Dalam
kesukaran bernafas itu, saya terus meraba batang leher dan telapak tangan saya
tersentuh sesuatu yang bulat, bila saya lurut ke kanan dan ke kiri terasa kesat
dan bersisik kasar. Jari-jemari saya terus mengcengkam benda bulat itu yang
hampir sama besar dengan bulatan batang pinang dara.
Jari-jemari
saya tidak mampu mengcengkam benda bulat itu agak lama kerana licin.
Sendi-sendi jari pula terasa lenguh, saya semakinlemah dan kesempatan itu
dimanfaatkan oleh benda lembik itu untuk membelit seluruh tubuh.
Sendi
tubuh dan tulang terasa bagaikan patah-patah. Saya kehabisan tenaga untuk
berdiri, perlahan-lahan saya rebahkan badan ke bumi sambil memikirkan tindakan
selanjutnya untuk membinasakan benda bulat yang lembik itu menjahanamkan diri saya.
Rupa-rupanya,
saya tewas juga, benda bulat lembik itu terus membelit dan menjerut tubuh
dengan kemas dan kejap. Saya terus bergolek di pasir dalam usaha memaksa benda
bulat itu membuka lilitan yang membelit tubuh.
Aduh!
Bukannya bertambah longgar tetapi bertambah kejap, pandangan saya jadi
berpinar-pinar. Lidah nagaikan mahu terkeluar, kulit leher yang kena belit
terasa amat gatal.
Satu
satu ikhtiar yang dapat saya lakukan
ialah terus bergolek di pasir. Dalam keadaan yang berhempas pulas itu, saya
berjaya memegang bahagian pangkal benda lembik itu. Hasil dari gerak tangan,
saya dapat menduga bahawa benda yang saya pegang itu ialah, kepala ular. Saya
berazam walau apa yang terjadi kepala ular itu tidak saya lepaskan.
Kepala
ular itu saya tekan ke pasir. Biar matanya dimasuki pasir hingga buta.
Perbuatan saya menimbulkan kemarahan ular, jerutannya makin kuat membelit
tubuh, rasanya semua tulang-temulang dalam tubuh saya sdah remuk dan hancur.
Suara saya
langsung tidak terkeluar dari kerongkong dan buah halkum terasa terbenam dalam
tulang dan daging leher. Saya kira semua organ di bahagian leher sudah punah,
tidak boleh digunakan lagi
Biar tubuh
saya menjadi debu, kepala ular tidak akan saya lepaskan. Itu tekad hati saya
yang tidak ada tolak ansurnya. Kepala ular yang entah macam mana rupanya terus
saya tekan ke dada pasir. Saya bagaikan terkejut, bila mendapati jerutan ular
itu di tubuh berangsur longgar, saya boleh menarik dan melepaskan nafas dengan
agak lancar. Boleh menelan air liur tanpa rasa tersekat-sekat.
Kesempatan
itu, segera saya manfaatkan dengansebaik mungkin. Kepala ular yang tidak dapat
dilihat itu terus ditekan ke dada pasir.
Perlahan-lahan saya gerakan kaki, ternyata kaki saya tidak dibelit oleh
ular ghaib.
Setelah
bersusah payah, akhirnya saya berjaya bangun tetapi, gagal melepaskan belitan
ular daripada bahagian pinggang ke dada. Rasanya tulang-temulang dada berlaga
antara satu dengan lain. Sakitnya bukan kepalang dan bahagian ekor ular terus
menekan bahagian kemaluan. Saya kembalu mengalami kesukaran untuk menarik dan
melepaskan nafas. Rasanya riwayat hidup saya akan berakhir di pasir pantai.
SEDAR
Saya
menjerit sekuat hati dan bumi saya rasa bergerak sendiri. Tubuh saya seperti
berada di awang-awangan. Pandangan saya berpinar dan gelap. Saya jatuh atas
pasir kembali. Kepala ular dalam genggaman terlepas. Dan ular ghaib bertindak
garang. Seluruh tubuh, dari hujung kaki hingga kepala dililit oleh badan ular.
Keadaan saya tidak ubah seperti seberkas ranting kayu yang diikat dengan rapi.
Dalam keadaan yang serba payah dan kelemasan itu, saya mengolek-golekan badan
di pasir. Setelah itu saya tidak tahu apa yang berlaku.
Beberapa
lama saya tidak sedarkan diri, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Apa yang
pasti, disaat saya sedar tubuh dan muka masih dililit oleh badan ular. Dari
celah lilitan badan ular itu, samar-samar saya melihat datuk melangkah ke arah
saya. Dia terkejut melihat perbuatansaya menggulingkan tubuh d pasir, macam
bergelut dengan sesuatu.
“Kenapa
kamu ini Tamar? Agaknya kamu ni dah gila, berbaring bergolek atas pasir,” cukup
jelas suara datuk menikam gegendang telinga saya.
“Ular
belit saya tuk!”
“Ular? Aku
tak nampak apa-apa,” datuk terus merenung kiri kanan. Sepasang matanya di arah
ketubuh saya yang masih bergolek atas
pasir.
“Kau ni
mimpi Tamar.”
“Betul
tuk, saya tak nampak ular tu tapi apa yang saya rasa memanglah ular besar
membelit saya.”
Sebaik
saja atuk mendengar kata-kata saya itu, dia terus termenung, wajahnya
membayangkankeresahan yamg amat sangat. Datuk duduk mencangkung membelakangi
saya tetapi, tangan kanannya menyentuh bahagian bahu kiri saya, bagaikan
terkena kejutan elektrik datuk menarik tangan kanannya. Dia memusingkan tubuh
lalumenghadapi saya, mukanya nampak pucat sedikit dan dahinya nampak berkedut.
“Aku macam
terpegang ular di badan kamu tamar.”
“Sekarang
datuk percaya tak dengan cakap saya.”
“Hum, “
datuk anggukkan kepala, “ ada sesuatu yang tak kena disini,” nada suara datuk
membayangkan keresahan, kecemasan dan kebimbangan.
Beberapa
sangat kemudian saya lihat reaksi datuk berubah, dia mula memperlihatkan
tanda-tanda untuk bertindak. Datuk terus
mengelilingi saya yang bergolek, gerak geri daytuk tidak ubah macam singa lapar
yang mahu menerkam mangsanya.
Keadaan
diri saya tetap tidak berubah, sakit terasa di mana-mana. Tanpa putus asa saya
terus berjuang untuk membuka lilitan ular di tubuh disamping megharapkan datuk
memberi pertolongan segera. Disaat saya berjuang itu, saya lihat datuk secara
mengejut melompat danmenerkam ke arah saya.
Tangan
kirinya menyentap kepala ular yang saya pegang. Di saat itu juga saya merasakan
tubuh saya tidak lagi dibelit dan dijerut oleh ular. Dengan cepat saya bangun,
menghayunkan sepasang tangan ke kanan dan ke kiri. Begitu dengan sepasang kaki.
Saya lakukan gerakan itu untuk mempastikan anggota tubuh benar-benar bebas dari
belengu dibelit ghaib.
Saya
mendongakkan kepala ke langit melihat awan. Saya renung pepohon di sebelah
kanan dan telinga saya mula diasak dengan deru ombak dan kicau burung. Masa
saya dibelit ular, deru ombak dan kicau burung tidak kedengaran. Apa yang ssaya
rasai disaat itu ialah suasana ang amat sepi sekali.
“Sudah
hilang tuk,”
datuk
jegilkan mata ke arah saya. Dia tidak kisah dengan yang saya ucapkan kepadanya.
Datuk seperti berada didunia lain.
Datuk
membongkok seperti mengambil sesuatu di atas pasir. Entah apa yang diambilnya
saya sendiri tidak pasti, sambil meluruskan tubuh datuk renung ke kiri lima
kali berturut-turut. Dia menatang benda yang diambil dari atas pasir dengan
kedua belah tangannya.
Lucu, bila
melihat datuk keadaan begitu, dia menatang angin. Dengan tenang datuk menuju ke
arah rumpun buluh. Datuk tunduk di situ seperti melepaskan sesuatu di perdu
buluh kuning. Gerak-geri datuk saya perhatikan dengan teliti.
DEKAT
Datuk
mendekati saya semula. Saya kira kehadiran datuk di sisi saya untuk meluahkan
rasa hampa kerana orang yang ditunggu tidak kunjung tiba. Memang saya mengharapkan
datuk membatak saja rancangan untuk ke Tanah Jambi.
“Kamu tahu
kenapa kamu kena belit ular, ” itu yang datuk ajukan kepada saya. Lain yang
diharap, lain pula yang dapat.
“Saya tak
tahu tuk, lagi pun ular yang membelit saya tu, tak nampak dilihat,saya Cuma
terasa dan main agak-agak saja.”
“Aku dapat
melihatnya, Tamar.”
“Datuk
dapat melihatnya?”
“Iya,”
datuk anggukkan kepala.
“Macam
mana rupanya tuk?”
Datuk
mengigit bibir sambil mengosok batang hidungnya berkali-kali. Dia kelihatan
seperti berfikir tentang sesuatu. Mungkin juga dia memikirkan sama ada mau
menjawap atau tidak pertanyaan yang sedang saya kemukakan kepadanya.
“Macam
mana rupanya,” saya terus mendesak.
“Kepalanya
macam kepala buaya, sisik di badannya macam sisik tenggeleng, berbelang merah
hitam,” jelas datuk. Saya terdiam dan terus menarik nafas dalam-dalam. Segera
saya bayangkan, andainya saya dapat melihat rupa dan bentuk ular yang datuk
katakan, pasti saya terkencing dan terberak
mungkin terus pengsan. Datuk terus meraba-raba pangkal hidungnya dengan
aman.
“Kamu tahu
Tamar, kamu sudah menceroboh.”
“Ceroboh,
ceroboh apa tuk, saya tak faham,” turut saya kehairanan sambil merenung ke kiri
dan ke kanan. Fikiran saya serabut dengan tandatanya. Apakah maksud sebenar
kata-kata datuk itu?
Agaknya
datuk mahu bergurau atau sekadar mahu menguji hati saya. Kalaulah itu tujuannya
memang tidak menyusahkan hati. Tetapi, bagaimana kalau apa yang dikatakan itu
memang benar saya lakukan?.
“Maksud
datuk yang sebenar apa dia?”
“Aku tak
mahu cakap, cuba kamu ingat dan fikir, apa yang sudah kamu lihat disini,
kira-kira tiga bulan yang lalu,” terang datuk dengan tenang. Saya perah otak
untuk mengingati apa yang terjadi.
Saya
tersenyum panjang kerana sudah dapat menangkap apa yang datuk maksudkan.
“Ada
hubungannya dengan Haji Yatimi,” kata saya
“Iya,”
datuk anggukkan kepala.
“Kenapa
dengan dia tuk? “
“Kau cari
sendiri, Tamar.”
Datuk
segera meninggalkan saya, dia berdiri, dia berdiri dibibir pantai. Datuk
merenung laut dan ombak. Datk melihat sinar matahari pagi yang kian cerah.
Datuk berdiri di situ semata-mata mahu mengubati rasa resah dalam menanti
kedatangan anak saudara nakhoda pemilik tongkangdari Aceh.
Di saat
saya bersendirian, barulah saya teringat di waktu mahu menghantar Haji Yatimi
ke Solok dulu, saya melihat ada orang berjanggut panjang memakai pakaian serba
putih muncul di pantai. Kemudian orang itu menghilangkan diri betul-betul di batang buruk itu. Bagi
mempastikan apakah ingatan saya ini betul atau tidak, saya segera mendapatkan
datuk.
SETUJU
Selesai
saja datuk mendengar cerita saya itu, dia terus anggukkan kepala. Setuju dengan
apa yang saya turutkan.
“Silap
kamu, nak menumpang duduk tak minta izin. Kamu main langgar saja. Inilah
akibatnya,” datuk bersuara lantang.
“Saya tak
tahu tuk.”
“Ah kamu
ni, sudah aku ajar segala petua dan doa.
Kenapa tidak kamu manfaatkan,” tempelak datuk kepada saya. Memang tidak ada
peluang untuk saya mempertahankan diri.
Kesilapan tetap berada di pihak saya dan saya hanya mampu telan air liur.
“Kamu
mesti ingat, selain dari manusia, ada makhluk lain di dunia ini. Nasib baik
makhluk lain tu tak marahkan kamu, kalau marah entahlah…” datuk berhenti
bercakap.
“Kenapa
dia nak marahkan saya. Apa yang saya dah buat,” Tanya saya dengan rasa hairan.
Buat beberapa saat datul termangu, mungkin dia tidak terfikir yang saya akan
mengajukan pertanyaan sedemikian kepadanya.
“Kamu ni
memang tak faham cakap orang. Dia marahkan kamu kerana kamu duduk ditempatnya
dengan tidak minta kebenaran, sekarang kamu dah faham atau tidak,” atukjegilkan
matanya ke arah batang hidung saya. Tentulah saya jadi resah dan cemas bila
dibuat demikian.
“Saya
faham, sekarang saya faham tuk.”
“Apa yang
kamu rasa tadi, itu cuma dia bergurau saja,” sambung datuk lagi.
“Bergurau
tuk?”
“Iya.”
Memang
tidak logik apa yang datuk katakan itu. Pelik sungguh, saya diseksa setengah
mati, masih dikira bergurau senda. Ini perbuatan dan kerja orang gila, kerja
orang tak ada otak. Demikian saya membuat rumusan dalam kepala.
“Teruknya
makhluk lain mengusik dan bergurau tuk?”
Saya lihat
datuk tersenyum dengan kata-kata yang saya lakukan. Dua tiga kali datuk
anggukkan kepala. Saya jadi resah, susah benar rasanya mahu menerima pendapat
yang datuk ajukan.
“Kerana
makhluk lain tu bergurau, kamu masih dapat bercakap dengan aku. Kalau dia
marah, aku tak tahu apa jadi pada kamu. Kamu boleh jadi gila, lari ke gunung
atau membunuh orang.” Lanjut datuk lagi. Dia berusaha mahu menyelesaikan soalan
yang berlegar-legar dalam tempurung kepala saya.
“ Saya nak
tanya tuk satu perkara, boleh tak?”
“Boleh,
asalkan perkara yang munasabah.”
“Tadi tuk
buang ular orang halus dekat perdu pokok buluh, apa yang orang halus tu kata pada tuk.”
“Hmmmmmmmmmmm”
datuk kelihatan seperti tergamam, “itu cuma syarat saja, memanglah
sekalipandang macam aku membawa sesuatu dan melepaskan sesuatu di situ, aku ke
situ cuma mematahkan tiga batang pokok kecil,” datuk berhenti bercakap. Matanya
tetap tertumpu ke arah laut.
“Buat apa
tuk patahkan pokok-pokok kecil tu.”
“Tanda
syarat, minta maaf atas perbuatan kamu yang main langgar, tak berbudi bahasa
langsung,” lagi sekali saya di persalahkan.
“Minta
maaf tuk diterima atau tidak?”
“Nampaknya
diterima, Tamar.”
“Buktinya
tuk?”
“Sampai
sekarang tak ada tanda-tanda yang orang halus tu nak kacau kita,” lanjut datuk
lagi dengan tenang.
Kerana
yakin, perasaan datuk sudah tenang dan berada dalam gembira, saya terus
mendekatinya. Berdiri disebelah kanannya. Kami sama-sama merenung laut dan
ombak. Matahari pagi terus bangun di kaki langit.
Pada hemat
saya, bila matahari sudah melepasi paras laut, pasti datuk tidak akan
membatalkan perjalananannya. Sebelum perkara itu berlaku, saya terus megusulkan
kepada datuk.
“Kita
batalkan rancangan kita ni tuk, orang yang tuk nanti tak nampak batang
hidungnya. Jangan-jangan dia mainkan kita tuk,”
“Kamu ni
banyak cakap pula, sepatutnya kamu ni jangan dibawa tadi, buat menyusahkan aku.
Kalau kamu tak senang pergilah kamu balik,” datuk meluahkan rasa tidak
senangnya terhadap kerenah saya.
Saya mula
merasa kesal apa yang berlaku. Sepatutnya saya jangan banyak mulut dan banyak
tanya. Bagi meredakan keadaan, secara perlahan-lahan saya menjauhkan diri
dengan datuk lalu pergi ke gigi pantai, menendang buih-buih ombak hingga kaki
seluar saya basah.
Sambil
bermain buih saya tetap menjeling ke arah datuk. Saya ingin tahu, apakah yang
dilakukannya bila dia kesaorangan. Ternyata datuk memerhatikan saja apa yang
saya lakukan di tepi pantai.
MENGGIGIL
Angin laut
membuat saya menggigil. Bibir dan tubuh saya menggeletar sendirian. Saya
terdengar suara datu berdehem dua kali berturut-turut. Saya segera merenung ke
arahnya. Datuk tidak memperlihatkan sebarang reaksi atas renungan saya.
Pandangannya tidak berubah, tetap kearah laut lepas.
Dua tiga
kali saya pejam celikkan kelopak mata dalam samar-samar kabus itu saya bagaikan
terpandang ada seseorang yang mengayuh perahu menuju ke arah saya.
Bagi
memastikan apa yang saya lihat itu benarnya bukanya khayalan, kedua belak
kelopak mata segera saya gosok denagn telapak tangan. Memang tidak salah lagi, seorang lelaki
sedang bergelut mengayuh perahu di pagi yang dingin.
“Kenapa
Tamar.”
“Ada orang
berperahu datang ke sini tuk.”
Tanpa
berkata apa-apa datuk segera memegang tangan saya lalu dipimpin ke gigi pantai.
“Mana dia
orangnya Tamar?”
“Di situ.
”
saya
segera menuding jari ke arah perahu di tengah laut. Datuk segera merenung ke
arah yang saya tunjukkan. Datuk tumpukan segala perhatian ke arah perahu dan
orang yang nampak berbalam dan terumbang-ambing dimain ombak. Mungkin kerana
datuk dapat mempastikan yang datang itu benar manusia, dia tersenyum panjang.
“Barangkali
orang itu yang kita tunggu Tamar! Tapi kenapa dia menggunakan jalan laut, tidak
jalan darat,” datuk seperti merungut, dari raut wajahnya saya dapat menduga
bahawa datuk sedang memikirkan sesuatu.
“Begini
saja Tamar,” kata-kata datuk berhenti di situ saja.
“Kenapa
tuk.”
“Untuk
kebaikan kita, ada baiknya bersembunyi di balik pokok besar, kita tengok dulu,
apakah orang yang datang memang orang yang kita nantikan atau sebaliknya.”
“Itu
pendapat yang baik, beringat sebelum kena tuk.”
“Ah,
sudahlah, kamu nak tunjuk pandai pula di sini.” Nada datuk agak keras bersama
dengan jelingan yang tajam ke arah saya.
Dari balik
pokok besar, kami melihat seorang anak muda melompat dari perahu ke pasir
pantai. Dengan sepenuh tenaga dia menolak badan perahu hingga tersadai atas
pasir. Anak muda itu merenung ke kiri dan ke kanan, melihat gerak gerinya.
Bila sudah
yakin tidak ada sesiapa yang melihatnya dia pun maju ke dara. Berdiri
betul-betul di depan pokok besar tempat saya dan datuk sembunyikan diri.
Anak muda
berkulit sawo matang, rambut hitam dengan patut melintang di pipi kanan melihat
jam di tangan, tingginya hampir lima kaki sebelas inci. Jarang-jarang orang
Melayu yang boleh mencapai tahap ketinggian seperti itu.
“Agaknya
mereka belum datang lagi,” anak muda itu bercakap seorang diri. Datuk segera
menyiku rusuk kanan saya. Kami berbalas senyum dan datuk memberi isyarat kepada
saya supaya jangan bertindak apa-apa. Datuk seolah-olah menyuruh saya melihat
telatah anak muda itu, apakah dia orang yang humour.
Lebih
kurang sepuluh minit dia berlegar-legar di depan pokok, ternyata anak muda itu
mula gelisah dan putus asa. Bersedia mahu melangkah ke perahunya kembali. Tanpa
memberi isyarat datuk keluar adri tempat persembunyian lalu memberi salam.
“Maafkan
saya kerana lambat,” kata anak muda itu gugup.
“Tak
mengapa,” balas datuk.
Saya
segera keluar dari tempat persembunyian, melihat kehadiran saya itu, anak muda
itu jadi resah.
“Saya
harap tak salah orang,” dia renung muka datuk.
“Maksud
kamu apa dia?”
“Saya
disuruh oleh bapa saudara saya mengambil kawannya di sini. Katanya, orang itu
seorang tetapi, kenapa dua orang. Agaknya saya salah orang.”
“kamu
betul, akulah yang berjanji dengan bapa saudara kamu tu danini cucu aku. Kenapa
kamu ikut jalan laut tidak ikut jalan darat macam dikatakan oleh bapa saudara
kamu pada aku,” soal datuk.
No comments:
Post a Comment