Datuk terus membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu dari perut perahu. Batu itu dibaling pada lembaga yang terpacak dalam sungai. Bila batu itu terkena badan lelaki yang besar dan gagah. Dia segera menjerit dengan sekuat hatinya. Kemudian dia menghilangkan diri. Air sungai yang melimpah terus surut. Suasana yang cerah bertukar menjadi gelap. Saya merenung ke langit. Bintang bertaburan. Mr.Brown tidak berkata walau sepatah pun. Dia terjelepok dalam perut sampan.
“Dia sudah pergi,” kata
Datuk dan terus mengalah sampan ke hilir. Lebih kurang pukul sepuluh malam kami
sampai ke Jambatan Pengkalan Bharu. Dari situ Datuk menumpang lori ikan menuju
ke Pekan Pantai Remis. Datuk membuat laporan ke balai polis. Sarjan Ramli
menyuruh seorang pemandu kereta polis membawa Datuk ke Jambatan Pengkalan Bharu
kembali.
Dengan kereta polis kami
menghantar Mr.Brown ke banglonya. Kerana jam sudah pukul dua belas. Mr.Brown
menyuruh saya dan Datuk tidur di banglonya. Kira-kira pukul dua pagi Mr.Brown
menjerit tidak tentu arah. Dia berlari ke seluruh kawasan banglonya sambil
menjerit. Semua pekerja ladangnya menjadi gempar. Datuk dengan bantuan pekerja
ladang getah berjaya menangkap Mr.Brown. Mr.Brown terpaksa diikat di pangkal
pokok getah di depan banglonya dengan rotan seni. Dan Datuk terpaksa menjaganya
hingga ke pagi. Seorang kerani besar di ladang tersebut. Mr.Anadurai terus
menghubungi Hospital Lumut. Lebih kurang pukul sepuluh pagi sebuah ambulans
dari Hospital Lumut tiba. Mr.Brown yang masih menjerit dan mengoyak pakaiannya
dimasukkan ke dalam kereta tersebut. Dari Hospital Lumut dia dibawa ke Hospital
Besar Ipoh. Seminggu Mr.Brown duduk dalam jeriji besi di Hospital Besar Ipoh.
Lepas itu Mr.Brown
dibawa ke rumah sakit otak di Tanjung Rambutan. Tiga bulan Mr.Brown ditempatkan
di situ. Datuk tidak pernah sekali pun melawatnya. Penyakit Mr.Brown tidak juga
mahu sembuh.
“Orang putih tu tak
jujur,” Datuk mengadu pada saya.
“Kenapa tok kata macam
tu ?”
“Aku yakin dia tak
jujur,” suara Datuk merendah. Saya bertambah bingung kerana Datuk tidak
menerangkan apakah maksudnya dengan perkataan tidak jujur itu. Dan saya tidak
mahu menyoal lebih lanjut tentang perkara tersebut. Datuk nampak resah saja
sepanjang hari itu. Semua kerja yang dibuatnya terganggu. Dia asyik mahu marah
saja, kalau saya membunyikan radio agak kuat.
“Aku mahu ke rumah orang
putih bangsat tu, memanglah orang-orang dari England ni, satu bangsa yang tak
boleh dipercayai, di depan kita bukan main baik, belakang kita jadi pengkhianat
pada diri kita sendiri,” Datuk merungut panjang. Dia pun mengenakan seluar
hitam dan baju merah ke badannya.
“Buat apa Datuk ke rumah
dia ?” Dia bukan ada.”
“Kau mana tau, ini
urusan aku.” Datuk memijak anak tangga turun dan mengambil basikal di bawah
rumah. Dengan basikal dia pergi rumah besar Mr.Brown. Lebih kurang pukul lima
petang Datuk pun pulang. Saya melihat dia membawa satu bungkusan kecil di
pelantar basikalnya. Sebaik saja Datuk menongkat basikal saya terus
menghampirinya.
“Jangan pegang bungkusan
tu.”
“Apa bendanya tok ?”
“Tanah yang diambil Mat
Salleh bangsat tu, di tempat puaka disembunyikan dalam beg.”
“Tok nak buat apa dengan
tanah itu.”
“Aku nak pulangkan
balik, kalau tak dipulangkan kita kena petakanya.
Mendengar cakap Datuk
itu, fahamlah saya kenapa dia menuduh Mr.Brown tidak jujur. Dan malam itu saya
menemani Datuk menghanyutkan tanah di sungai. Datuk meletakkan tanah segumpal
itu di atas upih pinang, kemudian dihanyutkan. Masa Datuk melakukan semuanya
itu, dia tidak bercakap atau bersuara cuma lulutnya saja yang kelihatan
kumat-kumit membaca sesuatu.
Seminggu selepas Datuk
menghanyutkan tanah puaka itu. Datuk mendapat berita dari kerani besar ladang
getah yang Mr.Brown telah meninggal dunia. Mayatnya telah pun dihantar ke England.
Tempat Mr.Brown segera diganti oleh J.Mackintos dari Singapura, tetapi yang
anehnya pengurus baru itu tidak berani duduk di banglo. Setiap kali dia tidur
di banglo tersebut. Dia selalu saja diganggu oleh satu lembaga yang menyerupai
Mr.Brown. Kadang-kadang pengurus baru itu diangkat dari bilik tidur ke ruang
dapur. Ada kalanya dicampakkan ke tengah halaman banglo. Jadi, banglo besar
yang serba lengkap terbiar. Dalam tahun 1960 banglo besar itu dibakar oleh
seorang pekerja ladang getah yang naik darah kerana setiap malam dia terdengar
bunyi orang menangis dalam banglo tersebut. Sebaik saja banglo itu hangus di
makan api. Pekerja itu mati ditimpa oleh salah satu tiang dari dalam banglo itu
hingga kini masih wujud. Penuh dengan pokok-pokok hutan.
Semua peristiwa itu
dijadikan Datuk sebagai pengajaran. Dia selalu mengingatkan saya begini :
Lakukan semua pekerjaan atau apa saja dengan rasa tanggung jawab dan jujur.
Kerana kejujuran adalah harga diri manusia yang tidak ternilai. Terlalu sedikit
manusia yang tidak jujur pada diri sendiri, pada janji dan sebagainya, bila kau
menjadikan kejujuran itu panduan hidup, engkau akan merasa kebahagiaannya.
Saya cuma anggukkan
kepala sahaja bila mendengar dia berkata begitu. Beberapa bulan berselang,
Datuk menyatakan hasratnya untuk pergi ke Kampung Sadang untuk memikat burung
waktu malam. Saya tidak tahu bagaimana Datuk teringatkan hal itu. Pada fikiran
saya dia sudah tentu melupakannya. Sebenarnya, saya sudah memutuskan dalam
hati, bahawa saya tidak akan menurut bersama Datuk pergi ke tempat tersebut.
“Minggu depan, petang
Jumaat aku nak pergi,” Datuk mengingatkan saya.
“Baguslah tu tok,
barang-barang yang dulu semuanya ada di dalam bilik.”
“Kau bagaimana ? Tak
mahu ikut sama ?” tanya Datuk.
“Saya malaslah Datuk.”
Datuk puas hati dengan jawapan saya itu. Sementara menanti petang Jumaat, Datuk
hanya duduk di rumah saja. Kadang-kadang dia menjenguk bini mudanya di kampung
bunian. Pada suatu petang. Selepas Datuk menemui isteri mudanya, dia memanggil
saya. Cepat-cepat saya menghampirinya. Datuk duduk terjuntai kaki di kepala
tangga.
“Ada apa Datuk ?”
“Dua tiga hari ni, aku
selalu teringatkan adik bongsu aku yang duduk di Hulu Kuang, agaknya dia
sakit.”
“Habis Datuk nak pergi
ke sana ?”
“Hajat tu memanglah
begitu.”
“Kata Datuk, Datuk nak
pergi ke Kampung Sadang.”
“Itu tak mustahak yang
penting adik beradik.” Saya terdiam mendengar cakap Datuk itu. Saya segera
teringat, kali terakhir saya bertemu dengan adik bongsu Datuk yang saya panggil
ayah Ngah itu, dalam tahun 1947. Lepas itu saya tak pernah bertemu dengannya
lagi, terlalu sukar untuk pergi ke Hulu Kuang. Tidak ada kenderaan yang boleh
sampai ke sana. Lagipun kawasan itu termasuk dalam kawasan hitam, (sekarang
sudah ada jalan raya dan kenderaan yang berulang-alik dari Chemor ke Hulu
Kuang) kerana hal-hal itu saya dan Datuk terpisah dengan keluarga.
Petang itu juga kami
bertolak dari rumah Datuk ke Ipoh dengan naiki bas. Dari Ipoh kami menyewa
teksi pergi ke Chemor. Sampai ke Chemor sudah pukul enam petang. Kami tidak
dibenarkan masuk ke Hulu Kuang, kerana kawasan itu terlibat dengan perintah
berkurung dari jam enam petang hingga enam pagi.
Datuk terus melaporkan
dirinya ke Balai Polis Chemor kerana kami membuat keputusan untuk tidur di
masjid Chemor. Sesudah memberikan butir-butir mengenai diri kami kepada pihak
polis, kami dibenarkan tidur di masjid tersebut. Sesudah menunaikan sembahyang
Isyak, saya terus baring di bucu masjid. Datuk baring dekat tiang. Akhirnya
saya terlena. Lebih kurang pukul dua malam, Datuk mengejutkan saya.
“Bangun kita pergi ke
Hulu Kuang.”
“Macam mana nak pergi,
nanti kita kena tangkap atau ditembak askar.”
“Kau ni banyak cakap
pula, bangun sajalah,” suara Datuk keras.
Dia menarik tangan saya
hingga terduduk. Saya terus kesat mata dengan belakang tangan. Datuk menyuruh
saya berdiri di muka pintu masjid. Perintahnya saya ikuti.
“Sebentar lagi dia
datang,” Datuk beritahu saya.
“Apa yang datang tok ?”
tanya saya ingin tahu.
“Kau jangan banyak
cakap,” Datuk menyergah saya.
Mukanya kelihatan
bengis. Masa itu Datuk sudah pun mengenakan baju hitam, seluar hitam di badan.
Kepalanya juga dililit dengan kain hitam. Dalam hati kecil saya timbul keraguan
tentang diri Datuk. Saya mengira dia ada hubungan dengan pengganas komunis.
Kalau tidak masakan dia berani berjalan malam waktu zaman darurat.
“Ke tepi,” Datuk menolak
badan saya yang tercegat di muka pintu masjid. Saya tersungkur atas lantai.
Datuk menampar tangan kanannya ke pangkal paha kanannya dengan sekuat hati. Dia
melemparkan tujuh biji batu bertih ke tengah laman masjid. Kemudian Datuk
menekan ibu jari kanannya ke tapak tangan kiri tujuh kali berturut-turut.
Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara harimau mengaum. Cukup kuat. Kepala lutut
saya menggeletar. Dengan tiba-tiba sahaja saya rebah atas lantai masjid dan
tidak berdaya bangun. Seekor harimau belang yang cukup besar muncul di depan
halaman masjid sambil menguit-guitkan ekornya.
“Makanlah kau lapar,”
suara Datuk keras. Saya lihat harimau itu terus memakan tujuh biji bertih. Bila
harimau itu selesai makan. Datuk segera merapatinya. Datuk menggosok-gosok
kepala harimau itu dengan tangannya. Dan lidah harimau yang panjang itu
menjilat pipi dan hidung Datuk. Harimau itu berguling-guling atas tanah sambil
kakinya menampar seluruh badan Datuk. Datuk menggosok perut harimau itu. Datuk
mengira kuku di jari harimau. Datuk bermain-main dengan harimau macam bermain
dengan anak kucing. Akhirnya Datuk menepuk dahi harimau tujuh kali dengan
tangan kiri. Harimau pula menjilat telinga kanan Datuk tujuh kali.
“Bangun, kau dah
kenyang.” Mendengar cakap Datuk itu , harimau besar segera bangun sambil
menguap. Saya bertambah ngeri melihat giginya yang tajam dan putih. Harimau itu
mengaum lagi. Datuk memanggil saya. Saya cuba bangun tapi saya tidak berdaya.
Tempurung lutut saya terasa longgar. Datuk terus menarik tangan saya. Saya
diheret hingga ke depan harimau besar.
“Ini cucu aku,” Datuk
memberitahu harimau besar. Saya lihat sepasang mata harimau itu merenung ganas
ke wajah Datuk. Datuk berdeham tiga kali berturut-turut. Harimau itu
melunjurkan kaki depannya. Badannya direndahkan. Datuk mengangkat badan saya
lalu diletakannya di pangkal tengkuk harimau berbadan besar serta berbelang
tebal. Saya rasa nyawa saya sudah melayang dari badan. Badan saya jadi lembik.
Saya tidak boleh duduk tegak. Dada dan muka saya terhempap atas batang leher
harimau.
Bulu harimau yang kasar
dan keras itu mencucuk batang hidung dan pipi saya. Bila harimau itu
mengerak-gerak badannya saya juga ikut bergerak.
“Peluk tengkuknya
kuat-kuat,” Datuk mengingatkan saya.
Antara sedar dengan
tidak saya lihat Datuk terus naik atas belakang harimau. Harimau besar itu
segera menegakkan badannya. Datuk terus menepuk-nepuk punggung harimau, macam gembala
lembu menepuk punggung lembu.
“Ke Hulu Kuang,” saya
terdengar suara Datuk. Serentak dengan itu harimau pun melangkah. Saya rasa
harimau itu berjalan bagaikan tidak jejak ke bumi. Melayang-layang di udara
membelah pekan Chemor melintasi jambatan keretapi. Terus menghala ke kampung
Cik Zainal serta melintasi kawasan Kampung Baru Tanah Hitam. Saya nampak
tentera berjaga dengan senjata di tangan. Semuanya tidak memandang ke arah
kami. Kerana terlalu laju harimau itu bergerak. Badan saya terasa sejuk. Belum
selesai saya menghitung dari satu sampai ke sepuluh. Harimau itu sudah pun tiba
di kaki tangga rumah adik bongsu Datuk. Hari masih gelap lagi. Kokok ayam masih
kedengaran. Datuk menurunkan saya dari belakang harimau.
Sebelum harimau
meninggalkan kami, Datuk memberi harimau itu makan tujuh biji bertih. Saya
tidak tahu dari mana bertih itu diperolehi oleh Datuk. Selesai saja harimau itu
memakan bertih. Lagi sekali Datuk menepuk-nepuk dahi harimau. Datuk membisikkan
sesuatu ke telinga harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang
diucapkan oleh Datuk kerana telinganya bergerak-gerak.
“Balik ke rumah kita
jaga kampung serta tanah ladang kita,” suara Datuk meninggi. Harimau itu
menguap panjang. Dengan sekelip mata saja harimau besar hilang dari pandangan
saya. Datuk tidak segera mengejutkan adik bongsunya. Menurut Datuk pantang
besar kalau kita menunggang harimau mengejutkan tuan rumah yang kita pergi
sebelum tuan rumah itu terjaga. Adik bongsu Datuk terkejut , bila dia membuka
pintu rumah pagi itu didapatinya kami duduk di kaki tangga. Dia mengucap
panjang dan merasa takjub bagaimana kami boleh sampai pagi ke tempatnya
sedangkan perintah berkurung berakhir pada jam enam pagi. Dia terus menyoal
Datuk bagaimana kami boleh sampai terlalu awal. Pertanyaan atau soalan itu
tidak dijawab oleh Datuk. Datuk mengubah tajuk perbualan pada perkara lain.
Sambil minum kopi pagi,
adik bongsu Datuk menceritakan keadaan kampung Hulu Kuang sambil bertanya
khabar hal nenek serta anak cucu Datuk. Perbualan Datuk dengan adik bongsunya
sungguh rancak pagi itu. Saya tidak banyak campur dalam perbualan mereka. Saya
lebih senang berdiri di muka tingkap melihat daun-daun pokok yang menghijau
serta puncak gunung yang diselimuti kabus nipis.
“Kau sakit, aku nampak
kau kurus sangat ni,” saya terdengar suara Datuk. Saya segera menoleh ke
belakang. Saya lihat Datuk sedang memerhati tubuh adik bongsunya yang cengkung
dan kurus.
“Saya baru baik dari
demam, dan tu kena berjaga malam pula,” jawab adik bongsu Datuk.
“Hai, musim darurat pun
kena berjaga malam ?”
“Berjaga dalam rumah ?”
sahut isteri adik bongsu Datuk dari dapur. Saya tertarik hati dengan perbualan
itu. Memaksa saya duduk di sebelah Datuk. Datuk saya lihat mengerutkan
keningnya.
“Kenapa pula tu. Ada
pencuri ke ?” Pertanyaan itu tidak dijawab oleh adik bongsu Datuk dan
isterinya. Mereka kelihatan resah dan tidak menentu.
“Apa halnya cakap. Kalau
boleh aku tolong, aku berusaha menolong kalau tak boleh kita cari orang lain
untuk menolongnya,” Datuk memberi sebuah harapan. Isteri adik bongsu Datuk
tersenyum. Adik bongsu Datuk termenung panjang.
“Susah orang nak
menolongnya,” begitu hampa nada suara adik bongsu Datuk.
“Susah macam mana ?”
tanya Datuk.
“Kerja iblis.”
“Kita lawan cara iblis.”
“Begini, di kampung ni
ada toyol jadi-jadian , sekejap menjelma jadi kucing, sekejap jadi tikus.” Adik
bongsu Datuk menerangkan sambil merenung ke kiri kanan. Datuk terdiam. Lama
juga Datuk termenung. Datuk bangun berdiri di muka pintu. Tangan kanannya
memaut jenang pintu. Datuk duduk kembali. “biasanya toyol jadi-jadian ni, ada
orang yang membelanya. Dia mesti sepasang ada jantan betinanya. Rumah kau ada
dia masuk ?”
“Ada, dia menyerupai
kucing hitam, bila terserempak dengan kami dia menghilangkan diri.” Dengan
penerangan adik bongsunya itu Datuk dapat menduga bahawa toyol jadi-jadian itu
masih belum mempunyai pasangan lagi.
Dan orang yang membela
akan berusaha mencari pasangannya. Datuk memberitahu adik bongsunya, perkara
itu boleh diatasi atau dilenyapkan terus dengan syarat dia harus tinggal di
Hulu Kuang agak lama sedikit. Untuk mencari tuan punya
toyol jadi-jadian itu memakan masa. Memerlukan beberapa syarat yang tertentu.
“Kerjanya sulit, tapi
harapan masih ada kerana tuan punya masih mencari pasangannya lagi,” jelas Datuk
dengan tenang.
“Macam mana caranya ?”
soal isteri adik bongsu Datuk. Mendengarkan pertanyaan itu Datuk tersenyum
panjang sambil memicit pangkal dagu.
“Kita
tunggu kalau ada perempuan mati beranak sulung, baru senang menangkap tuannya.
” Cakap Datuk itu membuat adik bongsu Datuk dan
isterinya berpandangan.
Dalam kepala isteri adik
bongsu Datuk mula terbayang tentang perempuan-perempuan di Kampung Hulu Kuang
yang mengandung anak sulung. Ada lima orang semuanya. Atas persetujuan
orang-orang Kampung Hulu Kuang Datuk diminta duduk di kampung tersebut selama
dua bulan untuk menghalau toyol jadi-jadian yang mengganggu kampung mereka.
Nasib Datuk dan saya agak baik, baru tiga minggu di Hulu Kuang, terdengar salah
seorang daripada penduduk kampung itu meninggal dunia ketika melahirkan anak
sulung. Anak dan ibu mati serentak. Datuk pergi ke rumah keluarga yang malang
itu, Datuk turut sama menghantar jenazah ibu dan anak itu ke tanah kubur.
Tetapi, sebaik sahaja
Datuk pulang dari tanah kubur. Datuk tidak dapat tidur sepanjang malam.
Dia didatangi dengan
berbagai-bagai mimpi yang ngeri dan menakutkan. Datuk membuka kertas firasat
yang dibawanya. Waktu dia membaca firasat itulah Datuk terdengar suara
perempuan memujuk anak yang menangis di bawah rumah. Datuk membuka pintu, Datuk
melihat satu cahaya berekor panjang naik ke udara dari tanah perkuburan.
Datuk pun mengejutkan
saya.
No comments:
Post a Comment