hum. Kalau macam tu,
tak hairanlah kalau kamu tahu perangainya,” guru silat ketawa kecil.
Perlahan-lahan dia menepuk pangkal paha datuk.
“Aku harap
kedua-duanya bertaubat,” ujar datuk.
“Saya harap juga
macam tu. Kedua-duanya lebih kurang saja perangainya,” guru silat menambah.
Senyum terus berbunga di kelopak bibirnya.
“Kau,” guru silat
renung ke arah saya.
“Selalulah datang ke
tempat aku untuk mendalami ilmu yang ada,” sambung guru silat.
“Betul nasihat kamu
tu, ilmu yang ada belum cukup lagi.”
“Bukan apa-apa. Saya
cuma mengingatkan, ramai anak murid saya yang sudah tamat tak tamu datang lagi
ke tempat saya untuk bertanya itu dan ini,” keluh guru silat. Di wajahnya
terbayang kehampaan yang amat sangat.
“Ada masa saya tetap
ke sana. Saya tahu apa yang ada pada saya ni masih belum cukup. Banyak perkara
lagi yang mesti saya pelajari,” itulah janji saya pada guru silat. Ternyata
janji itu menghadiahkan kegembiraan yang amat sangat untuknya.
“Dah pukul berapa
sekarang Tamar?”
“Ha,” saya segera
meraba pergelangan tangan kiri. Hari ini saya terlupa memakai jam. Saya segera
bangun tetapi terpaksa duduk kembali. Guru silat memegang pergelangan tangan
kanan saya.
“Kamu nak ke mana
Tamar?”
“Nak tengok jam.”
“Jam tangan kamu yang
aku hadiahkan minggu lalu mana dia?”
“Saya lupa pakai pak
guru.”
“Tak tahu menghargai
pemberian orang. Cuai dan pelupa,” datuk memberi teguran pahit dalam suasana
yang tidak menyenangkan.
“Kamu tak payah
tengok jam. Aku tahu, sekarang pukul lima lebih. Kau tengok jam gantung di
dinding,” guru silat mengarahkan jari telunjuknya ke dinding. Saya segera
merenung ke arah yang ditunjuknya.
Kenapa ketika
pertanyaan itu diajukan, saya tidak teringat atau memandang ke arah jam
dinding? Apakah ini menandakan daya ingatan saya terlalu lemah? Timbul
pertanyaan dalam hati saya. Lebih memalukan bila guru silat berkata:
“Orang muda mesti
mempunyai ingatan yang kuat. Mesti ingat apa yang ada dalam rumah.”
“Semuanya itu
memerlukan latihan,” datuk turut campur.
“Selain itu mesti ada
rasa cinta atau perhatian pada keadaan sekeliling kita, saudara-mara kita,
keadaan rumah kita sama ada dari luar atau dari dalamnya. Semuanya ini
memerlukan ketelitian,” guru silat memulakan syarahan pendek.
“Saya cuba belajar
semuanya itu.”
“Bagus,” guru silat
tepuk bahu saya.
Ternyata usaha saya
untuk membersihkan mereka dari memperkatakan kelemahan diri saya beroleh
kejayaan. Kini tajuk perbualan sudah berubah pada perkara menanam pokok dan
memelihara binatang. Memang saya mengharapkan perbualan itu akan berjalan
terus. Semoga salah seorang daripada mereka tidak akan mengungkit-ungkit hal
saya.
“Biarlah saya balik
dulu,” guru silat minta diri.
“Tunggulah sampai
maghrib baru balik,” datuk menahan.
“Hajat saya mhu
menyampaikan berita sudah tertunai. Saya juga meinta maaf kerana terpaksa
balik. Bukan tak sudi dengan pelawaan awak, tapi saya ada hal.”
“Kalau ada hal pun
tak akan sampai tak boleh ditangguhkan,” datuk berusaha agar guru silat
memenuhi permintaannya. Sikap datuk itu membuat guru silat berada dalam keadaan
serba salah.
“Saya minta maaf,
balik lepas waktu maghrib merbahaya.”
“Merbahaya?”
“Ya, sekarang musim
harimau mengganas,” wajah guru silat cemas.
“Oh. Kalau begitu,
saya mula faham. Eloklah kamu balik, musuh jangan dicari.”
“Saya pun berpendapat
macam tu.”
Datuk dan guru silat
berjabat tangan. Datuk dan saya hantar guru silat hingga ke basikal tuanya yang
tersandar di pangkal pohon manggis. Sebelum lompat atas basikal lagi sekali
datuk dan guru silat bersalaman. Guru silat terus kayuh basikal keluar dari
kawasan rumah. Saya dan datuk mendoakan agar perjalanan guru silat diberkati
oleh Allah, terhindar dari segala bencana.
“Cuba kamu pergi
tengok jerat aku di kaki bukit.”
“Bila tuk? Esok ke
atau petang ni.”
“Petang ni, dah
suntuk tuk,” saya mula berdalih.
“Tak suntuk. Baru
pukul lima. Setengah jam berhalan sampailah ke tempat tu. Cuma ada enam jerat
saja. Manalah tahu, kalau dapat ayam hutan. Biasa lepas hujan ayam hutan selalu
keluar.”
“Tapi tuk?”
“Tak ada tapi, pergi
sekarang. Bawa parang dan kayu panjang untuk memudahkan kamu berjalan.”
“Saya takut tuk.”
“Eh budak ni, belajar
silat dah tamat. Sebanyak sedikit petua dah tahu. Apa kamu tak berani pergi ke
kaki bukit. Eh Tamar, orang lelaki mesti berani tau.”
“Saya tau tuk, tapi…”
“Pergiiiii…,” jerkah
datuk.
TERKEJUT
Saya terkejut dan
dalam sekelip mata saya seperti memperolehi kekuatan yang amat sangat. Tanpa
berkata apa-apa pada datuk saya meluru ke dalam rumah. Pakai baju dan seluar.
Dengan parang di tangan saya melangkah.
“Kau tak bawa kayu
panjang.”
“Tak payah,” jawab
saya tegas.
Langkah saya diatur.
Saya tidak tahu apa kata datuk tentang sikap yang saya tunjuk itu. satu hal
yang pasti ketika saya berada agak jauh dari kawasan rumah saya terdengar
sayup-sayup suara batuk datuk memanjang.
Saya yakin benar
bahawa batuk itu sengaja dibuat-buat oleh datuk. Mungkin dia cuba menarik
perhatian supaya menoleh ke arahnya. Saya keras hati tidak mahu menoleh.
Kali ini saya mahu
buktikan pada datuk yang saya bukanlah seorang cucu yang penakut atau pengecut.
Saya mampu pergi ke mana-mana sendirian. Mampu melakukan apa sahaja seperti apa
yang dilakukan oleh anak-anak muda yang seusia dengan saya. Langkah pun saya
percepatkan.
Berjalan di celah
pepohon kecil selepas hujan memanglah amat menyulitkan. Kesan air hujan di
daunan bila kena baju atau seluar membuat pakaian terasa lembap. Bila kena
kulit, tubuh terasa sejuk. Semuanya terpaksa saya hadapi. Sesekali saya dongak
ke langit. Matahari tidak mahu bersinat lagi. Dalam waktu tertentu, saya
gunakan parang untuk memotong reranting yang menghalang perjalanan saya.
Dalam keadaan yang
dingin itu, badan saya berpeluh. Nafas tercungap-cungap terasa amat penat
sekali. Siapa pun akan merasai penat bila berjalan dalam keadaan yang agak
mendaki. Cuaca tidak begitu menggalakkan.
Sejak hujan berhenti,
matahari terasa amat malas untuk bersinar. Pada hal kalau cuaca baik, saya
tidak mengalami keadaan seperti ini. Hati kecil saya terus merungut dan
merasakan tindakan datuk memang tidak patut. Saya jadi marah dengan tiba-tiba.
Rasa marah itu terus
membara dan tidak boleh dikawal lagi. Bagi melepaskan rasa marah itu, saya
patahkan ranting kayu yang menghalang perjalanan saya. Perbuatan itu tidak
mendatangkan kepuasan. Saya ambil parang lalu ranting yang sudah patah itu saya
tetak beberapa kali hingga menjadi potongan kayu yang amat kecil. Tidak memadai
dengan itu, ranting kayu yang sudah potong itu saya pijak-pihak hingga terbenam
dalam bumi.
Semuanya tidak
mendatangkan kepuasan dalam diri. Rasa marah terus menjadi-jadi. Pertama kali
saya mengutuk datuk dengan semahu-mahunya. Saya tuduk datuk manusia kejam, suka
memerintah dan timbul sebuah azam dalam hati untuk memusuhi datuk, tidak mahu
menghormatinya lagi.
Saya tikam bumi
dengan parang, terpacak di sutu. Ulu parang yang dibuat dari gading itu saya
urut beberapa kali.
“Yahooooooo, kamu
kejam.”
“Begitulah saya
memkik dengan sekuat hati, bergema ke seluruh kawasan di kaki bukit. Saya kira
mengejutkan monyet dan lotong di dahan. Mengganggu perjalanan beburung dan
haiwan. Tidak memadai dengan itu, saya tendang apa yang ada di kiri kanan saya.
Sesungguhnya saya luahkan perasaan marah saya pada apa sahaja yang ada di
sekeliling saya.
No comments:
Post a Comment