Saya terus menyandarkan tubuh pada sebatang pokok. Saya pejamkan sepasang mata hingga rasa marah hilang dari sanubari. Kemudian perlahan-lahan kelopak mata saya buka lebar-lebar. Ketika itu perasaan saya sungguh aman dan tenteram. Dada saya terasa lapang. Saya meneruskan perjalanan.
Jerat
pertama saya tengok, tak mengena apa-apa tetapi kesan laluan ayam hutan memang
terdapat di situ. Agaknya ayam hutan tahu, di sana ada jerat untuknya. Saya
terfikir dan kemudian tersenyum panjang. Jarak jerat antara satu sama lain
tidak menentu. Ada yang jaraknya sepuluh kaki, ada yang dua puluh kaki. Sebab
jaraknya tidak sama kerana mengikut laluan binatang yang dihajati.
Waktu saya
pergi ke jerat yang ketiga, letaknya tidak jauh dari kolam kecil. Saya terlihat
laluan pelanduk, saya amati sekelilingnya, memang tidak salah lagi. Di situ
terdapat kesan tapak kakinya. Mungkin pelanduk tersebut pergi ke kolam kecil
untuk minum. Saya ikut kesan tapak kaki itu hingga sampai ke jerat. Aneh, saya
dapati jerat itu bingkas dan ada bekas tapak kaki pelanduk di situ.
Ini mesti
pelanduk yang kena jerat ni diambil orang. Siapa yang melakukan semuanya ini?
Pasti orang yang sudah lama mengintip gerak-geri datuk. Manusia suka membuat
kerja mudah, rungut hati saya. Jerat yang sudah bingkas itu saya pasang
kembali. Saya berdiri di situ mengingati sesuatu. Kata datuk jerat yang
dipasangnya berjumlah lima jerat semuanya. Ertinya masih ada dua jerat lagi
yang mesti saya lihat.
Kedudukan
kedua-dua jerat ini agak jauh ke dalam bahagian kaki bukit. Pesan datuk, saya
mesti melihat kelima-lima jerat itu. Kalau tak mahu kelima-limanya sekali,
mesti lihat tiga. Pokoknya saya mesti membuat kerja yang ganjil. Saya tidak
boleh melihat dua atau empat jerat kerana itu perbuatan genap, saya mesti
meninggalkan jumlah ganjil.
Tiba-tiba
saya merasakan, memang wajar melihat semua jerat itu. Siapa tahu, jerat empat
dan lima sudah mengena. Bila sudah mengena, saya tidak pulang dengan tangan
kosong. Saya kira datuk dan nenek tentu gembira melihat saya pulang ke rumah
dengan ayam di tangan. Selain dari itu, saya mahu menerima pujian dari datuk
tentang ketabahan hati saya. Biar dia kagum dengan apa yang saya lakukan.
“Ya, aku
mesti tengok semua jerat.”
Itulah
keputusan muktamad yang saya ambil dalam masa sekelip mata sahaja. Apa yang
terjadi, keputusan yang diambil mesti dilaksanakan. Saya pun melangkah perlahan
menuju ke jerat yang keempat. Letaknya di bawah pokok yang rendang. Datuk
sengaja memilih tempat tersebut untuk menahan jerat.
Mungkin
tempat tersebut dipilih kerana kedudukan kawasan tanahnya yang agak cerah,
tidak ditumbuhi rerumput yang tebal. Ada dahan sebesar paha manusia melintang
arah ke parit kecil. Pada hemat saya, di ranting besar itu jadi tumpuan ayam
hutan berdiri sambil mengepakkan badan terutama ayam jantan. Amat suka berkokok
di tempat yang agak tinggi.
“Memang
pandai datuk memilih tempat.”
Saya
memuji datuk dalam hati. Saya terus melangkah. Hari sudah beransur agak gelap.
Tetapi langit masih kelihatan cerah walaupun matahari tidak bersinar. Saya
sampai ke jerat yang keempat. Kali ini saya melihat kawasan di situ cukup
bersih seperti baru lepas disapu. Tanah di situ kelihatan seperti baru sahaja
dikais-kais oleh ayam. Saya garu kepala dua tiga kali, terasa suasana seperti
itu amat ganjil sekali.
Rasanya
tidak mungkin ayam hutan mampu mengubah dedaun dan reranting yang terdapat di
situ. Lebih menakjubkan jerat yang tidak mengena atau bingkas tetap macam
biasa. Batang jerat kelihatan bergerak macam baru disentuh oleh tangan manusia.
Hati saya mula berdebar.
Saya
renung kiri dan kanan. Bersedia untuk memulakan langkah seribu. Bulu roma terus
tegak berdiri. Mesti ada sesuatu yang tidak kena terjadi di sini. Mungkin
harimau, mungkin beruang, mungkin kucing hutan berguling-guling di sini.
Macam-macam yang timbul dalam hati saya bersama rasa takut yang amat sangat.
Tiba-tiba
saya lihat pepohon kecil di kanan bergerak, macam dilanggar sesuatu. Dedaun
kering bergerak seperti dipijak sesuatu. Beberapa ekor cengkerik dan katak
keluar dari bawah dedaun kering macam ada sesuatu yang memburunya. Dalam
keadaan yang serba membingungkan itu, saya terlihat seekor ayam hutan jantan
menerpa ke arah jerat dan terus sarungkan kakinya ke dalam jerat.
Dalam
beberapa detik sahaja jerat tersebut bingkas. Dan ayam jantan hutan tergantung
di udara menggelepar sambil berbunyi. Melihat ayam kena jerat, rasa takut
hilang dari hati saya. Semua perkara yang saya kira ganjil dan aneh hilang dari
ingatan saya. Hati saya bersorak kegembiraan melihat ayam hutan di depan mata.
Saya
mendekati jerat lalu membongkok untuk merendahkan kayu jerat. Bila tali jerat
berada dalam tangan, kepala ayam jantan itu saya urut berkali-kali. Ayam itu
tetap menggelepar sambil berbunyi nyaring.
Simpul jerat
di kaki ayam berhasil saya buka. Kali ini kaki ayam tersebut saya ikat dengan
tali guni, lalu saya masukkan ke dalam karung yang dibuat dari mengkuang.
Di bucu
karung ditebuk lubang kecil untuk udara, memudahkan ayam bernafas. Hujung
karung saya ikat dengan tali lalu saya sandangkan ke bahu. Saya memulakan
langkah untuk pergi ke jerat yang kelima. Kedudukannya, betul-betul berada di
lereng bukit tidak jauh dari pohon bertam. Memang saya mengharapkan jerat yang
kelima akan mengena. Kalau tak dapat ayam hutan dapat napuh atau pelanduk pun
sudah memadai, sebuah harapan berbunga dalam hati saya.
Langkah
kian rancak, cuaca yang sudah beransur samar-samar tidak menjadi masalah. Kalau
cuaca terus jadi gelap saya tidak sudah hati. Kawasan sekitar kaki bukit itu
sudah sebati dengan diri saya. Tidak dinafikan saya boleh mengingati kedudukan
pelbagai jenis pohon besar di situ. Saya juga tahu di mana letaknya parit atau
danau kecil. Kalau saya dicampakkan ke kawasan tersebut pukul dua pagi, saya
masih dapat mencari jalan pulang.
“Hai, apa
khabar? Seorang aje.”
Saya
menoleh ke kanan. Mulut saya bagaikan terkunci untuk menjawab.
“Banyak
jerat awak yang mengena, berapa ekor awak dapat ayam?”
Saya
menjadi bertambah menggelabah.
“Kenapa
tak jawab apa yang saya tanya, awak takut?”
Saya tarik
nafas panjang. Renung ke langit, renung kiri kanan. Dada saya terus berdebar.
Sesungguhnya, saya tidak tahu dari mana perempuan muda itu muncul. Saya amati
wajahnya yang sedang senyum. Orangnya memang menarik. Tetapi, sayang saya tidak
kenal dengannya. Ternyata perempuan ini bukannya anak watan kampung saya.
Sebagai
orang muda, dalam rasa takut dan darah gemuruh itu, keinginan untuk memikat
hati perempuan muda di depan mula bercambah dalam diri. Saya amati dirinya.
Baru memasuki usia dua puluhan. Berkulit putih merah. Hidung mancung. Saya
terpikat dengan sepasang matanya yang lembut tetapi kelihatan sayu. Mukanya
bujur sirih. Aduh! Senyumannya tidak berhenti menari di bibir nipisnya.
“Kenapa
tak sembelih ayam tu di sini? Awak tak bawa pisau?”
perempuan
yang berambut ikal berbulu kening tebal merapati saya. Darah gemuruh saya
terhenti dari bergerak dalam urat saraf. Keinginan mengenali perempuan itu
lebih dekat terus berkocak dalam rongga dada.
“Saya tak
bawa pisau menyembelih.”
“Awak mahu
pisau? Kalau mahu nanti saya ambil di rumah.”
“Tak
payahlah.”
“Macam
mana kalau saya minta sikit daging ayam?”
“Boleh,
apa salahnya.”
“Sepatutnya
saya tak payah minta sebab ayam yang kena jerat awak itu saya yang punya.”
“Ha…haa..?”
mulut saya terlopong.
Perempuan
itu tetap senyum. Hati saya berkata, mungkin perempuan ini mahu bergurau. Ayam
hutan mana ada tuannya. Sesiapa pun boleh menjerat atau menembaknya. Dengan
rasa jijik saya renung wajah perempuan itu. dia bagaikan tahu yang diri saya
tidak mempercayai apa yang diucapkannya.
“Setiap
benda di dunia ini ada tuannya, ada penjaganya. Tetapi manusia selalu melupakan
semuanya itu.”
“Kamu
mengarut dan merepek.”
“Kalau
kamu tak percaya tak mengapa, tetapi saya mahu mengambil hak saya kembali.”
Saya
segera mengedutkan kening. Karung mengkuang yang saya sandang terasa
bergerak-gerak. Ayam di dalamnya menggelepar. Karung mengkuang terasa amat
berat macam ada batu pejal di dalamnya. Bahu saya bagaikan mahu patah
dibuatnya. Saya terpaksa meletakkan karung mengkuang atas tanah. Perempuan itu
tetap berdiri di depan saya tanpa mengucapkan sesuatu. Sepasang anak matanya
melihat gerak geri saya dengan teliti.
Paling
mengejutkan saya, tali guni yang saya ikat di hujung karung mengkuang terbuka
dengan sendiri. Ayam yang ada di dalamnya keluar dengan mudah lalu berkokok
bertalu-talu sambil menggoyangkan ekornya. Paling menyakitkan hati, bila ayam
itu menghalakan muncungnya ke arah saya dan terus berkokok sambil menjungkitkan
ekornya tinggi-tinggi. Kalau diturutkan kata hati mahu rasanya membalingkan
seketul kayu pada kaki ayam itu. biar kakinya patah.
“Suhh..,”
pekik saya.
“Jangan
halau dia,” suara perempuan itu cukup lembut.
“Kurang
ajar punya ayam.”
“Jangan
cakap macam tu. Itu ayam saya, marii..,” saya lihat bapak ayam hutan terus
meluru ke arahnya. Terbang dan hinggap di bahu sebelah kanannya. Ayam itu
berkokok lagi. Saya terpukau dengan suasana yang saya anggap aneh tetapi
melucukan.
“Terima
kasih kerana kamu sudah memulangkan hak saya.”
“Tapi ayam
tu tak bertuan.”
“Itu
pendapat kamu. Hakikat sebenar memang bukan begitu. Terima kasih.”
Perempuan
itu segera memusingkan badannya membelakangi saya. Ayam jantan yang berbalung
merah tetapi berdiri di bahu. Satu perkara yang pasti, waktu perempuan itu
menentang wajah saya, suasana sekitar terasa cerah. Bila dia membelakangi saya,
suasana bertukar menjadi samar-samar.
“Eh, nama
saya Tamar.”
Perempuan
itu segera toleh ke arah saya kembali.
“Nama awak
siapa?”
Perempuan
itu menarik nafas dalam-dalam.
“Cakaplah
siapa nama awak?”
“Nanti
kita jumpa lain kali. Masa tu saya cakap nama saya.”
“Cakap
sekarang,” kata saya lalu mengejar ke arahnya. Dalam sekelip mata sahaja
perempuan itu ghaib tetapi ayam miliknya masih dapat saya lihat duduk di
ranting dan terus berkokok bertalu-talu. Beberapa detik kemudian ayam jantan
itu pun ghaib.
“Syaitan
mempermainkan aku,” kata saya dalam nada suara yang agak tinggi.
Saya
pusing ke kanan. Memulakan langkah pertama, mencari jalan pulang. Saya terdengar
bermacam-macam suara,ada suara kokok ayam. Saya sedar, bila hati dikuasai rasa
takut bermacam-macam yang didengar padahal perkara itu tidak wujud sama sekali.
Cuma perasaan kita sahaja yang merasakan begitu.
Makin kuat
saya menetapkan dalam hati apa yang saya dengar itu adalah perasaan, makin kuat
suara-suara yang tidak saya ingini datang dalam gegendang telinga saya. Saya
terus lari dengan semahu-mahunya melanggar apa sahaja. Parit lebar saya lompat
kerana saya menyangka parit itu kecil. Akibatnya saya terhumban dalam parit.
Habis pakaian saya basah kuyup. Keluar dari parit saya terus lari lintang
pukang.
Dalam
cuaca yang mula samar-samar itu, saya terus berlari dan berlari hingga sampai
di bahagian dapur rumah. Bila saya jengukkan muka di pintu dapur, nenek terus
menjerit dengan sekuat hatinya. Seluruh kampung dikuasai oleh suara nenek.
Datuk yang berada kira-kira tiga rantai dari rumah segera menerpa ke bahagian
dapur.
“Kenapa
muka kamu penuh dengan lumpur, pakaian basah kuyup. Kenapa Tamar?” soal datuk.
“Sayaaa…”
saya tidak dapat meneruskan kata-kata, mata saya terasa pedih dan hidung saya
bagaikan tersumbat dan saya terus bersin dengan sekuat hati. Beberapa orang
jiran tetangga segera datang ke rumah. Mereka ketawa melihat keadaan saya.
“Saya
jatuh parit tuk.”
“Kamu kena
kejar harimau?”
“Tidak.”
“Habis
kamu kena kejar jembalang?”
“Bukan
dikejar jembalang, saya diburu hantu.”
“Hantu?”
biji mata datuk terbeliak.
Bila
keadaan sudah kembali tenang. Saya ceritakan pada datuk, pada nenek dan
jiran-jiran yang datang apa yang saya alami. Kebanyakan dari mereka tidak
percaya dengan apa yang saya ceritakan. Nenek secara terang-terangan mengatakan
saya mengigau siang. Perbuatan mereka itu membuat saya jadi marah dan tidak
mahu meneruskan cerita selanjutnya. Tetapi, datuk cuba melahirkan simpatinya
pada saya.
“Itu
perkara biasa, dalam dunia ni selain dari manusia terdapat makhluk lain. Kau
tak usah takut. Barangkali makhluk itu mahu bersahabat dengan kamu,” kata
datuk.
“Satu
pengalaman yang menakutkan tuk.”
“Tak
mengapa, petang esok kau pergi lagi. Kalau kau jumpa dengannya kau ajak dia
datang ke rumah.”
“Mengarut,
tuk mengarut. Agaknya tuk tahu yang saya akan berjumpa dengan benda macam tu.
Kerana tu tuk suruh pergi seorang diri.”
Aku tak
tahu Tamar. Tapi dulu aku pernah mengalami perkara semacam tu, itu semuanya
syaitan yang cuba nak mengusik kamu.”
“Hum…”
saya mengeluh dan tunduk merenung tanah.
Nenek
tersenyum. Datuk menyuruh jiran-jiran yang datang pulang ke rumah
masing-masing.
Perlahan-lahan
saya angkat muka. Sepasang mata saya terpaku ke wajah datuk. Kegelisahan segera
bersarang dalam dada. Kurang senang rasa hati melihat senyuman datuk yang saya
rasa bagaikan menyindir diri saya.
“Tuk tak percaya
dengan apa yang saya cakapkan ni?”
“Sudahlah,
pergilah kamu mandi.”
Saya
kerutkan dahi. Dengan langkah yang longlai saya menuju ke perigi. Setiap kali
air perigi menyentuh kulit tubuh, apa yang saya alami segera terbayang dalam
kepala.
Sesungguhnya,
apa yang telah saya alami itu adalah satu pengalaman yang tidak pernah saya
duga akan terjadi dalam hidup saya. Selesai mandi saya segera pulang ke rumah.
Sebelum memijak anak tangga, dua tiga kali saya pusing ke belakang. Saya takut
dan bimbang macam ada sesuatu dekat saya.
“Cepat
naik, jangan pandang kiri kanan lagi. Jangan fikirkan perkara yang dahulu,”
terdengar suara datuk. Saya segera angkat muka. Datuk berdiri di serambi.
Hari sudah
beransur gelap. Suara burung kuang sayup-sayup kedengaran di pinggir bukit
kota. Saya menarik nafas. Kecantikan paras perempuan yang saya temui
bermain-main dalam tempurung kepala.
“Eh, kami
ni. Naik cepatlah.”
Tanpa
tangguh-tangguh lagi saya pijak anak tangga. Berhenti bila sampai anak tangga
kelima. Renung ke halaman yang sudah dikuasai cuaca senja.
“Kita
jemaah di masjid, Tamar.”
“Kenapa
kita tak sembahyang di rumah tuk?”
“Agama
Islam menggalakkan pengikutnya sembahyang berjemaah di masjid atau surau.
Sekali-sekala bolehlah kita bersembahyang jemaah di rumah. Kalau dah terlalu
kerap berjemaah di rumah, tak elok jadinya.”
“Saya
malas nak pergi tuk.”
“Ah,
jangan banyak karenah, ikut cakap aku,” bentak datuk keras. Saya tidak ada
pilihan lain lagi. Cakap datuk harus dipatuhi.
Saya masuk
ke rumah menukarkan pakaian. Amat selesa rasanya memakai seluar dan baju Melayu
warna kuning tanah liat. Datuk senyum panjang. Saya tahu kenapa datuk senyum
begitu. Bukan apa-apa kerana letak songkok saya melintang. Letak songkok segera
saya betulkan. Tanpa banyak soal jawab saya terus mengekori datuk ke masjid.
Sepanjang
jalan saya lebih banyak mengelamun. Sesekali kelihatan datuk meraba pangkal
telinga sebelah kanannya. Ada masanya datuk batuk kecil. Saya tidak tahu,
apakah batuk itu memang benar-benar terjadi atau batuk yang sengaja
dibuat-buat.
Selesai
menunaikan solat maghrib, saya dan datuk seperti orang-orang kampung yang lain
terus mengikuti tafsiran hadis. Apa yang diungkapkan oleh guru agama tersebut
semuanya tidak masuk dalam kepala saya. Fikiran saya masih memikirkan apa yang
telah saya alami petang tadi. Ada masanya, saya rasakan peristiwa itu harus
berulang dalam hidup saya. Satu ketika yang lain saya berdoa supaya peristiwa
itu jangan berulang dalam hidup ini
“Kalau
mahu dinisbahkan tentang banyaknya makhluk Allah di dunia ini, lebih kurang
begini. Para malaikat 90 peratus, para jin 9 peratus dan manusia cuma satu
peratus saja. Kalau kita boleh melihat para Malaikat dan para Jin, kita jadi
takut dan tidak boleh bergerak,” tutur guru agama. Semua biji mata dalam masjid
terbeliak, tidak jadi mengantuk.
“Allah itu
Maha Mengetahui dan Maha Kaya kerana itu para Malaikat dan para Jin tidak dapat
kita lihat dengan mata kasar. Kalau Allah menghendaki seseorang itu melihat para
Malaikat dan para Jin, perkara itu tetap akan terjadi,” tambah guru agama. Saya
terus gosok pangkal hidung beberapa kali. Datuk tumpukan seluruh perhatiannya
pada guru agama yang tertonggok di ruang tengah masjid dengan para jemaah
mengelilinginya.
“Makhluk
jin juga ada yang baik dan ada yang jahat. Kalaulah ditakdirkan kita dapat
melihat Jin, agak sukar untuk kita menentukan yang mana baik dan yang mana
jahat,” lanjut guru agama itu. pelajaran tafsir itu berlanjutan hingga
menjelang waktu Isyak.
Saya kira
setelah selesai solat Isyak, wajah guru agama tidak akan saya lihat. Begitulah
juga dengan suaranya tidak akan saya dengar. Perkiraan saya itu meleset sama
sekali. Tidak saya duga datuk mengundang guru agama itu datang ke rumah. Banyak
perkara yang datuk tanya pada guru agama itu. semuanya berkaitan dengan hukum
agama.
“Kalau
pelajaran tafsiran hadis ni dapat diadakan setiap minggu alangkah baiknya,”
datuk bersuara.
“Saya
faham, ramai para jemaah berpendapat macam awak. Mereka mahu pelajaran tafsiran
ini diadakan pada setiap minggu.”
“Soalnya,
bila diadakan dua minggu sekali, perkara yang dipelajari hampir mahu lupa
disambung pelajaran yang baru.”
“Ya, ya
saya faham. Kalau boleh saya mahu datang tiap-tiap minggu di sini. Boleh jumpa
awak selalu dan boleh makan dan tidur di sini. Tapi apa boleh buat semua jadual
sudah disusun.”
“Tak
bolehkah dirombak?”
“Tunggu
tahun depan.”
“Hum…,”
datuk seperti mengeluh. Guru agama tersenyum.
CAKAP
Dan malam
itu datuk terus bercakap-cakap dengan guru agama. Datuk terus membaca Al-Quran
di bahagian surah al-waqiah. Guru agama terus membuat tafsirannya dan
menghuraikannya dengan teliti. Datuk terus mendengar huraian terjemahan itu.
dalam waktu tertentu datuk mencatatkan ke dalam buku kecil.
Guru agama
itu juga menasihatkan datuk, kalau ada masa supaya membaca surah al-waqiah pada setiap malam, terutama setelah
menunaikan sembahyang Subuh. Menurut guru agama itu, surah tersebut surah yang
baik. Lebih-lebih lagi kalau kita sudah memahami tafsirannya. Sesekali saya
terdengar datuk dan guru agama berdebat panjang. Perdebatan mereka segera
terhenti bila mereka dapat membuat sesuatu kesimpulan.
Saya
sandarkan badan ke dinding bilik. Jari-jemari saya terus melukis sesuatu di
kertas. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini, saya begitu minat pada lukisan.
Saya mahu abadikan apa yang saya lihat ke kertas untuk dinikmati oleh orang
lain. Sambil melukis saya terus pasang telinga. Mengikuti dengan teliti apa
yang dibualkan oleh datuk dengan guru agama.
Ada
perkara yang menarik dan ada perkara yang tidak menarik jadi topik bualan datuk
dengan guru agama. Bila perkara menarik diperkatakan, saya terus jelingkan biji
mata dan mengikutinya dengan penuh minat. Kalau perkara yang membosankan saya
terus rasa mengantuk. Ketika itu saya terdengar suara kedua-duanya sayup-sayup
dan akhirnya menghilang. Dalam saat begitu, saya terus tersengguk-sengguk.
Bila
mereka bincang tentang alam ghaib, mata saya terbeliak besar. Minat saya untuk
mengikutinya bertambah ghairah. Saya tahan mata dari mengantuk. Saya bersenam
memanaskan badan. Sayang seribu kali sayang, perkara alam ghaib hanya disentuh
sambil lalu sahaja. Perkara begini amat saya kesalkan. Apakan daya, saya tidak
ada kuasa untuk menyuruh datuk dan guru agama memperkatakan perkara yang amat
saya minati. Dalam keadaan demikian, saya terus terlelap.
No comments:
Post a Comment