Tanpa
membuang masa saya dan datuk melihat ke dalam bilik. Samar-samar kelihatan
seorang lelaki duduk bersila dengan sepasang tangan berada diantara kedua belah
paha dan kaki.
Sebuah tempat bara berada di depannya, mengeluarkan
asap berbau cengkih dan kemenyan.
Lelaki yang berwajah serius dan bengis itu seperti
bertafakur dengan sepasang kelopak matanya dirapatkan. Kepala dililit dengan
kain kuning.
“Dari mana datangnya makhluk ini” bisik batin saya.
“Eehemmmmm………,” suara datuk menyumbat lubang
telinga. Dan sudah pasti, suara tersebut adalah isyarat untuk saya mengawal
perasaan, jangan memikirkan tentang sesuatu.
Asap kemenyan yang bergerak lembut si sebelah kiri
dan kanan lelaki itu, melakarkan sekumpulan bebayang makhuk ganjil yang
menakutkan. Ada yang bertanduk, bermisai, mata berlubang, berdagu panjang
hingga ke lantai dan bermacam-macam lagi. Saya segera merenung ke arah datuk.
Tenang sahaja datuk menghadapi suasana yang mencemaskan itu. Bibirnya seperti bergetar.
Dan saya menduga, datuk sedang membaca petikan ayat al-Quran untuk menghalau
syaitan.
Usaha datuk yang direstui Allah mendatangkan hasil
yang sungguh mengesankan. Satu persatu bayang yang menakutkan itu menipis,
membulat dan memanjang.
Sebelum ghaib dari penglihatan terdengar seperti
suara hembusan angin yang keluar dari belon mainan akibat dicucuk dengan jarum.
“Dah hilang,” cetus hati saya.
Datuk berdehem dan saya sedar tentang kesilapan yang
tidak saya sengajakan. Dua tiga kali saya menarik dan melepaskan nafas sambil
mengutuk diri sendiri.
MUngkin menyedari tidak ada sebarang gangguan lagi
menyebabkan datuk menumpukan seluruh perhatiannya kepada Ali Usman kembali.
Macam tadi juga, Ali Usman masih lagi mamai. Dua kali bahu Ali Usman saya
singgung dengan kuat. Tetapi, dia tidak memberikan tindak balas yang
sewajarnya.
“Áli, apa yang kamu lihat itu, itulah juga yang aku
Iihat. Sekarang semuanya sudah selesai, sudah tak ada lagi, Cuba buka mata kamu
"
Datuk
dan saya segera berusaha mendirikan Ali Usman. Kepalanya yang terkulai kami
tegakkan, Wajahnya dihalakan ke arah pintu bilik yang terdedah.. Pelahan-lahan
Ali Usman mambuka kelopak matanya.
"Kamu
tengok sekarang, semuanya sudah hilang."
Itulah
yang datuk bisikkan ke lubang telinga Ail Usman. Dengan lemah saya lihat Ali
Usman anggukkan kepala. Dia hanya berkerut, buat beberapa ketika Ali Usman
menarik dan melepaskan nafas dalam usahanya mencari ketenangan dan
ketenteraman.
"Bagaimana
perasaan kamu sekarang? Dah tenang," susul datuk.
Ali
Usman anggukkan kepala, senyumnya kian lebar.
"Kalau gitu kamu mulakan,"
Datang lagi usul dari datuk dan ternyata tiada
bantahan dari Ali Usman. Dia pun melangkah melepasi bendul pintu bilik.
Setelah mendapat isyarat dari datuk, saya turut
melangkah ke dalam bilik yang kelihatan mempunyai ciri-ciri tersendiri. Datuk
pun membekalkan pesan agar jangan menyentuh apa juga barang yang terdapat di
situ, kecuali setelah mendapat kebenaran darinya.
BERADA
di dalam bilik khas yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, terasa nyaman bagai
kan berada di dalam bilik yang berhawa dingin. Keganjilan yang dialami setiap
kali melangkah, saya seperti tidak dapat mengimbangi seluruh tubuh, terhoyang
hayang ke kiri dan ke kanan. Bagi mengelak dari jatuh terpaksa berpaut pada
tubuh Ali Usman.
Apakah
perkara yang saya alami turut dirasakan oleh Ali Usman dan datuk? Tetapi,
melihat pada gaya dan gerak mereka temyata perkara itu tidak berlaku.
Dengan
tidak semena-mena terdengar seperti suara kumbang mengorek lubang dikayu.
Keadaan begini memang kurang tenteram, memberi kesan yang tidak tentu arah
disanubari.
"Apa
pula sialnya si kumbang ni, mengacau urusan orang dan menakutkan aku,” jerit
batin saya.
“Ehemmmm..
“ Datuk berdehem pendek
Dan
secara sepontan saya menoleh ke arah datuk, pandangan kami bertembung.
"Jangan
ditegur atau dikomen bila kamu melihat atau mendengar sesuatu yang pelik. Cuba
fikir dulu sebelum mengikut kata hati. Jangan pandai-pandai nak mengutuk atau
marah tidak bersebab."
Itulah
komentar datuk. Dia bagaikan tahu erti renungan mata saya sebentar tadi. Saya
mengigit bibir, susah sungguh berurusan dengan manusia yang dapat membaca suara
hati kita.
Dan
buat sekian kalinya, saya menatap wajah All Usman. Dia nampak bersahaja. Tetapi
gerak mata hitamnya membayangkan sekelumit keresahan dalam dirinya Dia cuba
tersenyum dan ternyata senyum yarng dipaksa itu hilang serinya.
Bilik
yang nampak kecil itu, tenyata cukup besar dan luas. Buktinya. sudah lebih
sepuluh langkah kami melangkah dari bendul, masih belum sampai ke bahagian
tengah bilik. Ali Usman memberikan isyarat tangan, supaya kami menuju ke bucu
bilik sebelah kiri. Dan saya yang sangsi dengan arahan tersebut enggan
melangkah.
"Ke
sana, sebelah kiri,” keras suara. Ali Usman.
"Maaf,"
bisik saya padanya.
"Bodoh,”'
Sakit benar rasa hati menerima ungkapan kata yang ditujukan oleh Ali Usman
untuk saya. Kalau tidak memikirkan berada di tempat orang mahu rasanya
melepaskan penumbuk sulung ke mukanya. Biar pecah berdarah dan tersungkur di
lantai.
"Ehemmm,,,.'
datuk bersuara.
Menyedari
kesilapan yang dilakukan, saya minta maaf dengan menganggukkan kepada pada
datuk.
Saya
dan datuk mengekori Ali Usman menuju ke tempat yang dimaksudkan. Keadaan di
situ agak gelap dan lubang hidung mula diasak dengan bau bunga cempaka kembang
pagi. Terdengar bunyi seperti kain batik dikoyak berkali-kali. Sesekali
terdengar suara wanita berbisik sesama sendiri.
Dalam
suasana yang agak gelap itu, sepasang telapak tangan jatuh atas sayap bahu kiri
dan kanan. Berdebarlah hati saya, rasa cemas dan takut terus memuncak. Perlahan
saya raba tangan di bahu kiri, terasa kasar dan keras dengan urat-urat timbul
di belakang tangan.
Bila
telapak tangan merayap di lengan orang yang belum saya pasti siapakah orangnya,
rasa gementar terus menguasai tangkai hati, lebih-lebih lagi bila telapak
tangan menyentuh bulu roma yang keras terpacak.
Pergerakan
telapak tangan terhenti di hujung siku, bila tersentuh bulu berlebihan daging
yang lembik dan lembut. Tidak salah lagi tangan yang memegang kedua belah sayap
bahu ialah tangan datuk dan dengan serta merta degup jantung saya kembali
normal.
“Bertenang
dan kawal perasaan kamu Tamar, jangan menggelabah tak tentu pasal,” suara datuk
masuk ke lubang telinga.
“Baik
tuk.”
Serentak
dengan itu cengkaman sepasang telapak tangan di bahu kiri dan kanan segera
berakhir. Saya bernafas lega kerana datuk berada tidak jauh dari saya.
LILIN
Ali
Usman menyalakan api di hujung lilin besar. Tidak diketahui dari mana dia
memperolehi mancis.
Cahaya
di hujung lilin yang sekejap besar, sekejap kecil itu mampu memberikan sinar
yang cukup terang untuk kami melihat apa saja barang atau peralatan yang berada
disitu.
Terdapat
sebuah perahu Bugis, lengkap dengan layar dan pendayungnya terbelenduh di bucu
bilik. Bahagian bawah (perut) perahu terletak di atas empat pasu besar Cina
yang berukiran naga dengan latar belakang biru kuat. Pada hemat saya, tujuan
berbuat demikian bagi mengelakkan kerosakan lantai bilik dan perut perahu.
“Kita
ke sana.”
Ali
Usman menuding jari telunjuk ke arah yang dimaksudkan. Saya dan datuk pun
bergerak ke arah yang dimaksudkan. Tidak ada apa pun yang terdapat di situ,
kecuali kain tabir yang berwarna hitam.
“Ada
rahsia di sebalik tabir ini.”
Dengan
pantas Ali Usman menjatuhkan kain tabir berwarna hitam lalu digulung serta di
ketepikan berhampiran dinding.
“Pasu
pertama diisi tulang gajah mati beragan, pasu kedua atau di tengah-tengah
ditaruh tulang badak sumbu mati berlaga di tepi danau dan pasu yang ketiga
ditaruhkan dengan tulang harimau jantan yang ganas.”
Mulut
saya terlopong mendengar penjelasan dari Ali Usman yang memang tidak diduga
atau dijangkakan. Datuk hanya anggukkan kepala sambil mengharapkan ada
penjelasan selanjutnya dari Ali Usman. Dan apa yang diharapkan tidak menjadi
kenyataan.
Keadaan
sekitar terasa amat sunyi sekali tetapi, beberapa minit kemudian tulang
temulang dalam ketiga-tiga pasu besar itu bergerak dan berlaga sama sendiri.
Beberapa potong tulang terangkat sendiri. Dalam masa yang sama, terdengar
seperti ada orang menjilat dan menyedut tulang yang terangkat dari pasu besar.
Saya cuba mengesan dari arah mana datangnya bunyi orang menjilat dan menghisap
tulang itu.
Ali
Usman tahu yang saya sedang mengesan bunyi ganjil tersebut. Dia cuba berusaha
menghalangnya dengan cara yang paling sopan sekali.
Berkali-kali
dia mengedutkan dahi sambil mengaru pangkal leher kanan, macam ada sesuatu yang
mahu dituturkan.
“Semua
yang saya cakapkan tadi, bukan rekaan. Hal itu diberitahu oleh bapa saudara
saya sendiri. Pesannya, bila dia sudah tiada, saya mesti menjaga apa yang ada
di dalam rumah ini.” Ali Usman mengakhiri kata dengan senyum yang memanjang.
Saya dan datuk berbalas renungan.
KHASIAT
“DIA
tak cakap pada kamu tujuan dia menyimpan tulang temulang binatang dalam pasu?”
Satu pertanyaan datu ajukan dalam nada suara yang lembut sekali.
“Untuk
tujuan perubatan,” jawap Ali Usman.
“Untuk
ubat.” Datuk minta kepastian.
“Iya,”
angguknya penuh yakin.
Mungkin
untuk meyakinkan kami berdua, Ali Usman pun menerangkan tentang khasiat-khasiat
yang boleh diperolehi dari tulang-temulang binatang yang ada di dalam
ketiga-tiga pasu tersebut.
“Kalau
kena cirit birit atau kolera, panas badan, darah tinggi, runsing dan sukar
tidur malam, rendam tulang paha gajah semalaman bersama air telaga, kemudian
minumlah air tersebut bersama dengan campuran biji tembikai.”
“Lagi,
tulang yang lain macam mana?” desak datuk.
“Air
rebusan tulang harimau ganas, diminum waktu pagi dicampur dengan sedikit jintan
manis, boleh menghilangkan lenguh-lenguh sendi, lelas, lesu badan, kencing
manis, gaut, tekanan darah rendah, menambahkan nafsu makan.”
“Macam
mana tulang badak sumbu mati berlaga.”
“Air
rebusan dari tulang kaki badak mati berlaga diminum bersama campuran kicap
pekat dan air tebu hitam diminum waktu pagi cukup berkesan untuk menguatkan dan
mengeraskan alat kelamin lelaki, tahan lama berjuang lama di katil. Perempuan
belum beranak dilarang minumnya, boleh menyebabkan mandul.”
“Haaaa………”
Datuk seperti terkejut.
Sesungguhnya
saya tidak melibatkan diri dalam perbincangan itu (antara datuk dan Ali Usman)
lebih banyak mendengar dan memerhatikan saja. Kalau masuk campur, mungkin tidak
disenangi oleh Ali Usman.
Malah,
mungkin dimarahi datuk. Ali Usman bergerak ke arah lain, kesudut paling kanan.
Datuk mengikut saja ke mana Ali Usman melangkah, begitu juga dengan saya.
Berada
di sudut paling kanan dalam bilik tersebut seluruh badan terasa panas
berbahang, macam berdiri dekat unggun api. Peluh mula mercik di seluruh badan.
“Panas?”
Tanya Ali Usman.
Saya
mengangguk.
“Tetapi,
datuk kamu sejuk mengigil.”
Bagi
mempastikan cakap Ali Usman benar atau sebaliknya, saya toleh ke arah datuk,
memang benar dia mengeletar. Saya berhadapan dengan suasana yang sungguh
menakjubkan. Dalam sebuah bilik, kami berhadapan dengan hawa yang berbeza.
“Tak
apalah, sebentar lagi kamu akan kembali normal, setiap orang yang baru masuk ke
sini akan mengalami rasa sejuk dan panas tidak bersebab,” jelas Ali Usman
dengan tenang.
Saya
dan datuk menerima penjelasan itu dengan hati yang terbuka. Kata-kata Ali Usman
terbukti benar. Lima minit kemudian suhu badan saya dan datuk kembali normal.
“Ini
tempat paling rahsia, hanya saya seorang saja yang diizinkan masuk di sini,
orang lain diharamkan. Hari ini saya melanggar akibatnya,” tutur kata Ali Usman
tersangkut sangkut.
Datuk
tidak memperlihatkan sebarang reaksi. Bagaimanapun, Ali Usman tidak terdaya
menyembunyikan keresahan batinnya dari terpamir diwajahnya.
BANTAL
Sudut
paling kanan ini saya kira cukup istimewa berbanding dengan sudut sebelah kiri,
terdapat tilam bersarung kain kuning, dua biji bantal beropol kain kuning juga.
Terdapat
longgokkan buku (kitab) lama yang kertasnya sudah kuning. Terdapat lampu minyah
tanah antik, badannya dari kaca dan corongnya juga dari kaca.
Di
hujung tilam, atas rak yang dibuat dari buluh kuning tersusun berpuluh botol
kecil yang berisikan aneka minyak, ada minyak dagu, minyak tupai jantan, minyak
tembuni, minyak mani gajah, dan berbagai lagi. Kegunaannya untuk pengasih dan
menegangkan kulit muka, demikian saya diberitahu oleh Ali Usman.
“Ini
pula taring babi hutan yang mati beragan,”
Ali
Usman menuding jari telunjuk ke arah tali pinggang yang penuh taring babi hutan
yang berwarna putih berkilat.
“Untuk
apa?” secara sepontan datuk menyoal.
“Sesiapa
yang memakainya, digantung di leher, diikat di pinggang atau dijadikan azimat, orang
itu tak lut peluru atau senjata tajam. Itulah yang diberitahu oleh bapa saudara
kepada saya.”
“Perbuatan
syirik, syukurlah saya dapat membetulkannya. Walaupun mengambil masa yang
lama,” Ali Usman luahkan perasaannya dengan penuh keyakinan.
“Sepatutnya
semua yang ada di sini dimusnahkan,” datuk mengemukakan cadangan. Ali Usman
menarik nafas panjang sambil merenung ke arah longgokkan kitab.
“Biarkan
semua yang ada di sini musnah sendiri, saya tak senang hati kalau dimusnahkan
oleh orang lain.”
“Kamu ada
maksud lain Ali?”
“Tidak
ada, saya sendiri tidak suka dengan semua ini.”
“Baiklah,
“ jawap datuk pendek.
BENAR
Sungguh
mengejutkan bila Ali Usman membenarkan saya dan datuk menyentuh dan membaca
kitab-kitab lama yang ada di situ. Walaupun sudah diizinkan, saya masih
ragu-ragu untuk melaksanakannya.
“Boleh
tuk,”
“Silakan
tuk.”
Sebuah
kitab lama saya buka, tulisannya sungguh ganjil bercampur aduk tulisan jawi
dengan tulisan siam, Vietnam, Jawa Kuno, dan Hindustan. Sukar untuk membaca
apalagi memahaminya. Tetapi, saya tidak putus asa, saya cari kitab lain dan
akhirnya saya tersua dengan sebuah buku tebal yang di dalamnya tercatat nama
pawang dan bomoh serta orang yang pernah berguru dengan bapa saudara Ali Usman
(Si Raja Susuk).
Antaranya
terdapat nama nama beberapa lelaki dan wanita dari Pahang, Kedah, Perlis,
Melaka, Trengganu yang pernah menuntut ilmu denga Raja Susuk. Bila pulang ke
tempat asal mereka berusaha mengembangkan ilmu tersebut di tempat
masing-masing.
“Dia
datang,” jerit Ali Usman.
Dengan
serta merta buku ditangan saya lepaskan. Datuk yang duduk bersandar di tepi
dinding segera bangun. Seluruh biji mata tertumpu ke arah pintu yang terbuka.
Semuanya tergamam tidak tahu apa yang harus dilakukan.
Seorang
wanita dengan rambut mengerbang, memangku seorang bayi berkepala licin dalam
kain putih. Sebahagian dari dadanya dibalut dengan kain merah manakala bahagian
lainnya terdedah. Buah dadanya dilindungi oleh tubuh bayi yang dipangkunya.
Kain
putih yang membalut tubuh si bayi kepala botak, menutup bahagian badan depan
wanita tersebut iaitu dari pinggang hingga ke kaki. Dengan sepasang mata yang
merah, mulut separuh terbuka bersama susunan gigi yang tinggi rendah. Wanita
melangkah kea rah kami.
Di luar
bilik terdengar suara tangisan bayi sedangkan bayi dalam pangkuan wanita
berwajah hodoh diam kaku. Dari bahagian jenang atas pintu terhulur kain
berwarna merah jambu bersama lembaga yang menyerupai muka orang hutan.
Dari
lubang hidung lembaga tersebut terkeluar hembusan nafas membekalkan bau busuk.
Mata
kanannya buat kehijau-hijauan, manakala mata kirinya serupa dengan mata manusia
biasa. Wanita berwajah hodoh terus melangkah mendekati kami. Ali Usman cuba
melakukan sesuatu. Dia berdiri sambil mengenggam penumbuk dan menentang wanita
yang memangku bayi kecil kepala botak.
“Saya
tahu, semuanya berpunya dari perbuatan saya membuka rahsia rumah ini pada orang
lain,” jerit Ali Usman.
“Bertenang,
kita tunggu dan lihat apa yang akan terjadi,” datuk memberikan secebis nasihat
dan Ali Usman akur dengan nasih tersebut. Wanita terus melangkah mendekati kami
dan kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
No comments:
Post a Comment