Bulan di
langit mula dilitupi awan. Angin kian keras bertiup. Bunyi dedaun yang
bergeseran sama sendiri amat menakutkan. Dan datuk terus melangkah dengan
tenang. Api yang memakan daun kelapa, sekerap marak, sekejap suram.
“Kenapa
kita ikut sini tok ?” tanya saya. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh datuk,
bunga-bunga api dari andang daun kelapa jatuh atas bumi. Saya tidak tahu kenapa
datuk ikut jalan ini. Kenapa dia tidak mahu ikut jalan biasa yang mudah dan
senang. Tidak perlu melintas tanah sawah yang luas terbentang.
Saya yang
memakai baju Melayu cekak musang terpaksa mengulung lengan baju hingga ke siku,
kasut getah dan hujung seluar hitam saya mula basah diresapi oleh aori embun.
Langkah datuk terus lancar. Andang kelapa diangkatnya tinggi-tinggi.
“Kita
patah balik ikut jalan lain tok,” saya mengemukakan cadangan. Datuk berhenti.
Dia cacakkan andang daun kelapa tepi batas. Datuk membuang pacat yang singgah
di kaki seluarnya.
“kenapa
mesti patah balik, ikut sini dekat,” datuk cabut andang daun kelapa. Saya diam.
Cakapnya
tidak boleh dibantah. Saya melangkah dengan hati-hati. Silap langkah nanti
jatuh ke dalam sawah. Cahaya dari andang daun kelapa menerangi rumpun-rumpun
padi yang baru pecah anak, sesekali terdengar bunyi haruan melompat dalam air
sawah menangkap anak. Suara burung hantu dan jampuk saling tingkah meningkah.
Bulan sudah tidak mengeluarkan sinarnya. Awan telah kelindungi permukaan bulan.
Suara lolongan anjing kian bertambah keras. Daun-daun dari pokok besar yang
memagari batas sebelah kanan tetap bergerak hebat. Angin malam cukup keras
bertiup. Badan saya rasa cukup dingin.
“Lagi
cepat kita sampai, lagi baik,” suara datuk parau. Dia menoleh ke arah saya.
“Saya
sejuk tok, jauh lagi ke ?”
“Ah, kejap
lagi sampailah, sekarang kau jalan dulu, biar aku ikut kau dari belakang.” Itu
perintah datuk. Badan saya jadi mengeletar, macam-macam perkara buruk datang
dalam hati saya.
“Tok jalan
dulu, saya tak tahu jalan,” saya berdalih.
“Kau tak
tahu, atau pun kau takut ?” Datuk ketawa. Dia memaksa saya jalan dulu. Saya
tidak ada pilihan lain. Saya menurut perintahnya. Saya dan datuk sampai di
sebuah taliair. Datuk menyuruh saya ke belakang. Lama juga dia berhenti di tepi
taliair itu sambil merenung pada air yang mengalir.
“Jalan ke
depan lagi, di sana ada titi tak payah kita melompat,” ucap datuk dengan
tenang. Kami mara ke depan. Berhenti di bawah pokok mempelam telur yang berdaun
lebat. Cakap datuk memang tepat, di pangkal pokok mempelam telur terdapat titi
batang pinang. Kami menyeberang dengan selamat, dari situ kami mendaki bukit
kecil yang penuh dengan pokok pisang hutan, selesai mendaki bukit itu , kami
berhadapan dengan sebatang jalan tanah merah ynag lebarnya kira-kira dau kaki.
“Ikut
jalan ini ke utara,” ujar datuk sambil meraba ulu golok peraknya. Saya
anggukkan kepala dua tiga kali. Berjalanlah saya dengan datuk, suara burung
hantu terus juga menyumbat lubang telinga. Kami melintasi sebuah tanah
perkuburan. Dari sinar api andang daun kelapa itu, saya melihat batu-batu nisan
terpacak dengan gagahnya. Suara burung hantu kian kuat. Suara salakkan anjing
kian dekat terdengar. Pokok-pokok puding dan pokok-pokok kecil lain yang
berhampiran dengan tanah kubur saya lihat bergerak-gerak, bagaikan ada benda
yang menggoncangnya.
Awan tebal
yang melindungi bulan mula beredar, dan sinar bulan mula menerangi sebahagian
dari jalan yang kami lalui, tiba-tiba awan tebal datang kembali menutup bulan
dan andang kelapa yang saya bawa pun padam. Datuk berhenti, dia membakar andang
kelapa yang baru, memang datuk membawa dua tiga andang daun kelapa untuk
digunakan dalam satu-satu keadaan yang tertentu.
“Jalan
cepat sikit, aku rasa tak berapa sedap hati di sini,” datuk menyuarakan suara
hatinya. Saya diam.
“Langkah
panjang sikit,”tambah datuk lagi. Saya hanya boleh anggukkan kepala sahaja.
Tidak lebih dari itu. Angin malam yang bertiup menjatuhkan dedaun tua dan
ranting-ranting, berderup-derup bunyinya, bagaikan orang mematah kayu kering.
Saya mula terasa cemas, tapi saya tidak menyatakan hal pada datuk.
Saya dan
datuk jalan dan terus berjalan, matlamat kami mahu sampai ke rumah Anjang
Dollah dengan secepat mungkin. Barangkali Anjang Dollah sudah bersila di muka
pintu menanti kedatangan kami, agaknya Anjang Dollah sudah menyediakan semua
barang yang digunakannya untuk kami, fikir saya dalam hati.
Tanah
perkuburan tua agak jauh kami tinggalkan. Dada saya terasa lapang, tapi batin
saya terus menyumpah seranah suara burung hantu yang seakan-akan mengikuti
langkah kami. Datuk berhenti berjalan.
“Siapa
tu,” suaranya perlahan. Saya merenung ke depan. Saya terpandangkan benda putih
berjalan terhincut-hincut di depan datuk dan saya, kerana bulan dilitupi awan
tebal dan cahaya dari andang datuk tidak menyala dengan baiknya, saya tidak
dapat melihat dengan jelas benda tersebut.
“Barangkali
ada orang nak lalu,” datuk bersuara tenang. Saya juga sependapat dengan datuk.
Suara burng hantu dan jampuk bertambah galak. Salakkan anjing bertalu-talu,
sayup-sayup dan memanjang pula, bagaikan orang menangis di malam sepi. Benda
putih terus menghampiri kami, bila datuk mahu menegurnya, benda putih tersebut
itupun hilang. Entah ke mana. Saya tidak dapat mempastikan apakah dia masuk ke
dalam hutan pokok pisang di kanan, atau masuk ke dalam belukar di kiri jalan.
Benda putih itu menjelma di depan kami lagi.
“Bukannya
manusia,” datuk membisik ke telinga saya. Serentak dengan itu dia memadam api
andang daun kelapa.
“Kita ke
tepi, biarkan dia lalu,” perintah datuk. Saya patuh pada arahan datuk. Kami
berdiri di balik pokok getah besar. Benda putih itu melintas di depan kami.
Saya tidak dapat melihat bentuk mukanya. Apa yang saya lihat pada benda putih
itu berjalan tanpa kaki, tidak mempunyai kepala. Berjalan menuju ke kawasan
tanah perkuburan, saya dan datuk melihat Anjang Dollah datang membawa cangkul.
“Apa ni
tok,” tanya saya pada datuk.
“Kau diam,
kau ikut saya apa yang aku buat,”
“Baik
tok,” saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Datuk melangkah ke jalan tanah merah.
Dia menarik tangan saya mengikuti langkah Anjang Dollah menuju ke kawasan
perkuburan. Saya menurut sahaja. Dua tiga kali saya tersungkur kerana
tersepakkan batu-batu nisan. Datuk berhenti.Saya mendongak ke langit, awan
tebal sudah berlalu dari sisi bulan. Dengan pertolongan sinar bulan enam belas,
kami dapat apa yang dilakukan oleh Anjang Dollah. Dia sedang mencangkul tanah
perkubur. Benda putih duduk dekat batu nisan.
Anjang
Dollah dapat menyelesaikan semua tugas-tugas dalam masa kurang lebih empat
puluh lima minit. Seluruh badannya dibasahi peluh, nampak berminyak-minyak
ditampar sinar rambulan enam belas. Dia duduk di pangkal pokok cempedak.
Kemudian dia berkata pada kawannya yang nampak putih itu. Benda putih tanpa
kepala dan kakai itu, bagaikan terawang-awangan, bergerak dan berhenti di depan
Anjang Dollah.
“Hai
sahabatku, tunggu di sini, biarkan aku ambil kain kapan dan rambut perempuan,
kemudian kau bawa barang-barang itu pulang ke rumah kita kau tunggu aku di
sana, aku tak boleh balik bersama, kerana banyak kerja yang mahu aku
selesaikan,” itulah yang dicakapkan oleh Anjang Dollah pada sahabatnya.
Anjang
Dollah terjun ke dalam kubur. Dia mengambil kain kapan orang mati beranak dan
rambut. Lama juga Anjang Dollah berada di dalam lubang kubur. Benda putih tanpa
kepala dan kaki berlegar-legar di tepi kubur. Kadang-kadang dia nampak bagaikan
duduk di akar pokok cempedak. Suara burung hantu kian gamat. Suara jampuk
bersahut-sahutan. Lolong anjing tingkah meningkah. Suara dahan kayu berlaga
sama sendiri jelas kedengaran di rempuh angin malam. Ranting tua dan daun tua
gugur ke bumi.
Saya
bagaikan terdengar bunyi orang berjalan di belakang. Bila ditoleh , tidak ada
apa-apa. Saya bagaikan terdengar bunyi burung terbang di atas kepala. Bila
diperhatikan tidak ada apa-apa. Bulu tengkok saya berdiri tegak. Macam-macam
perkara aneh saya rasakan. Saya rapat pada datuk yang duduk tenang. Mulunya
membaca sesuatu, saya sendiri tidak tahu apa yang dibaca olehnya.
“Kau
ingat, tidak ada benda yang berkuasa di dunia ini, selain daripada Allah yang
maha besar, dan tiada manusia yang boleh melawan kekuasaannya. Ingatkan Allah
yang maha besar,” datuk memberitahu saya, bila dilihatnya saya mengeletar
sendirian.
“Kau lihat
di depan,” datuk menajamkan mulutnya ke arah kubur yang digali oleh Anjang
Dollah. Saya merenung ke depan. Saya lihat benda putih tanpa kepala dan kaki
itu terjun ke dalam kubur. Saya terdengar bunyi suara Anjang Dollah terpekik
dalam kubur, tanah kubur berterbangan ke udara, serentak dengan itu juga saya
dengar suara mengaum macam suara harimau dari dalam kubur.
Suara
jeritan Anjang Dollah beransur lemah. Tanpa dapat ditahan datuk meluru ke tanah
kubur. Datuk mahu menolong Anjang Dollah, dia mengambil sepotong kayu, lalu
memukul benda putih yang keluar dari lubang kubur. Setiap kali datuk memukulnya,
benda itu tidak melawan, malah dia mengelak, akhirnya ghaib dari kawasan
perkuburan. Datuk memanggil saya, waktu saya mahu sampai dekat datuk, saya rasa
pangkal seluar saya basah. Sesungguhnya, saya tidak sedar waktu bila saya
terkencing dalam seluar. Datuk suruh saya membakar andang daun kelapa. Saya
patuh dengan cakapnya. Bila andang daun kelapa sudah terbakar. Kawasan sekitar
tanah kubur yang digali oleh Anjang Dollah terang.
“Kau lihat
,” datuk menuding jari kelingkingnya ke dalam lubang kubur. Lubang kubur saya
jenguk. Anjang Dollah terbaring di dalamnya. Seluruh mukanya berdarah. Di
sebelahnya terdapat mayat seorang perempuan, kepalanya sudah terpisah dengan
badan. Kain kapannya sudah koyak dan berdarah.
“Perbuatan
yang dikutuki oleh Allah, perbuatan sesat yang terpisah dari ajaran agama, cuma
orang yang tidak beriman dan tidak percayakan Allah saja yang berani membuat
kerja sial ini,” datuk merungut panjang. Saya renung muka datuk. Wajahnya penuh
kesal. Memang, di luar dugaan datuk, bahawa pawang Anjang Dollah boleh membuat
kerja yang tidak direlakan oleh agama Islam.
“Apa yang
patut kita buat datuk,” saya menyoal datuk. Lama juga datuk termenung di situ.
Saya tidak tahu apa yang difikirkannya.
“Sebagai
orang Islam, Anjang Dollah tidak boleh dibiarkan begini, dia harus dimandikan,
dikapan dan ditanam serta dibacakan talkin,” terang datuk.
“Siapa
yang mahu menguruskan semuanya ini.”
“Siapa
lagi, kita yang mesti menyelesaikannya,” datuk bersuara tegas.
“Dia
membuat kerja yang silap, biarkan dia di situ,” bantah saya. Datuk senyum.
Suara burung hantu dan jampok terus bersahut-sahutan, tapi suara salakkan
anjing sudah tidak ada lagi. Bunyi dahan jatuh masih kedengaran.
“Kau
silap, kita tahu dia memang beragama Islam, soal dia membuat kerja yang tidak
baik tu, soal dia dengan Tuhan,” datuk memberitahu saya. Datuk membuat
keputusan yang tepat. Dia mahu memberitahu pada seluruh penduduk tentang
peristiwa yang menimpa diri Anjang Dollah. Dia mahu menghebahkan hal itu ke
seluruh kampung. Datuk juga mengharap pada sesiapa yang mengambil ilmu salah
atau yang berguru dengan Anjang Dollah supaya bertaubat dan membuangkan semua
ilmu itu untuk kembali ke jalan Allah.
Saya
merenung ke dalam kubur kembali. Saya lihat mayat perempuan mati beranak itu
masih berdarah, saya kira perempuan itu tentu sahaja baru ditanam. Hal itu saya
tanyakan pada datuk.
“Agaknya
dia mati semalam,” kata datuk.
Dia
menarik tangan saya keluar dari kawasan perkuburan. Kami berpatah balik menuju
ke kampung. Bila sampai di kampung nanti, datuk mahu melapurkan perkara itu
kepada penghulu. Kami kembali meredah tanah sawah yang luas terbentang. Kali
ini saya tidak mahu berjauhan dengan datuk. Datuk tahu perasaan hati saya. Dia
menyuruh saya memegang painggang seluarnya.
Sebaik
sahaja kami sampai di gigi kampung, saya dan datuk terserempak dengan Imam
Hamid. Dia agak terkejut bila kami nyatakan yang kami baru sahaja kembali dari
tanah kubur.
“Apa
halnya,” tanya Imam Hamid.
“Panjang
ceritanya dan Pak Imam ni dari mana,” soal datuk.
Imam Hamid
terdiam. Kemudian dia memberitahu kami, bahawa dia juga mahu pergi ke kubur.
“Apa
sebabnya,” datuk mengemukakan soalan. Imam Hamid diam sejenak.
“Anak aku
Sepinah mati beranak, dah ditanam pun pagi semalam.”
“Kami tak
tahu,” jawab datuk.
“Silap
aku, aku mahu menanamnya cepat, tiba-tiba malam ini hati aku teringatkan dia,
aku bimbang kuburnya dikorek orang, kau sendiri tahulah sekarang, kubur
perempuan mati beranak suka sangat digali orang,” terang Imam Hamid.
Mendengar
cakap Imam Hamid itu, wajah datuk segera berubah. Dia mula ragu dengan apa yang
dituturkan oleh Imam Hamid. Jauh dalam hati datuk, timbul satu pertanyaan
apakah Imam Hamid bersubahat dengan Anjang Dollah dalam perkara ini ? Datuk
terus menepuk bahu Imam Hamid dalam mengajak dia pulang. Imam Hamid keberatan.
Datuk terus memujuk. Ada sesuatu yang mahu disoal oleh datuk pada Imam Hamid.
Kalaulah Imam Hamid membuat kerja terlarang, dia mahu memujuknya supaya kembali
ke jalan Allah.
“Ke rumah
saya saja malam ini, ada hal yang mahu saya tanya pada Pak Imam,” kata datuk.
Mendengar cakap datuk itu muka Imam Hamid berubah menjadi pucat.
No comments:
Post a Comment