Wanita hodoh itu menggunakan
kekuatan ilmu aliran nadi yang disalurkan kearah tumit kakinya yang bercantum
pada sekeping papan lantai yang secara kebetulan dipijak oleh sepasang kaki Ali
Usman. Andainya sebelah kaki Ali Usman memijak papan lantai yang lain, pasti
aliran nadi hitam wanita hodoh tidak akan berhasil meresap ke urat darah Ali Usman.
Seluruh tubuh Ali Usman jadi lembik dan
perlahan-lahan mahu rebah ke lantai. Sepatutnya dia rebah ke kiri dan ke kanan
tetapi yang anehnya, dia seakan-akan rebah kurus ke atas papan lantai sekeping
yang dipijak oleh wanita hodoh.
Bayi dalam dakapan wanita hodoh ketawa
kegelian seperti digelitik. Malah bayi itu bertepuk tangan.
Saya menarik nafas kecewa, beberapa detik
lagi seluruh tubuh Ali Usman yang lembik akan terbaring di papan lantai
sekeping. Kejadian seterusnya susah sungguh mahu diramalkan. Wanita hodoh mula
ketawa, tergambar kepuasan dan kegembiraan yang amat sangat di mukanya.
“Allahu hu Akbar.”
Datuk bertempik, melompat hampir mengenai
lelangit bilik dengan kedua-dua belah kakinya terkangkang dan sepasang
tangannya berkembang. Bila tubuh yang melambung itu kembali berada di lantai
tanpa membuang masa datuk terus menumbuk papan lantai di hadapannya.
Aneh sungguh, papan lantai yang ditumbuk
tidak pecah, sebaliknya papan lantai yang menjadi tempat wanita hodoh dan Ali
Usman berdiri patah dua dan tercabut dari paku. Papan yang patah jatuh ke tanah
lalu terbentuk ruang atau lubang yang panjang. Cahaya dari luar menyelinap
masuk. Ketawa si bayi dalam dakapan wanita hodoh terhenti dan wajah wanita
hodoh yang ceria menjadi keruh dan cemas.
“Kubur untuk kau,” kata datuk.
“Belum tentu.” Sahut wanita sambil menjenguk
ke arah lubang lantai yang ternganga, macam mulut buaya lapar menanti monyet
turun dari pokok bakau.
Saya pastikan, sebaik selesai menjengah ke
lubang yang terpelohong itu, wanita hodoh termenung seketika. Macam ada sesuatu
yang difikirkannya.
“Mungkin juga untuk aku, mungkin juga untuk
orang yang mungkir janji,” sindir wanita hodoh sambil menjeling tajam ke arah
Ali Usman yang sudah boleh berdiri dengan betul, sebaik saja papan yang di
pijaknya patah dan menjadi lubang.
“Bertenanglah Ali Usman. Aku tidak akan
membiarkan kamu sengsara,” sebuah ikrar terpancar dari kelopak bibir datuk. Ali
Usman yang sudah memperolehi kekuatan semangat dan fizikal mengukir sebuah
senyum keyakinan buat dirinya dan datuk.
“Hai, orang tua nak mampus, usah masuk campur
dalam urusan ini. Biarlah hal ini diselesaikan oleh anak saudara orang terbabit
dalam perkara ini,” satu permintan yang keras dari wanita hodoh untuk datuk.
Di sebalik permintaan yang keras itu, wanita
hodoh terus menjadikan datuk sasaran kemarahannya untuk kali kedua.
Kalau tadi matanya merah menyala dan kedua
belah bahu mengeluarkan asap. Tetapi, kali ini dari mata yang merah itu
terpancar cahaya kebiruan yang panjang dan tajam, macam pancaran laser, Setiap
benda yang terkena pancaran cahaya akan cair dengan sendiri Manakala dari kiri
dan kanan bahu sudah bertukar daripada asap mengeluarkan percikan bunga api
seperti yang selalu dimainkan oleh kanak-kanak ketika menyambur hari raya.
GAGAL
Berkali-kali sorotan pancaran cahaya itu
diarahkan kepada datuk. Semuanya gagal, pancaran itu seolah-olah ditolak oleh
angin ke arah lain.
Dalam masa yang sama terdengar suara datuk
membaca surah Al-Kursi dengan fasih dan lancar sebutannya. Selagi ayat-ayat itu
terkeluar dari mulut datuk, kedudukan sorotan cahaya tidak mengikut seperti apa
yang di arahkan oleh wanita hodoh, malah sorotan cahaya menjadi lintang pukang
dan saling tindih menindih.
Setiap kali sorotan cahaya itu berpatah ke
arah wanita hodoh dan mengenai tubuhnya, wanita hodoh akan menjerit kesakitan
dan hujung rambutnya akan terbakar lalu mengeluarkan bau hangit yang amat
sangat.
“Bodoh sial,” Wanita hodoh cuba menimbulkan
kemarahan datuk. Dalam perkiraannya, bila datuk marah, datuk tidak dapat
mengawal perasaan. Mudahlah baginya mencari kekurangan atau kelemahan diri
datuk. Dengan itu mudah lah dia menewaskan orang tua yang menjadi batu
penghalang cita-citanya.
Segala usaha yang dilakukan tidak menjadi.
Datuk tetap tenang dan dingin. Tidak memperlihatkan sebarang reaksi.
Sebaliknya terus mendekati Ali Usman. Bahu
kiri anak saudara raja pukau itu ditepuknya beberapa kali. Ternyata tindak
tanduk itu menyemarakkan kemarahan yang
sedia ada dalam dada wanita hodoh. Dengan serta merta pancaran cahaya yang
menyerupai pancaran laser itu dimatikan.
“Kraaakkkkk....”
Seluruh perhatian kami tertumpu ke arah bunyi
tersebut. Beberapa keping papan lantai turut patah (terutama di kiri kanan
papan yang patah pada mula-mula tadi)
membentuk permukaan yang bulat seperti permukaan perigi yang seluasnya lebih
dari empat kaki dalam bentuk bulat.
Dari permukaan papan yang bulat itu terhulur
secara perlahan-lahan ketulan batu bata tua yang penuh lumut dan rumput-rumput.
Ketulan batu lama tersusun rapi mengelilingi lubang yang tersedia di lantai.
“Telaga timbul dalam bilik,” itu komen saya
melihat kejadian di depan mata yang tidak masuk di akal.
“Itu bukan telaga, tetapi kubur untuk kamu
bertiga,” wanita hodoh membalas komen saya.
Datuk hanya diam. Sentiasa berjaga-jaga untuk
menghadapi sebarang kemungkinan. Wanita hodoh terus berusaha dengan menimbulkan
bermacam macam bunyi yang lebih menakutkan daripada tadi di dalam bilik.
Malah dengan kuasa sihir yang ada padanya,
wanita hodoh mendatangkan ular bisa dan beribu-ribu kala jengking di atas lantai.
Semua binatang berbisa menuju ke arah kami bertiga tetapi berpatah balik ke
arah wanita hodoh lalu menjadi dedaun kering, bila datuk menjentik papan lantai
dengan kuku jari hantunya.
PERUT
Jalan terakhir yang dilakukan wanita hodoh
untuk melunaskan rasa marah hatinya, bayi dalam pangkuannya dibalingkan ke
pangkal tiang. Kepala bayi itu bekecai dengan otak bersemburan. TEmpurung kepalanya
terbelah dua. Apa yang menakjubkan bayi itu tidak menangis langsung. Darah
bertebaran di lantai.
Memang tidak disangka, kejadian yang ngeri
dan menakutkan itu berlaku di depan mata. Saya kecut perut. Wanita hodoh
melangkah ke tiang tempat dia menghempaskan bayi kesayangannya. Sekujur tubuh
bayi terkapar dilantai, dikelilngi darah merah segar.
“Daripada hidup menderita, tidak bertuan
lebih baik kamu mati,” terdengar ratapan dari wanita hodoh. Sungguh mendebarkan
bila sepasang kaki wanita hodoh memijak-mijak tubuh sibayi. Darah
memancut-mancut dari tubuh bayi ang malang. Wanita hodoh duduk mencangkung di
depan tubuh bayi yang terkapar.
Sepasang matanya bersinar garang. Kemudian
perlahan-lahan membongkok tubuh lalu menjilat darah bayi di lantai serta menelan
tulang-temulang yang ada di situ. Lidahnya yang agak luar biasa panjangnya itu
di penuhi dengan darah.
Sebahagian daripada darah merah yang segar
itu melekat di kiri kanan pipi. Beberapa bahagian tulang yang besar seperti
tulang paha, kaki dan lengan tidak dimamah atau ditelan tetapi disedut dengan
penuh nafsu.
Semasa menjilat darah dan menghisap tulang
temulang bayi terdengar hembusan nafasnya yang kencang, macam hembusan atau
dengkur orang tidur yang amat keletihan. Tidak sampai sepuluh minit lantai yang
berdarah nampak bersih. Begitu juga dengan tulang-tulang yang bertaburan terus
hilang entah kemana.
Kerana terlalu kekenyangan wanita hodoh itui
tersandar di dinding dalam keadaan yang tidak senonoh, Satu persatu wanita
hodoh memperhatikan wajah-wajah kami dengan rasa geram.
“Kamu sebenarnya tidak diingini disini,”
tutur datuk.
“Kedatangan aku kerana janji.”
“Orang yang berjanji sudah mati.”
“Dia sudah menyediakan gantinya,” tingkah
wanita hodoh.
“Gantinya tidak bersedia,” jawab datuk.
Wanita hodoh terdiam, daging di jari
jemarinya kelihatanmembengkak. Perlahan-lahan sepasang tangan nya diangkat
separas dada. Daging dijari jemari berguguran di lantai, cuma yang tinggal
ialah tulang jari. Bermula dari jari melarat sedikit demi sedikit hingga kedua
dua belah daging sikunya relai.
“Kakinya, “ kata saya.
Ali Usman dan datuk terus memandang ke arah
kaki wanita yang telah tinggal tulang. Tiada seorang pun daripada kami yang
menyedari perubahan yang berlaku pada kedua-dua belah kaki wanita hodoh.
Wajahnya nampak bersahaja, tidak membayangkan rasa sakit walaupun daging kaki
dan tangannya relai di lantai.
Daging yang berguguran dilantai segera
dihurungi semut-semut merah berukuran sebesar semut api. Terdengar bunyi suara
meresik memanjang mengiringi pergerakan semut-semut merah itu. Tidak tahu dari
arah mana semut-semut itu datang. Apa yang nyata, dalam beberapa minit saja
semua daging wanita hodoh yang relai dan bersepah dilantai hilang entah kemana.
Pada hemat saya mungkin daging wanita hodoh itu
enak rasanya. Sesuai dengan selera semut-semut merah yang kelihatan masih belum
puas. Bunyi suara meresik memanjang yang membingitkan anak telinga hilang
secara mendadak.
“Pelik.”
Kerana yakin, suara itu milik datuk saya
segera merenung ke arahnya.Jelas kelihatan dahinya berkedut. Dua tiga kali gigi
atas dengan gigi bawah di lagakannya. Macam ada sesuatu yang difikirkan. Ali
Usman menarik dan melepaskan nafas dengan tenang.
Perhatian kembali ditumpukan pada semut-semut
merah di lantai. Semut-semut merah yang berserakan itu berkumpul lalu membentuk
barisan memanjang dan terus bergerak, macam gerabak keretapi berjalan atas
landasan menuju kearah bahagian kaki yang masih berdaging.
PAHA
Bila sisa daging di kaki habis semut-semut
itu bergerak ke bahagian paha. Sebahagian yang lain berpecah kebahagian lengan,
merayap ke dada. Seluruh badan wanita hodoh sudah dikuasai semut-semut merah.
Bunyi suara meresik yang memanjang mula kedengaran.
“Dari mana semut itu datang.”
Ali Usman tujukan pertanyaan kepada datuk.
Dengan tenang datuk mengangkat kedua-dua sayap bahunya sambil mengelengkan
kepala.
“Ganjil sungguh,” keluh Ali Usman.
Datuk mengukir senyum sinis di kelopak bibir.
Saya tidak ambil kisah apa yang dikatakan
oleh datuk dan Ali Usman. Sesungguhnya saya lebih berminat melihat gerak geri semut-semut
merah yang bagaikan berpesta makan besar di tubuh wanita hodoh yang terkedang
di lantai.
Dia masih bernafas. Matanya yang masih belum
diserbu semut-semut merah masih bergerak. Renungannya sayu ke arah saya. Seolah
minta bantuan agar menghalau atau membunuh semut-semut merah yang menyelimuti
seluruh tubuhnya.
Daya melawan masih ada dalam dirinya. Dan
wanita hodoh cuma berusaha menghalau kumpulan semut dengan mengeliat dan
mengerakkan tubuhnya. Usaha itu tidak berhasil sepenuhnya. Hanya sebahagian
sahaja semut-semut itu yang jatuh di lantai.
Perbuatan wanita hodoh itu merangsang
kemarahan sebahagian dari semut-semut merah yang masih berada di badannya.
Kumpulan yang tinggal itu semakin aggresif mencarik-carik daging tubuh wanita
hodoh. Dari kaki hingga paras leher, tidak ada daging yang tersisa. Sudah
tinggal tulang.
Kumpulan semut merah terus bergerak dan
merayap ke bahagian leher. Wanita hodoh mengerang menahan kesakitan dan
kumpulan semut merah sudah pun mendarat di wajahnya. Dari situ merangkak ke
telinga. Suara keluhan dari wanita hodoh kian lemah dan lenyap begitu saja.
Dan akhirnya, seluruh muka, kepala, hilang
dalam timbunan kumpulan semut merah. Si wanita hodoh juga hilang entah kemana.
Terdengar bunyi deru angin yang amat kencang di luar rumah. Ekor mata saya
terus menjeling ke arah datuk dan Ali Usman. Mereka masih seperti tadi, masih
termenung dan terkejut dengan apa yang mereka lihat.
“Allah hu Akbar.”
Itu yang berbunga dalam kalbu, bila melihat
seluruh tubuh wanita bertukar menjadi rangka. Kaku di tengah ruang bilik macam
patung. Kaki (tulang) terkangkang. Tangan terkedang, tengkorak (bahagian muka)
mendongak ke langit.
Siling bilik yang bertentangan dengan
tengkorak terbuka sendiri. Begitu juga dengan atap di bahagian tersebut sudah
terkobak. Cahaya matahari segera menerkam tengkorak dan tulang temulang di
lantai yang nampak seakan-akan memancar sinar berkilat.
Lebih mengejutkan, kumpulan semut merah yang
tadi berpesta riang memamah daging tubuh
wanita dengan rakus hilang entah kemana. Deru angin di luar rumah tidak
kedengaran lagi. Sinar matahari yang jatuh pada longgokan rangka wanita hodoh
tidak secerah tadi. Tetapi dari lubang bumbung yang ternganga itu kelihatan
beberapa helai daun kering melayang-layang di udara sebelum jatuh ditepi longgokan tulang rangka.
“Semuanya macam tidak masuk akal,” Ali Usman
memberikan komentar.
“Susah nak cakap,” balas datuk.
Dan seluruh perhatian, saya tumpukan ke arah
dua manusia tersebut. Datuk menggaru hujung dahi sebelah kiri dua tiga kali.
Barangkali, dia juga merasa takjub berhadapan dengan suasana yang tidak pernah
difikirkannya.
“Kruuuuuupppppp.”
Tulang-tulang rangka bergerak sendirian,
Beberapa detik berikutnya perlahan-lahan tulang rangka wanita hodoh yang dalam
keadaan duduk itu jatuh satu persatu dan
berserakan di lantai. Sinar matahari yang masuk ikut lubang bumbung terus
menyorot ke arah tulang yang bertaburan.
BERJALAN
“EH, tulang rangka berjalan?”
Serentak ungkapan itu terpancut dari kekopak
bibir datuk dan Ali Usman. Tulang-temulang yang berserakan
bergerak dan berkumpul menjadi satu longgokan. Bagaikan ada kuasa tertentu atau
angin yang menggerakkan tulang temulang tersebut menjadi selonggok.
Susunannya juga menarik, tulang-tulang kaki
dan tangan berada di bahagian bawah. Diikuti dengan tulang kering, tulang paha
dan punggong. Lapisan ketiga untuk tulang dada, belakang, tulang bahu dan
tengkuk. Tempat paling atas untuk tengkorak. Lubang mata yang terpelohong,
hidung dan mulutnya, letaknya mendongak ke arah lubang bumbung. Lebih tepatnya
mengadap ke langit.
Kami bertiga bagaikan terpukau dengan apa
yang berlaku. Dari sebelah kanan bucu bilik, di bahagian papan yang terkopak
sedikit muncul dua tiga ekor kalkatu. Ganjil sekali, biasanya kalkatu muncul
waktu malam. Keganjilan kalkatu muncul siang, turut dirasakan oleh datuk dan
Ali Usman.
“Ini bukan sebarang kalkatu,” datuk luahkan
suara hatinya.
Ali Usman anggukkan kepala. Setuju dengan
datuk.
Kalkatu itu terbang ke arah longgokkan tulang
temulang. Dalam sekelip mata saja
jumlahnya bertambah lalu bergabung dengan kalkatu yang mula-mula muncul tadi
yang (jumlahnya tidak lebih dari tiga ekor) sedang berlegar-legar atas tulang
selonggok.
Kerana jumlahnya sudah banyak, kumpulan
kalkatu yang berlegar-legar itu melahirkan bunyi berdengung yang kuat. Setelah puas
berlegar-legar kumpulan tersebut membentuk satu bulatan seperti bentuk piramid.
Kumpulan pertama berada di tempat paling atas sekali. Dua tiga ekor yang berada
di bahagian bawah jatuh atas longgokan tulang yang hilang.
Sebahagian dari kalkatu yang berada dalam
bentuk susunan piramid keluar, terutama
di bahagian tengah. Kumpu;lan yang terkeluar itu terbang menuju ke arah saya
dan Ali Usman. Keadaan itu membuat saya cemas. Kumpulan yang datang itu bukan
sedikit, nampak hitam seperti sebiji bantal guling.
“Tunduk,” jerit datuk, “jangan sampai
kepaknya jatuh atas badan kamu berdua. Jangan biarkan badan kamu digigit
kalkatu siang. Bisanya boleh membawa maut,” sambung datuk.
Arahan datuk kami patuhi. Malah kami terus
meniarap di permukaan lantai.
“Siapa suruh kamu meniarap, kamu berdua nak
mati katak. Aku suruh kamu tunduk saja,” datuk meledakkan kemarahan. Dengan
segera kami bangun dan tunduk.
Kumpulan kalkatu yang datang menyerang itu melepasi kepala kami berdua. Sebahagian
yang terlajak, tidak sempat berpusing balik lalu melanggar dinding.
Akibatnya jatuh bergelimpangan di lantai dan
segera menjadi butir-butir pasir yang halus. Sebahagian yang terselamat terus
menyelinap ke dalam lubang dinding.
Kerana tidak mendapat arahan selanjutnya dari
datuk, saya dan Ali Usman terus tunduk hingga batang leher terasa tidak selesa.
Secara mengejut kulit di tempurung kepala terasa seperti disikat-sikat. Rambut
hitam saya gugur di lantai. Begitu juga dengan rambut Ali Usman.
No comments:
Post a Comment