Keadaan ini membuat saya resah semacam.
Rasanya ingin menjerit sekuat hati untuk menarik perhatian datuk. Biar dia tau
apa yang sedang kami alami. Tetapi, bila memikirkan keadaan itu akan
menimbulkan masalah pada datuk, saya tidak jadi melakukannya.
Dalam perasaan yang kacau bilau itu, kulit
kepala terasa perit dan pedih. Tiba-tiba Ali Usman mengeluh kecil dan batuk
berkali-kali. Saya rasa ini merupakan usaha untuk menarik datuk pada kami
berdua. Helai-helai rambut terus jatuh ke lantai.
Saya kira kalau keadaan ini berlanjutan lebih
dari satu jam. Tidak mustahil kepala saya dan Ali Usman akan botak. Entah
mengapa saya jadi marah lalu menghentakkan kaki ke lantai.
"Jangan banyak karenah, bertenang dan
terus tunduk." tutur datuk lantang.
"Tengkuk rasa tak selesa." balas
Ali Usman.
"Jangan membantah." herdik datuk.
Saya dan Ali Usman menarik dan melepaskan
nafas. Rambut atas kepala terus luruh, bagaikan daun kering.
Sekumpulan anai-anai dalam jumlah yang besar
bersama bunyi mengaum, macam bunyi lebah, keluar dari bawah tulang selonggok.
"Dari mana datangnya binatang ni?"
Saya bertanya.
"Bukankah dari anai-anai, jadinya
kalkatu," sahut datuk
"lya.”
balas Ali Usman.
"Bila kalkatu tak ada sayap, dia pun
jadi anai-anai semula.” sebuah penjelasan dari datuk yang membunuh keraguan
hati saya.
Seperti kalkatu tadi, kumpulan anai-anai ini
bergerak menuju ke arah saya dan Ali Usman. Kerana bergerak dalam kumpulan yang
banyak. Bunyi kaki kumpulan anai-anai itu jelas kedengaran, macam bunyi orang
menarik kertas di lantai papan. Saya dan Ali Usman jadi cemas dan takut.
Macam-macam yang saya fikirkan, apakah nasib
kami berdua seperti nasib wanita hodoh. Seluruh daging yang melekat di tulang
akan menjadi habuan anai-anai. Kerana tidak tahu apa yang harus dilakukan, saya
dan Ali Usman pasrah saja.
Sungguh mengejutkan, bila kumpulan anai-anai
itu, mendekati rambut yang berserakan di lantai entah mengapa, kumpulan
anai-anai itu berpatah balik ke arah tulang selonggok. Tetapi, hanya separuh
jalan, kumpulan anai-anai itu mencari rekahan papan lantai lalu menyelinap dan
hilang dari pandangan kami berdua.
"Sekarang luruskan badan kamu
berdua," ungkap datuk.
Arahannya segera kami patuhi. Rasa lenguh di
batang leher mula beransur hilang. Dua tiga kali leher saya pusingkan ke kiri
dan ke kanan. Datuk senyum.
"Begini" datuk sandarkan badan ke
dinding."sebenarnya yang jatuh atas lantai itu bukan rambat kamu. Itu bulu
kabung, memang sumpah dan pantang makhluk jadian berdepan dengan bulu
kabung." sambung datuk tenang.
Tanpa membuang masa datuk terus mengambil bulu kabung atas
lantai. Dengan tenang dimasukkan ke dalam pundi kecil yang dibuat dari kain
hitam. Dan pundi itu dimasukkan ke dalam saku baju sebelah dalam.
"Aku rasa selepas ini tak ada lagi
hal-hal yang menakutkan. Semuanya sudah sampai penghujung," lemah benar
suara datuk. Dia terus duduk di lantai. Tetapi, kami masih berdiri terpacak.
“Saya juga berharap begitu” Ali Usman
meluahkan rahsia hati.
"Terus terang saya katakan, saya dah tak
larat," saya mengeluh.
“Huummmm...,” suara datuk terkulum
“Zuuummmm........”
Enam biji mata tertumpu ke arah bunyi
tersebut, tidak jauh dari longgokan tulang. Kepulan asap nipis muncul dan terus
mengelilingi tulang selonggok dalam tempoh waktu kurang dari lima minit, asap
nipis itu bersatu. Kemudian asap itu
naik menegak menuju ke arah tulang bumbung rumah.
HARUM
BAU harum bercampur dengan bau kemenyan dan
kayu cendana mula menyumbat lubang hidung kami bertiga. Kalau tadi lubang
telinga saya disumbat dengan bunyi deru angin dan suara lebah, tetapi, kali ini
diasak dengan suara binatang liar.
"Ada cubaan lagikah datuk," tanya
saya hiba.
“Bertenang Tamar,” balas datuk. Saya terlihat
bahagian lantai yang pecah dan membentuk bulatan seperti telaga yang bersimen,
kian jelas kelihatan. Saya juga terdengar bunyi kocakan air telaga yang diiluti
dengan suara perempuan bercakap sesuatu.
“Telaga buta dalam rumah.” Ali Usman
terkejut.
“Iya,”
jawab datuk. “Kita tengok apa yang akan terjadi.”
Sekarang di hadapan tertonggok sebuah perigi
lama. Asap yang menjulang ke arah tulang bumbung bergerak perlahan-lahan menuju
ke arah bibir telaga yang bahagian tepinya bersimen. Dan dalam sekelip mata
permukaan telaga lama tidak kelihatan hilang dalam pelukan asap nipis yang
sudah menjadi tebal. Begitu juga dengan longgokkan tulang, hilang entah ke
mana.
Harum kemenyan dan cendana masih dapat kami hidu. Sungguh mengejutkan, rasanya tidak
percaya dengan apa yang ada di depan mata. Dua tiga kali mata saya gosok dan
pejam celikan.
“Aku bermimpikah Ali." tanya saya.
“Maksud kamu Tamar?”
"Barangkali kamu tidak melihat apa yang
aku lihat Ali."
"Maksud kamu bayang-bayang
perempuan."
"lya"
“Kalau begitu kita melihat benda yang sama.”
Nada suara Ali Usman cemas dan takut.
Kami melihat objek yang sama. Di tempat asap
berkepul yang memanjang ke atas segera diisi dengan bebayang tubuh wanita yang
memberahikan. Sebagai orang muda, berdebar juga hati. Dan makin lama, bebayang
itu makin jelas kelihatan. Dan akhirnya wujud di depan kami seorang wanita.
Berkulit putih, berambut panjang hingga paras
pinggang dengan sepasang mata bundar yang menarik. Telaga lama yang hilang
wujud kembali di depan mata. Si wanita memberikan senyuman bersama jelingan
yang tajam menggoda. Pada saat itu saya segera mengingati wajah beberapa orang
pelakon wanita filem Melayu dan Hindustani. Memang tiada seorang pun yang menyamai
kecantikan paras, ketinggian dan bentuk tubuh wanita tersebut.
Dengan langkah yang bergaya, goyang punggung
yang mendebarkan serta gerak payu dara yang lembut membuat saya menarik nafas.
Pada hemat saya, datuk yang tua juga tergugat. Ali Usman usah disebut, gelora
rasanya tetap macam saya.
Si wanita cantik terus melangkah hingga
sampai ke bibir telaga lama. Dia menoleh ke arah kami lalu melemparkan senyuman
dan jelingan tajam. Semasa kaki kanannya diangkat untuk memijak bibir telaga
yang dibuat dari simen, lagi sekali hati saya berdebar. Buah betisnya yang
putih merah nampak terserlah.
Mungkin untuk menggoda atau memang terpaksa,
kain batik jawa yang dipakai terus diselak hingga ke pangkal paha. Entah
mengapa rasa geram dan berahi terus mengegar kalbu. Serta merta tubuh saya
menggeletar. Antara sedar dengan tidak, saya dapati wanita itu sudah berada
betul-betul di tengah-tengah mulut telaga.
Dari segi logiknya, tubuh itu mesti jatuh ke
dalam perut telaga. Kenyataan di depan bagaikan menafikan kelojikan tersebut.
Si wanita cantik masih berdiri di situ seperti berada di awang –awangan.
TERANGKAT
BEBERAPA saat berikutnya.
Tubuh wanita cantik secara perlahan-lahan
terangkat melepasi tembok telaga lama. Dari bahagian pinggangnya hingga hujung
kaki terbuai-buai, macam daun pisang dirempuh angin.
Pada peringkat awal gerakannya nampak
perlahan-lahan dan lembut. Kemudian bertukar kencang beserta dengan deru angin.
Bila bunyi deru angin terhenti, bahagian
tubuh yang terbuai-buai juga berhenti. Sukar untuk mempastikan dari arah mana
bunyi deru angin itu datang.
Dan dengan secara mengejut bunyi deru angin
terus mati. Bahagian bawah tubuh wanita itu terus kaku, tidak bergoyang lagi.
Tetapi, ada perubahan terjadi di bahagian tubuh yang kaku itu. Dari pinggang
hingga ke kaki keadaannya sudah bertukar menjadi badan ikan. Manakala separuh
lagi (bahagian atas) dalam keadaan tubuh manusia biasa.
“Manusia ganjil.” kata saya.
“Separuh manusia, separuh ikan,” sahut Ali
Usman.
"Jangan banyak cakap, tengok saja."
sergah datuk.
Saya dan Ali Usman berpandangan. Dan wanita
separuh ikan, separuh manusia masih berada ditempatnya, terawang-awangan. Masih
mempamirkan senyuman yang menyenangkan. Masih berkesempatan memberikan jelingan
yang mempesonakan mengundang rasa geram dalam hati saya.
"Kamu puteri duyung," kalbu
bertanya sama sendiri. Wanita cantik menggelengkan kepala. Dia bagaikan tahu
apa yang bergelora dalam hati.
Dalam erti kata lain wanita itu dapat membaca
suara hati saya secara batin. Mungkin gerak tubuh juga dapat ditafsirkannya.
Kalau begitu ada baiknya berdialog dalam hati.
"Kamu puteri duyung?"
Wanita cantik gelengkan kepala.
"Jadi siapa kamu yang sebenarnya"
Wanita cantik itu memusingkan tubuhnya,
membelakangi kami bertiga sambil menggerak-gerakkan pinggangnya.
“Hussss.......”
Ali Usman mengeluh dan pada masa itu juga,
wanita cantik kembali kepada kedudukan asalnya. Berhadapan dengan saya dan Ali
Usman. Datuk bagaikan tahu, apa yang bakal dilakukan oleh wanita cantik. Datuk
segera mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dia membelakangi wanita cantik
itu.
Memang, sejak kemunculan wanita cantik itu,
datuk kelihatan tidak berapa senang. Dia lebih banyak memejamkan mata dari
celik. Kain yang membalut tubuh si wanita terlalu nipis, semua liku tubuh
nampak dengan jelas. Cara ini memang menghiburkan hati saya dan Ali Usman.
Tetapi, mengundah- gelanakan hati datuk.
“Ahhhhhhhh..............”
Mulut Ali Usman terlopong. Si wanita cantik
menjatuhkan kain yang membalut bahagian atas tubuhnya. Saya sesak nafas, dua
ketul daging mentah yang tumbuh di dada, turun naik mengikut gerak nafasnya.
Tubuh saya menggeletar menahan ghairah nafsu yang membakar.
Saya tidak tahu perasaan Ali Usman ketika
itu. Walaupun tidak melihat ke arah datuk, tetapi, saya yakin orang tua itu
sedang merapatkan kedua-dua belah kelopak matanya. Mungkin juga dia menggunakan
kedua belah telapak tangannya untuk menutup mata.
"Kamu berdua mahu tahu tentang diri aku.
Inilah aku yang sebenarnya. "
Sebaik saja wanita cantik menamatkan kata,
paras rupanya terus bertukar menjadi hodoh. Dia kelihatan amat tua sekali.
Seluruh kulitnya barkedut. Ada bahagian-bahagiannya berbonjol-bonjol. Bau hapak
dan busuk mula menyumbat lubang hidung saya dan Ali Usman.
Bahagian badan dari pinggang hingga ke kaki
yang tadi bertukar menjadi ikan, kembali pada keadaan asal. Tetapi, kulit
bahagian itu kelihatan bersisik macam sisik ular sawa. Dia masih berada
diawang-awangan. Rambut putihnya yang lebat dan panjang menutup sebahagian
daripada wajahnya.
Proses yang berlaku cukup cepat. Semuanya
secara mengejut dan tiba-tiba.
RAMBUT
KADANG-KADANG perkara yang tidak terfikir,
berlaku secara sepontan. Contohnya, rambut yang hitam pendek, menjadi panjang
dan memutih hingga ke kaki.
“Ehem.”
Saya dan Ali Usman segera merenung ke arah
datuk. Biasanya, ada sesuatu yang mahu datuk katakan bila dia bersuara
sedemekian.
"Berhati-hati dengan tipu
helahnya." Amaran dari datuk. Dan kami pun segera anggukkan kepala.
"Silap bertindak, buruk padahnya."
Datuk menambah.
“Tak adakah cara lain untuk keluar dan rumah
neraka ni tuk,” saya memberanikan diri bertanya.
“Kita mesti sabar,” nada suara datuk lemah.
“Heeeheeeeee......................”
Wanita cantik bertukar hodoh mengilai panjang
terasa seram dan bulu roma segera tegak. Kalau tadi perhatian tertumpu ke arah
datuk. Kali ini terpaksa diarahkan semula kepada wanita cantik bertukar hodoh.
“Dia orang tua yang pandai,” ucap si wanita
sebaik saja ketawanya yang menakutkan itu berhenti. Datuk tidak memberikan
sebarang komen.
Berada dalam suasana yang tidak menentukan,
ibarat berada di tepi unggun api yang membara besar. Sentiasa takut dan cemas.
Bau busuk dan hapak yang mencucuk lubang hidung membuat tekak terasa loya dan
mahu muntah.
“Huuuuuhhhhhhhh....................”
Si wanita di depan kami menggeliat. Kulitnya
yang berkedut dan bersisik kelihatan relai, satu persatu. Macam daun tua lekang
dari ranting. Dari hujung dagu, pipi dan mata keluar melilih air menyerupai
minyak kelapa. Terus terjatuh ke dalam mulut telaga yang ternganga.
“Ahhhh....uuuuhhh......”
Dari gerak badan dan kerut muka. Ternyata
wanita cantik bertukar hodoh sedang menahan rasa sakit yang amat sangat. Memang
ada usaha darinya untuk menyembunyikan apa yang dialami dari pengetahuan kami.
Tetapi, rintihan dan keluhan yang terkeluar dari mulutnya membuka rahsia
dirinya.
"Jangan sampai terpedaya "
Datuk terus mengingatkan kami. Si wanita yang
terawang-awangan di permukaan mulut telaga lama, kurang senang dengan tindakan
datuk itu. Kemarahannya di sampaikan
dengan jelingan yang tajam. Penuh rasa benci dan dendam kesumat yang tiada
akhirnya.
“Kerana bapa saudara kamu ......”
Wanita cantik bertukar hodoh tidak meneruskan
kata-katanya. Renungannya bertukar dari wajah datuk ke wajah Ali Usman yang
berada di sisi. Renungan itu bagaikan
ada kuasa yang menyebabkan sepasang kepala lutut Ali Usman menggeletar.
“Tenang Ali, aku ada di sini,” datuk
memberikan semangat.
Wajah Ali Usman yang pucat kembali merah
berdarah. Dengan tenang dia menggigit bibir dan menggenggam penumbuk. Ali Usman
sedang berusaha membina sebuah keyakinan dalam dirinya.
“Kerana bapa saudara kamu,” si wanita
mengulangi dan menyambung percakapan yang terputus. “kerana bapa saudara kamu
memelihara aku dan dipergunakan untuk wanita-wanita lain hingga membolehkan aku
tidak kelihatan tua. Setiap orang yang dipasang susuk oleh bapa saudara kamu,
aku dapat mencuri kecantikan asal orang itu, aku dapat menikmati darah
manisnya.”
Bibir dan mulut si wanita itu tidak bergerak.
Tetapi, suaranya yang tersekat-sekat dan termengah-mengah dapat kami dengar
dengan jelas. Pada saat itu juga terdengar suara tangisan kanak-kanak seperti
baru dilahirkan.
“Sekarang biarlah aku pulang ke tempat asal
aku,” kata wanita cantik bertukar hodoh.
“Silakan,” sahut datuk.
“Sial,” kutuk si wanita.
Seiring dengan itu, rumah terasa bergoncang
dengan kuatnya. Saya dan Ali Usman saling berpaut bagi menghindari tubuh jatuh
di lantai.
“Drummmmm........”
Satu ledakan kuat bergema. Saya terpana
sebentar seperti berada di awang-awangan. Badan rasa terbuai ke sana dan ke
mari. Dalam keadaan yang tidak menentu itu, saya lihat papan lantai yang
terkopak bertaut kembali.
Telaga lama yang muncul secara tiba-tiba
terus hilang entah ke mana. Tempat di mana telaga itu muncul segera diganti
dengan api kecil, seperti api sumbu pelita minyak tanah. Melintuk-liuk mengikut
arah angin yang bergerak dalam kawasan sekitar. Dalam sekelip mata api yang
kecil menjadi besar.
BESAR
API itu terus marak dan bergerak dengan
pantas mengelingi kami. Tidak tahu apa yang mesti dilakukan. Paling
mengejutkan, datuk berada di luar lingkaran api. Tidak tahu macamana datuk
mesti berada di luar.
Apakah semasa api menjalar datuk sudah
bersedia menyelamatkan diri atau api sendiri tidak mahu mendekati datuk. Selain
dari itu, saya juga terfikir bagaimana boleh terjadi lingkaran api, kenapa api
itu tidak merebak ke tempat lain. Apakah sebelum api itu datang, sekitar tempat
kami berdiri sudah disimbah dengan minyak petrol.
Saya mula terasa susah untuk menarik dan
melepaskan nafas. Api yang marak terus melepasi kepala kami berdua. Haba panas
membuat kulit pedih. Asap tebal membuat kami hampir lemas, tersedak dan batuk.
Kerongkong terasa kering, sukar untuk memanggil datuk. Tetapi, dicelah-celah
lidah api yang sebentar meninggi dan sebentar menurun, datuk masih dapat
dilihat.
Datuk masih berdiri di tempatnya. Nampak
cemas dan bimbang sekali. Bibirnya bergerak membaca sesuatu. Tetapi, hasilnya
masih kosong. Datuk membuka silat, bergerak ke kiri dan ke kanan, sambil
menarik dan melepaskan nafas. Setiap kali nafas ditarik dan dilepaskan mulutnya
tetap bergerak. Seluruh kulit mukanya nampak tegang dan berpeluh.
Semua kerja-kerja yang dilakukan oleh datuk
menjurus pada kehampaan dan kekecewaan. Barangkali, kerana tidak ada cara lain
atau datuk sudah kehabisan usaha dia terus melaungkan azan. Saya dan Ali Usman
mengalami kejutan. Punggung terasa seperti dipukul dengan benda keras.
Tubuh kami terangkat ke udara dan
melayang-layang tidak tentu arah. Saya berusaha untuk menjerit dengan sekuat
hati, bila menyedari tubuh kami di tolak angin ke arah sebatang pokok besar.
Belum pun suara jeritan keluar, tubuh kami terus melanggar batang pokok besar.
Setelah itu saya tidak tahu apa yang berlaku.
No comments:
Post a Comment