Sebaik saja Haji Yatimi mengakhiri kata-kata itu, dia
terus menarik tangan Khoja Lisut, mengajak ke kaki tangga surau. Tidak ada
bantahan dari Khoja Lisut. Saya terus mengekor dari belakang Khoja Lisut.
Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terhadap diri Khoja
Lisut. Dia nampak penat sekali, baru lima kaki melangkah, dia harus berehat.
Saya lihat kulit di bahagian belakang lehernya kendur dan berlapis macam kulit
tengkuk ayam jantan yang sudah tua.
Langkah Haji Yatimi begitu pantas sekali. Kami
terpisah (saya dan Khoja Lisut) dengannya dalam jarak lebih dari dua puluh
kaki.
"Kenapa?" Saya segera mendekati Khoja Lisut
yang terjatuh di bumi. Cepat-cepat saya bangunkannya, lalu memapahnya dengan
perlahan ke surau.
"Semuanya sudah habis, Tamar."
"Maksudnya," saya potong cakap Khoja Lisut
yang tercungap-cungap itu. Dia kelihatan amat sukar menarik dan melepaskan
nafas. Wajahnya nampak cukup tua sekali.
"Aku penat, kudrat aku tidak macam dulu lagi,
Tamar."
Saya jadi resah. Sukar untuk menangkap maksud dari
kata-kata Khoja Lisut itu. Saya terus memimpinnya dengan hati-hati agar dia
tidak jatuh untuk kali kedua.
Saya dan khoja Lisut sampai ke kaki tangga surau. Mat
Upeh dan datuk segera menyambut Khoja Lisut lalu didudukkan di atas anak tangga
pertama. Haji Yatimi berdiri dekat tiang surau cuma melihat saja. Oleh kerana
terlalu penat, Khoja Lisut terus baringkan diri di situ. Datuk segera memicit
kedua belah buah betisnya dan Mat Upeh mengurut dadanya.
"Kenapa muka kamu berubah, Khoja?" Tanya
datuk.
"Kau nampak aku sudah cukup tua?" Dalam
tercungap-cungap Khoja Lisut bersuara. Kelopak matanya berkedip-kedip dan
biji mata hitamnya berputar-putar.
"Umurnya dah dekat sembilan puluh tahun,"
semua biji mata tertumpu ke arah Haji Yatimi. “Kalau tak percaya dengan
aku, tanyalah dirinya sendiri," sambung Haji Yatimi sambil menggaru hujung
dagunya. Haji Yatimi melangkah ke bahagian belakang surau. dia mahu buang air
kecil, hati kecil saya membuat kesimpulan. Telahan saya memang tepat, dia
menuju ke arah tandas.
Datuk dan Mat Upeh meneruskan rawatan terhadap Khoja
Lisut. Rawatan singkat itu berhasil mengembalikan tenaga Khoja Lisut. Dia boleh
duduk dan bangun, malah boleh berdiri di depan datuk dan Mat Upeh.
Saya yang sejak tadi, duduk atas tunggul yang letaknya
tidak jauh dari kaki tangga hanya melihat sahaja gerak-geri mereka. Hati kecil
saya masih mengharapkan suara Khoja Lisut untuk memperakui kata-kata yang
diucapkan oleh Haji Yatimi.
TURUN
Matahari petang kian menurun. Sinarnya makin suram dan
suara kicau burung bertambah galak menguasai kawasan pepohon sekitar surau.
Barangkali, kicau burung menandakan waktu petang akan berakhir tidak lama lagi.
Saya lihat Mat Upeh menggeliat. Dia seperti bersedia
mahu meninggalkan kami untuk pulang ke rumahnya. Datuk membetulkan hujung legan
baju kirinya yang terlipat. Haji Yatimi kembali ke tendas.
“Bagaimana? Apa dia mengakui apa yang aku katakan
tadi?" Itu yang ditujukan oleh Haji Yatimi kepada Datuk dan Mat Upeh.
Kedua-duanya gelengkan kepala. Dan Haji Yatimi segera merenung ke wajah Khoja
Lisut.
"Kamu mahu merahsiakan diri kamu daripada
mereka?"
"Tidak," jawab Khoja Lisut.
"Kalau tidak, kenapa tidak kamu cakapkan pada
mereka," Haji Yatimi seperti mendesak. Dan kali ini, saya kira Khoja Lisut
tidak boleh berdalih lagi.
"Apa yang dikatakan oleh Tuan Haji Yatimi itu
memang benar. Saya tertipu dan terpengaruh dengan kehidupan dunia. Sekarang
saya sedar setiap benda yang dibuat oleh makhluk tidak akan kekal, ada
kekurangannya. Hanya pemberian Allah saja yang mutlak," sebaik sahaja
Khoja Lisut berhenti bercakap, dia terus membongkok lalu batuk.
Mat Upeh membatalkan hasratnya untuk pulang. Dia terus
mengurut-ngurut belakang Khoja Lisut. Batuk Khoja Lisut berterusan dan dia
menekup mulutnya dengan telapak tangan kiri, sementara tangan kanannya
merawang-rawang, memberi isyarat supaya Mat Upeh dan datuk jangan mendekatinya.
Datuk dan Mat Upeh segera menjauhkan diri darinya.
Dalam keadaan yang terbongkok-bongkok Khoja Lisut berlari ke arah pangkal pokok
Sentul. Dia muntah darah di situ.
"Jangan dibantu. Biarkan dia sendirian di
situ."
Datuk tidak jadi melangkah ke arah Khoja Lisut,
setelah mendengar kata-kata daripada Haji Yatimi. Saya tidak mengerti kenapa
arahan itu dikeluarkan oleh Haji Yatimi. Barangkali dia mahu menyeksa Khoja
Lisut. Ini perbuatan orang yang tidak berilmu dan bertimbang rasa, bentak hati
kecil saya.
"Kenapa tak boleh bantu dia?" Ternyata saya
tidak dapat menahan gelora batin. Saya terpaksa berterus-terang dengan Haji
Yatimi yang amat dihormati oleh datuk.
"Itu urusan orang tua-tua, kenapa kamu nak masuk
campur,"
Tidak saya duga pertanyaan itu menimbulkan kemarahan
buat datuk. Dia segera mencekak leher baju saya. Dan saya, bersedia menerima
penampar atau penumbuk darinya. Datuk angkat tangan kanan lalu mengembangkan
lima jarinya. Saya pejamkan mata dan terus menghitung dari satu hingga sepuluh
di dalam hati. Penuh debar saya menanti tamparan dari datuk singgah ke pipi.
Apa yang dinanti tidak kunjung tiba. Sampai sepuluh hintungan, saya tidak
mengalami apa-apa. Kelopak mata saya buka, apa yang saya lihat, pergelenggangan
datuk berada dalam genggaman tangan Haji Yatimi. Mat Upeh tersenyum lebar
tetapi ada rasa kesal terpamer di wajah datuk.
"Jangan begitu, itu adalah hak cucu kamu untuk
bertanya sesuatu. Beri kebebasan padanya," Haji Yatimi melepaskan lengan
tangan datuk yang dipegangnya.Datuk mengerling tajam ke arah saya, seolah-olah
berkata: 'Kamu bernasib baik kerana haji ini berada di sini.’ Saya menelan air
liur. Terasa lega dan saya bersyukur pada Tuhan kerana tidak menjadi mangsa
dari sikap panas baran datuk itu.
"Dia tak wajar campur hal orang tua-tua, tak elok
bertanya perkara yang sudah dilarang untuk bertanya," itulah penjelasan
yang datuk berikan kepada Haji Yatimi.
"Tidak mengapa dia bertanya dan kewajipan orang
yang ditanya ialah memberikan jawapan. Dengan cara itu, cucu kamu dapat berfikir.
Bukankah islam itu menyuruh pengikutnya berfikir dengan akal bukannya dengan
perasaan. Islam memberikan kebebasan berfikir, kenapa kamu tidak memanfaatkan
ajaran yang baik itu?"
"Tapi...," sanggah datuk.
"Tak ada tapinya, kau bersikap terbuka, jangan
terlalu keras dengan cucu sendiri, nanti boleh menimbulkan rasa benci dalam
dirinya terhadap kamu.
"Saya faham," datuk seperti mengalah.
Haji Yatimi merenung ke arah saya. Dia terus senyum
tanpa berkata apa-apa. Renungannya berubah dari wajah saya ke arah Khoja Lisut
yang masih muntah. Beberapa minit kemudian, Khoja Lisut berhenti muntah. Haji
Yatimi merenung saya kembali.
"Sebabnya saya melarang sesiapa mendekatinya
kerana saya mahu dia muntah dengan selesa. Lagipun saya yakin, dia bukan muntah
darah."
"Kalau bukan muntah darah, dia muntah apa?” Saya
pintas cakap Haji Yatimi. Saya jeling ke arah datuk. Dia menggigit lidah. Cukup
geram dengan tindak tanduk saya itu.
"Dia muntahkan segala kekotoran dalam tali
perutnya masa dia mengamalkan ilmu salahnya dulu. Dia banyak menelan
makanan-makanan haram yang kotor, begitu juga dengan minuman. Dia buat macam
itu kerana disuruh oleh syaitan yang menjadi gurunya."
"Saya faham,” kata saya.
"Kita nampak yang dimuntahkannya itu darah, bila
kita dekat dengannya, kita tak nampak apa-apa. Tapi, kalau kita terkena
muntahnya, bahaya. Kena mata boleh buta, masuk lubang telinga kita pekak, kena
kulit, kudis sepanjang hayat, susah nak mencari ubatnya."
"Terima kasih tuan haji, saya dah faham
sekarang," kata saya. Mat Upeh dan datuk ketawa kecil melihat telatah saya
itu. Saya akur dengan cakap Haji Yatimi.
Selesai sahaja Khoja Lisut muntah, dia segera datang
ke arah kami. Haji Yatimi segera mengambil air di kolah lalu membasuh muka
Khoja Lisut.
"Nampaknya, saya tak boleh meninggalkan tempat
ini, hari dah petang benar. Boleh tidak saya tidur di rumah saudara semalam
lagi?" Khoja Lisut tujukan pertanyaan kepada datuk.
"Kamu tak payah menumpang tidur di rumahnya, kita
bermalam di surau ini. Lepas sembahyang Isyak kita buat ibadat malam hingga ke
subuh sebagai tanda terima kasih kita kepasa Allah kerana kamu sudah kembali ke
jalan yang benar," aneh skali, bukan datuk yang menjawab pertanyaan Khoja
Lisut tetapi, Haji Yatimi.
"Soalnya, apakah para jemaah lain membenarkan
saya bermalam di surau," ada keraguan di wajah Khoja Lisut.
"Mereka tak kisah, apa yang kita buat untuk
kebaikan.
”Mungkin ada yang mahu ikut sama,” tingkah datuk.
"Kita mahu membuat amalan mengikut suruhan allah
berpandukan pada Quran dan hadis, kita bukan nak buat maksiat," sampuk Mat
Upeh.
"Soalnya sekarang kalau kau mahu kembali ke jalan
allah, jangan banyak soal, ikut saja cadangan aku. Aku ke mari pun kerana kamu.
Rugi rasanya, orang yang tinggi ilmu mempertahankan diri dijadikan alat oleh
iblis," nada suara Haji Yatimi mula meninggi.
"Saya mengikut saja, baik kata orang di sini,
baiklah buat saya."
"Syukur pada Allah," jerit Mat Upeh. Datuk
dan Haji Yatimi berpandangan.
PULANG
Saya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan
datang semula ke surau bila sampai waktu maghrib. Waktu saya memusingkan badan
ke kanan menuju lorong arah ke rumah, tiba-tiba datuk memaut bahu kiri saya
dari belakang.
"Nak ke mana Tamar?"
"Balik, tuk."
"Bagus, kamu suruh nenek masak nasi dan lauk
banyak sikit, suruh dia agak-agak untuk makanan kita berempat, masa kamu datang
balik ke sini, bawa makanan tu."
"Baik tuk," kata saya.
Perjalanan yang terhenti saya teruskan kembali. Di
saat kegembiraan kerana hasrat saya tidak dihalang oleh datuk. Secara mendadak
gegendang telinga saya menangkap bunyi telapak kaki manusia dari arah belakang.
Saya segera menoleh, datuk sedang berlari anak ke arah saya. Langkah kaki pun
saya matikan. Datuk berhenti di depan saya.
"Kenapa tuk?"
"Aku terlupa nak cakap dengan kamu," datuk
berhenti bercakap. Dia menarik dan melepaskan nafas dengan tenang. Ada senyum
berlari di wajahnya.
"Apa dia perkara yang datuk terlupa nak cakapkan tu,"
ulang saya.
"Begini, kamu ambil dua helai kain pelekat,
sehelai baju kemeja, sehelai Baju melayu dan dua helai kain basahan,"
tutur datuk dengan tenang.
Saya terkejut mendengar permintaan datuk itu. Lama
juga saya termenung, brfikir kenapa datuk minta barang-barang tersebut? Mungkin
datuk mahu pergi ke mana-mana.
"Buat apa semuanya tu datuk?"
"Kain pelekat tu aku nak pakai, sehelai lagi nak
bagi Khoja Lisut pakai. Kain yang dipakainya tu dah kotor, tak boleh dibawa
sembahyang, begitu juga dengan baju."
"Kain basahan pula?"
"Satu untuk Khoja, yang lagi satu kami nak kongsi
pakai, kami tak berani nak kongsi kain basahan dengan Si Khoja."
Saya anggukkan kepala, faham dengan apa yang diucapkan
oleh datuk. Persoalan yang bersarang dalam kepala saya sudah terjawab.
"Barang-barang tu, kamu hantar sekarang."
"Ha.." mulut saya ternganga. Terkejut dengan
arahan baru datuk itu. Tidak diduga begitu cepat datuk mahukan barang-barang
tersebut. Pada awalnya, saya kira datuk mahukan barang-barang di bawa ke surau,
semasa azan dilaungkan.
"Kamu hantar barang tu cepat, aku nak mandi dan
tukar kain, lepas kau hantar, kau datang lambat ke surau pun tak apa."
"Macam mana, kalau lepas azan saya datang
tuk?"
"Tak boleh. Kamu ni dah pandai membantah cakap
aku. Kamu siapa dan aku siapa?" Suara datuk mula meninggi, dia terus
menjengilkan sepasang biji matanya dan wajahnya cukup bengis. Sinar matanya
bagaikan mahu membakar seluruh tubuh saya.
"Baik tuk, sekejap lagi saya datang bawa
barang-barang yang datuk mahu tu."
"Hum, cepat datang."
Datuk pun memusingkan badannya menghadap arah surau
lalu melangkah. Dan saya dengan rasa kesal meneruskan perjalanan pulang.
Kadang-kadang saya merasakan amat rugi menjadi cucu kesayangan kepada datuk yang suka bertindak mengikut aturan sendiri dan bersikap kuku besi. Apa boleh buat saya tidak ada pilihan lain, sama ada suka atau tidak terpaksa tanggung sendiri. Tetapi, rasa kesal itu berakhir, bila semua arahan datuk saya patuhi tepat pada waktunya. Nama saya disebut-sebut pada para jemaah sebagai cucu yang taat dan mendengar kata. Haji Yatimi hanya tersenyum lebar.
Kadang-kadang saya merasakan amat rugi menjadi cucu kesayangan kepada datuk yang suka bertindak mengikut aturan sendiri dan bersikap kuku besi. Apa boleh buat saya tidak ada pilihan lain, sama ada suka atau tidak terpaksa tanggung sendiri. Tetapi, rasa kesal itu berakhir, bila semua arahan datuk saya patuhi tepat pada waktunya. Nama saya disebut-sebut pada para jemaah sebagai cucu yang taat dan mendengar kata. Haji Yatimi hanya tersenyum lebar.
Seperti yang dijadualkan 'Qiamullail' malam itu
berjalan seperti yang ditetapkan. Dalam waktu tertentu, Haji Yatimi memberi
perhatian khusus untuk Khoja Lisut. Dari apa yang saya lihat, memanglah Khoja
Lisut sudah insaf.
Apa yang menariknya, Khoja Lisut dapat mengikut majlis
Qiamullail malam itu dengan baik sekali. Pembacaan ayat-ayat suci yang keluar
dari mulutnya cukup terang dan jelas. Rukun sembahyangnya diperlihara dengan
baik.
BELAJAR
Menurut kata Haji Yatimi, Khoja Lisut mendapat
bimbingan agama sejak kecil lagi. Tetapi, kerana dia memikirkan bahawa dia
beragama Islam kerana datuk neneknya memang beragama Islam. Kemudian belajar
atau mendalami agama itu atas paksaan orang tuanya, lalu dia berpendapat agama
itu mesti ada dalam dirinya untuk disimpan. Dia tidak menghayati agama itu
secara mendalam, tidak mahu menjadikan dirinya sebagai seorang muslim sejati.
Dia mengalami kejutan bila berdepan dengan keadaan
masyarakat sekelilingnya. Dia melihat orang yang taat pada agama, hidupnya agak
perit tetapi orang yang mengabaikan hukum agama seperti tidak sembahyang, tidak
membayar zakat, menipu dan mencuri, hidup mereka senang malah ada yang kaya
raya. Dari unsur-unsur tidak baik yang dilihat sekelilingnya, mengurangkan
keyakinannya (sememangnya tidak yakin) terhadap apa yang diwarisi dari datuk
neneknya.
Keadaan itu mempengaruhi hidupnya, lalu agama baginya
tidak penting. Tidak dijadikan panduan dalam hidupnmya. Khoja Lisut menjadikan
dirinya seperti layang-layang yang putus tali. Demikian rumusan yang saya buat
setelh mendengar pendapat Haji yatimi terhadap Khoja Lisut.
Qiamullail malam itu berakhir dengan sembahyang dan
doa. Makan dan minum pagi itu disediakan oleh Mat Upeh. Wang perbelanjaannya
dikeluarkan oleh salah seorang penduduk kampung yang menjadi kawan rapat datuk.
Dia minta datuk jangan menghebahkan pada para jemaah tentang pemberiannya.
Matahari bersinar lembut, menjamah reruput di halaman
surau. Embun di hujung daun sudah ada yang kering. Khoja Lisut sudah pun
mengenakan pakaian yang rapi. Dia bersedia untuk nerangkat ke arah selatan
tanah air dan dari situ dia akan berangkat ke Riau.
"Bagaimana, kalau kamu ikut aku balik ke
Sumatera, kita boleh ke Binjai, boleh ziarah kubur Kiai yang kau tumbuk
dulu," Haji Yatimi mengemukakan cadangan.
"Saya akan datang ke kuburnya sendiri. Saya juga
nak ajak anak-anak murid saya kembali ke jalan yang benar."
"Anak-anak murid kamu ramai yang sudah insaf,
malah ada yang ke tanah suci untuk mendalami ilmu agama."
"Saya bersyukur dan minta maaf kerana tidak dapat
menunaikan permintaan tuan haji, saya nak balik sendirian."
"Aku doakan kamu bahagia," kata Haji
Yatimi.
"Aku juga begitu,” celah datuk sambil
menghulurkan sesuatu kepada Khoja Lisut. Saya lihat Khoja Lisut terkejut.
"Apa bendanya ni?" Tanya Khoja Lisut.
"Untuk tambang dan perbelanjaan kamu
balik."
"Terima kasih."
"Selamat jalan Khoja, binalah hidup baru, kalau
bertemu jodoh eloklah mendirikan rumahtangga. Aku rasa kamu elok kembali kepada
isteri yang kamu tinggalkan. Dia sudah tua macam kamu. Nasib baik anak kamu
bertanggungjawab pada emaknya."
"Mana tuan haji tahu semuanya ni?'
"Sebelum mencari kamu, aku sudah siasat siapa
kamu yang sebenarnya.”
Saya lihat ada genangan air jernih di kelopak mata
Khoja Lisut. Dia tunduk tersedu untuk beberapa saat. Bila perasaannya sudah
tenang, diapun bersalam dengan datuk, saya dan Mat Upeh. Kemudian baru dia
memeluk tubuh Haji Yatimi. Pipi mereka bergesel macam orang Arab memeluk tetamu
yang tiba.
"Selamat tinggal."
"Selamat jalan," kata kami serentak.
Khoja Lisut pun melangkah dengan tenang meninggalkan
kami di halaman surau. Panas makin lama makin terik. Dan akhirnya, Khoja Lisut
hilang dari pandangan kami. Agaknya dia sudah di tepi jalan raya menanti bas
untuk ke bandar.
LAUT
Setelah dua minggu Khoja Lisut meninggalkan kami, Haji
Yatimi pulang menghilang secara mengejut. Kehilangannya itu meninggalkan kesan
yang mendalam tehadap diri saya. Sejak saya mengenalinya, sudah terjalin sebuah
kemsraan.
Dia saya anggap sebagai datuk sendiri. Bertimbang rasa
dan memahami perasaan dan yang lebih penting dari semuanya itu, dengan adanya
Haji yatimi datuk tidak boleh marah sebarangan terhadap saya. Panas baran datuk
terus menurun.
Haji yatimi, dalam masa terluang banyak mencurahkan
ilmu dan nasihat untuk saya. Dia menanamkan rasa tanggungjawan, rasa cinta pada
Allah, pada Nabi Muhammad dan agama Islam dalam diri saya. Dia menyuruh saya
menghayati isi Quran dengan mendalam. Dia mengajar tafsir untuk saya,
"Belajarlah Bahasa Arab untuk memahami Al-Quran, kalau tak mampu, cari
tafsirnya dalam Bahasa Melayu atau Indonesia. Memahami isi al-Quran besar
faedahnya," itulah kata-kata yang sering diucapkan, bila dia melihat saya
membaca Al-Quran di surau menjelang waktu sembahyang.
Dan petang itu menurut kiraan saya, sudah masuk hari
yang ke sepuluh Haji Yatimi menghilangkan diri. Dan tidak salah jika saya
bertanyakan hal itu kepada datuk. Tidak mungkin pertanyaan yang bakal saya
ajukan itu akan menimbulkan kemarahan datuk. Lagipun, saya bertanya sesuatu
yang baik.
Sebaik sahaja datuk pulang dari kebun, saya segera
mendekatinya. Saya ambil setandan pisang emas yang dijinjingnya. Saya letakkan
di atas pelantar. Kerana saya tahu dia akan mandi untuk membersihkan badannya,
saya serahkan kain basahan padanya.
"Kamu ini terlalu baik sangat, tentu ada hajat
yang kamu nak minta dari aku," kata datuk sambil menyambut huluran kain
basahan dari saya.
"Tak ada apa-apa,” balas saya.
"Hmmm.." suara datuk mendatar. Tetapi senyum
sinis yang terukir dibibirnya membuat saya rasa terpukul. Dia bagaikan
mengetahui apa yang tersirat di dalam batin saya. Dan saya tetap bersikap
selamba. Datuk pun hayun langkah menuju ke sungai.
"Saya nak tanya datuk satu perkara."
"Apa dia, Tamar?"
Datuk letak kembali cawan atas talam. Matanya renung
ke muka saya. Nenek yang hidangkan minuman petang turut memasang telinga.
"Apa dia Tamar?” Ulang datuk.
"Cukup Tamar, apa yang kau mahu dari datuk kamu.
Kamu nak suruh dia beli motosikal, basikal, cakap sekarang," nenek
bergurau, disambut dengan ketawa memanjang oleh datuk. Saya sekadar senyum
sahaja.
Mungkin kerana saya teragak-agak meneruskan petanyaan,
datuk angkat cawan kopi lalu mengirupnya dengan tenang. Kemudian dia mengunyah
kuih jemput-jemput hasil dari kerja nenek. Datuk makan dengan penuh selera.
"Saya tak mahu motosikal, saya tak mahu
basikal."
“Habis apa yang nak kamu cakapkan dengan datuk kamu
ni? Aku tengok kamu takut-takut aje," nenek seolah-olah mahu saya
mengemukakan pertanyaan dengan segera.
"Saya nak tanya tentang Pak.."
"Haji yatimi?" Datuk segera memintas
percakapan saya.
"Iya Tuk."
"Dia tak ada cakap apa-apa dengan kamu?"
"Tak ada tuk," jawab saya seraya
menggelengkan kepala.
No comments:
Post a Comment