Rupa-rupanya dengan anggukkan kepala yang saya lakukan
itu ternyata tidak memuaskan hati datuk, lalu dia bertanya bertanya:
"Kamu
faham dengan apa yang tuan haji katakan tu, Tamar?"
"Saya
faham tuk," suara saya meninggi sambil menjeling ke arah Haji
Yatimi.
Dia tersenyum panjang. Mungkin dia berasa lucu dengan
telatah saya itu.
"Kalau
begitu, biar aku beredar sekarang," kata Haji Yatimi dengan wajah yang
tenang. Datuk agak terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Haji Yatimi itu.
"Sekarang?" Datuk minta kepastian.
"Iya,
sebelum matahari terbit aku mesti meninggalkan tempat ini, kalau lambat
macam-macam boleh terjadi," jelas Haji Yatimi. Datuk tunduk membisu, tidak
ada sebarang pertanyaan yang keluar dari mulutnya.
Saya renung ke
dada langit, saya lihat ada kerdipan bintang yang kurang jelas di sebalik awan.
Langit tetap biru. Deru ombak terus menyanyi bebuih terapung dan terkandas di
gigi pantai. Dalam kedinginan itu saya menarik nafas lalu mengubah pandangan ,
merenung dada laut yang berkabus.
"Masa
datang ke sini tadi, ada kamu nampak apa-apa?" Haji Yatimi tatap seluruh
wajah datuk dengan sinar mata yang lembut. Datuk telan air liur, dia merenung
ke gigi pantai macam ada sesuatu yang difikirkannya.
"Ada apa-apa yang kamu nampak?" Ulang Haji
Yatimi lagi.
"Macam biasalah, Haji."
"Apa yang kamu buat dengan semuanya
tu?"
" Saya buat macam biasa, saya buat tak
kisah," jawab datuk dengan senyum.
Dialog antara Haji Yatimi dengan datuk membuat hati
saya menjadi resah. Macam ada sesuatu yang tidak kena saya rasakan , macam ada
rahsia yang mahu mereka sembunyikan dari pengetahuan saya. Dan saya kira
perbuatan mereka yang tidak mahu bercakap dengan jujur dan ikhlas itu, adalah
perbuatan yang tidak baik. Saya harus memprotes sikap itu, saya harus memaksa
mereka dengan cara yang sopan untuk menerangkan keadaan yang sebenar pada saya.
Kalau saya tidak berterus-terang, perasaan saya akan tertekan dan saya akan
sentiasa curiga dengan Haji Yatimi dan datuk. Saya harus bertindak demikian
dalam masa yang pendek saya membuat keputusan yang amat berani dan mengejutkan.
"Oh, kalau begitu, tuk sudah tahu. Patutlah
tuk tak cemas bila saya cakap tentang lembaga putih tadi," saya keluarkan
apa yang ada di dalam hati saya. Datuk dan Haji Yatimi berpandangan.
"Kamu tak usah tahu tentang hal tu," nada
datuk seperti memujuk. Haji Yatimi menggigit bibir, matanya tetap merenung ke
arah laut lepas.
"Datuk mahu sembunyi rahsia dengan saya?"
Tidak ada jawapan yang saya terima dari datuk.
"Ada pantang-larangnya yang membuat tuk
mesti berahsia dengan saya. Tuk mesti terangkan, kalau tidak saya tak puas
hati," saya mengugut secara terhormat.
Saya lihat datuk berada dalam keadaan serba salah. Dua
tiga kali Haji Yatimi meraba-raba pangkal lehernya. Dia tepuk bahu datuk,
seolah-olah suruh bertenang.
"Biar aku jawab boleh tak ,Tamar?" tanya
Haji Yatimi.
"Saya tak kira siapa yang nak jawab,"
"Baiklah Tamar, sebenarnya kami sendiri tak tahu
dari mana lembaga tu datang. Setiap kali aku dengan datuk kamu ke sini, lembaga
tu tetap datang, naik pening kami memikirkannya. Akhirnya kami buat tak
kisah," Haji Yatimi cuba membunuh keraguan yang bergayut di jantung hati
saya.
"Walau
macam mana pun, lembaga putih tu tak pernah mengganggu kami," sahut datuk.
"Kami pun tak pernah mengusiknya, dia dan kita
sama-sama menumpang di bumi Allah. Dia dengan jalannya dan kita dengan cara
kita, pokoknya dia juga hamba Allah macam kita, masih ada batas, ada sempadan
untuk dipelihara," Haji Yatimi memberi ceramah pendek yang tidak
membosankan.
Datuk hanya melihat tanpa berkata apa-apa, bila
melihat Haji Yatimi menukarkan serban hijau dengan serban putih. Haji Yatimi
berdiri tegak sambil memeluk tubuh, mukanya dihadapkan ke dada laut. Sepasang
anak matanya merenung tajam ke arah ombak yang bergulung menuju pantai.
Renungan Haji Yatimi bagaikan sampai ke dasar laut.
"Dengan izin Allah tidak ada bahaya menanti," perlahan-lahan Haji Yatimi alihkan pandangan ke wajah datuk.
Saya lihat datuk mengangguk. Haji Yatimi menadah kedua
belah telapak tangannya ke langit. Dia berdoa memohon restu dari Allah. Saya
tidak menumpukan sepenuh perhatian kepada pergerakan Haji Yatimi, saya lebih
senang melihat cahaya merah di kaki langit.
OMBAK
Cahaya merah bagaikan memukul permukaan ombak yang
bergerak selari menuju pantai sambil membiaskan warna keemasan berkilau-kilauan
di dada laut, keindahannya tidak dapat digambarkan.
Kalau saya seorang penyair mungkin keindahan itu dapat
saya terapkan dalam bait-bait sajak. Tetapi, apakan daya, saya saya bukan
seorang seniman. Daya kreatif dan khayalan saya tidak sekuat mana.
"Bismillah..."
Bagaikan kilat saya melihat ke arah Haji Yatimi . Dia
membuka langkah sulung menuju ke perahu. Dengan tenang dia meranduk air laut
hingga hujung jubahnya diresapi air.
"Doakan perjalanan saya selamat."
Haji Yatimi terus duduk di tengah perahu. Datuk
hulurkan batang nipah kepadanya.
"Terima kasih."
Dengan tenang Haji Yatimi menyambutnya. Dua tiga kali
dia menguji dayung ke air.
"Rasanya kali ini dayung tak berguna untuk
sepanjang perjalanan, saya nak gunakan sekejap saja," tutur Haji Yatimi
sambil meletakkan kembali dayung atas perahu.
Mendengar cakap Haji Yatimi itu, datuk terus
anggukkan kepala. Tetapi, saya menarik nafas panjang kerana kata-kata yang
dihamburkan oleh Haji Yatimi tidak logik.
Menurut Haji Yatimi dia akan menggunakan dayung
tersebut untuk tempoh yang sekejap saja, selepas itu dia menggunakan apa untuk
menggerakkan perahunya? Ingin saya tanyakan hal itu kepadanya tetapi, hati
terasa berat, mulut bagaikan terasa bisu.
"Saya nak gunakan dayung ni, bila dah dekat
dengan pantai Sumatera. Masa di tengah laut dayung ni memang tidak ada
manfaatnya," Haji Yatimi merenung dayung batang nipah, kemudian merenung
ke arah datuk.
"Jadi, tuan haji gunakan apa?" Tanya
datuk.
"Saya gunakan ini," Haji Yatimi
mengembangkan telapak tangannya ke arah datuk. Dada saya berdebar dan cemas,
barangkali rakan karib datuk ini mahu bergurau, fikir saya.
Kalau menggunakan telapak tangan sebagai dayung,
alamat kawan karib datuk mati kering di tengah Selat Melaka. Dalam diam-diam
hati kecil saya membuat andaian, lalu saya bayangkan sebuah perahu membawa
mayat manusia terumbang-ambing di tengah laut. Lama-kelamaan mayat itu terus
kering dan reput dalam perahu.
"Kalau
janji aku aku dengan Allah belum tiba waktunya, aku tak akan mati di tengah
laut."
Saya terkejut dengan kata-kata yang Haji Yatimi
ungkapkan itu. Dia bagaikan mengetahui apa yang bergolak di dalam dada saya.
Lebih mendebarkan hati saya bila sepasang matanya di arahkan ke wajah saya.
"Minta tolong tolakkan perahu aku ke tengah
sikit, hai orang muda," dengan senyum Haji Yatimi meminta bantuan saya.
Dan saya tidak keberatan melakukannya. Dengan segala daya saya dorong perahu.
Tetapi, perahu tidak juga berganjak walaupun seinci. Tiga kali saya dorong,
tiga kali saya mengalami kegagalan.
Hati saya jadi sakit, bila saya lihat Haji Yatimi
mengetawakan saya dan datuk tersenyum panjang. Haji Yatimi terus berdiri.
"Kamu
tidak mulakan pekerjaan dengan bismillah, kamu tidak meminta pertolongan
dari-NYA," tutur Haji Yatimi sambil membetulkan hujung serbannya yang
terdampar atas sayap bahunya. Datuk terus anggukkan kepala.
"Mari kita
sama-sama menolaknya," kata datuk.
Kepalang gembira hati saya mendengar pengakuan datuk
itu. Serentak saya dan datuk membaca Bismillah....dan terus menolak
perahu.
Hasilnya perahu bergerak ke kawasan air yang dalam.
Haji Yatimi tetap berdiri di tengah perahu sambil mengimbangi badannya agar
tidak jatuh. Dia angkat tangan kanan separas bahu dihalakan ke haluan perahu.
Bila tangan kanannya itu digerakkan ke kanan,
haluan perahu pun bergerak perlahan-lahan ke kanan lalu menghala ke tengah
laut(ke Sumatera) angin yang bertiup menggerakkan serban dan jubahnya, sekali
pandangan macam kain kapal layar.
"Doakan perjalananku selamat."
"Allah bersama Haji Yatimi, perjalanan haji
semoga selamat. Sampaikan salam saya kepada sahabat dan keluarga haji di
Solok," kata datuk.
"Insya-Allah, selamat tinggal," suara
Haji Yatimi lantang. Saya lihat Haji Yatimi duduk di tengah perahu. Kedua belah
telapak tangannya dijadikan dayung menguak ombak.
BUNYI
Pada saat itu juga saya terdengar bunyi desiran angin
dari arah daratan menghala ke laut. Haji Yatimi menguak air laut dengan kedua
belah telapak tangannya ,tiba-tiba saya lihat perahu meluncur dengan lajunya ke
tengah laut lepas dan Haji Yatimi tidak lagi menguak air laut.
Dalam sekelip mata saja, Haji Yatimi dan perahu
lesap dari penglihatan. Saya bagaikan tidak percaya dengan apa yang saya
hadapi, dua tiga kali, kelopak mata saya gosok.
"Jangan terkejut dengan semuanya ni, semuanya
terjadi dengan izin Allah, permintaannya diperkenankan Allah," datuk terus
menepuk bahu saya.
"Menakjubkan tuk."
"Itu perkara biasa, aku selalu melihatnya, itulah
sebabnya aku ajak kamu ke sini, biar kamu lihat dengan mata kepala kamu, betapa
hebatnya amalan yang dibuat oleh Haji Yatimi. Semuanya berpunca dari
keikhlasan. Dia beramal dengna ikhlas dia mohon sesuatu pada Allah dengan
ikhlas untuk kebaikan bukannya untuk kejahatan," lanjut datuk lagi. Dan
saya tidak kuasa untuk memberi sebarang komen dengan apa yang datuk ucapkan.
Datuk dan saya meninggalkan kawasan Teluk
Senangin. Matahari mula menyebarkan sinarnya yang lembut kepada air lembut di
hujung dedaun, sentuhan sinar matahari membangkitkan cahaya kemilau di hujung
dedaun.
Beburung mula berterbangan sambil berkicau riang,
bunyi suara ungka dan monyet kian perlahan. Langkah datuk kian rancak. Saya
dongak ke langit melihat awan langit yang putih bersih.
"Tuk tak mandi embun?"
" Nanti sampai rumah, aku tukar pakaian
lain,"
" Pakaian yang tuk pakai ni tak boleh mandi
embun,"
"Ah, kamu ni banyak cakaplah Tamar."
Saya menelan air liur. Dan saya berazam tidak mahu
bertanya apa-apa dengan datuk sehingga sampai ke rumah. Bagi menghilangkan rasa
bosan, saya memperlahankan langkah hingga jarak saya dengan datuk berada jauh.
Saya bersiul-siul kecil membawakan lagu yang cukup 'top' pada saat itu, lagu
HITAM MANIS dendangan biduan R. Azmi.
Sayup-sayup saya terdengar bunyi suara orang bercakap
dalam jumlah antara tiga hingga lima orang. Datuk angkat tangan kanan memberi
isyarat kepada saya supaya berhati-hati. Dari arah yang bertentangan muncul
beberapa orang kampung yang dikepalai oleh Mat Upeh.
"Mahu ke mana kamu semua?" Tanya datuk.
"Kami nak ke Teluk Senangin," jawab
Mat Upeh.
"Nak buat apa?"
"Nak
menghantar Haji Yatimi ke Sumatera, kami bawa pisang, keladi dan beras huma
untuk dibawa ke sana," jawab Shamsuddin Silong, keturunan dari Kampar,
Sumatera yang sudah lama bermastautin di kampung saya. Datuk senyum dan ketawa
panjang.
Perbuatan datuk
itu, tentu saja mengejutkan kawan-kawan Mat Upeh.
"Kenapa
ketawakan kami," tanya mereka serentak.
"Haji
Yatimi bukan datang dengan tongkang, kalau dia datang dengan tongkang
barangkali semua barang-barang yang hendak kamu berikan kepadanya boleh
dibawa."
"Habis
datang dengan siapa?" Tanya mereka lagi.
"Dia
datang dengan perahu kolek,"
Mendengar
kata-kata datuk itu, kawan-kawan Mat Upeh berpandangan sama sendiri. Rasa
kecewa terbayang di wajah mereka.
"Dia tahu
kamu semua ni, nak bagi barang-barang kepadanya," risik datuk lagi.
"Tidak,
kalau kami berterus-terang nak bgi kepadanya, tentu dia menolak, bila kami
dapat tahu dia nak bertolak ke Sumatera dari Teluk Senangin, kami pun buat
rancangan mengejut ni," terang Shamsuddin.
"Sudahlah,
lupakan semuanya. Bawalah barang-barang ni balik," tutur datuk lalu
meneruskan perjalanan.
Mat Upeh dan
kawan-kawannya berpisah dengan saya dan datuk. Masing-masing dengan haluan
sendiri. Dan matahari kian meninggi, badan mula terasa panas dan berpeluh.
Sebaik saja
kami sampai di rumah nenek sudah menanti dengan sarapan pagi. Tetapi datuk
tidak menjamah makanan dan minum iar kopi. Dia melakukan senaman dan mandi air
embun . Bila semuanya itu selesai barulah dia bersarapan pagi.
AMANAH
Sudah sebulan lebih Haji Yatimi pulang ke Solok. Tidak
ada khabar berita yang datuk peroleh darinya. Hubungan kami dengannya bagaikan
terputus.
Tetapi, apa
yang saya lihat dan alami tetap menjadi rahsia diri. Tidak saya ceritakan
kepada sesiapa pun. Demi menjaga amanah datuk.
Masa terus
berlalu, ingatan saya terhadap Haji Yatimi kian tumpul. Begitu juga apa yang
diperlihatkan oleh Haji Yatimi di Pantai Teluk Senangin, makin kurang bermain
di kotak fikiran saya. Adakalanya lupa terus. Mungkin semuanya ini, berpunca
dari datuk yang selalu mengingatkan saya supaya jangan taksub(fanatik) terhadap
Haji Yatimi.
Kata datuk,
bila kita terlalu taksub pada seseorang, mungkin membawa kecelakaan pada diri
sendiri. Boleh menumpulkan mata hati dan fikiran, kerana kita terlalu memuja
tokoh yang dikagumi. Apa yang dibuatnya semua baik belaka.Sesungguhnya, Islam
melarang perbuatan memuja seseorang.
"Perbuatan
begitu termasuk dalam syirik kecil. Aku harap kamu tidak terjumlah dalam
golongan tersebut," kata-kata yang diungkapkan oleh datuk itu selalu
bermain dalam tempurung kepala saya.
Jika ada
kawan-kawan yang mula memperlihatkan unsur-unsur fanatik terhadap seseorang
pemimpin atau tokoh masyarakat, kata-kata datuk itu segera saya sampaikan
kepada mereka.
Tidak semua
kawan-kawan menelan begitu saja dengan apa yang saya tuturkan itu.Mereka
berdebat dan berbahas. Bagi mempertahankan kata-kata datuk itu, saya terpaksa
berhujah dengan mereka.
Saya terpaksa membuat rujukan dengan membaca kitab,
bertanya pada orang yang lebih pandai dalam selok-belok agama. Kalau perlu,
saya terpaksa mencari hadis sahih serta mencari tafsiran al-Quran.
Tanpa disedari,
perbuatan saya bersama kawan-kawan yang suka berdebat dan berbahas untuk
mencari kebenaran itu, menimbulkan minat yang sungguh tinggi dalam diri kami
untuk mencari ilmu. Biasanya, perdebatan kami lakukan di dalam masjid atau
surau.
Kami mula jadi
ulat buku terutama buku-buku agama dan falsafah Islam yang menyangkut bidang
ekonomi, undang-undang dan sebagainya. Kedai buku yang sering kami kunjungi
ialah AL-ZAINIAH di bandar Taiping.
Pada masa itu,
buku pengetahuan tentang Islam yang ditulis dalam bahasa Malaysia agak
berkurangan. Malah boleh dikatakan tidak ada langsung.
Saya dan
kawan-kawan terpaksa mencari buku terjemahan dalam bahasa Indonesia dan Inggeris.
Selalunya, bahasa Indonesia yang lebih kami utamakan, secara kebetulan di
kalangan kami hanya beberapa orang saja yang dapat menguasai bahasa Inggeris
dengan baik.
Mereka itu
terdiri dari para pelajar yang bakal menjadi mahasiswa Universiti Malaya (yang
pada masa itu bertempat di Singapura) sebahagian dari kawan-kawan saya itu
kini, ada yang menjadi orang politik, tokoh agama malah ada yang masih belajar
di luar negara.
Hasil dari suka
berdebat untuk mencari kebenaran dan rajin membaca buku pengetahuan, saya rasa
minda saya makin luas dan matang.
Tidak suka
bercakap sebarangan dan mendengar sembang atau borak kosong. Saya semakin
menjauhkan diri dari dari majalah yang bercorak hiburan. Saya lebih suka
menghabiskan masa berjam-jam dalam bilik membaca buku agama dan pengetahuan.
Saya beruntung
kali ini, nenek tidak begitu kisah sangat tentang diri saya. Nenek tidak peduli
sama ada saya turun ke sungai melihat atau menahan lokah. Nenek tidak ambil
tahu sama ada saya pergi ke kaki gunung atau bukit melihat jerat pelanduk.
Nenek tidak menegur saya, kalau saya pergi ke kebun pisang pada sebelah petang
saja.
"Kamu sekarang jadi raja, bebas dan merdeka. Bila
datuk kamu balik, barulah kamu tahu untung nasib kamu," usik nenek di
suatu petang, semasa dia melihat saya terbaring di katil sambil membaca buku.
SAMBUT
Usikan nenek itu saya sambut dengan senyum sinis yang
panjang. Saya segera bangun dan terus letak buku atas tilam. Tanpa dipelawa
nenek terus duduk di sisi. Dengan cara bersahaja dia menatap wajah saya.
"Buku apa
kau baca Tamar?"
"Buku
tentang kejayaan dan kejatuhan para khalifah Islam."
"Tulisan
orang putih?" Biji mata nenek terbeliak merenung tulisan rumi di bahagian
kulit belakang buku.
Saya menggigit bibir, sebuah penjelasan yang jitu
harus dikhabarkan kepada nenek yang buta huruf.
No comments:
Post a Comment