Sudah
seminggu Hari Raya berlalu, tapi rumah datuk tetap sibuk dengan anak cucu yang
datang berhari raya ke rumahnya, pada malam 27 likur yang lalu, datuk turut
sama memasang lampu di halaman rumah dengan anak cucu. Datuk membelikan mereka
untuk anak cucu. Datuk membelikan mercun untuk anak cucunya. Sesungguhnya,
datuk amat menyayangi semua anak cucunya memang menjadi kebiasaan dalam hidup
datuk, pada Hari Raya pertama ia akan mungumpulkan anak cucunya di anjung
rumah, makan lemang dan rendang bersama anak cucu, kemudian akan mengepalai
anak cucunya pergi ke masjid untuk sembahyang Hari Raya.
Lepas itu,
datuk akan mengajak semua anak cucunya pergi ke tanah kubur menziarahi kubur
nenek moyang yang sudah pergi, datuk pun menunjukkan kubur datuk nenek pada
anak cucu sambil menyebut keistimewaan datuk nenek masa ada hayatnya dulu.
Dalam suasana yang sibuk itu, tiba-tiba datuk menghilangkan diri. Tidak ada
siapa yang tahu ke mana datuk pergi. Bila salah seorang cucu mengesyurkan supaya
kehilangkan datuk itu dilaporkan pada pihak polis, nenek dengan tenang bersuara
:
“Usah
bimbang, ia akan balik dalam sehari dua ini.”
“Dia
berhari raya ke rumah yang lagi satu.” Jawapan nenek itu, menghilangkan
keraguan anak cucu.
Nenek pun
menceritakan pada anak cucu, sepanjang bulan puasa yang lalu, datuk tidak pergi
turun memburu, ia banyak menghabiskan masanya di kampung orang bunian, bersama
isteri barunya, setiap kali datuk pulang, ia membawa buah tangan untuk nenek
yang dibekalkan oleh orang bunian. Sebagai isteri yang setia, nenek tidak
pernah bertanya tentang isteri muda datuk. Nenek tahu, kalau ditanya dan
disoaljawab nanti datuk naik darah, akibatnya akan berlaku pertengkaran, kalau
sudah bertengkar nanti mudah masam muka. Kalau ini terjadi tentulah tidak elok.
Malu pada anak menantu dan cucu cicit. Demi menjaga kerukunan rumahtangga dan
anak menantu ada baiknya perkara itu dibiarkan. Itulah pendapat nenek. Ia
merasa bersyukur pada Tuhan, kalau datuk sihat dan boleh makan dengan baik, itu
sudah cukup, bagi nenek kalau ai kasihkan datuk sepenuh hati pun tidak ada
gunanya, satu hari, salah seorang daripada mereka akan berpisah juga atas
kehendak Allah yang maha besar.
Barang
kali esok atau lusa ia akan meninggalkan datuk, bila nyawa miliknya diambil
oleh Tuhan, begitu juga dengan datuk, tidak ada yang abadi di dunia ini
melainkan Allah yang maha bijaksana. Nenek menghitung semuanya ini, kerana itu
ia tetap bersikap tenang dan senang ke atas apa yang terjadi pada diri datuk.
Akhirnya anak cucu datuk yang berkumpul di rumah terpaksa meninggalkan rumah
datuk kerana urusan diri masing-masing. Ada yang sudah bekerja sendiri dan
tidak kurang pula yang makan gaji. Kereta yang bersusun di depan rumah datuk,
sebuah demi sebuah meninggalkan halaman rumah datuk, pulang ke tempat
masing-masing. Nenek berpeluk-peluk dengan anak cucu sambil mendoakan
keselamatan mereka semasa dalam perjalanan. Nenek berharap pada Hari Raya tahun
depan anak cucu akan kembali ke kampung.
Cuma yang
nenek terkilan hanya satu sahaja, iaitu semasa kereta anak cucunya bergerak,
datuk tidak dapat melambaikan tangan. Datuk tidak dapat memeluk anak cucu
dengan penuh mesra. Mengingatkan ini semua nenek jadi sayu, perasaannya cukup
hiba.
“Sampaikan
salam pada datuk,” kata Ahmad Zaki cucu datuk yang kedua belas. Matanya
merenung muka nenek.
“Boleh,
jangan bimbang,” nenek memberikan perngakuan. Ahmad Zaki yang lewat sekali
meninggalkan rumah datuk. Ia bertugas sebagai guru mengajar di Sekolah Menengah
Dr Burhanuddin di Taiping. Bila semua anak cucu sudah pergi, nenek kembali
dengan kerjanya membelah pokok sireh di belakang rumah, melihat ayam yang
bertelur di reban serta memetik kacang panjang. Kalau diikut kata hati, nenek
mahu sahaja mengikut salah seorang dari anak cucunya. Duduk sama mereka. Tidak
guna kalau duduk rumah sendiri sedangkan suami selalu sahaja meninggalkannya.
Bila nenek
mengkaji semula hal ini dengan sedalam-dalamnya. Ia tidak rela meninggalkan
datuk. Ia mengira semua yang terjadi atas dirinya adalah atas kehendak Tuhan yang
maha bersar. Sudah tiga jam anak cucunya pergi, tapi telinga nenek masih dapat
mendengar suara anak cucu, bagaikan terbayang tingkah kalu anak cucu di depan
matanya. Nenek tidak tahu pukul berapa anak cucunya pergi meninggalkannya yang
pasti masa anak cucunya pergi tadi matahari baru naik segalah, tapi sekarang
matahari sudahpun berada di pucuk kelapa.
Nenek
masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja ia membasuh dan memotong kacang panjang. Ia
terdengar bunyi suara kereta masuk. Nenek menerpa ke muka pintu. Ia melihat
Muhammad Hakim keluar dari kereta.
“Kenapa
ada barang tinggal ?” Tanya nenek.
“Tak ada
apa nek, kereta Ramlah berlangar dekat pekan pusing. Nenek diam. Ia tahu
cucunya itu dalam perjalanan pulang ke Johor Bharu. Ramlah bertugas sebagai
pegawai kastam.
“Apa yang
mesti kita buat ?” Nenek menyoal. Mohammad Hakim suruh nenek masuk ke dalam
keretanya untuk pergi ke Batu Gajah. Pada jiran sebelah telah ditinggalkan
pesan, bila datuk balik suruh dia pergi ke Hospital Batu Gajah. Jiran yang baik
hati itu berjanji mahu menyampaikan amanat itu.
Bagaikan
digerakkan oleh sesuatu, datuk yang sudah lama tinggal dengan isteri mudanya di
kampung bunian, teringat mahu balik. Isteri mudanya tidak menahan. Datuk pun
balik. Datuk sampai ke rumah waktu maghrib, dia tidak bertanya pada jiran
tentang nenek yang tidak ada di rumah. Selepas sembahyang, seorang jiran datang
menemuinya dan menyampaikan berita yang dipesan. Datuk menerima pesanan itu
dengan tenang.
“Terima
kasih, aku ingat lepas sembahyang Isyak aku nak pergi,” kata datuk pada jiran
yang menyampaikan pesan. Apa yang dicakapkan oleh datuk, di kotakannya, lepas
sembahyang Isyak datuk pun mengidupkan injin keretanya, kemudian datuk matikan
injin kereta itu, datuk buka bonet kereta untuk memastikan ia membawa barang
keperluan, kalau tayar keretanya bocor di tengah jalan. Datuk periksa injin
kereta,. Ia yakin keadaan keretanya cukup baik dan selamat untuk perjalanan
jauh.
Masa datuk
meninggalkan rumah, keadaan langit agak mendung, tidak ada bintang mengerdip,
tiada bulan sabit di kaki langit. Datuk terus memandu kereta Ford Anglianya
dengan tenang membelah kegelapan malam. Kereta datuk sudahpun melintasi Kampung
Buruk Bakul dan Simpang Tiga, bila masuk ke dalam kawasan Kampung Buluh Aur,
hujan mula turun dengan lebatnya,agak sukar juga datuk memandu dalam malam
hujan lebat. Ia terpaksa melarikan keretanya dengan perlahan sekali. Sesekali
datuk terbabas ke tepi jalan. Bila selisih dengan lori balak atau lori ikan
datuk terpaksa memberhentikan keretanya.
Datuk sudahpun
melalui Jambatan Nordin di Tanjung Belanja, sekarang datuk sudah memasuki Pekan
Parit hujan tidak juga beransur reda, walau apa yang terjadi datuk tetap mahu
meneruskan perjalannya ke Hospital Batu Gajah, datuk meninggalkan Pekan Parit,
datuk menggigil kesejukan, sampai di satu selekoh kereta datuk berhenti dengan
tiba-tiba, Ia cuba menghidupkan injinnya, usahanya itu tidak berjaya. Dalam
hujan yang lebat itu datuk keluarkan dari perut kereta. Datuk membuka bahagian
depan dengan lampu oicit di tangan ia meraba semua wayar yang terdapat pada
injin kereta. Badannya sudah basah. Ia menggigil.
Datuk
ingin menghidupkan kereta. Tidak berjaya. Datuk membunyikan hon, tidak
bersuara. Datuk masih juga tenang. Walaupun ia tahu, ia sekarang berada di
tempat sunyi di kiri kanannya penuh dengan hutan tebal. Kilat mula
bermaharajalela. Dari cahaya kilat itu datuk dapat memastikan bahawa diri nya
berada tidak jauh dari Bukit Berapit. Setiap kali cahaya kilat memancar ia
dapat melihat Bukit Berapit yang tertegun berdiri di kiri kanan jalan.
Hujan
terus turun. Jalanraya sudah penuh dengan air melimpah-limpah, datuk melihat
jam di tangan, sudah hampir pukul dua belas malam. Tidak ada sebuah kereta yang
melintas di situ. Datuk tetap menggigil dalam perut kereta Ford Anglia,
Tiba-tiba datuk melihat ada cahaya api dari sebelah kanan jalan. Ia mempastikan
cahaya lampu itu datangnya dari sebuah rumah.
Datuk
ambil golok, lalu diselitkan ke pinggang . Kemudian ia memutuskan untuk pergi
ke rumah yang ada cahaya lampu itu. Datuk menguncikan semua pintu kereta. Datuk
menyeberang jalan dalam hujan yang begitu lebat. Datuk masuk ke dalam satu
lorong menuju ke rumah tersebut. Sampai sahaja di kawasan rumah itu, kilat pun
memancar, datuk dapat melihat rumah itu, ialah sebuah rumah batu beringkat dua,
di halamannya penuh dengan pokok-pokok bunga yang sudah basah dengan air hujan.
Datuk
masuk ke bawah rumah lalu mengetuk pintu berulang-ulang kali. Tidak ada
jawapan. Datuk ketuk lagi. Pintu pun terkuak, seorang perempuan muda berdiri
sambil di tangannya tertatang sebuah pelita minyak tanah.
“Saya mahu
tumpang berteduh,” kata datuk.
“Begitu,
masuklah ke dalam.”
“Tak
payah, biarlah di luar sahaja.”
“Jangan
begitu masuklah.” Pelawa perempuan itu mendesak juga datuk supaya masuk ke
dalam rumah. Akhirnya datuk masuk. Ia disuruh duduk di ruang tamu. Perempuan
yang baik hati itu memberikan datuk kain pelikat dan baju Melayu. Datuk terus
memakainya. Perempuan itu juga memberikan datuk secawan kopi panas habis
dihirup, datuk terasa badannya cukup segar.
“Tinggal
seorang saja,” tanya datuk. Perempuan muda yang berambut panjang itu tersenyum,
lampu minyak tanah terlintuk liok ke kiri dan kanan ditiup angin malam.
“Emak dan
ayah saya pergi ke Bagan Serai, tengok orang sakit.”
“Suami ?”
“Saya belum
bersuami, dulu bertunang dengan askar, tapi tunang saya mati ditembak komunis
di Sungai Siput.”
“Kalau
begitu, tidak manis saya berada di rumah anak dara, malam begini,”
“Apa
salahnya, kita tidak berbuat jahat, awak datang dengan kereta awak rosak, dan
saya berkewajipan menolongnya, masa ini masa awak, nanti ada masanya saya
memerlukan pertolongan dari awak.”
“Awak
perempuan yang baik hati,”
“Usahlah
terlalu memuji,” tingkah perempuan muda.
Di luar
ruamh hujan terus menggila, petir dan kilat juga menunjukkan gagah. Angin yang
bertiup kencang menghasilkan bunyi suara daun yang berlaga sama sendiri,
sesekali terdengar bunyi dahan pokok yang sekah. Datuk terdengar bunyi lolongan
anjing sayup-sayup di luar bersama bunyi suara kucing berkelahi. Dari arah dapur
datuk terdengar bunyi pinggan dan piring berlaga, serentak dengan itu datuk
terdengar bunyi suara perempuan mengilai. Datuk tidak menyoal apa yang
didengarnya pada perempuan muda itu. Ia tetap tenang. Tentulah tidak wajar
sekali bertemu di rumah orang yang baik budi bahasa mahu menyoal hal peribadi.
Itu biadab namanya. Datuk tidak mahu, perempuan muda menuduh dia biadab.
Malam itu,
perempuan muda yang cantik, berbibir nipis, berdahi luas memberitahu datuk,
bahawa dia dan orang tuanya berasal dari Pulau Pinang dan berbangsa Cina. Masa
zaman pemerintahan Jepun mereka tinggal di Batu Gajah dan mereka sekeluarga
terus memeluk agama Islam. Bila Jepun kalah, mereka pindah ke Seputih dan
membeli rumah dan tanah yang mereka duduki sekarang ini.
Dengan
penjelasan itu, datuk senang hati. Kemudian perempuan muda itu memberikan datuk
sebuah bilik yang lengkap dengan katil dan meja serta almari.
“Bilik
untuk awak tidur di sini,” ujar perempuan muda itu, datuk melihat sebatang
lilin yang dimamah api tersedia di atas meja.
“Usah
bimbang, esok saya suruh orang baiki kereta awak,” tambah perempuan cantik itu,
“kereta awak dan awak selamat di sini.”
“Terima
kasih.” Perempuan muda itu merapatkan daun pintu bilik. Datuk terdengar
perempuan muda itu mengunci bilik dari luar. Datuk tersenyum, dan terfikir
bahawa perempuan muda itu berbuat begitu adalah untuk kebaikan dirinya, ia
bimbang datuk akan keluar mencarinya di tengah malam lalu merogolnya. Datuk
menggelengkan kepala.
“Aku tidak
sejahat itu,” kata datuk dalam hati. Ia rebahkan badan atas katil. Bila datuk
mahu merapatkan kedua belah kelopak matanya, ia terdengar bermacam-macam bunyi
di luar, ada bunyi orang berjalan, ada suara orang menangis. Datuk tidak
mengiraukannya barangkali itu cuma perasaannya sahaja. Akhirnya, datuk
terlelap, ia bermimpi ada orang kepala anjing datang padanya lalu mahu membaham
pangkal pehanya. Datuk melawan dengan sekuat hati. Dalam perlawanan itu , datuk
tewas pada orang berkepala anjing itu terus mengoyak daging peha datuk. Darah
bertaburan dalam bilik. Datuk menjerit dengan sekuat hati. Datuk pun terjaga.
Datuk
terkejut, kerana hari sudah cerah, matahari mula bersinar dan masuk ke dalam
ruang bilik. Datuk mengerutkan dahi, kerana ia mendapati dirinya cuma tidur di
atas simen di sebuah bilik yang kotor dan buruk. Tidak ada katil. Tidak ada
meja. Cuma yang ada hanya tunggul kayu dan batang pisang. Datuk keluar. Datuk
menarik nafas panjang. Rumah yang malam tadi, indah ternyata sebuah rumah buruk
yang hanya menanti masa untuk rebah ke bumi.
Di halaman
rumah penuh dengan hutan keduduk, serunai laut, pemandangan kekitar rumah itu
ama meyeramkan. Datuk mencari perempuan muda yang melayannya semala. Tidak
nampak batang hidung. Datuk pergi ke ruang tengah. Ia melihat satu cawan
sumbing yang kotor. Di dalamnya ada air hitam yang busuk. Ada dua tiga ekor
bangkai cicak yang kembung perutnya terdapat dalam cawan itu.
Datuk
mengucapkan panjang. Ia ingat malam tadi ia minum di situ. Ia yakin air itu
sudah masuk ke dalam perutnya.
“Syaitan,
aku dipermainkan oleh syaitan,” bisik batin datuk. Ia pun meninggalkan kawasan
rumah itu menuju ke jalanraya. Datuk cuba menghidupkan injin keretanya. Suara
kereta mengaum. Datuk cuba memandu dua tiga rantai ke depan. Keretanya tidak
mengalami sebarang kecelakaan. Datuk terus menuju Hospital Batu Gajah. Ia
kecewa. Ramlah yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sudah meninggal dunia.
Jenazahnya telah dibawa ke kampung malam itu juga. Datuk menceritakan kisah
yang dialaminya pada seorang pekerja di Hospital Batu Gajah.
“Begini
pak cik, rumah tu rumah tinggal anak dara tuanpunya rumah itu menggantung diri
di ruang tengah rumah tu,” beritahu pekerja itu pada datuk.
“Sebab ?”
“Dia
kecewa, kerana tunangnya berkahwin dengan orang lain.”
“Begitu ?”
suara datuk lembut.
No comments:
Post a Comment