Datuk amat merahsiakan peristiwa yang terjadi pada dirinya pada anak cucu. Pada orang lain perkara itu bukan rahsia bagi datuk. Dia boleh menceritakan peristiwa itu dari A sampai Z . Biasanya, perkara itu cuma sekali sahaja datuk mahu menceritakannya. Kalau ada orang minta datuk bercerita bagi kali yang kedua, datuk akan marah.
“Aku bukan
tukang cerita,” katanya. Dan ada orang yang tidak percaya dengan apa yang
terjadi pada diri datuk. Malah, ada yang mengatakan datuk cuma mengadakan
cerita itu untuk tujuan bersuka-suka pada sebelah petang, bila datuk tidak
berburu. Datuk tidak marah dengan tuduhan yang dilemparkan oleh kawan-kawan
pada dirinya. Cukup mudah bagi datuk menjawab cabaran itu dengan berkata :
“Mari ikut
aku atau biar aku hantarkan kalian ke tempat tersebut dan kalian lihat nanti,
apa yang akan terjadi.” Anehnya, tidak ada seorang pun dari kalangan
kawan-kawan datuk yang mahu menjawab cabaran itu. Akhirnya, cerita datuk
bertemu dengan perempuan cantik dan bermalam di rumahnya, merupakan satu
lagenda yang jadi buah mulut orang-orang setempat. Sekarang, cerita itu tidak
lagi diperkatakan oleh orang.
Dua bulan
berselang sesudah peristiwa itu., datuk telah diserang penyakit, seluruh badannya
sakit dan bengkak-bengkak. Anak cucu membawa datuk ke klinik kerajaan dan
swasta, tapi sakit datuk tidak juga mahu hilang. Bila anak cucu mengambil
keputusan untuk menghantarnya ke Rumah Sakit Lumut atau Batu Gajah, bagi
mendapatkan rawatan yang sempurna, datuk membantah dengan alasan, dia tidak
suka duduk di hospital. Tidak ada seorang cucu datuk yang berani memaksa datuk
untuk tinggal di hospital. Jadi datuk terpaksa dirawat secara kampung. Semua
dukun dan bomoh yang terkenal dipanggil untuk merawatnya. Sakit nya tidak juga
mahu hilang. Seorang dukun dari Mambang Di Awan dekat Kampar mengatakan sakit
datuk sukar diubat, kecuali oleh pawang yang benar-benar handal.
“Kenapa
tok bomoh ?” seorang cucu datuk bertannya.
“Sakitnya
dibawa oleh orang atas,” jawabnya pendek.
“Siapa
orang atas tu tok bomoh,” desak cucu datuk. Dan bomoh itu tidak mahu memberikan
jawapannya. Begitulah datuk, ia terus terlantar di tempat tidur menanggung
sakit. Walaupun sakit terlentang merenung atap rumah, datuk masih mahu bercakap,
kalau ada kawan-kawannya yang datang melawat. Kadang-kadang datuk memaksa
dirinya untuk duduk. Bila anak cucu mahu datang membantunya. Dia segera
melarang dan menepis tangan anak cucunya.
“Aku masih
kuat lagi,” katanya. Dengan itu semua anak cucu pun menyepi. Pada sutu malam,
semua anak cucu datuk berkumpul dan mengambil keputusan untuk memanggil dukun
orang asli yang tinggal dekat Grik. Entah macammana rancangan itu sampai ke
pengetahuan datuk. Dia jadi berang dan membuang semua benda yang berhampiran
dengannya. Rancangan itu terpaksa dibatalkan. Kemudian datuk terus dipujuk
untuk menerima rawatan doktor swasta yang sanggup datang ke rumah untuk
merawatnya.
Memang di
luar dugaan, anak cucu , datuk setuju dengan rancangan itu. Menurut doktor itu,
sakit datuk tidaklah berapa serius sangat, tapi dia memerlukan rawatan yang
agak lama. Sesudah menerima suntikkan dan memakan pil yang diberikan oleh
doktor itu, datuk pun boleh bangun dan berjalan dari ruang tengah ke anjung
ruamh. Mukanya nampak berseri. Tidak pucat lagi. Datuk mula boleh makan nasi.
Sebulan, sesudah menerima rawatan dari doktor swasta ternyata datuk beransur
sihat, tapi pada satu malam, datuk terus rebah sesudah menunaikan sembahyang
Isyak. Dia tidak boleh bercakap. Terpaksa diusung ke tempat tidur. Semua anak
cucunya mengerumuninya. Semua anak cucu yang mengerumuninya resah, bilik tidur
datuk dikuasai oleh bau-bauan yang wangi, diganti pula dengan bau kemayan.
Serentak dengan itu datuk mula terbatuk dua tiga kali. Dia terus duduk.
“Carikan
aku tiga biji limau, tiga helai daun sireh putus urat, seulas pinang, kemenyan
dan tempat membakarnya,” ujar datuk tenang.
“Nak buat
apa,” tingkah nenek.
“Usah
banyak soal, sediakan perkara yang aku mahu itu sekarang,” datuk membeliakkan
matanya. Semua keperluan itu disediakan. Diletakkan dalam dulang tembaga
berlapikkankain kuning. Bila barang-barang itu tersedia, bau harum datang
kembali menguasai bilik tidur datuk. Duduklah datuk mengadap dulang tembaga,
asap kemenyan pun keluar dari dupa, bagaikan ada kuasa ghaib yang menaburkan
serbuk kemenyan di dalam dupa.
“Duduklah,”
datuk bersuara sambil merenung ke tepi dinding. Anak cucu merenung ke tepi
dinding. Tidak ada siapa pun yang bediri di situ. Kemudian anak cucu datuk
melihat buah limau tiga biji bergerak-kerak bagaikan ada tangan yang menyentuh.
“Kalian
keluarlah, ada pawang nak mengubat aku,” datuk memberi perintah. Semua anak
cucu keluar. Datuk mengunci pintu biliknya dari dalam. Tapi, bau kemenyan terus
juga lepas keluar
“Dah
berapa lama sakit ini, kenapa tak beritahu,” anak cucu datuk terdengar suara
orang perempuan bercakap di dalam bilik. Semua hati anak cucu berdebar dan cuba
mengintai dari celah pintu . Tidak ada orang lain dalam bilik selain dari datuk
sahaja yang terlentang dekat dulang tembaga, sesekali datuk bergerak, bagaikan
ada tangan yang sedang mengurut badannya. Sesekali datuk melipatkan kaki
kanannya menandakan dia tidak mahu kaki kanannya diurut.
“Berapa
lama sakit ni,” terdengar lagi suara perempuan.
“Dah dekat
tiga bulan,” sahut datuk
“Patutlah
lama tak ke rumah.”
“Sibuk.”
“Apa
asalnya , ada jatuh atau ada tersalah makan.”
“Salah
makan tu tak ada, tapi jatuh jatuh memang ada, saya jatuh dekat perigi buta.”
“Patutlah,
kalau jatuh cepat berurut atau berubat, kalau tak diubat inilah jadinya.
“Itu salah
saya,” datuk mengaku.
Suasana
dalam bilik datuk sunyi, cuma yang kedengaran hanyalah bunyi orang mengambil
sesuatu serta bunyi orang mengoyakkan daun sireh.
“Amalkan
apa yang saya buat, tapi ingat kalau dah sihat jangan lupakan tempat
saya,”terdengar lagi suara perempuan. Beberapa saat kemudian, datuk membuka
pintu bilik , bau wangi masuk ke ruang rumah. Lepas itu datuk membuka pintu
depan. Datuk berdiri di muka pintu.
“Selamat
jalan,” kata datuk pada malam yang samar-samar itu. Datuk melambaikan
tangannya. Entah pada siapa datuk melambaikan tangan. Tidak seorang pun anak
cucunya yang tahu. Perkara itu berlanjutan hingga tiga malam. Masuk malam
keempat datuk mengadakan kenduri kesyukuran. Datuk sudah pulih. Datuk sudah boleh
berjalan dan memandu kereta buruknya . Datuk sudah pun mengucapkan ribuan
terima kasih pada doktor swasta yang datang merawatnya. Dan anak cucunya
bertambah pening. Antara doktor dan dukun siapakah yang sebenarnya merawat
datuk hingga sembuh. Lalu anak cucu datuk membuat kesimpulan begini : Masa kuat
sakitnya doktor yang mengurangkannya dan dukun itu cuma mendapat rahmat dari
doktor sahaja. Seminggu kemudian, datuk ghaib dari rumah dan anak cucu tidak
merasa apa-apa atas kehilangannya itu, semuanya tahu, bahawa datuk pergi ke
rumah isteri orang bunian. Dan datuk akan kembali ke pangkuan nenek sesudah
tinggal dengan isterinya orang bunian itu selama tiga empat hari. Nenek tidak
pula merasa cemburu. Apa yang nenek fikirkan ialah tentang kebahagiaan diri datuk.
Biarlah datuk buat apa sahaja. Asalkan datuk gembira dan boleh panjang umur.
Cukup mulia hati nenek.
Macam
selalu, bila datuk pulang dari rumahnya di kampung bunian, datuk akan membawa
seekor dua ayam hutan dan buah labu atau mentimun untuk nenek dan anak cucunya.
“Siapa
yang merawat dalam bilik dulu,” tanya nenek pada suatu petang. Datuk tersenyum
mendengar pertanyaan itu.
“Isteri
muda kitalah.”“Siapa ?”
“Orang
bunian.”
“Hum, lagi
apa katanya pada awak.”
“Tidak ada
apa-apa, cuma dia berpesan satu sahaja, kalau ada apa kesusahan pada keluarga
kita, segera beritahu padanya.” Jawapan yang diberikan itu cukup menyenangkan
nenek.
Sebagai
seorang rakyat yang cintakan negara, datuk terlibat dalam pengambilan ahli-ahli
pengawal kampung untuk menentang pihak komunis yang sentiasa mengancam
keselamatan penduduk kampung. Datuk telah dipilih untuk menjadi anggota AP.
Kerana itu datuk kena menjaga kampung pada setiap malam secara bergilir-gilir
dengan orang-orang kampung yang lain. Kerana datuk dianggap penduduk yang
tertua di kampung itu dan tahu pula serba sedikit ilmu dunia, datuk telah
dipilih untuk menjadi ketua.
Kadang-kadang
datuk dipanggil juga oleh pasukan keselamatan untuk masuk ke hutan untuk
mengempor sarang komunis. Ini bukanlah beban yang berat baginya. Datuk
menerimanya dengan rasa senang hati. Satu keistimewaan datuk, ialah dia cukup
kurang tidur tapi badannya tetap sihat. Wajahnya tidak cengkung atau pucat.
Satu malam telah diarahkan pasukan keselamatan untuk membawa anak buahnya
menjaga kawasan kampung yang bersempadan dengan jalanraya yang merintangi
sebuah anak sungai. Datuk pecahkan anak buahnya kepada dua pasukan, setiap
pasukan dianggotai oleh lima orang. Satu pasukan ditugaskan peronda tapi sungai
mengala ke utara. Sedangkan datuk dengan kawan-kawan menguasai sebelah selatan
hingga sampai ke jambatan besi. Datuk memilih pangkal jambatan besi itu sebagai
tempat ia mengatur sebarang gerakan.
Malam itu
datuk bertugas dengan tenang di atas jambatan besi. Sesekali malam yang sepi
itu dipecahkan oleh bunyi jentera lori pasukkan keselamatan yang melintas di
atas jambatan besi. “Kau berdua pergi ke hujung sama, dan kau berdua pergi
berjaga dekat pokok besar,” datuk memerintahkan anak buahnya.
“Di sini,
siapa nak tunggu, tanya Hamid, salah seorang dari anak buahnya. Datuk tidak
menjawab pertanyaan itu dengan cepat. Dia termenung berfikir.
“Di sini,
biar aku tunggu,” katanya. Anak buahnya yang sudah diperintah mengikut arahan
yang ditetapkan. Malam bertambah sejuk. Datuk mengigil kesejukan. Dua tiga kali
dia menguap. Badannya disandarkan pada besi jambatan. Tiba-tiba datuk terkejut,
seekor ular berbelang kuning dan hitam meniti atas palang besi jambatan menuju
ke arahnya. Lebih kurang satu ela mahu sampai padanya , ular itu berhenti.
Panggung kepala. Menjulurkan lidah. Mata ular itu nampak merah. Dari mulut ular
itu terpancar sesuatu macam api. Bila ular itu mengkatupkan mulutnya. Api itu
padam dan api itu akan wujud kembali, bila ular itu membuka mulutnya.
No comments:
Post a Comment