Datuk
menghadapi peristiwa itu dengan tenang. Dan ular terus menghampirinya. Datuk
cabut golok perak di pinggang.
“Kalau kau
berniat baik kau lalu, kalau niatmu buruk kau berhenti.” Sebaik sahaja datuk
mengakhiri cakapnya itu ular sudah pun berada di depannya. Ular pun pangung
kepala. Bagaikan kilat datuk mencantas kepala ular. Badan ular terus dikerat
tiga. Jatuh ke dalam perut sungai satu-satu. Barulah puas hati datuk. Malam
bertambah dingin. Daun-daun pokok di kiri kanan jalan bergerak-gerak diterajang
oleh angin. Bunyi suara burung hantu bersahut-sahutan. Di selang-seli dengan
raungan anjing yang mendayu-dayu.
Datuk
merenung ke dalam sungai. Datuk lihat air sungai yang mengalir tenang itu
bergolak dan berombak. Datuk pasti di tempat air yang beralun dan berombak
itulah bangkai ular yang dipotongnya jatuh. Makin lama, makin kuat alun dan
gelombang air sungai itu bersama dengan bunyi yang hebat. Datuk terdengar
bagaikan ada orang mandi di situ. Datuk termenung. Belum pernah dia berhadapan
dengan hal-hal begitu. Mata datuk terus juga merenung pada air sungai yang
beralun dan berbunyi dengan teliti. Datuk berdebar juga. Terniat dalam hatinya
mahu meninggalkan tempat tersebut. Niat itu mati dengan sendirinya, bila timbul
desakan dalam hatinya untuk mengetahui apakah benda dalam perut sungai.
Dalam
suasana agak kelam-kabut itu. Datuk terpandang, air sungai mula melimpah ke
tebing. Di tengah-tengah sungai itu timbul satu lembaga besar hitam, badannya
sebesar kerbau jantan. Lembaga itu terus timbul. Setiap kali lembaga itu
bergerak. Air terus bergelombang merempuh pokok-pokok keladi di tebing sungai.
Semuanya tumbang. Macam selalu, bila berhadapan dengan perkara-perkara yang
aneh datuk akan membaca ayat suci al-quran. Kali ini datuk membaca ayat ‘Kursi’ dengan khusuk. Semasa dia
membaca ayat-ayat itu lembaga di dalam sungai terus mengamuk dan bertempik,
bagaikan suara gajah. Datuk tidak peduli. Dia terus membaca. Bila ayat itu
habis dibaca. Suasana di dalam sungai kembali normal. Air sungai terus mengalir
tenang. Daun-daun pokok tidak bergerak meskipun angin malam bertiup.
“Syaitan
?” kata datuk sambil meninggal kan tempat tersebut. Datuk terus mendapatkan
anak buahnya. Mereka berkumpul kerana hari sudahpun beransur cerah. Datuk terus
membawa anak buahnya ke surau dan menunaikan sembahyang subuh. Lepas sembahyang
subuh mereka pun berpecah meneruskan kerja masing-masing. Separuh dari pada
anak buahnya terus ke Paya Besar menoreh getah dan separuh
lagi pergi ke tempat perusahaan membuat batu-bata di Jalan Parit. Banyak juga
anak buah datuk yang menjadi buruh di syarikat perusahaan itu.
Datuk
tidak pula menceritakan apa yang dialaminya pada orang-orang kampung. Walaupun
begitu, ada juga orang kampung yang mengalami peristiwa seperti yang datuk
alami itu bila berjalan malam di jambatan besi tersebut. Jambatan besi itu
masih ada lagi hingga sekarang, terletak di antara Kampung Pulau Kabung
dengan Kampung Mandi Upeh. Tapi , peristiwa ganjil
seperti yang dialami oleh datuk itu tidak berlaku lagi.
Di kiri
kanan jambatan besi itu kini sudah penuh dengan rumah kediaman. Kadang-kadang
jambatan itu jadi tempat persinggahan anak muda pada setiap malam, selepas
mereka menonton wayang di Pekan Sitiawan, Air Tawar atau Bruas.
Dan kalau diceritakan kisah-kisah aneh pada mereka. Mereka tidak akan percaya,
malah mereka akan mengetawakan pada orang yang menceritakannya.
Sebulan
selepas dari peristiwa yang aneh itu, pada satu malam rumah datuk didatangi
oleh seorang pemuda Udin namanya. Dia meminta jasa baik datuk untuk membuat air
penawar pada anak kecilnya yang sudah seminggu menangis malam.
“Agaknya
perut anak kau kembung,” kata datuk sambil merenung muka Udin.
“Sudah
berbotol minyak angin saya lumurkan ke perutnya.” Jawab Udin dengan tenang.
Datuk terdiam kerana dia tahu, dia bukanlah seorang dukun atau pawang, tapi
kerana dia merupakan orang yahng tertua di kampung tersebut, dia dianggap tahu
dalam hal-hal kedukunan.
“Bawa saja
anak kau ke klinik,” datuk mengesyurkan. Udin terdiam sejenak. Muka datuk
direnungnya lama-lama.
“Malam
klinik dah tutup.”
“Sepatutnya,
kau tak payah minta penawar dari aku, jumpa daktor lagi baik, sebabnya mereka
boleh memeriksa anak kau, mana tahu anak kau ada mengidap penyakit,”
“Saya
tahu, tapi….” Udin berhenti bercakap. Ada rasa kecewa dan putus asa bermain di
wajahnya.
“Baiklah,
bolehlah aku buatkan penawar, tapi esok kau bawalah anak kau ke klinik,” kata
datuk lagi. Datuk pun segera membuat air penawar dan diberikan pada Udin.
Sebelum Udin meninggalkan rumah, lagi sekali datuk memgingatkan Udin supaya
membawa anaknya menemui doktor. Datuk berpendapat berubat dengan doktor lebih
baik dari berubat dengan dukun, kerana dengan peralatan moden, sakit seseorang
dapat dikesan dengan cepat.
Pesan
datuk itu tidak dipersiakan oleh Udin. Dia terus membawa anaknya menemui doktor
dan menerima rawatan dengan baik. Sejak itu anaknya tidak lagi menangis malam.
Memang, begitulah sikap datuk, dia lebih suka mengalakkan orang-orang kampung
berubat dengan doktor, kecuali kalau sudah menemui doktor pesakit tidak mahu
baik, barulah dia menyuruh berubat cara kampung.
“Mari ikut
aku ke rumah Anjang Dollah,” kata datuk pada saya.
Pemintaan
datuk itu tidak dapat saya tolak. Dengan rasa kecewa saya meninggalkan kumpulan
kawan-kawan saya yang sedang bermain galah panjang di depan rumah datuk.
“Apa
halnya,” tanya saya
“Sajalah,aku
dengar cerita Anjang Dollah tu handal mengubat orang kena sampuk, anu nak
tengok cara dia mengubatnya. Kalau boleh aku nak belajar darinya.”
“Belajar
buat apa ?” balas saya. Datuk tersenyum dan terus berkata : “Belajar untuk tahu
apa salahnya, tidak merugikan kita.”
Setelah
mendengar cakapnya itu. Saya pun tidak mengeluarkan sebarang soalan atau
pertanyaan. Berjalanlah saya dengan datuk petang itu menuju ke Kampung
Gelung Gajah yang jaraknya lebih kurang tiga batu dari kampung datuk.
Terpaksa meredah dua tiga anak sungai. Dan rumah Anjang Dollah letaknya agak
terpencil dari rumah-rumah di situ. Berada di pinggir sebuah kolam dan
berhadapan dengan sebuah belukar kecil.
Lebih
kurang pukul empat petang, sampailah saya dan datuk ke rumah Anjang Dollah.
Kami dipersilakan naik. Datuk terus menyatakan, bahawa kedatangannya ialah
untuk melihat bagaimana cara dia mengubati orang yang kena sampuk.
“Apa
salahnya, ” balas Anjang Dollah dengan senyum bangga. Anjang Dollah pun
mempersilakan saya dan datuk masuk ke dalam sebuah bilik kecil. Di dalam bilik
itu penuh dengan barang-barang perubatan seperti kemenyan hantu, buah limau,
buah kelapa dan tempat membakar kemenyan. Di tepi bilik terdapat sebuah katil
dengan tilam dan bantal bersarung kain hitam. Bantal dan tilam itu sudah buruk
benar. Bila saya menghampirinya hidung saya tidak tertahan mencium bau hapak
dari bantal dan tilam.
Bila saya
mahu membuka kain tilam yang menutup katil itu saya ditahan oleh Anjang Dollah.
“Jangan,” suara Anjang Dollah keras. Saya duduk kembali. Hati saya ingin tahu,
siapakah gerangan yang tidur di situ. Saya yakin ada orang yang tidur di atas
katil itu, kerana bila saya perhatikan kain hitam itu bagaikan bergerak-gerak
mengikuti tarikan nafas manusia.
“Siapa
yang baring tu,” datuk pula bertanya. Anjang Dollah merenung muka datuk. Saya
mula resah tidak menentu.
“Sahabat
saya, orang suruhan saya. Boleh disuruh keluar waktu malam dan balik pagi.”
Anjang Dollah memperjelaskan pada datuk. Saya dan datuk pun angguk kepala.
“Dia tidur agaknya,” tanya saya lagi.
“Dia tidur agaknya,” tanya saya lagi.
“Dia tak
tidur,” sahut Anjang Dollah.
“Kalau tak
tidur kenapa tak bangunkan.” Tingkah datuk.
“Dia malu
tengok orang.” Itulah jawapan Anjang Dollah. Jawapan itu sebenarnya tidak
memuaskan hati saya. Dan saya mahu bertanya lagi. Bila saya mahu membuka mulut,
datuk segera mencuit bahu saya. Fahamlah saya, bahawa datuk tidak mahu saya
menyoal lebih lanjut tentang apa yang berada di atas katil.
Anjang
Dollah meninggalkan kami di dalam bilik. Ada orang datang ke rumahnya.
Sepeninggalan Anjang Dollah itu, bulu roma saya mula berdiri. Rasa takut datang
dalam hati saya. Kalaulah tidak ada datuk di samping pasti tempat itu saya
tinggalkan. Anjang Dollah datang. Dia minta kami duduk di ruang tengah. Di
ruang tengah itu terdapat sorang perempuan muda. Duduk bersila di atas lantai.
Perempuan muda itu datang ke rumah Anjang Dollah kerana mahu meminta tolong
mengubati adiknya yang menjerit dan meraung tidak tentu arah macam orang gila.
“Adik saya
kena buatan orang Pak Anjang,” kata perempuan itu dengan muka agak muram. “Dia
terpaksa diikat dengan tali di tiang rumah,” tambah perempuan itu lagi. Anjang
Dollah mengigit bibir dan terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa
kali. Tanpa bercakap sepatah, Anjang Dollah terus ke dapur. Datang semula
keruang tengah dengan mangkok putih yang penuh berair.
“Mari
masuk ke dalam bilik saya, ” Anjang Dollah menjemput perempuan , datuk dan
saya. Kami pun masuk ke dalam biliknya. Anjang Dollah bersila, di depan katil.
Matanya merenung air dalam mangkok putih sambil mulutnya membaca sesuatu. Entah
apa yang dibacanya saya pun tidak tahu. Dia menoleh ke belakang merenung
perempun muda seraya berkata, “Kau balik dulu.”
Bila
perempuan itu sampai dekat muka pintu. Anjang Dollah memanggilnya kembali dan
menyuruh perempuan itu duduk di depannya. Perempuan itu akur dengan perintahnya
itu. Anjang Dollah terus membaca sesuatu. Lebih kurang sepuluh minit Anjang
Dollah berbuat begitu. Mukanya bertukar menjadi hitam. Matanya jadi hijau
berkilai. Separuh anggota badannya mengeletar, macam orang kesejukan. Lama juga
Anjang Dollah jadi begitu. Hati saya Tuhan saja yang tahu betapa takutnya saya
ketika itu. Bila wajahnya berubah dalam keadaan biasa. Barulah Anjang Dollah
bersuara, tapi suaranya bertukar menjadi parau.
“Siapa
nama adik kau,” tanya Anjang Dollah pada perempuan itu.
“Aishah.”
“Berapa umurnya?”
“Berapa umurnya?”
“Sembilan
belas tahun.”
“Siapa
nama emaknya.”
“Hamidah.”
Selesai sahaja Anjang Dollah menyoal dan menerima jawapan dari perempuan itu. Dia segera bangun dan terus rapat ke katil. Berdiri di situ agak lama juga sambil tangan kanannya memegang pangkal dagunya.
Selesai sahaja Anjang Dollah menyoal dan menerima jawapan dari perempuan itu. Dia segera bangun dan terus rapat ke katil. Berdiri di situ agak lama juga sambil tangan kanannya memegang pangkal dagunya.
“Hai
sahabatku yang setia, pergilah engkau ke tempat asalmu, ambillah sehelai rambut
perempuan mati beranak,” kata Anjang Dollah. Kain hitam mula bergerak. Datuk
duduk dengan tenang. Saya merasakan mahu buang air kecil, terasa mahu buang air
besar. Saya jadi serba salah. Rasa mahu buang kecil dan air besar itu hilang
juga, bila saya terfikir kalau masa buang air kecil atau buang air besar kain
hitam itu akan datang pada saya. Buruk padanya.
“Pergilah
sahabatku,” ulang Anjang Dollah. Dengan tiba-tiba kain hitam terjatuh atas
lantai. Apa yang saya lihat di atas katil ialah bantal dan tilam bergerak
sendiri. Tilam bagaikan digulong oleh orang.
“Dia sudah
pergi,” kata Anjang Dollah pada datuk. Datuk pun mengangguk kepalanya. Anjang
Dollah pun mengambil kain hitam dan terus memberikan pada perempuan muda itu.
“Kau rimbaskan kain hitam ke muka adikmu tujuh senja, lepas tu kalau tak juga
mahu hilang, kau datang ke mari lagi,” kata Anjang Dollah. Dan perempuan itu
pun menghulurkan wang pada Anjang Dollah. Dengan tenang perempuan itu
meninggalkan rumah Anjang Dollah.
“Ini baru
sedikit sahaja, minggu depan kalau kalian datang, kalian boleh lihat cara lain
saya mengubat, saya boleh kenalkan awak berdua dengan sahabat saya itu,” megah
benar Anjang Dollah.
“Saya
datang lagi,” sahut datuk.
“Datanglah,
tapi kena datang malam tau,”
“Baiklah.”
Datuk memberikan janji. Sesungguhnya janji yang diberikan oleh datuk pada Anjang Dollah satu penyiksaan pada diri saya. Bila masa yang dijanjikan sampai. Berangkatlah saya dengan datuk menuju ke rumah Anjang Dollah. Kami terpaksa menggunakan andang yang dibuat dari daun kelapa untuk menyuluh jalan. Malam cukup gelap. Tidak ada sebiji biuntang pun di langit. Sepanjang perjalanan telinga kami diasak dengan suara katak dan suara burung jampok dan burung hantu. Bulu roma saya tegak berdiri, bila terdengar suara lolongan anjing sayup-sayup dari gigi kampung.
Datuk memberikan janji. Sesungguhnya janji yang diberikan oleh datuk pada Anjang Dollah satu penyiksaan pada diri saya. Bila masa yang dijanjikan sampai. Berangkatlah saya dengan datuk menuju ke rumah Anjang Dollah. Kami terpaksa menggunakan andang yang dibuat dari daun kelapa untuk menyuluh jalan. Malam cukup gelap. Tidak ada sebiji biuntang pun di langit. Sepanjang perjalanan telinga kami diasak dengan suara katak dan suara burung jampok dan burung hantu. Bulu roma saya tegak berdiri, bila terdengar suara lolongan anjing sayup-sayup dari gigi kampung.
No comments:
Post a Comment